Tuesday, May 31, 2011

Faedah Rasionalisasi

Yong sedang berfikir secara rasional
"Stesen janakuasa kita banyak yang guna arang batu. Arang batu dah naik harga ke?" Seorang sahabat di sebelahku tiba-tiba bertanya.

" Amah Indonesia pun naik harga, bibik ni kuat mencekik gula ke?" Yang perempuan di depan menyampuk.

"MAS pun nak naikkan tambang, surcaj bahan api katanya. Surcaj yang dulu, mana pi?" Seorang lagi mengeluh.

"Kita kan pengeluar minyak. Minyak tu hak siapa sebenarnya?" Seorang lagi turut join konversasi.

"Subsidi yang depa bising tu, bayar kat siapa sebenarnya?" Yang bertudung biru turut berbunyi.

"Ishhh... Tak logik...." Mereka sepakat.

Dalam hati aku gelak. Kah kah kah. Sekarang baru ramai yang mula berfikir secara rasional.

Barisan Rasional

Haa... Berapa persen Datuk Harimau?

Monday, May 30, 2011

Selamat Hari Lahir Salsabila


Salsabila peminat setia Laman Muhandis


Sunday, May 29, 2011

Peningnya Puteri Umno

Kerja mulia datang daripada hati mulia
-Gambar hiasan daripada Blog Puteri Umno KK
Sepasukan Puteri Umno yang cun melecun sedang mengusung biskut kering dan beras BN (Beras Nasional) ke rumah sepasang warga tua.

"Nanti pakcik dan makcik undi Umno ye..." Puteri Umno yang cun melecun menzahirkan niat sebenar mereka apabila biskut kering dan beras BN sudah berada di lantai rumah si warga emas.

"Kami tak sokong Umno, macam mana nak undi," jawab si pakcik.

"Pakcik undi Pas ke? Ish.. Tukar tiublah sekali pakcik," pujuk si Puteri Umno cun melecun.

"Tak aihh... Pakcik tak pernah undi Pas," jawab pakcik.

"Laaa.... PKR, teruk parti tu pakcik... Tunggangan DAP tu...."

"Pakcik sokong Parti Konservatif," jawab pakcik bangga.

"Makcik pulak sokong Parti Liberal Demokrat," makcik pula menyampuk.

"Ehhh... Mana ada parti tu kat sini? Tu kat England?" Hairan Puteri Umno cun melecun, tetapi riak wajahnya terlindung di sebalik mekap yang tebal.

"Mana boleh macam tu pakcik, makcik. Kita kena sokong Umno, parti Melayu kat Malaysia ni," seorang lagi Puteri Umno cun melecun menasihati.

"Kenapa? Tak boleh?" Tanya pakcik, tersinggung.

"Ye la. Tak ada kena mengena dengan perjuangan Melayu dan Islam langsung parti Konservatif dan Liberal Demokrat tu pakcik, makcik... Sokonglah Umno, itu baru parti Melayu kita. Kalau bukan kita, siapa yang nak sokong Melayu," Puteri Umno cun melecun berhujah di muka pintu rumah kayu itu.

"Tu... Hangpa semua dok sokong gila-gila MU dan Barcelona tu, ada kena mengena dengan Melayu? Berapa orang Melayu dah main kat Chelsea sampai korang nak sembahyang pun pakai jersi Chelsea," pakcik memulangkan paku buah keras.

"Hangpa semua dok kedai mamak bersorak tu ada untung kat Melayu ke? Mamak tu tak sokong mana-mana pun, dia cari untung dunia je," makcik pula menyampuk hujah pakcik.

Di tangga rumah, Puteri Umno cun melecun sempat berpesan, " Kita sokong parti mana pun tak apa pakcik, makcik, janji masa mengundi pangkah Umno. OK."

"Datanglah lagi ye," kata pakcik dengan senyum lebar dan manis. Mata tak berkedip. ADoiii...

Saturday, May 28, 2011

Pemandangan Kg Aur Cina, Pasir Mas di Waktu Malam

Aku sedang meng'update' blog

Negara Paling Harmoni

3 sahabat balik memancing
-Gambar oleh Kajol
3 sahabat sedang berbual sambil menunggu lecturer thermodynamics masuk.

Obama: Negara aku paling aman. Orang kulit hitam pun boleh jadi presiden.

Osama: Negara aku aman dulu, tetapi puak kau datang kacau.

Osman: Negara aku paling aman. Walaupun bermasyarakat majmuk, kami hidup dalam harmoni. Hormat- menghormati.

Osama: Hebat negara kau. Negara aku ada bangsa arab saja. Cuma ada Arab muslim, Arab kristian dan ada Arab yahudi. Huh... Payah nak bersatu kami ni. Tak macam negara kau Osman.

Obama: Negara kau hebat Osman, bermasyarakat majmuk. Negara aku cuma ada white Americans, Africans, Hispanic, Irish, Italian, Asian...

Osama & Obama: Negara kau ada apa bangsa?

Osman: Banyaakkkk.... Ada Melayu, ada Cina, ada India. ... Errr... Ada bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India... bangsa bumiputera, bangsa bukan bumiputera.... Errr... Ada bangsa rasuah, ada bangsa tak rasuah, bangsa alim, bangsa jahil, bangsa cerdik, ada bangsa bangang, ada bangsa bodoh bangang, ada bangsa menipu, ada bangsa mengampu, ada bangsa rasionalisasi, ada bangsa tak peduli, ada bangsa putar belit, ada bangsa ... dan banyak lagi.

Osama & Obama : Wuii banyaknya bangsa... Hebat... Kau bangsa apa?

Osman: Err...Aku mixed. Tetapi aku paling benci bangsa rasuah dan menipu.

Lecturer thermodynamics pun masuk....

Friday, May 27, 2011

Weeping Willow


Talhah & Farhan


Seingatan aku.

Aku tak pernah sombong.

Tapi kalau orang nampak jual, aku biasanya membeli.

