Tuesday, December 23, 2008

Gadis Melayu Terakhir ?


Kawan saya, seorang pegawai di sebuah jabatan kerajaan menyedari kewujudan seorang gadis muda yang bekerja sebagai tukang cuci di bangunan tempat dia bekerja. Kawan saya mengagak gadis itu dalam lingkungan 18-19 tahun umurnya. Mungkin baru lepas SPM. Orangnya agak cantik, Nampak sopan dan pemalu.

Naluri kawan saya terasa ingin mendekati gadis muda itu. Terasa sesuatu yang istimewa tentang gadis itu. Sesuatu yang bukan terbit daripada nafsu seorang lelaki. Tetapi sesuatu yang datang dari naluri seorang manusia.

Seorang insan yang mengambil berat sesama insan pasti ingin tahu dengan lebih lanjut. Kenapa gadis semuda itu melakukan kerja yang biasanya dibuat oleh orang yang telah separuh umur. Apalagi di bangunan yang dipenuhi oleh kakitangan lelaki dan perempuan yang memang dressing maut setiap hari.

Perasaan ingin tahu kawan saya tertangguh beberapa kali. Beliau teragak-agak kerana bimbangkan mata-mata yang memandang menyangka yang bukan-bukan. Kawan saya masih muda, 20an, sudah ada anak isteri, hensem, soft spoken, baik hati.

Sehinggalah suatu hari,

“Dik, adik ada SPM?” Kawan saya akhirnya memberanikan diri apabila mendapat peluang.

Gadis muda yang sedang mengemop lantai itu agak terkejut. Mungkin dia tidak menyangka ada di kalangan ramai-ramai kakitangan kerajaan di bangunan besar itu datang menegurnya. Lelaki pulak tu. Muda pulak tu. Iras Saif Ali Khan pulak tu. Gadis itu hanya mengangguk.

“Tak nak sambung belajar lagi ke?” Kawan saya terus melepaskan teka-teki yang bersarang selama ini.

Hari itu barulah kawan saya tahu. Jauh di sudut hatinya, kawan saya kagum dan terharu dengan gadis muda itu. Rupanya di zaman internet rempit ini, masih wujud anak gadis yang berhati mulia sepertinya.

Ceritanya begini,

Gadis itu berumur 18 tahun. Baru habis SPM. Result SPMnya bagus. Dia memang mendapat tawaran ke sebuah IPTS. Tetapi keluarganya susah. Tak pernah dapat projek besar-besar. Tak dapat permit teksi. Tak dapat AP. Memang ayahnya kenal PM, TPM dan beberapa orang menteri, tetapi daripada TV dan surat khabar saja. Macam kebanyakan marhain juga. Jadi gadis itu membuat keputusan. Dia meminta pihak IPTS menangguhkan kemasukannya hingga ke tahun berikutnya. Jadi beginilah dia sekarang, mengemop lantai, membersih tandas, menvakum karpet, mengelap cermin di bangunan pejabat ini. Mengenepikan semua ego dan rasa malu yang normal bagi seorang gadis muda sepertinya demi mencari wang yuran dan belanja.

Suatu hari kawan saya terserempak dengan gadis muda itu lagi. Kali ini dia berbaju kurung, tidak lagi berpakaian kerja biasanya. Terserlah keayuan gadis Cik Siti Wan Kembang ini. Kali ini dia yang mula menegur kawan saya.

“Saya dah tak kerja sini lagi,dah sambung belajar, datang jumpa kawan-kawan.”

Kawan saya tersenyum puas. Seorang anak bangsanya sedang menuju ke puncak walaupun dalam kepayahan.

.

3 comments:

  1. Ada yang terlalu bernasib baik terus menggapai impian,ada juga yang terpaksa membanting tulang empat kerat kerja buruh kasar, kilang, siak & apa2 lagi bagi menggapai impian...Terfikir juga di hati ini, staf gunasama dengan bukan gunasama. Staf gunasama terpaksa menunggu berbelas malah berpuluh tahun untuk naik pangkat, itupun belum tentu. Tapi, staf bukan gunasama semuanya sudah sedia hanya menunggu confirm jawatan sahaja, lepas 3 tahun terus naik pangkat...

    ReplyDelete
  2. Respek sungguh kat gadis cam tu. Sekarang susah nak cari mereka yang mendahulukan keluarga.
    Dalam hari hari yang semakin moden dan teknologi kasih sayang, keluarga, semakin dipinggirkan.

    ReplyDelete
  3. kagum, semuda itu, dapat berfikir. Dan rasionalnya, mengutamakan keluarga. Terharu.

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...