Monday, February 28, 2011

2 Tempat Yang Cukup Menginsafkan di Dunia

Subhanallah
Hari ini, seawal pukul lapan aku telah berangkat ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. Ada sebutan kes hari ini. Ruang mahkamah penuh sesak dengan pendakwa dan pembela. Hingga tak cukup kerusi.

Sementara menunggu kes aku dipanggil, bermacam-macam kes dapat aku saksikan. Bermacam-macam orang yang dihadapkan ke muka pengadilan terhadap perkara yang telah mereka sengaja atau tidak sengaja lakukan.

Orang kena tuduh dan kena saman bersilih ganti. Ada yang masih juvana, ada seorang ibu dengan baju tahanan, ada bapak orang, ada majikan, ada remaja dan bermacam-macam lagi. Keadaan cukup menginsafkan. Itu belum lagi di padang masyar kelak. Di mana tiada wang yang dapat membayar denda, kecuali pahala amalan baik yang telah kita kerjakan di dunia dan syafaat Nabi Muhammad S.A.W.

Di sebelah petang, aku mendapat berita yang  kawan sepejabat kami sedang berada dalam keadaan kritikal di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Maha Suci Allah. Semuanya di dalam aturan Allah. Baru semalam aku diberitahu beliau ditahan di wad apabila pergi ke hospital kerana masalah sakit tekak sehingga hilang suara. Siapa sangka hari ini beliau kritikal kerana ramai menyangka beliau hanya sakit tekak.

Di wad, aku dapat melihat sekujur tubuh beliau yang terbujur kaku dengan dibantu alat pernafasan manual oleh seorang doktor yang tidak jemu-jemu mengubati pesakitnya. Beliau seterusnya di masukkan ke ICU untuk rawatan yang lebih intensif dan sempurna.

Melihat isterinya yang tabah beserta anak-anak kecilnya membuatkan hati terlalu hiba dan sayu. Yang sulung, perempuan, di tahun 2, sekelas dengan anakku Yong. Mengikut Yong, dialah yang mendapat nombor satu dalam kelas tahun lepas. 3 lagi adik-adiknya masih belum mengerti apa-apa. Tidak terbayangkan jika aku yang berada di situ, terbaring kaku, tidak sedar lagi apa yang berlaku di sekeliling. Minta dijauhkan Ya Allah.

Ramai lagi pesakit-pesakit lain dengan berbagai-bagai kesakitan dan kecederaan yang cukup menginsafkan. Melihat waris-waris yang datang dan menunggu sehinggakan ada yang berkampung terutama di luar wad ICU amat-amat mengusik hati dan perasaan.

Ya Allah, Engkau sembuhkanlah mereka ini terutama kawan aku Mohd. Nasir. Jadikanlah kesakitan ini sebagai pembersih dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Jadikanlah kami semua daripada golongan orang yang beriman. Ya Allah, Engkau izinkanlah Mohd. Nasir untuk kembali ke rumah untuk mengasuh anak-anaknya menjadi anak yang soleh. Amin. 

Sunday, February 27, 2011

Hindari Fitnah

Ada orang cakap, hanya di bulan
tiada rasuah, betul ke?
Kawan aku, seorang penguatkuasa diajak pergi bersarapan oleh rakan sepejabat.

"Boleh, tapi ada satu syarat," katanya.

"Apa ni? Nak breakfast pun ada syarat?" Si kawan kebingungan.

"Ada, mung kena pakai jaket jabatan," begitu syarat kawan aku.

"Kenapa pula?  Kita bukan nak keluar pergi inspection ni, pakai jaket jabatan buat apa?" Si kawan semakin kebingungan.

"Mung tu cina, kalau kita breakfast semeja, nanti orang ingat towkay cina belanja aku... Dah, pergi pakai jaket," kawan aku memang begitu, tegas, adil dan berhemah.

Friday, February 25, 2011

Pengajian Sastera Jumaat : INTERLOCK

Don't know what I'm doing here
I'll carry on regardless
Got enough money for one more beer
I'll carry on regardless

Good as gold, but stupid as mud
He'll carry on regardless
They'll bleed his heart 'til there's no more blood
But carry on regardless

Carry on with laugh
Carry on with cry
Carry on with brown under moonlit sky
.
Suasana dalam Mahkamah Sesyen Shah Alam hari itu langsung tidak menarik perhatian Velu. Sebaliknya lirik lagu Good as gold (But stupid as mud) dendangan The Beautiful South yang menjadi siulannya dulu-dulu bermain-main di benaknya. Seakan-akan Paul Heaton penyanyi yang berwajah mirip pelawak Robin Williams itu sengaja mahu menambahkan kekusutan minda Velu dengan kata-kata yang membuatkannya meratap mengasihani diri sendiri.

Velu memandang segalanya dalam mahkamah dengan pandangan kosong. Dia tidak berminat untuk mengambil tahu masalah dan kes orang lain. Dia hanya menunggu kesnya dipanggil. Satu penantian yang dirasakan terpanjang dalam hidupnya. Mahu tidak mahu dia terpaksa membatukan diri di galeri awam sambil matanya bagaikan mata ikan kering memandang batang tubuh yang silih berganti keluar-masuk dalam kandang tertuduh di perut mahkamah itu.

Semuanya kerana interlock! Sebelum ini dia tidak kisah dan tidak mahu ambil tahu perihal interlock, walaupun dia cukup arif apa itu interlock. Sudah berpuluh aduan dan sungutan yang diterimanya berkaitan interlock.Tetapi Velu hanya membiarkan sungutan dan aduan itu berlalu pergi begitu sahaja.

Ah! Dua-tiga hari diamlah mereka. Yang penting mereka dapat duit. Bentak hatinya. Keras.

Tapi kali ini interlock betul-betul telah memberikan tekanan kepadanya. Interlock telah membuatkan dia terpaksa hadir ke mahkamah pada hari ini. Siapa mahu hadir di mahkamah untuk dibicarakan? Dibayar sepuluh ribu pun Velu tidak sanggup. Bahkan dia sanggup membayar untuk tidak perlu menghadirkan dirinya ke mahkamah. Tapi nasi sudah menjadi bubur. Sekarang ini, di sinilah Velu terpaksa duduk diam-diam, di galeri awam Mahkamah Sesyen Shah Alam, menunggu kesnya dipanggil dalam keadaan dia tidak mampu berbuat apa-apa selain diam membatu!

Paul Heaton bernyanyi lagi di dalam benaknya. Ah! Diamlah engkau. Jangan cuba nak perdaya aku. Aku bukan mangsa di sini. Sebaliknya akulah pemangsa. Aku yang perlu menginsafi diri. Jangan dendangkan lagi lagu itu. Lagipun The Beautiful South sudah berpecah. Jangan buatkan seolah-olah aku sedang cuba mencari belas kasihan orang lain dengan berlagak sebagai mangsa. Velu berperang hebat seorang diri.

Beberapa malam yang lalu, Velu mengajak kawannya Rais keluar minum. Sebenarnya Velu ingin berkongsi masalah dengan Rais, kawan baik yang paling memahaminya itu. Mereka sama-sama tinggal sebilik semasa menuntut di Universiti Malaya dahulu.

“Takkanlah kerana Interlok kamu kena dakwa di mahkamah?” Tanya Rais lagak terkejut apabila Velu memberitahu tentang saman yang diterimanya.

“Kau tak percaya?” Velu menjawab dengan menyoal balik.

“Ramai lagi orang yang hadir semasa demonstrasi membakar novel Interlok hari itu. Kenapa hanya engkau yang kena? Lagipun engkau hanya pergi ke situ untuk meramaikan orang sahaja. Tanda menyokong,” Rais berkata lagi dengan nada yang cukup tidak puas hati. Sedikit sebanyak sikap mengambil berat Rais terhadapnya membuatkan Velu terasa lapang dan selesa setelah berhari dia menjeruk rasa dengan isu interlock. Tetapi malang, Rais silap faham. Bukan Rais sahaja, ramai sudah orang yang tersilap faham apabila Velu memberitahu mereka tentang kes saman terhadapnya.