BMI

Lawak, seks, sogok, 60-an...
Typical ni.
"Bro, berapa lu punya BMI?"

Apa la pakcik ni. Dalam ramai-ramai manusia tengah tengok, dia boleh tanya BMI aku berapa. Tak sensitif langsung. Aku tak menjawab.

"Lu tahu ke apa BMI bro?" Tak selesa la bila orang tua berbro-bro ni. 

"Bahasa Malaysia-Inggeris, British-Malaysia Institute .... Apa?" Aku buat-buat tak reti. Aku malas sangat layan orang jual barang ni.

"Bro, lu punya body dah nak sembab ni. Ni gua ada satu produk terbaik," katanya sambil menunjukkan satu gelang yang macam aku pernah lihat dalam TV.

"Gelang?"

"Bro... Lu tahu tak dalam tubuh kita ada Ying & Yang. Lu pakai gelang magnetik ni, nanti Ying & Yang lu ada balance. Bila ada balance, angin hilang, penghadaman baik, fungsi tubuh ok.... Barulah tak sembab macam ni. Tengok gua, umur 65, masih steady," katanya sambil cuba menepuk perut aku.

"Yang, sini kejap...."

Kami sama-sama berpaling apabila terdengar suara memanggil dari dalam kedai. Seorang perempuan yang membuatkan aku teringatkan ketupat sotong dan tauhu sumbat kelihatan melambai ke arah pakcik ini.

"Pakcik bro, lu punya Ying dah panggil."

Aku blah terus pi layan nasi lemak kat kedai sebelah.

Thursday, May 26, 2011

Tak Tanya Pun!

Bukan semua orang bodoh macam kita!
Sekonyong-konyongnya, semasa rakyat Malaysia berjuta-juta tengah bersantai melihat Boboiboy, tiba-tiba siaran TV terganggu.

Terpapar di muka TV, seorang yang amat dikenali dari Amerika. Rupanya siaran TV seluruh negara telah dihijack.

Dengan angkuh tetapi tersenyum dia berkata.

"Lihat Malaysians
Amerika tak serang pun negara kamu.
Tak sekat pun air kamu.
Tak bom pun stesen janakuasa kamu
Ini kerana kami bangsa yang baik dan mencintai dunia
Jadi, mana puak-puak fitnah yang kata kami ni pengganas?
Mana geng-geng extremist yang kata kami pengacau dunia sampai boikot Pizza Hut dan KFC kami?"

Tup! Boboiboy muncul semula.

Malam itu, rakyat Malaysia ramai-ramai bertwitter ke Amerika.

"Tak tanya puuuuunnn....."

Wednesday, May 25, 2011

Kajol Anak Mahaguru Silat


Baju putih adalah ayah.
Adik di sebelahnya baju hitam.
Salsabila di atas rumah menonton TV.

Malam, selepas isyak, rumah ayah meriah. Budak-budak datang belajar silat. Yang belajar tomoi pun ada.

Ayah banyak sub kerja-kerja mengajar kepada adik-adik. Entah bila depa dapat diploma persilatan daripada ayah, aku tak tahu. Alih-alih depa semua terer bersilat dan bertomoi. Entah-entah Kajol pun pandai bersilat. So far dia belum menunjukkan sebarang bunga silat kepada aku yang terjun tiruk pun tak pandai.

Ayah hanya banyak melihat anak-anak muridnya dari muka pintu sambil menyedut rokok. Kalau ada bunga silat baru, barulah dia masuk gelanggang dan menunjukkan skilnya.

Ayah tak banyak cakap. Senyum saja yang banyak. Mulutnya tak lepas daripada rokok.

Salsabila yang sedang menonton TV sesekali keluar untuk melihat orang bersilat. Sampai di muka pintu, dia melihat ayah yang sedang bersila lendik sambil menaziri anak-anak muridnya bersilat sambil menyedut rokok.

"Tok ayah ni.... Kan merokok tu harammm...."

Kata Salsabila lalu terus pergi menonton TV semula dengan gaya berjalan yang tersendiri.

Tuesday, May 24, 2011

Rahsia Seorang Ayah


Bang, pizza ada?
Esok dik!
Hari ni pagi-pagi lagi seorang kawan kat opis bertanya,
“Tengahari ni free tak?”
“Kenapa?”
“Ada kawan ajak makan kat Pizza Hut, Giant...”
Aku diam dan berfikir panjang.
“Kawan kita berhajat tu...”
Aku tersenyum tawar, masih tak cakap apa-apa. Sebenarnya dah lama aku tak ke Pizza Hut. Dah banyak tahun. Sejak Israel bantai orang Palestin di Gaza dengan bantuan Amerika dan sekutunya termasuk Mesir yang menutup sempadan. Sejak itu aku cuba boikot barangan Amerika yang aku mampu. Bukan saja Pizza Hut. KFC dan McDonald sekali.
Mulanya anak-anak aku bising juga. Terutama Salsabila. Bila mereka nak pizza, aku beli pizza kat pasar malam. Tetapi mana boleh sama dengan pizza hut. Bila mereka nak ayam goreng, aku bawa ke A&W. Sekarang dah ada Radix Fried Chicken, RFC, lagi okay.
Lama-kelamaan, tambahan pula cikgu kat sekolah pun ada cakap pasal kekejaman Israel dan sokongan Amerika, Salsabila menjadi pemboikot tegar barangan Amerika melebihi aku, abahnya. Kadang-kadang aku buat-buat ajak ke KFC pun dia menolak dan marah.
“Ok ke bos, tengahari ni?”
Aku tak tergamak menolak. Kawan yang mahu belanja kami tu sebenarnya mahu berjalan jauh untuk beberapa hari. Amsterdam! Lagipun kami satu seksyen. Aku yang mengepalai mereka. Apatah lagi semalam kami seharian sama-sama berpeluh di mahkamah untuk menyelesaikan satu kes. Jadi hari ni, kami satu seksyen macam membuat kesyukuran la kot. Tak manis rasanya kalau aku tak pergi.
“Ok...” Jawabku
Dalam hati rasa berbelah bagi. Kalau aku pergi, tapi tak makan pun lagilah tak manis.
Tengahari  itu, bila pizza rangup sudah di depan mata, aku berjaya habiskan 2 slices tanpa ingatkan Palestin sedikit rabutpun. Udang dan sotong tempura pun sempat aku balun tanpa terlintaspun riak wajah Ismail Haniyeh. Apalagi apabila pekena ginger bread cicah mushroom soup, timur tengah pun aku lupa di mana.
Janganlah harapnya anak-anak tahu aku ke Pizza Hut hari ini. Kalau mereka tahu, alamat makan penangan Salsabila lah aku nanti.

