Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Thursday, February 6, 2014

Antara Kajang dan Antartika

Mat Said & The Team @ Antartica
Berbagai kritikan dilontarkan oleh berbagai golongan rakyat kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said atau lebih dikenali sebagai Mat Said kerana menyertai rombongan penjelajahan ke Benua Antartika bermula 24 Januari sehingga 30 Januari 2014 baru-baru ini.

Belumpun sampai di rumah, iaitu semasa transit di KLIA, Mat Said telah menjawab kritikan tersebut. 

 “Kalau nak (hendak) makan angin lebih baik saya tak payah pergi Antartika....nak beli apa, nak beli penguin....nak sentuh pun tak boleh,”

Itulah yang dilaporkan oleh myMetro, kata-kata Mat Said. Selain itu, Mat Said juga menceritakan tentang bahaya yang mereka hadapi seperti cuaca yang ekstrim yang boleh berubah dalam masa setengah jam, ombak yang besar dan angin yang kencang sehingga memaksa mereka berkampung selama 2 hari di atas kapal sementara menunggu cuaca pulih. 

Aku tak nak sentuh tentang kritikan orang lain berkaitan pembaziran wang rakyat dan ketidakperihatinan Mat Said apabila menyertai rombongan ke Antartika ini, terutamanya apabila rakyat Terengganu baru saja selesai menghadapi banjir yang teruk. Namun, bagi aku memang Mat Said tidak PERIHATIN apabila bersetuju untuk menyertai rombongan ini.

Aku tahu Mat Said ke Antartika bukan untuk melancong, cuaca kat sana boleh mencecah -89 darjah Celcius. Kalau setakat nak merasa sejuk, Mat Said boleh saja ke Kuala Krai, Kelantan dalam jangkamasa tersebut kerana suhu di Kuala Krai dikhabarkan turun serendah 17 darjah Celcius!

Aku katakan Mat Said tidak perihatin kerana pada hemat aku, Mat Said sepatutnya sentiasa menjaga dirinya dan ADUN BN yang lain dari segala ancaman keselamatan diri dalam penggal 5 tahun ini. Apa tidaknya, kedudukan kerusi dalam DUN Terengganu adalah 17 BN dan 15 PR. Jika berlaku apa-apa kepada mana-mana ADUN BN yang boleh menyebabkan diadakan pilihanraya kecil, kedudukan BN sebagai pemerintah Terengganu akan tergugat.

Eh!! Baru-ini saja mereka berkalut apabila PRK terpaksa diadakan di Kuala Besut berikutan kematian YB Kuala Besut daripada BN. Mereka geger akan kemungkinan kedudukan kerusi DUN akan tergantung 16-16 jika PR menang di Kuala Besut. Nasib baiklah tali pusat UMNO masih utuh terpasak bersama piling jambatan Kuala Besut. Sekarang, adakah Mat Said telah memikirkan risiko ini sebelum berkelana ke bumi penguin itu? Memang Melayu UMNO mudah lupa.

Jangan kira PR Selangor, mereka ada 44 kerusi DUN berbanding 12 yang dimiliki BN. Jika 5 orang ADUN PR letak jawatan serentak pun, PR Selangor masih tak terjejas secara umumnya. Kajang lain, Kijal lain dan Kuala Besut juga lain.

Jadi, tuan MB perlu ingat, sebelum PRU14 nanti, darah tuan dan ADUN-ADUN BN yang lain adalah manis. Sememangnya ajal maut itu ketentuan Allah SWT, tetapi tuan-tuan sendiri kena juga beringat-ingat. 

Sebelum aku terulas pasal isu T-Team - JDT pula, baik aku berhenti di sini. Sekian.




Saturday, May 25, 2013

Sunday, May 19, 2013

Air Asia Punya Pukulan

Boikot Jangan Tak Boikot
Sambil tengok bola di kedai mamak, sempat lagi Man Bakar dan Setapa berborak isu-isu berkepentingan nasional.

"Mulai hari ni, aku boikot Air Asia, Air Asia X, Y, Z, semua aku boikot," Setapa memulakan bicara politik berkepentingan nasional dan berketuanan Melayu.

"Aku setuju Pa, aku pun akan boikot apa-apa benda berkaitan dengan Air Asia selagi bos Air Asia X yang lupa diri tu tak minta maaf pada Utusan, oppsss pada Melayu," Man Bakar mengiyakan. Penuh semangat.

Tiba-tiba  satu kedai mamak bersorak.
Jersi QPR,
kebanggaan rakyat Malaysia
GOOOOOLLLLLLLLLLLLLLLLLLLL
GOOOLLLLLLLLLLLLLLLLLLLL

Setapa dan Man Bakar turut bersorak riang sampai naik atas meja kedai mamak sambil bangga menayangkan jersi yang dipakai mereka dengan penuh bangga.

"Hidup QPR! !!! Hidup QPR!"

Laung Man Bakar dan Setapa bersama-sama.


Friday, May 10, 2013

Buat Tatapan Umnonymous

@ Masjid Tembila, Besut, Terengganu

Senang-senang je tuduh orang menyekutukan Allah. Lepas tu asyik menjaja isu lapok 'kafir-mengkafir'. Orang ajak berdebat tak mahu. Dalam TV bukan main tak malu berhujah sorang-sorang. Ceh!!!!!!!

Biarlah Allah sahaja yang menentukan segala dan membalasnya.

Wednesday, May 8, 2013

Kamus Penting Untuk SPR


in·del·i·ble  

/inˈdeləbəl/
Adjective
  1. (of ink or a pen) Making marks that cannot be removed.
  2. Not able to be forgotten or removed: "his story made an indelible impression on me".
Synonyms
ineffaceable


in·ed·i·ble  

/inˈedəbəl/
Adjective
Not fit or suitable for eating.
Synonyms
uneatable - inesculent

Cikli says:
Inedible ink, definitely. Indelible ink, I don't think so. Please don't make 'HALAL'  your scapegoat Mr. SPR.
Btw, I use ballpen.

Monday, May 6, 2013

Dosa Hari Ini

Boleh pula banner ni berada di sini!!
Selesai mengundi aku berjalan keluar dari pusat pengundian. Mataku tertumpu pada satu banner di luar pagar sekolah yang menjadi pusat mengundi. Aku berhenti dan membaca tulisan pada banner tersebut.

