Sunday, October 23, 2011

Procrastination

Ustaz Adam memang disayangi ramai

Pukul 10 malam kelas berakhir. Kami menghabiskan masa berbual sambil makan di restoran berhampiran. Biasanya kami bertiga, aku, Ustaz Adam dan seorang lagi kawan, saudara Zaharuddin.

Kelas kami di Ampang. Bukan Ampang Selangor tetapi Ampang, Ipoh, Perak. Dekat Gunung Rapat. Kelas kami diadakan 2 kali seminggu. Isnin malam dan Khamis malam. Dari pukul 8 malam hingga 10 malam. Kami belajar Bahasa Arab. Guru kami tak lain tak bukan adalah Ustaz Adam sendiri. Dia lulusan Syariah daripada Khartoum University, Sudan.

Aku diperkenalkan dengan Kelas Bahasa Arab Ustaz Adam melalui kawan sepejabat. Sekali aku join, terus jatuh cinta. Cara penyampaian dan kaedah yang digunakan Ustaz Adam sungguh menarik dan berkesan.

Sekali berkenalan, kami terus menjadi kawan. Kami sebaya. Ustaz Adam memang seorang yang senang didekati. Tak heranlah kelas yang beliau kendalikan mendapat sambutan daripada ramai orang termasuk datin-datin dan orang politik.

Boleh dikatakan setiap Isnin malam dan Khamis malam, selepas kelas, kami akan berbual. Kami berbual tentang isu semasa, tentang politik, tentang agama, tentang dunia, tentang akhirat, tentang kerja, tentang anak-anak, tentang Osama Bin Laden, tentang John Garang, tentang Sudan, tentang Astora Jabat, tentang Sharir Long, tentang Haji Hadi, tentang Nik Aziz, tentang hidup, tentang mati...

Berbual dengan Ustaz Adam bukan berbual kosong. Banyak ilmu dan pengajaran yang aku dapat ceduk daripadanya. Aku selalu ralit mendengar kisah dia di Sudan. Yang paling istimewa ialah kisah dia berpeluang masuk ke dalam Kaabah dan bersembahyang sunat di dalamnya.

Kadang-kadang Ustaz Adam pula yang ralit mendengar falsafah dan ulasan isu semasa dan politik daripada aku. Dia bukan sahaja pandai bercakap, tetapi juga pandai mendengar.

Sebelum pulang, Ustaz Adam akan menghantar aku hingga ke kereta sambil kami berborak lagi. Aku akan pergi dulu sambil membunyikan hon sekali dan mengangkat tangan kepada Ustaz Adam yang juga sudah bersedia untuk pulang ke rumah.

Februari 2006, aku terpaksa berhenti mengikuti kelas Ustaz Adam kerana berpindah kerja ke Sabah. Ustaz Adam ada datang menziarahi aku sekeluarga di rumah sebelum aku ke Sabah. Kali terakhir aku bercakap di telefon dengan Ustaz Adam ialah semasa Ir Nizar digulingkan oleh Umno BN pada awal tahun 2009. Semasa itu aku masih di Sabah. Kadang-kadang semasa aku berkursus di Lembah Kelang, aku ada terfikir untuk menghubungi Ustaz Adam kerana aku tahu dia selalu berada di Kuala Lumpur kerana beliau juga ada mengendalikan kelas di situ dan isteri beliau juga sedang menyambung pengajian sarjana kedoktorannya di UKM. Tetapi tak pernah aku lakukan. Sekadar terfikir.

Sejak aku berpindah ke Terengganu pada akhir 2009, aku belum pernah menghubungi Ustaz Adam. Aku memang sentiasa ingin menghubungi beliau, tetapi selalu tertunda. Kebelakangan ini, aku pernah terfikir untuk ke Perak pada cuti sekolah yang akan datang. Aku terfikir untuk menziarahi kawan-kawan lama di Ipoh termasuk Ustaz Adam.

Hari ini, boss aku yang juga pernah menjadi anak murid Ustaz Adam (Dialah yang memperkenalkan aku dengan kelas Ustaz Adam dulu) memberitahu,

"Cikli, Ustaz Adam dah meninggal minggu lepas..."

"Hah! Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun."

Tiada apa yang boleh aku katakan. Ustaz kesayangan ramai ini lebih disayangi Allah SWT. Aku percaya walaupun pada zahirnya umur Ustaz Adam singkat, tetapi balasan pahala daripada ilmu bermanafaat yang telah disebarkan beliau menjadikan seolah-olah beliau telah berusia beribu-ribu tahun bukannya 39 tahun. Ustaz  Haji Adam Zainal meninggalkan seorang isteri dan 4 orang anak.

Al-Fatihah.

15 comments:

  1. salam cikli,
    Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun. Al-Fatihah.

    ReplyDelete
  2. Alfatihah....
    Ramai jugak kawan2 yg dah lama tak tanya khabar, tup2 dah arwah....

    ReplyDelete
  3. Alfatihah untuk roh almarhum Ustaz Adam.

    Kak ani periksa bahasa Arab peringkat tinggi (kon) malam esok. Mudah2an Allah permudahkan.

    ReplyDelete
  4. alfatihah..
    perginya dalam keadaan yg indah..

    ReplyDelete
  5. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun. Al-Fatihah.

    dia memang sahabat.

    ReplyDelete
  6. al-fatihah..gud person alwaz die young..

    ReplyDelete
  7. sesungguhnya dari Allah kita datang
    dan kepadaNya kita pulang......

    ReplyDelete
  8. pergi meninggalkan ilmu,al fatihah~~~

    ReplyDelete
  9. Salam Tuan,
    Apa khabt tuan sekeluarga? harap semuanya sihat. Maaf sudah lama saya tak siunggah di sini, agak sedikit kjesibukan baru ni. kebetulan pula tak dapat nak online sokmo. Terima kasih kerana sudi singgah di SSDL. Mungkin suatu masa nanti , harap dapat bertemu tuan, InsyaAllah. Ohya buat masa ini, saya sedang tunggu posting yang masih dibekukan, dan just stay di kampung. Cari kerja sementara pun agak sukar setelah resign kerja lama dulu kerana sambung belajar. Dulu saya mengajar di private school di KB, sekarang waiting for penempatan guru. Semoga tuan sentiasa dalam keadaan baik sentiasa , Amin.

    ReplyDelete
  10. al-fatihah.....org yg mencurah ilmu ttp akan dikenang hingga ke akhir hayatnya....

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...