Friday, September 11, 2009

Kelantan Umpama Ramadhan (Recycle)


Bismillahirrahmanirrahim.

Jika negeri-negeri di Malaysia umpama bulan -bulan dalam setahun, Kelantan adalah bulan Ramadhan.

Tiba sahaja bulan penuh barakah Ramadhan, berpusu-pusu orang mengerjakan kebaikan. Yang wajib of course, yang sunat semacam murtabak, habis dipulun sama.

Yang taik judi cuba berhenti, yang merokok berazam menjauhi tembakau, yang tak hormat orang tua dah mula membahasakan diri ambo apabila berjumpa orang berjanggut walaupun sejemput, anak-anak sampai kepada datuk-datuk, besar-kecil, kaya-miskin, glamour-tak dikenali langsung semua merebut mengerjakan kebajikan. Yang tak pernah endah kepada laungan azan pun paling rajin menghabiskan tarawih. Alhamdulillah, itulah kelebihan dan keberkatan Ramadhan.

Yang ada rezeki lebih mengambil peluang ke Mekah mengerjakan umrah atau ke Taiwan (sebagaimana MP BN) untuk meneruskan jihad dalam bidang pertanian yang semestinya akan menaikkan taraf ekonomi orang Melayu Islam yang ramai menceburi bidang ini.

Anak-anak yatim pun turut diraikan pada bulan ini, bukan hanya dengan wang ringgit dan baju raya, juga dengan alunan lagu penghibur-penghibur cendawan masakini.

Selepas Ramadhan, ada orang yang alhamdulillah terus istiqamah melakukan kebaikan yang sama yang telah dikerjakan dalam bulan Ramadhan. Ada juga yang memerlukan Ramadhan yang akan datang untuk kembali mencuba lagi. Tidak ada Ramadhan Julai macam kertas BM SPM.

Begitulah negeri Kelantan, Bila Tok Guru berada di kerusi teratas, setiap jiwa yang masuk ke Kelantan semacam berniat di miqat apabila sampai sahaja di sempadan negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga Cik Siti Wan Kembang ini.

Semacam semuanya mengharapkan yang baik-baik sepanjang berada di negeri ini. Mereka turut sama memakmurkan masjid dan surau apabila masuk waktu, berpakaian sopan, bertudung, bercakap pasal akhirat, pasal akidah dan macam-macam kebaikan lagi.

PM(Mantan) Pak Lah sendiri menyantuni Tok Guru dengan memimpin tangannya turun pentas apabila berada di Kelantan semasa pelancaran ECER. Hishamuddin turut sama memimpin tangan Tok Guru di majlis yang lain setelah berucap dan berjanji untuk turut sama memperkasakan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Kelantan.

TPM(Mantan), Datuk Seri Najib pun bercakap pasal pembinaan masjid dan Pusat Ketamadunan Islam apabila berada di Kelantan, iaitu semasa merasmikan majlis pecah tanah untuk membina masjid baru anNur Guchil di atas tapak Masjid Guchil sedia ada yang selama ini menjadi mercu tanda Guchil dan tersergam gagah di atas puncak tertinggi di Guchil yang pernah dirasmikan oleh ayahandanya Tun Razak pada 1968.

Pegawai BPR (sekarang SPRM) pun turut sama berjemaah Asar dalam pejabat Tok Guru apabila masuk waktu sembahyang walaupun sessi penyiasatan ke atas Tok Guru sedang dijalankan. Tok Guru disiasat kerana tidak memberitahu kepada BPR bahawa beliau telah menolak rasuah sejuta RM daripada tauke balak belasan tahun lepas.

Selepas balik dari Kelantan, semacam Ramadhan juga, ada yang istiqamah dengan apa yang dilakukan di Kelantan dan ada yang tidak.

Ketua Puteri Umno(Mantan), Noraini Ahmad dilihat pertama kali bertudung apabila bermatian berkempen di Pengkalan Pasir, Pasir Mas Kelantan, semasa Pilihanraya Kecil di situ hujung tahun 2005. Alhamdulillah beliau istiqamah bertudung walaupun telah menjadi Timbalan Menteri dan sampai sekarang beliau kelihatan cun bertudung.

Anak muda tersohor Khairi Jamaluddin (sekarang Ketua Pemuda Umno) juga berpakaian lebai dan turut melakukan banyak kebajikan termasuk mengimarahkan surau semasa kempen Pilihanraya Kecil yang sama di Kelantan itu. Selepas itu beliau tidak lagi dilihat berpakaian lebai walaubagaimanapun beliau masih menutup aurat.

Itulah hebatnya Kelantan negeri tadahan wahyu. Walaupun tidak dipaksa, tetapi orang yang mendatanginya semacam memestikan diri membuat yang baik-baik sahaja apabila bermusafir ke negeri yang menurut Tok Guru Nik Aziz sendiri,

....ramai ulamak berjalan di atas muka buminya dan ramai ulamak juga (yang telah meninggal) di dalam perut buminya...


Betapa ruginya orang yang lahir dan menetap di Kelantan tetapi masih jengkel untuk melakukan kebaikan malah masih berurusan dengan 4 nombor, toto, magnum dan lebih teruk lagi berusaha keras untuk menjatuhkan pemerintahan Tok Guru pagi petang siang malam atau paling tidak lima tahun sekali! Sedarlah bahawa kamu bagaikan berada dalam bulan Ramadhan sepanjang berada di dalam negeri ini bah......


Tepuk dada, tanya iman.


Welcome to Kelantan Darul Mubarak. Peace.

1 comment:

  1. COMEY COMEY...Harap k.krai membangun lah di bwh PAS

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...