Monday, October 25, 2010

Dr. Zulkifli Muhammad : MengGalas Harapan Dengan Nama



Aku kehilangan bayi lelaki sulungku pada 4 Jun 2000. Bayi lelaki berumur 7 bulan dalam kandungan itu disahkan meninggal padaku oleh jururawat bertugas, di muka pintu dewan bersalin Hospital Kuala Krai dengan suara kasar tak berperasaannya yang akan ku ingat sampai bila-bila.

Aku terima takdir Allah dengan penuh redha. Allah lebih menyayanginya.

Besoknya aku ke JPN, Mungkin aku seorang sahaja yang mendaftar kematian bayi pada hari itu. Bapa-bapa lain nampak ceria dan girang mendaftarkan kelahiran bayi masing-masing. Aku terdengar seorang bapa berjanggut lewat 40-an dengan bangga memberitahu orang di sebelahnya.

“Anak kawe, kawe bui nama Khulafa ar-Rasyidin”.

Wah hebat betul dia. Orang lain namakan anak dengan nama Abu Bakar atau Umar atau Uthman atau Ali sahaja, atau tambah Muhammad di hadapan. Tapi si brother janggut ini rangkum semua sekali. Khulafa ar-Rashidin! Tamakkah dia? Ekstrem kah dia? Taliban kah dia?

Sebenarnya tidak. Khulafa ar-Rasyidin membayangkan harapan beliau pada anaknya yang baru lahir. Harapan yang amat hebat dan besar dan berat. Agar anaknya menjadi pewaris Islam yang ditinggalkan Rasulullah sebagaimana Khalifah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali.

Abdul Rahman dan Abdul Rahim menjadi nama pilihan ramai ibubapa. Aku yakin ini adalah kerana mereka mengharapkan anak mereka betul-betul menjadi hamba Allah yang Maha Pemurah dan Penyayang. Apalagi Abdul Rahman dan Abdul Rahim adalah sebaik-baik nama. Sudah tentu manusia bernama Abdul Rahman dan Abdul Rahim tidak sesuai langsung menjadi peminum arak, penjudi atau penzina.

Rata-rata orang Melayu menamakan anak mereka dengan pangkal nama Muhammad. Harapan mereka jelas supaya anak-anak mereka mewarisi sifat-sifat terpuji junjungan besar yang mulia yang kita amat kasihi ini. Betapa punahnya harapan dan malunya jika anak kita yang kita namakan Muhammad menjadi pendokong maksiat dan penegak kebatilan.

Saya percaya bapa-bapa yang menamakan anak mereka Yusuf bukan kerana mengharapkan anak-anak mereka mewarisi kehenseman dan kegantengan Nabi Yusuf, tetapi mengharapkan anak-anak mereka menjadi sabar, adil, bijaksana dan pandai mentadbir harta negara sepertinya. Minta dijauhi jika ada Yusuf di kalangan kita yang zalim dan membolot harta yang bukan miliknya. Pasti itu bukan harapan bapanya.

Bapa-bapa yang memilih nama Musa untuk anak-anak mereka sudah tentu mengharapkan anak-anak mereka menjadi hebat dan berani seperti Nabi Musa yang berani mengatakan kebenaran di hadapan Firaun yang mengaku tuhan. Jika anak-anak mereka yang bernama Musa membesar dan menjadi pengecut dan pemakan rasuah, sudah tentu berkecai dan tenggelam ghaib harapan mereka.

Ibrahim juga menjadi pilihan ibubapa dengan harapan anak-anak mereka menjadi hamba Allah yang berjasa seperti nabi pembina kaabah ini. Tetapi bayangkan betapa hancurnya harapan mereka jika Ibrahim yang diharap, membesar dan menjadi pejuang assobiyah, pengampu serta pemutar belit fakta dan kebenaran.

Tak kurang juga ibubapa yang menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama ulamak besar. Anak yang dinamakan Shafei sudah tentu diharapkan supaya menjadi seorang yang alim, berani menegakkan hukum dan bakal dicari-cari oleh orang yang dahagakan kebenaran. Bukannya menjadi seorang yang bersifat lembu kenyang dan tidak bertanggungjawab dalam hal yang diamanahkan kepadanya. Nama Shafei sememangnya tidak afdal diberikan kepada orang yang tidak dapat membezakan antara kesesatan dan kebenaran.

Si kecil yang dinamakan Sayuti sudah tentu diharapkan membesar menjadi seorang warak yang sentiasa mengeratkan silaturrahim dan menyatakan kebenaran. Minta dijauhkan ibubapa untuk melihat anak mereka yang bernamakan Imam Sayuti hanya peka dengan kesalahan orang lain. Gembiralah ibu dan bapa jika Sayuti mereka menjadi kaki masjid dan penyokong jemaah Islam.

Tidak kurang juga ibubapa yang menamakan anak-anak sempena nama ulamak di rantau ini seperti Burhanuddin Helmi dan Hamka. Walaupun Hamka itu sebenarnya adalah nama singkatan kepada ulamak besar Indonesia Haji Abdul Karim Malik Amrullah. Ini semua adalah siratan harapan mereka yang mereka suratkan melalui nama yang menjadi doa yang akan dipanggil orang setiap hari.

Beruntunglah Pak Ayub di Johor, ayah kepada Salahuddin kerana anak beliau nampaknya benar-benar mahu menjadi seperti Salahuddin al-Ayubi.

Beruntung juga Tok Guru Nik Aziz di Pulau Melaka yang mana anak beliau Muhammad Abduh menjadi salah seorang pemimpin gerakan Islam masa kini seperti juga Sheikh Muhammad Abduh.

Amat beruntung sekali Pak Addullah di Negeri Bawah Bayu kerana anaknya Muhammad Bin Abdullah sanggup menjadi pendokong utama gerakan Islam di bumi Sabah yang masih malu-malu dengan gerakan ini. Seperti juga Muhammad bin Abdullah, Idola kita, Nabi kita yang setia membawa Islam di zaman jahiliyyah Mekah.

Bertuah juga arwah YB Muhammad atau YB Mat Obat yang mahukan anak beliau mencontohi pejuang Islam tersohor YB Prof. Dr. Zulkifli Muhammad kerana anak beliau kini Dr Zulkifli Muhammad cergas menegakkan Islam dan menjadi kebanggaan terutama bagi penduduk di jajahan Gua Musang dan Kuala Krai.

Aku juga seperti bapa-bapa dan ibu-ibu di atas. Berbekalkan harapan, anakku ku namakan Muhammad Talhah walaupun dia tidak akan dapat hidup di dunia ini bersamaku dan mamanya. Yang aku pasti harapanku supaya dia menjadi penghuni syurga terkabul seperti juga sahabat Nabi S.A.W., Talhah bin Ubaidillah yang telahpun dijanjikan syurga walaupun semasa hayat beliau masih ada.

Harapanku kusambung pada adik Muhammad Talhah iaitu Ahmad Talhah, kerana harapanku masih sama agar mereka menjadi seperti sahabat Rasulullah. Talhah Bin Ubaidillah.
.
Al-Fatihah untuk semua.
.
***Entry ini di'post' pada 15 September, 2008. Di'post' semula dengan sedikit perubahan sempena pemilihan Dr. Zul Mohamad sebagai calon PRK Galas. Allahu Akbar!

No comments:

Post a Comment

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...