Friday, August 10, 2012

Cerita Dari Sebuah Kondo

Ramadhan Tanpa TV@ Wadi Kita
.
.

DIA masih belum puas melihat terjunan Pandelela Rinong yang membuahkan pingat gangsa untuk negara.

“Hebattt.....” Pujian dari mulutnya belum putus-putus.

“Tiliklah puas-puas. Kurus puasa tu nanti,” isteri DIA bersuara apabila melihat DIA tidak lekang dari depan TV semenjak pagi. Satu kerja buat pun tiada daripada DIA hari ini.

“Kurus puasa apa pulak?” Soal DIA balik.

“Kalau dah tengok perempuan berbaju mandi takkan tak kurus puasa,” isteri DIA menjawab.

“Habis tu takkan depa nak pakai jubah pulak dalam acara terjun ni. Kamu tahu tak... Ini Olimpik, bukannya sukaneka atau Sukma, besar nilainya. Berjuang nak dapatkan pingat untuk negara di Olimpik semacam jihad juga kau tahu....” DIA mula berhujah.

“Puasa pun boleh ditangguhkan dahulu demi Olimpik. Bukan aku yang kata, tapi orang-orang agama yang alim dan popular yang sepakat kata begitu,” DIA menutup hujah. Semacam ada kemenangan di situ.

“Suka hati awaklah, saya cuma mengingatkan sahaja. Lagipun kita anak-beranak bukan berpuasa pun,” kendur suara isteri DIA, semacam mengaku kalah pula.

“Biarlah manusia yang berpuasa saja yang fikir pasal benda ni. Ini masalah depa semua, bukan masalah kita. Lagipun aku dah meluat dengan orang ramai ni. Dengki mereka pada kita tak habis-habis....”

Memang kebelakangan ini DIA bengang betul dengan orang ramai. Baginya orang ramai tak habis-habis dengki dengan kehidupan mereka anak-beranak. Baginya orang ramai hanya mahukan mereka hidup melarat. Ragut pagi makan pagi, ragut petang makan petang.

Segalanya bermula apabila mereka anak-beranak berpindah ke kondo mewah 70 ribu sebulan itu. Sejak hari itu, orang ramai sentiasa mencari salah mereka anak-beranak. Orang ramai semacam mahu mereka perpindah balik ke kampong, ke bawah pokok, ke bawah jambatan. Memang orang ramai busuk hati dan dengki.

Apakah tinggal di kondo salah? Tidak wassotiyah kah tinggal di kondo? Tahukah orang ramai makna wassotiyah? Mereka itu sekolah je tinggi, tetapi tidak reti. Tidak tahu. Mereka itu bodoh. Ya bodoh. Bodoh macam lembu.

Bodoh macam lembu?

Betulkah bodoh itu nisbahnya lembu?

Siapa yang menisbahkan begitu? Mesti manusia-manusia yang ramai itu.

Celaka! DIA menyumpah pada orang ramai.

Sejak hari itu DIA tak mahu ambil peduli tentang manusia. Tentang orang ramai. Biarlah mereka dengan labu-labu mereka. DIA akan tetap berdiam di dalam kondo itu bertemankan TV. Hanya TV yang menjadi rakan penghiburnya sekarang.

“Dasar bangsat! Tak tahu bersyukur!” DIA tiba-tiba melampiaskan kemarahannya. Terhenti mulutnya mengunyah seketika.

“Apa lagi tu bang?” Isteri DIA yang sedang bermenung di tingkap terkejut dengan tingkah DIA.

“Ini... BERSIH yang kotor ini. Mereka tak tahu bersyukur dengan apa yang ada. Apa lagi yang mereka mahukan? Merosakkan harta-benda negara. Orang nak berniaga pun tak boleh,” beritahu DIA sambil menuding ke arah kaca TV yang sedang menayangkan demonstrasi BERSIH 3.0 yang tak pernah basi itu.

“Mereka itu orang perjuangan. Memperjuangkan hasrat rakyat jelata,” jawab isteri DIA.

“Hasrat rakyat apanya? Hanya 22,270 orang sahaja...... 22 ribu orang ini saja yang tak puas hati. Penyokong Kelantan yang datang tengok bola friendly lawan QPR lagi ramai daripada yang datang BERSIH 3.0 ni. Lagi 28 juta rakyat jelata OK saja,” jawab DIA pantas.

“22,270? Heh! Awak bilang pakai apa?” Tanya isteri DIA.

“Kan dalam TV menteri ada cakap. Menteri yang cakap pelat Indonesia tu cakap 22,270 orang saja yang hadir BERSIH 3.0 tu. Dia kira sorang-sorang ikut setiap sentimeter graf,” yakin sekali DIA menjawab.

“Hei bang, saya sendiri yang lihat. Dari tingkap ni saya tengok hari tu, penuh jalan-jalan di bawah sana dengan manusia berbaju kuning. Takkanlah 22 ribu sahaja. Itulah abang, TV saja kehidupan seharian abang. Benda betul ada di depan mata pun, abang masih percaya pada TV. Cuba-cubalah cari maklumat alternatif,” isteri DIA memulangkan paku buah keras.

