Tuesday, January 4, 2011

Study Smart, Work Smart


Patutkah anak-anak yang akan naik darjah enam diwajibkan hadir tuisyen masa cuti penggal akhir tahun? Patutkah anak-anak yang gagal hadir tuisyen semasa cuti penggal akhir tahun didenda? Rasionalkah memarahi mereka di hari pertama persekolahan mereka naik darjah enam kerana gagal hadir tuisyen masa cuti sekolah?


Seorang anak sekolah pastinya bersemangat untuk menempuhi hari pertama persekolahan. Apa lagi apabila berada di darjah enam. Mereka pastinya berazam untuk membuat yang terbaik untuk mencapai gred terbaik dalam UPSR di akhir tahun nanti.


Ada anak-anak yang tidak bersarapan kerana terlalu ghairah dan bersemangat untuk ke sekolah. Ada anak-anak daripada keluarga yang kurang mampu tidak kisah jika terpaksa memakai uniform sekolah yang telah digunakan semasa darjah lima. Anak-anak daripada keluarga kurang berada ini biasanya menghabiskan cuti mereka dengan menolong ibu bapa mereka bekerja setakat yang mereka mampu.


Anak penoreh akan menolong ibu bapa mereka menyepat pok di kebun getah. Anak nelayan akan menolong ayah mereka menjahit pukat dan menjemur ikan. Anak petani akan membantu ibu dan ayah mereka menyiram sayur dan merumput. Anak peniaga kecil akan menolong mak bapak mereka di pasar tani atau pasar malam. Anak yatim mungkin menolong nenek atau ibu mereka membuat kerja-kerja sampingan untuk menampung pendapatan keluarga.


Pada cuti penggal akhir tahun juga ramai anak-anak sekolah mengikut keluarga mereka balik kampung. Mereka dapat menemui datuk, nenek, saudara-mara dan sahabat-sahabat di kampung.


Oleh itu, menengking mereka pada hari pertama sesi persekolahan kerana gagal hadir tuisyen yang dibuat semasa cuti akhir tahun adalah tidak perlu. Tuisyen di musim cuti akhir tahun bolehlah dibuat secara optional. Cikgu-cikgu pun mahu bercuti dimasa itu. Tak percaya, tanya saja mereka.


Jika UPSR ini terlalu amat pentingnya, sampai budak-budak nak bermain sepuas-puas semasa cuti pun tidak boleh, kenapa ada menteri yang mahu memansuhkannya? Jadi kenapa kalut sangat? Ajarlah pelajar belajar secara smart, barulah cikgu pun boleh work smart dan tidak penat sangat.

No comments:

Post a Comment

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...