Thursday, March 31, 2011

Datuk Datuker Datukest

"Datuk, saya ...... Datuk ...... kerana Datuk ...... Datuk ..... Datuk  ... Datuk ..... Datuk ......... bla bla bla Datuk ... Datuk. Ini Datuk ye .... kerana Datuk ...."

Aku ke mesyuarat PIBG tadi. Bukan AJK pun, sebagai  ibu bapa aku kenalah tunjuk sokongan kepada pihak sekolah.

Seorang Datuk anak tempatan dijemput untuk merasmikan mesyuarat.

Jadi, di atas itulah ucapan alu-aluan pengerusi PIBG. Dalam satu ayat 4-5 kali dia sebut datuk. Itu datuk, ini datuk. Macamlah dia berucap untuk Datuk jemputan tu seorang.

Dalam suasana pukul 3 lebih di dalam dewan sekolah tu aku bayangkan perbicaraan video lucah Anwar Ibrahim bermula.

Memandangkan semua yang terlibat adalah hamlau yang sudah dianugerahkan pangkat datuk, pastinya dialog di atas itulah juga yang bakal diucapkan oleh pendakwaraya, peguambela dan hakim.

"Datuk, saya ......Datuk......kerana Datuk......Datuk.....Datuk...Datuk.....Datuk.........bla bla bla Datuk...Datuk. Ini Datuk ye....kerana Datuk...."

Wednesday, March 30, 2011

Sungguhpun Dia Cantik ...

Di sini banyak kisah hidup
Hanya seketika di dalam ERL dari KLIA ke Cyberjaya, banyak yang aku tahu tentang gadis pramugari MAS ini. Aku dapat tahu banyak kisah hidupnya. Dengan siapa dia berkawan. Apa aktivitinya saban hari. Di mana dia lepak bersama kawan-kawan. Apa dia nak masak malam ni. Dan banyak lagi.

Gadis pramugari MAS berbaju kebaya uniform kerjayanya ini sungguh jelita. Kulitnya putih macam telur dikupas. Suaranya ok macam juga gadis-gadis lain. Fesyen rambutnya up-to-date dan bergaya. Tubuhnya lansing dan mencemaskan. Hidungnya mancung. Baunya pun pastinya wangi. Walaupun aku berada jauh darinya.

Ya, aku berada jauh darinya! Tetapi aku dapat kenal dan tahu sebahagian daripada kisah dan hal peribadinya.

Adakah aku ini ada superpower yang dapat menembusi kotak fikirannya?

Adakah aku telah terbaca diarinya yang tercicir, barangkali?

Adakah aku telah lama berFB dengannya?

Adakah aku pembaca setia blognya?

Atau adakah aku memang ada skandal dengannya?

Ha Ha Ha....

Semua orang dalam koc itupun macam aku, tahu kisah hidupnya. Manakan tidak. Dari awal dia naik ERL di KLIA, sampailah dia turun dengan anggunnya sambil menarik beg travel hitamnya di Cyberjaya, dia tak henti-henti bercakap di telefon.

Dia bercakap dengan suara yang jelas dan dapat didengari oleh semua orang di dalam koc itu. Kadang-kadang dia ketawa. Pasti kawannya yang berada di talian membuat lawak. Kadang-kadang dia mengekek, mengilai, mencemik. Seolah-olah dia sedang bercakap di dalam suasana privasi rumahnya.

Dia tidak hiraukan sedikit rabutpun orang sekeliling yang terkelikpah-kelikpah terpaksa mendengar dia berborak sakan dengan rakannya di telefon.

Walaupun dia cun, tetapi aku tidak sanggup melihat dia yang ralik berborak. Aku sendiri merasa termalu oleh perlakuannya dan aku rasa orang lain juga begitu. Lebih baik aku melayan pemandangan di luar keretapi yang cantik dan tidak sengal.

Sayang sungguh. Walaupun dia cantik dan seksi berkebaya, dia seolah tiada kemaluan!

Tuesday, March 29, 2011

Tips Join MLM Untuk Orang Kerja Makan Gaji

Dulu-dulu ramai juga kawan aku join skim MLM ni. Ye lah, teruja juga tengok orang lain pakai Mercedes dan BMW. Ke mana saja depa pergi, mulut mereka berbuih dengan kelebihan produk masing-masing. Kadang-kadang aku beli juga. Mesti support kawan nak meniaga.

Ada jugak yang ajak aku join.

"Takpe lah, aku tak pandai cari orang. Kalau setakat nak paksa adik beradik aku masuk, lepas tu senyap. Baik tak payah," aku selalu beralasan begitu.

"Takpe, nanti aku tolong. Kau join saja," kawan aku tak mahu mengalah.

"Biarlah bro. Aku malam-malam nak tidur lah," aku beralasan lagi.

"Semua orang tidur malam. Kadang-kadang je ada meeting," jawab dia lagi.

"Aku kan makan gaji," alasan lagi.

"Eloklah sambil-sambil kau jumpa orang boleh promote," dia memberi idea yang mungkin brilliant fikirnya.

"Eh! Inikan MLM?" Aku berlagak jahil teropong.

"Ye lah Multi Level Marketing, kalau banyak downline lagi baik," dia menghurai.

"Aku ingat MLM tu singkatan untuk MALAM, jadi kalau kita makan gaji waktu siang, kita kena buat kerja-kerja cari down line ni waktu malam sahaja," aku berkata bersahaja.

"Kau ni, kalau nak mengena pun agak-agak la....." Dia tarik muka.

Dalam hati aku Yessss! Sebijik!


Monday, March 28, 2011

A Tale of Two Cities

Rambut sama hitam, boroi lain-lain
Pernahkah Rahim Thamby Chik membaca? Oppsss maksud aku pernahkah Rahim Tambi Chik membaca cerita dalam novel A Tale of Two Cities karangan Charles Dickens?

Cerita dalam A Tale of Two Cities berkisar pada tahun 1780an iaitu pada masa  kebangkitan marhaen yang tertindas di Perancis atau Revolusi Perancis. Dua cities yang dimaksudkan ialah Paris dan London. Rakyat Perancis yang telah tertindas sekian lama mula bangkit dan memberontak.

Marhaen yang berjaya bangkit telah mengheret sekalian bangsawan dan pembesar yang selama ini kebal dan besar kepala ke tempat pembalasan yang setimpal dengan mereka iaitu dihukum mati dengan dipancung! Dengan sebuah alat pemancung kepala terkemuka di Perancis iaitu, the guillotine.

Aku bukan nak bercerita pasal Revolusi Perancis, tetapi berkenaan satu bab dalam buku A Tale of Two Cities iaitu satu babak perbicaraan dalam mahkamah. Seorang pemuda, Charles Darnay telah diframed dan dituduh di mahkamah. Bukan kerana liwat atau menzinai pelacur Cina, tetapi kerana ditohmah menjadi spy dan menjual maklumat rahsia Britain kepada Perancis.

Semasa seorang saksi memberitahu mahkamah yang dia boleh mengenali wajah tertuduh jika ditunjukkan kepadanya, peguambela telah menunjukkan kearah salah seorang lawyer dalam team pembelaan iaitu Sydney Carton. Serta-merta saksi itu jadi confius dan tergamam. Ini adalah kerana Sydney Carton dan Charles Darnay mempunyai wajah yang hampir-hampir sama. Tidaklah begitu sama seperti Aidil Zaquan dengan Zafuan Adha, tetapi adalah iras-iras seperti Chua Jui Meng dengan Datuk Eskay. Atau Anwar Ibrahim dengan Datuk Suhaimi Ibrahim GPMS.

Walaubagaimanapun pengarang buku ini, Charles Dickens tidak pula bercerita mengenai keboroian Charles Darnay dan Sydney Carton. Siapakah yang lebih boroi, atau siapa yang lebih tonggek, atau siapa yang lebih tan kulitnya.

Charles Darnay terselamat daripada tali gantung, hukuman untuk treason di England dari dulu sampai sekarang. Semata-mata kerana ada orang yang seiras dengannya.

Carilah buku ini. Read it and weep.

Kalau malas baca, dah difilemkan pun.

Sunday, March 27, 2011

Melampau La Ni...

Dulu pada 1992, pernah jemaah tabligh diharamkan di Melaka yang belum lagi maju pada masa itu.

Selepas itu ramailah pencacai yang mengambil kesempatan mengiyakan tindakan ini dan mengkondem jemaah tabligh ini. Tak hygienic lah, tak produktif lah, malas lah dan macam-macam. Sedih juga orang kita ni, kalau disko ke karaoke ke mesti ok saja. Tapi kalau bab agama, ada kes sikit, kondemnya bukan main.

Bagi aku senang sahaja, kalau kita tak nak ikut tabligh, fine, tapi janganlah condemn orang yang ikut tabligh. Depa ada pendapat dan pegangan sendiri. Lagipun ianya jauh lebih baik daripada membuang masa apalagi merempit.

Mat Sabu pernah ber'joke' dan sinis pasal pengharaman tabligh di Melaka ni,

"Tabligh diharamkan di Melaka kerana tertinggal kayu sugi dalam masjid"

Haha... Memang lawak Mat Sabu ni.

