Wednesday, February 10, 2010

Cinta diSeterika di Paka



Hari itu aku nekad meninggalkan kerjaku. Kerja keempatku sebenarnya sejak graduate beberapa bulan lalu. Harapan mak agar aku bekerja tetap hancur.

“Tak lekat abu di dapur!” Katanya.

Tapi aku tak akan memberitahunya sehingga aku mendapat kerja lain.

Surat perletakan jawatan telah kutinggalkan pada Ida seorang staf di situ untuk diserahkan pada bos.

Hari ini aku kembali ke tempat itu setelah lebih 14 tahun berlalu. Datangku kali ini adalah kerana tugas rasmiku sekarang ini. Tempat itu sekarang bukan lagi sebuah tapak pembinaan yang berhabuk, tetapi sebuah kompleks memproses gas comel yang menjana jutaan ringgit.

“Payah nak semayang mak, surau jauh. Dekat asar baru kami pakat naik van pegi surau untuk sembahyang zohor dan asar sekali. Kat kabin opis tandas pun takda”, mak terus setuju diam bila aku memberitahu alasan berhenti kerjaku kali ini. Memang benar, bukan aku reka-reka. Naik krem aku tahan kencing bahana tiada tandas disediakan. Masa tu mana aku mampu untuk membeli motor apatah lagi kereta.

Selesai tugasku di tempat itu, aku ke Masjid Jamek Paka untuk sembahyang. Selesai sembahyang, aku terpaku pada keindahan dan kedamaian laut yang terbentang luas di hadapan masjid. Ombak laut membawa ingatan pada Ida, gadis yang telah ku amanahkan surat perletakan jawatanku 14 tahun dulu.

Ida sangat baik denganku. Dia berminat mendengar cerita dan sering bertanya pasal pengalamanku belajar di luar negeri. Ida baik dan mesra dengan semua orang. Dia memang seorang yang senang untuk dibuat kawan.

Suatu ketika, apabila aku menyatakan keinginan untuk membeli seterika untuk menggosok baju, Ida menghadiahkan aku sebuah seterika kecil baru keesokannya. Aku agak terkesima dan menolak, tetapi aku terima juga akhirnya kerana Ida bersungguh-sungguh.

Apabila aku meningggalkan kerja di tempat itu, aku juga meninggalkan kawan-kawanku di situ, termasuk Ida. Tidak ku tahu lagi di mana mereka sekarang. Apalagi setelah lebih 14 tahun.

Alasan berhenti kerja yang kunyatakan pada mak hanyalah betul sebahagian sahaja. Perasaan suka ku pada Ida adalah sebahagian alasan lagi. Aku sebenarnya jadi tertarik pada kebaikan Ida (Orangnya pun tinggi lawa beb!). Bukan aku sengaja mahu lari dari Ida, tetapi hatiku ini telah dimiliki ketika itu. Hatiku telah terikat dan setia dengan seorang yang lain ketika itu.

Hari ini kubisikkan ke Laut Cina Selatan untuk menyampaikan salam maafku pada Ida walau di mana dia berada kerana perlakuanku memutuskan persahabatan kami begitu saja hanya kerana ada bibit suka aku kepadanya. Apalagi kerana aku kuat merasakan Ida juga telah lama suka padaku....

3 comments:

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...