Saya Kena Laser, Saya OK

Saya kena laser, saya OK

Itu kata Khairul Fahmi Che Mat, goal keeper Harimau Malaya.

Akaun blogger aku kena block. Sekarang dah OK. (Soilek betul.... Dalam hati)

**Terima kasih kepada semua terutama,
Kajol yang mengambil berat dan sentiasa di sisi,
Eddy ayah Scarlet dari Keningau yang cool yang mengemail bertanya,
Fauzi Limbang yang bertanyakan melalui Facebook,
Wawa yang pagi-pagi dah bertanya,
Cik Bedott yang bertanya dengan muka yang penuh concern pertama kali kulihat.
Terima kasih semua

Sunday, May 22, 2011

Talian Hayat

A: Mana si dia?
B: Tu.... Tengah control air

C: Aku memang diperlukan siapa-siapa

Saturday, May 21, 2011

Nelayan Yang Nak Ke Bulan

Suatu pagi aku bersarapan nasi dagang
di warung usang tepi pantai
di kanan aku seorang nelayan tua
bersemutar dan berpelikat paras lutut
sedang menuang teh 'o' panas ke dalam piring

kau tahu?
tiba-tiba dia bersuara dan berpaling padaku
teh cepat sejuk begini kerana luas permukaannya bertambah
lebih banyak molekul air yang bersentuhan dengan bayu laut
aku hanya mengangguk kagum

kau tahu?
susu berketumpatan tinggi daripada air teh
sebab tu dia di bawah
katanya lagi sambil menunjuk kepada air teh aku
aku diam bertambah kagum

kau tahu graviti?
ia menyebabkan semua benda jatuh ke bawah
kecuali graviti bulan
ia menarik laut ke atas, lantas air pasang
sebab ia di atas, aku menambah

si nelayan melihat aku sambil tersenyum
exactly!
katanya yang membuatkan aku menyembur teh keluar mulut macam raksasa yang sedang melawan Ultraman Mebius
dia mengesat mukanya dengan semutar
dia masih senyum
ada point yang ingin dia perkatakan

bila kita berada di atas
bila kita berada di orbit yang lain
bila kita berpaksi pada paksi yang lain
tindakan kita selalunya bernatijah lain
walaupun cara kuasanya sama
walaupun punca kuasanya lebih lemah

kau lihat...
penguasa sepatutnya berada separas dengan rakyat
sepaksi dengan rakyat
seorbit dengan rakyat
supaya kuasanya digunakan untuk melekatkan kita di bumi nyata
supaya kita tidak bergelandangan di awangan
graviti penguasa sepatutnya digunakan untuk menurunkan
bukan menaikkan
tetapi penguasa memilih untuk melakonkan aksi graviti bulan
bukan graviti bumi

kau tahu?
graviti rakyat graviti bumi
lagi kuat, lagi besar
tapi kita tidak sedar
katanya bernada lamenting sambil merenung Pulau Kapas di belah kanannya
titisan terakhir teh 'o' di piring telah diteguknya

pak cik
aku bersuara setelah lama mendengar
graviti bumi menarik ke bawah
graviti bulan ada pasang ada surut
graviti penguasa tak pernah surut, semakin naik
si nelayan melihat aku tidak berkedip

pak cik
itu bukan graviti
sang penguasa tidak berpandukan hukum alam
itu graffiti
sang penguasa mencoreng dan merosakkan
kononnya mencantikkan tetapi sebenarnya menyembunyikan
bukan membaiki tetapi mengecat
bukan mengganti tetapi menyolek
lipstik plastik

anak... kamu engineer?
aku mengangguk
bagaimana pak cik meneka?
kamu mendengar teori sains yang aku katakan macam dah tahu
kamu tidak bertanya itu-ini
dan bila kamu berhujah
sebijik macam Nizar

Friday, May 20, 2011

Kita Digalakkan Sentiasa Memperbaharui Syahadah


Asyhadu alla ilaha illallah
Wa asyhadu anna Muhammadarrasulullah


Pendedahan Karekter Sebenar Anwar Ibrahim

Gadis cun
Hari Khamis balik kampong.

Jam hampir pukul 9 malam. Jalan basah kerana hujan sepoi-sepoi bahasa.

Dari atas fly-over Machang, aku meluncur laju mengekori kereta di depan dengan jarak hampir 5 saat. Tiba-tiba sampai di Kemuning, kereta di hadapan seakan berhenti. Aku turut membrek.

"Ni ada road block apa pulak di kala malam bulan mengambang ditambah hujan renyai-renyai ni'," aku berleter di dalam hati.

Aku nampak beberapa lelaki beruniform Rela dengan setianya menjaga traffik supaya slow-down. Ku lihat ke kiri. Ada kain rentang merah dengan gambar gadis cun impian lelaki macho, Ummi Hafilda. Jelas tulisan di kain rentang itu.

'Pendedahan karekter sebenar Anwar Ibrahim'.

Sayang aku tak ada masa nak join dengar dan tengok gadis cun kerana perlu cepat bergegas balik ke rumah untuk melihat cicak di siling rumah di kampung. Kalau tidak,  dalam ceramah tu mungkin aku akan dapat mendengar perihal sebenar Anwar. Mungkin betul tekaan aku selama ini bahawa Anwarlah sebenarnya lelaki yang bertopeng.

