Showing posts with label Sabah. Show all posts
Showing posts with label Sabah. Show all posts

Monday, June 8, 2015

Kinabalu

Apa khabar kau Kinabalu?
Aku harap kau baik-baik saja
Doaku bersama kalian semua
..yang pernah menjadikan aku sebahagian daripada kamu

Semoga kurniaan Allah SWT yang terbaik untuk mereka, kamu dan kita


Sesekali ke Kundasang

Tuesday, March 5, 2013

Tiada Apa Yang Sempurna

Budak itu tidak berselipar, di tangannya terbimbit plastik rok-rak berisi beberapa tin aluminium. Dia tercegat berdiri di situ. Di luar restoran itu. Matanya asyik memandang pada televisyen di dalam restoran.

Di depan budak itu satu keluarga bahagia sedang menjamu selera. Ayah, ibu, 2 anak. Setelah membayar harga makanan, mereka beredar.

Sebaik sahaja keluarga bahagia itu mengangkat punggung, budak itu lantas duduk di meja itu. Semua sisa makanan tadi dimakan semahunya. Air teh ping yang masih bersisa setengah gelas dihirupnya puas-puas. Apatah lagi cuaca di Semporna membahang tengahari ini.

Aku yang berada di meja sebelah tidak dapat menelan nasi sup yang baru 2 sudu ku suap. Kerongkongku rasa tersekat....Dan aku berusaha menahan macho supaya air mata tidak mengalir keluar di depan kawanku yang sedang menguis-nguis nasi goreng dalam pinggan di hadapannya. Aku agak dia pun sedang menahan macho juga.

Aku berada berdekatan sebuah Pulau tercantik di dunia. Pulau Sipadan! Hanya beberapa gelen minyak motorbot dari Pekan Semporna. Tetapi di daratan ini seorang budak ku lihat kelaparan mencari tin aluminium dan sisa orang untuk meneruskan hidup. Padahal dia sepatutnya mengambil PMR tahun ini untuk meneruskan hidup di Malaysia yang sempurna ini.

Sunday, July 1, 2012

Wednesday, February 29, 2012

Berani Dia Kata Kelantan Paling Miskin!!

From Sdk to KK
"Ini memang terang-terangan menghina orang Kelantan," marah betul Setapa. Kopi susu ditangannya diteguk habis sekaligus. Tanda marah yang amat.

"Betul tu Setapa. Sekarang terbukti Kelantan bukan negeri yang paling miskin dalam Malaysia," sokong Mamat.

"Kau lebih pandai daripada PM kita la jadinya," sampuk Rais, mencemik bibir sambil membetulkan songkoknya.

"Kau tak baca ke Rais, laporan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri?" Tanya Mamat dengan mata terjegil. Marah dia dengan orang bodoh sombong macam Rais. Harap songkok je tinggi, IQ rendah!

"Dia mana baca tu semua Mamat. Utusan dan TV3 je rujukan dia," Setapa menambah.

"Indek kemiskinan Kelantan adalah 4.8 sahaja, Sabah 19.8... Jauh bezanya," beritahu Setapa sambil memesan secawan kopi susu lagi.

"Wah! Kita lagi kaya dari Sabah," sokong Mamat.

"Ye ke tu? Kaya pun tak pandai memerintah buat apa? Semua projek bagi Cina, Melayu apa dapat? Stadium pun tak cukup syarat untuk main bola AFC, terpaksa main kat Bukit Jalil," Rais terus skeptik.

"Isu stadium tu modal politik individu tertentu je. Perlis pun lebih sesak dari Kelantan. Indeks kemiskinannya 6.0, Sarawak 5.3, Kedah 5.3...." Setapa terus berfakta, macam Husam Musa la pulak.

"Kita kaya sebenarnya. Itu belum kira royalti yang dirompak daripada kita lagi," sokong Mamat. 110%.

"Masjid pun baru sebuah dibina dalam 20 tahun memerintah. Kaya apa?" Bantah Rais. Memang semacam songkok tinggi itu yang menyekat kepala hotaknya daripada berhujah dengan rasional.

"Ayah.....Ayah...."

Tiba-tiba 3 orang budak datang ke kedai kopi mencari ayah mereka. Mereka adalah anak Setapa, Mamat dan Rais.

"Ayah mak suruh minta duit dengan ayah, gula habis," beritahu anak Setapa.

"Mamat, Rais aku pergi cari gula dulu ye. Dah 2 hari aku minum teh kurang manis kat rumah tu," Setapa berlalu bersama anaknya.

"Ayah, ada orang datang rumah minta duit ansuran TV," beritahu anak Mamat pula.

"Aku balik dulu Rais," Mamat pula berlalu dengan anaknya.