"Takde apa dah lah. Berdosa lah ambo hari ni," aku berkata kepada seorang pakcik yang berada berhampiran.

"Kenapa?" Tanya si pakcik.

"Ambo undi Pas takdi....." Beritahu aku tanpa berselindung, sambil mata aku terus berpaling daripada banner yang menyatakan 'fatwa' seorang-dua 'tok guru' yang terang-terangan menghukumkan HARAM mengundi Pas.

Tuesday, April 30, 2013

Tradisi Membodohkan Rakyat

Kami mahu nasik!
Esok mula cuti, sebelum hari membuang undi pada 5 Mei ini. Aku terkejar-kejar menyiapkan segala kerja yang masih berbaki di ofis. Seboleh-bolehnya semua aku mahu siapkan hari ini! Tak lupa juga aku menyiapkan tuntutan perjalanan kerja luar untuk bulan April.

"Aik awalnya, dah nak hantar. Belum habis bulan lagi?" Tanya kerani kewangan dengan senyum yang paling cun yang aku lihat di ofis ini.

"Hantar awal, nanti kalau minggu depan huru-hara payah nak dapat claim," jawab aku.

"Ye juge ye!" Jawab kerani cun penyokong ABCD ini dengan nada sporting.





Sunday, April 21, 2013

Calon ADUN Yang Kalah


Semasa berurusan di kaunter bank, tiba-tiba seseorang yang familiar datang memberikan namecard kepada orang ramai di dalam bank termasuk aku.

"Kalau nak BRIM ke apa ke, bagi tahu..." Katanya.

"Tolong ye, sekali saja," katanya lagi, memujuk orang ramai untuk mengundi dia yang mewakili parti majoriti India komponen BN itu.

Aku melihat kad yang diberikan. Ada gambar dia sebagai calon ADUN, ada gambar PM sebagai Presiden UMNO, ada gambar Datuk Mustapha Mamat sebagai Ketua Perhubungan UMNO Kelantan.... Kemudian ada gambar seorang perempuan, siap ada nama lagi, Datin Dr S...... 

"Siapa ni?" Aku bertanya orang di sebelah.

"Rasanya bini dia," jawab seseorang.

"Nampak sangat dia 'kalah'....." Kata aku.

"Belum mengundi lagi belum tahu, dia ni boleh tahan pengaruhnya," potong kawan tadi.

"Kalah kat bini la bro kalau macam ni!" Jawab aku.

Saturday, February 23, 2013

Tak Paham Melayu


Kalau nak buat 'cakap pindah', janganlah sampai fitnah orang, bodoh!

Hari ini Pak Rais mengamuk di bilik guru sambil memimpin tangan anaknya, Najib. Sekalian cikgu dalam bilik guru senyap dip tidak terkata. Takut mereka dengan amukan Pak Rais.

Tak cukup dengan geger suara jalang Pak Rais, tiba-tiba bilik guru dibom pula dengan suara Pak Din, juga sedang memimpin tangan anaknya, Mamut.

"Mana Cikgu Ajis?" laung mereka sepakat.

Cikgu Ajis yang sudah beruban datang menghampiri kedua bapa murid yang sedang melampias kemarahan itu.

"Ada apa encik-encik semua?" Tanya Cikgu Ajis.

"Apa yang cikgu dah katakan pada anak saya? Anak kami?" Kasar bentak Pak Din.

"Ooo... Anak encik berdua bertumbuk dalam kelas. Bukan sekali, tahun ni sahaja dah nam belas kali," bagitahu Cikgu Ajis.

"Kalau bergaduh pun, apa hak cikgu nak maki anak saya?" Pak Rais pula menyampuk.

" Ehh... Bila masa pulak saya maki anak encik?" Cikgu Ajis menafikan tuduhan dalam kehairanan.

" Jangan nak berdalih, anak saya beritahu cikgu kata dia dan kawannya MACAM ANJING DENGAN KUCING. Tergamak cikgu kata anak saya anjing!" Marah benar Pak Rais, berjebak mulutnya.

"Anak sayapun cakap cikgu kata dia MACAM ANJING DENGAN KUCING... Kalau dia anjing, maknanya cikgu maki saya sekali sebagai bapak anjing," giliran Pak Din pula berjebak mulut, melampias kemarahan.

Cikgu Ajis hanya diam. Hatinya dilanda simpati kepada Najib dan Mamut. Patutlah mereka selalu dapat E dalam Bahasa Melayu, bapak mereka pun tak reti kiasan mudah orang Melayu. Nasib engkau la Umno!...

Monday, February 18, 2013

Janji Ditepati Pakar Motivasi


Belumpun rancangan bermula, Tengku Man sudah tercongok di depan TV. Memang dia tak pernah miss rancangan motivasi kegemarannya. Pakar motivasi itu pun sudah menjadi idola Tengku Man.

Rancangan bermula. Hari ini pakar motivasi bercakap tentang hubungan suami-isteri. Hebat betul kupasan pakar motivasi, sampai muncung-muncung mulut. Apa yang disebut, sebijik macam dalam buku. Ye lah, Tengku Man sudah beli semua buku-buku tulisan pakar motivasi tersebut. Pun begitu, Tengku Man tidak pernah jemu mendengar celoteh pakar motivasi itu.

Dahulu Tengku Man pernah beberapa kali bertemu dengan pakar motivasi itu untuk mendapatkan khidmat nasihat. Dulu Tengku Man ada masalah keluarga, masalah anak, masalah isteri, masalah mentua. Sekarang alhamdulillah tidak lagi.

"Dulu ada seorang datang jumpa saya...." Pakar motivasi di dalam TV mula bercerita. Memang setiap kali bermotivasi, pakar motivasi akan membawa cerita-cerita menarik sebagai contoh. Itu yang membuatkan ceramah pakar motivasi ini segar dan menarik. Ada sahaja cerita teladan yang dibawanya. Menghiburkan dan penuh dengan pengajaran.

"Ada seorang suami ini datang jumpa saya, dia ahli korporat besar di Kuala Lumpur, orang ada nama, kerabat diraja.  Dia menangis depan saya, habis lenjun neck-tie dia. Saya tepuk bahunya, saya tanya, Ku ada masalah apa? Mulalah dia cerita. Anaknya tiap malam berkepit di kelab malam. Isterinya pula main kayu .....bla...bla...bla....."

Terkedu Tengku Man di sofa.