“Inilah silapnya demokrasi kita. Tak ada ruang untuk menyatakan pendapat langsung. Kau pun satulah Velu, yang engkau pergi turut serta dalam demonstrasi membakar Interlok hari tu siapa suruh? Biasanya engkau tak minat demo-demo ni. Lagi satu, engkau dah baca ke belum buku Interlok Abdullah Hussain tu?” daripada menyatakan rasa tak puas hati, nada Rais sudah bertukar menjadi semacam membebel pula. Velu rasa lebih baik dia menerangkan hal sebenar kepada Rais sebelum rakannya itu melalut lebih jauh lagi.

“Memang aku belum baca novel Interlok tu. Tapi bukan buku itu isunya”, kuat suara Velu.

“Kalau bukan Interlok, apa isu sebenarnya?” Tanya Rais kehairanan.

“Interlock,” jawab Velu.

“Dei macha.... Apa ni, sekejap Interlok, sekejap bukan Interlok, sekejap Interlok balik. Aku serius ni,” Rais tak sabar lagi dengan cakap Velu yang dirasakan semakin berbelit-belit.

“Bukan novel Interlok, tetapi interlock, interlock pada mesin power press di kilang aku. Sekarang ada faham?” Beritahu Velu sungguh-sungguh.

Velu yakin Rais dapat memahami apa yang dia sedang cuba sampaikan kerana mereka sama-sama belajar kejuruteraan mekanikal dahulu. Lagipun Rais sebagai seorang konsultan mekanikal dan elektrikal semestinya lebih afdal untuk memahami erti interlock daripadanya. Kalau itupun dia tidak faham, kelayakan Rais sebagai konsultan M&E boleh dipertikaikan. Itu fikir Velu.

“Mesin power press engkau tak ada interlock ke?” Tanya Rais terkejut. Sememangnya sebagai seorang jurutera mekanikal dia faham sangat keperluan memasang interlock pada mesin power press. Mengikut The Free Online Dictionary, interlock bermaksud a mechanical device that prevents a component from functioning when another component is functioning or situated in a particular way. Secara umum dan kasarnya interlock ialah suatu peranti yang dipasang pada sesuatu mesin agar ianya dapat memberhentikan operasi mesin tersebut secara otomatik apabila sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan terjadi. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kemalangan daripada berlaku.

“Interlock inilah yang paling penting untuk mesin power press engkau Velu,” kata Rais kesal. Velu akui kebenaran kata-kata Rais.

Kilang yang Velu usahakan adalah kilang mengeluarkan sprocket iaitu gear basikal dan motosikal. Kepingan besi empat segi akan ditukar menjadi bentuk bulat bergigi dengan menggunakan mesin power press. Bentuk bulat bergigi ini dibuat dengan menghentakkan kepingan besi ini tepat dari atas dengan kekuatan beberapa ekor gajah bergantung kepada ketebalan kepingan besi.

Kemalangan yang berlaku adalah kerana semasa hentakan mesin power press ke bawah, tangan pekerja yang mengendali power press masih berada di dalam kawasan hentakan. Sekiranya ini berlaku, alamat putus atau hancurlah tangan pekerja yang malang itu. Dan hari ini Velu berada di mahkamah kerana perkara ini telah berlaku di kilangnya.

“Kes no SA 63-12-2010, PP melawan Vadivelu Sprocket Industries Sdn. Bhd,” suara lantang jurubahasa mahkamah mengejutkan Velu daripada lamunannya. Dengan longlai Velu melangkah ke tepi kandang tertuduh dan berdiri tegak di situ. Perasaannya ketika itu tak terucapkan olehnya. Kalau boleh biarlah semuanya cepat berlalu.

Sebutan kes terhadap Velu dikendalikan oleh seorang pegawai OSHA yang bertindak sebagai pegawai pendakwa di bawah peruntukan Seksyen 377(b) Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan mana-mana pegawai kerajaan yang layak menjalankan pendakwaan di mahkamah.

Pertuduhan dibacakan. Velu telah dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, iaitu gagal memastikan setakat yang praktik keselamatan dan kesihatan pekerjanya semasa mengendalikan mesin power press sehingga menyebabkan kemalangan ke atas Jamil Bin Abdul Hamid.

Velu sungguh-sungguh kesal. Jamil adalah pekerjanya yang paling berkebolehan. Paling setia dan paling rajin. Semasa kilang itu mula-mula dibangunkan oleh Velu tiga belas tahun lalu, Jamil yang banyak membantunya. Jamillah yang bekerja sehingga lewat malam kerana terpaksa menyiapkan tempahan sprocket daripada pelanggan. Kadang-kadang Velu terpaksa berhutang gaji dengan Jamil kerana kesuntukan modal. Memang jasa Jamil telah banyak membantu membangunkan kilang Velu. Sekarang tangan Jamil sudah hancur dilenyek mesin power press. Jamil sudah hilang upaya. Mustahil Jamil dapat bekerja di situ lagi dengan hanya tangan kanan sekerat siku. Rasa bersalah Velu semakin menebal apabila teringatkan anak-anak Jamil yang ramai dan isteri Jamil yang tidak bekerja. Pastinya mereka amat memerlukan tangan kanan Jamil yang telah hancur dibaham mesin power press itu untuk meneruskan kehidupan mereka.

“Adakah kamu faham pertuduhan yang dibacakan?” Tanya jurubahasa mahkamah setelah selesai membacakan pertuduhan.

“Ya,” jawab Velu sambil menganggukkan kepala.

“Adakah kamu mengaku bersalah?” Tanya jurubahasa mahkamah lagi dengan matanya memandang tepat ke dalam mata Velu.

Memang Velu akui dialah yang bersalah. Sebelum ini dia tidak berasa begitu. Setelah apa yang terjadi ke atas Jamil, pekerja yang juga rakan karibnya, barulah dia sedar akan kesalahannya. Sebelum ini bukan power press di kilangnya tidak pernah memakan tangan orang. Seorang pekerja Bangladesh telah putus 2 inci jari telunjuknya setahun lepas. Tetapi Velu berjaya menyembunyikan dan mendiamkan kes tersebut. Pekerja Bangladesh itu dihantar pulang ke negaranya dan diberikan sedikit pampasan untuk menutup mulut. Selepas itu seorang gadis belasan tahun yang sedang menunggu keputusan SPM telah putus 2 jari kanan. Bersusah Velu membiayai kos perubatan gadis itu dan mempengaruhi gadis itu dan keluarganya supaya tidak melaporkan kemalangan itu ke pejabat OSHA. Jika dilaporkan juga, gadis itu yang akan mendapat susah kerana dia yang bekerja secara cuai dan tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak kilang. Itu kata-kata amaran Velu kepada gadis itu dan keluarganya yang tinggal melarat di sebuah estet. Memang senang memperdayakan orang miskin dan tidak berpelajaran. Apatah lagi bila dihulurkan kepada mereka sejumlah wang. Sekarang apabila memikirkan perkara itu, Velu ingin sahaja menyumpah dirinya sendiri.

“Adakah kamu mengaku salah?” Suara jurubahasa mahkamah lebih lantang kali ini apabila Velu diam membisu.

Velu mengangguk.

“Ya. Saya mengaku,” itu sahaja yang Velu termampu ucapkan. Matanya memandang tepat ke lantai kerana dia tidak sanggup melihat sesiapa lagi ketika ini.

Fakta kes dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan Velu mengangguk mengakui fakta yang dibacakan. Hasratnya Cuma satu, biarlah semuanya berakhir dengan cepat.

“Apa rayuan kamu?” Suara parau Tuan Hakim menembus tepat ke jantung Velu.

Semalam Velu sudah menghafal beberapa skrip rayuan untuk mengurangkan hukuman di hadapan hakim. Tetapi hari ini semuanya hilang. Velu yang petah bercakap dan selalu menang berbahas di kedai kopi hari ini sedang bersusah payah menyusun ayat untuk menyelamatkan diri di hadapan seorang hakim mahkamah sesyen.

“Errr...Minta dikurangkan denda tuan. Bisnes kurang baik, saya pun dah insaf tuan,” itu sahaja yang mampu Velu keluarkan dari kerongkongnya.

