Monday, January 31, 2011

PISANG

Jangan buruk di tandan
Adakah di mana-mana pun di negara Islam di dunia ini pisang diletakkan di surau-suarau dan masjid-masjid sebelum sembahyang Jumaat?

Apakah asebab candu pisang ini yang akhirnya melahirkan generasi pemimpin pisang di kalangan umat Islam?

Pemimpin-pemimpin ini bagaikan pisang. Bukan kerana mereka lemak manis berbahasa atau sasa tegap bengkok macam pisang! Bukan!

Tetapi sikap mereka yang tak mahu turun ke bawah walaupun tidak diperlukan lagi. Mereka sanggup kejap macam pisang dijawatan mereka walaupun sesetengah mereka sudah tiada lagi trick dan teknik rasuah yang belum mereka cuba dan sempurnakan. Mereka sanggup buruk dan layu terkulai di tandan atau batang pokok. Semacam buah pisang dan pelepah pisang. Mereka tidak akan jatuh, luruh atau turun sendiri. Mereka perlu dicantas buang dengan sabit.

Bekas PM kita dulu, bila ada yang menyabitnya, barulah dia turun. Itupun seperti meroyan mahu naik lagi.

KM Sarawak, walaupun dikritik hebat, bukan mahu turun dia, makin naik adalah. Menjadi-jadi naiknya. Sampai ke Lubnan dia mencari bini. Terbukti jua kepisangannya.

Hosni Mubarak. Dah la jahat, zalim. Masih bertahan pisang tak mahu turun. Cukuplah tu. Sabit sudah di tangan rakyat.

Di Malaysia pun ada Mubarak yang diketuai oleh seorang presiden Mubarak. Mubarak ialah Majlis bekas wakil rakyat Malaysia.  

Sunday, January 30, 2011

Kitaran Politik di Malaysia

Getah punya susu, Mat maslan
dapat nama
Orang kita mudah termakan isu yang bukan isu. Ertikata lain, mudah diperbodohkan atau dilembukan. Bukan kerana terlebih menonton sinetron Indonesia, tetapi kerana media kita sendiri.

Di PRK Manik Urai, calon Pas diejek puak Umno kerana tiada kelulusan akademik yang tinggi. Beliau hanya peniaga ikan. Jenuh puak Pas menepis kiri-kanan, atas-bawah mempertahankan calonnya yang walaupun tak masuk U tetapi dah lama pakai Mercedes.

Di PRK Galas, tiba-tiba Umno pula yang meletakkan calon yang tidak habis mengaji. Puak Pas memulangkan paku buah keras mengejek calon Umno yang lebih tebal misai daripada sijil itu. Juak Umno pula mencari jalan dan akhirnya menggelar calon Pas yang berkelulusan doktor sebagai 'gemok'. Macam budak kecik main gelar menggelar.

Di PRK Tenang, entah Umno dah lupa sejarah agaknya, calon yang Umno sabungkan susuk tubuhnya tidak berbeza dengan calon Pas di Galas dahulu. Sedangkan Pas pula mencalonkan Muslimah yang sedap dan sejuk mata memandang. Tiada pula isu gemok atau obese dimainkan di Tenang. Yang ada hanyalah isu bersalam lelaki perempuan.

Di PRK Merlimau selepas ini, siapa tahu, mungkin Umno pula yang akan mencalonkan seorang wanita yang sedap mata memandang. Atau mungkin seorang cikgu. Cuma yang pastinya Pas tak akan sesekali mencalonkan individu yang pernah dikaitkan dengan kes menipu atau makan rasuah.

Satu lagi, janganlah pula ada MB atau Exco Pas yang pandai-pandai turun menoreh getah orang.

Saturday, January 29, 2011

'ujian soilek' untuk anda

Jangan biarkan hati dan minda anda
dimangga solex
Sila jawab soalan di bawah dengan Tenang dan Terbuka hati.

1. Politik pada anda?


A. Kotor

B. Politik suku agama suku

C. Like it or not, you are involved

2. Exra-marital sex pada anda?

A. Kalau minta maaf pada bini dan mengaku salah, ok la. Nak apa lagi?

B. Pandai makan, pandailah simpan.

C. Harammmm

3. Sumber maklumat anda?

A. Tukar Tiub, Harakahdaily, sane bloggers ...

B. Berita Harian & Sinar Harian

C. Astro Awani

4. Harga bahan bakar kita.?

A. Kat Thailand lagi mahal bro...

B. Aku naik bas je

C. Lari budget gua bro. I have to do something ni....

5. Menteri kita mewah, apa pendapat anda?

A. Tak patut. Agak-agak la.

B. Rezeki dia.

C. Bukan dia ambik dari poket kita pun.

6. Ada menteri yang pergi menoreh masa pilihanraya kecil. Apa pandangan anda?

A. Nak kelepet orang kampong la tu

B. Hahahahahahahahahahaha only in Malaysia

C. Itulah berjiwa rakyat

7. Bolehkah menteri berbohong semasa pilihanraya?

A. Ante viar vetul. Vila masa fulak menteri ada vohong.

B. Bohong sunat takpe. Harusss....

C. Asal buka mulut je bohong. Nak cover line pegang hidung. Ceh...

8. Pendapat anda tentang hukum hudud?

A. Kita kan masyarakat majmuk. Nak bersalam pun pakai sarung tangan ke? Ekstrem betul.

B. Ini burung dalam cerita Nabi Sulaiman dan Balkis kan....

C. Kalau kita tak mencuri, tak berzina, takut apa. Meniru dalam periksa tak kena hudud.

9. Blog apa yang anda baca?

A. TT, Labun Kulup Sakah, Cina Islam, Laman Muhandis, Stesen Aman, Blog yang ada muka mamat yang sama setiap hari, Pakman Laksam, Wadi Kita, Out Loud, Puteri, Kisah Klasik Kita, Hasbullah Pit, Anak Itik Tok Wie, Brutalsolo, Redwarriors... banyak lagi bro.

B. Blog? Saya main Facebook je.

C. Blog ni banyak fitnah. Menteri pun dituduh rogol orang gaji. Hissshhhh.

10. Siapa akan menang PRK Tenang ni?

A. Kalau Pas menang pun apa perubahan dia boleh buat?

B. (Dengan nada takbur) Kalau Pas menang, akak cukur segala bulu yang wujud di tubuh badan akak ni.

C. 50-50

Pemarkahan:

Soalan 1: A-2, B-3, C-1

Soalan 2: A-3, B-2, C-1

Soalan 3: A-1, B-3, C-2

Soalan 4: A-3,B-2, C-1

Soalan 5: A-1, B-2, C-3

Soalan 6: A-1, B-1, C-3

Soalan 7: A-3, B-3, C-1

Soalan 8: A-3, B-2, C-1

Soalan 9: A1, B-2, C-3
Soalan 10: A-3, B-3, C-1



Score :

10 -  Anda cool. Celik politik, celik agama, celik isu, celik ekonomi, celik hati. Pendek kata anda pejam time tidur sahaja.