Baru-baru ni aku terjumpa benda dalam gambar atas tu kat satu surau, ini tiada sangkut paut dengan Jemaah Tabligh, tetapi mesti bersangkut paut dengan orang yang baru lepas lunch dan nak sembahyang zohor.

Woi brader, benda-benda berDNA ni seperti penyungkil gigi dan tuala good morning janganlah ditinggalkan merata-rata terutama dalam surau. Nanti kena fitnah, masuk video, siapa yang susah? Abang T juga yang susah hati kena tuduh. Abang tu tabligh la. Bukan Datuk T!

It'a Bird... No, It's a Frog...

Casligas
It'a bus...
Na na na na na tenganu kite...

Saturday, March 26, 2011

Pameran Solo Si Kecil Berkaitan Isu Semasa

Talhah menunjukkan karya terbaru yang berjudul 'DNA' yang bergitu kompleks sehingga menjalar ke dinding.

Talhah begitu tekun memikirkan konsep lukisan siri 'Pilihanraya Sarawak'
Talhah dengan gaya thumb-up dR. Rozmey berlatar belakangkan lukisan 'Datuk T', '110%' dan 'Tuala Good Morning' 

Seniman Talhah telah mengadakan pameran solo di dinding rumah sewanya. Mama dan abahnya hanya melihat dengan hati terbuka. Ikuti wawancara pemberita dengan si cilik prolifik ini.

Pemberita : Assalamualaikum adik.
Talhah : Waalaikumussalam.
Pemberita : Adik pandai baca doa makan?
Talhah : Allahumma.......(Sampai habis)
Pemberita : Wah pandailah adik. Siapa ajar?
Talhah : Mama.
Pemberita : Boleh bagitahu apa yang adik lukis?
Talhah : Adik lukis macam-macam.
Pemberita : Yang ini apa adik lukis? (Sambil menunjukkan satu lukisan)
Talhah : Macam-macam
Pemberita : Siapa ajar adik melukis?
Talhah : Adik.
Pemberita : Kakak ajar?
Talhah : Adik.
Pemberita : Terima kasih.... Adik pergi main dengan Kak Yong, abah nak buat kerja ni....



Friday, March 25, 2011

Contest SHORT STORY of 20 WORDS

Klik untuk ke blog Cik Aiza

 SAYANG SI NONI

Dengan senyum besar di bibir, Noni duduk bertimpuh di atas pasir. Tangan gempalnya dengan penuh lemah lembut mengambil sepotong kek dan menyuap ke mulutnya. Cara Noni memegang kek menampakkan jelas cincin berlian besar di jari tengahnya. Rais dan isterinya tidak menghiraukan perlakuan Noni. Mata mereka tetap memandang sebuah pulau yang kelihatan kelabu di horizon.
.
Mereka sedang berfikir, alangkah baiknya jika mereka tinggal di pulau tersebut. Jauh dari kemodenan, jauh dari teknologi. Yang penting terhindar jauh daripada pengaruh negatif yang mereka rasakan sedang menular di hati sanubari anak perempuan mereka, Noni sekarang.
.
Walaubagaimanapun, anak perempuan mereka yang baru berumur sebelas tahun itu tetap istimewa. Anak inilah tempat tumpahnya kasih dan cinta mereka sebagai ibu dan ayah. Anak inilah racun dan penawar bagi mereka.
.
Rais pernah menggadaikan rumah mereka kerana Noni mengugut tidak mahu ke sekolah jika Rais tidak menukar kereta Proton Saga mereka kepada sebuah MPV. Sejak hari itu, Rais hanya terpaksa memikirkan tentang bagaimana mahu mendatangkan wang yang banyak. Semuanya untuk memenuhi hasrat Noni, anak kesayangan mereka yang sedang bercita-cita mahu menjadi seorang wanita pertama suatu hari nanti.
.
Semasa memandu pulang dari pantai itu, Rais masih memikirkan tentang masa depan Noni. Sejak bercita-cita besar itu, karenah Noni semakin menjadi-jadi. Dia hanya akan makan makanan yang baginya ada kelas, yang hanya sesuai untuk golongan atasan. Tatkala menolong ibunya memasak di dapur, bermacam-macam protokol dikenakan kepada si ibu. Perlu timbang lobak, ukur kalori santan, timbang garam, mesti gunakan gula batu dan bermacam-macam lagi perkara yang memeningkan isterinya. Dia juga enggan balik kampong datuk dan neneknya sekarang. Leceh dan kampungan, katanya.
.
Rais terfikir, jika kematian menjemput mereka suami isteri ketika ini, siapalah yang sanggup menjaga Noni anak mereka yang bagi sesetengah orang adalah seorang budak pelik. Memikirkan itu membuatkan jalan yang terbentang lurus di hadapan Rais nampak seperti dipenuhi ranjau dan berbelit-belit.
.
Besok hari Ahad, Rais dan isterinya sudah berjanji untuk membawa Noni ke Menara Kuala Lumpur. Noni mahu berada di menara itu dari pagi sampai ke malam kerana katanya, dia mahu menikmati hembusan angin, merasai pancaran matahari, memerhati bulan dan membilang jumlah bintang-bintang dari tempat yang lebih tinggi daripada orang kebanyakan, sesuai dengan dirinya sebagai seorang First Lady in the making.
.
Sekian.

Tagged:
  1. Puteri
  2. Wawa
 Pesanan Penaja:
.
" Once you're tagged or volunteer to join this contest.. You need to write a SHORT STORY about 20 words that given.. At last, you need choose 2 people to be tagged.. Hopefully the person who be tagged must give some cooperation.. And it’s really mean to who are tagging.. If I tag you, it's because I want to know more about your talent in writing SHORT STORY.. And the words are:
Love
Money
Car  
Island 
Cake  
Mom
Dad 
Special 
Ring  
House  
Cook  
Eat  
Woman 
Road  
Moon  
Stars  
Sun  
Wind 
Death  
Smile 
You can use that 20 words random list and also can write it either in English or Malay.. Good luck"

Thursday, March 24, 2011

Angkara Datuk T

T - T.e.r.o.w.o.n.g
“Cakap! Siapa dia?” Jerkah ayah Noni.

Menyinga betul ayah Noni bila dia mendapat tahu anak dara suntinya telah besar perutnya dan bakal masuk ke Sekolah Harapan. Tahun ini anaknya baru nak ambil PMR, tetapi dah gatal dan pandai nak bermesra dengan lelaki. Budak-budak lain sebaya, semuanya rajin mengilik buku, anaknya pula rajin mengilik jantan.

“Caaaaakap!” Desak ayah Noni lagi sambil mengheret hidung Noni yang sudah berair dengan hingus akibat esakan.

“T ayah,” jawab Noni.

“T? T apa? T-rex, T-bone, Mr. T, T-Team?” Tanya ayah Noni inginkan kepastian.

“Datuk T”

“Oooo datuk, senanglah aku pau nanti..... Panggil dia datang sekarang, kalau tidak aku report sama Lim Guan Eng. Sekarang jugak aku akan kahwinkan kamu,” marah betul ayah Noni.

Selang setengah jam kemudian, menjalar kereta besar bercermin gelap depan rumah kayu usang ayah Noni. Dua lelaki bercermin mata hitam dan seorang bercermin mata biasa naik ke rumah dengan lagak tak takut dan tak heran apa-apa. Di dalam rumah ayah Noni, telah bersedia beberapa orang lelaki. Semacam satu majlis pernikahan ringkas akan diadakan. Memang itulah hasrat ayah Noni.

Setelah ketiga-tiga lelaki tadi duduk,ayah Noni mula bersuara.

“Siapa antara kamu ni Datuk T?”

“Saya,” jawab seorang lelaki boroi.

“Errr....Kami,” sampuk seorang lelaki lagi. Tubuhnya kasar. Macam nak telan anak dara orang sahaja raut wajahnya.

“Ya, kami,” sampuk seorang lelaki lagi yang persis penjual mapiau di tengah double line depan Penjara Pudu yang telah ranap sekarang.

“Apa?” Terkejut ayah Noni.

“Aku tanya siapa Datuk T. Aku nak dia kahwin dengan anak aku sekarang sebelum semester baru Sekolah Harapan dibuka semula,” tegas suara ayah Noni.

“Datuk T tu kami bertiga, trio,” jawab lelaki bertubuh kasar. Dua lelaki lagi hanya mengangguk kepala.

“Astaghfirullahalaziiiiim.....” Lelaki berserban yang semestinya tok imam beristifar panjang.

“Ni konsep trinity mana pulak yang kamu adopt ni yop?” Sampuk pula seorang lelaki bersongkok di sebelah tok imam. Pasti dia ni saksi untuk pernikahan yang bakal dijalankan.

“Ya pakcik-pakcik. Datuk T adalah kami bertiga. Tiga kami adalah seorang Datuk T,” Lelaki boroi membuat penjelasan. 