Giliran pegawai pendakwa pula bangun membuat hujahan. Habis diungkitkan oleh pegawai berkaca mata itu tentang kemalangan-kemalangan lalu yang telah terjadi di kilang Velu dengan dikemukakan dokumen-dokumen pembuktian yang tidak dapat disangkal lagi. Kedegilan Velu untuk menurut arahan pegawai OSHA juga dibuktikan dengan notis-notis yang telah dikeluarkan oleh pegawai OSHA semasa pemeriksaan kilang yang tidak pernah diendahkan oleh Velu selama ini. Velu mencuba sepositif mungkin untuk mendengar hujah pendakwa muda yang sedang membalunnya kerana dia akui semuanya benar belaka.

“Pihak pendakwa memohon mahkamah yang mulia ini menjatuhkan hukuman yang seadil-adilnya kepada Orang Kena Saman,” pegawai pendakwa menutup hujahnya dengan yakin.

Velu berasa amat kecewa dan malu dengan dirinya sendiri sekarang. Bukan setakat dia telah gagal memastikan keselamatan penggunaan mesin power press, bahkan dialah yang telah mengarahkan agar power press di kilangnya diubahsuai.

Sebenarnya power press yang dibeli oleh Velu kebanyakannya telah tersedia dengan ciri-ciri keselamatan. Ada yang menggunakan two-hand button dan ada yang menggunakan laser beam sebagai pengadang. Tetapi sistem keselamatan ini sengaja dipintas atau di’by-pass’ oleh Velu agar produktiviti kilangnya bertambah. Bukankah fahaman umum bahawa keselamatan itu menyusahkan dan membuang masa?

Sistem pengadang two-hand button memastikan hanya dengan menekan kedua-dua butang, di kiri dan di kanan, barulah power press dapat berfungsi. Butang yang diletakkan di kiri dan kanan dengan jarak lebih kurang setengah depa antara satu sama lain akan memastikan bahawa semasa bahagian atas power press menghentak kebawah, tangan operator yang mengendalikan power press akan sentiasa berada di luar kawasan kerja power press, iaitu di butang kiri dan kanan. Oleh itu, tiada kemungkinan tangan operator akan dihempap oleh mesin itu.

Sistem pengadang laser beam pula menggunakan cahaya laser sebagai pagar di bahagian hentakan power press. Jika garisan cahaya laser ini terganggu atau terputus, power press akan berhenti secara otomatik. Oleh itu, tangan operator mestilah sentiasa berada diluar kawasan hentakan agar tidak mengganggu garisan cahaya laser bagi memastikan power press dapat beroperasi.

Inilah interlocking system yang perlu ada pada sesuatu mesin power press yang diabaikan oleh Velu selama ini. Kerana mahu mengejar masa dan mementingkan keuntungan, Velu telah mengenepikan interlock yang amat diperlukan dalam operasi di kilangnya dan hari ini adalah hari pengajaran kepadanya. Biarlah lambat, asalkan selamat.

Di luar mahkamah, Velu menjabat tangan pegawai pendakwa erat-erat sambil menuturkan kata-kata terima kasih. Pegawai pendakwa membetulkan kaca matanya sambil tangan kirinya digenggam dan dirapatkan kedadanya lalu berkata seakan berfalsafah.

“Mr. Velu, interlock tidak boleh di’by-pass’, barulah kita selamat dan tenang. Begitu juga hati kita.... Hati inilah interlock kepada tindakan seharian kita.”

Velu rasa dia faham kata-kata itu lalu mengejapkan lagi genggaman salamnya.

Sekian.
 
Sebelum pi sembahyang Jumaat, pi undi dulu jika suka.
Jika tak suka jom, bakaarrrr.....

Thursday, February 24, 2011

Tips Mengongsi Kasih

Mak kita mesti sayang no. 1, barulah mak anak-anak kita
"Abah hak Yong sorang," kata Yong, 7 tahun.

"Adik punya Abah. Yong tak boleh," Adik, 3 tahun, tak mahu mengalah.

"Abah dengan Kakak sorang. Yong, Adik dengan Mama," Kakak, 9 tahun, pun tak mahu ketinggalan.

Anak-anak selalu berebut nak dengan Abah walaupun seharian mereka dengan Mama. Itu-ini semua Mama yang buat. Abah ambil yang senang-senang sahaja. Yang selalu marah dan cakap kasar pun Abah juga. Tetapi Abah juga yang menjadi rebutan. Mungkin ini kelebihan kaum Adam. Charming gitu...

Kakak, Yong dan Adik masih bertikam lidah mahukan Abah untuk diri masing-masing. Adik dah mula menangis. Sebelum keadaan lebih parah, Abah terpaksa masuk campur sebagai jaksa pendamai.

"Mari sini semua anak-anak," Aku bersuara macam Tok Penghulu Semerah Padi.

"Abah, cakap siapa yang Abah paling sayang," Kakak terus memberi cadangan drastik yang tinggi impactnya.

"Dengar sini baik-baik Abah nak cakap," Aku terus berkata.

"Yang Abah paling sayang ialah Yong....." Aku membuat pengakuan. Tergantung.

"Mana boleh macam tu Abah, tak adil," Kakak terus memprotes, Adik cuma diam. Yong tersengih gembira.

"Kakak pula Abah sayang nombor 1," Aku menyambung lagi. Kakak diam kali ini, berfikir barangkali.

"Adik pula adalah anak yang Abah sayang baaanyak sekali," Aku menutup declaration.

Setelah diam berfikir, Kakak bersuara.

"Samalah kalau macam tu....."

"Ya....Abah mana boleh beza-bezakan sayang kepada anak-anak. Semua Abah sayang, semua Abah marah kalau buat salah," aku berkata cuba berkarisma sebagai seorang ayah.

AMARAN: Tips ini adalah untuk anak-anak sahaja. Untuk yang pasang orang rumah lebih, carilah nasihat daripada tok guru lain yang maqamnya lebih tinggi dan lebih pakar. Wassalam.

Wednesday, February 23, 2011

Facebook Kita, Facebook Dia

Wajhulkitab
Facebook binti Jamal Ibrahim. Itulah nama seorang bayi perempuan sulung seorang reformist di Mesir. Dek kerana berasakan terlalu terhutang budi kepada peranan Facebook yang banyak membantu di dalam gerakan pembaharuan sekaligus menggulingkan diktator Hosni Mubarak, si ayah muda ini bertekad untuk menamakan anak sulungnya Facebook.

Memang ramai bapa-bapa yang bersemangat macam ini. Semasa Hosni Mubarak mula-mula naik dahulu, ramai juga bapa yang menamakan anak mereka Hosni, begitu juga Gadafi, Yaser Arafat, Saddam, Osama, Ahmadinejad dan lain-lain.

Di Malaysia, semasa era reformasi, ramai juga yang menamakan anak-anak mereka dengan nama ikon reformasi seperti Nurul Izzah, Ezam, Anwar, Azmin, Lokman Adam, Badrul Amin dan lain-lain.

Sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitu juga bagi manusia yang tiada istiqamah.

Orang yang telah menamakan anak mereka Gadafi, Hosni, Saddam, Ezam, Lokman Adam, mungkin sedang menyesal sangat-sangat sekarang. Mujurlah aku tidak termasuk ke dalam golongan ini kerana aku hampir menamakan anak keduaku Bahirah sempena nama isteri Ezam Mat Nor. Mujurlah ianya tidak berlaku, jika tidak akulah si bapa yang paling menyesal sekarang.

Berbalik kepada Facebook binti Jamil Ibrahim, aku tak pasti nasib anak ini di masa hadapan. Tetapi aku yakin, bila dia mendapat adik besok, dia akan mempersoalkan kenapa ayahnya tidak menamakan adiknya sebagai Twitter. Nak tunjukkan semangat pun agak-agak lah kita sebagai bapa. Bukankah Rasul kita Muhammad S.A.W telah bersabda dalam sebuah Hadith riwayat Ibnu Hibban,

“Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama-nama kamu”

Kalau nak tunjukkan semangat, namakanlah anak kita dengan nama Muhammad. Kerana beliaulah manusia paling tabah dan istiqamah dalam perjuangan. Atau Fatimah, kerana beliaulah contoh wanita cekal dan berpekerti mulia. Atau Aishah, atau Asiah, atau Ali, atau Thalhah, Atau Abdul Rahman....