"Cisss....Ini cerita aku. Cerita isteri aku. Cerita anak aku Dulu dia janji nak rahsiakan perkara ini. Sekarang dia buat modal ceramah pulak. Celaka punya pakar motivasi!" 

Tengku Man mula terasa jengkel. Meluat dia melihat wajah pakar motivasi yang menjadi idolanya selama ini. Ceh! Cari makan dengan menjaja cerita orang. Cissss......

Betullah pakar motivasi itu tak sebut nama dalam ceritanya, tetapi Tengku Man gerenti kaum kerabat terdekat, pekerja-pekerja di pejabat dan rakan-rakan segolf dengannya yang mendengar rancangan ini akan dapat meneka dan tahu, cerita ini cerita Tengku Man, ahli korporat berjaya di Kuala Lumpur. Apalagi jika rancangan ini ditonton oleh anak-anak dan isterinya. Tentu luka lama berdarah kembali.

"Memang tak boleh pakai kata-kata dan janji dia ni," sungut Tengku Man.

"Orang macam ni, kalau masuk politik lagi tak boleh pakai setiap janji dan kata!" sungutnya lagi.

Tuesday, February 12, 2013

Calon Pilihan PRU13

Nampaknya semua orang mahukan pendapat Haikal. Semua orang bertanya Haikal benda yang sama. Namun Haikal tak pernah menjawab secara terus. Bukan dia mahu berselindung, tetapi Haikal rasa lebih baik begitu.

Mungkin kerana Haikal mewakili golongan muda yang berpendidikan tinggi di kampungnya, maka pendapat Haikal amat penting dalam hal-hal begini. Memikirkan inilah yang menyebabkan Haikal menjawab secara berselindung tentang perkara ini. Bagi Haikal, biarlah mereka yang bertanya mendapatkan jawapan mereka sendiri. Sekarang semua orang celik isu, celik IT, terpulanglah jika masih ada yang mahu membutakan akal dan hati.

"Hang akan undi apa PRU13 ini?"

Itulah soalan cepumas yang selalu menyinggahi telinga Haikal.

"Saya tengok calon dulu...."

Dan itulah jawapan diplomasi Haikal. Jawapan untuk menyedapkan dan membiarkan semua orang berfikir sendiri. Haikal tak mahu jawapan dia dijaja merata oleh pihak-pihak mana sekalipun. Lagipun jawapan itu juga mampu mengelakkan perdebatan dan kempen yang tak berkesudahan dari si penanya soalan cepumas itu.

Suatu hari, isteri Haikal si Rani Mukherjee bertanya,

"Biasanya abang peminat tegar parti bulan, kenapa pula sekarang kata nak tengok calon dulu?"

Haikal tersenyum sambil memandang Rani Mukherjee yang sedang meletakkan kopi o di depan Haikal yang sedang memaku pagar rumah.

"Ye lah, tengok calon dulu dari parti mana. Kalau calon dari BN memang reject terus tanpa consideration..."

Hi hi hi... Rani Mukherjee tergelak sehingga tumpah kopi o panas, nasib baik tak kena tangan Haikal yang sedang memegang tukul dan paku.

Wednesday, January 30, 2013

Senipis Utusan & Kosmo!


Aku sedang makan nasi bungkus di meja semasa anak aku bertanya.

"Abah, bila kita nak beli TV nipis?"

Aku berhenti menyuap dan memandang TV yang sedang terpasang. Di dalam TV, kelihatan Muhyiddin Yassin sedang berada di khalayak manusia berpakaian pink. Baru sebentar tadi, di kaca TV itu juga menunjukkan PM Najib disambut meriah oleh orang Kota Bharu. Baru 7-8 minit yang lepas, dalam TV itu juga kelihatan dan ditonjolkan imej hodoh Anwar dan keterukan Lim Guan Eng termasuk Mat-Mat Sabu sekali.

"Adik tengok rumah ayohnik dan Ciksah TV nipis je..." Si anak menyambung apabila aku diam.

"Abah nak beli bila TV jadi lagi nipis," jawab aku.

"Lagi nipis? Nipis macam mana?" Tanya si anak lagi.

"Nipis macam surat khabar Utusan ni. Baru senang abah buat bungkus nasik dan lap air tumpah atas lantai," terang aku sambil menyambung baca cerita tentang Amanat Haji Hadi dalam paper Utusan yang membungkus nasik kerabu yang aku sedang makan.

Monday, November 26, 2012

Dear Uncle Bro: Bolehkah Doa Untuk Kemusnahan Orang Lain?

Imej dari Google
Soalan:

Salam Uncle bro,

Gua tahu lu bukan ustaz, tapi coba lu habaq kat gua apa hukum orang Islam mendoakan keburukan untuk orang lain?

Cikgu KAFA Sementara,
Kg. Pisang.


Jawapan:

Assalamualaikum Cikgu KAFA Sementara (CKS),

Uncle rasa tak layak nak jawab pasal bab hukum-hakam ni, lagipun CKS pun dah cakap awal-awal yang uncle ni bukannya ustaz.

Walaubagaimanapun, seingat uncle, dalam sejarah hidup uncle yang sudah menghampiri setengah abad ini, orang pertama yang uncle mendapat tahu yang telah mendoakan kemusnahan untuk sesama muslim adalah mak si Tanggang. Anak dia sendiri tu bro, namun tetap mak dia doakan begitu apabila terasa dirinya dizalimi.

Bukannya sudah 50 tahun si Tanggang menzalimi ibunya, baru tang tu je. Sebab si tanggang malu nak mengaku ibunya yang serba daif kepada isterinya yang cantik jelita anak bangsawan kaya, sehingga dia sanggup menyakiti fizikal ibunya. Akhirnya jadi batu si Tanggang dengan kuasa Allah S.W.T.

Namun setakat ini, uncle masih belum dengar apa-apa fatwa, atau komen alim-ulamak atau mufti atau Harussani atau Hassan Ali tentang doa si ibu Tanggang, melainkan semua ustaz dan ulamak dan cikgu hanya komen berkaitan kelakuan si Tanggang yang durhaka kepada ibunya. adapun, perihal ibunya punya doa, tiada siapa yang pernah menganalisisnya hatta Jais atau Jakim atau Balai Polis mana sekalipun.

