Tuesday, September 20, 2011

Untuk Cikgu Demi Anak Murid


Tulisan ini bukan untuk menyalahkan atau menuding jari kepada sesiapa, tetapi untuk kita sama-sama merenung apa peranan yang boleh kita ambil dalam isu ini.

Seorang kanak-kanak maut apabila ditimpa palang gol di padang sekolah. Amat menyedihkan dan memilukan lebih-lebih lagi keluarga si mangsa. Kejadian ini bukan pertama kali berlaku di sekolah, telah ada kemalangan seumpama sebelum ini.

Sudah sampai masanya pihak sekolah menjaga aset terpenting mereka. Aset sekolah tentunya guru-guru, staf dan para pelajar. Disamping kecemerlangan akademik yang kita cari, bukankah elok kalau kita mencapai kecemerlangan itu dengan suasana yang selamat sejahtera serta tubuh badan yang sihat.

Kurang bererti rasanya kejayaan seorang pelajar kalau dia terpaksa menyambutnya di hospital akibat tertimpa siling yang jatuh.

Tiada makna slip peperiksaan cemerlang seorang pelajar di tangan seorang bapa jika si anak telah tiada lagi di dunia ini kerana kemalangan semasa aktiviti ko-kurikulum.

Amat kesian seorang pelajar dan guru yang terpaksa bermalam di hospital kerana kemalangan letupan gas di makmal sekolah.

Tiada guna kata-kata simpati untuk pelajar yang hampir maut kerana terkena kejutan elektrik semasa memetik suis kipas yang regulatornya pecah dan berselirat wayar.

Tiada guna berkeluh-kesah dengan nasib pembantu makmal yang telah bertahun terdedah kepada bahan kimia yang sering batuk-batuk dan sakit sekarang.

Tiada guna membawa limau dan oren melawat guru yang terkerat jari akibat mesin pemotong di dalam makmal kejuruteraan.

Tiada guna memarahi pelajar yang kita katakan cuai kerana menangis akibat kakinya terjerlus di ‘grating’ penghalang lembu di pintu pagar sekolah, padahal design grating itu yang tidak kena.

Saya katakan ‘tiada guna’ kerana kita seringkali mengabaikan dan tidak mengambil pengajaran serta tiada langkah pembaikan selepas beberapa peristiwa kemalangan berlaku. Sekarang, sudah sampai masanya pihak sekolah mengadakan ‘sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja’. Ya, sekolah itukan tempat kerja kita!

Lagipun ianya bukan optional, ianya wajib. Mulalah bertanya, mulalah google, dan mulalah beli buku akta, OSHA dan ilmu OSH berkaitan untuk sekolah kita. Carilah MS 1722.

Kemalangan bukan hanya menandakan wujudnya keadaan yang tidak selamat dan tindak-tanduk yang tidak selamat. Ianya terang-terangan menandakan kegagalan pengurusan sesuatu organisasi dalam menguruskan risiko. Risiko di sekolah bukan hanya peratus UPSR, PMR atau SPM jatuh, cikgu besar!

Proaktiflah. Buatlah pemeriksaan keselamatan dan kesihatan sekurang-kurangnya 3 bulan sekali di seluruh kawasan sekolah. Terutama sebelum buka penggal yang baru, setelah sekian lama bercuti. Bukan saya kata, undang-undang Malaysia, OSHA yang kata.

Reaktiflah. Siasatlah dan ambillah langkah pembaikan terhadap segala kemalangan walaupun kemalangan kecil yang tiada sesiapa cedera pun.

Lebih elok lagi, jadikan ilmu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja sebagaimana kita mengajar sivik, ilmu kesihatan dan tatarakyat kepada para pelajar kita.

Hari pertama persekolahan tahun ini, semasa membawa Salsa ke kelasnya dan membayar yuran, saya melihat satu sarang lebah yang sudah besar yang hanya beberapa kaki dari kelas Salsa. Siapa yang peduli? Bayangkan jika ada pelajar yang gatal tangan membaling kasut ke arah sarang lebah ini. Jika ianya berlaku, jadilah seperti pelajar-pelajar di Bachok yang diserang lebah semasa menyertai Larian 1Malaysia. Mungkin lebih teruk lagi.

Ini belum lagi cerita kemalangan jalanraya di depan sekolah.

Kepada cikgu-cikgu yang membaca entry ini, sekarang anda sudah ada modal untuk berjumpa cikgu besar.