Aku yakin, dialah Batman, hero Gotham City.

Thursday, May 19, 2011

Masih Di Dapur Syaikal Gadis Kashmir


Dapur Eastwood Residence
Aku bersama Atok dan Apip masih di dapur Salwa dan Zura. Juga bersama housemate mereka, Anju si Angel dan Syaikal si non-practicing muslim.

Tiba-tiba masuk  ke dapur seorang minah Arab putih melepak bertudung litup dan berjubah. Typical Arab lady la ni.

"This is also our housemate. Hanan, from Lubnan. Second year chemical engineering," Salwa memperkenalkan si minah Arab kepada kami yang tengah asyik makan. Maklumlah dah 3 hari asyik telan roti dan epal sahaja.

"Hi..."

"Hello."

Aku hanya senyum dan tunduk saja. Tanda respek kepada seorang muslimah yang semestinya seorang practicing muslim. Bukan macam Syaikal yang bermata zamrud.

Tiba-tiba masuk seorang budak lelaki Cina pendek ke dapur. Macam budak bayi Dugro saja aku lihat.

"Hii...everybody. Eh! Baru datang sini ke?"

Perhatian budak Cina bayi dugro terarah pada kami yang sedang menjamu selera. Cina Malaysia rupanya budak ni.

"Ni Chris. Malaysia jugak."

Ooooo... Kami berlagak macam Ramli, Sudin dan Ajis dalam Siri Bujang lapok. Maklumlah datang dapur orang untuk makan free.

Tiba-tiba tangan Chris memaut pinggang Hanan yang ternyata lebih tinggi daripadanya. Mata aku terbeliak. Aku tak pasti pula dengan Atuk dan Apip. Rasa aku nak bangun tempeleng aje budak bayi dugro ni.

Tepuk sebelah tangan tak berbunyi. Tangan Hanan pula memaut pinggang si Chris bayi dugro. Alamak, mereka ni couple la, saling paut-memaut. Tetapi dengan pakaian Hanan begitu membuatkan aku berasa sungguh sengal.

Dua tahun selepas itu, aku terlihat seorang gadis ranggi yang rasanya macam pernah aku lihat. Dia berseluar jeans dan berblouse putih. Cukup menampakkan cuttingnya yang boleh tahan. Rambutnya hitam paras bahu macam model pentene.

"Itulah Hanan." Beritahu Salwa, suatu hari.

"Dia sekarang kerja di London. Payah dapat kerja kalau berjubah dan bertudung," Salwa menyambung lagi.

Ish ish ish.... Aku menggeleng kepala, juga macam bujang lapok.

Ke mana Chris, budak bayi dugro tu, tak kuasa aku nak ambil tahu samada dah bersunat ke belum budak tu.

**

Mencari Pandi Kutty

Kat depan sekolah ni etak best-best ada dijual
"Mak, andi uti tu apa?" tanya Abu, budak 2 tahun yang masih cakap pelat.

"Cepat! Cepat!" Mak Abu menarik tangan Abu untuk ke Pasar Siti Khadijah.

Kota Bharu memang sibuk. Tak kira hari apa. Kalau dah maju besok, entah macam mana lah sibuknya.

"Mak, andi uti tu apa?"

Tak habis-habis pulak si Abu bertanya pasal Pandi Kutty. Inilah masalahnya bila budak suka tidur depan TV time berita. Fikiran separa sedarnya meresap semua yang pembaca berita cakap. Apalagi pagi-pagi dah makan nasi lemak yang dibungkus dengan akhbar Utusan.

"Andi uti apa mak?"

Alahai. Mak Abu rasa rimas. Dia tengok sekeliling, billboard, poster, kain rentang, bunting, banner. Semuanya gambar Nik Aziz, Takiyuddin, Anuar Tan, Ahmad Yakub, Husam, Nik Amar, Kak Ani.

Cari lagi, yang ada cuma gambar Wardina, Adibah Noor pakai tudung, Halim Yazid ....

"Andi uti ....Apa mak?"

"Adik nak A&W, nanti kita pergi makan. Tapi jange tanya pasal andi uti lagi ye..."

"Yeayyyyy"

Selesai makan di A&W, Mak Abu menarik tangan Abu ke stesen bas. Mereka naik bas cepat Pasir Mas. Belum sempat duduk, Abu dah bersuara,

"Mak, andi uti tu apa?"

"Shhhhhh....." Seorang dua penumpang yang mendengar pertanyaan Abu tersenyum.

Bas berhenti di hadapan Sekolah Mekasar kerana ada penumpang mahu turun. Di situ banyak terdapat orang menjual etak. Tiba-tiba mak Abu ternampak satu kain rentang di pagar sekolah. Ada gambar seorang lelaki gempal sedang bersemangat menghunus keris ke langit dengan kain merah melilit di tubuh persis seorang ratu cantik.

"Adik... Itu....."

"Apa mak?"

"Itulah pandi kutty!"

Akhirnya, di Pasir Mas jua terjawab segalanya. Cit...

Wednesday, May 18, 2011

Pemandu Singapura Tak Makan Saman?

Ekor-ekor tak main.
Tak gentleman.
Tengah dinner tadi, geger dalam berita TV, pemandu Singapura tak bayar saman yang sudah berjumlah RM57,000,000.00

RM57 juta beb.

Kebanyakannya kerana memandu laju.

Nah! Sebelum hang nak maki atau carut orang Singapura, tepuk dada dulu dan tanya,

"Saman tu, saman on-the-spot ke saman ekor?"

Kalau saman ekor, baik diam je lah...

Tuesday, May 17, 2011

Selamat Hari Guru Darling

Dr Jos Darling
 Dr Jos Darling mengajar Dynamics. Santai dan cool.

Dia murah senyuman. Orangnya masih muda (masa tu). Datang ke universiti di atas bukit dengan basikal.


