Tuesday, December 18, 2012

Belajar English di Kebun Getah

Hari itu aku ponteng kelas tambahan. Aku ke kebun getah, menolong ibu menyepat pok dan mengutip susu getah. 

Sebenarnya nak juga aku ke kelas tambahan tu, tetapi aku takut kat cikgu besar yang mengajar kelas tersebut. Seminggu sebelum itu, ramai pelajar termasuk aku kena marah kerana tidak menyediakan buku tulis baru untuk kelas tambahan. Jadi, memandangkan aku belum beli buku tulis, mana berani aku pergi ke kelas tambahan lagi.

Di cabang empat Guchil 3, aku menukar haluan ke kiri. Sepatutnya langkah aku ke kanan, iaitu ke sekolah tetapi aku menghala ke kebun getah tempat ibu menoreh. Sebelum ini pun memang kebiasaan aku dan adik beradik yang lain menolong ibu semasa cuti sekolah.

Sampai di kebun getah, aku terus mengambil baldi  (tong cat lama) dan menuju ke pokok yang masih belum ditoreh. Aku mula menyepat pok getah dari mangkuk dan mengumpul pok tersebut ke dalam baldi tong cat. Nanti cepatlah sikit ibu nak menoreh, tak perlu lagi menyepat pok, terus aje menoreh dari satu pokok ke pokok.

Ibu bukannya tahu aku ada kelas tambahan hari itu. Jika dia tahu mesti dileternya juga aku. Silapnya aku lupa  untuk meminta duit daripada ibu untuk beli buku tulis semalam. Jika tidak pastinya sekarang aku berada di sekolah mengikuti kelas tambahan matematik yang diajar sendiri oleh cikgu besar. 

Habis menyepat pok, aku rehat di umbi pokok getah tempat ibu selalu berehat sementara menunggu masa untuk mengutip susu getah. Ibu belum lagi habis menoreh, banyak lagi pokok getah yang belum ditoreh. Ada dalam sebanjar setengah lagi.

Aku menogok air bekalan yang dibawa ibu. Kopi o sejuk tidak bertapis. Kemudian aku membuka bekal ibu yang dibungkus di dalam kertas surat khabar. Ada 2 biji lempeng yang sudah dibubuh gula. Nampaknya memang ibu sudah agak yang aku akan datang menolong dia, sebab itu ibu bawa bekal lebih. Dalam kebun getah, apalagi dalam keletihan, makan apapun nikmatnya melebihi KFC yang hanya aku tahu dari dalam TV rumah jiran.

Sementara menunggu ibu habis menoreh, aku meluangkan masa membaca surat khabar yang ibu gunakan untuk membungkus lempeng tadi. Surat khabar orang putih, manalah aku faham. Dalam ber 'is' 'are' itu aku cuba juga baca ayat-ayat dari huruf italik yang diboldkan walaupun aku tak faham apapun maknanya,

"If you want a year of success, grow grains,
if you want ten years of success, grow trees,
if you want 100 years of prosperity, grow men"

Dari jauh aku nampak ibu berjalan menghala ke arah tempat aku duduk. Ibu sudah siap menoreh, sekejap lagi kami akan sama-sama mengutip susu getah pula, selepas ibu memperbaharui tenaga dengan lempeng bersalut gula dan kopi o sejuk tak bertapis. Sementara itu, biarlah susu getah menitik semaksima mungkin ke dalam mangkuk kerana titik demi titik itulah yang bakal membayar harga buku tulis petak kecil matematik yang bakal aku bawa ke kelas tambahan minggu depan nanti.

7 comments:

  1. Alhamdulillah asbab susu getah ini Allah besarkan Cikli menjadi seorang insan berjiwa besar bukan setakat dapat A dalam Matematik tapi A dalam banyak cabang ilmu yg lain.

    ReplyDelete
  2. Unfortunately more populations here grow grains compare to grow the men that we have. Luckily after 100 years we are no longer in this world Cikli, but poor thing to our grand and great-grand childrens..

    ReplyDelete
  3. ah, itulah nikmatnya letih keje dalam keadaan yang payah. nikmatnya hati senang dan puas.

    ReplyDelete
  4. Kenangan itu tetap segar dalam ingatan bro...

    ReplyDelete
  5. Kadang2 terfikir juga masih adakah lagi anak2 sekarang secekal anak2 dulu dalam mencari ilmu, iaitu dalam segala kepayahan dan kesempitan hidup.

    ReplyDelete
  6. melobi dan melabur pemain bola yang hebat dan mahal bukanlah satu pemikiran yang bijak untuk jangka masa yang panjang.

    :)

    ReplyDelete
  7. Saya Pernah Mendapat Markah 38/100 Mata Pelajaran Bahasa Inggeris Semasa Saya Dalam Tingkatan 2. Ayah Saya Punyalah Marah Tetapi Kemarahan Ayah Saya Memang Berasas. Pada Ketika Itu Saya Mempunyai Tiga Orang Adik Beradik Yang Bekerja Sebagai Guru. Ketiga-tiganya Mengambil Pengkhususan Bahasa Inggeris Semasa Di Maktab Perguruan. Logiklah Ayah Saya Marah Ketika Itu. Bahasa Inggeris Saya Dapat B (Penilaian Darjah 5), C3(SRP) dan C6 (SPM).

    Ayah Saya Berpendidikan Sekolah Melayu Sedangkan Abang-Abang Kepada Ayah Saya Bersekolah Aliran Inggeris. Ini Adalah Kerana Ketika Ayah Saya Hendak Dimasukkan Ke Sekolah, Pecah Berita "Sesiapa Yang Bersekolah Di Sekolah Orang Putih, Apabila Mati Nanti Tidak Boleh Mengucap". Sebab Itulah Ayah Saya Dimasukkan Ke Sekolah Melayu Manakala Adik Kepada Ayah Saya Dimasukkan Ke Sekolah Cina.

    Adik Beradik Saya : 1/2 Yang Pertama Masuk Sekolah Aliran Inggeris. 1/2 Yang Kedua Masuk Sekolah Aliran Kebangsaan Termasuklah Saya. Sekiranya Sekolah Aliran Inggeris Tidak Diubah Ke Aliran Kebangsaan, Nescaya Kesemua Adik Beradik Saya Termasuk Saya Bersekolah Inggeris.

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...