Sunday, February 15, 2009

Jadi Bisa, Kerana Sudah Biasa

Hanya ingin berkongsi email yang diterima daripada seorang kawan.
***
Assalaamu'alaikum, saudara-saudariku...
Pernahkah anda bayangkan bila pada saat kita berdoa, kita mendengar ini:
"Terima kasih, anda telah menghubungi Baitullah.
Tekan 1 untuk 'meminta'.
Tekan 2 untuk 'mengucap syukur'.
Tekan 3 untuk 'mengeluh'.
Tekan 4 untuk 'permintaan lainnya'."
Atau....
Bagaimana jika Malaikat memohon maaf seperti ini:
"Saat ini semua malaikat sedang membantu pelanggan lain. Tetaplah sabar menunggu. Panggilan anda akan dijawab berdasarkan urutannya."
Atau, pernahkah anda bayangkan bila pada saat berdoa, anda mendapat respons seperti ini:
"Jika anda ingin berbicara dengan Malaikat,
Tekan 1. Dengan Malaikat Mikail,
Tekan 2. malaikat lainnya,
Tekan 3. Jika anda ingin mendengar sari tilawah saat anda menunggu,
Tekan 4. Untuk jawapan pertanyaan tentang hakikat syurga & neraka, silahkan tunggu sampai anda tiba di sini!!"
Atau mungkin juga anda mendengar ini :
Sistem kami menunjukkan bahawa anda telah satu kali menelefon hari ini. Silakan cuba lagi esok."
atau...
Pejabat ini ditutup pada hujung minggu. Sila hubungi semula pada hari Isnin selepas pukul 9 pagi."
Alhamdulillah... Allah SWT mengasihi kita, Anda dapat menelefon-Nya setiap saat!!! Anda hanya perlu untuk memanggilnya bila-bila saja dan Dia mendengar anda. Kerana bila memanggil Allah, tidak akan pernah mendapat talian sibuk. Allah menerima setiap panggilan dan mengetahui siapa pemanggilnya secara peribadi.
Ketika anda memanggil-Nya, sila gunakan nombor utama ini: 24434
2 : solat Subuh
4 : solat Zuhur
4 : solat Asar
3 : solat Maghrib
4 : solat Isya
Atau untuk lebih sempurna dan lebih banyak afdhalnya, gunakan nombor ini : 28443483
2 : solat Subuh
8 : solat Dhuha
4 : solat Zuhur
4 : solat Asar
3 : solat Maghrib
4 : solat Isya
8 : Solat Tahajjud atau lainnya
3 : Solat Witir
Maklumat terperinci terdapat di Buku Telefon berjudul "Al Qur'anul Karim & Hadis Rasul" Talian terus , tanpa Operator tanpa Perantara, tanpa bil. Nombor 24434 dan 28443483 ini memiliki jumlah talian hunting yang tak terhingga dan dibuka 24 jam sehari 7 hari seminggu 365 hari setahun!!!

Sabda Rasulullah S.A.W : "Barang siapa hafal tujuh kalimat, ia terpandang mulia di sisi Allah dan Malaikat serta diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih laut"
7 Kalimah Allah:
1. Mengucap "Bismillah" pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

2. Mengucap "Alhamdulillah" pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.

3. Mengucap "Astaghfirullah" jika lidah terselip perkataan yang tidak patut.

4. Mengucap "Insya-Allah" jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.

5. Mengucap "La haula wala kuwwata illa billah" jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.

6. Mengucap "inna lillahi wa inna ilaihi rajiun" jika menghadapi dan menerima musibah.

7. Mengucap "La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah" sepanjang siang dan malam sehingga tak terpisah dari lidahnya.
Dari tafsir Hanafi, mudah-mudahan ingat, walau lambat-lambat...mudah-mudahan selalu, walau sambil lalu... mudah-mudahan jadi bisa, karena sudah biasa.
Amin....
Wassalaamu'alaikum...
.

Saturday, February 14, 2009

Hikayat Mamak Bendahara Yang Bijaksana


Dihikayatkan tersebut kisah seorang Datuk Mamak Bendahara yang termasyhur di Negeri Pasir Dua Lori. Adalah Datuk Mamak Bendahara teramat bijak dan pandai dalam urusan pemerintahan negeri. Pendek kata, al-Sultan teramatlah senang hati dan goyang kaki kerana kepro-aktifan dan kecelikaan Datuk Mamak Bendahara mentadbir hal ehwal negeri.