Dr Jos sanggup mendaki Bathwick Hill
dengan gerek

Suatu hari aku nampak Tok Arab berpakaian lengkap berjubah dan berserban macam Raja Saud di depan receptionist School of Mechanical Engineering. Rupanya Dr Jos Darling.


Memang setiap hari Jumaat, dia akan buat perangai. Hari Jumaat dia akan pakai kostum yang pelik-pelik. Pernah satu kali aku ingat Napoleon Bonarparte mana yang sesat masuk kelas aku. Rupanya Dr Jos yang berpakaian begitu datang mengajar.
Macam ni lah Dr Jos pakai
datang mengajar. Cuma paruhnya
lebih besaq, ada atas-bawah

Kemuncak kebidaahannya, dia berpakaian macam ayam. Siap dengan paruh, kaki ayam dan bulu pelepah. Semasa dia berjalan, banyak suara-suara sumbang kedengaran. Cock-cock-cock. Cock-a-doodle-dooooo.

Dr. Jos memang cool. Selamat Hari Guru Darling.

Monday, May 16, 2011

Hari Pertama Jadi Cikgu, Dah Jadi Mangsa Politik

Bila aku sempat belajar di bangunan ini dan bermain bergayut di sini,
maknanya aku dah tua.
Aku balik kampong setelah selesai peperiksaan akhir A-Level, 1992.

Esoknya, kakak aku yang mengajar di Taski Al-Huda tergesa-gesa balik ke rumah. Dia minta tolong aku menggantikannya.

“Ganti apa?” Tanyaku kehairanan.

Kakak menyuruh aku ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai (SMKKK). Ada orang offer dia jadi cikgu ganti. Mengajar Bahasa Inggeris dan Geografi. Tapi sekarang dia suruh aku ganti dia pulak. Keberatan juga aku.

“Seluar takda. Semua dah basuh”, aku beralasan. Tapi memang betul, seluar slack aku yang ada 2-3 helai telah mak kutip basuh.

“Carilah seluar mana yang ada Li, tulong aku deh”, kakak memujuk.

Kakak menyelongkar dalam bilik mencari seluar slack. Akhirnya terjumpa seluar slack ayah yang sememangnya hanya sekali atau dua kali aku melihat ayah memakainya. Maklumlah ayah orang kampong, uniformnya hanyalah pelikat, t-shirt dan kain batik lepas sebagai semutar.

Aku cuba memakai seluar ayah.

“Besarlah Na, malu aku. Tak payahlah Na.....”Aku makin keberatan.

“Tulonglah Li, aku dah janji dengan orang tu....Seluar ni nampak sedang molek je. Ok apa....Biasa la seluar slack macam ni”, akhirnya aku termakan pujukan berbaur belas kasihan kakakku.

Aku naik teksi (kereta sewa) ke SMKKK. Bermulalah kerjaya aku sebagai guru ganti.

Balik ke rumah tengah hari itu, kakak aku gelak besar.

“Bakpo?”Aku bertanya.

“Seluar mu pakai tu....geboh(besar)”, beritahunya terus gelak.

“Alamak, jatuhlah saham aku”, aku memprotes.

“Aku nak sukko takdi lagi, tapi kalau aku gelak nanti mung tak pergi pulak”, kakak terus membuat pengakuan.

Nak tak nak, aku hanya boleh tumpang gelak. Cerdik betul politik kakak.

Rezeki aku agak murah. Lepas mengajar di SMKKK, aku dapat lagi offer jadi guru matematik di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra (SMSYP). Sehingga result A-Level keluar, aku tiada masa yang tersia begitu saja. Terima kasih kakak kerana menjadikan aku seorang cikgu.

Selamat Hari Guru untuk aku. Juga untuk semua cikgu bloggers dan bukan blogger.

Sunday, May 15, 2011

Cokkoh Atah Darat


Menurut firasat Nujum Pak Belalang, siapa tak nampak, dia:

A. Pendek umur

B. Anak luar nikah

C. SPRM

D. Soilek tegar

E. Semua di atas

F. Wartawan silap lapor

Saturday, May 14, 2011

Bila Mati Anak Adam


Bab-bab amal jariah,
aku tak nak ketinggalan
 Letih betul. Baru sampai KT dari KK. KK Kuala Krai, bukan Kota Kinabalu.

Sepanjang jalan, kekadang laju. Kekadang slow.

"Banyak pahala pakcik kat depan ni...." Aku berbicara pabila terhegeh-hegeh mengekori sebuah kereta dengan jarak 2 saat.

"Kenapa?" Tanya Kajol yang sedang meriba Talhah yang sedang lena.

"Tengok exhaust keretanya dah nak tercabut. Dah ikat dengan tali tu."

"Kenapa?"

"Beli kereta proton satu amal jariah. Kalau dah nak tercabut ekzos pun masih pakai lagi, mesti lagi banyak pahala," aku menerangkan berdasarkan fatwa baru Mahathir yang aku faham.

"Kalau masuk workshop, mesti pahala berganda," tambah Kajol.

Amboi Kajol sekarang dah faham jiwa sejak hari-hari baca Laman Muhandis.

Wednesday, May 11, 2011

Umno Macam Selipar Jepun

Bukan aku kata, tapi seorang pakcik tua yang sedang baca Utusan Melayu yang kata.

Kenapa? Aku tanya.

Nak pi masjid, tapi duduk kat tangga je.

Hebat juga falsampah si tua ni. Fikirku sambil menjeling songkok tingginya.


Tuesday, May 10, 2011

Baik Punya Dummy

RON97

2 minggu lepas, isteriku memberitahu,

"Abe kena beli minyak masak tu, tadi masa saya pi kedai yang ada cuma minyak masak RON 97 sahaja. Yang biasa tak ada."

Aku buat lembu kenyang sambil baca blog bro Gedek! dan Brutalsolo.


