Saturday, August 13, 2011

Sleepless In London

Marble Arch, pintu masuk ke Hyde Park
Dingin Hyde Park mencengkam hingga ke tulang hitam. Malam itu aku mengalami definisi sebenar ‘sejuk hingga ke tulang sum-sum’ yang selalu aku baca dalam cerpen dan novel. Kedinginan musim  yang minus beberapa degree membuatkan mata aku tidak dapat dilelapkan walau sepicing cuma. Aku mengorek isi beg sandang yang aku jadikan bantal. Aku keluarkan kain pelikat untuk menambah tebal jaket jeans yang menutupi tubuhku.

Aku kepenatan. Begitu juga kawan aku, Apip. Seharian kami berjalan di sekitar kota London. Pagi tadi, sampai sahaja di Victoria Station dari Bath, kami teruskan perjalanan dengan menaiki koc underground untuk mencari Malaysia Hall. Keluar daripada stesen undeground di Marble Arch, kami nampak satu arch yang besar.

“Area sinilah Malaysia Hall, Apip. Kita ronda je, jumpalah tu,” kata aku kepada Apip. Aku pernah di bawa ke Malaysia Hall kurang sebulan yang lalu semasa mula-mula mendarat di Heathrow dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Arch inilah yang aku ingat sebelum kereta pegawai MARA menurunkan aku di Malaysia Hall. Lalu aku dan Apip meneruskan pencarian kami untuk ke Malaysia Hall. Aku ada temujanji di situ hari ini.

“Hari Sabtu terakhir bulan ini, kita jumpa di Malaysia Hall,” itu kata-kata Ze kepada aku sebelum dia bertolak ke Liverpool dengan beberapa senior yang telah sedia menunggu di Heathrow.  Dan, hari ini, Sabtu terakhir Ogos 1992, aku mengajak Apip yang baru aku kenal di University of Bath untuk menemani aku menemui Ze di Malaysia Hall, London.

Kami berjalan ke arah Marble Arch, melintasi bawahnya yang membawa kami terus ke Hyde Park. Taman besar yang tersohor di kota London.

“Pip, kita cari Speaker’s Corner, aku nak bagi tazkirah kat mat salih ni sikit, haha, “ aku berlelucon. Speaker’s corner menjadi tumpuan ramai orang. Cakaplah apa saja yang kita mahu di sana, macam dalam blog juga. Siapa kisah? Nak dengar sudah, tak nak dengar boleh blah. Jangan kutuk agama orang lain dan Queen sudah!

Habis ceruk Hyde Park yang luas itu kami jajat, sehingga menemukan kami dengan Buckingham Palace yang dikawal rapi oleh Queen’s guard yang bagi aku kelihatan amat lucu. Aku hanya mampu terpaku merenung istana bersejarah itu, sambil bernyanyi di dalam hati.

Pussy cat, pussy cat, where have you been
I’ve been up to London to look at the Queen
Pussy cat, pussy cat, what are you there
I frightened a little mouse under her chair

Setelah letih berjalan dan bertanya, akhirnya kami mengambil langkah bijak. Kami naik sahaja the popular London black cab.

“Bryanston Square, please. Malaysia Hall.”

Wosshhh. Bagaikan jin Aladdin, buka mata je terus kami berada di Malaysia Hall. Ha ha... Dah letih, terlena la sekejap kot. Tapi aku sebenarnya ralit memerhatikan senibina dan suasana London.

Di Malaysia Hall, kami terus ke restoran di basement floor. Melepas rindu dendam kepada makanan Malaysia. Habis makan, kami naik ke surau untuk melunaskan hutang kami dengan Tuhan. Zohor dan Asar serentak, itu kemudahan yang Tuhan kami bagi. Terima kasih Tuhanku. 

Selesai solat, aku dan Apip melepak di sekitar Malaysia Hall sambil mata aku melilau mencari kelibat Ze yang berjanji dengan aku untuk bertemu pada hari ini, di sini. 

Setelah yakin Ze tidak datang, apalagi memikirkan Liverpool begitu jauh di utara berbanding Bath yang hanya 2 jam naik keretapi dari London, aku dan Apip membuat keputusan untuk meneruskan sesi sight-seeing kami dengan berjalan kaki.

Sampai ke malam kami berjalan. Habis sepanjang Oxford Street kami susuri. Di sini rupanya tempat mak datin kampung aku bershopping, getus hati kecilku.  Big Ben (Bukan Ben 10!), Tarafalgar Square dan banyak lagi tempat (lupa la) aku dan Apip pergi. Semuanya dengan berjalan kaki. Sehingga kaki kami memprotes dah tak larat nak berjalan.

Malam sudah banyak. Kami mudik Oxford Street untuk ke Malaysia Hall. Sampai di Edgeware Road, kami pusing ke kanan mencari Bryanston Square. Di kiri bertentangan Edgeware Road, tersergam Marble Arch dan Hyde Park yang telah kami jelajah sepagi tadi.

“Fully booked la encik. Sori,” kata brader di kaunter Malaysia Hall. Sebelum pergi, kami sekali lagi ke surau di tingkat atas. Kali ini Maghrib dan Isyak juga dibayar serentak.

Dua-tiga B&B (Bed & Breakfast) yang kami masuk semuanya fully booked. Yang lain, dari jauh sudah kelihatan lampu neon memberitahu ‘no vacancy’. Adesshh... Mana mau tidur ini malam?

Kami nampak Brunei Hall dan mengambil keputusan mencuba nasib. Maklumlah serumpun, seagama, takkan tak boleh tolong.

“We do have vacancy but sorry sir, for Bruneian only!”

Kami menduga simpatinya dengan memberitahu kebanyakan B&B sudah tiada kokosongan. Malaysia Hall pun penuh. Mana tahu ada simpati terpencar di hatinya.