Sudahpun halnya begitu, baginda menjadi teramatlah sayang dan percaya kepada Datuk Mamak Bendahara walaupun hakikatnya bukanlah seperti harapan al-Sultan. Datuk Mamak Bendahara selalu juga terlibat dalam penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan diri dan kroni.

Tidak sedikit pembesar istana yang menaruh dengki dan berniat khianat kepada Datuk Mamak Bendahara. Yalah, sama-sama berbuat jahat, tetapi Datuk Mamak Bendahara asyik terlepas. Jika ada yang mengadu kepada al-Sultan, ada-ada saja jawapan konkrit daripada Datuk Mamak Bendahara.

Datuk mamak Bendahara walaupun sudah beranak 18 dan beristeri 3, tetapi masih bernafsu akan dia untuk berasmaradana. Disebutkan bahawa Datuk Mamak Bendahara telah terjatuh hati kepada salah seorang dayang istana. Sang Jelita Ayu gerangan nama dayang tersebut.

Datuk Mamak Bendahara digossipkan selalu berjumpa dengan Sang Jelita Ayu. Perkara ini sememangnya adalah open secret di kalangan pembesar istana.

Maka ber’retreat’lah para pembesar untuk mencari ikhtiar bagaimana mahu memberitahu Baginda al-Sultan dan sekaligus menyingkirkan Datuk Mamak Bendahara. Setelah berbrainstorming 3 hari 2 malam, akhirnya para pembesar mendapat kata sepakat. Kali ini mereka yakin rancangan mereka akan berjaya.


Plan berjalan lancar. Malam yang ditunggu-tunggu telah tiba.

Jeng ..... jeng ....... jeng


Cerita di atas tidak kena mengena dengan mana-mana individu, lemah ataupun berpangkat. Dinukilkan semula oleh penulis daripada cerita asal yang telah didengar dan sebagai hiburan dan pengajaran semata-mata. Jika ada yang masih hidup terasa, anggaplah sebagai suatu kebetulan dan lumrah hidup. Jika ada yang dah mati terasa, bermakna dia belum meninggal dunia. Boleh bertaubat lagi.

Friday, February 13, 2009

Ayahku



Gara-gara dipilih untuk menerima wang zakat, arwah ayah tak boleh pergi menoreh selama 3 hari. Ini berlaku lama dulu.

2 hari ayah terpaksa hadiri rehearsal. 1 hari terima betul-betul. Wang zakat RM100 atau RM150 dan sehelai sejadah. Lebih daripada pendapatan menoreh ayah selama 3 hari.

Wang zakat telah disampaikan oleh Sultanah. Itu yang kena berlatih step betul-betul, angkat sembah dan sebut daulat tuanku betul-betul.

Dapat juga ayah bertemu mata dengan Raja yang selama ini didoakannya setiap minggu dalam khutbah Jumaat.

Ayah memang best. Al-Fatihah.
.

Wednesday, February 11, 2009

Musang Berjanggut : The Sequel


Arakian maka Raja Alam Shahbana pun menyerahkan tampuk pemerintahan Negeri Pura Chendana kepada Tun Nila dan Permaisuri Puspawangi. Tun Nila lalu menggelarkan dirinya Sultan Nila Alam Shah.

Barisan penasihat Raja Alam Shahbana iaitu Datuk bendahara, Datuk Bentara Mangkubumi dan Datuk pujangga juga turut mengambil pencen 58 tahun kecuali Datuk Nikah Kawin yang masih bertegas mahu menyambung kontrak walaupun sudah melewati umur 60 an. Lepas 2 tahun, sambung. Lepas 2 tahun, sambung. Seakan-akan menggambarkan Negeri Pura Chendana kekurangan alim ulama dan bijak warak pelapis.

Sultan Nila Alam Shah amat dikasihi rakyat jelata kerana kebaikan dan kebijaksanaanya. Apalagi dengan hadirnya Permaisuri Puspawangi yang bijak rupawan dan pandai mengambil hati hamba rakyat.

Suatu hari yang kurang ceria, Baginda Sultan bertolak ke Negeri Bulan Gerhana kerana Permaisuri terlalu amat mahu berjumpa dengan kekanda sepupu Baginda yang tinggal di situ.

Maka berangkatlah Baginda Sultan dan Permaisuri dengan rombongan baginda yang terdiri daripada Datuk Seri Bendahara, Datuk Bentara Mangkubumi, Datuk Pujangga dan Datuk Nikah Kawin beserta dengan pengawal-pengawal Istana.