“Kami tiga orang ni semuanya berpangkat Datuk.... kami bergabung supaya lebih power, macam Power Rangers, bila bergabung, depa jadi kuat. Kami pun begitu,” kali ini lelaki bermuka penjual mapiau bercakap pula.

“Ya, kami semua ni Datuk-Datuk...”

“Jadi, siapa yang patut kahwin dengan anak aku?” Kasar pertanyaan ayah Noni.

“Pak cik boleh tak cakap elok-elok sikit.... Pak cik tahu kami ni siapa?” Lelaki bertubuh kasar mula bercakap lagak orang besar.

“Ya, hormatlah sikit bila bercakap dengan kami, kami-kami ni berpangkat Datuk,” amaran lelaki muka penjual mapiau.

“OOOooo Datuk.... Kau ingat aku ni siapa pula?” Ayah Noni bertanya balik. Dia mula menyinga.

“Jangan pandang aku tak ada mata, aku pun Datuk jugak. Datuk W,” beritahu ayah Noni.

Datuk T terkedu. Sungguh tak disangka, penghuni rumah kayu usang macam tu pun ada pangkat Datuk. Mata Datuk T mula terlihat pingat kebesaran dan sijil yang terpamer indah di dalam almari pinggan mangkuk di rumah itu. Rumah Datuk W!

“Tok Imam.... Errr... Mana boleh kahwin paksa....” Lelaki bertubuh kasar beralih kepada tok imam.

“Apa tok imam?” Sergah tok imam.

“Datuk al-imam V, aku pun ada title Datuk jugak. Mestilah digunakan, baru afdhal,” sambung tok imam. Datuk V rupanya dia.

Mata Datuk T terkebil-kebil. Mereka tiga orang sedang memikirkan bagaimana nak escape situasi ini. Nampaknya mereka telah terjerat.

“Datuk L, tolong telefon kedai hiasan kahwin milik Datuk B,” Datuk W mengarahkan kepada seorang lelaki yang sedang bersandar pada tiang seri rumah. Datuk juga manusia selekeh ini!

“Alamak....telefon gua tak ada kredit lah. Datuk C, engkaulah tolong telefon,” Datuk L meng’out source’ tugas kepada kawannya.

“Ok Datuk, roger and out,” sampuk seorang lelaki. Semestinya dia Datuk C. Mak oiii...Dah ambik SPM ke belum dia ni....mudanya dah jadi Datuk. Mungkin rupa je muda, umur tua.

“Datuk W, telefon kedai Datuk B, lu nak gua pesan apa?” Tanya Datuk C.

“Minta tambah lagi 2 kerusi atas pelamin. Kita kahwinkan trinity ni sekaligus!” beritahu Datuk W.

Mendengar kahwin tiga orang sekaligus, Datuk T tersenyum kinky. Tersengih macam kerang busuk. Tetapi, tiba-tiba senyum kinkynya menjadi tawar. Setawar-tawarnya. Ini bukanlah idea foursome yang diidam-idamkannya selama ini. Dia mesti mencari jalan untuk escape.

Tiada jalan lain, kecuali kembali kepada hukum Allah.

Sekian.

** Jika terasa, hanya kebetulan. Ini cerita rekaan jiwa yang serabut dan marah semata-mata.

Wednesday, March 23, 2011

Biologi & Ilmu Hisab Untuk Datuk T

Dengar sini tambi warpaq!

    Pinjam gambar bro, gua peminat lu
  1. Aku pernah nampak mat saleh seiras Eman Manan sedang selongkar tong sampah di Bath, Avon.
  2. Chua Jui Meng, Datok Suhaimi GPMS dan Anwar Ibrahim, kalau pergi tengok wayang, sorang je perlu bayar.
  3. Brutalsolo kalau ikutkan sahamnya mesti seiras Johnny Depp, kecuali dia lebih gelap, lebih pendek dan lebih kemek hidungnya (Jgn marah bro).
  4. Aku sendiri pertama kali pergi rumah bakal mentua dulu-dulu, dia ingatkan Aziz M. Osman telah mengorat anaknya (Dulu gua cekeding bro).
  5. Boss aku dulu sebijik macam SM Salim.
  6. Brader yang dapat tender pasang khemah hari tu dengan rambut, ketinggian, sebijik M Daud Kilau.
  7. Annuar Musa kalau letak hampas kopi kat pipi, sebijik Muhyidin Yassin.
  8. Tukang masak dari Thailand depan ofis aku dulu sebijik macam Syarifah Aini, cuma kurang tahi lalat.
  9. Ustaz Azam, Imam di Masjid Negeri Ipoh, sebijik macam Ustaz Ismail Kamus. Cakap pun sama.
  10. Anak saudara aku sebijik dan setua Jalil Hamid sehingga aku terpanggilnya abang!
  11. Aidil Zafuan sebijik macam Zaquan Adha.
  12. Khairul Fahmi Che Mat masa rambut panjang sebijik macam mamat yakuza di Osaka.
  13. Kawan aku sebijik macam Alwi Che Amat walaupun dia benci Umno.
  14. Bini aku dah berapa kali orang sangkakan Kajol dah masuk Islam.
Sila faham. Kalau setakat seiras, janganlah nak kecoh. Apalagi kalau boroi dan tonggek!

Pergi Mamposlah...

Dulu Ustaz Ismail Kamus ada berkata,

"Dia mintak Allah panjangkan umur..... Tapi bila orang tanya umur berapa? Dia jawab rahsia....Menyampah!"

Sekarang ada pula jenis yang gila nak dapat gelaran Datuk. Maklumlah  kalau letak Datuk kat depan nama, nampak gempak. Hebat. Boleh tayang sama orang kampung dan jiran.

Tapi bila dah lama pakai gelaran Datuk, tak nak bagitau pula nama sebenar. Pakai abjad saja.

Datuk T, Datuk S, Datuk M, Datuk Q. Sampaikan tengah tunjuk video lucah kat orang pun, kenalkan diri sebagai Datuk T sahaja.

Warpaq la lu. Blah!

Monday, March 21, 2011

Bagi Betis Nak Peha


Terengganu memang negeri cantik
 Suatu hari di Penang, sambil memegang t-shirt I love Penang.

Pembeli: Berapa harga ni uncle?

Penjual: RM16.00

Pembeli: RM8 boleh?

Penjual: Lu angkatlah.

Pembeli: RM4 ?

Penjual: (Angguk-angguk)

Pembeli: RM2 uncle??

Penjual: HEI....BLAH LU BLAH.....

Pembeli: (Dalam hati) Biadap betul cina DAP ni!

Saturday, March 19, 2011

Suka Duka Orang Politik


Hatoyama: 'Anwar' atau 'Nizar' versi Jepun?

Yukio Hatoyama mungkin merupakan manusia yang paling gembira apabila parti pimpinannya, Democratic Party of Japan (DPJ) berjaya menamatkan penguasaan lebih 50 tahun Umno Barisan Nasional Jepun iaitu parti Liberal Democtaric Party (LDP) pada 30 September 2009.

Hatoyama seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun menggantikan Taro Aso dari parti LDP yang baru setahun menggantikan Yasuo Fukuda juga yang baru setahun menggantikan Shinzo Abe yang juga baru setahun menggantikan Junichiro Koizumi. Koizumi satu-satunya PM Jepun yang dapat memerintah melebihi 5 tahun semenjak 1972.

Pengganti-pengganti Koizumi tidak dapat memegang jawatan PM melebihi setahun. Yang lebih sedih tentulah isteri-isteri mereka kerana belum puas jadi First Lady, dah terpaksa shopping bayar sendiri!

Di waktu LDP sedang berdepan masalah kepercayaan rakyat, Hatoyama daripada parti pembangkang, DPJ bijak merebut peluang. Asalnya Hatoyama adalah seorang ahli parlimen Umno daripada parti LDP juga, cuma dia keluar jadi pembangkang pada 1996 dan menubuhkan DPJ. Kelebihan dan kebijakan Hatoyama ditambah dengan kebobrokan LDP, akhirnya menyungkurkan parti ketuanan Jepun yang memerintah sejak lebih 50 tahun itu.

Hatoyama memasuki ofis PM dengan penuh bergaya. Banyak pembaharuan dan penambahbaikan yang telah diperkenalkan oleh kerajaan baru pimpinannya. Apatah lagi apabila beliau adalah seorang berkelulusan Ph.D, sememangnya beliau bijak. Kebijakan beliau yang pertama adalah meninggalkan LDP pada 1996!

Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan lebat ditengah hari. Yukio Hatoyama terpaksa meletekan jawatan pada 2 Jun 2010, setelah hanya 9 bulan berada di ofis PM! Hatoyama bukan dijatuhkan secara kudeta atau campurtangan istana Jepun, tetapi beliau dikaitkan dengan skandal kewangan dan janji pilihanraya terutama untuk memindahkan penempatan askar Amerika di Pulau Okinawa. Hatoyama digantikan dengan Naoto Kan, yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Hari ini pastinya Naoto Kan berasa sedikit kesal kerana menyanggupi tugas PM daripada Hatoyama kurang setahun yang lalu. Sekarang Naoto Kanlah yang terpaksa tidak dapat tidur sedikitpun dan perlu sentiasa ke depan menghadapi apa jua persoalan selagi tragedi tsunami dan letupan loji nuklear belum reda di negara matahari terbit itu.