Sekurang-kurangnya si bapa di Mesir itu mengambil nama Facebook sempena perkara positif yang telah disumbangkan oleh laman social itu. Berlainan di tempat kita yang pernah dilaporkan di akhbar kisah isteri beranak satu yang telah lari dari rumah dan tinggal bersekedudukan dengan kekasihnya yang dijumpai semula melalui laman sosial Facebook ini.

Patutlah ‘Hosni Mubarak’ di tempat kita masih boleh bertahan dan tersengih sambil merampok apa sahaja...

Tuesday, February 22, 2011

Pentingnya Berkereta Besar di Malaysia

Ada orang kata ramai pemandu Malaysia tak ada sivik
.......dan bodoh tak bertempat.
Jam 7.30 pagi masing-masing orang berebut nak sampai dulu ke pejabat.

Beberapa meter di persimpangan lampu isyarat di Batu Buruk, lampu dah bertukar kuning. Aku yang berada lebih kurang 20 meter dari lampu mula menekan brek sambil mata memandang cermin pandang belakang.

Mak oii..... Honda hitam di belakang sikit punya laju la.

Aku lihat depan, lampu sudah merah. Aku menekan minyak, bukan menekan brek walaupun lampu sudah merah. Ku tengok cermin pandang belakang lagi, Honda hitam masih berada di belakang keretaku. Tidak berhenti juga.

Jadi, salahkah tindakan aku melanggar lampu merah tadi? Jika aku berhenti tadi apa agaknya akan terjadi kepada aku dan Viva aku?

Sunday, February 20, 2011

Cikgu Paling Garang


Kalau cikgu garang, mau budak berkepit macam ni?
Yong bersama cikgu Pasti Al-Hikmah Sembulan,
Kota Kinabalu yang tak garang dan lemah-lembut.

Mungkin pengamatan aku salah. Tetapi inilah pengalaman aku sejak bersekolah rendah pada 1979 sehinggalah aku pencen sekolah menengah pada 1989.

Aku perhatikan cikgu BI lah yang paling garang dan bengis diikuti cikgu Matematik. Dua subjek ini pula memang menjadi kelemahan anak-anak sekolah terutama budak kampung. Ironik bukan?

Subjek payah, tambahan pula cikgu bekeng. Jadi apa yang kita harapkan?

Memang aku akui garang atau tidak seseorang cikgu bergantung kepada sikap dan perangai seseorang cikgu itu sendiri. Mungkin kebetulan cikgu yang mengajar BI dan Matematik itu bengkeng. Kadang-kadang mereka bengkeng macam singa betina walaupun cikgu tu jantan.

Semasa aku darjah satu dulu, cikgu BI senang-senang saja cakap budak-budak yang menjenguk ke dalam kelas kami sebagai 'monkey'. Cikgu matematik pula pernah membalun kawanku dengan pembaris kayu sehingga patah (pembaris tu yang patah) gara-gara tak dapat jawab soalan matematik yang diberikan. Itu berlaku semasa aku darjah tiga.

Mungkin kadar kesusahan subjek yang diajar menerbitkan perasaan stress kepada cikgu-cikgu. Subjek santai macam agama dan lukisan biasanya cikgu yang mengajar enjoy saja. Semasa aku di tingkatan dua, Ustaz Leh yang mengajar Pendidikan Agama Islam pernah dipaksa oleh pelajar-pelajar untuk mendenda pelajar yang cuba ponteng kelasnya. Akhirnya Ustaz Leh akur dan mendenda pelajar itu 'pumping' 2 kali! 2 kali sahaja! Kalau Ustaz Leh mengajar BI atau Math mungkin pelajar itu didenda 'pumping' paling kurang 10 kali.

Kepada cikgu-cikgu yang mengajar BI dan Math, terutama yang bengkeng-bengkeng tu, kurang-kurangkan sikit garang tu. Macam mana budak nak pandai subjek ni kalau cikgu pun dia takut? Cikgu BI kena contohi Cikgu Shida. Dia rocks. Cikgu Matematik pula kena contohi Cikgu Soba MRSMKB yang mengajar aku di tingkatan empat tahun 1988 dulu.

Semasa mula-mula masuk tingkatan empat, aku mendapat 0% untuk Matematik Moden. Selepas itu aku diajar oleh Cikgu Soba, untuk ujian kedua, aku dapat markah tertinggi dalam kelas aku, Razi 4. Apabila aku tersengih, Cikgu Soba berkata,

"Highest mark awak ni, 65% sahaja. Kelas sebelah, Zahrawi 4, highest mark dia 92%."

Ye lah siapa boleh lawan Jehan Reagan budak bijak jiwang tu.



Terbaca Blog Ibu

Aku tiba-tiba terserempak dengan sebuah blog yang entah kenapa amat menarik perhatianku. Blog kehijauan itu bernama, Sewangi Taman Aisyah.

Membaca entry pertama sahaja membuatkan hatiku tenang dan lapang. Penulisannya penuh dengan puji-pujian kepada Allah S.W.T dan selawat kepada Rasulullah S.A.W yang dicintai.

Aku teruskan membaca, tiba-tiba hatiku menjadi sayu. Penulis blog itu menitipkan sayangnya yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anaknya yang telah semuanya besar dan berkeluarga sendiri. Beliau meredhakan semua apa yang telah dicurahkan kepada anak-anak. Hatiku berbunga pula apabila ada entry yang menyatakan betapa penulis blog bersyukur mempunyai anak-anak yang penyayang, tiada dengki dan mengambil berat di antara satu sama lain.

Aku dapat merasakan kerinduan penulis blog kepada suaminya yang telah lama kembali ke rahmatullah melalui tulisannya yang menyebut-nyebut tentang kenangan bersama si suami. Hiba juga hati apabila terbaca bagaimana susah payah dan jerih perih mereka berdua membanting tulang dan bermandi peluh untuk memastikan anak-anak mereka dapat bersekolah.

Hatiku bergetar apabila penulis blog menulis sebuah sajak yang ditujukan kepada suminya yang telah lama pergi mengadap Allah itu. Sajak puitis itu seakan-akan mahu memberitahu arwah suaminya bahawa anak-anak mereka sekarang sudah menjadi seperti yang mereka harapkan yang selalu ungkapkan di dalam perbualan semasa hari-hari pertama perkahwinan mereka dahulu.

Ceritanya. Kekanda,

Khadijah anak kita yang sulung masih begitu mengambil berat tentang adik-adik. Dia masih seorang kakak yang sentiasa melindungi adik-adiknya. Daripada apa dan sesiapa sahaja.

Si lembut hati anak kita yang kedua, sampai sekarang dia seakan-akan mengasuh adik-adik. Jasanya meninggalkan persekolahan demi mengasuh adik-adik tidak sekali dilupakan mereka.

Yang sulung jantan walaupun agak nakal semasa kecil tetapi sekarang begitu serius dalam hal kebajikan adik-beradik sehingga kadang-kadang mengatasi kebajikan dirinya.

Anak perempuan si hidung mancung yang keempat walaupun kejauhan, selalu bertanya khabar dan bertukar cerita. Sekali sekala dia pulang, adalah resepi-resepi rahsia yang dikeluarkannya untuk dinikmati.

Anak kita lelaki tengah yang kelima selalu tidak lupa pulang menziarahi disetiap ketika yang dia perolehi. Cuma sembahyangnya agak lengah sikit – Sempat lagi penulis blog membuat catatan dalam kurungan :).

Si hensem bongsu lelaki, anak keenam kita sekarang di luar negeri. Walaupun sibuk mengejar PhD tetapi apabila bertanya khabar semacam berbual di tingkap rumah sahaja. Yang ini pongohnya macamlah kanda, kata penulis blog disusuli perkataan peace.

Alhamdulillah, ada juga ustazah di kalangan anak-anak kita kanda, kata penulis blog merujuk kepada anak perempuan mereka yang ke tujuh. Anak ini yang memang paling bijak katanya terlalu baik hati dan tidak lokek dengan sesiapa sahaja. Specialnya dia dilahirkan di bulan Ramadhan. Tapi kalau orang buat lawak, dialah yang paling cepat menangkapnya! Terutama lawak anak yang kelima, terkekeh-kekehlah dia.

