Thursday, January 29, 2009

Pembangkang Selangor Ketinggalan 14 Tahun


Fitnah khalwat: Dr Halimah sedia saman My Kmu.net RM40 juta


Ini adalah tajuk berita daripada HarakahDaily.Net 29 Januari. Ianya telah dinafikan oleh ADUN Selat Kelang itu yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor. JAIS selaku penangkap basah tersohor di Negeri Selangor juga menafikan perkara ini.


Bagi saya ini adalah satu lagi kisah 1001 Malam atau Arabian Nights versi moden. Kisah terbaru selepas kisah Ali Rustam dan 40 Orang Penyamar.


14 tahun dulu, ramai orang hanya mengenali nama Mat sabu, tetapi wajah beliau agaknya tak pernah masuk TV. Tetapi apabila beliau ditangkap basah di Hotel Perdana, Kota Bharu, MP Nilam Puri pada masa itu menjadi tersohor dan dikenali wajah dan rambut kerasnya sehingga sekarang.


Abang Mat didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Syariah Kota Bharu, tetapi beliau terpaksa bermula sebagai ahli biasa Parti Islam SeMalaysia. Sehinggalah beliau dipilih sebagai salah seorang Naib Presiden Parti pada masa ini.

Dr Halimah juga pasti akan menjadi lebih dikenali terutama di luar Selangor dan saya positif undi beliau akan bertambah pada PRU13 nanti jika beliau bertanding semula seperti juga Abang Mat yang bertambah undi pada PRU 09 1995 walaupun undi Angkatan Perpaduan Ummah pada masa itu merudum teruk.

.

Wednesday, January 28, 2009

Tahun Cina Penentu Politik Malaysia


2 tahun kebelakangan, isu babi menjadi-jadi diperkatakan. Hari-hari politikus Malaysia menyerang dan menangkis dengan bersenjatakan babi.


Almaklum lah 2 tahun lepas adalah tahun babi atau boar atau pig dalam calendar Cina. Isu babi berlarutan sehinggalah sekarang.


Selepas tahun babi, ramai pula puak-puak tikus nak membaiki labu masing-masing. Maklumlah tahun tikus atau rat. Tikus hitam, tikus putih, tikus kelabu asap semua menjadi mekanik labu masing-masing yang rosak teruk akibat tsunami Mac 2008 tahun tikus.


Tikus putih sudah bertukar foreman, tikus kelabu asap sudah MOU untuk naik tarafkan chief fitter, cuma tikus hitam yang masih pakai pomen lama kerana mungkin labu mereka special. Labu yang tak perlukan screw driver. Cukup dengan nut driver. Yea that nutty driver. Mungkin.


Sekarang mengikut calendar Cina adalah tahun lembu atau ox. Maka bergeraklah Gerak menarik isu lembu untuk mengandangkan Khalid Ibrahim MB Selangor. Nampaknya tahun ni, serangan dan tangkisan semuanya akan berbunyi moo, moo, moo.


Jangan ingat kalendar Cina tiada tahun katak atau frog, tiada pula isu YB lompat! Ada! Kan dalam nursery rhymes ada lirik the cow jumped over the moon...hey diddle diddle. Tinggi tu.


Bab kencing mengencing juga akan banyak kedengaran. Yelah, memang tabiat lembu, sambil mengunyah pun kencing. Bukan sikit-sikit. Busssss.....


Satu lagi lembu ni, kalau gatal atau ada tungau atau lalat kat mana-mana, dia libas je dengan ekor. Biarlah mata sendiri sakit ke. Batu sendiri bengkak ke. Telinga sendiri berdesing ke. Peduli apa. Politik beb.


Tahun depan adalah tahun harimau atau tiger. Jadi siapa pula nak bawa isu rimau dan untuk jatuhkan siapa? Mungkinkah cerdik pandai agama akan digunakan untuk mencakar rimau? Entahlah... jangan biarkan puak-puak seguru Ayah Pin, pengikut Hasan anak Rimau buat come back sudahlah.


Nampak gayanya Umno Kelantan kena tunggu 6 tahun lagi untuk geger semula dengan isu kambing jamnapari. Sekurang-kurangnya Dato’ Pa ada masa 6 tahun mengasah lidah untuk menyebut jamnapari dengan lancar.


Rujukan Wikipedia:

Chinese Astrology


The Twelve animals (十二生肖 shí'èr shēngxiào, "twelve birth emblems" or colloquially 十二屬相 shí'èr shǔxiàng, "twelve signs of belonging") representing the twelve Earthly Branches are, in order, the rat, ox, tiger, rabbit, dragon, snake, horse, sheep (or goat), monkey, rooster, dog, and pig (or boar).

.

Tuesday, January 27, 2009

Selamat Ulang Tahun Kak Yong

Bismillahirrahmanirrahim.

Puteriku yang paling manja Nur Syahidah Afifah genap 6 tahun hari ini.