Naoto Kan juga berhadapan kemungkinan terpaksa meletak jawatan setelah semuanya terkawal kelak. Kerana selain tekanan meletak jawatan daripada pihak lain, itu juga adalah sikap orang Jepun. Kalau tidak masakan ada askar Jepun yang melakukan harakiri atau seppuku apabila mereka tewas di Perang Dunia kedua dulu.

Hari ini dalam kesedihan melihat keadaan negaranya, Hatoyama mungkin berasa sedikit bersyukur dengan apa yang telah terjadi kepada karier politiknya. Taro Aso juga mungkin baru hari ini timbul rasa bersyukur parti LDPnya kalah kepada DPJ pada 2009. Ya lah! Siapa yang sanggup bertanggungjawab untuk menjawab soal kehilangan jiwa dan harta benda yang begitu besar? Apa lagi apabila tragedi ini bertambah mudarat dengan beberapa letupan loji nuklear!

Jika kita renungkan semua ini, berbaloikah kita berbalah dan membuat fitnah untuk menang satu dua kerusi?

Kecualilah jika kita berhabisan dan berjuang hanya kerana Islam. Kerana Allah!

Friday, March 18, 2011

Ujian Allah Untuk Nihon-Jin


Jamadi terpaksa mendongak untuk berborak dengan Abe-san,
sedangkan aku dapat bercerita pasal Sin Chan dengan santai

Masanori Abe atau Abe-san berdiri di belakang kami sambil memegang beberapa helai tuala. Mulutnya tak putus-putus menuturkan, I am sorry, I am sorry sambil menundukkan kepala dan bahu. Naik serba-salah aku dibuatnya.

Jamadi, Arahman dan aku sedang mengambil air sembahyang di sinki sebuah hotel terkemuka di Tokyo. Selesai mengambil air sembahyang, kami masing-masing dihulurkan tuala putih oleh Abe-san sambil diiringi kata-kata, I am sorry. Lagi!

“It’s ok Abe-san,” itulah yang kami bertiga dapat katakan kepada Abe-san.

Kami sebenarnya dijemput untuk menghadiri welcoming lunch untuk meraikan kedatangan kami ke Jepun di sebuah hotel. Apabila makan-minum sudah usai dan waktu zohor pun sudah lama masuk, lalu Arahman yang sudah haji sekarang, meminta izin untuk kami bersembahyang di situ.

“OK. We will vacate this room for you,” segera mereka bersepakat untuk menunggu di luar bilik yang telah ditempah khas untuk welcoming lunch itu.

Apabila mereka mengetahui kami perlu berwudhuk, Abe-san segera mendapatkan tuala daripada pihak hotel dan menunggu di belakang kami yang sedang berwuduk sambil menuturkan, I am sorry dengan menundukkan kepala dan bahu. Selepas itu mereka cukup menjaga waktu solat kami semasa kursus.

Abe-san adalah penyelaras program kami di Jepun. Beliau dibantu oleh seorang wanita yang seakan menjadi ibu kami, Kanai-san dan seorang gadis jelita Sakata-san. Abe-san jauh lebih tinggi dan lebih handsome daripada aku. Umurnya baru 25 tahun. Memiliki ijazah sarjana dan fasih berbahasa Inggeris dengan accent Amerika. Orangnya berbudi bahasa dan santun walaupun rambutnya persis seorang ahli J-rock jepun.

Suatu hari di dalam train, aku pernah berkata padanya,

“Abe-san. In my home town, Abe means big brother. So, I will call you brother...”

“Ooo is it? but  noo...I am younger than you,” jawabnya penuh skima. Mungkin kerana baginya, dia sedang bertugas sekarang, mewakili kerajaan Jepun.

Rata-rata orang Jepun yang aku jumpa begitu komited dan tahu tugas mereka. Mereka amat mementingkan keselamatan. Pernah seorang pemandu bas berkata kepada kami yang sedang dalam perjalannan ke sakura City, dalam bahasa Jepun yang kemudiannya diterjemahkan oleh Kanai-san, fascilitator kami.

“Gentlemen, we are now entering a motor-way. For safety, please fasten your seat belt”

Kita baru bercerita tentang safety belt di kerusi belakang dalam kereta, mereka telah lama menguatkuasakan pemakaian seat belt di dalam bas!

Sekarang Jepun dilanda tragedy. Doa aku untuk keselamatan rakan-rakan yang pernah aku kenali di Jepun. Aku tahu bangsa mereka kuat, komited, rajin, accurate, berpengetahuan, berkeyakinan, berkebolehan, beriltizam. Mereka mampu bangkit kembali. Sebagaimana mereka mampu bangkit semula dalam masa yang singkat setelah dikejutkan dan dimusnahkan oleh 2 butir bom atom lebih 60 tahun dahulu.

Ganbare Nihon-jin.

Thursday, March 17, 2011

Deejay Ahli Syurga

Syurga itu tempat pengakhiran
setiap muslim
"Syurga Allah itu amat luas. Nak masuk syurga tidak terbatas kepada satu-dua perkara sahaja. Kita boleh masuk ke sana jika kita beribadat dan ikhlas..." Itulah lebih kurang kata-kata seorang ustazah jemputan di Radio Malaysia Kelantan. Aku dengar semasa berada di dalam perjalanan Kuala Lumpur - Kuala Krai. Aku selalu mencari channel 97.3 apabila melewati sempadan Kelantan untuk melepaskan rindu.

Rancangan ini adalah soal-jawab agama. Perantaranya adalah seorang DJ yang agak popular di Kelantan aku rasa.

"Ye lah, adik kakak, jangan runsing...." DJ itu terus berkata apabila ustazah tersebut habis berkata-kata.

".... Jangan runsing. Syurga ni luas..." Dia berkata, aku rasakan dengan nada seolah-olah dia telah memajak sebahagian daripada syurga untuk dibahagi-bahagikan kepada sesiapa sahaja yang mahu. Kemudian dia menyambung lagi.

"Organisasi yang ada di tempat kita ni pun, bukannya ada di Mesir, bukan ada di Turki, bukan ada di tempat lain. Orang di sana pun boleh masuk syurga juga walaupun tak ada organisasi ni...." Lebih kurang kata-katanya. Aku faham sangat!

Aku faham sangat maksud DJ itu hendak mengaitkan isu undi PAS masuk syurga yang digembar-gemburkan oleh media dan orang berkepentingan. Di Mesir, Turki betullah bukannya ada parti PAS. Orang gila pun tahu ini semasa dia waras.

Tetapi di sana, di Mesir, Turki, di mana sahaja, ada perlawanan antara parti sekular dan parti Islam. Antara penyokong Apco Israel dengan penyokong Islam anti-Zionis. Antara penyokong rasuah dengan penyokong anti-rasuah. Antara penyokong penipuan dengan penyokong anti-penipuan. PAS, UMNO, Ikhwan, Hamas, PKS, Golkar,  Likud, itu hanyalah wadah semata-mata.

Perlukah seorang DJ mempunyai leher yang panjang seperti angsa? Supaya dia sempat berfikir sebelum kata-kata keluar dari mulutnya? Rasanya tidak la kan...

Sudah 20 tahun lebih Tok Guru mentadbir Kelantan. harap-harap DJ-DJ di sana kendur lah sikit. Tak ada gunanya pun.

Wednesday, March 16, 2011

Apa Itu Cinta? Cinta Itu Bodoh!


Aku bergegas ke library. Tepi tingkap cermin level 1 library menghadap ke refectory menjadi destinasi pentingku. Begitulah rutin aku beberapa detik sebelum pukul 2 petang setiap Isnin.

Seketika kemudian, di celah-celah manusia berhidung mancung dan berambut perang, kelihatan 2 gadis Melayu bertudung berjalan beriringan sambil mengepit buku dan fail. Pastinya mereka sedang menuju ke kelas mereka di bangunan 4East. Perhatian aku hanyalah kepada salah seorang daripada mereka. Yang lebih merah pipinya dan lebih manis senyumnya.

Si dialah yang telah membuatkan aku menjadi bodoh tergesa-gesa ke library pada masa ini. Si dialah yang membuatkan aku menjadi bodoh tercegat di tepi tingkap ini. Dialah yang menjadikan aku bodoh memerhatikannya berjalan sehingga kelibatnya hilang di sebalik pintu 4East.

Kenapa aku katakan bodoh?

Aku tidak sepatutnya menjadi penunggu setia tingkap cermin library ini, kerana aku pun ada kelas pada pukul 2 hari ini!

** Entry ini adalah untuk memakmurkan segmen apa kata kamu tentang chenta di blog al-Hakim. Klik gambar di atas untuk ke sana.
Tagged:


Nak Jadi Handsome


Beginikah cara nak kelihatan handsome?

Tanyalah penduduk Manchester, team mana pujaan mereka. Mereka samada menyokong Manchester City atau Manchester United. Tak ada yang kononnya hanya menyokong Manchester secara atas pagar. "Asalkan Manchester menang" dan "hidup Manchester" bukanlah zikir dan retorik mereka.