Jadi, memandangkan kita sering menjadikan kisah si Tanggang sebagai iktibar dulu, kini dan selamanya, eloklah kita KIV kan sahaja isu si pendoa, sebab itu hak dia dengan Tuhan untuk bermunajat. Ada baiknya kita tengok realiti orang atau organisasi yang menjadi subjek dalam doa tersebut.

Kalau betul orang atau organisasi yang didoakan itu begitu, seperti ucapan dalam doa tersebut, Allah sahaja yang akan membalasnya. Jika tidak, jika orang yang berdoa itu cuba-cuba  'menipu' Allah dan mengada-adakan cerita dengan Allah dengan mengatakan itu-ini yang tidak betul, biarlah murka Allah berbalik kepada si pendoa.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahu akan setiap ciptaanNya.

Semoga Cikgu KAFA Sementara dapat jadi cikgu sepenuh masa di masa akan datang. Selalulah berdoa kepada Allah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Ingat bro, kita tak dapat cilok Allah.

Sekian. Uncle Cikli.


Saturday, October 20, 2012

Piala Malaysia : Dilema Abang Askar

** Salam Hari Lahir ke 5 untuk Talhah Ramli, 19 Oktober 2012. Semoga anakku menjadi umat Rasulullah S.A.W. yang soleh.


This is Kota Bharu
Dear Uncle Cikli,

Ambo orang Kelantan. Ambo dah kerja askar lamo. Dah naik pangkat dah. Rasa terhutang budi banyak sangat. Dilema saya bila pasukan bolasepak ATM dapat masuk final Piala Malaysia. Lawan Kelate pulak tu. Jadi ambo raso telan mati bini tuo, luah mati bini muda. Nak sokong pasukan mana ni. Tolong nasihatkan ... Yang terseksa batin, Din Kem Desa Pahlawan.

Jawapan:

Dear Din Kem Desa Pahlawan,

Saya bangga dengan saudara Din yang telah berkhidmat menjaga keamanan negara Malaysia kita ini. Bolasepak hanya satu sukan untuk riadah dan menyenangkan hati kita. Team mana yang kita sokong tak jadi masalah. Tak semestinya orang Kelantan kena sokong Kelantan. Tak semesti juga seorang askar kena sokong ATM.

Sahabat saya orang KL tetapi sokong Felda United semata-mata kerana dia dah beli saham Felda Global Venture (FGV) sebanyak 50,000 unit. Sahabat saya yang lain yang tinggal di tanah rancangan Felda pulak beralih sokongan kepada team bolasepak lain kerana tidak berpuas hati hanya mendapat 800 unit saham FGV. Dah jatuh pulak tu. Loan Maybank kena bayar.

Kelantan cuti 21 Oktober, kata MB
Namun menyokong sesuatu yang ada kaitan dengan kita adalah manis yang amat. Kita sendirilah yang cari kaitan atau hubungan itu. 

Sahabat saya Kak Zakie contohnya, dia orang Johor tetapi menyokong Kelantan FC kerana dia kagum dengan Menteri Besar Kelantan walaupun umum mengetahui bolasepak Kelantan dikuasai oleh seteru politik MB Kelantan tersebut.

Seorang lagi sahabat saya, Gedek juga menyokong Kelantan kerana dia dulu pernah tinggal di Jalan Geale, Kuala Krai, Kelantan walaupun sekarang ini kalau dia cuba bercakap loghat Kelantan, wife dia pun belum tentu faham.

Uncle Gedek!
Contohnya macam ini saudara Din Kem Desa Pahlawan, 

Seorang Muslim berbangsa Perancis atau British atau American tetap akan menentang sebarang dasar yang menyalahi atau mendiskriminasi orang Islam yang dikeluarkan oleh negara mereka walaupun mereka sebangsa kerana bagi mereka Islam atau agama itu lebih BESAR dalam hidup mereka.

Nasihat saya janganlah saudara Din pening-pening, sokonglah team mana yang anda suka. Di akhirat nanti pun, berapa kali kita bangun malam kerana tengok bola tak akan diambilkira. Yang dikira hanyalah berapa kali kita bangun malam kerana mendirikan solat-solat sunat. Begitu juga airmata kekalahan bola tak berharga sedikitpun berbanding airmata kerana bertaubat menyesali dosa-dosa lampau.

Bagi saya, saudara Din sepatutnya lebih pening memikirkan berkaitan hak saudara di dalam Undi Pos di dalam PRU13 nanti daripada memikirkan team bola mana yang sepatutnya saudara sokong. Harap saudara Din faham.

Apa-apapun, ramalan saya Kelantan menang 2-0 malam ini. Afiq Azmi muncul wira TRW.

Sekian. Gomo Kelate Gomo.
Uncle Cikli.

Monday, September 17, 2012

Better The Devil You Know

Mikail Gorbachev
Hari ini genap lapan purnama Raisa menjanda. Janda lawa anak dua. Itulah title yang Raisa pegang sekarang. Bukan tak ada orang yang mahu memperisterikan Raisa, berlambak. Hakikatnya Raisa sendiri pun sudah jemu hidup berseorangan. Tidur berseorangan. Membesarkan anak 2 orang seorang diri tanpa seorang lelaki bergelar suami di sisi cukup perit bagi Raisa. Namun Raisa masih dalam membuat perkiraan.

Adi, jejaka warak yang tinggal di sebelah masjid sudah lama menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Raisa. Begitu juga Nuar, duda ganteng yang sudah lama berpisah dengan isteri pertamanya juga ada menzahirkan impiannya untuk menyunting Raisa. Malah Guan, tauke Cina kaya juga katanya sanggup masuk Islam jika Raisa sudi berkahwin dengannya. Namun Raisa masih belum dapat membuat keputusan.

Masalah utama Raisa adalah bekas suaminya, Adet. Setelah lapan purnama ditinggalkan. Setelah lapan purnama Adet membiarkan Raisa berkais pagi-petang menyara 2 anaknya yang masih kecil. Setelah lapan purnama Raisa dibiarkan menderita mental dan fizikal. Akhirnya Adet muncul dengan kata-kata maafnya. Adet muncul dengan janji-manis romantika d'amor nya.

Selama lapan purnama ini Raisa sudah puas berfikir dan cuba melupakan Adet. Cuba membuang jauh-jauh cintanya yang masih bersisa kepada Adet. Cuba mengubati sakit fizikalnya bekas tamparan dan henyakan Adet. Pipi cantik Raisa sehingga sekarang masih bertampuk hitam seperti Muhyidin Yassin dek penangan tangan kasar Adet. Puncanya kerana Raisa menyoal perihal bau minyak wangi perempuan yang melekat di baju Adet.

