Monday, January 3, 2011

Azam Tahun 2011

Alang –alang bercakap pasal azam 2011, baik aku enter saja Contest MatJoe: Azam 2011.

Azam 2011 aku sebenarnya tidak mahu diKECHEWAkan lagi. Sudah cukup kekecewaanku pada tahun yang sudah-sudah. Mulai tahun ini, 2011, aku tak nak kecewa atau dikecewakan lagi. Terlalu perit sebuah kekecewaan. Pedihnya menikam segenap anggota tubuh. Memikirkan kekecewaan membazirkan masa tidur. Mengingatkan kekecewaan meningkatkan bil air. Mengenang kekecewaan adalah sebab utama kenaikan berat badan.

Aku sudah dikurniakan 3 orang anak-anak yang comel dan seorang isteri yang setia. Aku ada kerjaya yang baik dan gaji yang sepadan. Aku memiliki kenderaan yang boleh bergerak apabila diisi petrol dan berbunyi apabila honnya ditekan. Aku mempunyai keluarga yang besar yang mengambil berat dan menyayangi aku. Aku ada mentua dan ipar yang sentiasa berlembut dan menghormati aku. Aku ada kawan-kawan yang masih tersenyum apabila disapa olehku selepas aku ‘punch card’ pagi-pagi. Aku mempunyai seorang boss yang masih mahu mendengar pandangan dan berkongsi pendapat dan masalah dengan aku.

Lantas....Apa yang telah mengecewakan aku selama ini?

Tidak bersyukurkah aku? Haruss kah aku membeli buku “Bersyukur For Dummies”?

Bertahun lamanya aku berasa kecewa yang bukan semata-mata untuk diri aku seorang. Aku yakin ramai juga orang lain yang kecewa sama seperti aku.

Aku kecewa apabila Parlimen kita, tempat yang sepatutnya digunakan untuk menggubal undang-undang yang adil untuk rakyat Malaysia sering menjadi medan tuduh-menuduh dan penyalahgunaan kuasa. Kecewa aku apabila seringkali manusia yang kecut telurnya diberikan kuasa yang sebesar-besarnya di situ. Kecewa sungguh apabila melihat MP yang sepatutnya mewakili kawasan mereka untuk mendapatkan yang terbaik untuk rakyat yang mengundi mereka, seringkali meninggalkan otak mereka di pondok jaga Parlimen.

Bertambah aku kecewa apabila membaca apa yang dilaporkan oleh media-media utama kita. Pengamal media kita sanggup menjatuhkan martabat kewartawanan mereka ketahap yang duit syiling 50 sen ‘landing’ jika dilemparkan ke dalam lubuk. Lihat sahaja apa yang mereka laporkan tentang banjir di Kedah baru-baru ini. Itu belum diceritakan lagi apa yang mereka laporkan selama lebih 20 tahun terhadap negeri Cik Siti wan Kembang, Kelantan.

Mendengar pandangan ‘bijak-pandai’ daripada menara gading di TV juga membuatkan aku kecewa. Inikah rupa-rupa yang mentadbir universiti kita? Patutlah.... Pandangan mereka kebanyakannya terikat dalam politik sempit sesempit segulung wang kertas sepuluh ringgit. Mereka mengajar anak-anak kita di universiti, tetapi pada masa yang sama mereka memperbodohkan ibu-bapa kita yang sedang menonton TV!

Aku juga kecewa dengan harga bahan api yang selalu naik di negara kita yang menjadi pengeluar minyak dan gas dunia. Lebih mengecewakan apabila menteri kita berbohong secara terang-terangan mengenai kenaikan bahan ini. Apalagi apabila menteri secara tidak cerdik, kononnya memberi amaran supaya peniaga-peniaga tidak menaikkan harga barangan keperluan harian berikutan kenaikan harga bahan api. Sepertilah mereka tidak pernah kenal matematik tolak campur kali bahagi. Harga bahan api naik satu hal, menteri berbohong, satu hal yang amat mengecewakan.

Dulu bukan main Menteri Pelajaran dengan bangganya mengisytiharkan bahawa yuran sekolah anak-anak kita telah dihapuskan. Yang ibu bapa kita berhabisan ratusan ringgit membayar semasa mendaftarkan anak-anak mereka bersekolah hari ini yuran apa? Ini bukan sekolah swasta, ini sekolah kebangsaan! Kecewanya aku! Bukan kecewa kerana membayar yuran, tetapi kerana ada menteri yang macam ini!