Yang bongsu anak kelapan kita juga seorang ustazah. Dia juga berada di kejauhan tetapi selalu pulang kerana keluarga suaminya juga tinggal berdekatan. Yang ini istimewa, jika kanda melihatnya sekarang, pasti kenangan kita semasa muda-muda dahulu menjelma. Cewahh...Romantik rupanya pasangan ini.

Oh ya, hampir terlupa. Cucu kita, anak sulung Khadijah yang kita jaga dan belai sejak kecil sudah tinggal setahun dua lagi di universiti. Dia memang seperti adik bongsu kepada anak-anak kita. Dia pun dah pandai menyiang ikan sekarang!
Banyak lagi entry-entry yang aku belum baca yang pastinya amat menarik dan menyentuh hatiku. Rupanya blog ini di update setiap satu pertiga malam seusai munajatnya kepada Allah. Bukan semasa traffik broadband lega tetapi semasa dirinya terasa begitu dekat dengan Tuhan.

Aku akan sentiasa membaca dan menghayati kandungan blog ini yang followernya tidaklah ramai sekadar 8 orang anak, 40 orang cucu, 8 orang besan dan beberapa individu lagi yang aku kurang pasti.

Sebelum aku menangis, baik aku berhenti dulu. Tadipun aku dah sebak sebenarnya (tipu atau lawak?).

I love you mak.

Saturday, February 19, 2011

TIPU atau LAWAK

"Kawe tak tahu Kopeks ni benda tu," kata Mat Kelate. - Tipu
"Aku tak tahu Kopeks ni itu barang bah," kata Mat Kadazan. - Lawak
Kita sebagai insan mumaiyiz sepatutnya tahu membezakan antara tipu dengan lawak. Mana satu tipu dan mana satu lawak. Contoh di sini:

1. “Dulu hidung aku mancung,” kata seekor babi. – Tipu

2. “Aku tersondol sebatang pokok gajus/ketereh/jambu golok, lalu hidung aku jadi camni,” kata babi lagi – Lawak

3. “Aku terkejut, jadi biji aku tersembul keluar,” sampuk gajus. – Lawak

4. “Aku gelak sampai sakit perut dan nak terkencing, sampai ramping pinggang aku,” sampuk seekor kerengge. – Lawak

5. “Kalau nak ramping, kena gelak banyak-banyak,” kata seorang pakar kecantikan. – Tipu

6. “Harga minyak terpaksa kita naikkan kerana harga minyak dunia naik,” kata Sabri. – Tipu

7. “Saya tak sanggup tengok orang kita di Mesir menderita, lantas saya dengan penuh kesedaran call kenalan saya di Arab Saudi,” kata Kak Ros tercungap-cungap. – Lawak

8. “Bazar Tok Guru merugikan dan menganiaya peniaga Melayu,” kata si rambut keras. – Tipu

9. “Saya sakit, tak dapat hadir siding DUN,” beritahu seorang Adun bersongkok sungguh-sungguh. – Tipu

10. “I am the man in the tape,” akui seorang tua bermata ripit. – Ini jujur.

11. “Saya tak bilas anus saya 3 hari,” kata seorang saksi di mahkamah. – Lawak

12. “Saya buat ini semua kerana nak selamatkan ketuanan Melayu,” kata seorang awek cun yang tidak menutup aurat. – Tipu

13. “I will look stupid if I speak Malay,” kata seorang artis cun. - ???

14. “Saya menulis ni, tanpa diupah sesiapa,” claim seorang blogger. – Tipu

15. “I don’t know and I am not involve,” tegas seorang pemimpin. – Lawak

16. “Saya sebagai penasihat ni, tak dibayar sesen pun,” tegas seorang pemimpin lagi. – Tipu

17. “Saya tak dirogol oleh majikan saya,” beritahu seorang awek seksi. – Lawak

18. “Saya cari duit secara halal, insyaAllah album ke 15 saya akan keluar bulan depan. Alhamdulillah,” kata seorang artis perempuan yang seksi. – Lawak

19. “Kelantan tak berhak royalty sebab minyak tu diluar kawasan Kelantan,” si berambut keras berkata lagi. – Tipu

20. “Ini bukan projek pilihanraya,” kata S.O JKR di Merlimau. – Lawak

21. “Ini bukan projek pilihanraya,” kata seorang YB di Merlimau. – Tipu



Tipu atau lawak, apa yang boleh aku lakukan hanyalah kah kah kah.



Friday, February 18, 2011

Siapa Bakar Dia Bodoh

Ke sini untuk baca

Good as gold, but stupid as mud
He'll carry on regardless
They'll bleed his heart 'til there's no more blood
But carry on regardless


Carry on with laugh
Carry on with cry
Carry on with brown under moonlit sky


Tak cukupkah Interlok Seniman Negara yang telah mengundang kontroversi ?
Apakah ianya bakal menjadi isu besar di Merlimau dan Kerdau nanti ?

Anda sendiri yang terlebih afdal menilai sebelum Shafei Afdal menilainya untuk anda.
Sila ke Kisah Klasik Kita sebelum Shafei membacanya.

UNDI jika suka. Jika tak suka, tulis saja Kah Kah Kah.

Thursday, February 17, 2011

Formula Untuk Azmin Ali & Mustafa Ali


Bro, tulong kabbor ke Azming, mitok dia diyang sikek.
Gua nak buat grinding pong tokleh kongsengtrik

Azmin tak puas lagi.

Baru sahaja dia bertelingkah dengan siapa sahaja dalam PKR semasa pemilihan hari itu. Hari ini dia membangkitkan rasa mual Mustafa Ali pula. Sehingga Mustafa Ali memintanya supaya tutup mulut.
.
Pasal kerusi ni, tak payah nak bising la. Itu kerja pimpinan tertinggi masing-masing akan bincang elok-elok. Kalau ikut pesanan Tok Guru NIk Aziz dulu,

"Kita jangan kedekut, mereka jangan tamak"

Kalau tak tamak, apa bising-bising di Merlimau? Kan YB yang meninggal tu melawan calon PAS dahulu?

Di sini aku ingin perturunkan formula untuk PRU13.

Kawasan yang mana YBnya melompat atau keluar parti, mesti diberikan kepada parti lain. Bermakna Kulim Bandar Baru, Pelabuhan kelang, Padang Serai, Bayan Baru, Wangsa Maju, Behrang, Changkat Jering bla bla tu, PKR tak boleh letak calon lagi di situ. Pasir Mas, PAS kena give up kepada PKR. Jelapang, Malim Nawar, DAP kena bagi kat PAS atau PKR.

Itu saja. Sekian.

Business Strategy ?

Kache, spendo, kache, spendo
Salah satu punca kegagalan orang Melayu dalam berbisnes ialah kerana persaingan maha sengit yang tak dapat mereka tempuhi.

Aku jumpa seorang kakak Melayu sedang berbisnes. Dan dia berbisnes tanpa persaingan daripada siapa-siapa. Cumanya dia lupa bahawa 'matching' barang jualan juga penting.

Aku sampai di Kota Bharu dari Ipoh pada pukul lebih kurang 4.30 pagi. Turun saja dari bas, sudah ramai pemandu prebet sapu menunggu sambil menyapa.

Mana dik? Ke mana? Ada kereta dah?

Tetapi kakak ini menjual kacang. Pada pukul 4.30 pagi!

Kace be. Kace abe. Beli kace abe.... Kace butir, kace kudo, kace pong.

Dan dia ada barang dagangan lain yang dipadankan dengan kacang.

Seluar sendo. Abe, beli kace, seluar sendo. Kace. Spendo. Spendo abe, kace....

Nak gelak pun ada. Sedih pun ada. Oh.... Patutlah kata orang wanita Kelate suka meniaga.

Wednesday, February 16, 2011

Pengamal Ilmu Pelik

Si sahabat tiada dalam gambar ini, dia ke Gunung Tahan.
Kami di Bukit Bakar, Machang, Kelantan
Cerita kuterima daripada sahabat berkaitan seorang sahabat.