Semoga Allah panjangkan umur dan selamatkan Yong dunia akhirat.

Walaupun bukan anak sulung, panggilan Yong diabadikan bagi mengingatkan kami semua akan tanah kelahirannya, Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

Kami semua sayang Kak Yong. Semoga menjadi insan yang solehah.


Wajah ceria Yong yang meminati komputer dan menggodek handphone. Cita-cita Yong nak jadi doktor. Abah setuju, nenek endorse.



Kek coklat pilihan Kak Yong yang boleh meng'tiom'kan mak saudara.



Ahli Kelab Tiga Beradik tekun bekerjasama membungkus goodies untuk meraikan kawan-kawan.



Talhah tidak menghampakan dalam acara makan kek.

.

Monday, January 26, 2009

Edisi Gerhana


Walaupun di kejauhan melampaui 2 marhalah, Gunung Kinabalu tetap gagah kelihatan. Namun masih tidak sanggup untuk menjadi khalifah di muka bumi.


Team Sembulan berkejar ke lokasi pilihan, tepian laut bersebelahan Sutera Harbour.




Berbekalkan kamera digital Olympus FE-360 untuk merakamkan fenomena seperti ini ibarat melempar anak batu ke arah Apache Israel. Tak nampak pun mana gerhananya.
.
Lebih kurang pukul 5.53 ptg dikatakan masa kemuncak untuk pemerhati dari Kota Kinabalu dengan peratus gerhana sebanyak 75.3%. Dan inilah yang dapat anak batu (baca: Olympus FE-360) ini rakamkan.
.


Saat matahari hampir terbenam, bulan berada di tengah-tengah matahari. Kelihatan bentuk annular matahari walaupun dilindungi awan berat.
.
Bulan berada di kedudukan 'apogee' pada orbitnya yang bujur. Oleh itu, cerah matahari tetap dominan walaupun ia kurang 25% daripada masa biasanya. Kota Kinabalu tidak bergelap seperti sesetengah kata-kata.
.
Jika 'bulan' mahu lenyapkan ke'dominan'an 'matahari', bulan perlu sentiasa berada pada kedudukan 'perigee' iaitu paling dekat dengan 'bumi' pada elip orbitnya. Lalu jika bulan, matahari dan bumi sejajar, kedudukan 'perigee' ini membuatkan bulan yang kelihatan besar dari bumi berjaya menutupi keseluruhan matahari. Tiada lagi cerahan daripada annulus yang tinggal.
.
Inilah caranya melawan makhluk yang besar. Dekatkan diri anda dengan pihak ketiga. Anda akan kelihatan besar. Lagipun lawan anda bukan jenis mendekati pihak ketiga, hanya proksi. Hanya proksi. Ada faham...
.

6.15 ptg lebih-kurang. Matahari dah terbenam. Giliran Asal dan orang Semenanjung pula.
.
Gerhana dikatakan paling jelas kelihatan di Tawau iaitu 81.9%. Melihat gerhana di Kota Kinabalu berbanding Tawau geografinya seperti Kuala Krai, Kelantan dan Sungai Udang, Melaka.
.
Talhah sudah gerhana, jom balik. Solatul Maghrib. Subhanallah.


.

Malam Amal Palestin di Kota Kinabalu

Bismillahirrahmanirrahim

Firman Allah,
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain). (Al-Baqarah 40)

Para pencinta Islam di Sabah sempat juga menyatakan sokongan dan kecintaan mereka kepada Palestin melalui program ad-hoc di Dewan Saadah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Sabah.

Mungkin suatu hari nanti, perasaan kecintaan kepada Palestin dan kebencian kepada pembunuh zionis dapat pula diluahkan di Stadium Likas ataupun Padang Bandaraya dengan KM Musa Aman menjadi kepalanya.

Tahniah dan terima kasih kepada yang bertungkus-lumus. Takbir.
.
Anak-anak PASTI keras menentang pembunuhan dan kezaliman melalui persembahan mereka.
.
Yong turut menzahirkan kecintaan kepada Palestin.
.

Sempat juga aku beli buku sebagai menambahkan kecintaanku pada Tok Guru Nik Aziz.
.

Friday, January 23, 2009

Mari Belajar Bahasa Arab


Tingkatan 2 Einstein. MRSM KB. 1986.


Cikgu Zul menyuruh kami membuat ayat dengan sekurang-kurangnya 3 perkataan.


Kalau last year, masa tingkatan satu, ayat 2 perkataan saja. Haza babun, hazihi ummun, haza kitabun, hazihi baqaratun saja.


Ramai yang kena berdiri. Sambil gelak sesama kawan.


Sampai giliran aku,


Al ma' fi al ga'si ...


Cikgu Zul angguk. OK la tu, almaklum top scorer yang tak dijangka-jangka untuk subjek Bahasa Arab semasa final semester form one. Bukan nak riak, tapi nak royak.