17 comments:

  1. SEKOLAH PUN BAHAYA KAN.. KENA BERHATI2 BUKAN SAJA DI JALAN RAYA..

    ReplyDelete
  2. Saya setuju Cikli. Kita kena cakna. Saya perhatikan:
    1. Budaya tak ambik kisah.
    2. Budaya bertindak setelah berlaku musibah.
    3. Budaya tak ambik tindakan, walaupun dah berlaku musibah.
    4. Refer no.1

    ReplyDelete
  3. Setuju dengan saranan CikLi. Berjaga sebelum terkena. Tapi selalunya kita ni, kena dulu baru nak ambik tindakan berjaga2.

    ReplyDelete
  4. Design sekolah di msia dgn beranda terbuka mmg bahaya.

    ReplyDelete
  5. semua kena cakna lah. dan ingat mengingati sesama kita. terima kasih.

    ReplyDelete
  6. erm.. malaysia oh malaysia.. bila mintk bajet tuk upgrade peralatan skolah.. xde duit.. tp.. bila bini2x nk beli brg kemas blh pulk kan.. huhu

    ReplyDelete
  7. Selain guru besar/pengetua dan guru-guru, satu lagi pihak yg perlu ambil iktibar dlm masalah ini ialah pegawai PPD dan JPN. Banyak tempat, kebanyakan pegawai PPD dan JPN hanya memikirkan bagaimana nak menangkan calon umno/BN dlm pilihanraya.

    ReplyDelete
  8. sedih dgn berita pelajar meninggal sbb ditimpa palang gol. terkejut tgk gambar sarang lebah yg dibiarkan membesar sebegitu rupa di sekolah.

    Terima kasih cikli sbb entry ni membuka mata para guru termasuk saya. Tapi secara jujur juga saya bersetuju dgn komen dari jiwa hamba. Apa yg jiwa hamba cakap mmg benar2 berlaku walaupun tidak di semua daerah dan sekolah.

    ReplyDelete
  9. kontrator kelas F mana yang suplay tiang tu.. kroni siapa..masa saplay tu..atas semangat setia kawan ke ..

    ReplyDelete
  10. Seringkali didedahkan isu-isu sebegini tetapi bagai mencurah air di daun keladi. Agaknya kalau yg terkena itu anak YB atau ahli parlimen baru akta baru keluar dan tindakan menyeluruh diambil.

    ReplyDelete
  11. yes, bila kena kat anak bilis, sape peduli.....mana ada tindakan pembaikan pun, buat dunno jer cukup.....tapi kalo kena kat ikang jerung, tau2 ler, cepat2 jer kontraktor datang dgn proposal2, nak dunia je klijenya huhuhuhu......
    -genzo

    ReplyDelete
  12. Salam Bro...selamat hari raya..baru berkesempatan datang setelah beraya sakan...
    aku tak berapa tau sangat tentang hal sekolah ni, yg aku tau pasal kerja2 pembinaan yg diberikan kepada kontraktor2 yg tak berkelayakan yg hanya subkan kerja tu....macamana kualiti nak bagus...cakap pun buat sakit hati..

    ReplyDelete
  13. salur kan suara ke PIBG sekolah....

    jangan lupa aktifkan diri ke PIBG juga....

    ReplyDelete
  14. setuju dengan Cikli, dan sokong pendapat uncle gedek...

    Sebab suara kami orang dalam ini kurang didengari. Ia memang memerlukan penglibatan dan ketegasan pihak luar.

    Tapi, pasal sarang lebah... itu memang tidak prihatin!

    Kadangkala, walau peka para guru ini tidak pakar dalam menilai aspek keselamatan
    - tidak dapat pastikan kekukuhan palang gol dan kipas tersebut
    - bukan opsyen, tapi diminta mengajar (bukan guru PJK tapi diminta ajar PJK)

    Jadi, saya amat berharap pihak kementerian akan melantik satu badan khas ( yang pakar... bukan guru sekolah) untuk check dan pantau aspek keselamatan (alatan2 berpotensi) di sekolah secara berkala (sebulan sekali ke...)

    ReplyDelete
  15. bahaya sunngguh! cikli cepat report pasal sekolah salsa tu!

    ReplyDelete
  16. jumpa dan adu bila2 saja pun boleh tapi adakan aduan kita di pakai guna? entah masuk telinga kiri kuar telinga kanan jer..

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...