Raisa juga pernah diterajang kerana membasuh baju Adet bersama-sama dengan tiket TOTO yang tersimpan di dalam kocek baju itu. Bukan menang pun nombor yang ditikam Adet, namun Raisa menjadi tempat Adet melampias nafsu kalah judinya.

"Maafkan abang...." Itulah kata-kata pujukan Adet apabila mood dia baik semula. Apabila Raisa diam dalam geram, Adet akan berkata pula.

"Kesianlah abang ni sayang. Abangkan anak yatim," Akhirnya lembut juga hati Raisa. Lagipun Raisa tahu, taat seorang isteri kepada seorang suami amatlah dituntut agama Islam.

Sehari-dua, Adet balik mabuk-mabuk lagi. Bau minyak wangi perempuan lagi. Kesan gincu sana-sini lagi. Apalagi, Raisa lagi yang kena penampar lagi.

"Maaf yang, abang mabuk semalam..."

Adet bukan setakat mabuk arak. Saham arak pun dia beli. Saham Carlsberg, saham San Miguel, beratus lot dia beli. Cepat untung, cepat kaya katanya.

Semasa tahap mabuk Adet memuncaklah dia menceraikan Raisa lapan purnama lalu. Padahal perempuan secantik Raisa, kalau tak gosok gigi lapan hari pun, manager bank masih tergila-gila nak buat isteri. Nah! Sekarang Adet bagai gila talak lagaknya. Apalagi bila dia mendapat khabar Raisa telah dirisik oleh Adi, Nuar dan Guan.

"Raisa sayang, Adi tu miskin. Susah kalau hidup dengan dia. Nanti anak-anak nak makan apa? Nak sekolah macam mana? Hidup ni tak cukup dengan sembahyang dan zikir sahaja..." Adet memburukkan Adi di depan Raisa. 

"Baik dia lah daripada abang tu yang tak kenal tikar sembahyang," jawab Raisa.

"Siapa kata abang tak sembahyang. Abang sembahyang, tetapi abang tak tunjuk kat orang. Abang beribadat secara wassotiyah, tak menunjuk-nunjuk," Adet membela dirinya. Raisa hanya membisu sambil memandang kereta Lamborghini Adet di laman rumah. Sebijik macam kereta tauke ikan bakar di Sekinchan.

"Raisa, you tahu tak Nuar duda yang tergilakan you tu homo...." Adet mula buka cerita lain.

"Abang jangan nak buat fitnah pulak!" Potong Raisa cepat-cepat.

"Isk.. Tak percaya? Abang ada video dia. Kalau tak percaya juga, tanya kawan dia si Guan rasis tu," bersunguh Adet membuat cerita.

"Abang dulupun selalu pergi kelab malam, mabuk, main perempuan...." Raisa mengungkit kisah lama.

"Itu dulu, abang dah transformasikan diri abang sekarang. Percayalah janji abang, abang memang jenis yang janji ditepati punya. Kahwinlah semula dengan abang," pujuk Adet.

Raisa diam berfikir. Sesekali matanya menjeling Lamborghini di laman. Memang Adet kaya, banyak duit. Namun dia suka mengungkit pemberiannya. Dulu, lima-enam bulan dia mengungkit-ungkit duit RM500 yang diberikan kepada Raisa untuk buat belanja di spa. Paling teruk dia mengungkit pula duit RM100 seorang yang diberikan kepada anak-anak mereka untuk beli buku sekolah.

"Demi anak-anak, generasi pewaris kita, terimalah abang semula," rayu Adet bersungguh-sungguh.

"Tapi......" Raisa masih teragak-agak.

"Abang tahu dulu abang jahat. Tapi Raisa kenal abang, Raisa tahu hati budi abang. Mereka yang mahukan Raisa itu Raisa belum tahu hati budi mereka..... Bak kata pepatah, better the devil you know," mendayu-dayu suara Adet.

Better the devil you know?

Perkataan itu menyentap hatinya. Itulah tajuk lagu yang cukup diminatinya yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi Sonia dari United Kingdom dalam pertandingan Eurovision tahun 1993. Lagu inilah yang didendangkan oleh Raisa di atas pentas pertandingan Ratu Kebaya yang dimenanginya 3 tahun lalu. Hati Raisa mencair bagai salji dimusim bunga apabila mendengar Adet mengungkapkan kata, 'better the devil you know'.

Kini sudah 3 purnama Raisa rujuk baik dengan Adet sekaligus menghancur ranapkan impian mahligai syahdu Adi, Nuar dan Guan. Namun disangka panas sampai kepetang, rupanya hujan pukul sepuluh pagi lagi. Raisa sekarang kembali berendam air mata. Adet masih dulu, kini dan selamanya penagih arak, kaki perempuan, tahi rasuah dan pemurah dengan penampar. Tampuk bera hitam seperti Muhyidin Yassin di pipi kanan Raisa yang belum hilang akibat henyakan Adet dulu, kini telah bertambah dengan tompok hitam pecah darah di dahi sebijik macam Mikhail Gorbachev, bekas Presiden Rusia hasil henyakan terbaru daripada Adet.

Raisa kini menyesal sambil menunggu edah kali keduanya yang entah datang atau tidak.
.
.
**Cerita rekaan penulis sahaja. Jika terasa, harap maaf. Itulah asam garam kehidupan yang fana ini.

Saturday, September 8, 2012

Mesyuarat Punggung

Sebuah jawatankuasa yang baru dibentuk bermesyuarat untuk menangani masalah seorang budak nakal yang menonggeng punggung ke atas gambar pemimpin negara dan isterinya.

"Kita dakwa saja dia di mahkamah!" Bengis betul suara pencadang pertama yang bermisai tebal.

"Kita nak dakwa bawah akta mana? Seksyen berapa?" Tanya yang lain.

"Cari je la dalam Kanun Keseksaan ke, Akta Hasutan ke, Akta Perjudian ke, Kongsi Gelap ke, Maksiat ke... Budak kurang ajar macam tu tak boleh dibiarkan," pencadang bermisai tebal semakin ketara kemarahannya. Maklumlah gambar pemimpin kesayangannya ditayang  punggung.

"Mula-mula kita buang kolej dulu budak ni, biar dia reti," cadang pula seorang yang songkoknya paling tinggi di dalam mesyuarat itu.

