Thursday, January 1, 2009

Cikgu Zaitun


1996

Semasa melabuhkan punggung ke kerusi Boeing 737 ke Kota Bharu, tergetus hatiku. Wah! lawanya gadis di sebelah aku ni!

“Balik mana?” aku membuka bicara.

“Pasir Tumboh,” jawabnya sambil tersenyum. Memang cantik.

“Abe nak balik ke mana?” Giliran dia bertanya padaku.

“Kuala Krai.....Guchil,” aku menyatakan Kuala Krai dahulu kerana orang Kota Bharu lebih mengenali Guchil Kota Bharu daripada Guchil Kuala Krai.

“Saya pernah duduk di Guchil masa kecil dulu. Mak mengajar di Sekolah Guchil,” mungkin perkataan Guchil mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak kepada gadis ini, dia kelihatan berminat apabila Guchil disebut.

“Siapa nama mak?” Tanyaku.

“Cikgu Zaitun.”

Kali ini aku yang kembali ke zaman kanak-kanak. Cikgu Zaitun 2 tahun menjadi guru kelasku. Darjah 2 Putih 1980 dan 3 Putih 1981. Cikgu Zaitun baik orangnya. Yalah, kadang-kadang dia baran juga. Biasalah tu, cikgu. Apatah lagi mengajar budak-budak . Aku masih ingat semasa darjah 3, patah pembaris kayu guru semasa dia menyebat belakang Asmawi, rakan sekelasku. Terkejut juga Cikgu Zaitun dibuatnya. Cepat-cepat dia meminta maaf kepada anak muridnya yang memang agak nakal dan babir itu. Yang lucunya, bahagian yang patah itu diberikan pada Asmawi sebagai kenangan.

Cikgu Zaitun cantik dan bergaya. Kulitnya putih. Rambut hitam berkilat paras bahu ( Awal lapan puluhan bilangan cikgu yang pakai tudung tak boleh dibilang dengan ibu jari pun. Memang tak ada! ). Tidak keterlaluan jika aku katakan wajahnya ada iras penyanyi sensasi Madonna. Ya, ada wajah keibuan. Cikgu Zaitun baik denganku, mungkin kerana aku selalu top dalam subjek yang diajarnya iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains Awalan. Aku juga muncul nombor satu di dalam kelas pada setiap peperiksaan penggal.

“WN 3535 ada lagi?” tanyaku kembali kepada si gadis.

Aku faham riak kejutan di wajah gadis itu. Yalah, macam mana aku boleh tahu pasal kereta Toyota Corolla biru keunguan milik keluarganya. Apa lagi menghafal nombor pletnya. Merasakan tidak patut membiarkan gadis itu terus berkerut, aku memberitahu.

“Mak awak guru kelas saya dulu.”

Gadis itu tersenyum faham. Dia mula bercerita.

WN 3535 masih digunakan. Mak ibu tunggal sekarang. Ayah sudah meninggal. Dia sekarang di pusat persediaan di Shah Alam sebelum menyambung pelajaran ke luar Negara. Mak sekarang mengajar di sebuah sekolah di Kubang Kerian. Sekarang mak sudah mengajar budak darjah 5 dan 6. Senang sikit katanya mengajar budak besar yang sudah pandai membaca.

Memang semasa darjah 6 Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil (SKBG), kami sekelas 6 Merah dapat mendengar jelas suara Cikgu Zaitun dari blok bersebelahan menuturkan A B C kepada pelajar-pelajar yang baru mengenal alam persekolahan. Tekun sungguh Cikgu Zaitun.

“Kirim salam kat mak ya,” kataku setelah si gadis selesai bercerita.

“Nama apa ?” Cerita punya panjang, nama pun belum tahu.

“Katakan budak yang kena lucut ketua kelas semasa darjah 3,” kataku sambil tersenyum.

Maksudku berkata begitu bukan kerana dendam. Tetapi sebagai pencetus memori kepada seorang cikgu. Masih ingatkah dia? Kalau aku jadi cikgu pun aku akan lucutkan jawatan ketua kelasku. Yalah, guru masuk tidak bersambut salam. Guru keluar tidak berterima kasih. Ketua kelas apa! Akhirnya jawatan ketua kelas jadi milik Rodhiah, budak putih gebu yang baru pindah dari Sekolah Sultan Yahya Petra (SYP).

Semasa turun kapal terbang. Sang gadis memberitahuku,

“Ma ada di terminal sekarang, datang jemput saya.....” aku faham maksud gadis itu untuk mempertemukan aku dengan cikguku yang sudah lama tak berjumpa.

“Takpalah. Katakan Ramli kirim salam.”

Bukan aku tak mahu bertemu mata dengan guru yang aku kasihi, tetapi biarlah kegembiraan seorang ibu tunggal bertemu anak perempuan yang berada jauh di perantauan tidak dirojakkan dengan memori lampau yang bercampur pahit manisnya.


.

4 comments:

  1. Mana pergi anak Cikgu Zaitun tu sekarang? he..he..he..

    ReplyDelete
  2. seluang,

    kalau untuk demo, ambo sanggup mencarinya walau di mana. asalkan demo kata ya saja...

    ReplyDelete
  3. Aku lupa2 ingatan wajah cg zaiton...rasonya dia tu bekeng sangat...pernah campok buku math kekawan yang dok siap...betoi ka??

    ReplyDelete
  4. bex, demokan ketua kelas yang manja dengan cikgu masa kelas 2 putih.

    jadi cikgu ni mana ada lemah lembut sokmo. demo tak bekeng ke bex?

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...