"Ayah, mak sakit kaki. Lantai dapur patah. Kaki mak terjerlus tadi. Ayah ......" Beritahu anak Rais pula.

"Ok..Ok...Ayah balik sekarang. Tokey, air ni masuk buku ye...." Rais pula berlalu dengan anaknya.

Pak Din, tokey kedai kopi hanya memandang sepi.

"Huh! Indeks kemiskinan 4.8 pun minum air berhutang. Kalau 19.8 tak tahu la....." Sungut Pak Din dalam hati.

****
Kata Cikli:  Apa ada pada statistik? Lihatlah pada hakikat. Duduk di negeri kaya macam Selangor pun kalau terpaksa buat 2-3 kerja sehari untuk bagi anak-isteri makan, apa maknanya!

Saturday, February 25, 2012

Sabah Tanah Airku, Negeri Kita Yang Tercinta

Early Saturday I received an sms from my Keningau friend.


"Sejak palistine d ceroboh lg, sy terima byk msg yg menyeru kita memboikot brgn dr israel & membaca surah2 tertentu. Msg tu pula di suruh forward pd 10 org lg. Napa x suruh goverment ja yg iklankan d tv1?Napa brgn israel msh d iklan d tv? "


I didn't answer the message because I could see the answer in the message itself.

Reform is imminent in Sabah and I think Keningau will be the turning point for that. No..... Not because of Dr. Jefrey Kitingan. It's because of decent everyday people like Edy, my dude.

Wednesday, February 8, 2012

Liga Super 8 Feb 2012 : Sabah 0 - Kelantan 0

Penyokong Sang Kijang dan Sang Badak berjemaah bersama. Talhah menyokong pasukan Sabah, tanah kelahirannya.

Malam ni kita seri 0-0 dik. Lain kali abah tak akan kasi can.

Tuesday, November 1, 2011

Pasal Tandas Pun Nak Kecoh ...

Masjid Lahad Datu yang cantik
“Ni satu lagi kelebihan kita sebagai orang Islam.”

Aku memberitahu Kajol yang berada di sebelah. Kami sedang dalam perjalanan ke Ipoh, baru saja merentasi Banjaran Titiwangsa. Kami baru melimpasi 2 orang lelaki Cina yang sedang memancut (kencing) di tepi kereta yang dihentikan di tepi jalan raya.

“Sepanjang jalan ni, banyak masjid yang ada. Kalau kita nak kencing, tak perlu memancut tepi jalan. Singgah saja di tandas masjid,” Kajol mengangguk, tanda faham poin yang aku cuba utarakan.

Hakikatnya tak semua begitu. Banyak kali sudah aku terjumpa masjid yang tandasnya dikunci. Hari ini pun di Kuala Terengganu, di dalam hujan renyai-renyai, aku yang sedang memulas perut terpaksa ‘bertahan’ dan mencari masjid lain apabila tandas masjid yang aku mula-mula tuju dikunci rapat(mentang-mentang masjid  baru!).

Memang ada masjid yang membuka pintu tandas hanya beberapa ketika sebelum masuk waktu sembahyang dan mengunci semula beberapa ketika selepas waktu sembahyang.

Bagi aku apa jua alasan yang diperkatakan, aku tak boleh menerima rasional mengunci tandas masjid.

Dulu di Sabah, aku pernah merayu kepada seorang pakcik yang sedang mencuci lantai (mungkin siak kot) untuk membuka kunci tandas masjid kerana perut aku meragam amat setelah berbreakfast nasi kerabu Mek Nab yang tersohor di bandar Lahad Datu.

Pakcik itu enggan kerana takut dimarahi oleh ahli jawatan kuasa masjid yang juga bosnya. Rumah bosnya hanya di sebelah pagar masjid. Pasti bosnya nampak jika dia membuka kunci tandas bukan pada waktu yang ditetapkan iaitu beberapa ketika sebelum dan selepas waktu sembahyang.

“Biar saya tanggung... Pakcik buka dulu. Nanti saya pergi cakap dengan bos pakcik,” memang orang yang sedang sakit perut sanggup berjanji apa sahaja.

Akhirnya si pakcik itu mengalah. Dan aku kenalah menunaikan janji. Lagipun aku memang berhajat nak bancuh AJK masjid tu cukup-cukup.

Bila aku bertanya perihal tandas yang dikunci yang menyusahkan musafir seperti aku kepada AJK masjid itu, dia hanya menyalahkan pihak pejabat agama. Dia hanya menurut arahan, katanya.

“Orang menderma kepada masjid untuk apa sebenarnya? Tengok tu....” Aku menunjukkan kepada van jenazah di garaj masjid yang tertera tulisan “sumbangan Lembaga Tabung Haji”. Si AJK melihat ke arah telunjuk jari aku.