"Jangan musnahkan masa depannya, berfikir dengan otak, jangan dengan punggung tuan-tuan. Kita denda dia cara lain. Budak tu ada masa depan yang cerah," sanggah seorang ahli mesyuarat.

"Peduli apa masa depan dia cerah. Buang saja budak tu dari kolej!" Si songkok tinggi melampiaskan sifat sebenarnya.

"Come on man. Kalau kesalahan merogol budak bawah umur boleh lepas sebab tertuduh 'mempunyai masa depan yang cerah' takkanlah kesalahan tunjuk punggung ini lebih dasyat," seorang lagi ahli mesyuarat menyampuk.
"Lagipun budak tu hanya terpengaruh....." Sampuk seseorang.

"Ya terpengaruh dengan pembangkang. PR tu memang sial ajar anak-anak muda berkelakuan biadap," ahli menyuarat bersongkok tinggi mengambil peluang menyerang PR.

"Kepimpinan melalui teladan. Budak ni bukan terpengaruh dengan PR. Dulu ada orang kencing gambar Haji Hadi, Nik Aziz, Lim Kit Siang, ada diambil tindakan? Tak ada, sebab itulah budak-budak sekarang berani tiru," ada juga rupanya ahli mesyuarat yang berani melawan arus.

"Itu pemimpin pembangkang, lain. Ini melibatkan pemimpin negara, Perdana Menteri," jawab si misai tebal.

"Mana boleh beza-bezakan macam tu. Zaman Khalifah Umar Al-Khattab, seorang raja yang menampar orang yang terpijak jubahnya yang meleretpun dikenakan qisas tampar balik. Islam tak pilih bulu," seorang lagi ahli mesyuarat menyampuk.

"Budak tu pergi kolej naik apa?" Tiba-tiba pengerusi mesyuarat bertanya.

"Naik Skuter Ego bos," jawab si misai tebal. 

"Beginilah, buat sementara ni, kita hukum budak ini dengan mewajibkan dia mengisi skuternya dengan minyak RON 97," saran pengerusi.

"Wow, RM3 seliter tu bos, duit PTPTN dia tak terjejas ke bos?" celah seseorang.

"Itulah yang kita hasratkan, biar dia suffer dan belajar bersyukur dengan apa yang kerajaan BN buat sekarang ni," beritahu pengerusi.

"Tuan-tuan. Sebenarnya, harga minyak yang naik, memilih bulu dalam tindakan inilah yang membuatkan generasi muda kita sekarang meluat dengan kita dan sanggup tunjuk ponggong kat gambar pemimpin kita. Itu belum cerita lagi pasal rasuah, kronism, berita media yang berat sebelah, tindakan dan kenyataan pemimpin kita yang sering membodohkan rakyat, pembaziran, putar-belit ...." si pelawan arus dalam mesyuarat kembali berkata-kata.

"Betul... Jangan asyik tengok salah orang. Kaji juga apa silap kita," sampuk seseorang.

"Jangan sampai kita mati pun ada orang sanggup kencing atas kubur kita, masih belum terlambat untuk kita berubah," tambah lagi seseorang.

"Kita rehat dulu 15 minit," kata pengerusi sambil menyuap sebiji pau yang gebu ke mulutnya. Memang sejak dari tadi dia asyik memerhatikan pau 2 biji yang berhimpit dalam pinggan dihadapannya. Betul-betul macam punggung budak nakal tu, hisshhh... Fikirnya.

Wednesday, September 5, 2012

Zimmi, Harbi, Bananana

Sezimmi-zimmi bapa saudara Nabi S.A.W iaitu Abu Talib, dikatakan terpaksa juga memakai alas kaki yang amat panas di hari pembalasan kelak kerana enggan mengakui kalimah syahadah semasa hayatnya.

Bukan zimmi atau harbi yang kita orang Islam perlu gaduhkan.

Yang perlu kita runsing adalah agar kita tidak tergolong ke dalam golongan 'munafik'. Nauzubillah.

Monday, August 27, 2012

Cerpen: Khutbah Remote Control Aidil Fitri

Imej dari Blog Pakar Cinta

Belumpun sempat menteri itu bercakap baku, Arip cepat-cepat menekan punat remote control tv. Muak dia mendengar perkataan yang sama diulang-ulang di television yang keluar daripada mulut menteri yang berperwatakan aristokrat Philipina itu. Di channel  3, ditayangkan pula kumpulan orang yang kelihatan mengganas yang sedang disembur air seperti sekumpulan budak kecil yang menyertai majlis berkhatan beramai-ramai. Ini pun tayangan wajib ulang berpuluh-puluh kali sehari yang membuatkan Arip naik muak, lantas dia menekan punat remote control tv lagi. Di channel 7, Arip sekali lagi muak dengan drama tak habis-habis seorang makcik yang berjaya meluaskan perniagaannya dengan modal RM500. Arip menukar channel television lagi, kali ini kelihatan seorang bersongkok tinggi sedang bercakap tentang hukum-hakam agama di atas pentas sebelum turun bersalam dengan wanita-wanita yang rata-ratanya berpakaian merah dan putih. Macamlah malam ini ada game bola Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke IV.

Tup! Sekali lagi Arip menekan punat remote control tv.

“Huh! Tutup terus lagi bagus,” Arip berkata kepada dirinya sendiri.

Arip melihat ke kanannya, Tok Imam Salih termenung panjang di meja makan. Sejak balik dari masjid selepas sembahyang Isyak dan solat sunat taubat tadi, Arip perasan yang papa tidak ceria seperti biasa. Sepatutnya papa gembira kerana esok hari raya aidil fitri. Hari raya adalah hari kemenangan, hari graduasi, sepatutnya papa gembira macam Arip.

Setelah termenung, papa membaca helaian kertas di tangannya. Kepalanya kadang-kadang digelengkan. Semacam tidak bersetuju dengan apa yang terkandung di dalam tulisan itu. Sedari tadi, rasanya sudah berkali-kali papa membaca kertas ditangannya.