Sampai giliran Sebi (al-Fatihah),


Ma rabbbu ka ....


Nada dan gaya arwah yang memang konfiden dan bersahaja menggamatkan suasana dalam kelas. Cikgu Zul pun gelak, tapi dia tetap angguk.


Cerdik Sebi belaka. Doaku semoga beliau telah berjaya melalui soalan wajib ini.


Semoga aku dan kita semua akan berjaya melaluinya nanti.


Al-Fatihah untuk kawan-kawan yang telah pergi dulu. Sebi, Piye, Apik Besar, Zul Panje.

.

Tuesday, January 20, 2009

Good Luck Obama


Bush telah mendapat kasutnya.


Bagaimana dengan Obama?


Jika beliau buat-buat lembu kenyang tentang kezaliman Yahudi di Palestin, buat pekak badak tentang kejahatan tentera penceroboh di Iraq, buat bodoh tentang kegilaan Amerika dan macai di Afghanistan, masih kontrol hensem dengan isu nuklear Iran, tak mustahil lebih awal kasut akan melayang ke mukanya.


Saya pasti orang yang berani berbuat demikian akan di cop 'racist'.

Monday, January 19, 2009

Lamenting Edy

.

Early Saturday I received an sms from my Keningau friend.


"Sejak palistine d ceroboh lg, sy terima byk msg yg menyeru kita memboikot brgn dr israel & membaca surah2 tertentu. Msg tu pula di suruh forward pd 10 org lg. Napa x suruh goverment ja yg iklankan d tv1?Napa brgn israel msh d iklan d tv? "


I didn't answer the message because I could see the answer in the message itself.

Reform is imminent in Sabah and I think Keningau will be the turning point for that. No..... Not because of Dr. Jefrey Kitingan. It's because of decent everyday people like Edy, my dude.

.

Saturday, January 17, 2009

Sekular Atau Islamik ? Selamat Mengundi


Semua kita dan keseluruhan Melayu memang menyokong rakyat Palestin. Hanya yang betul-betul tak betul sahaja yang akan berhujah untuk israel.

Menjustifikasikan Israel perlu pertahankan diri daripada roket cokia Hamas dengan mengebom kediaman, membunuh anak-anak kecil dan wanita adalah tidak masuk akal.

Katakan sekarang ada pilihanraya kecil di Palestin kerana kematian YB nya yang diroket apache Israel, parti mana yang kita nak pangkah untuk selamatkan ummah Palestin ?

Fatah yang sekular dan korup dan mengikut telunjuk Israel serta takut nak mampus pada Israel dan hudud dan USA. Atau,

Hamas yang Islamik dan tak akan mengiktiraf Israel dan bakal diburu oleh Israel dan USA serta tak akan disukai oleh rakan sebangsa terutama firaun Mesir.

Jadi, hari ini penentuan.

Parti Fatah yang Islam dan Palestinian atau Hamas yang juga Islam dan Palestinian.


Undi adalah rahsia.

.

Thursday, January 15, 2009

Pakar Arab

.

Perang gila Israel ke atas rakyat Palestin berlarutan daripada 27 Disember sehingga ke hari ini. Cukup untuk membuatkan kita pun gila memikirkannya.
.
Kita lancarkan boikot ke atas barangan Israel dan Amerika. Tetapi masih ada sahabat kita yang tak putus puntung rokok di bibir. Masih ada yang sanggup berbual di Starbuck yang kopinya berharga 2 kali gaji sehari seorang kuli ladang di Sabah.
.
Kegilaan yang berpanjangan ini juga membuatkan ada di antara kita mula berfikir dari sudut yang lain. Mula melihat dari perspektif yang kononnya berbeza. Kononnya menampakkan kita cerdik, lain daripada orang lain.
.
Pagi tadi semasa memandu saya mendengar sebuah stesen radio pilihan utama membicarakan perang ini dari sudut bangsa Arab. Koresponden yang diterima banyak menyalahkan sikap dan perangai bangsa Arab.
.
Tetamu undangan, seorang perempuan menjadi pakar bangsa Arab. Orang Arab pendendamlah, tak boleh bersatulah, macam-macam sifat negatif yang dinyatakan. Contoh katanya, Aus dan Khazraj berdendam dan berperang seratus tahun lebih. Hinggalah Islam datang.
.
Puan, perang di Palestin bukanlah di antara Yahudi dan Arab. Kalau orang Palestin itu Banjar sekalipun, tetap akan dibom.
.
Mahukah kita jika sesuatu musibah berlaku, orang menyalahkan asal usul bangsa kita ?
.
Hah ! Padanlah, Melayu memang dengki sesama sendiri, tak boleh tengok orang lebih sikit. Atau,
.
Padan dah, Cina memang pentingkan diri sendiri, hamba duit. Atau,
.
Hah ! Kaki belit dan kuat mengampu, padanlah dibenci orang dan tak maju-maju India nih. Atau,
.
Padan dah, mat salih memang pemalas, tahu jadi tuan je. Cakap je banyak.
.
Mahukah?
.