Setelah 2 hari meredah denai dan belantara, akhirnya rombongan Baginda sampai di sebatang sungai. Lalu baginda Sultan menitahkan supaya berhenti rehat. Yang sebenarnya Baginda Tuanku berasa sakit perut dan terlalu amat mahu ‘melepas’. Maklumlah 2 hari bermusafir asyik makan sardine dan makanan tin ‘yeos’ sahaja.

Sewaktu rehat, Baginda Sultan pun turun ke sungai melepas hajat. Selesai istinjak, tiba-tiba baginda ternampak sesuatu berbentuk ladam kuda kekuning-kuningan terapung-apung dihanyut air sungai dari arah hulu sungai. Berkejar-kejaran ladam kuda kuning tadi dengan ladam kuda kuning kepunyaan Baginda yang baru dilepaskan. Darah Baginda tak semena-mena menjadi panas dan tercabar.

“Cis... Najis dugong ! Ini terang-terangan menghina beta. Siapa yang qada hajat di hulu sungai?”

Sekelian ahli rombongan terkejut beruk dengan perubahan mendadak Sultan Nila Alam Shah. Biasanya baginda tak pernah temper atau hilang cool di hadapan hamba rakyat.

“Hamba mana yang berani melepas di sungai yang sama dengan beta?”

“Ampun tuanku, beribu-ribu ampun kuasa tiga. Patik pacal yang hina terasa amat sakit perut tadi tuanku. Maklumlah patik termakan julap,” Datuk Seri Bendahara tiba-tiba bersuara.

“Tuanku!” Datuk Bentara Mangkubumi dan Datuk Pujangga bersuara serentak.

“Nampaknya Datuk Seri Bendahara telah terang-terangan menghina Tuanku. Kami tidak percaya dia lagi Tuanku. Halau dia!” Datuk bentara Mangkubumi meneruskan permainan batu api. Memang dia sudah lama berhajatkan jawatan Bendahara. Datuk Pujangga hanya tumpang senyum. Sial sungguh, kata penulis.

“Ampunkan patik pacal yang hina Tuanku. Bagilah peluang kepada patik,” Datuk Seri Bendahara yang jujur dan anti-rasuah merayu bersungguh-sungguh.

“ Datuk Nikah Kawin, apa pendapat Datuk?” Tuanku Sultan mengarah kepada Datuk Nikah Kawin yang masih sengap dari tadi.

Lega benar hati Datuk Seri Bendahara kerana Baginda Sultan menanyakan pendapat Datuk Nikah Kawin. Datuk Nikah Kawin ilmuan agama, dia mesti berhujah mengikut syarak. Keadilan pasti tertegak. Nasib Nampak menyebelahinya.

“Ini perbuatan durhaka Tuanku!” Datuk Nikah Kawin menghamburkan kata-kata.

Bagai disambar petir lagaknya Datuk Seri Bendahara. Terlopong mulutnya. Adakah Datuk Nikah Kawin telah melompat ke kem Datuk Bentara Mangkubumi. Atau memang Datuk Nikah Kawin selama ini memang tidak menyukainya?

“Tuanku. Mengikut undang-undang Pura Chendana, rakyat dan Sultan adalah di kedudukan yang berlainan. 2 darjat yang berbeza. Oleh itu, patik tetap megatakan ini satu perbuatan durhaka,” Datuk Nikah Kawin berhujah dengan satu tangan di dada dan satu tangan memegang tasbih.

“Bendahara! Serahkan segala darjah kebesaran milik mike. Mulai hari ini mike dipecat!”

Berdesing muka Datuk Seri Bendahara. Dilihat wajah Sultan, baginda melihat ke arah lain sambil bercekak pinggang. Ditenung muka Datuk Bentara Mangkubumi dan Datuk Pujangga. Semuanya macam sial tersengih-sengih. Dipandang wajah Datuk Nikah kawin untuk simpati, tetapi Datuk Nikah Kawin buat-buat tidak tahu sambil menjuih bibir. Gelap rasanya dunia Datuk seri Bendahara.

Dialih pandangan pada sekelian pengawal yang ada, ternampak sokongan dan simpati dari wajah-wajah mereka. Ada yang menunjukkan jari tanda ‘peace’. Ada yang menggeleng-geleng kepala. Tak sangka Sultan kesayangan mereka Nila Alam Shah boleh bertidak sedemikian. Semangat sikit rasanya Datuk Seri Bendahara melihat sokongan yang ada.

“Kekanda!”

Tiba-tiba terdengar panggilan dari dalam khemah. Permaisuri Puspawangi keluar dan merapati baginda Sultan. Sedari tadi Permaisuri hanya asyik mendengar kekecohan yang berlaku.

