Thursday, April 23, 2009

The Siblings



Turun dari masjid selepas sembahyang Isyak, aku ternampak ayah menyuruh adik mengikutnya. Mereka tidak menghala ke rumah, sebaliknya mereka terus ke arah pekan Guchil.

Perasaan jelesku muncul tiba-tiba. Kenapa ayah tidak mengajak aku sama. Selalunya aku dan adikku tidak terpisah. Jika ke manapun, kami mesti sama-sama. Kalau ayah nak belanja roti canai pun, mesti sama-sama. Kalau nak pergi baju raya pun, mesti sama-sama. Kadang-kadang kakak pun di ajak sama. Umur kami hanya selang 2 tahun. 7, 9, 11.

Aku terus mengikut ayah dan adik dari belakang. Kadang-kadang aku bersembunyi di tepi pagar, takut-takut adik atau ayah ternampak.

Ke mana ayah nak bawa adik?

Kenapa aku ditinggalkan?

Sampai di kedai Haji Sodah, ayah menarik adik ke dalam kedai. Haji Sodah sedang bersiap untuk menutup kedai.

Hatiku semakin jeles.

Kenapa ayah ajak adik seorang saja ke kedai?

Dari dalam gelap, aku nampak ayah sedang memilih selipar jepun untuk adik. Barulah aku teringat, tengah hari tadi selipar jepun adik putus.

Akupun terus meredah remang malam. Balik ke rumah.

Hari ini, bila teringatkan peristiwa itu, aku terfikir..... Mungkin duit yang ayah ada pada hari itu hanya cukup-cukup untuk menggantikan selipar jepun adik yang telah putus.
.
Maaf ayah kerana memikirkan yang bukan-bukan. Sekarang aku lebih mengerti perasaan seorang ayah terhadap anak-anak.

3 comments:

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...