Monday, January 12, 2009

Undi Pos Catat Sajarah ! Aku Tak Faham !

.

Hari ini undi pos bagi PRK Kuala Trengganu dikatakan mencatat sejarah. Makin tebal nampaknya Malaysia Book of Records.


Puncanya, agen parti dibenarkan berada di tempat pengundian. Agen Pas dan Umno tersenyum lebar dalam TV berpuas hati. Pembesar SPR pun nampak sedap bercakap.


Saya yang tercongok keboringan di bilik hotel ini menjadi semakin kabur kefahaman tentang demokrasi undi pos.


Saya ingatkan 1001 polis yang mengundi pos akan mengundi di ......... mungkin pedalaman Jeroco, Paitan, Tomanggong, Sipadan, Buckingham Palace atau di atas 2 batu dekat Pulau Batu Putih.


Tapi mereka mengundi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Trengganu.


Kenapa mereka tak tunggu 17 haribulan sahaja dan mengundi macam orang lain?


Mereka kan hari-hari dapat makang kepok losong sambil dok cakkong.

.

Sunday, January 11, 2009

Undi Pos Vs Undi Pas

.

Sebanyak 1302 kertas undi pos telah diedarkan.

1001 kertas undi untuk polis.

27 untuk tentera

7 untuk pelajar luar negara

267 untuk PETUGAS PILIHAN RAYA


Ini pilihanraya kecil, bukan pilihan raya umum.

Tak bolehkah SPR lantik orang Jertih, Kijal, Sauk, Teluk Ramunia, Guchil yang jadi petugas semasa mengundi pada 17 hb nanti?

Janganlah lantik orang Kuala Trengganu.

Biasanya undi pos payah benar jadi undi pas!

.

Saturday, January 10, 2009

Boikot Atau Mogok ?


Assalamualaikum.

Bagi saya memboikot janganlah jadi macam kita pula yang kena sekatan ekonomi. Itu tak boleh, ini tak boleh. Dah semua barang depa! Banyak dari US, kalau dari Israel tu senang cerita.

Saya bersetuju dengan boikot terpilih. Boikot barang-barang tertentu sahaja.

Puak dia pun macam satu batang tubuh juga. Pulas paha lembik kanan, sampai ke anak telinga sakitnya.

Boikot mesti berterusan. Bukan sekadar mogok atau ugut. Jadi bagi saya kena pilih betul-betul barang yang kita can live without it. Kita dan anak-anak kita. Keluarga dan masyarakat.

Barang-barang yang mencekik darah, mendatangkan bahaya, syubhat, takda faedah sangat inilah yang patut diboikot dahulu.

Kalau nak boikot USD, mulakan dengan menderma kepada rakyat Palestin dalam matawang selain USD. Kalau nak declare derma pun biarlah dalam RM.

Cadangan saya, kita mulakan balik dan promote CUTI UMUM hari JUMAAT untuk menjadi sebahagian daripada boikot kita.

Allahu A'lam.

Friday, January 9, 2009

Karpal Singh Penakut Tak Bertempat



Tak habis-habis cakap benda yang dia tak mahu dan tak tahu.

Kalau tak mahu, memang seribu dalih.

Kalau tak tahu, sepatutnya diam dan baca buku. Bukan meracau tak tentu kalu!

Kalau ada kawan-kawan Melayu Khairy Jamaluddin yang tak mahu hudud itu kita amat faham kerana hudud ter’applicable’ ke atas mereka. Itupun jika mereka mencuri, merompak, merogol, menzinah, membunuh, mensyirik jalikan Allah dengan menukar syahadah.

Kalau tak buat dan tak terlintas pun nak buat perkara jahat tu, buat apa takut. Orang yang membunuh adik Nurin Jazlin memang patut dibunuh balas. Itulah hudud. Undang-undang yang ada sekarang pun begitu.

Mengikut Karpal seperti yang dilaporkan mstar online, untuk melaksanakan hudud, prasyaratnya ialah penubuhan sebuah negara Islam seperti Arab Saudi di mana undang-undang Islam terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam.

Jadi, bahagian mana yang rakan bijaksana saya tak faham?

Hudud sebahagian daripada undang-undang Islam. Lain-lain hal seperti parking kereta, melanggar lampu merah, potong double line, menampar orang, menipu, skodeng, melarikan anak dara orang, melarikan diri dari lokap, tak pergi sembahyang jumaat, tak letak tanda harga, jual ayam atas harga siling, sorok gula, tipu timbangan getah sekerap pun ada undang-undang dia. Ada takzir, ada kisas. Yang mana sudah baik dan elok tu pastinya di’maintain’. Mana yang tak elok diperbaikkan untuk menjaga kepentingan ‘pelaku’ dan ‘mangsa’. Yang mana belum ada, diadakan. Inilah keadilan, inilah Islam.