Gunung Tebu di Setiu, Terengganu cantik, sejuk dan berkabus. Bila sudah malas memanaskan air, bancuh milo pakai air sejuk pun sama saja rasanya. Cuma akan terdapat banyak ketulan-ketulan milo yang tidak larut di permukaan air. Itu sahaja.

Tetapi si sahabat ini, milo bancuhannya semua larut kerana tiada ketulan milo yang terapung di dalam cawan. Ilmu penjaga gunung mana entah yang dia telah belajar.

Lalu kerja-kerja membancuh milo disubkan kepadanya. Dia menerima dengan hati yang lapang dan tanpa sepatah bantahan. Sejak saat itu, milo yang dijamu kepada ahli ekspedisi walaupun sejuk, tetapi tiada ketulan milo beku terapung.

Rahsia terbongkar akhirnya. Ilmunya ternyata hanya ilmu alam dan ilmu hisab sahaja. Milo bancuhannya sama dengan milo bancuhan orang lain, milo berketul-ketul terapung di dalam jug. Dikutipnya semua dan dimakan, kemudian barulah milo diserve.

Wakenabeb.

Mesti dia suka 'mengatah' milo masa kecik dulu.

Tuesday, February 15, 2011

Blog 1400 Tahun Dahulu : Sempena Maulud Nabi S.A.W

Semoga sambutan Maulidurrasul kali ini menguatkan lagi kecintaan kita kepada Allah dan Rasulnya.
Di sini idea menulis tentang kebenaran Islam pastinya
datang mencurah-curah

Aku cuma berimaginasi jika sekiranya blogging ni sudah ada di zaman jahilliyah dulu. Aku rasa pastinya semasa Nabi S.A.W dilahirkan, blog Abu Lahab, bapa saudara Bagindalah yang paling meriah. Mesti dia update blog dia, abulahab.blogspot.com  setiap setengah jam. Pada 20 April 571M sahaja mahunya tidak kurang 24 entry dibuat oleh Abu Lahab.

'IT'S A MIRACLE, IT'S A BOY'

'FREE MILK FOR EVERYBODY'

'HIS NAME IS MUHAMMAD'

'A NEW HOPE FOR MECCA PEOPLE'

'MY NEPHEW IS COOL'  etc etc

Tetapi apabila sahaja Nabi S.A.W dilantik menjadi rasul dan sudah menyampaikan risalah Islam, pastinya abulahab.blogspot.com akan berubah rentak dan sentiasa membuat fitnah ke atas Nabi S.A.W. Pastinya Abu Lahab dan geng-geng se entry dengannya akan menubuhkan kesatuan blogger anti Nabi yang tak habis-habis menghentam dan menyakiti Nabi S.A.W termasuk menyiarkan gambar-gambar Nabi S.A.W yang telah disuperimpose. Blog mereka pastinya ditaja oleh Apco yang berpusat di Madinah semasa itu.

Dan semestinya akan ada pula bloggers yang menyokong Nabi S.A.W. Mereka juga akan menubuhkan kesatuan bloggers pro Nabi S.A.W. Entry mereka akan bercerita tentang risalah yang Nabi S.A.W sedang sampaikan. Pastinya enak membaca blog mereka yang mendapat bimbingan direct daripada Nabi S.A.W.

Ada juga blog penulis upahan yang hanya mencari tuan yang sanggup bayar lebih. Depa ni lebih kepada spin doctors yang akan cuba sedaya upaya menambahbaik dan menghalalkan tindakan majikan yang membayar mereka disamping melonjakkan nama mereka sendiri. Mereka boleh swing 180 darjah pada bila-bila masa sahaja. Antara blog yang tersohor semestinya binubai.blogspot.com dan abuamir.wordpress.com.

Yang paling banyak adalah blog-blog yang bercerita pasal oasis, kebab kambing, roti arab, barkhan, how to get the most of your unta, trade-in unta, dapatkan barangan dari Syam dengan separuh harga, no-slaves, sajak-sajak kontemporari Mekah, tudung dan jubah, double your kambing-double your income, duit masuk tanpa perlu menjual kambing atau unta, jenis-jenis kurma, cara nak buat duit di musim haji etc etc.

Dan dimasa itu, yang paling cool adalah seorang brader yang tak pernah bantah Nabi S.A.W. Nabi berceramah dia dengar, Nabi sembahyang, dia jadi makmum walaupun di saf yang paling hujung. Nabi ajak berjihad, dia turut berperang dan infakkan hartanya. Blog dia hari-hari penuh dengan mukanya yang handsome kearaban berlatar belakangkan macam-macam. Hari ni background dia oasis, esok barkhan, lusa unta, tulat Kaabah, tule Jabal Nur ......Sempoi. Yang paling penting setiap komen diblognya, dia jawab dan membuat kunjungan balas ke blog pengomen. (Jangan marah bro...)

Kesimpulannya, di zaman mana pun kita, di era mana pun kita. Berceramah, berkomedi, berlakon, berkarya, berkartun, berblog, bertwitter, berpolitik, berfacebook, bertv, berradio, berkah kah kah, bercerpen, bernovel, janganlah sesekali mencari haluan yang bertentangan dengan risalah yang Rasulullah S.A.W bawa. Kita kena jawab semua tu bro. Sendiri mau ingat.

Monday, February 14, 2011

Mat Saleh Celup


It's cotton candy, no...it's gulalin

Hari ni ada taklimat cum dialog. Banyak organisasi yang hadir.

Presenter pertama cakap orang putih dengan tiada accent mat saleh pun. Yang tukang tambah, tukang tanya, tukang karut semua pun cakap mat saleh. Tiada accent, tiada slang, tiada bau budu. Kira boleh la kan.

Aku diam je. Pandang kiri- kanan, kanan-kiri. Semuanya kulit koko, hidung kepek, rambut hitam. Semuanya Melayu. Semuanya kaki durian. Jadi, apakobondonyo depa ni semua dok cakap orang putih. Maju ke kalau tak cakap Melayu?

For your information, Mat Salehs speak english because they don't know Bahasa Melayu.

Sunday, February 13, 2011

Gadis Cashier

Sudah baca jangan lupa undi Gadis Cashier di
Kisah Klasik Kita
Nurin masih mengurung diri di dalam bilik. Ada air mata merayap di pipi cengkungnya. Nurin masih bersedih. Sedihnya bertambah-tambah setelah mendengar kata-kata Pak Uda yang begitu mengguris hatinya sebentar tadi. Nurin harapkan Pak Uda akan memberikan sokongan kepadanya, tetapi tidak. Sebaliknya Nurin terpaksa mendengar berbagai-bagai pendapat dan falsafah Pak Uda.

Sudah 2 hari Nurin berhenti kerja sebagai cashier di sebuah supermarket di Pekan Kuala Krai. Sudah 2 hari itulah hatinya dilanda kesedihan dan kegundahan. Nurin ingatkan dia akan menghabiskan masa cuti semesternya di supermarket itu sambil mengumpul wang. Itulah pertama kali dalam hidupnya bekerja makan gaji. Siapa sangka, dengan sekali cuba sahaja Nurin sudah diterima bekerja sebagai cashier di situ. Mungkin kerana pengurus supermarket itu mengambilkira Nurin sebagai seorang pelajar universiti. Tetapi, Nurin merancang, Tuhan yang menentukan. Nurin mengambil keputusan untuk tidak lagi pergi bekerja setelah hanya empat hari bekerja di situ.

Sebenarnya Nurin seronok bekerja di kaunter bayaran di supermarket itu walaupun amat meletihkan. Hari pertama bekerja, apabila pulang ke rumah, Nurin terus tidur tak ingat dunia. Ya lah, hampir 12 jam duduk di kaunter membuatkan Nurin letih sangat. Walaupun dapat duduk, tetapi lenguh dan letih Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi Nurin seronok. Nurin seronok memerhatikan gelagat-gelagat manusia yang datang membeli di supermarket itu.

Berbagai-bagai karenah pelanggan yang telah Nurin temui sepanjang 4 hari bekerja di situ. Ada yang cerewet, ada yang garang, ada yang lucu, ada yang gila-gila, ada yang cemburu dan ada yang mengambil berat.