“Orang lain sampai derma van untuk masjid... Kita pula,  orang nak guna tandas pun tak bagi. Tak elok la macam ni. Daripada orang Islam kencing dalam longkang tepi jalan, baik dia guna tandas masjid.”

Saja aku panjangkan ceramah aku kepada dia kerana aku yakin AJK ini pun terlibat sama dalam keputusan jumud mengunci tandas masjid untuk kegunaan rakyat.

Salut kepada masjid yang meraikan musafir dan semua orang. Tak kira yang singgah nak sembahyang atau yang hanya singgah nak berak di jamban.

Saturday, August 27, 2011

Catatan Perantau Di Kota Kinabalu Yang Tak Balik Raya Puasa Di Kampung Tahun 2009

Salsa ada ujian Pendidikan Seni. Tajuk-tajuk telah diberikan terlebih awal oleh cikgu.

Semasa mengambilnya pulang dari sekolah dia memberitahuku yang dia bercadang nak buat 'kad ucapan' dalam ujian tersebut.

"Molek la tu. Buat kad raya," aku cadangkan pada Salsa. "Tengok tu, macam di papan tanda tu," aku menunjukkan gambar di billboard gergasi yang tertera ucapan selamat puasa dengan gambar Ketua Menteri Musa Aman di sebelah ketupat dan dacing.

"Kakak boleh lukis ketupat, pelita,..... Macam di papan tanda tu," cadangku lagi.

"Boleh lukis tebu......" Tambah Salsa.

"Hoit.... Mana ada tebu pada hari raya. Orang Hindu je yang guna tebu...." Bantahku.

Ting! ......Terlintas sesuatu di fikiranku.

"Kakak....Tu bukan tebu lah, itu LEMANG bahhhh......"

"Mana kakak tau......." Jawabnya sambil gelak kecil.

Nak kata aku dah lama tak balik raya di kampung tak juga. Walaupun tak dapat balik Raya Puasa, kami tak miss balik Raya Haji kerana kebetulan anak-anak cuti sekolah hujung tahun.

Sunday, August 7, 2011

Kelebihan Berdoa di Bulan Ramadhan

Salsa dulu-dulu
"Ustaz kata doa kita di bulan puasa cepat dimakbulkan Allah", Salsa berbicara di dalam kereta, semasa aku mengambilnya dari sekolah.

Aku tetap menumpukan perhatian pada jalan raya. Hari ini hujan sejak daripada subuh lagi. Sekejap lebat, sekejap renyai.

Salsa menyambung,

"Pagi tadi kakak bangun, dapat tengok Digimon. Seronoknya!"

Memang pagi tadi Salsa tidak ke sekolah agama. Aku biarkan saja dia tidur. Lagipun hujan lebat masa tu. Nanti takut demam pulak bila kena hujan. Salsa bersekolah pagi dan petang. Pagi, Sekolah Agama Masjid Negeri Sabah, petang pula, Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru.

"Doa kakak termakbul abah...." Sambung Salsa lagi.

Eh! Aku tersentak.

"Apa yang kakak doa?" Soalku dengan riak kepelikan.

"Masa sembahyang Maghrib, kakak doa nak tengok Digimon. Allah makbulkan, betul kata Ustaz, doa di bulan puasa, Allah kabulkan" Salsa berkata gembira sambil gelak-gelak kecil, menampakkan gusi depannya yang rongak.

"Ada ke berdoa benda macam tu....." Protes aku.

Salsa terus gelak gembira.

"Ketawa la abah. Kelakar kan....."Kata Salsa lagi.

"Abah tak tahu nak ketawa ke nak menangis....."Jawabku jujur.
 
Itu cerita dulu, di Sabah. Sekarang Salsa dah besar, dah tahu apa yang patut didoakan.

Thursday, July 7, 2011

Keputusan Liga Super Malam Tadi: Tanda Petaka Buat Umno BN (Gelak Dulu) Ha Ha Ha

Geng jersey Hj Hadi sedang berlatih di Pantai Pandak
1. Di Stadium Ipoh, geng jersey KUNING berhabisan mengekang geng jersey MERAH yang desperate mesti menang. Hasilnya, KUNING berjaya menggempur MERAH, sehingga MERAH kena turun satu anak tangga. (0-0)

2. Apapun cerita KUNING dan MERAH di Semenanjung, geng jersey NIK AZIZ berjaya memecah FIXED DEPOSIT Umno BN, Sabah di bawah angin.(1-2)

3. Geng jersey Haji Hadi juga berjaya menumbuk halus satu lagi FIXED DEPOSIT Umno BN. Felda United. (2-6)

Itu ulasan aku, orang lain nak ulas lain, itu dia punya suka. Ini aku punya suka, ha ha ha.

Tuesday, July 5, 2011

Jangan Bakar Jambatan Lagi, Rais!