Untuk bab yang tak puasa, tak sembahyang jumaat, tak berzakat, rakan saya yang bijaksana akan dikecualikan kerana belum Islam.

Sepatutnya sebagai seorang lawyer terbilang, tuan yang bijaksana tidak perlu risaukan kepada hukuman. Hukuman hanya untuk orang yang bersalah.

Tuan yang bijaksana sepatutnya risaukan proses pengadilan. Inilah keutamaan undang-undang Islam, tuan.

Tidakkah tuan yang bijaksana tahu perlantikan hakim dalam Islam pun perlu mematuhi syarat-syarat tertentu termasuk takutkan Tuhan, iaitu tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan dalam melakukan dosa kecil.

Mana mungkin hakim yang takutkan Tuhan ini terlibat dengan isu-isu rasuah, correct-corect, bercuti ke luar negara dengan lawyer, tak adil, berat sebelah, pilih bulu, pilih perempuan, berzina, melanggan pelacur, mabukkan diri ....

Kalau tuan seorang pejuang demokrasi, Islamlah juara demokrasi, kalau tuan pejuang keadilan, Islamlah penganjur keadilan, kalau tuan pejuang kebebasan, Islamlah yang merobohkan tembok pengabdian sesama manusia.

Jadi tuan yang bijaksana, tunggu apa lagi? Segeralah ke mana-mana kedai buku yang berhampiran untuk mencari bahan bacaan berkaitan.

Apa yang tuan takutkan sebenarnya? Islam, orang Islam, agama, negara, sekularisma, hudud, qisas, takzir, taakhir? Taakhir itu sembahyang yang disatukan iaitu Zohor dan Asar dalam waktu Asar dan Maghrib dan Isyak dalam waktu Isyak, bukannya undang-undang. Sebab itulah saya anjurkan tuan ke kedai buku. Maksudnya tuan tak boleh merapu tentang perkara yang tuan tak tahu hujung pangkal. Seperti saya yang tak pernah berniat nak merepek tentang Sikhism kerana memang saya tak pernah study apa-apa mengenainya. Adil ?

Jika tuan yang bijaksana telah baca, tahu, faham, dan masih dapati Islam ini hodoh, tak adil, korup, outdated, tak cool. Masa tu tuan nak cakap apa pun, cakaplah. Cakap tuan tak akan memberi kesan sedikitpun kepada agama Allah ini. Cuma saya akan cakap satu sahaja,

HIDAYAH.

Keberanian bukanlah berdepan bertekak dengan backbenchers atau Ibrahim Ali dalam Parlimen atau dengan Pegawai Pendakwa di Mahkamah.

Keberanian sebenar ialah berdepan dengan diri sendiri dalam mengawal krisis akal dan nafsu demi mencari kebenaran yang tak akan berakhir sehinggalah ke hari kita dimatikan untuk menemui Pencipta kita.

Ingatlah hari dimana tak terpakai 'benefit of the doubt' kerana yang berhujah bukanlah mulut dan otak kita, tetapi anggota-anggota tubuh badan kita termasuk kulit.

Sebab itulah Islam tidak memandang warna kulit. Dan Islam pun bukan untuk warna kulit tertentu sahaja.

Allahu Akbar!

Thursday, January 8, 2009

Salsabila dan Palestin

,

Semasa menjemput Salsabila dari sekolah selepas habis kerja, saya mengambil peluang menasihatinya.

Saya katakan, Kakak kena bangun awal, bersiap awal. Kalau Mama kejutkan, terus bangun, mandi, pakai baju sekolah. Kesian Mama, kalau kena hantar Kakak ke sekolah agama lagi, hantar Yong ke Pasti lagi, baby kecil lagi, kena masak lagi, siap rumah lagi, hantar Kakak sekolah SK lagi.

Kalau Kakak awal, pagi abah boleh hantar, kalau lewat nanti abah masuk kerja lewat. Nanti kena marah ke bos abah.

Begitu berdiplomasi saya berucap dalam kereta, sambil menunggu api hijau. Yalah, saya kenal sangat dengan Salsabila. Dia tak suka dipaksa. Cakap kena lembut-lembut.

“Kalau Kakak ada kuasa kan bagus.....Kakak boleh ada sayap,” Salsabila bersuara apabila saya berhenti berucap.

“Kakak terbang je ke sekolah..... kan abah?” Tambah Salsabila.

“Kenapa Kakak fikir sampai macam tu?” saya bertanya balik.

Memang saya tahu ini mesti pengaruh kartun. Salsabila memang hantu kartun, semua dia tak miss. Hagemaru, Ninja Boy, Popeye, Detective Conan, Sergeant Keroro, Kyo Kara Maoh, Slam Dunk, Yakitate! Japan, B-Daman Fire Spirit, Digimon, Doraemon, Pokemon, Postman Pat, Bob the Builder, Jim Jam and Sunny, Fiffy and The Flowetots, Spiderman ............. asalkan Kartun dan Anime, semua dia tengok. Itupun nasib baik saya dah unsubscribe Cartoon Network. Kalau tak, sayapun join sama.