11 – 14 – Anda seorang yang bila masuk waktu pergi sembahyang. Masuk Ramadhan, anda berpuasa, ada pilihanraya anda mengundi untuk perubahan. Ustaz mengajar, anda dengar, tak faham, anda tanya. Pendek kata, anda insan biasa yang berketurunan baik-baik.

15 – 24 – Awas, anda ada sindrom soilek. Sikap self-censorship dan takambilpeduli anda akan menambahkan indeks rasuah negara ini. Masih belum terlambat untuk berubat. Ubatnya hanyalah dengan menggunakan otak setiap hari. Jangan biarkan orang lain berfikir untuk anda.

25 – 29 – Anda memang seorang yang soilek. Kalau anda rasa nak berubat dan berubah, bacalah buku banyak-banyak.

30 – Anda seorang soilek tegar. Anda dinasihatkan supaya kurang bercakap kerana jika anda buka mulut untuk bercakap, yang orang lain dengar hanyalah “ I am the man in the tape”. Nasihat untuk anda hanya satu, nasihatkan anak anda supaya tidak menjadi seperti anda.

Friday, January 28, 2011

Ada Apa Tok Guru Nik Aziz & Lim Kit Siang di Kuala Terengganu ?

Pagi tadi banyak kedapatan poster misteri di Bandar Raya Kuala Terengganu. Pelik juga. Tulisannya tiada. Yang ada hanya gambar Tok Guru MB Kelantan dan Ayah Lim Guan Eng. Berlatarbelakangkan warna korporat PAS, hijau putih.

Apa mesej yang nak disampaikan. Kabur.

Siapa punya kerja. Jelas.

Anda tafsirlah sendiri.

"If you don't read the newspaper, you're uninformed. If you read the newspaper, you're mis-informed."  - Mark Twain

"All I know is just what I read in the papers, and that's an alibi for my ignorance. " - Will Rogers


Di Paya Keladi, dekat eneh dengang Pasor Payang.

Di roundabout (roundambulat) Batu Bersurat, dekat Ladang

Dalang Bandor, dekat Bank Islang


Thursday, January 27, 2011

Anak Yang Soilek

2 orang budak menyambut birthday hari ini di Tenang.

Bapak budak A mengucapkan,

"Semoga menjadi anak yang soleh"

Bapa budak B mengucapkan,

"Semoga tidak menjadi anak yang soilek"

Nota: Kedua-dua bapak budak tu pengundi umno tegar sebelum ni.

Happy 8th Birthday Anakku

Evergreen

Semalam anak manja aku, Yong bertanya, "Abah, malar hijau tu apa?"

Soalan mudah. Dengan tenang aku menjawab.

Hari ni aku pula yang mendapat jawapannya dari blog Albanjari. Jawapannya ada di Tenang.


Mala Hijau

Tuesday, January 25, 2011

Sebatang Pokok Di Tenang

Daerah Tenang di Selatan Malaya tiba-tiba menjadi subur dan wangi.

Ayamnya menetaskan duit.
Pokoknya berbuah ringgit.
Lembunya mengeluarkan susu RON97.
Penorehnya bernama Mat Maslan.
Ikannya bersisikkan emas tulin.

Pendek kata rakyat Tenang aman makmur dan gumbira ria secara drastik. Apa saja yang dilempar, akan menjadi bernilai.

Seorang tukang sapu terjumpa sarung getah kecil pink di bawah tingkap sebuah hotel murah. Setelah dikuis-kuis, tukang sapu yang tidak pernah belajar biologi itu tiba-tiba menjadi mengerti apa itu DNA. Atas keperihatinannya, sarung getah kecil pink berDNA itu ditanam dalam sebuah lubang. Pada pemikiran si tukang sapu, tidak akan adalah penyakit berjangkit yang akan hinggap kepada sesiapa yang mungkin terpegang sarung getah kecil pink itu nanti jika dibiarkan merata.

Ibarat cerita dongeng Indonesia, tiba-tiba tumbuh pokok yang berdaun lebat di lubang tempat sarung getah kecil pink ditanam.

Apabila angin bertiup, daun-daun lebat yang ditiup desiran angin seakan berkata-kata dan bernyanyi. Jelas dan terang.

"I am the man in the tape...... I am the man in the tape.....I am the man in the tape...."

Sejak hari itu, Daerah Tenang tidak lagi tenang. Apalagi setelah tumbuh satu lagi pokok kecil junior di sebelah pokok asal itu. Juga berlagu dan bernyanyi...

"I am gonna be like you dad...You know I am gonna be like you.." (Macam lagu Cat In The Cradle la pulak).

Monday, January 24, 2011

Gap Analysis

Selepas punch-out pukul 5 setengah, perut rasa berkeroncong.

"Lil, jom minum," aku mengajak Khalil kawan seofis.

Kami pergi minum di warung berhampiran ofis. Aku order roti canai kosong dan kopi Radix mai secawan. Khalil order nescafe beng.

Kami berbual hal kerja. Lama. Lama. Lama.

"Lil, aku nak buat gap analysis la", aku membuka topik perbualan baru.

"Hang nak buat projek apa pulak ni?" Khalil bertanya. Antara minat dengan tidak.

"Bukan projek. Ni pasal warung ni....." Aku menggantung ayat.

"Awat warung ni?" Tanya Khalil lagi.

"Ye lah, hang tengok brader sebelah kita tu. Datang sama dengan kita. Sekarang dia dah basuh tangan. Dah habis roti canai dia. Yang aku punya tak sampai-sampai lagi.... Gap tu yang aku nak kaji, entah dia buat atau tidak roti canai aku," sahaja aku lepaskan perasaan, gap analysis yang menjadi mangsa. Maklumlah perut aku berkeroncong. Lunch tadi tak makan.

Entah macam mana aku jadi sabar hari ini. Akhirnya roti canai aku sampai dikala brader sebelah tadi agaknya dah sampai rumah pun.

Hmmm....Sedih betul Melayu berniaga.

Sunday, January 23, 2011

Tuah Si Jahil


"Huih....Popular betul la Facebook ni, kat hutan macam ni pun ada lambangnya merata-rata," tiba-tiba suara Si Jahil memecah kesunyian.

"Woi mangkuk! Itu lambang Felda lah," kawan Si Jahil cepat-cepat membetulkan fakta.