“Takkanlah menteri pelat Indon tu nak tipu,” DIA tak mahu beralah.

“Politik bang.... Tengok isu sambutan merdeka 55 tahun Negara kita sekarang ni, apa dolak-dalik menteri pelat Indon tu tentang logo, slogan dan lagu yang digunakan.... Oh saya lupa, abang tak tahu sebab abang asyik tengok TV saja, tak tengok media alternatif,” isteri DIA berhujah sambil memerli.

 DIA hanya diam tidak menjawab.

“Tempat kita bukan di kondo ini bang. Saya rindukan angin sepoi-sepoi bahasa di tepi tasik bang. Tempat ini tak elok untuk anak-anak kita yang sedang membesar. Mereka perlukan kehijauan, bukannya hidup dilingkungi konkrit bercat ini. Dingin aircond tak sama dengan dingin angin semilir bang. Kita perlu pindah,” isteri DIA berkata separuh merayu.

“Nampaknya kau pun dah termakan dengan hasutan orang ramai yang dengki itu,” DIA menjawab, tidak bersetuju dengan pandangan isterinya.

“Anak kita tu bang, tidurpun asyik mengigau sahaja semenjak pindah ke kondo ini. Ye lah kalau hari-hari disajikan dengan cerita hantu dan tahyol di kaca TV tu. Mereka perlu berlari di padang, bukan tengok TV je kerjanya,” isteri DIA berkata lagi.

“Karut! Sebelum tidur suruhlah budak-budak tu basuh kaki. Baru tak mengigau. Jangan malas, basuh keempat-empat. Jangan basuh dua sahaja,” DIA masih tidak mahu melayan isu pindah yang dibangkitkan si isteri. Baginya jika mereka pindah dari kondo itu, bermakna dia mengaku kalah dengan hasutan dan dengki serta fitnah orang ramai.

“Dunia sebenar bukanlah seperti yang tertera di kaca TV bang,” isteri DIA masih belum mengaku kalah.

“Baru-baru ini, Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Mohd Zaini Hassan pun ada beritahu bahawa pengamal media boleh spin fakta sebagai “serangan berhemah” kepada pihak lawan sehingga sesuatu fakta tersebut memihak kepada golongan yang berkepentingan... Ini menunjukkan apa yang keluar dari TV yang abang tenung dari pagi hingga ke malam itu banyak fiksyennya,” panjang hujah si isteri.

“Sudahlah aku dah lapar ni, apa lunch hari ni?”  Tanya DIA.

“Macam biasa.”

“Takkanlah dedak lagi... Rumput alfalfa import la pulak. Spirulina ke....” Protes DIA.

“Saya ajak pindah abang tak mahu. Dah duduk kondo, makan dedak je lah bang oiii. Kat sini, siapa yang nak mencerut rumput. Di mana nak mencerut di kota batu ni.... Nak order McDonald atau NFC opsss KFC, kita ni herbivor abang sayang oiii... Kita bukannya maging atau maserba macam manusia, kita hanyalah makhluk maun. Lagipun kita ni lembu, sanggupkah abang makan daging saudara-mara sendiri semata-mata kerana nak jaga status kita sebagai lembu yang mampu tinggal di kondo 70 ribu sebulan ini?,” kali ini isteri DIA tak kasi can, membelasah dia cukup-cukup.

Dia terdiam sambil ekornya melibas-libas badannya yang tak gatal.

“Tengoklah... Mungkin selepas orang ramai berPRU13 nanti, kita pindah. Dan buat sementara ini, abang mesti kurangkan TV,” katanya akur.

Si isteri hanya tersenyum dengan perubahan si suami sambil mulutnya meluahkan ucapan kesyukuran. Mooooooooooooooooooooooooo (Translate: Syuukuuuuuuuuuuuuuuuuuurrr).

8 comments:

  1. padu, padu! aku suka olahan citer nih. setiapnya ada koheren antara satu dengan yang lain. berpaut. bak biduk lalu kiambang bertaut. satu persoalan semua sekali terikut sama. nice lar, bro.

    ReplyDelete
  2. Itulah skop minda kalau bergantung tv semata. Mujur isteri pandai tazkirah hahaha... boleh masuk juga dlm kepala otak dia.

    ReplyDelete
  3. hahahaha...memang terbaik dari ladang NFC..!!!memula baca tadi aku ingat Dia dan Isteri tu Kak Ijat, rupa-rupanya lembu kak ijat....baguihhh...2..

    ReplyDelete
  4. hehehe. ini menarik . seriusss . walaupon pandangan politik kita mungkin beda . tapi biarlah . dalam persahabatan politik ni letak tepi.

    ReplyDelete
  5. La, lembu rupanya, padanlah tak pandai mengira.

    Sebuah olah yang cantik.....

    ReplyDelete
  6. Salam Aidilfitri Maaf Zahir Batin :-)

    ReplyDelete
  7. salam aidilfitri, tak mau tulis cite pasal TV ka? masih terbuka untuk cukupkan 5 pemenang :)

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...