Thursday, May 5, 2011

Seekor Kambing di Pulau Kambing


Kenali Pulau Kambing
 Setiap hari Tanduk akan sekurang-kurangnya sekali tawaf kawasan pekan Pulau Kambing. Tiada upah, tiada habuan, tetapi Tanduk setia melakukannya setiap hari. Dia hafal setiap nama kedai dan cam setiap muka baru yang masuk ke Pulau Kambing. Dia juga hafal dalam kepala nama-nama yang telah meninggalkan Pulau Kambing.

“Pulau ini, pulau kita, nama kita. Takkan anjing atau lembu yang nak jaga?” Itu tegas Tanduk apabila ada kambing lain mempersoalkan tindakannya yang masih setia dengan kawasan itu.

Hati tanduk bertambah tak keruan apabila ada kambing generasi baru yang khabarnya membawa fahaman subversif kepada masyarakat kambing di Pulau Kambing.

“Tempat kita ini bukan pulau,” kata-kata seekor kambing muda bernama Kid yang baru tumbuh geraham bongsu menggegar jantung Tanduk pada suatu hari berdekatan kedai kopi Pakde.

“Selama ini kita silap. Kita berada di daratan, bukan pulau,” Kid terus bersuara yang bagi Tanduk adalah perbuatan menghasut.

Ikutkan hati mahu sahaja Tanduk menanduk Kid sampai bergegar otak. Agar waras kembali pemikiran budak mentah itu. Tetapi apabila mengenangkan ayah Kid adalah teman baiknya, Tanduk hanya mampu menahan sabar.

Ayah Kid, Hitam dulu memang member kamceng Tanduk. Mereka sejak kecil sama-sama mencuri makan pokok bunga di Eskay Pikay (SK Pulau Kambing) sehingga di kejar tukang kebun sekolah itu. Pelik betul manusia, fikir Tanduk, kenapa mereka hendak menjadi tuan di Pulau Kambing? Carilah Pulau Manusia!

“Hei budak, itu jambatan panjang tu apa?” Tanduk bertanya sambil menunjukkan ke arah Jambatan Sultan Mahmud yang tersergam indah.

“Jambatan itu menyambungkan 2 daratan. Kambing-kambing yang mendatang dari Kelantan dan Siam khabarnya datang melalui jambatan itu,” jawab Kid dengan tenang. Kambing-kambing lain hanya terlopong macam kambing melihat 2 kambing berlainan generasi sedang berdebat.

“Dengar sini baik-baik budak kecik. Jambatan itulah yang menandakan tempat kita ni adalah sebuah pulau. Seberang jambatan sana adalah tanah besar.... Kelantan, Siam, Besut,” Tanduk tak mahu beralah.

“Sudahlah tu. Jangan bergaduh sesama kambing. Malu kat anjing dan lembu nanti,” tegur seekor kambing tua yang berjanggut hampir mencecah tanah.

“Janggut, kau jangan masuk campur. Kau selama ini pun bukannya peka dengan masalah sosial dan isu semasa tempat kita ni,” Tanduk mengherdik Janggut, kambing tua tadi.

“Aku bukan apa Tanduk. Malu orang dan anjing tengok kita bergaduh,” jawab Janggut.

“Malu konon. Tu telor kau yang labuh tu. Coverlah kalau malu. Dasar kambing! Janggut panjang, telor terjojol keluar, alim konon,” Janggut terus terdiam. Malas dia nak berlawan cakap dengan Tanduk. Tanduk memang begitu, kalau dah tersepit, isu lucah lah yang menjadi senjatanya.

“Pak Tanduk. Niat saya hanya untuk majukan kambing di sini,” Kid bersuara kembali. “Di Pulau Kambing ini telah kekurangan peluang untuk species kita mencari makan. Kita perlu berhijrah.”

“Kau nak kambing-kambing ini menggadai nyawa merentasi jambatan panjang itu? Kau mahu species kita pupus? Aku dengar kita akan dikenakan tol apabila merentasi jambatan itu,” potong Tanduk.

“Plaza tol atas jambatan tu dah dirobohkan lama dah. Lagipun kambing mana kena tol,” sampuk seekor kambing putih sambil tersenyum.

“Manusia yang kemaruk harta akan buat apa saja termasuk mengetol kambing macam kita,” Tanduk masih tidak mahu mengalah.

“Telah saya katakan tadi, kita bukan berada di pulau. Pulau Kambing hanya nama sahaja. Bukan pulau. Kita tak perlu menyeberang jambatan untuk mencari peluang baru. Di sebalik bukit belakang kita, ada sebuah bandar yang lebih besar dan lebih luas,” Kid menunjukkan ke arah bandar Kuala Terengganu yang berada di balik bukit yang memisahkan 2 kawasan itu. Kambing-kambing lain mulai berminat.