"Ye ke....Kalau macam tu aku nak apply jadi orang besar kat sana lah," kata Si Jahil.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah Si Jahil pun nampak di kaki. Sekali apply terus dapek...

Sabda Rasulullah SAW,
“Tunggu saat kehancuranannya, apabila amanah itu disia-siakan!”
Para sahabat serentak bertanya,
“Ya Rasulullah, apa yang dimaksudkan menyia-nyiakan amanah itu?”
Nabi SAW menjawab,
“Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggu saat kehancurannya”
(HR. Bukhari).

Saturday, January 22, 2011

Fatwa Engineer

Salam,

Ate, orang Perak ni suka berfatwa ke? Engineernye berfatwa, orang agamanye lagilah memang tugas depa.

Kali ni khabarnya Ir. Nizar pula berfatwa. Undi Umno Haram katanya. Terkejut Muhyiddin dan segala orang. Bukankah Harus mengundi Umno? Atau Sunat Muakkad?

Biasanya tabiat engineer, bila berbuat atau berkata sesuatu, depa mesti pakai manual dan garis panduan. Dan aku yakin, bila berkata begitu, pastinya Ir. Nizar merujuk kepada manual dan garis panduan yang selalu beliau pakai iaitu al-Quran dan al-Hadith.

Wa caya sama lu bro Ir.

Sebenarnya tak payah fatwa pun kebanyakan orang dah tahu dan faham hukumnya, sama macam hukum kutip duit syiling orang tercicir atas highway.

Friday, January 21, 2011

Nujum Pak Belalang Versi Paling Moden

Soalan:
Di manakah terletaknya kekuatan Laksamana Hang Tuah? Di kerisnya kah? Atau di tenaganya kah?

Jawapan:
Senang saja. Kekuatan Laksamana Hang Tuah terletak pada huruf 'ta'(T).

Soalan:
Buktinya...

Jawapan:
Cuba tukar huruf 'ta' menjadi 'ba'. Jadi Hang Buah. Jadi 'ta' itulah kekuatan Laksamana hang Tuah.

Soalan:
Di manakah terletaknya kekuatan UMNO? Di kerisnya kah? Atau di pemimpinnya kah?

Jawapan:
Itu soalan yang paling senang.
Adapun kekuatan UMNO terletak dalam nama UMNO sendiri.

Soalan:
Buktikan.

Jawapan:
UM adalah singkatan untuk UMmi Hafilda, NO pula untuk singkatan Ezam Mat NOr.

Alamak tergadai lagi negara aku....

Wednesday, January 19, 2011

'Gadis Cashier' di Kisah Klasik Kita


Siapakah Gadis Cashier ?
Apakah yang telah terjadi kepadanya ?
Sila berkunjung ke Kisah Klasik Kita untuk mengetahui kisah Gadis Cashier

Jika anda suka, sila undi
Jika tidak, ada banyak lagi kisah-kisah lain yang anda boleh undi
Selamat membaca


Tuesday, January 18, 2011

Debat Buang Masa

Aku setuju sangat dengan keputusan PM Datok Seri Najib, tak perlu beliau nak berdebat dengan Datok Seri Anwar pasal ekonomi atau pasal Program 100 hari PR. Memang membuang masa.

Dalam sejarah Malaysia yang aku ingat, belum ada debat yang berjaya menghasilkan satu resolusi win-win yang menguntungkan rakyat. Yang ada hanyalah debat yang membuahkan perasaan syok sendiri puak masing-masing. A kata wakil dia menang, hujah wakil dia lagi bagus. B juga kata wakil dia yang betul dan menang, wakil dia dapat patahkan hujah wakil A.

Kita pun tak mahu tengok PM bertungkus-lumus menyusun ayat live di hadapan publik yang berkemungkinan mengeboo beliau. Dan kita pun tak nak lihat Anwar tersengih macam etak busuk bila ada hujah pihak lawan yang cuba memalukan dan menjatuhkan peribadinya.

Kita juga tidak mahu melihat seorang moderator yang tidak moderate. Membangsatkan diri sendiri di hadapan khalayak.

Apa yang sayugia diadakan ialah PM perlulah mengarahkan media utama negara ini untuk memberi ruang kepada PR untuk menjelaskan dan mempromosikan Program 100 hari ini. Supaya rakyat mendengar dan menilai sendiri program ini dari tuan punya program. Bagus atau tidak. Populis atau tidak. Songsang atau tidak. Biar kepala hotak mereka yang menentukan.

Rakyat kita kan semuanya berotak.

“If you love somebody, let them go. If they return, they were always yours. If they don't, they never were.”

Nah! Inilah kata-kata motivasi yang sering kita ucapkan semasa bercinta. Pengundi pun begitu. Mereka tak mahu dikongkong. Apa lagi diperbodohkan. Mereka perlu bebas membuat pilihan sendiri.

Monday, January 17, 2011

Keselamatan : Security Atau Safety ?

Baru-baru ini sebuah lori syarikat keselamatan telah terbalik ke atas sebuah kereta dan sebuah motosikal. Dengan kuasa Allah, jiwa mereka semua terselamat.

Lori itu milik sebuah syarikat security. Tentunya mereka arif dalam bab security, tetapi tidak dalam bab safety.

Jika mereka mementingkan safety, sudah tentu pemandu syarikat ini dilatih untuk mengenalpasti hazard-hazard semasa memandu. Salah satu hazard yang mesti dikenalpasti adalah had ketinggian sesuatu laluan.

Pemandu yang membawa kenderaan yang tinggi wajib diberitahu oleh tokey mereka berkenaan perkara ini. Kegagalan pemandu untuk mengenalpasti hazard atau bahaya ini sudah pasti akan menyebabkan kemalangan.

Bila kemalangan sudah berlaku, akan adalah kerosakan harta benda dan jiwa raga.

Orang kata malang tidak berbau, tetapi Tuhan maha adil, kita dapat melihat bahaya untuk menilai risiko.

Antara security dan safety, yang mana anda utamakan?

Sunday, January 16, 2011

Rosak Pemimpin Kerana Pengampu

Sebuah jejambat sepanjang 1.7 km dijadualkan untuk dirasmi pada hari ini. Seorang pembesar dijemput untuk merasmikan jejambat 6 lorong tersebut.

 
Sebagai penghormatan, pembesar tersebut diminta memberi nama kepada jejambat itu. Sambil melihat kepada tiang besar jambatan berbentuk T, pembesar itu berkata,


"Saya rasa Masih Retak Retak Tu......", sambil tangannya menunjuk ke bahagian atas jambatan.


Penganjur terus mengumumkan,


"Untuk senang sebut nama yang panjang tu, kita singkatkan saja cadangan tadi ke MRR 2"


Semua hadirin bertepuk tangan kuat-kuat supaya acara cepat habis. Dapat makan dan balik.