Baru-baru ni Dr. Mahathir melancarkan bukunya, 'A Doctor In The House'. Aku belum baca lagi dan tak berminatpun nak baca buku itu. Tetapi sekurang-kurangnya dia ada tulis buku, taklah brader Isham Tukar Tiub boleh kutuk dia kaw-kaw kerana tak tulis buku. Kak kah kah. Dulupun dia ada tulis buku 'Malay Dilemma'.

Tengku Razaleigh atau Kuli yang juga seorang Umno mengatakan buku terbaru Mahathir sebagai 'pembohongan politik'. Setuju tu memanglah aku setuju. Tetapi mana pula buku Kuli untuk dibaca? Sebelum Tukar Tiub tanya, baik aku tanya dulu. kak kah kah.

Kuli kebelakangan ini nampak lain dari yang lain. Dia perjuangkan isu royalti petroleum untuk Kelantan dan banyak mengeluarkan kenyataan berkaitan kebobrokan Umno. Tetapi dia masih setia di situ. Masih menjadi tulang belakang Umno semasa PRK Galas melawan Pas. Sehingga Umno dapat merampas balik kerusi itu daripada Pas.

Bagi aku, kalau dah terang tempat duduknya korup dan salah, buat apa di situ lagi. Kalau dah tahu zalimnya menafikan royalti petroleum Kelantan, tak berprinsipnya kudeta di Perak, buat apa pakai lagi nombor keahlian itu? Sekurang-kurangnya jadilah seperti Zaid Ibrahim KITA.

Adakah ini kerana jika kita melawan rasuah dan penyelewengan semasa masih berada dalam Umno, kita akan nampak lain dan nampak macam berjuang untuk rakyat? Jika berjuang melawan korupsi di luar Umno, kita hanya akan nampak semacam CikguBard?

Tak perlulah Kuli mahu kelihatan handsome dengan bergaul mesra dan mengelilingi orang-orang yang cedera muka dan fizikal. Itu hanya satu taktik yang masih terpakai untuk mengaburkan mata orang yang tak baca buku dan segan untuk mencari maklumat alternatif.

Banggakah kita apabila kelihatan paling handsome semasa bergambar dengan banduan-banduan di sebuah penjara di Rwanda?



Tuesday, March 15, 2011

Allah Lebih Menyayangimu, Kawan

Today we may have a meeting,
Tomorrow,
can I assure to have another meeting with you guys?
Semalam seawal 6.30 pagi, aku sudah memecut ke Dungun. Ada program di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin. Selepas tamat di situ, aku ke Majlis Perbandaran Dungun (MPD) untuk meneruskan agenda kerja aku pada hari itu.

Selesai semuanya. Sebelum berpisah, aku mengajak kawanku Pak Nil untuk minum di kantin MPD.

"Hang tahu Cik Man dah dapat pindah?" Aku membuka isu.

"Eh! Ke mana?" Biasanya Pak Nil siarannya setanding Aljazeera kalaupun tidak lagi hebat dalam bab-bab tukar-menukar tempat kerja. Kali ini dia tak tahu pula.

"HQ, aku dengar orang cakap," beritahu aku.

"Nanti sikit lagi Cik Samu pun dapat pindah ke sana juga," tambah Pak Nil. Menyerlahkan kabel fibre optiknya. Aku hanya mengangguk setuju.

"Nanti Nasir pun dipindahkan ke Selangor bila dia sihat nanti," aku pula menunjukkan kabel wireless aku yang hanya bersadur harapan. Aku merujuk kepada kawan sepejabat yang kini sedang dirawat di ICU, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Hari ini genap 2 minggu dia di ICU.

"Kuasa Allah. Dia boleh buat apa saja. Yang tiada kepada ada. Apalagi orang yang memang dah ada....... Walau satu per seribu sekalipun. Chances masih ada," itu antara dialog aku kepada Pak Nil yang mendengar sambil meneguk teh tarik. 

Kami berpisah. Pak Nil ke Selatan. aku ke Utara.

Melewati Rantau Abang, aku lihat ada ada call masuk di telefon yang aku silentkan. Aku berhenti di tepi jalan untuk menjawab telefon (Keselamatan diutamakan!).

"Li, demo tahu dah? Kawan kita dah meninggal, baru tadi," suatu pemberitahuan yang membuatkan perjalanan aku ke Kuala Terengganu terasakan begitu lama. Gambar-gambar ingatan suka dan kesal bersilih ganti difikiran. 

Allah lebih mengetahui. Dia yang menentukan segalanya. Kita disuruh berdoa dan berharap kerana kita hamba dan Dia Tuhan.

Mohd. Nasir, seorang pemuda tak banyak cakap yang banyak senyum meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak. Semoga mereka semua dapat berkumpul semula di syurga Allah kelak. Ya Allah. Ampunkanlah dosa-dosa mereka sekeluarga. Jadikanlah mereka soleh dan solehah. Amin.

Al-Fatihah.

**Entry sebelum ini.

Sunday, March 13, 2011

Sebijik, Baru Padan Muka

Sekali Ustazah ni baca, berdesiiing
Pukul lapan lebih aku tercongok di depan TV. Berita sukan. Kelantan kalah kepada Pahang 2-0, tetapi masih mendahului liga. Man U menang lagi. Rooney score sebijik.

Habis berita. Ada rancangan Mentor. Aku tak layan rancangan realiti TV, tetapi malam ni aku terlekat depan TV. Teruja juga nak tengok performance Afdlin Shauki. Dia tu bijak dan kreatif. Jadi aku layan juga la Mentor tu.

Tiba-tiba anakku Salsa berdiri tercegat di hadapan aku.

"Abah, abah tak bagi kakak tengok Idola Kecil. Tak elok abah cakap. Kakak tengok Mentor ni serupa je dengan Idola Kecil," kata-kata Salsabila ini rasanya lebih pedas daripada komen Ramli M.S dan lebih realistik daripada komen Ziana Zain.

"Errr..." Aku tergagap sambil memandang isteri aku di sebelah yang buat-buat tak tahu. Tapi riak wajahnya aku faham paku buah keras yang dipulangkan kepadaku. Rasakan! Adussshhh.

Saturday, March 12, 2011

Penyelamat Dunia Mula Menjengkelkan

Asal hari Sabtu je, boss mesti potong gaji aku 20 sen, apasal ha?
Ada korang tahu kenape?

Kempen mengurangkan penggunaan bag plastik aku rasa semakin menjengkelkan. Hampir semua kedai pun sekarang pada hari Sabtu, cashiernya akan bertanya,

"Nak plastik ke?"

"Ye la...Payah nak bawa, banyak ni"

"Hari ni kita caj 20 sen untuk satu supik"

Bengkak rasa aku mendengarnya. Nak selamatkan dunia, bukan begitu caranya. Cuba cari satu barang dalam kedai yang tidak dibungkus dengan plastik. Jumpa? Ada berapa? 

Apa kata jika barang-barang ini pun dikenakan caj tambahan 20 sen, kerana ada plastik sebagai pembalut atau pembungkus.

Macam mana pula dengan pembungkus daripada kertas. Beg kertas? Tak kena caj? Sepatutnya kalau bungkus dengan suratkhabar kena caj 30 sen. Sebabnya kertas tu dibuat daripada pokok. Pokok dah jadi endangered species sekarang.

Bagaimana dengan kenderaan yang dipandu pada hari Sabtu. Kilang yang beroperasi pada hari Sabtu? Mereka inilah penyumbang utama kepada masalah greenhouse effect sekarang. Caj mereka.

Kalau betul-betul nak selamatkan dunia, hapuskanlah dahulu pemimpin-pemimpin plastik yang sering menipu kita. Katanya bersama kita, menangis bersama kita. Tetapi di belakang kita, berapa banyak juta projek dia sambar main-main. Berapa banyak komisyen dia telan main-main.

Kita juga perlu hapuskan sikap Hosni Mubarak dalam diri kita. Jauhi rasuah, jauhi saman ekor, jauhi maksiat, jauhi penganiayaan, jauhi pembohongan, jauhi penyalahgunaan harta rakyat, jauhi pemborosan harta rakyat, jauhi penindasan dan jauhi riba. Itu lebih afdal daripada penggunaan sehelai supik gelenyar rokrak pada hari Sabtu.

**Bacaan berkaitan "Hikayat Supik Gelenyar"

Tukar Tiub di Kuala Terengganu

Negeri cantik, budaya menarik
Basikal anak aku dah lama bocor. Hari ini aku muatkan dalam kereta dan bawa ke kedai basikal. Di Kuala Ibai, dekat masjid terapung. Aku lihat banyak basikal yang dijual dan ada juga tempat membaiki di situ.

"Ooo... Sini tak buat," Beritahu seorang bukan bumiputra dari dalam kedai.

"Mana ada kedai baiki basikal dekat-dekat sini?" Aku bertanya.

"Tak tahu lo. Di bandar ada, tapi wa tak tahu mana lo," beritahunya.

