Saturday, February 21, 2009

Hikayat Sang Katak Dan 2 Ekor Lembu


(Syair)

Tersebutlah kisah, Si Katak Gomok,

Semakin hari, semakin goblok,

Tak kenal tuan, semua dirodok,

Asalkan penuh, isi tembolok.

.

Ceritera bermula menjelang PRU10 1999. Si Gomok masih berada di dalam sarkis. Bak kata Sudin Pendekar Bujang Lapok, Sarkis Jinak.

Memandangkan rakyat di Negeri Pasir 2 Butir Emas sudah tidak minat lagi untuk ke Sarkis Jinak, Si Gomok terpaksa mengatur strategi baru untuk melariskan tiket.

Maka melompatlah Si Gomok ke hulu dan ke hilir. Ke depan dan kadang-kadang gostan. Sekian lama melompat akhirnya masuklah ia ke sebuah gelanggang silat di atas tali air di Bambu Cina.

Mahaguru silat yang lebih banyak senyum dan mengepah rokok daripada bersuara dan sekalian anak muridnya kenal benar dengan Si Gomok. Ye lah siapa tak kenal Si Gomok ini yang telah mereka tabalkan sebagai ketua semasa dia menyertai Sarkis Bernombor pada PRU 1990 dulu. Tup-tup bila dipilih, dia melompat ke Sarkis Jinak.

Mulutnya, tangannya, lidahnya cukup berbisa. Mengingatkan itu, anak-anak murid Mahaguru Silat Senyum Secupak mendekati Si Gomok dengan tangan masing-masing seolah-olah ingin mencekik leher Si Gomok.

Mereka lupa. Katak mana ada leher. Ye ke? Sains dalam Bahasa Inggeris pun takde leher ke? Ada kot, cuma pendek je. Hentam sajalah. Sambung cerita....

Melihatkan telatah anak muridnya, Mahaguru Senyum Secupak bersuara,

“Sabar, Si Gomok tetamu kita. Kita tanya apa tujuannya”.

“Ambo mari ni nak sponsor lembu. Dengar khabar gelanggang ni dah nak perlimau. Ambo berkenan benar aktiviti macam ni. 2 ekor cukup?” Si Gomok bercakap macam dalam Parlimen lagaknya.

Mendengar lembu 2 ekor dan melihat kerdipan mata Si Gomok yang seolah-olah insaf, cair jualah Mahaguru dan anak muridnya sekalian. Maka diterimalah sponsor Si Gomok. Rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari. Itu memang moto Gelanggang Silat Atas Tali Air Bambu Cina.

Malam perlimau gelanggang pun tiba. Anak murid silat diraikan dan diberi sijil. Sebundle sijil diserahkan oleh Si Gomok kepada Mahaguru Senyum Secupak. Senyum Mahaguru bertambah jadi segantang apabila pihak stesen TV 0.75 pun ada.

Orang sekampung pun tumpang semangkuk. Nanti tak habis lembu 2 ekor. Kata budak-budak rock, makan lembu sembelih katak.

Silap. Rupanya mereka yang disembelih. Berita Utama TV 0.75 melaporkan malam esoknya....

Mahaguru Senyum Secupak serah borang masuk Sarkis Jinak.

Bising sekampung. Orang kampong sudah ura-ura mahu boikot Mahaguru Senyum Secupak. Adik-beradik yang jauh juga telefon marah-marah. Buat pertama kali Mahaguru terasa payah nak senyum.

Nasib baiklah ada yang tampil membela Mahaguru Senyum Secupak.

“Mahaguru kena kencing katak. Kita semua dikencing!”.

Penduduk Negeri Pasir 2 Butir Emas seterusnya menolak apa saja yang datang dari Sarkis Jinak. Jualan tiket terus merudum. Akhirnya Si Gomok ditendang daripada Sarkis Jinak. ‘Bebas’ lah ia.

Berkelanalah terlompat-lompat Si Gomok sehingga akhirnya melukut di tangga Masjid Pulau Melaka.

.

No comments:

Post a Comment

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...