Wednesday, August 29, 2012

Janji Ditepati

Belum pun pukul sembilan pagi, aku sudah tercongok di foyer library. Hari ini adalah hari yang paling bersejarah dalam hidup aku setakat ini. Seorang lelaki pemalu yang pernah takut kepada perempuan akhirnya akan keluar dating dengan seorang gadis. 

Memang sukar dan berat pada mulanya bagi aku untuk mendekati gadis ini. Namun atas nasihat, motivasi  dan kerja sabotaj kawan serumah, akhirnya aku beranikan diri. Apatah lagi bila kadang-kadang motivasi diberikan bersama petikan gitar si Porom sambil mendendangkan lagu Michael Learns To Rock iaitu 25 minutes.

"Itu baru 25 minit lewat, orang dah sapu...." Bakar si Atuk.

"Yang penting sampaikan mesej kepada si dia iaitu... Hang suka dia..." Sambung pula si Apip.

"Dia nak terima ke tidak, itu soal nombor 2, soal nombor 1.... Biar dia tahu seseorang di sini suka banget sama dia," si Sahak pula berfalsafah lagak pakar cinta.

Akhirnya, entah macam mana magisnya, mesej aku sukakan si dia sampai kepadanya. Tindak balas kimia daripadanya cukup cantik dan positif penuh dengan bunga-bunga dan rama-rama. Entah dari mana datangnya kekuatan, aku akhirnya mengajak dia keluar di suatu kesempatan. Jawapan 'ya' dari si dia membuatkan aku rasakan diri ini umpama emas lapan kilo. 

Dan di foyer ini aku berdiri hari ini, pukul 9.15 a.m. Namun si dia masih belum di mana-mana untuk dilihat.

"Janji di sini pukul 9.00...." Aku mengingatkan diriku. Mana tahu jika aku tersilap tempat janji pertemuan.

Rupanya menunggu orang yang kita suka dan puja adalah suatu nikmat, buktinya sekarang sudah pukul 9.50 a.m., namun aku tiada rasa fed-up atau marah sedikitpun.

Biasanya aku kalau menunggu sesuatu atau seseorang, cukup sekadar setengah jam sahaja. Semasa aku tinggal di Kuala Lumpur dahulu, aku hanya bersabar menunggu bas mini setakat 30 minit sahaja. Selepas itu aku akan berasap walaupun aku terpaksa naik jua bas yang lewat itu.

10.30 a.m., si dia masih belum nampak bayang namun tiada kedutpun di dahi aku.

Kenapa aku tak telefon? Kau tanya kenapa aku tak telefon atau sms atau miss call saja dia? Hei kawan, sudah atau belum aku beritahu engkau bahawasanya ini kisah tahun 1993! Ini memori, past tense bukan present tense. Masa ini handset sudah ada, tetapi hanya ahli korporat sahaja yang pakai. Itupun besarnya mak oiii... Macam bawak Nokia 3310 lapan biji sekaligus! SMS jangan ceritalah, tak terfikir pun lagi masa tu.

10.45 a.m. Mana dia ni...... Tapi aku tak marah sedikit rabutpun.

10.57 a.m. Si dia akhirnya sampai bersama senyuman yang paling manis yang pernah aku lihat. Aku turut tersenyum walaupun dalam hati aku berkata, kalau mak aku tahu hal aku dating ini habislah kaooo.

"Dah lama tunggu?" Sapa si gadis.

Aku yang sudah berada 2 jam di foyer library ini menjawab semesra mungkin agar si gadis tahu yang aku tidak marah atas kelambatannya.

"Dari pukul sembilan I di sini."

"Pukul sembilan? Semalam you kata jumpa kat sini pukul Sebelas...." Si gadis menjadi sedikit keliru.

Oooo.... Patutlah. Tiada isu sama ada si dia yang silap dengar atau aku yang tersilap cakap. Mungkin juga kerana bila hati dah suka, kata di hati dah tak sama dengan kata yang keluar dari peti suara.

Tak penting apa yang si dia dengar, yang penting janji yang si dia cuba tepati.

6 comments:

  1. tang naik bas tu aku suka


    dulu aku pun camni..tapi skg dh byk bljar utk bsabar

    ReplyDelete
  2. jangan mungkir janji dahla..

    better late than never?

    ReplyDelete
  3. yg lelaki tu janji ditepati yg perempuan tu janji dicapati

    ReplyDelete
  4. JaNJI DITEPATI...
    dalam citer ni saya suka!!
    :)

    ReplyDelete
  5. Menunggu janji yg pasti walau lama tak apa tapi kalau tabur janji merata-rata mana mungkin dapat ditepati semuanya...

    Takat janji nak jumpa mudah Cikli...

    ReplyDelete
  6. Aku tunggu ikan makan kail lebih dua jam, relek je..hehehe...janji dicapati...

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...