RON95
Esok, aku ke kedai runcit. Banyak pula minyak masak cap saji Felda ni. Aku tetap menyokong minyak masak cap saji Felda walaupun aku bukan peminat Felda United. Selagi depa tak tempel muka Isa Samad kat minyak ni, aku beli.
 Di ofis pula aku terbaca kat satu paper. " Minyak masak ada, jangan buat pembelian panik," lebih kurang macam tu lah tajuk satu berita.

Tup-tup hari ni khabarnya gula dirasionalkan, naik 20 sen.

Kah kah kah. Siapa pun goalkeeper, mesti gol punya!

Sunday, May 8, 2011

Turun Berat Badan Dalam 7 Hari ... Hati-Hati Ada Side Effect

Testimoni pertama:
Dunia ini cukup untuk semua saiz

Daripada Angela. Umur 24 tahun. Dari Bukit Merah, Ipoh. Dekat dengan bekas kilang Asian Rare Earth dahulu.

Berat saya 98 paun.
Saya nak turunkan kepada 88 paun.
Saya jumpa pakar, dia kata boleh turun sehingga 93 paun sahaja. OK.... Saya setuju.

Pakar bagi 4 jenis ubat. Ubat U, ubat M, ubat N dan ubat O.
Dia kata kena makan 2 kali sehari.
Saya kena amalkan non-stop selama 7 hari.

Resultnya sungguh mengejutkan.

Nak tahu ambil kalkulator sekarang.
^
^
^
Ok. Sekarang, kira 988893 x 4 x 2 x 7
^
^
Sekarang lihat resultnya. Berapa? Err... Lupa. Terbalikkan kalkulator anda.

Dapat? 

Sah kan? Memang berat anda akan berkurang.

*** Sebenarnya, aku selalu guna formula ni untuk calibrate kalkulator. Atau boleh test semasa beli kalkulator baru. Formula diperturunkan oleh Azmyuddin, seorang penyokong DAP tegar dan peminat fanatik Freddie Mercury 21 tahun lalu.

Maaf zahir batin.

Semoga Ibuku Selamat Dunia Akhirat


 
Ibu,
Semoga redha Allah menjadi milikmu
Dan redha mu berilah padaku

Selamat Hari Ibu, Bondaku
Aku sayang pada mu
Begitu juga kakak-kakak, abang dan adik-adik ku ... Juga ayah...
Mereka juga amat menyayangi mu
Kerana engkau ibu kami
Anugerah Allah kepada kami
Yang amat kami syukuri



Ibu sedang merenung sebahagian daripada 40 orang cucu-cucunya.
Ya Allah, Engkau sayangilah kedua ibu bapa aku
sebagaimana mereka menyayangi aku semasa aku kecil.

Syurga di bawah telapak kaki ibu

Saturday, May 7, 2011

Syaikal, Gadis Kashmir Bermata Zamrud

Indah yang derita
Aku diperkenalkan oleh Salwa dan Zura dengan housemate mereka.

"Ini Syaikal...."

"Syaikal from Kashmir...."

Mak oiii, patutlah bermata hijau, beralis lentik, putih gebu, comel, langsing, rambut ikal, pipi pauh dilayang, bibir delima merkah. Ingatkan budak Pasir Mas, rupanya dari Kashmir. Hebat!

Aku tak terkata apa-apa kecuali memberikan senyuman yang paling manis yang aku ada. Kalau aku ini seketurunan dengan Goku dan Bizita, pasti aku telah bertukar kepada super-sayyan pada masa itu, dengan cahaya api jingga disekeliling tubuh!

"Are you moslem?" Aku angguk. "I'm moslem too. Non-practicing moslem..."

Ada jugak istilah non-practicing muslim. Hadhari lah tu konon Syaikal ni.

Kemudian Salwa kenalkan pula aku dengan seorang lagi rakannya. Dari jauh aku dah tahu dari India.

"Hi, I am Anju..." Dia menyebut namanya dengan mulut memuncung.

"Anju?" Tanyaku untuk kepastian. Kalau aku ini keturunan Goku dan Bizita, masa inilah kuasa super-sayyan aku dengan api jingga sekeliling tubuh akan hilang dan kembali normal.

"Anju," sekurang-kurangnya itulah yang aku dengar daripada accent Indianya yang tebal.

Setelah berborak sambil membelasah kopi dan makanan yang disediakan oleh Salwa dan Zura, tiba-tiba Salwa bertanya kepadaku.

"Kenapa hang panggil dia Anju?"

"Kan nama dia?"

"Angel lah!"

Laa.... Anju tu dah sesuai sangat dengan nama seorang gadis India. Angel la pulak.. Sebutlah betul-betul kalau begitu. Tak pun pakai name tag 24 jam.

Syaikal, walaupun cantik dan da bomb tetapi seperti katanya, dia non-practicing muslim. Apa yang aku tahu selepas itu, pada hujung minggu dia practice clubbing dan mabuk-mabuk. Poor Kashmiri...

Thursday, May 5, 2011

Seekor Kambing di Pulau Kambing


Kenali Pulau Kambing
 Setiap hari Tanduk akan sekurang-kurangnya sekali tawaf kawasan pekan Pulau Kambing. Tiada upah, tiada habuan, tetapi Tanduk setia melakukannya setiap hari. Dia hafal setiap nama kedai dan cam setiap muka baru yang masuk ke Pulau Kambing. Dia juga hafal dalam kepala nama-nama yang telah meninggalkan Pulau Kambing.

“Pulau ini, pulau kita, nama kita. Takkan anjing atau lembu yang nak jaga?” Itu tegas Tanduk apabila ada kambing lain mempersoalkan tindakannya yang masih setia dengan kawasan itu.

Hati tanduk bertambah tak keruan apabila ada kambing generasi baru yang khabarnya membawa fahaman subversif kepada masyarakat kambing di Pulau Kambing.

“Tempat kita ini bukan pulau,” kata-kata seekor kambing muda bernama Kid yang baru tumbuh geraham bongsu menggegar jantung Tanduk pada suatu hari berdekatan kedai kopi Pakde.

