Tuesday, November 13, 2012

Dear Uncle: Dilema Balik Kampung

Assalamualaikum Uncle Cikli,

Setiap kali cuti sekolah saya dan suami mesti bermasam muka. Apa tidaknya, dia asyik nak balik kampung dia dulu sahaja. Balik kampung saya dihujung-hujung cuti sahaja kalau ada masa. Alasan dia kerana kesiankan ibunya yang tinggal seorang di kampung. Macamlah saya ni anak yatim-piatu.... Saya pun nak juga balik kampung saya dahulu. Harap uncle tolong bagi jalan kat saya.

Cherry blossom
Isteri mencuka,
Kuantan, Pahang.

Jawapan:

Waalaikumussalam wahai Isteri mencuka,

Pertama sekali apabila memandang suami, pandanglah dengan wajah yang manis. Jangan mencuka. Kalau boleh dengan penuh kasih sayang. InsyaAllah, Allah akan memandang kita dengan pandangan rahmat.

Pada pendapat uncle, untuk menentukan kampung siapa yang perlu diutamakan, ianya bergantung kepada musim di kampung masing-masing. Kampung siapa yang sedang musim salji atau musim cherry blossom, kampung itulah seafdalnya kita tuju dahulu. Rugi kalau anak-anak kita termiss main salji atau berpicnic di bawah cherry blossom di musim cuti persekolahan ini.

Namun jika kampung kita hanya sekadar ada musim rambutan atau durian, tiada apa-apa yang perlu dikejarkan sangat kerana satu Malaysia kita ini, sama sahaja musim buahnya. Apa lagi musim kelapa, itu memang auta kerana kelapa memang tidak bermusim.

Point uncle sebenarnya adalah tak perlu kecoh-kecoh untuk balik kampung siapa dahulu. Kampung mana-mana pun, kampung datuk dan nenek anak-anak kita juga.

Ada suami yang bangsa tak kisah. Selalu ikut balik kampung isteri dahulu. Alhamdulillah. Tapi sebagai isteri, kita kena bertanya,

"Tak apakah kita tidak balik ke kampung abang dahulu?"
"Ibu abang tak apa-apakah, kita balik ke kampung I dahulu ni?"

Apalagi jika suami kita adalah dari jenis Malim Kundang, kita sebagai isterilah yang perlu menyedarkan mereka agar balik kampung berjumpa mak mentua kita!

Uncle katakan begini kerana umum mengetahui syurga adalah di bawah telapak kaki ibu. Manakala syurga seorang isteri pula adalah bersama redha seorang suami. Bagaimana kita sebagai isteri mahu menumpang ke syurga dengan suami kalau si suami tidak mempunyai redha seorang ibu?

Tolong pastikan suami kita tidak mengalami apa yang pernah dialami oleh sahabat baginda Rasul S.A.W, Alqamah yang sukar untuk mengucapkan syahadah disaat sakaratul maut gara-gara hati ibunya yang terguris sedikit sahaja. Walaupun sekarang puan nampak suami puan seperti terlalu melebihkan ibunya, biarkanlah begitu, biarlah dia yang cuba berbakti kepada ibunya. Syukurlah kerana puan mempunyai seorang suami yang menghormati wanita yang melahirkan dia.

Jadi bagaimana dengan hak puan sebagai seorang isteri? Biarlah anak lelaki puan pula yang akan melebihkan puan sebagai ibunya. InsyaAllah. Yang penting, jangan jadikan suami kita anak derhaka gara-gara terlalu mahu menjaga hati kita.

Walaubagaimanpun, semuanya boleh dibawa berbincang.

Bagi uncle sendiri, masalah ini senang sahaja. Siapa yang pandu kereta balik kampung, ikut dialah nak pusing stereng kereta hala tang mana dulu... Hahaha

Harap puan jangan lagi mencuka. Maniskan muka di depan mentua anda. Tak elok tarik muncung di kampung, nanti orang buat sangkut timba telaga. Hahaha.

Sekian. Ikhlas, Uncle Cikli.

5 comments:

  1. aku suka gila dengan entry ni. rupanya selama ni aku ada point utk fikirkannya. ah, betapa kurang akal aku.

    ReplyDelete
  2. Yg penting balik melawat orang tua kita. Tak kisah rumah siapa dulu. Sama macam kes nak balik raya. Lagi best kalau sekali sekala hulur duit minyak dan tol kat suami tercinta.

    ReplyDelete
  3. Salam Cik Li....hahahah....bagus2...

    ReplyDelete
  4. Pada pendapat saya pihak suami hendaklah bertimbangrasa terhadap kerinduan isterinya terhadap kampung halamannya manakala pihak isteri hendaklah bertimbangrasa terhadap kedudukan kewangan suaminya.

    Sekiranya pihak suami tidak mempedulikan keiinginan isteri, maka mencukalah isteri. Apabila terlalu banyak mencuka terutama ketika hamil, maka senario ini memberi kesan psikologi terhadap tumbesaran anak pasangan ini.

    Sekiranya pihak isteri tidak mengambil kira faktor kemampuan kewangan suami, lama-kelamaan rambut suami akan gugur.

    ReplyDelete
  5. salam uncle! terbaik boh entri ni...padat dengan hikmah dan kebahagiaan. =)

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...