Saturday, January 15, 2011

Engineers New Vocabs

1.
Engineers always knew ETP as Effluent Treatment Plant rather than Economic Transformation Programme.

 2.
Engineers knew that the deadly MIC is not Malaysian Indian Congress but methyl isocyanate, the toxic gas that its leak back in 1984 in Bhopal, Madhya Pradesh, India had caused a catastrophe resulting more than 3,500 instant deaths and more than 550,000 injuries.



3.
PGU is known to engineers as Peninsular Gas Utilisation that is the gas pipeline starting from Kerteh southwards to Johore, then upwards again to Perlis. There is no PGU or gas pipeline in Kelantan. How sad.



Now most engineers also know PGU as Pas Ganti Umno, the political project initiated by Parti Islam SeMalaysia.



Now you know why there is no PGU in Kelantan. Yeah...



Orang Guchil Paling Setia Kepada Negara


Pukul 4.15 am, bas express Mahligai sampai di Pekan Guchil. Perjalananku yang bermula dari Putrajaya pada pukul 9.00 malam tadi tamat di sini. Aku turun. Bas meneruskan perjalan ke Kota Bharu.

Aku berjalan ke rumah bondaku yang tidak jauh mana dari jalan besar. Jalan di dalam Guchil terang benderang disirami lampu. 4.30 pagi sampai di tangga rumah.

"Assalamualaikum!"

Tiada jawapan. 4.30 pagi semestinya masa melayan mimpi dan dengkur.

Tok! Tok!

Aku mengetuk pintu dua kali. Sesaat, dua saat, lapan saat, 30 saat. Tiada jawapan.

Aku keluarkan handphone. Yes! Ada line 3G.

Aku buka beg galasku. Keluarkan komputer. On. Cucuk Celcom Broadband. Dengan senang aku dapat line internet. Hidup Guchil. Maju! Maju!

Dalam kegelapan itu, aku buka Internet Explorer. Buka YouTube. Search.........Negaraku.

Volume maximum.

Play.....

Negaraku

Tanah tumpahnya darahku....

Rakyat hidup
.
Bersatu dan ..........krek kriok........

Tingkap dibuka.

"Eh! Abe Li balik.....lama dah?" Adik iparku terjongol di jendela sambil berdiri tegak.

Jadi para pemimpin sekalian, jangan persoalkan kesetiaan rakyat biasa macam kami ini kepada negara. Tengah syok mengigau pun, apabila dengar lagu Negaraku, kami terus bangun..... Wahai para pemimpin, tanyalah diri anda sendiri, cintakah aku pada Negara? Jika jawapannya Ya...Aku cintakan Malaysia....Hentikan rasuah dan pembaziran harta rakyat.

Thursday, January 13, 2011

Jadilah Jujur Semacam Budak Baru Aman Dunia


Seorang kawan memberitahu, anaknya yang darjah 3 mendapat kosong '0' markah dalam karangan bahasa Malaysia. Bila dia periksa, rupanya anaknya tidak menulis apa-apa. Patutlah kosong markah.


"Kenapa abang tak tulis sikit pun? Sebelum ni kan abang dah biasa tulis?" Tanya kawan aku kepada anak jantannya.


"Tajuk karangan tu Tempat Yang Saya Lawati Semasa Cuti Sekolah la abah," anaknya menjawab.


"Senang la tu. Tulislah, bukan payah apa pun," si kawan berkata kepada anaknya.


"Abah.... Kan kita tak pergi ke mana-mana semasa cuti sekolah baru ni..."




Tuesday, January 11, 2011

Dr Mariah, Tolong Baca Sekejap


Konflik novel Interlok karangan Sasterawan Negara Abdullah Hussein sepatutnya menjadi masalah Unmo, bukan masalah Pas. Atau sepatutnya ia tidak perlu menjadi masalah siapa-siapa.


Sepatutnya pemimpin Umnolah yang bertungkus-lumus menjawab konflik yang timbul daripada novel ini, bukannya Dr Siti Mariah Mahmud.


Dr Siti Mariah yang mengaku belum membaca buku ini tidak sepatutnya terpalit dengan isu ini. Saya cadangkan Dr Siti Mariah memalitkan diri dengan penyelewengan fakta yang lebih baik diperjuangkannya, apa lagi beliau adalah seorang pejuang Islam tulen.


Di sini saya cadangkan Dr Siti Mariah mendapatkan buku bertajuk Kursus Komprehensif Fajar Bakti, TAMADUN DUNIA, karangan Sivachendralingam Sundara Raja dan Ayudarai Letchumanan. Edisi ke 2, cetakan ke 3 tahun 2003. ISBN 967 65 5512 6.


Dr Siti Mariah boleh terus rujuk ke Bab 2, Pemerintahan dan Pentadbiran. Sub-topik 2.6 Bentuk Pemerintahan-Pemerintahan Khalifah & Beraja Arab. Muka surat 199. Baca....


Pemerintahan berlandaskan prinsip Islam yang diasaskan oleh Nabi diikuti oleh pengganti-pengganti Baginda. Pada zaman Khulafa al-Rasyidin, pemerintahan berasaskan kepada undang-undang syariah. Khalifah memainkan peranan sebagai pemerintah dan penaung agama Islam. Kecuali Khalifah Uthman bin Affan, khalifah-khalifah lain menjalankan pemerintahan berasaskan prinsip-prinsip Islam. Khalifah Uthman bin Affan menjalankan pentadbiran yang tidak adil. Semasa pemerintahan beliau, amalan nepotisme meluas. Penduduk-penduduk Arab dibenarkan menduduki jajahan takluk dan membolot kekayaan dari kawasan-kawasan takluk. Keadaan sedemikian menimbulkan rasa tidak puas hati dan tercetus pemberontakan


Dr siti, buku ini pernah (mungkin masih...) menjadi bacaan penting pelajar tingkatan enam dan dipuji oleh Prof Khoo Kay Kim. Bayangkan pelajar kita yang mungkin terpengaruh dan memisahkan Khalifah Uthman bin Affan daripada 3 Khalifah al-Rasyidin yang lain.


Saya pernah menulis mengenai perkara ini kepada ruangan Surat Pembaca Harakah dan tersiar di dalam Harakah (Saya lupa tarikhnya). Saya tidak tahu sama ada sudah ada insan yang telah mengambil tindakan ke atas perkara ini. Sebenarnya semasa menulis, saya amat berharap Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda Pas semasa itu, akan membaca dan menyiasat serta mengambil tindakan yang sepatutnya untuk membersihkan nama Khalifah Uthman bin Affan.