“Selama ini kita silap. Kita berada di daratan, bukan pulau,” Kid terus bersuara yang bagi Tanduk adalah perbuatan menghasut.

Ikutkan hati mahu sahaja Tanduk menanduk Kid sampai bergegar otak. Agar waras kembali pemikiran budak mentah itu. Tetapi apabila mengenangkan ayah Kid adalah teman baiknya, Tanduk hanya mampu menahan sabar.

Ayah Kid, Hitam dulu memang member kamceng Tanduk. Mereka sejak kecil sama-sama mencuri makan pokok bunga di Eskay Pikay (SK Pulau Kambing) sehingga di kejar tukang kebun sekolah itu. Pelik betul manusia, fikir Tanduk, kenapa mereka hendak menjadi tuan di Pulau Kambing? Carilah Pulau Manusia!

“Hei budak, itu jambatan panjang tu apa?” Tanduk bertanya sambil menunjukkan ke arah Jambatan Sultan Mahmud yang tersergam indah.

“Jambatan itu menyambungkan 2 daratan. Kambing-kambing yang mendatang dari Kelantan dan Siam khabarnya datang melalui jambatan itu,” jawab Kid dengan tenang. Kambing-kambing lain hanya terlopong macam kambing melihat 2 kambing berlainan generasi sedang berdebat.

“Dengar sini baik-baik budak kecik. Jambatan itulah yang menandakan tempat kita ni adalah sebuah pulau. Seberang jambatan sana adalah tanah besar.... Kelantan, Siam, Besut,” Tanduk tak mahu beralah.

“Sudahlah tu. Jangan bergaduh sesama kambing. Malu kat anjing dan lembu nanti,” tegur seekor kambing tua yang berjanggut hampir mencecah tanah.

“Janggut, kau jangan masuk campur. Kau selama ini pun bukannya peka dengan masalah sosial dan isu semasa tempat kita ni,” Tanduk mengherdik Janggut, kambing tua tadi.

“Aku bukan apa Tanduk. Malu orang dan anjing tengok kita bergaduh,” jawab Janggut.

“Malu konon. Tu telor kau yang labuh tu. Coverlah kalau malu. Dasar kambing! Janggut panjang, telor terjojol keluar, alim konon,” Janggut terus terdiam. Malas dia nak berlawan cakap dengan Tanduk. Tanduk memang begitu, kalau dah tersepit, isu lucah lah yang menjadi senjatanya.

“Pak Tanduk. Niat saya hanya untuk majukan kambing di sini,” Kid bersuara kembali. “Di Pulau Kambing ini telah kekurangan peluang untuk species kita mencari makan. Kita perlu berhijrah.”

“Kau nak kambing-kambing ini menggadai nyawa merentasi jambatan panjang itu? Kau mahu species kita pupus? Aku dengar kita akan dikenakan tol apabila merentasi jambatan itu,” potong Tanduk.

“Plaza tol atas jambatan tu dah dirobohkan lama dah. Lagipun kambing mana kena tol,” sampuk seekor kambing putih sambil tersenyum.

“Manusia yang kemaruk harta akan buat apa saja termasuk mengetol kambing macam kita,” Tanduk masih tidak mahu mengalah.

“Telah saya katakan tadi, kita bukan berada di pulau. Pulau Kambing hanya nama sahaja. Bukan pulau. Kita tak perlu menyeberang jambatan untuk mencari peluang baru. Di sebalik bukit belakang kita, ada sebuah bandar yang lebih besar dan lebih luas,” Kid menunjukkan ke arah bandar Kuala Terengganu yang berada di balik bukit yang memisahkan 2 kawasan itu. Kambing-kambing lain mulai berminat.

“Saya telah google tuan-tuan. Pulau Kambing macam juga Pulau Rusa, Pulau Musang. Semuanya daratan, bukan pulau. Kita perlu meluaskan skop kehidupan kita. Percayalah wahai saudaraku kambing-kambing sekalian. Kita perlu berubah. T. R.A.N.S F.O.R.M.A.S.I. Seperti kata manusia.”

Sejak hari itu, bukan sedikit kambing yang telah berhijrah ke balik bukit yang ditunjukkan oleh Kid. Yang masih setia tinggal di Pulau Kambing sudah tidak banyak, hinggakan anjing-anjing seakan-akan telah menjadi majoriti di Pulau Kambing. Bagi tanduk, Pulau Kambing hanya menunggu masa untuk ditukar nama kepada Pulau Anjing.

Tanduk sendiri agak tersepit dengan kehidupannya sekarang. Kadang-kadang sepagi dia merayau, belum tentu dia dapat ‘decent breakfast’ seperti lobak busuk dan kulit pisang. Daun pisang pembungkus nasi lemak pun telah pupus secara tiba-tiba. Kalau dulu, jika Tanduk pergi ke tepi pagar Eskay Pikay, tentu dia akan kekenyangan dengan daun pisang pembungkus nasi lemak yang berlambak kedapatan di situ.

Menurut Kid, pelajar sekolah telah dinasihatkan supaya menjauhi nasi lemak supaya mereka tidak obese. Pelik betul manusia, anak mereka tak boleh obese, tapi kalau bela kambing, mereka mahu kambing mereka obese. Bila kambing dah obese, mereka bunuh..... Salahkah obese di negara demokrasi ini? Kiut apa! Ah! Manusia memang pelik.

Tanduk mengharapkan akan muncul pemimpin baru yang berkaliber yang akan mempertahankan ketuanan kambing di Pulau Kambing. Kid sekarang adalah salah seekor daripada calon harapan di dalam pemerhatian Tanduk. Dalam diam-diam Tanduk mengagumi Kid, anak rakannya Hitam yang telah mati dilanggar lori ikan sewaktu Kid masih menyusu ibunya. Keyatiman Kid membuatkan budak itu nekad berazam mencari ilmu untuk hidup di Pulau Kambing yang serba mencabar.