“Saya telah google tuan-tuan. Pulau Kambing macam juga Pulau Rusa, Pulau Musang. Semuanya daratan, bukan pulau. Kita perlu meluaskan skop kehidupan kita. Percayalah wahai saudaraku kambing-kambing sekalian. Kita perlu berubah. T. R.A.N.S F.O.R.M.A.S.I. Seperti kata manusia.”

Sejak hari itu, bukan sedikit kambing yang telah berhijrah ke balik bukit yang ditunjukkan oleh Kid. Yang masih setia tinggal di Pulau Kambing sudah tidak banyak, hinggakan anjing-anjing seakan-akan telah menjadi majoriti di Pulau Kambing. Bagi tanduk, Pulau Kambing hanya menunggu masa untuk ditukar nama kepada Pulau Anjing.

Tanduk sendiri agak tersepit dengan kehidupannya sekarang. Kadang-kadang sepagi dia merayau, belum tentu dia dapat ‘decent breakfast’ seperti lobak busuk dan kulit pisang. Daun pisang pembungkus nasi lemak pun telah pupus secara tiba-tiba. Kalau dulu, jika Tanduk pergi ke tepi pagar Eskay Pikay, tentu dia akan kekenyangan dengan daun pisang pembungkus nasi lemak yang berlambak kedapatan di situ.

Menurut Kid, pelajar sekolah telah dinasihatkan supaya menjauhi nasi lemak supaya mereka tidak obese. Pelik betul manusia, anak mereka tak boleh obese, tapi kalau bela kambing, mereka mahu kambing mereka obese. Bila kambing dah obese, mereka bunuh..... Salahkah obese di negara demokrasi ini? Kiut apa! Ah! Manusia memang pelik.

Tanduk mengharapkan akan muncul pemimpin baru yang berkaliber yang akan mempertahankan ketuanan kambing di Pulau Kambing. Kid sekarang adalah salah seekor daripada calon harapan di dalam pemerhatian Tanduk. Dalam diam-diam Tanduk mengagumi Kid, anak rakannya Hitam yang telah mati dilanggar lori ikan sewaktu Kid masih menyusu ibunya. Keyatiman Kid membuatkan budak itu nekad berazam mencari ilmu untuk hidup di Pulau Kambing yang serba mencabar.

“Bijak betul kepala hotak si budak yatim tu. Macam kambing!”

18 comments:

  1. *senyum*

    bijak mcam kambing eh.
    aha.

    Yang Muda, walo ke mana melangkah, pasti di gegarkan dgn transformasi. Kan?

    Ape yg penting, tranformasi iman dan hati tlebih dahulu, betul akidah, maka moleklah hidup kita terarah. bi iznillah.

    ^__^

    ReplyDelete
  2. Cikli
    Bila masa P, Kambing ada SK? Bukan ke org2 P.K
    pi belajak kat SK BKT JAMBUL? Biar betik.

    ReplyDelete
  3. mutiara bernilai,
    transformasi iman. betul tu.

    ReplyDelete
  4. anonymous,
    banyak fantasi yang masuk untuk sedapkan jalan cerita. sekadar satira ringan.

    ReplyDelete
  5. walaupun keseluruhan menggunakan parable atau metaphor yang tepat,tapi aku masih mampu memahaminya.hihi

    penceritaan begini mengingatkan aku pada kisah novel SHIT.tapi ini lebih moderasi.

    ReplyDelete
  6. ghost writer,

    sekadar memahami hati budi kambing sebelum membeli 3 ekor jamnapari.

    ReplyDelete
  7. Teringat kan gua kat Biryani Kambing bawak pokok hari jumaat kat bangi...

    ReplyDelete
  8. gedek!,
    hari ni jumaat.
    jom belanja gua nasi briyani kambing.
    gua belanja lu pisang kat masjid hijau.

    ReplyDelete
  9. jom melakukan undian di blog saya

    http://mari-mengundi.blogspot.com

    ReplyDelete
  10. masjid tun uda sec16 s.alam sebelum sembahyang nasik briyani dalam 6 hinggit. lepas habis sembahyang 3hinggit dengan air..betulah bila sembahyang rezeki murah

    ReplyDelete
  11. brutalsolo,

    briyani kambing ke lembu bro..?

    ReplyDelete
  12. Senyum kambing saya baca entri nie Hehehehe

    Tips Kejayaan

    ReplyDelete
  13. brutalsolo,
    oooo ayam, aku ingat buaya, kata pak abu dalam pendekar bujang lapok.

    ReplyDelete
  14. otromen taro,
    gu...tukar nick pulok ko...

    ReplyDelete
  15. senyum kambinggggg...kat pulau kambing ni kambing menggembek ke menguah?

    ReplyDelete
  16. hani,
    kambing kat sini senyum je.

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...