Saturday, September 25, 2010

The Amnesiac Arsonist


Rais berjalan menyusuri sungai di dalam kebun getah itu sambil mengusung radio. Tujuan Rais adalah untuk ke taman bunga di seberang sungai sebelah kebun getah. Hajat Rais untuk bersantai dan berjoget lambak di taman bunga dengan ditemani lagu dari Klasik FM. Kerana itulah radio besar itu dikiliknya ke hulu ke hilir. Letih kilik, dikendung pula.

“Langkah mayat aku dulu!” Begitulah tegasnya Rais apabila ada suara menyuruhnya berhenti mengilik radio besar itu. Orang kesiankannya, tetapi dia pula bertegas seakan Karpal Singh. Akan kubawa radio ini sampai ke muzium, begitulah tegasnya.

Berjam-jam Rais menyusuri sungai mencari jambatan untuk menyeberang ke taman bunga, tetapi usahkan jambatan, lubang hidung pembuat jambatan pun tak kelihatan. Lama Rais mencari, akhirnya Rais melihat kesan abu dan arang.

“Celaka sungguh!” Marah besar Rais.

“Siapa yang bakar jambatan ni?” Soal Rais semacam pendekar bernama Badek dengan misai melentang dan kemuncup di mulut. Rais terus menyumpah dan memaki pembakar jambatan. Rais lupa. Seminggu sudah dialah yang bertindak pandir membakar jambatan tersebut.

Jambatan itu dibakar minggu lepas oleh Rais sendiri. Rais marahkan jambatan itu kerana seharian dia memancing dari atas jambatan itu, hanya ikan-ikan keli, sepat, haruan dan sebarau yang diperolehinya.

Jambatan sial! Pembawa sial! Maki Rais. Rais mahukan ikan yang lebih besar. Rais sudah jemu dengan keli, sepat, haruan dan sebarau. Rais mahukan ikan tuna, ikan marlin, ikan yu malah ikan paus. Sialan jambatan punya angkara. Lantas Rais mencurah petrol dan membakar hangus jambatan tersebut. Bukan Rais tak pernah belajar Sains tentang habitat ikan, tetapi dia lupa.

“Sial punya pembakar jambatan. Menyusahkan betul,” mulut busuk Rais masih tak puas hati. Hajatnya untuk berjoget lambak di taman bunga seberang sungai terbantut.

Semasa hati Rais membuak marah, perutnya memulas seakan irama Klasik FM. Alamak! Rais nak melepaslah pulak. Lantas Rais meletakkan radio gedang yang sedang dikiliknya di umbi pokok getah dan mencari tempat melepas.

Semasa melepas, Rais melihat sekeliling. Mana tahu ada orang yang melihat atau mencuri rakam dengan handphone. Tup-tup, ada gambarnya sedang melepas dalam Youtube. Naya nanti!

Semasa mata Rais meliar ke kiri-kanan. Rais ternampak sebuah radio di umbi pokok getah.

“Tak bersyukur betul. Tak syukur nikmat. Tak insaf nikmat tuhan. Radio masih elok dan cantik dibuang sesuka hati!” Protes Rais. Ek-eleh, lupa pulak bahawasanya dialah yang meletakkan radio itu di situ.

“Aku ambil je lah radio ni. Membazir dibiarkan di situ,” Rais membuat keputusan sambil membetulkan zip seluarnya. Lega...

Rais mengambil radio di umbi pokok getah dan mula berjalan. Tiba-tiba dia tersepak sesuatu.

“Binawe betul! Jembalang mana pulak berak merata ni! Celaka!”

Marah tahap megawatt Rais apabila dia tersepak tahi yang masih panas. Masakan tidak panas. Punggung Rais pun masih panas kerana dialah yang melepaskan tahi itu sebentar tadi.

Dalam keadaan marah Rais berjalan pulang. Tetapi sekali lagi dia terlupa.

“Eh! Jalan mana aku nak ikut ni. Kiri ke kanan?” Rais bertanya dirinya sendiri.

Bersesat-sesatlah Rais sebelum sampai ke rumah kerana dia Melayu, dia mudah terlupa!

11 comments:

  1. salam Tuan,
    Kisah teladan yg menarik ni. Dari mana tuan dapat?? Bagaimana dengan sambungan??
    pAtik teringin untuk mengetahui lanjut...

    ReplyDelete
  2. salam cikgu zam,
    hanya satira politik berdasarkan isu semasa. gubahan dari kisah-kisah teladan sedia ada. luahan suara hati melihatkan media pengampu terus mendokong kebodohan semata-mata menolak pihak yang tidak disokong.

    ReplyDelete
  3. parah, parah..

    cikli.. nak mintak tolong jawab questionnaire boleh? boleh bagi e-mail?

    ReplyDelete
  4. puteri,

    bereh.
    dah bagi dalam your latest entry.

    ReplyDelete
  5. bukan ke rais dulu yang bakar jambatan masuk semangat 46 nih..pastu sekarang je sebok jaga radio

    ReplyDelete
  6. Dr M dalam ceramahnya..
    terlupa istilah 'batu nisan'..
    kmudian bila ada yg mncelah menyebut batu nisan,.
    lepas tu dia pun berkata (atas keterlupaannya tadi)..
    "biasalah..melayu kan mudah lupa'

    ReplyDelete
  7. salam cikli,
    Abah rasa rais perlu jumpa dukun segera. Dia dah terkena penyakit ingat-ingat lupa yang serius tuu...

    ReplyDelete
  8. jenis lembut gigi dari lidah. at last, gigi & lidah semuanya habis ditelan

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...