Thursday, March 3, 2011

Tuala Good Morning Lelaki Y

Pak Usop terbongkok-bongkok menyusuri barisan panjang yang bersimpang-siur seperti ular kena palu itu. Pak Usop agak mahu 1.8 km barisan itu jika diluruskan dan masing-masing yang beratur mendepangkan tangan ke depan mencecah ke bahu orang di hadapan masing-masing. Mata Pak Usop tetap meneliti ke lantai.

“Woi, orang tua, tak belajar sivik ke?” sergah seorang anak muda berambut biru.

Pak Usop mendongak. Matanya menikam mata anak muda berambut biru yang menegurnya setajam-tajamnya.

“Aku tak pernah belajar sivik, belajar silat ada la... Nak tengok ke?” Jawab Pak Usop selamba. Anak muda itu terkedu. Dia buat-buat pandang ke tempat lain.

“Pak cik, panjang orang beratur ni, janganlah potong queue,” seorang gadis cun bersuara lembut kepada Pak Usop.

Pak Usop tersenyum. Ada juga anak muda yang pandai bercakap seperti orang Melayu pure zaman sekarang. Lega dan berbunga hati Pak Usop.

“Pak cik bukan nak potong barisan anak manis. Pak cik cari barang pak cik yang hilang,” Pak Usop memberitahu niat sebenarnya.

“Apa yang hilang pak cik?” Tanya gadis cun.

“Tuala pak cik nak,” beritahu Pak Usop.

“Macam mana boleh hilang kat sini pula?” Gadis cun bertanya lagi. Pemuda berambut biru dan ramai lagi yang sedang beratur masing-masing mendengar.

“Panjang ceritanya. Biar pak cik pendekkan,” Pak Usop duduk bersila di atas lantai lagak seorang penglipur lara dan mula bercerita.

“Alkisah, tadi aku sama-sama beratur di sini. Dari pukul 6 setengah pagi lagi aku dah mula beratur. Aku pun nak bayar saman sebelum nama aku kena blacklist. Walaupun blacklist tak sebahaya black metal. Tetapi ianya cukup untuk membuatkan aku jadi mental,” Pak Usop berhenti sambil mengeluarkan rokok gudang garam dan meletak ke bibirnya.

“Eh! Pak cik mana boleh hisap rokok, sini balai polis lah,” pemuda berambut biru menegur perlakuan Pak Usop.

“Kau diam kepala biru karat! Aku tau la... Saja nak test tahap sivik kau aje,” sergah Pak Usop sambil meletakkan balik gudang garam ke dalam poket bajunya. Pemuda berambut biru sekali lagi buat-buat memandang ke arah lain tetapi telinganya dipasang untuk mendengar kisah lanjut Pak Usop.

“Aku kena saman ekor di Lebuh Raya Pantai Timur, dekat Maran. Dalam saman tu katanya kelajuan aku naik motor 140 km sejam,” Pak Usop mula bercerita.

“Wuii.... Lajunya, pak cik ni merempit juga ke?” Sekali lagi pemuda berambut biru berlaku celupar.

“Woiii kepala biru karat, kau nak aku ajar kau sivik ke atau ajar kau silat? Kau apa tahu?... Lain kali kalau marhaen bercakap, apalagi marhaen saluran satu macam aku ni, kau mesti dengar. Barulah akal kau jadi panjang sikit. Sekali lagi kau menyampuk, aku paksa kau buat kuda-kuda kat sini sampai pukul empat karang,” Pak Usop membebel panjang kepada pemuda berambut biru yang kali ini betul-betul memandang ke arah lain. Tak sanggup dia bertentangan mata dengan Pak Usop. Orang lain yang ramai sedang beratur turut marah-marah kepadanya kerana masing-masing mahu mendengar cerita Pak Usop tanpa gangguan.

“OK, aku sambung, di mana kita tadi?” Pak Usop membetulkan silanya.

“Oh! Ya. 140 km sejam surat saman tu kata aku merempit. Betullah budak kepala biru karat ni kata tadi, ayatnya tu betul, merempit. Kalau dah naik motor 140 km sejam tu memang merempitlah tu. Aku orang tua, manalah aku larat nak pecut selaju itu. Aku tahulah highway tu jalannya elok, cantik, lurus. Tapi aku tak nak mencari risiko sia-sia dengan berbuat begitu. Aku tak nak mati di jalan yang lurus. Maksud aku, di highway yang lurus. Aku selalu berdoa lepas sembahyang untuk mati di jalan yang lurus. Maksudnya di jalan Allah, jalan Islam, jalan kebenaran. Bukan mati eksiden di highway yang lurus. Kau faham budak kepala biru berkarat?” Pak Usop dah mula mengenen pemuda berambut biru sebagai mangsa penceritaannya.

Pemuda berambut biru hanya mengangguk dengan penuh berminat. Diberanikan dirinya untuk bertanya.

“Wahai pak cik yang budiman, motor apa pak cik naik tu pakcik, berapa harganya?”