Kadang-kadang aku kecewa apabila demokrasi kita dicabul sewenang-wenangnya. Kecewa apabila ada badan berautoriti yang membuat pendakwaan terpilih. Kecewa sungguh apabila SPR terang-terangan berpihak semasa mengendalikan pilihanraya. Kecewa apabila orang besar yang terang-terangan dan telah mengaku bersundal tetap mendapat tempat yang istimewa dan masih boleh mengata dan mencaci orang lain yang tidak berzina sesuka hati dia.

Aku terkesima dan terkecewa apabila pendedahan Wikileaks dipercayai dan diambil pot oleh pemimpin kita secara terpilih. Apabila ada pendedahan yang mengaitkan individu daripada parti lawan, gegernya media dan individu-individu yang berkaitan dan berkepentingan. Tetapi tidak begitu pula jadinya perangai mereka apabila cerita (berita?) seorang amah dirogol didedahkan.

Kecewa amat aku melihat angka gaji CEO Syabas yang menguruskan air di Selangor. Kecewa lagi melihat Isa samad dilantik sebagai Pengerusi Felda sepertimana kecewanya aku apabila Ahmad Maslan dijadikan Menteri yang menjaga Felda.

Banyak lagi kekecewaan aku pada tahun yang sudah-sudah. Yang paling aku kecewa adalah apabila pasukan bolasepak Kelantan ‘The Red Warriors’ menjuarai Piala Malaysia 2010.

Sudah lama Piala Malaysia diimpikan oleh penyokong bolasepak Kelantan. Aku sendiri sejak zaman Hashim Mustapha menjadi striker utama Kelantan telah sering hilang suara bersorak di Stadium agar Kelantan menang. Sehinggalah defender Zahasmi Ismail berevolusi menjadi Daudsu dan goalkeeper Hamid Ramli bertukar menjadi manusia hensem Khairul Fahmi Che Mat, barulah akhirnya Piala Malaysia berjaya dimenangi oleh Kelantan.

Tetapi, kenapa aku masih kecewa?

Sememangnya aku dan ramai lagi kecewa apabila Piala Malaysia yang dimenangi dengan air mata dan keringat ini tiba-tiba dijadikan bahan kempen Umno di dalam Pilihanraya Kecil DUN Galas baru-baru ini. Ada otak ke?

Musim depan aku sarankan Umno mendaftarkan team bolasepak mereka sendiri, Umno FC. Jika mereka menang Piala Malaysia, bawalah Piala itu untuk berkempen di mana-mana pun. Aku percaya Umno FC boleh menang Piala Malaysia jika Tan Sri Isa Samad diberikan tugas mengendalikan team ini.

Cukuplah bercerita pasal kekecewaan. Jadi pada 2011 ini aku tak mahu kecewa lagi. Walaupun aku rasa aku bakal merasakan kekecewaan sedikit masa lagi memandangkan sekarang ini minyak masak telah berkurangan di pasaran. Tak apalah, minyak masak pun tak elok untuk kesihatan. Sebelum Datuk Ismail Sabri Yaakub cakap, baik aku sendiri yang cakap dulu.

Aku dengar-dengar khabarnya PRU13 bakal diadakan tahun ini. Aku tak kisah, bila pun pilihanraya diadakan, aku sentiasa mengundi untuk menolak rasuah! Aku tak pernah mengundi untuk dikecewakan!
.
Contest ini dianjurkan oleh Matjoe dan turut ditaja oleh Eyriqazz (rm 50) Kak Ina KL (cookies rm50) AbangEnsem (6 ebook, rm120), Kak Yon (3xrm10 topup, rm30) dan Tinihani (4 ribbon brooch, rm20)

5 comments:

  1. amat berlainan azam entry cikli. apapun apa yg diazam dan diharapkan, mampu dicapai. terima kasih kerana sertai contest ini. jg lupa contest 'like' gambar di facebook page saya

    ReplyDelete
  2. salam matjoe....terima thanks...

    ReplyDelete
  3. hemmm..azam kamu lain ek dari orang lain..
    akak pun setuju dengan pendapat kamu..
    tak seronok dah tgk gelagat mereka ini.

    ReplyDelete
  4. kak ina kl,

    domo arigato gozaimasu

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...