“Kalau boleh terbang, abah tak payah hantar Kakak. Abah tak lewatlah ke pejabat,” senangnya solution anak-anak.

“Kalau hujan macam mana?” Saya saja menduga.

“Kakak gunalah kuasa untuk lindung hujan”

Salsabila, abahpun kalau ada kuasa, abah pergi fire macam Ultraman semua pengganas Yahudi di Palestin termasuk pemimpin Fatah dan Negara-negara Teluk yang mangkuk ayun.


Tuesday, January 6, 2009

2 Anak Soleh

Assalamualaikum

Selamat kembali ke sekolah kepada anak-anak.

Masing-masing ibubapa menumpukan kepada anak masing-masing. Ada baiknya juga sekali sekala kita hiraukan anak-anak orang lain sama. Yang baik dikongsi. Yang buruk disempadani. Yang banyak dibahagi. Yang sedikit dikongsi. Senang pakat dinikmati. Susah pakat dibebani.



Wajah-wajah riang. Salsabila ceria bersama kawan-kawan.



Jalan jem. Masing-masing bersemangat menghantar anak-anak direct to the teachers' laps.



2 anak menyantuni ibu tersayang. Semasa melepasi kereta saya yang terperangkap di dalam kesesakan, saya dapati ibu mereka mempunyai masalah penglihatan. Sebab itulah si ibu berpaut kejap pada si abang sambil memimpin si adik. Mendekati sekilometer kemudian, saya melihat mereka sedang menunggu di perhentian bas. Berapa jauh lagi perjalanan mereka ke rumah?

Saya doakan abang dan adik terus menjadi anak yang soleh.

Ya Allah. Murahkanlah rezeki mereka dunia dan akhirat. Amin.

Monday, January 5, 2009

Duta Palestin Men ‘Bukit Antarabangsa' kan Gaza


Allah selamatkan Palestin.

Bila MANGKUK sudah berayun,
Piring dan cawan terpana membisu,
Bangsa dan agama penggerak lakun,
Politik sempit mengatasi isu.

Simpati rakyat Malaysia yang mencurah-curah kepada mangsa tragedi Bukit Antarabangsa baru-baru ini tercalar teruk akibat hilang sabarnya seorang mangsa yang menyatakan rasa tidak puas hati beliau terhadap pasukan penyelamat dan lain-lain di depan YB Azmin Ali. Apalagi bila TV3 mengambil peluang menyiarkan berita YB Azmin Ali terpana-pana mengawal macho di depan hamba Allah yang persis dirasuk melampias kemarahan itu.

Duta Palestin ke Malaysia, Abdel Aziz Abu Ghoush semacam histeria mengarahkan peserta-peserta demo anti Israel anjuran beberapa NGOs dan Pemuda Umno menurunkan gambar Ismail Haniyeh, Al- syahid Sheikh Ahmad Yassin dan Al-syahid Sheikh Rantisi baru-baru ini. Alasannya dia tidak mahu percecahan antara rakyat Palestin. Yalah, tak semua orang sokong Hamas. Menurutnya, Hamas is a part of my people, targeted by the Israelis...

Apa isu besar di sini? Keganasan Israel atau kesatuan rakyat Palestin?

Kalaupun kesatuan rakyat Palestin menjadi isu utama, Ismail Haniyeh, Sheikh Ahmad Yassin dan Sheikh Rantisi itulah idola dan pencetusnya. Rakyat Palestin memilih mereka dalam pilihanraya.

Biarlah sesiapapun menggunakan sesiapa saja untuk menaikkan semangat mereka bagi menentang musuh yang satu. Kalau muka Mamoud Abbas yang dapat menaikkan semangat mereka biarkan. Katakan ada puak yang hanya dengan mengangkat gambar Ibrahim Ali mereka jadi bersemangat, biarkan saja. Apa masalahnya?

Samalah dengan Chua Soi Lek, kalau dia gunakan viagra atau sensaoil atau makjun petani atau kopi janda untuk naikkan libidonya, peduli apa kita. Matlamatnya untuk bersama isteri yang halal.

Kenyataan dan histeria Abdel Aziz Abu Ghoush diharap tidak sepicing pun akan mengurangkan simpati dan sokongan kita semua kepada rakyat Palestin.

Abdel Aziz Abu Ghoush yang sepatutnya lebih sensitif dengan menerima cek sumbangan rakyat Malaysia di beranda kediamannya daripada orang lain. Bukannya daripada Khairy Jamuluddin yang sedang bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno dan P036 Kuala Trengganu.

Hampeh...

Saturday, January 3, 2009

Macam Yahudi Tua Tanpa SMS


Salam.


