Friday, September 18, 2009

Rayuan Aidil Fitri

Hanya satu pintaku...

Kembalikan gula di pasaran !

Aku dah bosan menjajak segenap kedai yang hanya menjual garam.

Wednesday, September 16, 2009

YB Penyolek Gigi


YB pun manusia juga.


Perkembangan tidak sihat saya lihat masih ada YB Pakatan Rakyat yang berlagak 'bebas' (YB BN pun sama). Ada je isu, tak kira isu buatan atau isu provokasi atau isu yang terjadi kerana kesilapan teknik. Ada la YB yang kononnya bersifat 'neutral', 'bebas', 'toleran', 'terbuka', 'berakedemik', 'berprinsip', 'istiqomah', 'bijak' dll.


Sehingga ada yang sanggup melabelkan sesama teman seperjuangan sebagai Pak janggut, Pak Serban dan juga Pak Keris yang ditujukan tentunya kepada Umno.


Kalau masa berkempen dulu kita berkempen sebagai Pakatan Rakyat, apabila menang bekerja dan bercakaplah sebagai Pakatan Wakil Rakyat. Berpakat dan bermesyuarahlah dulu sebelum mengulas sesuatu isu yang besar-besar. Kalau kita pakar undang-undang, bantulah think-tank PR menghadapi isu dari segi perundangan, kalau kita pakar onde-onde, bawalah onde-onde ke mesyuarat supaya lebih lively, kalau kita pakar agama, tentunya ilmu kita diperlukan supaya tindakan kita tidak lari daripada syariat Islam.


Berkenaan isu yang ditimbulkan oleh lawan, kita yang celik ilmu dan politik tentunya sudah tahu arah tujunya. Lagipun masing-masing parti sudah ada Ketua Penerangan masing-masing.


Lihat saja, kenapa Datuk Seri Mufti Harussani dulu dikatakan satu-satunya mufti yang berani bersuara dalam sesuatu isu? Bukan kerana mufti lain tak tahu bercakap atau penakut. Kalau bab bercakap mantan mufti Dr. Asri Zainal Abidin lagi pandai mengolah kata-kata. Tetapi kerana DS Harussani telah dilantik sebagai JURUCAKAP para mufti. Maka selepas muzakarah, dia lah yang akan pegang mikrofon di depan para pemberita. Itulah prosedur. Itulah yang PR kena ikut.

Sebenarnya kalau bab berhujah dan berkata-kata ini, mana-mana pihak pun tidak ketandusan calon. Kalau kita rasa kita bijak mengolah isu dan fakta, ada lagi orang lain yang lebih arif daripada kita. Semacam juga pelukis, cuba kita menjengah ke Pasar seni, KL, pelukis mana yang paling bagus ?

Kalau apa yang kita cakap atau tulis, tiba-tiba besoknya Utusan atau TV3 laporkan dan promote kan besar-besaran.... tuan-tuan pikirlah sendiri.


YB-YB Pakatan Rakyat diibaratkan sebagai seberkas lidi penyapu. Memang kerjanya pun untuk menyapu segala rasuah dan salahguna kuasa. Jadi dalam seberkas lidi yang sama warna itu, janganlah ada yang cuba mewarnakan dirinya dengan warna lain supaya dapat 'stand out from the rest'.


Sedarlah, tuan-tuan semua hanyalah lidi biasa tanpa ada getah pengikat. Tak tahulah jika ada di kalangan tuan-tuan yang lebih suka dijadikan penyungkil gigi. Dipatahkan dan dibuat penyungkil gigi atau penyolek gigi selepas seseorang telah makan besar dan bersendawa!


Saya cadangkan ditubuhkan Pakatan Wakil Rakyat untuk PR.


Yang ikhlas, Maaf Zahir Batin. Cikli.


Tuesday, September 15, 2009

Bayar Zakat Tapi Berdosa ?


2 minggu berturut-turut khatib di Masjid Tanjung Aru baca benda yang sama. Kewajipan bayar zakat dan fitrah kepada amil yang dilantik sahaja. Ulangan, AMIL yang dilantik saja.


Bersama kita renungkan.


1. Enakmen Zakat dan Fitrah Negeri Sabah, No 6, Tahun 1993.


Seksyen 55 : Fitrah hendaklah dibayar pada tiap-tiap tahun kepada AMIL tidak lewat daripada satu haribulan dalam bulan Syawal sebelum bermulanya sembahyang Hari Raya.



2. Keputusan Fatwa Muzakarah Jaw. Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke 76 yang bersidang pada 21 November 2006.


Dari segi siasah dan maslahah, zakat merupakan pemangkin kepada ekonomi umat Islam. Peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah atau Ulil Amri adalah demi menjaga hak dan kepentingan zakat tersebut.Walaupun dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara KEBAIKAN adalah BERDOSA, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib.