“Wahai kekandaku Baginda Sultan Nila Alam Shah yang bijaksana. Adinda tidak Nampak apa jua kesalahan pun yang telah dilakukan oleh Yang Setia Datuk Seri Bendahara. Apa lagi mendurhaka.....” Permaisuri Puspawangi yang bijak memulakan hujah.

“Apa maksud dinda?”

“Sebenarnya Datuk Seri Bendahara seorang yang amat perihatin. Sedangkan Tuanku begitu ramai pengiring ke mana jua Tuanku pergi. Begitu juga dengan taik Tuanku. Mesti ada pengiring juga.....”

Sekian adanya. TAMMAT.
.
Gambar ehsan Abeja's Photostream.
***
Cerita ini tidak directly kena mengena dengan mana-mana individu, lemah ataupun berpangkat. Dinukilkan semula oleh penulis daripada cerita asal yang telah didengar dan dilihat sebagai hiburan dan pengajaran semata-mata. Jika ada yang masih hidup terasa, anggaplah sebagai suatu kebetulan dan lumrah hidup. Jika ada yang dah mati terasa, bermakna dia belum meninggal dunia. Boleh bertaubat lagi.
.

Tuesday, February 10, 2009

Dari Bukit Gantang Ke Bukit Chandan



Sebaik-baik perencana ialah Allah S.W.T.

Di saat media arus perdana cuba mengalihkan isu di Perak daripada isu pencabulan demokasi kepada isu penderhakaan kepada Raja. Allah menyelamatkan rakyat Perak dan Sultannya yang sentiasa dikasihi dan didoakan setiap kali khutbah Jumaat.

Perancangan Allah bakal menemukan semula perlawanan 2 musuh politik di gelanggang yang sebenar. Perlawanan sebenar di gelanggang yang sebenar. Bukan perlawanan di antara pemain dan pengadil. Bukan perlawanan di antara pemain dengan pengawal keselamatan stadium. Ia adalah perlawanan antara pemain dan pemain sebagaimana sepatutnya.

Perlawanan yang boleh digunakan oleh kedua seteru untuk menyampaikan mesej kepada pengadil bahawa merekalah pasukan pilihan ‘kejo yop kejor’ di Perak.

Di gelanggang ini rakyat ramai boleh menyatakan rasa hati mereka tanpa perlu menahan pedih gas pemedih mata. Tanpa perlu berselindung di dalam masjid persis dihambat Tsunami. Tanpa perlu merempuh perisai FRU. Tanpa perlu berbaring di atas jalan sambil memegang bendera Palestin.

Usah peduli karenah SPR, SPRM, PDRM, TV1, TV2, TV3, NTV7, TV9, Awani, News@Bernama, Aljazeera, Tamil Nesan, Tamil Elam, JKKK, Utusan, BH, pangkah saja parti pilihan masing-masing. Tiada water cannon jika anda tidak mengundi BN dan tiada penyepak dan gari jika anda mengundi PR.

Perancangan Allah telah tersurat sejak azali. Makhluk maut Allah telah menemui MP Bukit Gantang dalam keadaan beliau sedang sarat menyokong agama Allah. Alhamdulillah. Semoga Allah menerima perjuangan beliau menegakkan agama Allah sebagai jihad yang memberi Syurga.

Kembalinya YB Roslan Shaharum ke Rahmatullah memaksa BN Umno kembali keluar dari persembunyian di sebalik tabir kuning dan di sebalik tv dan radio dan surat khabar arus perdana. BN Umno terpaksa keluar berdepan semula dengan marhain di Bukit Gantang, bukan penguasa di Bukit Chandan.

Bukit Gantang terlalu istimewa. Pada PRU11 2004, Calon Pas, Dr. Lo Lo tewas kepada Calon BN Gerakan dengan peratusan keluar mengundi yang mungkin terendah di Malaysia pada masa itu iaitu 51%. Lebih rendah daripada peratus pengundi Melayu di situ iaitu 63%.

PRU12 2008, 73% pengundi Bukit Gantang keluar mengundi dan majoritinya menolak calon BN Umno dan memilih Almarhum Roslan Shaharum.

Sekarang, terpulang kepada pengundi Bukit Gantang untuk menghantar mesej demokrasi mereka ke Bukit Chandan.