Orang Madinah Tertunggu-tunggu kedatangan Muhammad. Macam mana rupanya. Orang kata akhlaknya terpuji, santun, berjurus. Fizikalnya handsome, segak, macho. Hebat.


Itulah apa yang didengari daripada cakap mulut ke mulut. Dalam kitab injil, taurat pun ada cerita fasal ciri-ciri Nabi akhir zaman.


Lalu orang Madinah composekan lagu selawat yang cukup indah dan menjadi hit sampai sekarang untuk sambut orang yang dinanti, walaupun tak pernah dilihat rupa parasnya sebelum ini.


Sekarang, untuk orang yang jahil politik, bila nama Wahid Endut diistihar jadi calon Pas, terus boleh google wajahnya. Boleh tahan, handsome lagi daripada Wan Farid. Pas 1- Umno-0. Kemenangan pertama.


Google lagi Wahid Endut, dapat tengok pula dia diseranah babi, setang, gile, iblis, nattang dan diajak goccoh oleh Adun Kijal sedikit masa dulu dalam DUN Trengganu di Youtube kerana.....ah! google lah sendiri, saya ada the whole CD, beli kat PUTIK, sapa nak pinjam? Speaker dewan pulak buat diri dia sendiri (baca: buat bodoh) je. Google Adun Kijal, laaa...MB Tranung ler ning rupanya. Ish ish ish..... dia ni hok beli Mecedih baru ni rupanya.


Tu maklumat untuk orang yang berpolitik hanya 5 tahun sekali atau hanya bila ada anak YB jadi yatim. Walaupun jahil politik, tapi dapat balik semua maklumat melalui internet, paper, tv, radio, sms, mms, majalah, library, kedai kopi.


Jadi, adakah orang yang mengata buruk tentang Muhammad Rasulullah S.A.W itu jahil maklumat? Kalau jahil maklumat, maklumat negatif tu dari mana dia dapat?


Sudah pastinya dia berniat provokasi. Menghasut. Menyebarkan kebencian. Hukuman untuk kesalahan ini ada termaktub di dalam undang-undang negara kita. Kalau tanya ramai orang termasuk Dr. Maamor dan Pewaris mungkin depa kata ISA je (mungkin tidak). Tanya Raja Petra, mungkin dia kata Akta Hasutan kan ada. Tanya Theresa Kok... tak payah tanyalah, ke lain pulak dia struggling membebel. Tanya saya, saya kata, ada akta takda tertuduh buat apa. Nak tuduh anonymous? Yang lebih terrorist mungkin kata baling saja dengan kasut!


Yahudi tua yang tiada handphone 3G dan tiada Astro mengata Rasulullah di sepanjang jalan walaupun orang yang menolong dia itulah Rasulullah S.A.W. itu memang jahil. Tetapi apabila mengenali Rasul S.A.W yang mulia, dia terus beriman.


Sama-samalah kita jalankan kewajipan kita.


Bloggers - Keep blogging the truth.


TV1, TV2, TV3, Astro dan rakan-rakan - Nyatakan kebenaran dan kebaikan Islam dan hukum hakamnya. Mungkin kerana takutkan hudud lah mereka memaki dan memfitnah Nabi kita. Yalah, sebab Nabi S.A.W lah yang mula-mula menyatakan kewajiban hudud. Jadi kalau anda pun menyebarkan kebencian dan kesangsian tentang hukum ini.....anda fikirlah sendiri.


Ibu bapa - Jaga anak baik-baik.


KT folks - Undilah parti yang nak menegakkan Islam.


Takbir.


.


Friday, January 2, 2009

Hidup Palestin !


Hidup Palestin !

Untungnya mereka kerana dicari syahid.

Kepedihan melihat anak-anak dan orang tua kesejukan, kebuluran, terlantar kesakitan tanpa ubat rupanya tidak cukup. Bedilan roket dan hujan peluru mungkin juga tidak cukup untuk memenuhi nafsu dan selera Zionis dan proksi durjana.

Kelukaan akibat tindakan rakan seIslam yang terangan bersifat munafik lebih dalam daripada luka tindakan kejam tak bertamadun Yahudi dan proksi laknatullah. Sabotaj si munafik sememangnya tidak berhenti di Badar, mereka menggigit luar dalam. Tak berhenti.

Yang perlu berani untuk bertindak dan bercakap sebenarnya kita. Bukan mereka yang sudah berzaman mempertahankan Baitul Maqdis. Sedang tidurpun mereka boleh kena bom. Balik sembahyang subuh pun mereka boleh terkena roket.

Kita yang perlu berani. Kita dan ketua-ketua kita.

Betullah kata pejuang hak asasi kulit hitam Amerika, Martin Luther King Jr. suatu ketika dahulu,

"In the End, we will remember not the words of our enemies, but the silence of our friends."



Ya Allah. Semoga apa yang berlaku ini menambahkan keyakinan kami pada janji Akhirat dan Hari Pembalasan Mu.


.