Saya juga pernah menulis dalam blog ini mengenai perkara ini dan mengaitkannya dengan pandangan Otai Pas, Mat Sabu mengenai keperluan membetulkan fakta sejarah. Tetapi apakan daya, yang membaca blog saya hanyalah 2-3 orang sahabat sahaja.


Nah, Dr Siti Mariah, saya rasa perkara ini lebih afdal diperjuangkan daripada isu yang dicetuskan oleh novel Interlok. Orang Australia pun selalu dikatakan orang keturunan banduan daripada Britain. Tak percaya tanyalah Sasterawan Negara, Abdullah Hussein.

Sunday, January 9, 2011

Hanya Supik Gelenyar


Kanak-kanak perempuan kecil berambut kusut itu semacam mengekori aku. Tangannya ku lihat menggenggam beberapa beg plastik atau supik gelenyar atau jabbey rokrak mengikut bahasa orang Kelantan.


Apabila aku berhenti membeli ikan, si kecil berdiri tercegat di tepi seperti menanti sesuatu. Apabila aku selesai membayar harga ikan dan plastik yang mengandungi ikan diserahkan kepadaku, kanak-kanak itu membuka beg plastik yang berada di tangannya dan menyua kepada aku. Tiada sepatah pun kata terbit dari mulutnya.


Aku seakan mengerti dan memasukkan plastik ikan aku ke dalam plastik yang terbuka luas dihadapanku. Serentak kanak-kanak itu menghulurkan tadahan tangannya. Aku juga terus jadi mengerti dan menghulurkan sedikit duit kepadanya.


Mendapat wang itu, si kecil itu terus berlalu meninggalkan aku. Ada orang lain pula yang perlu diekori.


Itu yang aku perhatikan bila pertama kali ke pasar ikan di Kota Kinabalu. Betul-betul berhadapan dengan Pulau Gaya.


Setelah hari itu, aku jadi banyak mengetahui tentang Kota ini. Tentang kanak-kanak ‘Filipina’ yang tidak bersekolah ini. Tentang bagaimana mereka membesar dan bersekolah di pasar ikan dan kaki-kaki lima. Itulah sekolah mereka. Itulah cara mereka memperolehi pendapatan mereka diusia itu.


Pernah aku jumpa, si comot seusia empat atau lima tahun membawa beg plastik mengekori orang ramai yang sedang membeli ikan. Pandainya budak ini mencari rezeki, fikirku. Terbayang anak aku di rumah yang makan pun mahu disuapi dan asyik mahu didukung. Padahal umur anakku itu setahun atau 2 tahun lebih daripada budak comot itu.


Kebiasaannya 20 sen akan diberikan kepada kanak-kanak ini apabila beg plastik mereka digunakan. Pernah kawanku bertanya masa mula-mula aku ke sana,


“Hang bagi berapa?”


“Singgit”


“Tak usah, bagi 2 kupang je... Bukan budak tu yang dapat pun, ada kaki yang supply plastik tu. 2 kupang cukup,” beritahu kawan aku yang setahun lebih dahulu mengalami fenomena ini berbanding aku. Betul atau tidak, aku tak berminat untuk mengambil tahu lebih lanjut. Asalkan aku tidak menghampakan budak-budak kecil yang sepatutnya belajar ABC dan 1 2 3 di sekolah itu.


Sejak hari itu, memang aku bagi 20 sen sahaja. Kadang-kadang kalau 50 sen yang keluar kocek, 50 sen lah aku bagi. Memang sebelum ke pasar, aku pastikan ada duit syiling dalam kocek.


Itu cerita 5 tahun dahulu.


Seminggu lepas, hari Sabtu di Mydin Kuala Ibai, aku beratur untuk membayar barangan yang hendak dibeli. Aku mendengar si cashier bercakap dengan wanita yang beratur di hadapan aku.


“Kak ada bawa plastik sendiri?”


“Kenapa?” Tanya wanita itu kehairanan.


“Hari ni kita tak bagi plastik.... Kalau nak jugak, kita caj 20 sen,” cashier itu terus memberitahu sambil tersenyum tawar.


“Mengapa pula?” Wanita itu bertanya tidak faham.


Aku yang berdiri di belakangnya sudah faham kerana aku sudah membaca mengenai kempen ini yang telah dijalankan di beberapa negeri.... Dan aku amat tidak menyetujui kempen ini yang bagi aku tidak sempurna. Kempen ini bagi aku ibarat orang yang baru belajar kuda-kuda silat gayong, terus mahu mencabar Ibrahim Ali berlawan silat. Apa makna plastik yang begitu banyak bergantungan ditepi cashier itu jika mereka serius mahu menyelamatkan alam sekitar? Apa makna rokok yang beraneka warna yang dijual jika nak menyelamatkan alam sekitar?


Jika nak kurangkan penggunaan beg plastik, bagitahulah awal-awal. Uar-uarkanlah awal-awal. Buat kempen betul-betul. Biar orang faham dulu. Biar Mydin pun faham dulu. Kalau dah nak kurangkan beg plastik, kenapa dibekalkan juga dan dicaj? Itu mengikut namanya!


Beg plastik sebenarnya adalah salah satu ciptaan ‘simple’ yang paling banyak membantu orang ramai. Masalah sampah daripada plastik yang dikatakan payah terurai, sekurang-kurangnya ia tidak membebaskan gas-gas yang menyebabkan kesan rumah hijau dalam masa terdekat seperti bahan buangan lain yang cepat terurai.


Pulau daripada sampah yang dibuat di Jepun dan beberapa tempat lain lagi tu, adakah ianya daripada timbunan lebihan burger atau kulit pisang yang dibuang? ....


“Hari Sabtu sahaja kak, kita mula hari ni.... Kak nak bayar plastik?” Gadis cashier menerangkan dengan gaya memujuk. Nak tak nak, wanita itu terpaksa membayar harga plastik. Aku tahu bukan nilai 20 sen yang dimusykilkan oleh wanita ini.


“Kita tinggal saja barang ni kat sini.... Mari kita balik, ” aku bersuara memprotes sambil mengajak anak-anak balik.


Anak-anak mengikut dalam kebingungan.


“Kenapa? Abah tak cukup duit ke?” Tanya anak tengahku, Yong. Aku diam terus menuju ke kereta.


Bukan aku tak menyokong hasrat mana-mana pihak untuk menyelamatkan alam sekitar. Tetapi aku ada prinsip dan pendapat aku sendiri. Banyak lagi cara untuk menyelamatkan alam sekitar selain daripada mengutip 20 sen bagi sehelai beg plastik.