Aku berpusing balik ke arah Marang. Dekat Masjid Hj. Hadi di Rusila aku nampak kedai yang kelihatan macam kedai membaiki basikal.

"Boleh repair tiub basikal sini?" Aku bertanya seorang pemuda dalam kedai. Bumiputra dia.

"Tak buat sini," jawabnya.

"Mana ada tempat repair tiub basikal sini?" Aku tanya lagi.

"Seberang jalan sana?" Katanya menunjukkan ke arah kedai berdekatan lampu isyarat.

Aku buat U-turn ke kedai yang dinyatakan.

"Sini basikal tak buat, motor saja," beritahu seorang bumiputra dalam kedai yang sedang menggodek tayar motosikal.

"Mana ada buat?" Tanya aku.

"Sana...." Jawabnya sambil menunjuk ke arah kedai di seberang jalan. Kedai tadi yang aku telah kunjungi. Malas cakap banyak, aku ucapkan terima kasih dan berlalu.

2 kesimpulan yang bermain di otak aku: 
  1. Patutlah negeri paling kaya ini masih secara statistiknya mempunyai rakyat yang paling miskin.
  2. Patutlah Pas dapat memerintah sepenggal sahaja di sini walaupun banyak pembaharuan dan kebaikan yang telah parti itu perkenalkan.
Sepanjang jalan balik, aku memerhati kalau-kalau ada kedai baiki basikal. Di mana agaknya budak-budak yang naik basikal ke sekolah repair basikal mereka? Sampai di rumah, on komputer, layan Tukar Tiub lagi baik. Kah kah kah.

Friday, March 11, 2011

Jangan Umno Jadi Atlantis



Another lost city underneath?
 
Melihat bendera-bendera sang saka merah putih di sebuah tasik di Bukit Besi, mengingatkan aku tentang sebuah kerajaan agung zaman dahulu yang telah disebut oleh ahli falsafah Plato dalam karyanya.

Atlantis, sebuah kerajaan pulau di tengah Lautan Atlantik dikatakan begitu kuat dan makmur. Banyak jajahan takluknya. Tetapi akhirnya ia tenggelam di telan lautan yang sentiasa menganga dalam masa sekejap sahaja.

Ada perdebatan samada Atlantis benar-benar wujud atau hanyalah sebuah fiksyen khayalan Plato. Yang nyata kepada kita, semua makhluk di dunia ini, tak kira betapa agung atau kuatnya mereka, pasti musnah dan lenyap. Termasuklah kita.

Oleh itu janganlah kita mendabik dada mengatakan hanya kitalah yang boleh memakmurkan umat. Hanya kitalah yang mampu mentadbir negara. Hanya kitalah yang pandai menguruskan ekonomi. Hanya kitalah yang pandai mengamalkan Islam secara sederhana dan mencerca golongan yang mahu menegakkan hukum Islam.

Sekarang yang berkuasa sewenang-wenangnya mengawal media, mengawal autoriti, mengawal ekonomi, mengawal ekses. Bila yang menentang mereka secara demokrasi tergolek kecundang, dia mendabik dada takbur mengatakan dia kuat. Betapa dangkalnya pemikiran...

Aku kuat berpendapat dan yakin, jika Atlantis pernah wujud, antara sebab ia tenggelam ghaib adalah kerana rasuah yang merajalela dan penguasanya menaikkan harga bahan api sesuka hati. Mungkin juga kerana berleluasanya penipuan dalam pemilihan ketua cawangan Atlantis Selatan.

Thursday, March 10, 2011

Satu-Satunya Kebaikan Saman Ekor

Berbaloikah membayar tol untuk menghadapi ini?
Hishamuddin mencari tempat redup untuk memarking motosikal EX5 nya. Dari jauh dia lihat barisan panjang manusia. Panjangnya! getus hati Hishamuddin. Tetapi dia tiada pilihan. Dia terpaksa menyertai barisan yang panjang dan berliku-liku itu.

Hampir-hampir tok bilal masjid berdekatan hendak melaungkan azan, barulah Hishamuddin sampai di kaunter. Dilihat penjaga kaunter lengkap beruniform biru kemas dan cantik sekali.

"Cik adik, tiket  ke Johor Bharu 11 haribulan untuk seorang," hishamuddin cuba bersuara mesra dengan penjaga kaunter yang comel lote.

Si comel lote hanya memandang tepat ke arah Hishamuddin. Kemudian berkata,

"Ramai lagi orang di belakang, di sini bukan tempat bergurau"

Hishamuddin memandang sekeliling. Tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang.

"Bro, lu lalok ke? Orang mau bayar saman ni, lu sibuk nak balik kampung apahal?" Seorang brader berambut cacak menegurnya.

Hishamuddin tersedar. Alamak! Macam mana boleh silap ni. Buang masa dan karan betul. Hishamuddin terus berlalu sambil hatinya berbisik,

"Alangkah baiknya jika di saat ini aku mempunyai satu saman, walaupun yang berekor sekalipun"

Wednesday, March 9, 2011

Patutlah BN Masih Bernyawa

Cantik? Umm...
Rumah kau? Noo...
Suatu hari di kedai kopi tepi balai polis selepas membayar saman ekor.

"Assalamualaikum pakcik," aku menyapa.

"Ummm...." Jawabnya. Mungkin salam aku dijawab dalam hati.

"Pakcik orang sini ke?"

"Ummm...."

"Pakcik datang ni nak beratur bayar saman juga ke," aku membuka isu bicara.

"Umm......" Jawabnya nak tak nak sambil meneguk kopi panas.

"Banyak ke saman pakcik kena?"

"No...." Dia menggeleng. Matanya kelikpah-kelikpah.

"Saman ekor ke?"

"Ummm....." Semacam kesal suaranya.

"Tak patut ye," aku cuba menduga.

"Nooooo," panjang jawabnya.

"Speed trap ke?"

"Ummmmm..."

"Pakcik yang drive kereta tu?"

"No"

"Depa nak kutip duit ni pakcik," cadang aku.

"Ummmm," dia setuju.

"Tak patut kan..." Aku meminta sokongannya.

"No," dia tak setuju pulak.

"Pilihanraya dah dekat ni...mesti lah nak cari dana," aku berkata lagi.

"Ummm," kopinya dah tinggal separuh.

"Patut kita tukar kali ni pakcik," aku bersuara macam CikguBard.

"Nooo...." Tegas jawabnya.

"Pakcik ni  kerja kat mana?" Aku cuba soalan lain. Bosan asyik ummm.... dan no sahaja jawapannya.

"Umm...Eh! Kat wisma sana tu," katanya sambil memuncungkan mulut ke arah sebuah wisma nun jauh di hadapan.

"Kamu ni kerja kat mana?" Dia pula bertanya padaku.

"Saya baru lepas sekolah pakcik. Tingkatan 6..." Jawab aku.

"Macam mana result STP kamu baru ni?" Tanya dia sambil menghirup kopi o nya. Mungkin tegukan yang terakhir.

"PASSSSS....."

Urkkk.....Dia tersedak dan menghambur kopi o habis ke muka aku. Soilek betullah.

Monday, March 7, 2011

Tolong Doakan Kawanku

Assalamualaikum,

Minta sama-sama tuan-puan mendoakan untuk kebaikan kawan saya Mohd. Nasir yang sedang berada di ICU.

Spt yang telah saya sebutkan sebelum ini.

Terima kasih banyak-banyak tuan-puan. Allah merahmati kalian dan keluarga kalian.

Sunday, March 6, 2011

Aku Kerdau Aku Merlimau

Aku aku kau kau
Apa pula kau nak risau
Aku makan bila lapau
Kau puasa kau punya pasau


Aku aku kau kau
Ulau melingkau atas pagau
Balik semak main pakau
Duit aku apa peduli kau


Aku aku kau kau
Aku steady kau sasau
Kau persis terkena santau
Berjalan macam kena pukau


Aku aku kau kau
Kau kecil aku besau
Kau hodoh aku lawau
Kau bodoh aku pandau
Kau kena boo aku kena wow
Aku dijulang kau dipulau
Hak aku Kerdau
Hak aku Merlimau
Kau boleh blah now!
1Malaya aku yang kawau haw haw haw
Wang besau wang besau haw haw haw

Saturday, March 5, 2011

Marhaen Menanti : Satu Drama Sempena PRK Merlimau & Kerdau

Mereka ini pun mengharapkan dilahirkan di Merlimau atau Kerdau 
Air mata Mail mengalir keluar tanpa dapat ditahan. Anak-anaknya 5 orang yang berada di tangga rumah ditenungnya dalam-dalam. Dia berasa gagal sebagai seorang bapa. Fail. F9! Gagal dia dalam memberikan keselesaan dan kebahagiaan kepada anak-anak dan bininya.

Dia telah berusaha, tetapi mungkin itu saja rezekinya. Kalau anak dia seorang dua, mungkin dia mampu memberikan mereka sedikit kesenangan. Ini berceretek. 3 orang anaknya di sekolah rendah, 2 orang di sekolah menengah, seorang sudah pandai berjalan-jatuh dan seorang lagi masih dalam buai.