Thursday, January 1, 2009

Cikgu Zaitun


1996

Semasa melabuhkan punggung ke kerusi Boeing 737 ke Kota Bharu, tergetus hatiku. Wah! lawanya gadis di sebelah aku ni!

“Balik mana?” aku membuka bicara.

“Pasir Tumboh,” jawabnya sambil tersenyum. Memang cantik.

“Abe nak balik ke mana?” Giliran dia bertanya padaku.

“Kuala Krai.....Guchil,” aku menyatakan Kuala Krai dahulu kerana orang Kota Bharu lebih mengenali Guchil Kota Bharu daripada Guchil Kuala Krai.

“Saya pernah duduk di Guchil masa kecil dulu. Mak mengajar di Sekolah Guchil,” mungkin perkataan Guchil mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak kepada gadis ini, dia kelihatan berminat apabila Guchil disebut.

“Siapa nama mak?” Tanyaku.

“Cikgu Zaitun.”

Kali ini aku yang kembali ke zaman kanak-kanak. Cikgu Zaitun 2 tahun menjadi guru kelasku. Darjah 2 Putih 1980 dan 3 Putih 1981. Cikgu Zaitun baik orangnya. Yalah, kadang-kadang dia baran juga. Biasalah tu, cikgu. Apatah lagi mengajar budak-budak . Aku masih ingat semasa darjah 3, patah pembaris kayu guru semasa dia menyebat belakang Asmawi, rakan sekelasku. Terkejut juga Cikgu Zaitun dibuatnya. Cepat-cepat dia meminta maaf kepada anak muridnya yang memang agak nakal dan babir itu. Yang lucunya, bahagian yang patah itu diberikan pada Asmawi sebagai kenangan.

Cikgu Zaitun cantik dan bergaya. Kulitnya putih. Rambut hitam berkilat paras bahu ( Awal lapan puluhan bilangan cikgu yang pakai tudung tak boleh dibilang dengan ibu jari pun. Memang tak ada! ). Tidak keterlaluan jika aku katakan wajahnya ada iras penyanyi sensasi Madonna. Ya, ada wajah keibuan. Cikgu Zaitun baik denganku, mungkin kerana aku selalu top dalam subjek yang diajarnya iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains Awalan. Aku juga muncul nombor satu di dalam kelas pada setiap peperiksaan penggal.

“WN 3535 ada lagi?” tanyaku kembali kepada si gadis.

Aku faham riak kejutan di wajah gadis itu. Yalah, macam mana aku boleh tahu pasal kereta Toyota Corolla biru keunguan milik keluarganya. Apa lagi menghafal nombor pletnya. Merasakan tidak patut membiarkan gadis itu terus berkerut, aku memberitahu.

“Mak awak guru kelas saya dulu.”

Gadis itu tersenyum faham. Dia mula bercerita.

WN 3535 masih digunakan. Mak ibu tunggal sekarang. Ayah sudah meninggal. Dia sekarang di pusat persediaan di Shah Alam sebelum menyambung pelajaran ke luar Negara. Mak sekarang mengajar di sebuah sekolah di Kubang Kerian. Sekarang mak sudah mengajar budak darjah 5 dan 6. Senang sikit katanya mengajar budak besar yang sudah pandai membaca.

Memang semasa darjah 6 Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil (SKBG), kami sekelas 6 Merah dapat mendengar jelas suara Cikgu Zaitun dari blok bersebelahan menuturkan A B C kepada pelajar-pelajar yang baru mengenal alam persekolahan. Tekun sungguh Cikgu Zaitun.

“Kirim salam kat mak ya,” kataku setelah si gadis selesai bercerita.

“Nama apa ?” Cerita punya panjang, nama pun belum tahu.

“Katakan budak yang kena lucut ketua kelas semasa darjah 3,” kataku sambil tersenyum.

Maksudku berkata begitu bukan kerana dendam. Tetapi sebagai pencetus memori kepada seorang cikgu. Masih ingatkah dia? Kalau aku jadi cikgu pun aku akan lucutkan jawatan ketua kelasku. Yalah, guru masuk tidak bersambut salam. Guru keluar tidak berterima kasih. Ketua kelas apa! Akhirnya jawatan ketua kelas jadi milik Rodhiah, budak putih gebu yang baru pindah dari Sekolah Sultan Yahya Petra (SYP).

Semasa turun kapal terbang. Sang gadis memberitahuku,

“Ma ada di terminal sekarang, datang jemput saya.....” aku faham maksud gadis itu untuk mempertemukan aku dengan cikguku yang sudah lama tak berjumpa.

“Takpalah. Katakan Ramli kirim salam.”

Bukan aku tak mahu bertemu mata dengan guru yang aku kasihi, tetapi biarlah kegembiraan seorang ibu tunggal bertemu anak perempuan yang berada jauh di perantauan tidak dirojakkan dengan memori lampau yang bercampur pahit manisnya.


.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...