“I am sorry. Keep looking. Good luck.”

Aduii...  Terasa macam Bangla di Kuala Terengganu la pulak diri ini. Tak apa, mungkin polisinya begitu. Kami habiskan sepanjang malam berjalan tanpa arah tujuan yang jelas. Di sepanjang perjalanan, kelihatan mat salih ramai yang bertopeng pelik-pelik.

“Pip, malam ni malam apa daa?” Lagak Ajis dalam filem Bujang Lapok aku bertanya Apip yang tak habis-habis mengepah rokok gulungnya. Maklumlah sejuk sangat.

“Halloween la .... Patutlah depa pakai macam hantu je."

Akhirnya bangku Hyde Park inilah yang menjadi alas tempat berehat kami. Nak tidur tak lena. Angin musim luruh yang kerap bertiup, menambahkan kebekuan setiap anggota tubuh aku. Aku lihat jam, 2.00 am. Tidurlah mata, tidurlah mata, tidurlah mata...Zzzzzzz....

Tiba-tiba aku terjaga, mungkin dek kesejukan. Berjaya juga aku terlena akhirnya. Aku lihat jam, 2.15 am. Erghh... 15 minit je. Aku tak tahu Apip berjaya tidur atau tidak. Aku lihat budak Kedah itu mengerekot kesejukan di dalam jaket kulit hitamnya. Aku hanya terkebil-kebil memerhati sekeliling. Aneh betul. Pengunjung Hyde Park tak pernah putus. Ada saja orang yang berjalan atau berjogging melintasi kami walaupun pada waktu-waktu pagi sebegini.

Tepat jam lima, Apip mengajak aku ke Malaysia Hall. Selepas sembahyang Subuh, kami rehat lama di surau sebelum meninggalkan kota London, kota unik yang penuh nostalgia.

“Apa la depa ni, looting sana, mugging sini, kata je civilized...” Komen seorang rakan baru-baru ini.

“Beberapa orang saja tu. Setahu aku kebanyakan mereka nice people, good samaritans.....”

Reaksi aku itu bukan untuk mempertahankan bangsa penjajah ini, tetapi just to be fair to them kerana di bulan Ogos seperti hari ini, 19 tahun yang lalu, aku boleh dan mampu bermalam di Hyde Park, London tanpa sebarang gangguan daripada siapa-siapa kecuali kedinginan yang amat.

18 comments:

  1. salam cikli,
    begitulah dunia... semoga 19 ogos tahun depan kita masih ada, untuk mengetahui apa yang akan jadi seterusnya...

    ReplyDelete
  2. dula malaysian hall mmg kat bryanton square, sekarang dah pindah dah..dulu, kalau shopping kat oxford street tu mesti singgah di malaysian hall.nostalgia lah bila baca N3 ni.

    ReplyDelete
  3. Sekarang kota London bergolak. Liverpool tempat ze yg cikli tunggu dulu pun sama. Moga student kita selamat di sana...

    Kakak rasa kalau sekarang tidur di bench macam cikli dan Apip buat dulu dah jadi bahaya...

    ReplyDelete
  4. menarik baca entry ni. pernah study sana ke cikli

    ReplyDelete
  5. Aik? macam tak habis je ni? ada sambungan lagi ke? Sedap2 baca ter-habis pulak ceritanya.

    Cikli, Big Ben tu.. mungkin bukan Ben Ten, tapi kalau Big Ten kan ada di Malaysia, tempat beli belah jugak tuu hehe

    ReplyDelete
  6. aik? laa tuan tanah sonyap je ke hihihi//

    cikli, mesti baca berita menteri perdana 'jawab' di mahkamah.. bukan main lagi sampai bila wartawan tanya dijawabnya 'biarlah rahsia'

    kehkehkehkeh

    rahsianya tiada rahsia
    kerana jawapan juga tiada
    (laporan AFP)

    ReplyDelete
  7. nostalgia yg indah tu dan banyak pengalaman yang dapat dikutip.....

    ReplyDelete
  8. Coincidently i learned about your ordeal from Apip himself when i joined a tour group from liverpool to visit a place in Swansea.He was there too.Feeling so sorry for both of u, i could only blame myself for that i didnt make up for what we had agreed upon.Tried to repay my mistake by travelling solo to Bath during our winter break.OMG cikli this was almost 20yrs ago tapi segalanya masih jelas dlm ingatan..btw keep up the good work with your blog.like it very much..and now my name (nickname rather) has been inducted in this blog along with many characters u already have.

    Salam.Ze..:)

    ReplyDelete
  9. Bertuah, berpengalaman brkelana di tempat org...

    ReplyDelete
  10. jiwa hamba- welcome. pernah dulu masa muda-muda

    ReplyDelete
  11. puteri- bercerita hanya kerana keadaan london sekarang.
    big ten? kalau ten-ten saya tahu.

    ReplyDelete
  12. ze- :). kenangan masa muda bro. never blamed you a bit. if you did turn up, you could ended up on the bench with the 2 of us. haha...
    selamat berpuasa bro.

    ReplyDelete
  13. Jauh perjalanan... luas pengalaman...

    ReplyDelete
  14. Wow.. Rasa cam g sana juga.. Sejuk angin menerpa, menghembus muka ni..

    -bila la agaknya.. Mungkin lepas ni da takut kot..

    ReplyDelete
  15. Walaupun dah 19 tahun berlalu, macam baru je berlalu bg cikli kan? :)

    ReplyDelete
  16. Pengalaman yg amat bermakna. Berkelana utk memaknakan hidup demi kehidupan yg bermakna

    ReplyDelete
  17. cikli gaya penulisan sgt bagus.boleh bikin buku.=)

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...