Pak Usop menjeling pemuda berambut biru, kemudian dia beralih menjeling kesemua orang. Akhirnya jelingannya melekat tepat kepada gadis cun. Lantas dia mencuba senyum semanis-manisnya. Dia berkhayal menunggang Honda CBR 900cc sambil membonceng gadis cun di belakangnya. Pasti dada gadis cun akan terpenyek ke belakangnya kerana dia semestinya akan membrek emergency seberapa kerap yang boleh.

Riang hatiku badan bertuah

Punya teman yang comel dan manja

Berjanji akan selalu bersama

Menemani ku sepanjang masa

 
Heh! Gatal betul orang tua ni. Lagu Basikal Tua Allahyarham Sudirman pula yang diingatinya. Lupa dia akan orang ramai yang tengah tercongok menunggu dia menghabiskan cerita.

“Aku ni menjual apam balik. Aku menjual di pasar-pasar malam. Hari ini pun aku ada buka gerai aku kat luar pagar balai polis ni. Selesai kamu semua bayar saman nanti, sila mampir ke gerai aku, ada diskaun untuk kamu semua. Ye lah kan, dah habis duit bayar saman, kenalah aku considerate sikit. Aku bagi diskaun 30 persen. Untuk gadis manis ni, pak cik akan bagi free sahaja,” kata Pak Usop.

“Terima kasih pak cik, nanti saya singgah,” jawab gadis cun. Ramah.

“Mana cerita tadi pak cik? Potong stim betul, iklan pulak dia ni...” Pemuda berambut biru rupanya tidak sabar mendengar cerita Pak Usop.

“Kau!” Sergah Pak Usop sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah pemuda berambut biru. Sebenarnya dalam hatinya gelak sakan melihat pemuda berambut biru yang jadi tak keruan dan gelabah sejak tadi setiap kali disergah olehnya. Maklumlah dulu-dulu di sekolah Pak Usup ni kaki buli.

“Tadi bukan iklan, ada kaitannya dengan cerita aku. Aku jual apam balik dengan motor roda tiga. Itulah satu-satunya means of transportation aku,” rupanya Pak Usop ni boleh tahan juga English Vacabularynya.

“Dan.... Motor roda tiga itulah yang kononnya merempit dekat Maran, di highway tu. Itulah yang aku musykilkan. Satunya, aku tak pernah bawa motor aku tu ke sana. Paling jauh pun setakat Gombak je aku pergi. Kedua, kalaulah ada orang lain, bini aku ke, nenek aku ke, jiran aku ke yang bawak motor tu tanpa pengetahuan aku, takkanlah sampai 140 km sejam deme tu lanyak motor cabuk tu. Speedometer motor itu pun baru 120 km sejam saja,” semua yang mendengar terdiam sambil menggeleng-gelengkan kepala. Kesian.

“Inilah yang aku hangat dan hangin sangat pasal saman ekor ni. Orang lain buat silap, tuan motor yang kena. Orang pakai nombor palsu, tuan nombor ori yang kena. Orang pinjam motor kita, kita kena tanggung risiko. Itulah sebabnya aku tak nak bayar pada mulanya. Tetapi bila dah time nak renew roadtax, aku terpaksalah beralah. Kalau tidak macam mana aku nak berniaga tanpa motor tu. Hangus RM300 duit aku. Kau orang tahu berapa hari aku jual apam balik nak dapat duit banyak tu?” Soalan Pak Usop meluru deras ke arah pemuda berambut biru.

“Tak tahu pak cik,” wajah pemuda berambut biru berubah comel apabila bercakap jujur dan ikhlas begitu.

“Bila aku nak bayar, kena beratur panjang dan lama pula. Tapi, mujurlah bini aku peminat buku-buku motivasi. Dia kata, abang kita buka gerai apam balik luar balai polis. At least tak tersia masa beratur panjang abang tu, dan dapat juga ganti sedikit sebanyak duit 3 ratus abang yang melayang tu,” beritahu Pak Usop sambil tersengih.

“Wow, rock lah isteri pak cik,” pemuda berambut biru mencelah.

“Haa...Baru kau tahu, kau jangan pandang aku takde mata budak kepala biru karat. Dulu bini aku pun berambut biru macam hang juga. Punk. Aku pun bertindik sana-sini juga. Tapi itu dulu la. Benda-benda jahiliyah ini tak payahlah kita nak hidupkan balik. Bukan budaya orang Islam pun,” Pak Usop membuka rahsia sekaligus menasihat.

“Dari pukul 6 setengah, pukul sebelas lebih baru aku dapat bayar. Selesai bayar, sampai kat luar pagar, dekat gerai apam balik motor roda tiga aku, baru aku terperasan tuala yang selalu tersangkut kat leher aku dah hilang. Tuala tu walaupun kotor, hodoh, tetapi ianya bagai bantal busuk bagi aku. Ni yang aku cari terbongkok-bongkok ni. Bukan aku nak potong queue!” kuat betul ayat yang terakhir Pak Usop tekankan. Sengaja nak bagi pemuda berambut biru kembali gelabah.

“Maafkan saya pak cik kerana tersilap sangka. Warna apa tuala pakcik tu?” Pemuda berambut biru meminta maaf sekaligus bertanya.

