Tuesday, January 11, 2011

Dr Mariah, Tolong Baca Sekejap


Konflik novel Interlok karangan Sasterawan Negara Abdullah Hussein sepatutnya menjadi masalah Unmo, bukan masalah Pas. Atau sepatutnya ia tidak perlu menjadi masalah siapa-siapa.


Sepatutnya pemimpin Umnolah yang bertungkus-lumus menjawab konflik yang timbul daripada novel ini, bukannya Dr Siti Mariah Mahmud.


Dr Siti Mariah yang mengaku belum membaca buku ini tidak sepatutnya terpalit dengan isu ini. Saya cadangkan Dr Siti Mariah memalitkan diri dengan penyelewengan fakta yang lebih baik diperjuangkannya, apa lagi beliau adalah seorang pejuang Islam tulen.


Di sini saya cadangkan Dr Siti Mariah mendapatkan buku bertajuk Kursus Komprehensif Fajar Bakti, TAMADUN DUNIA, karangan Sivachendralingam Sundara Raja dan Ayudarai Letchumanan. Edisi ke 2, cetakan ke 3 tahun 2003. ISBN 967 65 5512 6.


Dr Siti Mariah boleh terus rujuk ke Bab 2, Pemerintahan dan Pentadbiran. Sub-topik 2.6 Bentuk Pemerintahan-Pemerintahan Khalifah & Beraja Arab. Muka surat 199. Baca....


Pemerintahan berlandaskan prinsip Islam yang diasaskan oleh Nabi diikuti oleh pengganti-pengganti Baginda. Pada zaman Khulafa al-Rasyidin, pemerintahan berasaskan kepada undang-undang syariah. Khalifah memainkan peranan sebagai pemerintah dan penaung agama Islam. Kecuali Khalifah Uthman bin Affan, khalifah-khalifah lain menjalankan pemerintahan berasaskan prinsip-prinsip Islam. Khalifah Uthman bin Affan menjalankan pentadbiran yang tidak adil. Semasa pemerintahan beliau, amalan nepotisme meluas. Penduduk-penduduk Arab dibenarkan menduduki jajahan takluk dan membolot kekayaan dari kawasan-kawasan takluk. Keadaan sedemikian menimbulkan rasa tidak puas hati dan tercetus pemberontakan


Dr siti, buku ini pernah (mungkin masih...) menjadi bacaan penting pelajar tingkatan enam dan dipuji oleh Prof Khoo Kay Kim. Bayangkan pelajar kita yang mungkin terpengaruh dan memisahkan Khalifah Uthman bin Affan daripada 3 Khalifah al-Rasyidin yang lain.


Saya pernah menulis mengenai perkara ini kepada ruangan Surat Pembaca Harakah dan tersiar di dalam Harakah (Saya lupa tarikhnya). Saya tidak tahu sama ada sudah ada insan yang telah mengambil tindakan ke atas perkara ini. Sebenarnya semasa menulis, saya amat berharap Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda Pas semasa itu, akan membaca dan menyiasat serta mengambil tindakan yang sepatutnya untuk membersihkan nama Khalifah Uthman bin Affan.


Saya juga pernah menulis dalam blog ini mengenai perkara ini dan mengaitkannya dengan pandangan Otai Pas, Mat Sabu mengenai keperluan membetulkan fakta sejarah. Tetapi apakan daya, yang membaca blog saya hanyalah 2-3 orang sahabat sahaja.


Nah, Dr Siti Mariah, saya rasa perkara ini lebih afdal diperjuangkan daripada isu yang dicetuskan oleh novel Interlok. Orang Australia pun selalu dikatakan orang keturunan banduan daripada Britain. Tak percaya tanyalah Sasterawan Negara, Abdullah Hussein.

No comments:

Post a Comment

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...