Lalu aku bertanya, "Bolehkah ahli-ahli J/K Fatwa Kebangsaan bermuzakarah lagi bagi memutuskan bolehkah atau tak apa kah pemerintah atau ulil amri menyuruh rakyat hanya membayar zakat kepada AMIL sahaja?"


Aku lalu bertanya lagi, "Kakak ku juga tergolong dalam golongan miskin, tak afdalkah aku sebagai adiknya mengagihkan zakat kepada kakakku yang kurang bernasib baik tanpa aku mendapat dosa kerana engkar kepada ulil amri?"


Bertalu-talu soalan aku, " ada budak mintak derma nak pi sambung belajar tapi tak cukup duit, tak berdosakah jika aku terus je bagi zakat yang wajib ke atas aku kepadanya?"
.
.
Ada lagi soalan aku, " aku kenal seseorang yang baru masuk Islam, jadi bolehkah aku menunjukkan indahnya Islam dengan memberikan zakat kepadanya, supaya dia terus yakin pilihannya sungguh cantik dan tulen. Tak pa kah aku buat begitu?"


Aku terus tak henti bertanya, " aku terlihat seorang makcik tua tukang sapu di Giant Putatan, cuaca panas bulan puasa jelas mempengaruhinya apabila aku melihat dia memejamkan mata beberapa kali sambil mengemop lantai yang sentiasa dipijak orang yang bertali arus bershopping. Aku terfikir tak berdosakah jika aku bahagi je duit zakat aku kepadanya direct hari ini agar dapat menceriakannya sebelum dia balik rumah? Mungkin juga dia dapat beli sesuatu untuk cucunya hari ini. Inilah indahnya Islam, at least fikirku, jika orang lain tak fikir begitu"


Aku ada banyak soalan lagi tetapi takut dituduh nak melawan fatwa pulak.
.
.
Apapun zakat fitrah aku lima sekeluarga dah bayar pada amil bertauliah di MUIS.
.
.

Friday, September 11, 2009

Kelantan Umpama Ramadhan (Recycle)


Bismillahirrahmanirrahim.

Jika negeri-negeri di Malaysia umpama bulan -bulan dalam setahun, Kelantan adalah bulan Ramadhan.

Tiba sahaja bulan penuh barakah Ramadhan, berpusu-pusu orang mengerjakan kebaikan. Yang wajib of course, yang sunat semacam murtabak, habis dipulun sama.

Yang taik judi cuba berhenti, yang merokok berazam menjauhi tembakau, yang tak hormat orang tua dah mula membahasakan diri ambo apabila berjumpa orang berjanggut walaupun sejemput, anak-anak sampai kepada datuk-datuk, besar-kecil, kaya-miskin, glamour-tak dikenali langsung semua merebut mengerjakan kebajikan. Yang tak pernah endah kepada laungan azan pun paling rajin menghabiskan tarawih. Alhamdulillah, itulah kelebihan dan keberkatan Ramadhan.

Yang ada rezeki lebih mengambil peluang ke Mekah mengerjakan umrah atau ke Taiwan (sebagaimana MP BN) untuk meneruskan jihad dalam bidang pertanian yang semestinya akan menaikkan taraf ekonomi orang Melayu Islam yang ramai menceburi bidang ini.

Anak-anak yatim pun turut diraikan pada bulan ini, bukan hanya dengan wang ringgit dan baju raya, juga dengan alunan lagu penghibur-penghibur cendawan masakini.

Selepas Ramadhan, ada orang yang alhamdulillah terus istiqamah melakukan kebaikan yang sama yang telah dikerjakan dalam bulan Ramadhan. Ada juga yang memerlukan Ramadhan yang akan datang untuk kembali mencuba lagi. Tidak ada Ramadhan Julai macam kertas BM SPM.

Begitulah negeri Kelantan, Bila Tok Guru berada di kerusi teratas, setiap jiwa yang masuk ke Kelantan semacam berniat di miqat apabila sampai sahaja di sempadan negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga Cik Siti Wan Kembang ini.

Semacam semuanya mengharapkan yang baik-baik sepanjang berada di negeri ini. Mereka turut sama memakmurkan masjid dan surau apabila masuk waktu, berpakaian sopan, bertudung, bercakap pasal akhirat, pasal akidah dan macam-macam kebaikan lagi.

PM(Mantan) Pak Lah sendiri menyantuni Tok Guru dengan memimpin tangannya turun pentas apabila berada di Kelantan semasa pelancaran ECER. Hishamuddin turut sama memimpin tangan Tok Guru di majlis yang lain setelah berucap dan berjanji untuk turut sama memperkasakan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Kelantan.