"Ayah janji ye...." Anaknya, Ahmad Maslan yang darjah 3 sempat berkata semasa bersalam dengannya.

"Ye la ayah, Amir malu la ayah...kasut ni dah koyak rabak. Kasut tahun lepas lagi ni ayah," anaknya yang darjah 4 pula menyampuk.

"Kita tunggu ye," Mail menjawab menyedapkan hati anak-anaknya.

Mana Mail nak cekau duit nak beli kasut sekolah baru untuk anak-anaknya. Sekarang laut masih bergelora. Tak dapat dia ke laut. Semua orang pun tak dapat ke laut.  Mereka, nelayan tradisional, asyik menjahit pukat sahaja sekarang. Itu yang mereka dapat lakukan, selain main dam di wakaf dekat jeti. Majoriti mereka kais pagi dan petang hanya untuk mendapat belanja sekolah anak-anak. Selain mengkayakan orang tengah.

"Tunggu apa ayah? Dari dulu ayah kata tunggu, tunggu, tunggu.....Tahun lepas lagi kena tunggu, tunggu apa ayah?" Amir yang banyak mulut bertanya dengan nada protes.

"Seminggu-dua lagi ayah beli la kasut sekolah baru, jom kita pergi sekolah," Adila anak sulungnya yang berada di tingkatan 3 cuba menyedapkan hati adik-adik. Dia tak mahu terlewat.

"Tapi ayah tunggu apa?" Tanya Amir, masih tak puas hati.

"Tunggulah. Adalah nanti rezeki kita," jawab Mail lagi. Masih sama. Tunggu, nanti, tunggu, nanti.

"Tunggu apa?" Tanya Asfar, yang darjah 2. Cuba masuk daun.

"Ye la ayah, kita kena tunggu apa?" Tanya Amir lagi. Anak yang ini memang degil sedikit berbanding yang lain. Tak takut siapa pun.

"Cakap la ayah, apa yang ayah tunggu. Kita kena tunggu apa?" Tanya Aidil Zaquan, tingkatan 1. Juga bersuara akhirnya.

"Kita kena tunggu apa ayah?" Desak Ahmad Maslan, yang sudah berada beberapa langkah di hadapan, kini berpusing balik menghadap ayahnya.

"Ye lah ayah. Dari dulu ayah kata tunggu, tunggu. Pelik juga," Adila juga menyertai demonstrasi mendesak ayah mereka.

Mail tak dapat menahan sebak melihat anak-anaknya yang tiba-tiba bangkit semacam rakyat Mesir menuntut Presiden mereka berundur. Tiba-tiba dia bermadah.

Merlimau Kerdau tanah berkat,
Mendapat pemimpin berumur singkat,
Kita tunggu sekadar melihat,
Tempat kita didatangi malaikat

"Kita tunggu je wakil rakyat tempat kita ni mati.....Nanti berlari depa semua berebut datang ke mari," kata Mail seterusnya.

 Entah anak-anaknya yang sedang terlopong di tanah itu faham atau tidak...

Friday, March 4, 2011

Dia Lebih Dulu Makan Garam .... dan Etak

Gambar dari blog Dari Singgora Ke Pasir Mas
Seorang pemberita stesen TV menemuramah seorang mak cik penjual etak (etok) di Palekbang, Tumpat. On the way ke Kok Majid.

TV: Banyak jual etak mak cik ? Berapa lama dah menjual etak ni ?

Mak cik : Oh...Entot ni....Entot pulak, tercakap luar pulak. Etork ni lamo dah mok cik jual. Jak muddo lagi. Maso belum kahwin dulu dah jjual etork ni.

TV: Banyak dapat sehari ?

Mak cik: Bolehlah buat sekoloh anak-anak.

TV: Sedap ke etak ni mak cik ?

Mak cik: Kalau setakat Mc Donnel tu, baik dia la cik kak. Hargo pun muroh. Serial je sekopi.

TV: Musim taun ni, takpe ke makan etak ?

Mak cik: Bakpo pulok belabit ke etork penyakit taun tu cik kak weiii....

TV: Orang kata risiko kena taun tinggi jika makan etak.

Mak cik: Di Mekah tiap tahun dok geger oghe kena taun tu, demo tu pernah make etork ke?  Buat homework gak dulu cik kak sebelum nak intabiu mak cik ni.

Pemberita TV hanya tersenyum tawar.

Thursday, March 3, 2011

Tuala Good Morning Lelaki Y

Pak Usop terbongkok-bongkok menyusuri barisan panjang yang bersimpang-siur seperti ular kena palu itu. Pak Usop agak mahu 1.8 km barisan itu jika diluruskan dan masing-masing yang beratur mendepangkan tangan ke depan mencecah ke bahu orang di hadapan masing-masing. Mata Pak Usop tetap meneliti ke lantai.

“Woi, orang tua, tak belajar sivik ke?” sergah seorang anak muda berambut biru.

Pak Usop mendongak. Matanya menikam mata anak muda berambut biru yang menegurnya setajam-tajamnya.

“Aku tak pernah belajar sivik, belajar silat ada la... Nak tengok ke?” Jawab Pak Usop selamba. Anak muda itu terkedu. Dia buat-buat pandang ke tempat lain.

“Pak cik, panjang orang beratur ni, janganlah potong queue,” seorang gadis cun bersuara lembut kepada Pak Usop.

Pak Usop tersenyum. Ada juga anak muda yang pandai bercakap seperti orang Melayu pure zaman sekarang. Lega dan berbunga hati Pak Usop.

“Pak cik bukan nak potong barisan anak manis. Pak cik cari barang pak cik yang hilang,” Pak Usop memberitahu niat sebenarnya.

“Apa yang hilang pak cik?” Tanya gadis cun.

“Tuala pak cik nak,” beritahu Pak Usop.

“Macam mana boleh hilang kat sini pula?” Gadis cun bertanya lagi. Pemuda berambut biru dan ramai lagi yang sedang beratur masing-masing mendengar.

“Panjang ceritanya. Biar pak cik pendekkan,” Pak Usop duduk bersila di atas lantai lagak seorang penglipur lara dan mula bercerita.

“Alkisah, tadi aku sama-sama beratur di sini. Dari pukul 6 setengah pagi lagi aku dah mula beratur. Aku pun nak bayar saman sebelum nama aku kena blacklist. Walaupun blacklist tak sebahaya black metal. Tetapi ianya cukup untuk membuatkan aku jadi mental,” Pak Usop berhenti sambil mengeluarkan rokok gudang garam dan meletak ke bibirnya.

“Eh! Pak cik mana boleh hisap rokok, sini balai polis lah,” pemuda berambut biru menegur perlakuan Pak Usop.

“Kau diam kepala biru karat! Aku tau la... Saja nak test tahap sivik kau aje,” sergah Pak Usop sambil meletakkan balik gudang garam ke dalam poket bajunya. Pemuda berambut biru sekali lagi buat-buat memandang ke arah lain tetapi telinganya dipasang untuk mendengar kisah lanjut Pak Usop.

“Aku kena saman ekor di Lebuh Raya Pantai Timur, dekat Maran. Dalam saman tu katanya kelajuan aku naik motor 140 km sejam,” Pak Usop mula bercerita.

“Wuii.... Lajunya, pak cik ni merempit juga ke?” Sekali lagi pemuda berambut biru berlaku celupar.

“Woiii kepala biru karat, kau nak aku ajar kau sivik ke atau ajar kau silat? Kau apa tahu?... Lain kali kalau marhaen bercakap, apalagi marhaen saluran satu macam aku ni, kau mesti dengar. Barulah akal kau jadi panjang sikit. Sekali lagi kau menyampuk, aku paksa kau buat kuda-kuda kat sini sampai pukul empat karang,” Pak Usop membebel panjang kepada pemuda berambut biru yang kali ini betul-betul memandang ke arah lain. Tak sanggup dia bertentangan mata dengan Pak Usop. Orang lain yang ramai sedang beratur turut marah-marah kepadanya kerana masing-masing mahu mendengar cerita Pak Usop tanpa gangguan.

“OK, aku sambung, di mana kita tadi?” Pak Usop membetulkan silanya.

“Oh! Ya. 140 km sejam surat saman tu kata aku merempit. Betullah budak kepala biru karat ni kata tadi, ayatnya tu betul, merempit. Kalau dah naik motor 140 km sejam tu memang merempitlah tu. Aku orang tua, manalah aku larat nak pecut selaju itu. Aku tahulah highway tu jalannya elok, cantik, lurus. Tapi aku tak nak mencari risiko sia-sia dengan berbuat begitu. Aku tak nak mati di jalan yang lurus. Maksud aku, di highway yang lurus. Aku selalu berdoa lepas sembahyang untuk mati di jalan yang lurus. Maksudnya di jalan Allah, jalan Islam, jalan kebenaran. Bukan mati eksiden di highway yang lurus. Kau faham budak kepala biru berkarat?” Pak Usop dah mula mengenen pemuda berambut biru sebagai mangsa penceritaannya.