Aku telah melihat bagaimana sehelai beg plastik nipis dapat mengenyangkan anak-anak yang terbiar di Kota Kinabalu. Aku juga dapat membayangkan nilai 20 sen yang dibayar untuk sehelai supik gelenyar atau jabbey rokrak ini kepada para nelayan di sekitar Chendering dan Kuala Ibai yang tak dapat ke laut di musim tengkujuh ini, sedangkan anak-anak mereka nak masuk sekolah sesi 2011 esok!

Saturday, January 8, 2011

Sejenak Bersama Datok Seri


Suatu masa di Kota Kinabalu aku pernah berada di kiri Datok Seri Lee Lam Thye sebelum satu sidang akhbarnya bermula.

Aku kenal dia. Dia tak kenal aku. Jadi tak adalah common topic yang dapat kami bualkan. Aku berada di kirinya pun sebagai bidan terjun sahaja.

Sebagai seorang negarawan yang disegani, beliau mestilah berborak perkara-perkara yang ada substance sahaja.

“We Malaysians are very good.........” Datok Seri Lee membuka bicara. Aku dan seorang lagi bidan terjun di kanannya serentak berpaling kearah beliau untuk mendengar lanjutan kata-katanya.

Memang sekarang kalau Lee Lam Thye bercakap, semua orang akan mengambil kertas untuk menulis nota. Kata-katanya cukup berharga sekarang. Aku kenal Lee Lam Thye sebelum dia belum ada sebarang gelaran lagi. Dulu beliaulah ahli parlimen DAP yang paling digeruni oleh Barisan Nasional. Akupun kagum dengan cara kerja beliau yang begitu bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan apa yang beliau fikirkan benar.

Walaubagaimanapun memandangkan beliau adalah ahli parlimen daripada parti pembangkang, kebijaksaan dan kelebihan beliau hanya mendapat tempat di sebelah pihak sahaja. Dahi beliau kalau keluar TV pada masa itu, hanyalah untuk publisiti yang tentunya buruk dan teruk kepada DAP dan seluruh parti pembangkang. Beliau tiada tempat di media utama negara ini pada masa itu.

Akan tetapi, apabila beliau berundur daripada DAP dan bertindak sebagai non-partisan. Beliau terus mendapat tempat di agensi-agensi kerajaan dan swasta. Beliau dilantik menjadi orang besar PEMADAM, walhal kata-kata beliau dulu asyik cuba diPADAMkan oleh media-media utama. Sehingga sekarang beliau terus menjadi berharga dan sekaligus figure penting di Malaysia.

“.....We are good because here in Malaysia all of us can speak at least two languanges,” itu yang hendak diperkatakan oleh Datok Seri. Kami kedua-dua bidan terjun mengangguk-angguk, lagak pengampu sahaja. Memang semasa itu isu negara kita tengah geger dengan isu PPSMI.

“Almost anybody can speak English in Malaysia....” Datok Seri terus berkata-kata. Aku ingat, dia pun tak ada modal nak berborak dengan kami yang marhaen ini. Pusing-pusing itu saja kata-katanya.

Sebenarnya nak juga aku menyampuk, tapi seganlah pulak. Lalu aku hanya menyampuk di dalam hati.

“Sure Datok Seri, as a matter of fact, apart from Englishmen and Americans, almost anybody in this world can speak or understand at least two languanges.”

Thursday, January 6, 2011

Darjah 6 Merah Kuning


Cikgu Khalid, guru kelas 6 Merah Kuning sedang membuat pengundian untuk memilih ketua kelas baru. Tiba-tiba pintu kelas diketuk.

Tok Tok Tok

Muncul kerani gunasama yang hampir pencen bersama seorang budak lelaki bermuka panjang di muka pintu. Tanpa salam kerani gunasama itu berkata kepada Cikgu Khalid yang agak boroi dan obese itu.

“Cikgu, ini ketua kelas baru Darjah 6 Merah Kuning,” budak bermuka panjang itu diperkenalkan.

Cikgu Khalid terkejut. Dia mengusap-usap rambutnya yang sentiasa serabai itu.

“Mana boleh macam tu... Ini budak kelas lain, kelas sebelah. Mana boleh main letak je jadi ketua kelas ni,” Cikgu Khalid memprotes.

“Muktamad cikgu... Guru Besar dah setuju...” Kerani gunasama nak pencen itu bercakap tegas, meninggalkan Cikgu Khalid yang terpinga-pinga bersama murid-murid kelas 6 Merah Kuning yang sedang mengangkat tangan untuk mengundi ketua kelas baru mereka.

Sejak hari itu, Cikgu Khalid diserang oleh ramai orang dari setiap penjuru. Cikgu kelas lain serang. Cikgu pra serang. JKK yang kilik fail terbalik pun serang. Mak Cik kantin pun serang. Tukang kebun serang. Pengawal keselamatan serang. Orang gila yang bertapa di bawah pokok kulim di bucu padang sekolah pun serang Cikgu Khalid. Siap dengan parang!

Mereka katakan Cikgu Khalid meruntuhkan keharmonian sekolah. Nak lawan guru besar. Tak sedar diri. Baru je pindah datang sini dah nak tunjuk lagak. Mereka desak Cikgu Khalid letak jawatan. Tak payah jadi cikgu.

Cikgu Khalid pun kalau diikutkan hati bukan nak sangat jadi cikgu. Gaji bukannya besar pun. Baik menoreh je time harga getah mencecah RM15.00 sekilo nih. Tetapi Cikgu Khalid ada tanggungjawab. Dulu Sekolah ini asyik corot saja keputusannya. Banyak masalah. Duit koperasi pun hilang. Bila disiasat, jadi X-files. Kata penyiasat, ada toyol. Huh! Zaman laser macam ni pun masih orang percaya toyol...Itu fikir Cikgu Khalid.

Bukan Cikgu Khalid tak boleh berkompromi. Cikgu Khalid kenal benar budak dari kelas sebelah bermuka panjang itu. Dulu masa budak tu jadi pengerusi kelab catur, hancusss.... Habis pemain catur sekolah jadi pemain dam. Semasa budak muka panjang tu diberikan kepercayaan menjadi pengerusi Kelab Agama sekolah, habis dikawal ketat surau sekolah. Budak nak tumpang kencing kat tandas surau pun tak boleh. Cikgu Besar marah, katanya. Budak Siam nak minum air di kolah surau pun dijadikan isu sampai ke mesyuarat PIBG. Juga Cikgu Besar marah, katanya!

Hancurrr... Kalau dia jadi ketua kelas 6 Merah Kuning ni, bungkus result UPSR tahun ni. Lain aku ajar, lain pula yang budak-budak akan faham. Itu concern Cikgu Khalid.