TPM(Mantan), Datuk Seri Najib pun bercakap pasal pembinaan masjid dan Pusat Ketamadunan Islam apabila berada di Kelantan, iaitu semasa merasmikan majlis pecah tanah untuk membina masjid baru anNur Guchil di atas tapak Masjid Guchil sedia ada yang selama ini menjadi mercu tanda Guchil dan tersergam gagah di atas puncak tertinggi di Guchil yang pernah dirasmikan oleh ayahandanya Tun Razak pada 1968.

Pegawai BPR (sekarang SPRM) pun turut sama berjemaah Asar dalam pejabat Tok Guru apabila masuk waktu sembahyang walaupun sessi penyiasatan ke atas Tok Guru sedang dijalankan. Tok Guru disiasat kerana tidak memberitahu kepada BPR bahawa beliau telah menolak rasuah sejuta RM daripada tauke balak belasan tahun lepas.

Selepas balik dari Kelantan, semacam Ramadhan juga, ada yang istiqamah dengan apa yang dilakukan di Kelantan dan ada yang tidak.

Ketua Puteri Umno(Mantan), Noraini Ahmad dilihat pertama kali bertudung apabila bermatian berkempen di Pengkalan Pasir, Pasir Mas Kelantan, semasa Pilihanraya Kecil di situ hujung tahun 2005. Alhamdulillah beliau istiqamah bertudung walaupun telah menjadi Timbalan Menteri dan sampai sekarang beliau kelihatan cun bertudung.

Anak muda tersohor Khairi Jamaluddin (sekarang Ketua Pemuda Umno) juga berpakaian lebai dan turut melakukan banyak kebajikan termasuk mengimarahkan surau semasa kempen Pilihanraya Kecil yang sama di Kelantan itu. Selepas itu beliau tidak lagi dilihat berpakaian lebai walaubagaimanapun beliau masih menutup aurat.

Itulah hebatnya Kelantan negeri tadahan wahyu. Walaupun tidak dipaksa, tetapi orang yang mendatanginya semacam memestikan diri membuat yang baik-baik sahaja apabila bermusafir ke negeri yang menurut Tok Guru Nik Aziz sendiri,

....ramai ulamak berjalan di atas muka buminya dan ramai ulamak juga (yang telah meninggal) di dalam perut buminya...


Betapa ruginya orang yang lahir dan menetap di Kelantan tetapi masih jengkel untuk melakukan kebaikan malah masih berurusan dengan 4 nombor, toto, magnum dan lebih teruk lagi berusaha keras untuk menjatuhkan pemerintahan Tok Guru pagi petang siang malam atau paling tidak lima tahun sekali! Sedarlah bahawa kamu bagaikan berada dalam bulan Ramadhan sepanjang berada di dalam negeri ini bah......


Tepuk dada, tanya iman.


Welcome to Kelantan Darul Mubarak. Peace.

Wednesday, September 9, 2009

9999 ke 10



Alhamdulillah.

Hari ini 9/09/2009, genap 10 tahun perkahwinanku sejak 9/09/1999.

Semoga keluarga kami dengan 3 cahayamata terus berkekalan dan mendapat berkat.

Terima kasih kepada isteri dan anak-anak.


****Artikel lepas.

It's 999999.

Sunday, September 6, 2009

Kepala Lembu : Chotto Matte Kudasai


Kami tercari-cari Islamic Centre yang dikatakan berada tak jauh dari tempat penginapan kami. Dengan teliti kami perhatikan kiri-kanan jalan agar Centre itu tidak terlepas. Tetapi apabila kami sampai saja di suatu simpang dan melihat ke kiri.....

Satu pandangan di luar jangka. Ianya sebuah masjid yang besar, tinggi dan cantik. Tidak susah untuk mencarinya. Dari kejauhan sudah nampak fizikalnya dengan menara yang begitu gah. Masjid ini berada di Hatagaya, hanya dipisahkan oleh jalanraya dengan Shibuya-ward, suatu tempat kediaman elit yang senyap. Rumah golongan berada. Pastinya bukan tempat tinggal Nobita dan Hagemaru atau Fuku-Chan. Barangkali hanya keluarga Sunio yang layak tinggal di Hatagaya.

Tetapi Masjid ini yang dipanggil Tokyo Camii atau Tokyo Mosque atau Yoyogi Mosque boleh didirikan dengan megahnya di sini tanpa sebarang ‘kepala lembu’ dalam sejarah pembinaannya.

Masjid ini asalnya didirikan oleh komuniti imigran Turki dari Kazan (Rusia) seawal 1930 lagi. Pada tahun 2000 ianya dibina semula dengan bentuknya seperti hari ini.

Orang Islam di Jepun terlalu sedikit bilangannya. Terlalu sedikit peratusannya jika dibandingkan dengan penganut Hindu di Malaysia. Bilangan orang Jepun yang mengetahui berkenaan Islam juga terlalu amat sedikit. Bertanya tentang ‘halal’ kepada orang Jepun mungkin sama dengan sekiranya kita bertanya berapa kalori yang terkandung dalam petai yang nenek kita sedang masak.

