Kanak-kanak perempuan kecil berambut kusut itu semacam mengekori aku. Tangannya ku lihat menggenggam beberapa beg plastik atau supik gelenyar atau jabbey rokrak mengikut bahasa orang Kelantan.
Apabila aku berhenti membeli ikan, si kecil berdiri tercegat di tepi seperti menanti sesuatu. Apabila aku selesai membayar harga ikan dan plastik yang mengandungi ikan diserahkan kepadaku, kanak-kanak itu membuka beg plastik yang berada di tangannya dan menyua kepada aku. Tiada sepatah pun kata terbit dari mulutnya.
Aku seakan mengerti dan memasukkan plastik ikan aku ke dalam plastik yang terbuka luas dihadapanku. Serentak kanak-kanak itu menghulurkan tadahan tangannya. Aku juga terus jadi mengerti dan menghulurkan sedikit duit kepadanya.
Mendapat wang itu, si kecil itu terus berlalu meninggalkan aku. Ada orang lain pula yang perlu diekori.
Itu yang aku perhatikan bila pertama kali ke pasar ikan di Kota Kinabalu. Betul-betul berhadapan dengan Pulau Gaya.
Setelah hari itu, aku jadi banyak mengetahui tentang Kota ini. Tentang kanak-kanak ‘Filipina’ yang tidak bersekolah ini. Tentang bagaimana mereka membesar dan bersekolah di pasar ikan dan kaki-kaki lima. Itulah sekolah mereka. Itulah cara mereka memperolehi pendapatan mereka diusia itu.
Pernah aku jumpa, si comot seusia empat atau lima tahun membawa beg plastik mengekori orang ramai yang sedang membeli ikan. Pandainya budak ini mencari rezeki, fikirku. Terbayang anak aku di rumah yang makan pun mahu disuapi dan asyik mahu didukung. Padahal umur anakku itu setahun atau 2 tahun lebih daripada budak comot itu.
Kebiasaannya 20 sen akan diberikan kepada kanak-kanak ini apabila beg plastik mereka digunakan. Pernah kawanku bertanya masa mula-mula aku ke sana,
“Hang bagi berapa?”
“Singgit”
“Tak usah, bagi 2 kupang je... Bukan budak tu yang dapat pun, ada kaki yang supply plastik tu. 2 kupang cukup,” beritahu kawan aku yang setahun lebih dahulu mengalami fenomena ini berbanding aku. Betul atau tidak, aku tak berminat untuk mengambil tahu lebih lanjut. Asalkan aku tidak menghampakan budak-budak kecil yang sepatutnya belajar ABC dan 1 2 3 di sekolah itu.
Sejak hari itu, memang aku bagi 20 sen sahaja. Kadang-kadang kalau 50 sen yang keluar kocek, 50 sen lah aku bagi. Memang sebelum ke pasar, aku pastikan ada duit syiling dalam kocek.
Itu cerita 5 tahun dahulu.
Seminggu lepas, hari Sabtu di Mydin Kuala Ibai, aku beratur untuk membayar barangan yang hendak dibeli. Aku mendengar si cashier bercakap dengan wanita yang beratur di hadapan aku.
“Kak ada bawa plastik sendiri?”
“Kenapa?” Tanya wanita itu kehairanan.
“Hari ni kita tak bagi plastik.... Kalau nak jugak, kita caj 20 sen,” cashier itu terus memberitahu sambil tersenyum tawar.
“Mengapa pula?” Wanita itu bertanya tidak faham.
Aku yang berdiri di belakangnya sudah faham kerana aku sudah membaca mengenai kempen ini yang telah dijalankan di beberapa negeri.... Dan aku amat tidak menyetujui kempen ini yang bagi aku tidak sempurna. Kempen ini bagi aku ibarat orang yang baru belajar kuda-kuda silat gayong, terus mahu mencabar Ibrahim Ali berlawan silat. Apa makna plastik yang begitu banyak bergantungan ditepi cashier itu jika mereka serius mahu menyelamatkan alam sekitar? Apa makna rokok yang beraneka warna yang dijual jika nak menyelamatkan alam sekitar?
Jika nak kurangkan penggunaan beg plastik, bagitahulah awal-awal. Uar-uarkanlah awal-awal. Buat kempen betul-betul. Biar orang faham dulu. Biar Mydin pun faham dulu. Kalau dah nak kurangkan beg plastik, kenapa dibekalkan juga dan dicaj? Itu mengikut namanya!
Beg plastik sebenarnya adalah salah satu ciptaan ‘simple’ yang paling banyak membantu orang ramai. Masalah sampah daripada plastik yang dikatakan payah terurai, sekurang-kurangnya ia tidak membebaskan gas-gas yang menyebabkan kesan rumah hijau dalam masa terdekat seperti bahan buangan lain yang cepat terurai.
Pulau daripada sampah yang dibuat di Jepun dan beberapa tempat lain lagi tu, adakah ianya daripada timbunan lebihan burger atau kulit pisang yang dibuang? ....
“Hari Sabtu sahaja kak, kita mula hari ni.... Kak nak bayar plastik?” Gadis cashier menerangkan dengan gaya memujuk. Nak tak nak, wanita itu terpaksa membayar harga plastik. Aku tahu bukan nilai 20 sen yang dimusykilkan oleh wanita ini.
“Kita tinggal saja barang ni kat sini.... Mari kita balik, ” aku bersuara memprotes sambil mengajak anak-anak balik.
Anak-anak mengikut dalam kebingungan.
“Kenapa? Abah tak cukup duit ke?” Tanya anak tengahku, Yong. Aku diam terus menuju ke kereta.
Bukan aku tak menyokong hasrat mana-mana pihak untuk menyelamatkan alam sekitar. Tetapi aku ada prinsip dan pendapat aku sendiri. Banyak lagi cara untuk menyelamatkan alam sekitar selain daripada mengutip 20 sen bagi sehelai beg plastik.
Aku telah melihat bagaimana sehelai beg plastik nipis dapat mengenyangkan anak-anak yang terbiar di Kota Kinabalu. Aku juga dapat membayangkan nilai 20 sen yang dibayar untuk sehelai supik gelenyar atau jabbey rokrak ini kepada para nelayan di sekitar Chendering dan Kuala Ibai yang tak dapat ke laut di musim tengkujuh ini, sedangkan anak-anak mereka nak masuk sekolah sesi 2011 esok!
No comments:
Post a Comment
Komen anda dihargai.