Budak muka panjang dari kelas sebelah itu sudahpun masuk ke kelas 6 Merah Kuning. Di atas mejanya siap bertulis. KETUA KELAS.

Di dalam kelas 6 Merah Kuning, murid-murid sudah geger. Sudah tidak puas hati. Kenapa budak lembam kelas sebelah yang asyik gagal matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris boleh jadi ketua kelas kami? Kami ni tak layakkah? Mereka tidak tahu, sekarang di dalam bilik mesyuarat sebelah ofis Guru Besar, cikgu kesayangan mereka, Cikgu Khalid sedang dibicarakan. Cikgu Khalid sedang berhadapan dengan Cikgu Besar, JKK, DO, Pengerusi PIBG, Wakil Rakyat, Penghulu, Mak Cik kantin, Tok Imam, Tukang Kebun, Jaga dan Misi Cabut Gigi sekolah. Dengar khabarnya, Pengarah PPD pun dalam perjalanan sekarang untuk mendengar perbicaraan ini.

Sejarah telah mencatatkan di sekolah mana-mana pun di dalam daerah ini, cikgu yang dikatakan melawan cikgu besar semuanya akan terbuang. Samada ditukarkan ke hulu tempat gajah menetas atau menjadi penjual putu mayam di pasar malam.

All the best, Cikgu Khalid.

Wednesday, January 5, 2011

Cikgu Makan Garam Dulu


Seorang ustaz menceritakan perihal syurga kepada murid-muridnya. Kelas yang terkenal nakal dan banyak ragam.


"Niat je apa hendak, dalam syurga semua ada, semua datang," lebih kurang itulah kata Ustaz.


"Ustak.... Nasik berlauk Mak Wan ada ke dalam syurga," seorang pelajar cuba berloyar buruk dengan Ustaz.


Mak Wan sememangnya tersohor di kampung itu kerana kesedapan nasi berlauk paginya.


"Kalau Mak Wan tu masuk syurga... Ada la," Ustaz memberikan jawapan cepumasnya.

Tuesday, January 4, 2011

Study Smart, Work Smart


Patutkah anak-anak yang akan naik darjah enam diwajibkan hadir tuisyen masa cuti penggal akhir tahun? Patutkah anak-anak yang gagal hadir tuisyen semasa cuti penggal akhir tahun didenda? Rasionalkah memarahi mereka di hari pertama persekolahan mereka naik darjah enam kerana gagal hadir tuisyen masa cuti sekolah?


Seorang anak sekolah pastinya bersemangat untuk menempuhi hari pertama persekolahan. Apa lagi apabila berada di darjah enam. Mereka pastinya berazam untuk membuat yang terbaik untuk mencapai gred terbaik dalam UPSR di akhir tahun nanti.


Ada anak-anak yang tidak bersarapan kerana terlalu ghairah dan bersemangat untuk ke sekolah. Ada anak-anak daripada keluarga yang kurang mampu tidak kisah jika terpaksa memakai uniform sekolah yang telah digunakan semasa darjah lima. Anak-anak daripada keluarga kurang berada ini biasanya menghabiskan cuti mereka dengan menolong ibu bapa mereka bekerja setakat yang mereka mampu.


Anak penoreh akan menolong ibu bapa mereka menyepat pok di kebun getah. Anak nelayan akan menolong ayah mereka menjahit pukat dan menjemur ikan. Anak petani akan membantu ibu dan ayah mereka menyiram sayur dan merumput. Anak peniaga kecil akan menolong mak bapak mereka di pasar tani atau pasar malam. Anak yatim mungkin menolong nenek atau ibu mereka membuat kerja-kerja sampingan untuk menampung pendapatan keluarga.


Pada cuti penggal akhir tahun juga ramai anak-anak sekolah mengikut keluarga mereka balik kampung. Mereka dapat menemui datuk, nenek, saudara-mara dan sahabat-sahabat di kampung.


Oleh itu, menengking mereka pada hari pertama sesi persekolahan kerana gagal hadir tuisyen yang dibuat semasa cuti akhir tahun adalah tidak perlu. Tuisyen di musim cuti akhir tahun bolehlah dibuat secara optional. Cikgu-cikgu pun mahu bercuti dimasa itu. Tak percaya, tanya saja mereka.


Jika UPSR ini terlalu amat pentingnya, sampai budak-budak nak bermain sepuas-puas semasa cuti pun tidak boleh, kenapa ada menteri yang mahu memansuhkannya? Jadi kenapa kalut sangat? Ajarlah pelajar belajar secara smart, barulah cikgu pun boleh work smart dan tidak penat sangat.

Monday, January 3, 2011

Azam Tahun 2011

Alang –alang bercakap pasal azam 2011, baik aku enter saja Contest MatJoe: Azam 2011.

Azam 2011 aku sebenarnya tidak mahu diKECHEWAkan lagi. Sudah cukup kekecewaanku pada tahun yang sudah-sudah. Mulai tahun ini, 2011, aku tak nak kecewa atau dikecewakan lagi. Terlalu perit sebuah kekecewaan. Pedihnya menikam segenap anggota tubuh. Memikirkan kekecewaan membazirkan masa tidur. Mengingatkan kekecewaan meningkatkan bil air. Mengenang kekecewaan adalah sebab utama kenaikan berat badan.

Aku sudah dikurniakan 3 orang anak-anak yang comel dan seorang isteri yang setia. Aku ada kerjaya yang baik dan gaji yang sepadan. Aku memiliki kenderaan yang boleh bergerak apabila diisi petrol dan berbunyi apabila honnya ditekan. Aku mempunyai keluarga yang besar yang mengambil berat dan menyayangi aku. Aku ada mentua dan ipar yang sentiasa berlembut dan menghormati aku. Aku ada kawan-kawan yang masih tersenyum apabila disapa olehku selepas aku ‘punch card’ pagi-pagi. Aku mempunyai seorang boss yang masih mahu mendengar pandangan dan berkongsi pendapat dan masalah dengan aku.

Lantas....Apa yang telah mengecewakan aku selama ini?

Tidak bersyukurkah aku? Haruss kah aku membeli buku “Bersyukur For Dummies”?

Bertahun lamanya aku berasa kecewa yang bukan semata-mata untuk diri aku seorang. Aku yakin ramai juga orang lain yang kecewa sama seperti aku.

Aku kecewa apabila Parlimen kita, tempat yang sepatutnya digunakan untuk menggubal undang-undang yang adil untuk rakyat Malaysia sering menjadi medan tuduh-menuduh dan penyalahgunaan kuasa. Kecewa aku apabila seringkali manusia yang kecut telurnya diberikan kuasa yang sebesar-besarnya di situ. Kecewa sungguh apabila melihat MP yang sepatutnya mewakili kawasan mereka untuk mendapatkan yang terbaik untuk rakyat yang mengundi mereka, seringkali meninggalkan otak mereka di pondok jaga Parlimen.