“Tuala good morning. Nak kata putih, dah kelabu asap dah,” beritahu Pak Usop.

“Pak cik, ni mesti tuala pak cik, saya jumpa tersangkut di cermin naco. Mesti ada orang letak kat situ bila terjumpa,” seorang gadis yang lebih cun daripada gadis cun tadi tiba-tiba datang menghulurkan sehelai tuala good morning kusam kepadanya.

Ucapan terima kasih Pak Usop tersekat di kerongkong apabila matanya terpaku melihat gadis lebih cun bertudung merah yang tiba-tiba muncul itu. Pak Usop ringan merasakan dirinya terbang dibawa ke konsert Malam Amal Palestin Wali Band di Stadium Sultan Muhammad ke IV sempena tahun baru 2011 baru-baru ini.

aku telah lelah

memilih memilih mencari wanita

siapakah dirinya

yang kan menjadi kekasih halalku

tiba-tiba aku terpana

ada kejutan tak terduga

dia gadis berkerudung merah

hatiku tergoda tergugah

tak cuma parasnya yang indah

dia baik dia soleha

Dia gadis berkerudung merah

bawalah diriku padanya

takkan habis ku berdoa

jadi kekasih halalnya

jadikan diriku halal

memeluk halal menciummu

lekaslah jangan tunda

untuk menjadi kekasih halalku

itu itu dia gadis berkerudung merah

hatiku tergoda tergugah

tak cuma parasnya yang indah

dia baik dia soleha

 
“Ada tanda ‘Y’ dengan marker ni. Betulkan, tuala pak cik?” Gadis lebih cun bertudung merah itu bertanya.

“Ya, cik adik. Pak ciklah pemuda ‘Y’ itu. ‘Y’ for Yusuf, nama pak cik,” pengakuan sukarela Pak Usop membuatkan gadis lebih cun bertudung merah, gadis cun dan orang lain termasuk pemuda berambut biru mengekek ketawa.

“Terima kasih semua kerana menemukan aku dengan tuala good morning aku ini. Banyak jasa tuala good morning ini kepada aku. Terlalu banyak DNA aku yang telah terlekat padanya,” kenyataan Pak Usop membuatkan orang ramai ngeri, terutama gadis lebih cun bertudung merah dan gadis cun. Eiiiii..... Menyedari itu, Pak Usop cepat-cepat membuat penjelasan.

“DNA, I mean Darah & Air mata tuan-puan. Keringat dan jerih-perih aku membanting tulang empat kerat menjual apam balik yang kadang-kadang bila hujan tak balik modal,” penerangan Pak Usop melegakan orang ramai.

Pak Usop mula hendak beredar, ke gerai apam baliknya di luar pagar balai polis sudah semestinya. Tiba-tiba dia berhenti, betul-betul di hadapan pemuda berambut biru.

“Kamu kepala biru karat. Buang saja warna biru tu. Buat malu je. Nanti kalau berhadas besar, takut-takut terhalang pula air nak ke rambut. Takkan kamu tak mandi wajib. Tak nak sembahyang. Bukan ada apa-apa yang kamu boleh simpan pun kalau tak mandi wajib. Kalau kamu belum kahwin pun, kita orang lelaki ni kadang-kadang termimpi benda pelik-pelik, kena mandi juga. You know what I mean,” ikhlas nasihat Pak Usop kepada pemuda berambut biru. Nasihat yang jelas dari pengalamannya sebagai seorang lelaki otai.

“Dan cik adik, anda juga dijemput ambil apam balik free dari gerai pak cik nanti ye,” sempat pula Pak Usop berpesan kepada gadis lebih cun yang berkerudung merah.

The End.


Jika anda tergelak, anda kena undi di Kisah Klasik Kita. Kah kah kah.

10 comments:

  1. alamak..sib baek gue cukup umo baca bende nih!

    ReplyDelete
  2. chereta chenta,

    ini cerita PG je...mana ada X atau XL.

    ReplyDelete
  3. kenapa Pak Ucop bayar jugak saman tu? patutnya boleh buat rayuan untuk batalkan saman tu..

    ReplyDelete
  4. abemae,
    ye juga ye.
    kalau sambung lagi cerita ni, mesti akan muncul gadis yang terlebih-lebih cun. mental pak ucop nanti haha

    ReplyDelete
  5. salam cikli,
    Wahhhh menarik2, semakin mantap yg penulisan tuan.Boleh jadi sasterwan terbilang ni, . Sy undi ya...... Tahniah tuan.

    ReplyDelete
  6. Hahahaa..bagus2..memang mengancam...ape2 pun alam kenal...

    ReplyDelete
  7. cikgu,
    terima kasih kerana undi.

    ReplyDelete
  8. fadzli amir,
    salam kenal, terima kasih.
    blog anda sungguh nostalgik.

    ReplyDelete
  9. ha ha lawak tapi ada makna tu...

    ReplyDelete
  10. anonymous,
    makna untuk yang suka dan hendak berfikir. terima kasih kawan.

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...