“Papa  baca apa tu?” Sapa Arip.
“Ooo.... Ini teks khutbah hari raya esok,” jawab papa.
“Papa berkhutbah ke baca khutbah?” Tanya Arip, cukup tajam untuk dijawab papa.
“Papa kena baca khutbah yang disediakan Majlis Agama, salah kalau kita buat khutbah sendiri,” beritahu papa agar Arip faham.
“Ooo... Tetapi kenapa papa termenung dan asyik geleng kepala?” Tanya Arip lagi.
“Papa kena baca sesuatu yang papa sendiri tak mahu baca, sesuatu yang papa kurang setuju,” papa berterus-terang.
“Mana? Biar Arip tengok,” pinta Arip.

Arip meneliti baris-baris yang tertulis di dalam helaian kertas di tangan papa. Walaupun Arip masih bersekolah rendah jenis kebangsaan Tamil darjah 3, tetapi Arip dapat memahami isi kandungan khutbah yang dia baca. Memang terdapat beberapa statement yang Arip sebagai rakyat Kelantan di bawah kepimpinan ulamak terasa sengal membacanya. Bertambah sengal apabila Arip membaca ayat berikut:

"Kita turut menyatakan kesyukuran kerana dapat berhimpun dalam masjid, dalam rumah Allah, bukan di medan-medan, di padang-padang atau di jalanan untuk menimbulkan keadaan keresahan dan mencetuskan perbalahan dan pergaduhan"

“Tak apalah papa, nak buat macam mana dah kerja papa jadi tok khatib....” Arip menasihati papa, macam budak besar-besar pulak.
Tok Imam Salih berlalu ke kamar tidur, meninggalkan teks khutbah di atas meja bersama Arip.

***
Usai solat sunat hari raya aidil fitri, Tok Imam Salih naik ke atas mimbar dan mula membaca khutbah hari raya. Nadanya tidak bersemangat seperti biasa walaupun berpeluh dia mencuba. Tiba-tiba Tok Imam Salih berasa pelik dan janggal apabila membaca ayat:

“Kita turut menyatakan kesyukuran kerana dapat bermacam-macam nikmat pada hari ini, termasuklah benda sekecil remote control television di rumah kita. Di dalam rumah kita tidak perlu memaksa diri untuk melihat atau menonton berita propaganda yang disuakan kepada kita. Kita ada remote control di tangan untuk cepat-cepat menukar channel television jika perlu. Jika kita asyik menonton berita yang belum pasti kesahihannya, ini boleh menimbulkan keadaan keresahan dan mencetuskan perbalahan dan pergaduhan"

Tok Imam Salih terkedu sekejap selepas membaca ayat itu. Rasanya sudah berkali-kali dia membaca teks khutbah ini sejak kelmarin, tetapi tiada pula ayat berkaitan remote control tv sebagai nikmat tak terhingga di Malaysia sekarang. Pelik... Pelik betul.

Tok Imam Salih menarik nafas dan mengangkat muka melihat beratus-ratus pasang mata para jemaah yang hadir. Tok Imam Salih perasan ramai jemaah yang tersengguk-sengguk mengantuk tadi sudah terbuka luas mata dan menaruh minat pada khutbah yang sedang dibaca. Hebat juga penangan remote control tv ini, fikir Tok Imam Salih. Selain daripada dapat menukar channel tv in a jiffy apabila timbul sesuatu yang tidak ‘diperlukan’ di kaca television di dalam rumah kita, remote control tv juga rupanya dapat mencelikkan mata pendengar khutbah seluas-luasnya.

Nun di tengah-tengah ruang masjid, betul-betul di bawah lampu chandelier,  Tok Imam Salih ternampak wajah Arip tersengih sambil menunjukkan tanda ‘peace’ di bawah dagunya. Bertuah punya budak! Rupanya Arip yang ubah skrip khutbah Majlis ini. Patutlah ada kesan liquid paper...

“Ittaqullah.....” Kung!!!

Tok Imam Salih menyambung semula khutbah sambil menghentak tongkat yang dipegang ke lantai mimbar agak kuat, cukup untuk membuatkan Arip menukarkan tanda peace yang dibuatnya kepada menggaru-garu dagunya yang tidak gatal.

Friday, August 10, 2012

Cerita Dari Sebuah Kondo

Ramadhan Tanpa TV@ Wadi Kita
.
.

DIA masih belum puas melihat terjunan Pandelela Rinong yang membuahkan pingat gangsa untuk negara.

“Hebattt.....” Pujian dari mulutnya belum putus-putus.

“Tiliklah puas-puas. Kurus puasa tu nanti,” isteri DIA bersuara apabila melihat DIA tidak lekang dari depan TV semenjak pagi. Satu kerja buat pun tiada daripada DIA hari ini.

“Kurus puasa apa pulak?” Soal DIA balik.

“Kalau dah tengok perempuan berbaju mandi takkan tak kurus puasa,” isteri DIA menjawab.

“Habis tu takkan depa nak pakai jubah pulak dalam acara terjun ni. Kamu tahu tak... Ini Olimpik, bukannya sukaneka atau Sukma, besar nilainya. Berjuang nak dapatkan pingat untuk negara di Olimpik semacam jihad juga kau tahu....” DIA mula berhujah.

“Puasa pun boleh ditangguhkan dahulu demi Olimpik. Bukan aku yang kata, tapi orang-orang agama yang alim dan popular yang sepakat kata begitu,” DIA menutup hujah. Semacam ada kemenangan di situ.

“Suka hati awaklah, saya cuma mengingatkan sahaja. Lagipun kita anak-beranak bukan berpuasa pun,” kendur suara isteri DIA, semacam mengaku kalah pula.

“Biarlah manusia yang berpuasa saja yang fikir pasal benda ni. Ini masalah depa semua, bukan masalah kita. Lagipun aku dah meluat dengan orang ramai ni. Dengki mereka pada kita tak habis-habis....”

Memang kebelakangan ini DIA bengang betul dengan orang ramai. Baginya orang ramai tak habis-habis dengki dengan kehidupan mereka anak-beranak. Baginya orang ramai hanya mahukan mereka hidup melarat. Ragut pagi makan pagi, ragut petang makan petang.

Segalanya bermula apabila mereka anak-beranak berpindah ke kondo mewah 70 ribu sebulan itu. Sejak hari itu, orang ramai sentiasa mencari salah mereka anak-beranak. Orang ramai semacam mahu mereka perpindah balik ke kampong, ke bawah pokok, ke bawah jambatan. Memang orang ramai busuk hati dan dengki.

