Saturday, March 5, 2011

Marhaen Menanti : Satu Drama Sempena PRK Merlimau & Kerdau

Mereka ini pun mengharapkan dilahirkan di Merlimau atau Kerdau 
Air mata Mail mengalir keluar tanpa dapat ditahan. Anak-anaknya 5 orang yang berada di tangga rumah ditenungnya dalam-dalam. Dia berasa gagal sebagai seorang bapa. Fail. F9! Gagal dia dalam memberikan keselesaan dan kebahagiaan kepada anak-anak dan bininya.

Dia telah berusaha, tetapi mungkin itu saja rezekinya. Kalau anak dia seorang dua, mungkin dia mampu memberikan mereka sedikit kesenangan. Ini berceretek. 3 orang anaknya di sekolah rendah, 2 orang di sekolah menengah, seorang sudah pandai berjalan-jatuh dan seorang lagi masih dalam buai.

"Ayah janji ye...." Anaknya, Ahmad Maslan yang darjah 3 sempat berkata semasa bersalam dengannya.

"Ye la ayah, Amir malu la ayah...kasut ni dah koyak rabak. Kasut tahun lepas lagi ni ayah," anaknya yang darjah 4 pula menyampuk.

"Kita tunggu ye," Mail menjawab menyedapkan hati anak-anaknya.

Mana Mail nak cekau duit nak beli kasut sekolah baru untuk anak-anaknya. Sekarang laut masih bergelora. Tak dapat dia ke laut. Semua orang pun tak dapat ke laut.  Mereka, nelayan tradisional, asyik menjahit pukat sahaja sekarang. Itu yang mereka dapat lakukan, selain main dam di wakaf dekat jeti. Majoriti mereka kais pagi dan petang hanya untuk mendapat belanja sekolah anak-anak. Selain mengkayakan orang tengah.

"Tunggu apa ayah? Dari dulu ayah kata tunggu, tunggu, tunggu.....Tahun lepas lagi kena tunggu, tunggu apa ayah?" Amir yang banyak mulut bertanya dengan nada protes.

"Seminggu-dua lagi ayah beli la kasut sekolah baru, jom kita pergi sekolah," Adila anak sulungnya yang berada di tingkatan 3 cuba menyedapkan hati adik-adik. Dia tak mahu terlewat.

"Tapi ayah tunggu apa?" Tanya Amir, masih tak puas hati.

"Tunggulah. Adalah nanti rezeki kita," jawab Mail lagi. Masih sama. Tunggu, nanti, tunggu, nanti.

"Tunggu apa?" Tanya Asfar, yang darjah 2. Cuba masuk daun.

"Ye la ayah, kita kena tunggu apa?" Tanya Amir lagi. Anak yang ini memang degil sedikit berbanding yang lain. Tak takut siapa pun.

"Cakap la ayah, apa yang ayah tunggu. Kita kena tunggu apa?" Tanya Aidil Zaquan, tingkatan 1. Juga bersuara akhirnya.

"Kita kena tunggu apa ayah?" Desak Ahmad Maslan, yang sudah berada beberapa langkah di hadapan, kini berpusing balik menghadap ayahnya.

"Ye lah ayah. Dari dulu ayah kata tunggu, tunggu. Pelik juga," Adila juga menyertai demonstrasi mendesak ayah mereka.

Mail tak dapat menahan sebak melihat anak-anaknya yang tiba-tiba bangkit semacam rakyat Mesir menuntut Presiden mereka berundur. Tiba-tiba dia bermadah.

Merlimau Kerdau tanah berkat,
Mendapat pemimpin berumur singkat,
Kita tunggu sekadar melihat,
Tempat kita didatangi malaikat

"Kita tunggu je wakil rakyat tempat kita ni mati.....Nanti berlari depa semua berebut datang ke mari," kata Mail seterusnya.

 Entah anak-anaknya yang sedang terlopong di tanah itu faham atau tidak...

4 comments:

  1. sedih..
    mungkin itulah harapan yang patut ada di malaysia skrg nie..

    ReplyDelete
  2. anonymous,
    jong pecah, yu kenyang. kata setengah orang.

    ReplyDelete
  3. Kematian YB adalah pengorbanan yg paling suci ~ Tukar Tiub

    ReplyDelete
  4. gedek!,

    sakit tayar pada tiub - kata ore kelate.

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...