Pemuda berambut biru hanya mengangguk dengan penuh berminat. Diberanikan dirinya untuk bertanya.

“Wahai pak cik yang budiman, motor apa pak cik naik tu pakcik, berapa harganya?”

Pak Usop menjeling pemuda berambut biru, kemudian dia beralih menjeling kesemua orang. Akhirnya jelingannya melekat tepat kepada gadis cun. Lantas dia mencuba senyum semanis-manisnya. Dia berkhayal menunggang Honda CBR 900cc sambil membonceng gadis cun di belakangnya. Pasti dada gadis cun akan terpenyek ke belakangnya kerana dia semestinya akan membrek emergency seberapa kerap yang boleh.

Riang hatiku badan bertuah

Punya teman yang comel dan manja

Berjanji akan selalu bersama

Menemani ku sepanjang masa

 
Heh! Gatal betul orang tua ni. Lagu Basikal Tua Allahyarham Sudirman pula yang diingatinya. Lupa dia akan orang ramai yang tengah tercongok menunggu dia menghabiskan cerita.

“Aku ni menjual apam balik. Aku menjual di pasar-pasar malam. Hari ini pun aku ada buka gerai aku kat luar pagar balai polis ni. Selesai kamu semua bayar saman nanti, sila mampir ke gerai aku, ada diskaun untuk kamu semua. Ye lah kan, dah habis duit bayar saman, kenalah aku considerate sikit. Aku bagi diskaun 30 persen. Untuk gadis manis ni, pak cik akan bagi free sahaja,” kata Pak Usop.

“Terima kasih pak cik, nanti saya singgah,” jawab gadis cun. Ramah.

“Mana cerita tadi pak cik? Potong stim betul, iklan pulak dia ni...” Pemuda berambut biru rupanya tidak sabar mendengar cerita Pak Usop.

“Kau!” Sergah Pak Usop sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah pemuda berambut biru. Sebenarnya dalam hatinya gelak sakan melihat pemuda berambut biru yang jadi tak keruan dan gelabah sejak tadi setiap kali disergah olehnya. Maklumlah dulu-dulu di sekolah Pak Usup ni kaki buli.

“Tadi bukan iklan, ada kaitannya dengan cerita aku. Aku jual apam balik dengan motor roda tiga. Itulah satu-satunya means of transportation aku,” rupanya Pak Usop ni boleh tahan juga English Vacabularynya.

“Dan.... Motor roda tiga itulah yang kononnya merempit dekat Maran, di highway tu. Itulah yang aku musykilkan. Satunya, aku tak pernah bawa motor aku tu ke sana. Paling jauh pun setakat Gombak je aku pergi. Kedua, kalaulah ada orang lain, bini aku ke, nenek aku ke, jiran aku ke yang bawak motor tu tanpa pengetahuan aku, takkanlah sampai 140 km sejam deme tu lanyak motor cabuk tu. Speedometer motor itu pun baru 120 km sejam saja,” semua yang mendengar terdiam sambil menggeleng-gelengkan kepala. Kesian.

“Inilah yang aku hangat dan hangin sangat pasal saman ekor ni. Orang lain buat silap, tuan motor yang kena. Orang pakai nombor palsu, tuan nombor ori yang kena. Orang pinjam motor kita, kita kena tanggung risiko. Itulah sebabnya aku tak nak bayar pada mulanya. Tetapi bila dah time nak renew roadtax, aku terpaksalah beralah. Kalau tidak macam mana aku nak berniaga tanpa motor tu. Hangus RM300 duit aku. Kau orang tahu berapa hari aku jual apam balik nak dapat duit banyak tu?” Soalan Pak Usop meluru deras ke arah pemuda berambut biru.

“Tak tahu pak cik,” wajah pemuda berambut biru berubah comel apabila bercakap jujur dan ikhlas begitu.

“Bila aku nak bayar, kena beratur panjang dan lama pula. Tapi, mujurlah bini aku peminat buku-buku motivasi. Dia kata, abang kita buka gerai apam balik luar balai polis. At least tak tersia masa beratur panjang abang tu, dan dapat juga ganti sedikit sebanyak duit 3 ratus abang yang melayang tu,” beritahu Pak Usop sambil tersengih.

“Wow, rock lah isteri pak cik,” pemuda berambut biru mencelah.

“Haa...Baru kau tahu, kau jangan pandang aku takde mata budak kepala biru karat. Dulu bini aku pun berambut biru macam hang juga. Punk. Aku pun bertindik sana-sini juga. Tapi itu dulu la. Benda-benda jahiliyah ini tak payahlah kita nak hidupkan balik. Bukan budaya orang Islam pun,” Pak Usop membuka rahsia sekaligus menasihat.

“Dari pukul 6 setengah, pukul sebelas lebih baru aku dapat bayar. Selesai bayar, sampai kat luar pagar, dekat gerai apam balik motor roda tiga aku, baru aku terperasan tuala yang selalu tersangkut kat leher aku dah hilang. Tuala tu walaupun kotor, hodoh, tetapi ianya bagai bantal busuk bagi aku. Ni yang aku cari terbongkok-bongkok ni. Bukan aku nak potong queue!” kuat betul ayat yang terakhir Pak Usop tekankan. Sengaja nak bagi pemuda berambut biru kembali gelabah.

“Maafkan saya pak cik kerana tersilap sangka. Warna apa tuala pakcik tu?” Pemuda berambut biru meminta maaf sekaligus bertanya.

“Tuala good morning. Nak kata putih, dah kelabu asap dah,” beritahu Pak Usop.

“Pak cik, ni mesti tuala pak cik, saya jumpa tersangkut di cermin naco. Mesti ada orang letak kat situ bila terjumpa,” seorang gadis yang lebih cun daripada gadis cun tadi tiba-tiba datang menghulurkan sehelai tuala good morning kusam kepadanya.

Ucapan terima kasih Pak Usop tersekat di kerongkong apabila matanya terpaku melihat gadis lebih cun bertudung merah yang tiba-tiba muncul itu. Pak Usop ringan merasakan dirinya terbang dibawa ke konsert Malam Amal Palestin Wali Band di Stadium Sultan Muhammad ke IV sempena tahun baru 2011 baru-baru ini.

aku telah lelah

memilih memilih mencari wanita

siapakah dirinya

yang kan menjadi kekasih halalku

tiba-tiba aku terpana

ada kejutan tak terduga

dia gadis berkerudung merah

hatiku tergoda tergugah

tak cuma parasnya yang indah

dia baik dia soleha

Dia gadis berkerudung merah

bawalah diriku padanya

takkan habis ku berdoa

jadi kekasih halalnya

jadikan diriku halal

memeluk halal menciummu

lekaslah jangan tunda

untuk menjadi kekasih halalku

itu itu dia gadis berkerudung merah

hatiku tergoda tergugah

tak cuma parasnya yang indah

dia baik dia soleha

 
“Ada tanda ‘Y’ dengan marker ni. Betulkan, tuala pak cik?” Gadis lebih cun bertudung merah itu bertanya.

“Ya, cik adik. Pak ciklah pemuda ‘Y’ itu. ‘Y’ for Yusuf, nama pak cik,” pengakuan sukarela Pak Usop membuatkan gadis lebih cun bertudung merah, gadis cun dan orang lain termasuk pemuda berambut biru mengekek ketawa.

“Terima kasih semua kerana menemukan aku dengan tuala good morning aku ini. Banyak jasa tuala good morning ini kepada aku. Terlalu banyak DNA aku yang telah terlekat padanya,” kenyataan Pak Usop membuatkan orang ramai ngeri, terutama gadis lebih cun bertudung merah dan gadis cun. Eiiiii..... Menyedari itu, Pak Usop cepat-cepat membuat penjelasan.

“DNA, I mean Darah & Air mata tuan-puan. Keringat dan jerih-perih aku membanting tulang empat kerat menjual apam balik yang kadang-kadang bila hujan tak balik modal,” penerangan Pak Usop melegakan orang ramai.

Pak Usop mula hendak beredar, ke gerai apam baliknya di luar pagar balai polis sudah semestinya. Tiba-tiba dia berhenti, betul-betul di hadapan pemuda berambut biru.

“Kamu kepala biru karat. Buang saja warna biru tu. Buat malu je. Nanti kalau berhadas besar, takut-takut terhalang pula air nak ke rambut. Takkan kamu tak mandi wajib. Tak nak sembahyang. Bukan ada apa-apa yang kamu boleh simpan pun kalau tak mandi wajib. Kalau kamu belum kahwin pun, kita orang lelaki ni kadang-kadang termimpi benda pelik-pelik, kena mandi juga. You know what I mean,” ikhlas nasihat Pak Usop kepada pemuda berambut biru. Nasihat yang jelas dari pengalamannya sebagai seorang lelaki otai.

“Dan cik adik, anda juga dijemput ambil apam balik free dari gerai pak cik nanti ye,” sempat pula Pak Usop berpesan kepada gadis lebih cun yang berkerudung merah.

The End.


Jika anda tergelak, anda kena undi di Kisah Klasik Kita. Kah kah kah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...