Pengundi Bukit Goh, Bukit Peraksi, Bukit Garam, Bukit Bintang, Bukit Katil, Bukit Tursina, Bukit Raya, Bukit Bendera, Bukit Merah, Bukit Fraser, Bukit Tiu, Bukit Tinggi, Bukit Sireh, Bukit Panau, Bukit Raja, Bukit Kayu Hitam, Bukit Padang hanya boleh berkempen dan tolong meramaikan sahaja.

Al-Fatihah untuk YB Roslan Shaharum.
.

Monday, February 9, 2009

Politik Katak



Pernah terserempak katak mengawan?

Musim banjir banyak katak yang mengawan. Kita mudah terserempak kerana mereka mengawan tak kira tempat. Lepas tu apa berlaku di keliling, mereka tak ambil pusing. Lembu kenyang pun tak macam tu.

Baru-baru ini semasa rumah mak saya dinaiki air banjir, saya terserempak se’couple’ katak sedang mengawan. Daripada air sekaki nak cecah lantai rumah, sehinggalah air masuk rumah mak saya separas buku lali. Si katak tadi masih begitu.

Hiruk pikuk orang memunggah barang tak dihirau dan dipeduli. Janji matlamat dia tercapai. Memang binatang tiada akal.

Bila habis punggah barang, saya berkata kepada emak,

“Pemimpin sekarang pun macam katak tu la. Orang cakap gajah rimau pong, susah ke, payah ke, barang mahal ke, apa ke....macam tu juga keputusan yang dibuat”, Emak hanya diam.

Krisis yang berlaku sekarang di Perak pun bagi saya adalah kerana pemimpin bersikap katak mengawan. Tak peduli apa asalkan mereka puas. Hiruk pikuk, helter skelter sekeliling lama-lama hilanglah sendiri. Polis ada, FRU ada, SB ada. Mereka pandailah ikut arahan. Melayu mudah lupa dan mudah sejuk, sebulan dua macam biasa balik.

Media pula jalankan aktiviti katak panggil hujan. Semua bising. Spin sana, spin sini. Deceive sana, deceive sini. Lapor apa yang mengikut nafsu sahaja. Panggil professor, professor kangkung, professor batang julluk sama-sama diskas. Di tv1, tv2, tv3, tv9, Awani, Ikim.fm, Klasik.fm, semua fm. Semua senada macam katak panggil hujan.

Surat khabar pun sama. Senada panggil hujan. Ong..Ong..Ong.. Lama-lama orang akan terima dan percaya.

Rakyat pula masih ramai yang bersikap katak di bawah tempurung. Orang yang sehariannya hanya baca Utusan dan Berita Harian. Tengok tv pun 1,2,3,7,9. Memang katak di bawah tempurung. Tiada berita alternative. Tiada second opinion.

Di Kelantan, terdapat 2 jenis binatang yang tiada species betina. Semuanya jantan iaitu pak ko (sesumpah) dan pak katak. Tak ada mak ko dan mak katak.

Saintis perlu segera ke Perak kerana seekor mak katak telah dijumpai. Elok di ‘preserve’ sebelum pupus.
.

Saturday, February 7, 2009

Awi


Semasa sedang sibuk buat wiring di atas tangga di sebuah premis milik kerabat Pahang, Awi kawan adikkku dikejutkan.


"Turun. Turun cepat. Tengku datang tu!"


"Bakpo?"


"Demo dok tinggi tu, Teku *** nok lalu... turunlah", bersungguh-sungguh kawan tu suruh Awi yang nampak keberatan.


"Peduli apa aku. Raja aku Sultan Semail, Sulte Kelate", Awi dengan selamba meneruskan kerja.


Kawan adikku itu bukan Awie Wings, juga bukan Abang Awie Kapten Boleh Astro Ceria. Dia Awi biasa yang makan di pinggan, minum di cawan. Tetapi philisophynya ada kebenaran dan sedang berlaku sekarang.


Melihatkan situasi di Perak. Rakyat Perak mungkin tak sior mempersoalkan Raja mereka. Nanti Muhyidin, Shabery Chik dan Azalina marah kerana menderhaka katanya.


Yang dok persoal, komen, komplen tu adalah rakyat negeri lain, atas dasar rakyat negara beraja demokrasi berparlimen Malaysia. Takkan rakyat Melaka, Sabah dan Johor derhaka pada Sultan Perak pulak.
.

Well, Awi kawan adikku, selepas 12 tahun, kawe dapat mesej yang demo telah cuba sampaikan. Bercukupanlah dalam menghormati orang lain dan merendahkan diri kita sendiri. Semuanya akan meniti titian sirat seperti kata Pokmudo dalam komennya.


Allah selamatkan Palestin, Allah selamatkan Perak.
.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...