Apakah tinggal di kondo salah? Tidak wassotiyah kah tinggal di kondo? Tahukah orang ramai makna wassotiyah? Mereka itu sekolah je tinggi, tetapi tidak reti. Tidak tahu. Mereka itu bodoh. Ya bodoh. Bodoh macam lembu.

Bodoh macam lembu?

Betulkah bodoh itu nisbahnya lembu?

Siapa yang menisbahkan begitu? Mesti manusia-manusia yang ramai itu.

Celaka! DIA menyumpah pada orang ramai.

Sejak hari itu DIA tak mahu ambil peduli tentang manusia. Tentang orang ramai. Biarlah mereka dengan labu-labu mereka. DIA akan tetap berdiam di dalam kondo itu bertemankan TV. Hanya TV yang menjadi rakan penghiburnya sekarang.

“Dasar bangsat! Tak tahu bersyukur!” DIA tiba-tiba melampiaskan kemarahannya. Terhenti mulutnya mengunyah seketika.

“Apa lagi tu bang?” Isteri DIA yang sedang bermenung di tingkap terkejut dengan tingkah DIA.

“Ini... BERSIH yang kotor ini. Mereka tak tahu bersyukur dengan apa yang ada. Apa lagi yang mereka mahukan? Merosakkan harta-benda negara. Orang nak berniaga pun tak boleh,” beritahu DIA sambil menuding ke arah kaca TV yang sedang menayangkan demonstrasi BERSIH 3.0 yang tak pernah basi itu.

“Mereka itu orang perjuangan. Memperjuangkan hasrat rakyat jelata,” jawab isteri DIA.

“Hasrat rakyat apanya? Hanya 22,270 orang sahaja...... 22 ribu orang ini saja yang tak puas hati. Penyokong Kelantan yang datang tengok bola friendly lawan QPR lagi ramai daripada yang datang BERSIH 3.0 ni. Lagi 28 juta rakyat jelata OK saja,” jawab DIA pantas.

“22,270? Heh! Awak bilang pakai apa?” Tanya isteri DIA.

“Kan dalam TV menteri ada cakap. Menteri yang cakap pelat Indonesia tu cakap 22,270 orang saja yang hadir BERSIH 3.0 tu. Dia kira sorang-sorang ikut setiap sentimeter graf,” yakin sekali DIA menjawab.

“Hei bang, saya sendiri yang lihat. Dari tingkap ni saya tengok hari tu, penuh jalan-jalan di bawah sana dengan manusia berbaju kuning. Takkanlah 22 ribu sahaja. Itulah abang, TV saja kehidupan seharian abang. Benda betul ada di depan mata pun, abang masih percaya pada TV. Cuba-cubalah cari maklumat alternatif,” isteri DIA memulangkan paku buah keras.

“Takkanlah menteri pelat Indon tu nak tipu,” DIA tak mahu beralah.

“Politik bang.... Tengok isu sambutan merdeka 55 tahun Negara kita sekarang ni, apa dolak-dalik menteri pelat Indon tu tentang logo, slogan dan lagu yang digunakan.... Oh saya lupa, abang tak tahu sebab abang asyik tengok TV saja, tak tengok media alternatif,” isteri DIA berhujah sambil memerli.

 DIA hanya diam tidak menjawab.

“Tempat kita bukan di kondo ini bang. Saya rindukan angin sepoi-sepoi bahasa di tepi tasik bang. Tempat ini tak elok untuk anak-anak kita yang sedang membesar. Mereka perlukan kehijauan, bukannya hidup dilingkungi konkrit bercat ini. Dingin aircond tak sama dengan dingin angin semilir bang. Kita perlu pindah,” isteri DIA berkata separuh merayu.

“Nampaknya kau pun dah termakan dengan hasutan orang ramai yang dengki itu,” DIA menjawab, tidak bersetuju dengan pandangan isterinya.

“Anak kita tu bang, tidurpun asyik mengigau sahaja semenjak pindah ke kondo ini. Ye lah kalau hari-hari disajikan dengan cerita hantu dan tahyol di kaca TV tu. Mereka perlu berlari di padang, bukan tengok TV je kerjanya,” isteri DIA berkata lagi.

“Karut! Sebelum tidur suruhlah budak-budak tu basuh kaki. Baru tak mengigau. Jangan malas, basuh keempat-empat. Jangan basuh dua sahaja,” DIA masih tidak mahu melayan isu pindah yang dibangkitkan si isteri. Baginya jika mereka pindah dari kondo itu, bermakna dia mengaku kalah dengan hasutan dan dengki serta fitnah orang ramai.

“Dunia sebenar bukanlah seperti yang tertera di kaca TV bang,” isteri DIA masih belum mengaku kalah.

“Baru-baru ini, Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Mohd Zaini Hassan pun ada beritahu bahawa pengamal media boleh spin fakta sebagai “serangan berhemah” kepada pihak lawan sehingga sesuatu fakta tersebut memihak kepada golongan yang berkepentingan... Ini menunjukkan apa yang keluar dari TV yang abang tenung dari pagi hingga ke malam itu banyak fiksyennya,” panjang hujah si isteri.

“Sudahlah aku dah lapar ni, apa lunch hari ni?”  Tanya DIA.

“Macam biasa.”

“Takkanlah dedak lagi... Rumput alfalfa import la pulak. Spirulina ke....” Protes DIA.

“Saya ajak pindah abang tak mahu. Dah duduk kondo, makan dedak je lah bang oiii. Kat sini, siapa yang nak mencerut rumput. Di mana nak mencerut di kota batu ni.... Nak order McDonald atau NFC opsss KFC, kita ni herbivor abang sayang oiii... Kita bukannya maging atau maserba macam manusia, kita hanyalah makhluk maun. Lagipun kita ni lembu, sanggupkah abang makan daging saudara-mara sendiri semata-mata kerana nak jaga status kita sebagai lembu yang mampu tinggal di kondo 70 ribu sebulan ini?,” kali ini isteri DIA tak kasi can, membelasah dia cukup-cukup.

Dia terdiam sambil ekornya melibas-libas badannya yang tak gatal.

“Tengoklah... Mungkin selepas orang ramai berPRU13 nanti, kita pindah. Dan buat sementara ini, abang mesti kurangkan TV,” katanya akur.

Si isteri hanya tersenyum dengan perubahan si suami sambil mulutnya meluahkan ucapan kesyukuran. Mooooooooooooooooooooooooo (Translate: Syuukuuuuuuuuuuuuuuuuuurrr).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...