Monday, September 15, 2008

Nama & Harapan

.


Aku kehilangan bayi sulungku pada 4 Jun 2000. Bayi lelaki berumur 7 bulan dalam kandungan itu disahkan meninggal padaku oleh jururawat bertugas, di muka pintu dewan bersalin Hospital Kuala Krai dengan suara kasarnya.

“Nah ambil balik lampin ni, nak yang ini je, baby dah mati!”

Jururawat itu hanya mengambil kain sarung dan tuala untuk isteriku dan memulangkan kain lampin bayi yang aku berikan padanya.

Apa perasaan aku? Itu cerita lain, hari ini aku mahu ceritakan tentang nama. Ya, orang bertanya apa ada pada nama? Aku katakan ada HARAPAN pada NAMA.

Besoknya aku ke JPN, Mungkin aku seorang sahaja yang mendaftar kematian bayi pada hari itu. Bapa-bapa lain nampak ceria dan girang mendaftarkan kelahiran bayi masing-masing. Aku terdengar seorang bapa berjanggut lewat 40-an dengan bangga memberitahu orang di sebelahnya.

“Anak kawe nama Khulafa ar-Rasyidin”.

Wah hebat betul dia. Orang lain namakan anak dengan nama Abu Bakar atau Umar atau Uthman atau Ali sahaja, atau tambah Muhammad di hadapan. Tapi si brother janggut ini rangkum semua sekali. Tamakkah dia? Ekstrem kah dia?

Sebenarnya tidak. Khulafa ar-Rasyidin membayangkan harapan beliau pada anaknya yang baru lahir. Harapan yang amat hebat dan besar dan berat.

Nama Abdul Rahman dan Abdul Rahim menjadi pilihan ramai ibubapa. Aku yakin ini adalah kerana mereka mengharapkan anak mereka betul-betul menjadi hamba Allah yang Maha Pemurah dan Penyayang. Apalagi Abdul Rahman dan Abdul Rahim adalah sebaik-baik nama. Sudah tentu manusia bernama Abdul Rahman dan Abdul Rahim tidak sesuai langsung menjadi peminum arak, penjudi atau penzina.

Rata-rata orang Melayu menamakan anak mereka dengan pangkal nama Muhammad. Harapan mereka jelas supaya anak-anak mereka mewarisi sifat-sifat terpuji junjungan besar yang mulia yang kita amat kasihi ini. Betapa punahnya harapan dan malunya jika anak kita yang kita namakan Muhammad menjadi pendokong maksiat dan penegak kebatilan.
Saya percaya bapa-bapa yang menamakan anak mereka Yusuf bukan kerana mengharapkan anak-anak mereka mewarisi kehenseman dan kegantengan Nabi Yusuf, tetapi mengharapkan anak-anak mereka menjadi sabar, adil, bijaksana dan pandai mentadbir harta negara sepertinya. Minta dijauhi jika ada Yusuf di kalangan kita yang zalim dan membolot harta yang bukan miliknya. Pasti itu bukan harapan bapanya.

Bapa-bapa yang memilih nama Musa untuk anak-anak mereka sudah tentu mengharapkan anak-anak mereka menjadi hebat dan berani seperti Nabi Musa yang berani mengatakan kebenaran di hadapan Firaun yang mengaku tuhan. Jika anak-anak mereka membesar dan menjadi pengecut dan pemakan rasuah, sudah tentu berkecai dan tenggelam ghaib harapan mereka.

Ibrahim juga menjadi pilihan ibubapa dengan harapan anak-anak mereka menjadi hamba Allah yang berjasa seperti nabi pembina kaabah ini. Tetapi bayangkan betapa hancurnya harapan mereka jika Ibrahim yang diharap, membesar dan menjadi pejuang assobiyah atau pemutar belit kebenaran.

Tak kurang juga ibubapa yang menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama ulamak besar. Anak bernama Shafei sudah tentu diharapkan supaya menjadi seorang yang alim, berani menegakkan hukum dan bakal dicari-cari oleh orang yang dahagakan kebenaran. Bukannya menjadi seorang yang bersifat lembu kenyang dan tidak bertanggungjawab dalam hal yang diamanahkan kepadanya.

Si kecil bernama Sayuti sudah tentu diharapkan membesar menjadi seorang warak yang sentiasa mengeratkan silaturrahim dan menyatakan kebenaran. Minta dijauhkan ibubapa untuk melihat anak mereka yang bernamakan Imam Sayuti peka dengan kesalahan orang lain.

Tidak kurang ibubapa yang menamakan anak-anak sempena nama ulamak di rantau ini seperti Burhanuddin Helmi dan Hamka. Walaupun Hamka itu sebenarnya adalah nama singkatan kepada ulamak besar Indonesia Haji Abdul Karim Malik Amrullah. Ini semua adalah siratan harapan mereka yang mereka suratkan melalui nama yang menjadi doa yang akan dipanggil orang setiap hari.

Beruntunglah Pak Ayub, ayah kepada Salahuddin kerana anak beliau nampaknya benar-benar mahu menjadi seperti Salahuddin al-Ayubi.

Beruntung juga Pak Nik yang mana anak beliau Muhammad Abduh menjadi salah seorang pemimpin gerakan Islam masa kini.

Amat beruntung sekali Pak Lah kerana anaknya Muhammad Bin Abdullah sanggup menjadi pendokong utama gerakan Islam di bumi Sabah yang masih malu-malu dengan gerakan ini.

Bertuah juga arwah Mat Obat yang mahukan anak beliau mencontohi pejuang Islam tersohor Prof. Dr. Zulkifli Muhammad kerana anak beliau kini Dr Zulkifli Muhammad cergas menegakkan Islam dan menjadi kebanggaan terutama bagi penduduk di jajahan Gua Musang dan Kuala Krai.

Aku juga seperti bapa-bapa dan ibu-ibu di atas. Berbekalkan harapan, anakku ku namakan Talhah walaupun dia tidak akan dapat hidup di dunia ini bersamaku dan mamanya. Yang aku pasti harapanku supaya dia menjadi penghuni syurga terkabul seperti juga sahabat Nabi S.A.W., Talhah bin Ubaidillah yang telahpun dijanjikan syurga walaupun semasa hayat beliau masih ada.

Al-Fatihah untuk semua.
.

5 comments:

  1. Nama adalah doa ibu bapa terhadap anak2nya

    ReplyDelete
  2. sedih meruntun perasaan tapi ketahuilah kelegaan buat demo kerana dah ada moda

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...