Pada pertengahan tahun 90-an, dikatakan hanya 1 orang Islam yang boleh dijumpai dalam seramai 100,000 orang Jepun yang telah mencecah 130 juta orang sekarang ini.

Belum pernah kita terdengar geng Yakuza atau samurai sesat yang datang membawa apa-apa 'kepala' (kita kata Jepun suka pancung kepala orang) ke masjid yang didirikan tinggi dan besar ditengah-tengah masyarakat Jepun yang majoritinya nampak beragama hanya semasa dilahirkan, semasa berkahwin dan bila meninggal dunia. Sepanjang pembinaan masjid ini, tidak pernah ada mana-mana ninja sama ada dari Nintama atau Dokutake yang diarahkan datang mengkucar-kacirkan projek tersebut.

Sepanjang saya berpeluang sembahyang Jumaat di Masjid ini, hanya 2-3 orang yang berwajah Jepun yang ada bersolat sama-sama berbanding dengan jumlah lebih 200 jemaah. Imamnya pun seorang Turkish yang fasih berkhutbah dalam Japanese, Turkish dan English. Semoga masjid ini terus makmur.

Setakat ini begitulah nasib Muslim dan masjid di sini. Sehari dua lagi belum dapat dipastikan...

Dalam Pilihanraya Umum 30 September 2009 yang lepas, penguasaan 54 tahun Liberal Democratic Party (LDP) pimpinan Perdana Menteri Taro Aso telah kalah teruk kepada Democratic Party of Japan (DPJ) pimpinan Yukio Hatoyama.

DPJ boleh dikatakan serpihan LDP yang ditubuhkan pada 1996 dan pemimpinnya Hatoyama adalah bekas YB daripada LDP yang keluar parti pada 1993.

Jepun tidak seperti negara kita yang multi-racial. Jikalau puak-puak LDP ‘desperate nak mampus’ nak tumbangkan DPJ pun ....... Isu bangsa tak boleh dimainkan di Jepun. Tetapi jika mereka meniru tindakan segelintir manusia yang mendalangi dan membawa kepala lembu seperti di Selangor, ini tidak mustahil boleh berlaku. Walaupun Masjid Tokyo ini didirikan di zaman mereka (LDP), tetapi itu semua tak jadi hal. Semua fakta boleh di’spin’. Samalah dengan isu kuil, babi dan arak di Selangor.

Saya hanya membuat perbandingan. Jangan runsinglah. Perbandingan ini supaya kita semua faham dan berfikir. Lagipun orang Jepun tak macam tu, tengoklah mereka tukar kerajaan tanpa water cannon dan tembakan dan gas pemedih mata!

Saturday, September 5, 2009

Cerita Puasa Versi Recycle



Adik terhegeh-hegeh menolak wheel barrow yang penuh berisi buah sawit ke tempat pengumpulan. Itulah kerja adik sementara menunggu result SPM 1991.

"Lu posa ka?" Tanya seorang penyelia apek.

"Posa"

"Waa... talak letih ke...itu olang pun Melayu, tapi talak posa pun", kata apek lagi sambil menunjuk ke arah orang yang dimaksudkan.

"Kenapa lu posa ma?" Tanya apek lagi.

"Bila lapar, kita ingat sama orang miskin yang takde makanan", adik jawab sama seperti apa yang ustaz, ustazah dan lebai-lebai cakap.

"Olang miskin tak payah posa la? hari-hari lapar" Apek menimbulkan persoalan yang adik tak kuasa nak menjawabnya. Lagipun kerja kutip sawit dibulan puasa dengan matahari khatulistiwa di atas kepala benar-benar merujakan dan mencerokkan perut.

Terima kasih banyak-banyak kepada apek kerana mengajar adik erti kehambaan yang sebenarnya. Kerana Allah lah kita berpuasa, kerana kita hamba Nya, dan Dia Tuan kita. Tuan suruh, kita kena buatlah. Tak buat kena marah, jika Tuan marah, mana hamba nak mengadu?

Ingat orang miskin, bagi rest enjin perut, mencerdaskan akal, melatih kesabaran etc etc itu semua adalah hikmah berpuasa yang diberikan oleh Allah kerana Allah itu maha pengasih dan penyayang.

Kadang-kadang hikmah ini untuk orang yang terlalu berakal yang hendakkan reasons dan benefits untuk setiap tindakan hatta dalam persoalan pengabdian kepada Tuhan.

Kalau adik jumpa penyelia apek tu lagi, balik dari oversea ni adik nak belanja makan.
***Adik masih di Oversea. Salam kemaafan dan Hari Raya daripada Kanda sekeluarga.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...