“Adik....” Seorang mak cik berumur 50an pernah menegur Nurin semasa dia sedang asyik mengimbas harga barang yang dibeli oleh mak cik itu.

“Adik belajarlah dulu. Sayang muda-muda begini kalau tak belajar. Ambik SPM. Rugi, umur adik baru lagi,” makcik itu terus berkata.

Nurin hanya senyum kepada mak cik itu tanpa berkata apa-apa.

Nurin memang bertubuh kecil. Siapapun yang melihatnya pasti tidak menyangka bahawa Nurin sudahpun menghabiskan tahun duanya di IPTA . Kebanyakan yang memandang akan menyangka Nurin masih belajar di sekolah menengah. Kalau bukan tingkatan tiga, mesti tingkatan empat. Itu andaian ramai orang. Nurin rasa dia mewarisi genetik sebelah ibunya. Kalau daripada sebelah ayah Nurin tidak begitu. Adik lelaki Nurin bertubuh kasar dan berjambang sehinggakan ada yang menyangka Nurin berjalan dengan teman lelaki apabila dia dilihat bersama adik lelakinya.

Nurin masih juga tidak keluar bilik sejak Pak Uda sampai tadi. Pak Uda selalu sampai di rumah Nenek masa-masa begini. Boleh dikatakan setiap malam Jumaat, lebih kurang pukul sepuluh setengah malam, dia sekeluarga akan sampai di rumah Nenek. Nurin agak mesti Pak Uda sekeluarga bertolak dari Kuala Terengganu selepas Marghrib. Pak Uda tinggal di Kuala Terengganu. Paling kurang 2 minggu sekali mesti Pak Uda balik ke rumah Nenek. Nurin tinggal dengan Nenek sejak kecil lagi. Jadi, bapa dan ibu saudara Nurin sudah semacam adik beradik dengan Nurin. Nurin seperti adik bongsu mereka.

Selalunya Nurin akan bersalam dengan Pak Uda, Makda dan 3 anak saudara comelnya apabila mereka sampai. Tetapi malam ini tidak begitu. Nurin tetap berdiam di dalam bilik. Apalagi setelah mendengar apa yang Pak Uda bualkan dengan Nenek sebentar tadi.

“Kata Nurin kerja di shopping mak?” Nurin mendengar Pak Uda bertanya Nenek.

“Dah berhenti dah,” jawab Nenek.

“Hah... Dah berhenti. Kenapa pulak,” Pak Uda bertanya kehairanan.

“Duit kutipan yang dia serah tak cukup dua ratus......” Nenek memberitahu.

“Short duit.... ?”

“Emmm... Tokey suruh dia ganti. Mana Nurin nak cari duit. Bukan dia ambil pun duit tu. Terus dia tak pergi kerja,” Nenek menerangkan panjang lebar.

“Ayah dan mak Nurin dah tahu?” Tanya Pak Uda lagi.

“Sudah. Ayah dia kata elok juga berhenti. Kena tuduh ambil duit tak tentu fasal,” beritahu Nenek lagi.

“Nurin bagitahu ke kepada tokey dia nak berhenti kerja?” Pak Uda tak putus-putus bertanya.

“Tak. Dia berhenti macam tu aje. Molek lah tu. Takkan dia nak ganti duit tu,” Nenek menyatakan pendapatnya.

“Tak boleh macam tu,” kata-kata tegas Pak Uda ini yang mengejutkan Nurin. Nurin agak Nenek pun terkejut kerana dia tidak mendengar apa-apa jawapan daripada Nenek berkaitan kenyataan tegas Pak Uda itu.

“Mana boleh berhenti macam tu aje. Kalau nak berhenti kena cakap dulu,” Pak Uda berkata lagi.

“Mana dia nak pergi kerja lagi kalau tokey tu suruh dia ganti duit 2 ratus lebih yang tak cukup tu,” Nenek bersuara ragu-ragu.

“Kalau dia terus tak pergi kerja, lagilah orang kata dia ambil duit tu. Orang akan tuduh dia buat lari duit tu,” Pak Uda menyatakan pendapatnya. Nurin mendengar dengan tekun dari dalam bilik.

“Betul juga tu,” Nenek memang begitu. Getus hati Nurin. Nenek selalu mudah bersetuju dengan Pak Uda, anak jantan kesayangannya itu. Pak Uda cakap sikit, spin sikit, mesti Nenek setuju. Sebelum ini Nenek macam setuju seratus peratus dengan tindakan Nurin tidak pergi kerja. Bukan Nenek sahaja. Ibu dan ayahnya juga setuju. Alih-alih malam ini, bila Pak Uda berfalsafah sikit, berteori sikit, terus Nenek swing 180 darjah.

“Lepas tu nak buat macam mana?” Nurin mendengar Nenek bertanya.

“Nak buat macam mana pun, Nurin dah berhenti. Sepatutnya dia kena bela diri dia sendiri...Kalau berhenti macam tu, macam lari. Macam kita bersalah. Macam apa yang tokey tuduh tu betul. Memanglah tak payah kena bayar balik duit tu bila dia tak pergi kerja, tapi sampai bila-bila pun orang akan anggap dia ambil duit di kaunter,” panjang ceramah Pak Uda.

“Bukan dia ambil,” Nenek membela Nurin.

“Ya mak, tapi Nurin tak bela diri dia. Sepatutnya dia bela diri dia dulu sebelum berhenti kerja. Mana boleh terus tak pergi kerja macam tu saja. Itu lari namanya,” Pak Uda mengulang hujah yang sama. Sakit hati betul Nurin rasa. Senang bagi Pak Uda berkata. Kalau kena atas batang hidung sendiri barulah agaknya Pak Uda tahu langit tinggi rendah. Hati Nurin menjadi semakin sakit apabila dia mendengar Nenek berkata yang sekaligus menguatkan hujah Pak Uda.

“Nurin tu pun satu, berat mulut sangat.”

Terasa hati betul Nurin dengan Pak Uda. Bukannya dia nak bersimpati dengan apa yang menimpa Nurin, tetapi dia menyalahkan Nurin lagi. Dia tidak faham situasi Nurin. Dia tidak berada di tempat Nurin. Entah malam itu berapa kali air mata Nurin merembes keluar.

Esoknya, Nurin hanya keluar bilik untuk mengambil air sembahyang sahaja. Selepas itu dia memerap di dalam bilik kembali. Malas dia nak bertemu mata dengan Pak Uda. Kata-kata Pak Uda semalam masih terus menghiris hatinya. Sehinggalah Pak Uda sekeluarga bertolak pulang ke Kuala Terengganu pukul sebelas hari itu, Nurin tetap berada di dalam bilik.



Tolong ingatkan aku

Kisah kau tersedar

Dengan saku penyeluk masa



Nurin dikejutkan oleh lagu Ana Rafali yang menjadi nada dering telefon bimbitnya sejak malam Ana Rafali menjuarai Anugerah Juara Lagu TV3.

“Hello, Ifa....” Sapa Nurin apabila meletakkan telefon ditelinganya.

“Nurin, mu bernasib baik,” Ifa membuka kata. Ifa adalah rakan Nurin yang baru dikenalinya semasa bekerja di supermarket. Ifa juga seorang cashier di situ.

“Kenapa Ifa,” Tanya Nurin.

“Duit yang short baru ni dah jumpa dah. Nama mu bersihlah,” Ifa memberitahu Nurin.

“Siapa jumpa?” Tanya Nurin lagi.

“Miss Chen silap kira. Mu nak balik kerja sini ke?” Ajak Ifa, macam dialah tokey supermarket itu.

“Malaslah aku. Biarlah aku terus jadi penganggur he he he,” Nurin baru bernafsu untuk ketawa setelah hampir 2 hari dia asyik memuncung mulut dan berendam air mata.

Sekarang hati Nurin berbunga-bunga bahagia kerana namanya sudah bersih. Memang seumur hidup Nurin dia tidak pernah mengambil hak milik orang lain tanpa kebenaran dengan sengaja. Apalagi hendak mencuri. Mencuri tiada dalam kamus hidupnya. Nenek dan arwah Tokcik yang menjaga dan mengasuh Nurin sejak Nurin kecil tidak pernah mengajar Nurin menjadi pencuri. Ibu dan bapa saudara Nurin juga sentiasa mengajar Nurin agar membenci sikap mengambil hak orang lain. Ibu dan ayah Nurin pun sentiasa memastikan Nurin adik beradik jauh dari sikap panjang tangan ini.