“Bijak betul kepala hotak si budak yatim tu. Macam kambing!”

Respek Sama Obama


Dia : Wah.... Respek juga Obama ni. Tak kisah dan sempoi. Tengoklah kerusi dia berbanding jeneral tu.

Aku : Penyangak dan pengganas mana pernah kisah protokol.


Wednesday, May 4, 2011

Lagi Orang Skeptik

Dok diyye anok tikuh,
anok kucing dok caghi
Seorang pak cik yang ralik membaca Akhbar Hairan yang ada gambar Osama Bin Laden di muka depannya dengan tajuk 'Laut Kubur Osama' tiba-tiba bersuara .

"Huh.... Cari punyalah susah. Dah dapat buang macam tu saja."

"Osama ke pak cik?" Aku bertanya.

"Bukan."

"Bukan? Habis apa?" Aku bertanya lagi.

"Ni... Soalan dalam teka silangkata ni. Cari punyalah susah, dah dapat buang macam tu aje..."

"Oooo....Senang saja, taik hidung jawapannya."

"T. A. I.... Sepuluh petak.... Yesssss.....Arigato gozaimasu young man."

Tuesday, May 3, 2011

Skeptik Pasal Matinya Osama ?


Di sinilah kubur Osama, kata Obama
 Hari ini, masuk je ofis, Rais bukak cerita.

"Semalam aku mengail dapat ikan amat besooorrrr"

"Ye ke? Besar mana?" Tanya Tikah yang asyik mengait padahal kerjanya menaip.

"Hang tak percaya? Ada la besar hang Tikah.... Dekat 2 jam aku bertarung nak naikkan ikan tu," bersungguh betul Rais.

"Dah tu, apa kau buat dengan ikan tu?" Soal pula Shanti yang buat-buat muka tak percaya sambil membuka facebook walaupun fail dah macam KLCC di atas mejanya.

"Err... Aku lepas semula ke laut," jawab Rais, terus berlalu dari situ. Di ketiaknya terkepit Berita Harian dengan tajuk  'Laut Kubur Osama'.

Monday, May 2, 2011

Apa Yang Penting Bagi Anda Sehari-Dua Ini?

Tak dapat ke Pesta Buku Antarabangsa KL,
Kedai Buku Banggol, jadilah.
Banyak perkara yang berlaku dan dilakukan sehari-dua ini. Mana yang paling terkesan kepada anda? Pilih satu sahaja. Ianya menggambarkan apa dunia ini bagi anda.

A - Osama Bin Laden dah meninggal dunia ditembak askar US.

B - Nato bom anak beranak Gadaffi.

C - Anwar adalah Lelaki Y.

D - Nasi lemak rupanya penjahat nombor satu kepada anak-anak sekolah.

E - Najib openly minta PAS keluar PR at least, kalaupun tak nak join BN.

F - Soi Lek kata nak undi PKR jika parti itu sedia gugurkan ketuanan Melayu.

G - Haji Hadi dikatakan liabiliti kepada PAS.

H - Ada orang bersumpah pakai baju kalis petir.

I - AC Mizal dan Hantu Mak Limah 'ballik' Umno. (Ballik...dibaca ada sabdu)

J - Pesta Buku Antarabangsa KL 2011 dah tamat.

K - Manchester United menang lagi. Rooney scored.

L - Prince William kahwin Kate Middleton you...

M - Saleem Aziz Textiles ada sale giler-giler. 

N - Protege Era si Salma dalam rancangan Mentor semakin malatop.

O - Email yang dikatakan free, taklah free sebenarnya!

Pilihan ditangan anda. Kalau sudi bagitau pilihan anda di bahagian komen ya.

KLCC di Teganu Kiter

Suatu hari dalam perjalanan ke KL dari KT.

Nak solat kat mana ni bro?
KLCC, jamak takdim. Kemudian boleh lunch sekali.

Mak oiii... Maghrib nanti pun belum tentu kita sampai KLCC. Jauh tu bro...
Ha ha ha.... Lu tengok la nanti bro. Teganu kite, semua bereh....


Haa... Dah sampai KLCC
Huiishh... Dalam kelapa sawit ni, bro. Biar betul.



Kem Latihang Cheneh Cemerlang.... KLCC
Caya la bro

Nak makan dulu ke solat dulu?
Solat dulu, hang imam. Lunch, aku belanja.
Cooolll...

****
Iklan percuma untuk restoran KLCC, sebab bagi diskaun 2 ringgit kepok lekor baru ni.

Sunday, May 1, 2011

Akhirnya Dia Bersumpah di 1 Mei

Dia memilih 1 Mei untuk bersumpah. Dia tidak memilih masjid atau surau sebagai lokasi. Dia tidak perlu memakai baju kalis peluru. Dia tidak perlu membuat sidang akhbar.

Dia juga tidak memegang al-Quran. Al-Quran untuk dibaca dan diamalkan! Bukan untuk bersumpah macam Rafidah Aziz! Bentaknya. Lagipun dia susah nak jaga air sembahyang kerana asyik terpaksa menyambut salam daripada muhrim dan bukan muhrim.

Tetapi dia bertekad. Biarlah hari ini selesai. Di stadium ini, biar semua menyaksikan siapa dia yang sebenar. Biar tiada lagi fitnah dan kata-kata di belakang. Biar hari ini semuanya selesai.

Semua mata yang hadir menumpukan perhatian kepadanya.

Dia mengangkat tangan kanan sehingga hujung ibu jari bersentuh cuping telinga.

" Bahawasanya.......
         ..
         ..
Saya sentiasa mengikut lunas-lunas berikut...
         ..
         ..

Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran perlembagaan
Kedaulatan Undang-Undang
Kesopanan dan Kesusilaan...."

"Dia dah bersumpah dengan Rukunegara, lepaskanlah dia," kata sepasang mata yang menyaksikan aksi sumpahan itu dari kerusi yang paling cantik.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...