Bertambah aku kecewa apabila membaca apa yang dilaporkan oleh media-media utama kita. Pengamal media kita sanggup menjatuhkan martabat kewartawanan mereka ketahap yang duit syiling 50 sen ‘landing’ jika dilemparkan ke dalam lubuk. Lihat sahaja apa yang mereka laporkan tentang banjir di Kedah baru-baru ini. Itu belum diceritakan lagi apa yang mereka laporkan selama lebih 20 tahun terhadap negeri Cik Siti wan Kembang, Kelantan.

Mendengar pandangan ‘bijak-pandai’ daripada menara gading di TV juga membuatkan aku kecewa. Inikah rupa-rupa yang mentadbir universiti kita? Patutlah.... Pandangan mereka kebanyakannya terikat dalam politik sempit sesempit segulung wang kertas sepuluh ringgit. Mereka mengajar anak-anak kita di universiti, tetapi pada masa yang sama mereka memperbodohkan ibu-bapa kita yang sedang menonton TV!

Aku juga kecewa dengan harga bahan api yang selalu naik di negara kita yang menjadi pengeluar minyak dan gas dunia. Lebih mengecewakan apabila menteri kita berbohong secara terang-terangan mengenai kenaikan bahan ini. Apalagi apabila menteri secara tidak cerdik, kononnya memberi amaran supaya peniaga-peniaga tidak menaikkan harga barangan keperluan harian berikutan kenaikan harga bahan api. Sepertilah mereka tidak pernah kenal matematik tolak campur kali bahagi. Harga bahan api naik satu hal, menteri berbohong, satu hal yang amat mengecewakan.

Dulu bukan main Menteri Pelajaran dengan bangganya mengisytiharkan bahawa yuran sekolah anak-anak kita telah dihapuskan. Yang ibu bapa kita berhabisan ratusan ringgit membayar semasa mendaftarkan anak-anak mereka bersekolah hari ini yuran apa? Ini bukan sekolah swasta, ini sekolah kebangsaan! Kecewanya aku! Bukan kecewa kerana membayar yuran, tetapi kerana ada menteri yang macam ini!

Kadang-kadang aku kecewa apabila demokrasi kita dicabul sewenang-wenangnya. Kecewa apabila ada badan berautoriti yang membuat pendakwaan terpilih. Kecewa sungguh apabila SPR terang-terangan berpihak semasa mengendalikan pilihanraya. Kecewa apabila orang besar yang terang-terangan dan telah mengaku bersundal tetap mendapat tempat yang istimewa dan masih boleh mengata dan mencaci orang lain yang tidak berzina sesuka hati dia.

Aku terkesima dan terkecewa apabila pendedahan Wikileaks dipercayai dan diambil pot oleh pemimpin kita secara terpilih. Apabila ada pendedahan yang mengaitkan individu daripada parti lawan, gegernya media dan individu-individu yang berkaitan dan berkepentingan. Tetapi tidak begitu pula jadinya perangai mereka apabila cerita (berita?) seorang amah dirogol didedahkan.

Kecewa amat aku melihat angka gaji CEO Syabas yang menguruskan air di Selangor. Kecewa lagi melihat Isa samad dilantik sebagai Pengerusi Felda sepertimana kecewanya aku apabila Ahmad Maslan dijadikan Menteri yang menjaga Felda.

Banyak lagi kekecewaan aku pada tahun yang sudah-sudah. Yang paling aku kecewa adalah apabila pasukan bolasepak Kelantan ‘The Red Warriors’ menjuarai Piala Malaysia 2010.

Sudah lama Piala Malaysia diimpikan oleh penyokong bolasepak Kelantan. Aku sendiri sejak zaman Hashim Mustapha menjadi striker utama Kelantan telah sering hilang suara bersorak di Stadium agar Kelantan menang. Sehinggalah defender Zahasmi Ismail berevolusi menjadi Daudsu dan goalkeeper Hamid Ramli bertukar menjadi manusia hensem Khairul Fahmi Che Mat, barulah akhirnya Piala Malaysia berjaya dimenangi oleh Kelantan.

Tetapi, kenapa aku masih kecewa?

Sememangnya aku dan ramai lagi kecewa apabila Piala Malaysia yang dimenangi dengan air mata dan keringat ini tiba-tiba dijadikan bahan kempen Umno di dalam Pilihanraya Kecil DUN Galas baru-baru ini. Ada otak ke?

Musim depan aku sarankan Umno mendaftarkan team bolasepak mereka sendiri, Umno FC. Jika mereka menang Piala Malaysia, bawalah Piala itu untuk berkempen di mana-mana pun. Aku percaya Umno FC boleh menang Piala Malaysia jika Tan Sri Isa Samad diberikan tugas mengendalikan team ini.

Cukuplah bercerita pasal kekecewaan. Jadi pada 2011 ini aku tak mahu kecewa lagi. Walaupun aku rasa aku bakal merasakan kekecewaan sedikit masa lagi memandangkan sekarang ini minyak masak telah berkurangan di pasaran. Tak apalah, minyak masak pun tak elok untuk kesihatan. Sebelum Datuk Ismail Sabri Yaakub cakap, baik aku sendiri yang cakap dulu.

Aku dengar-dengar khabarnya PRU13 bakal diadakan tahun ini. Aku tak kisah, bila pun pilihanraya diadakan, aku sentiasa mengundi untuk menolak rasuah! Aku tak pernah mengundi untuk dikecewakan!
.
Contest ini dianjurkan oleh Matjoe dan turut ditaja oleh Eyriqazz (rm 50) Kak Ina KL (cookies rm50) AbangEnsem (6 ebook, rm120), Kak Yon (3xrm10 topup, rm30) dan Tinihani (4 ribbon brooch, rm20)

Saturday, January 1, 2011

Sembahyang Tak Kyusuk




Bagi orang jahil macam aku ni, manalah ada hafal ayat Quran panjang-panjang. Dalam sembahyang selepas baca al-Fatihah, kalau tak Wal asri, Qul huwallah. Kalau tak Qul huwallah, Inna a'toina.
.
Biasanya surah al-Asr lah yang selalu aku baca pada rakaat pertama setiap kali sembahyang.

Kebelakangan ini, bila membaca ayat kedua surah al-Asr. Fikiran aku melayang jauh ke Selangor. Apalagi makna perkataan dalam ayat itu sudah lama ku ketahui.

Inilah masalah orang sembahyang tak kyusuk.

Ya Allah berilah aku nikmat kusyuk dalam sembahyang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...