Sedang aku meluncur laju menuruni jambatan Tok Bali, keretaku ditahan 2 orang kanak-kanak. Aku berhenti dan membenarkan mereka naik.
Kuperhatikan pakaian mereka yang agak comot. Tekaanku betul, mereka berdua adik-beradik. Seorang sepuluh tahun, seorang lapan tahun. Tapi setiap hari tempat tujuan mereka bukan di sekolah. Tujuan mereka setiap hari di tempat pendaratan dan penjualan ikan di sekitar jambatan Tok Bali. Mencari ikan, beritahu si abang kepadaku. Ikan jatuh dikutip, boleh dijual atau dibawa balik.
Mereka anak yatim. Ibu sering sakit-sakit. Kerja mengambil upah memotong daun rokok daun. Abang ada, tapi tinggal di Kedah, menyara keluarganya sendiri dengan kederat seorang nelayan.
Walaupun mataku yang semakin berkabur memerhati jalan Tok Bali-Semerak yang cantik bertar di hadapan, fikiranku menerawang kepada peristiwa Pilihanraya Kecil Semerak yang memaksa jalan itu di ‘upgrade’ dan kelihatan seperti sekarang. Pilihanraya kecil terhebat yang telah berlalu hanya setahun yang lalu. Aku ingat hampir semua orang Semerak mendapat habuan jong pecah pada masa itu. Adakah 2 beradik ini turut sama mendapat habuan?
“Give a man a fish; you have fed him for today. Teach a man to fish; and you have fed him for a lifetime”—Author unknown
Adakah semasa kempen pilihanraya kecil Semerak, parti-parti yang bertanding hanya sibuk memberi ikan tanpa memberi jala atau mengajar orang Semerak yang memerlukan supaya selepas pilihanraya nanti, walau parti mana yang menang sekalipun, mereka masih mampu mendapat ikan dengan hasil usaha dan kebolehan sendiri.
“Di sini bang!”
Lamunanku terhenti betul-betul di depan jambatan kayu satu hala yang merentasi Sungai Semerak.
“Nah dik! Bagi kat mak….jaga mak baik-baik ya”, aku menghulurkan dan menuturkan apa yang aku dapat pada masa itu.
2 beradik tadi mengucapkan terima kasih dan terus pergi…….dari pandangan tetapi tidak dari ingatan.
Esok, 31 Ogos, 2008, selepas sepuluh tahun berlalu aku masih membayangkan nasib 2 beradik yang tercicir persekolahan di bumi bertuah merdeka ini.
Sudah MERDEKA kah mereka dari kemiskinan dulu?
Pemimpin yang baik mencari untuk membantu bukan dicari meminta dibantu.
ReplyDeletetahniah tempat pertama pertandingan dr Tuan Hasbullah Pit.
ReplyDeleteSalam...
ReplyDeletepokmudo:
benar sekali
asal:
terima kasih. tahniah juga kerana dapat rm300,000.00 one-off dan pencen rm3000 sebulan.