Keluarga Nurin bukan keluarga pencuri. Nama keluarga Nurin dari dulu sentiasa bersih dari perkara-perkara yang tidak baik. Nenek dan arwah Tokcik orang miskin yang bekerja membanting tulang empat kerat untuk memastikan 8 anak mereka menjadi orang yang berguna. Walaupun mereka tiada harta, tetapi mereka jauh dan bebas daripada sikap suka mengambil hak orang lain. Nurin sebagai cucu pun semestinya bertanggungjawab memastikan nama baik keluarga nenek dan arwah Tokcik ini sentiasa terpelihara.

Hari ini Nurin bernasib baik kerana wang yang tak cukup itu dijumpai semula. Sekaligus membersihkan namanya. Juga nama keluarga Nenek dan Arwah Tokcik. Mungkin berkat munajatnya kepada Allah dan doa Nenek yang Nurin lihat tidak pernah tinggal bangun sembahyang sepertiga malam.

Ting! Tiba-tiba satu perkara terlintas difikiran Nurin sekarang. Apa kata jikalau wang itu tidak dijumpai semula? Apa kata jika tiada siapa yang tahu bahawa Miss Chen telah tersilap kira? Apa kata jika Nurin terus dituduh mengambil wang itu? Akan busuklah nama Nurin. Nurin cucu Nenek, cucu arwah Tokcik. Nama Nenek dan arwah Tokcik akan terpalit sama.

Sekarang Nurin sedar bahawa dia telah memperkecilkan tanggungjawab untuk mempertahankan dirinya sendiri di hari dia diminta menggantikan wang yang tidak cukup itu. Nurin tahu sepatutnya dia berkeras supaya wang kutipan yang diserah pada hari itu dikira semula. Memang Nurin sedar sekarang bahawa dia tidak sepatutnya meninggalkan supermarket itu sehingga kiraan wang kutipan jualan di kaunter yang Nurin jaga di kira semula. Sepatutnya dia mesti pandai mempertahankan namanya dan dirinya sendiri sekaligus maruah keluarga Nenek dan arwah Tokcik.

Nurin melihat jam didinding. Sudah pukul 12 tengahari. Nurin jadi teringat kepada Pak Uda. Pak Uda yang dalam perjalanan balik ke Kuala Terengganu mesti sudah berada di sekitar Jerteh sekarang. Nurin mengakui kebenaran hujah Pak Uda semalam. Seingat Nurin, Pak Uda sering mengeluarkan pendapat yang agak tidak sewarna dengan orang lain, dan selalunya dia betul. Itu kelebihan Pak Uda. Patutlah Pak Uda selalu mendapat kepercayaan Nenek dan menjadi rujukan ibu dan bapa saudara Nurin yang lain.

Lagu Ana Rafali yang dijadikan nada dering telefon bimbit Nurin berbunyi lagi. Kali ini Nurin sengaja membiarkan lagu itu berlarutan tanpa mengangkat telefon. Nurin mahu menghayati lagu ini sedalam-dalamnya. Ada bait-bait ayat nyanyian Ana Rafali yang seakan-akan sama dengan apa yang mahu Nurin perkatakan kepada Pak Uda sekarang.



Tolong ingatkan aku

Kisah ku tersedar

Dengan kasih memeluk rasa



Bila marah merasuk minda

Kecewa menyelubungi jiwa

Aku lupa



Nurin membiarkan panggilan itu tidak berjawab. Sebaliknya tangan Nurin ringan mendail nombor di telefon bimbitnya.

“Hello, Assalamualaikum Pak Uda...... Nur minta maaf”.



Sekian.
Sekarang jom pergi undi kat Kisah Klasik Kita. Hahaha.

Saturday, February 12, 2011

Nak Kaya Kena Usaha

Kebanyakan kita tidak boleh lari daripada rasa mahukan dan tamakkan duit. Semua orang mahu duit. Lagi banyak lagi baik. Inilah yang dimanipulasi cukup-cukup oleh kebanyakan orang atau organisasi.

Peluang buat duit sering muncul di wiper
Ke mana sahaja kita pergi, ada-ada sahaja pamplet atau circular yang mengajak kita buat duit. Bukan sikit-sikit, puluh-puluh ribu, malah juta-juta.

Ajak kita bisnes ikan keli, akan dipanggil jutawan keli. Ajak bela cacing, jutawan cacing. Ajak promote e-book, jutawan e-book. Sikit lagi skim jualan kelapa parut pun mungkin menjadi jutawan nyiur mesin.

Apa yang aku perhatikan dan baca dalam kebanyakan pamplet yang terdapat di merata, terutama di wiper kereta, tiada pula dinyatakan:
  1. Apa bisnes yang nak dilakukan
  2. Apa barang atau produk yang nak dijual
  3. Apa aktiviti yang perlu dibuat 
  4. Berapa modal, berapa harga jualan, etc
Apa yang perlu dibuat ? Cakaplah...
Yang banyak ditulis pada pamplet adalah kata-kata motivasi dan kata-kata cabaran untuk kita join skim tersebut. Juga testimonial yang bermacam-macam daripada mereka-mereka yang telah mendapat puluh-puluh dan ratus-ratus ribu. Siap tayang kereta lagi beb! Asas perniagaan adalah terdapat barang atau servis yang hendak dijual. Kalau tak ada barang, meniaga angin, takut akhirnya keluar asap.

Apa yang aku nampak adalah lebih kepada pengumpulan wang yuran. Dia kutip daripada kita, kita kutip daripada orang itu, orang itu kutip daripada orang sinun, orang sinun kutip daripada ......... Lagi banyak kita promote, lagi banyak orang join, lagi banyak duit yuran, lagi banyak duit masuk akaun.... Setakat ini, itu yang aku faham.

Hanya satu yang perlu kita ingat, selain daripada mak dan ayah kita, tiada orang yang nak bagi duit banyak ribu gitu-gitu sahaja kepada kita. 

Friday, February 11, 2011

Gores dan Menang

Pemakmur hidup Melayu?
"Bodoh punya olang," si cina gendut itu memaki aku.

Nasib baik aku sabar, maklumlah waktu dah betul-betul nak masuk maghrib.

"Duit pun tak mahu. Bodoh!" dia masih memaki sambil berlalu.

"Kalu lu cerdik, lu angkat sorang la duit tu..." Aku membalas. Ikutkan hati, mahu aku pelangkung je mamat ni.

Dia terus pergi sambil sambil mulut celuparnya terus mengata aku yang tiba-tiba menjadi amat sabar dan tabah ini!

Kenapa orang yang menjaja 'gores dan menang' selalu datang ke rumah kita dikala kita paling tidak bersedia menerima tetamu? Macam mamat ni, datang time maghrib. Dia kecek wife dan jiran aku yang tengah bersembang di pagar. Dia suruh gores dulu. Takpa maa....

Bila aku tersedar, aku keluar rumah dan masuk campur, dia mula mengecek aku pula.

"Ini RM100,000 boleh menang punya...." keceknya sambil menunjukkan paper cina. Macam mana dia tahu yang aku tak boleh baca tulisan cina?

"Dah! Dah! Orang nak sembahyang maghrib dah ni, kami tak nak," aku berkata tegas.

"RM100,000 loo.... tengok ini paper, sudah ada olang menang maa....." Dia terus berpisang di situ.

"Lu simpan je RM100, 000 tu, cukup, maghrib dah....!"

Dia naik angin sebab tak dapat perdaya aku. Terus dia memaki marah-marah.

Aku tak tahu dia ni cina MCA ke Gerakan ke, DAP ke, PKR ke, atau ahli kelab penyokong PAS (Umno sah bukan, sebab Umno untuk Melayu & Bumiputera sahaja), yang aku pasti, dia memang seorang soilek tegar!

Aku tak salahkan dia. Duit punya pasal, semua orang desperate maa....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...