Klik sini untuk ceritanya. AlFatihah untuk pahlawan kita.
Di atas Jambatan Sultan Yahya Petra yang jem
aku memandang arus sungai yang mewarnai skyline Kota Bharu
sambil bertanya kepada Tok Janggut

Di atas Jambatan Sultan Mahmud yang gah
aku memandang pondok tol yang ditutup Hj. Hadi
sambil bertanya kepada Haji Abdul Rahman Limbong

Di atas flyover ke Ayer Keroh di Melaka
aku menyampah melihat billboard bermuka Ali Rustam
sambil bertanya kepada Dol Said

Di atas jambatan di Ranau setelah kepenatan memandu dari Tawau
aku berhajat singgah di kedai sup gadis Dusun bertudung yang cantik
sambil bertanya kepada Pahlawan Mat Salleh

Di tepi Sungai Sarawak dikala mencari gambir
aku asyik terkenangkan isterinya dan Taib Mahmud
sambil bertanya kepada Rosli Dhoby

Di atas Jambatan Sayong di Kuala Kangsar
aku membandingkan Zambry dan Nizar
sambil bertanya kepada Dato' Maharaja Lela

Di kala atas jambatan merentasi Sungai Rompin
aku cuba sedaya melupakan si Jarjis di New York
sambil bertanya kepada Datok bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau

Dikala dekat jambatan kayu di Sungai Ramal, Kajang
dek tersesat mencari kedai satay Haji Samuri 
aku ternampak berkelompok manusia memakai baju kuning
sambil bertanya kepada Leftenan Adnan Bin Saidi

Benarkah kata mereka kita merdeka di meja rundingan tanpa setitis darah?

Sunday, July 3, 2011

Hei Pa! Hei Wa! (Hei Jude)

Leave The Red Warriors alone!
Kalau nak berpolitik, nak bergelombang merah, janganlah tumpang glamour The Red Warriors.

Gentleman la sikit bro kalau tak malu pun.

The Red Warriors pun kena ingat, ada satu lagi game Liga Super dengan Sabah 6 Julai ni di Kota Kinabalu sebelum dapat title juara liga. Jangan diikut sangat chong Umno tu. Jangan hampakan penyokong yang pelbagai colour. 

Saturday, June 25, 2011

Veto 1Malaysia

Anak-anak semua tak makan budu
Kakak -03- Kelantan
Kak Yong - 08 - Perak
Adik - 12 - Sabah

Masa Kelantan vs Perak baru-baru ni, Kak Yong sokong Perak.

"Jangan cakap dengan saya, awak sokong negeri lain," kata Kak Yong kepada Adik.

"Lepas ni nanti, Adik kena sokong Sabah," Kakak pula mencadangkan kepada Adik merujuk kepada perlawanan liga terakhir antara Kelantan dan Sabah yang penting untuk Kelantan menjadi juara liga (Dah lah Piala FA terlepas!).

"Tak boleh!" Aku menyampuk.

"Semua sokong kena ikut negeri ibu bapa!"

Kajol hanya senyum bersetuju.

Saturday, April 23, 2011

You Asal Mana ?

Wherever I lay my hat,
that's my home
 - Kata Paul Young
Bila aku melalui kampung Telaga Putat di Terengganu, aku terfikir pernahkah seorang budak yang dipanggil Putat telah membuat jasa di sini dengan menggali sebuah telaga yang akhirnya dapat digunakan oleh seluruh penduduk kampung?

Aku tahu nama Guchil kampung aku di Kelantan adalah sempena nama pokok guchil yang buahnya sebesar manik dan rasanya masam-masam manis.

Nama Beaufort di Sabah mungkin digunakan untuk mengubati hati terlara kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran ke luar negeri kerana tidak credit Bahasa Malaysia.

Nilam Puri bagi aku adalah nama yang paling indah dalam Malaysia yang menempatkan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Kampung Aur Cina, Pasir Mas adalah tempat aku bertemu jodoh. Di situ yang ada hanya aur, Cina tak ada seorang pun di situ. Yang berwajah iras-iras Cina adalah. Yang iras Kajol pun ada.

Batu Buruk mungkin hanyalah kata-kata penyair yang kedapatan di situ yang frust dengan harga sotong celup tepung yang naik mendadak atau mungkin juga gelaran penduduk untuk ketua kampung mereka yang ada masalah kelelakian.

Pengkalan Chepa tempat aku mengenal kehidupan di MRSM KB dahulu menggambarkan sebuah pengkalan yang mungkin diasaskan oleh seorang yang bernama Mustafa yang kebiasaannya dipanggil Che Pa. Dekat Pantai Sabak di sinilah menjadi pengkalan pendaratan tentera Jepun semasa menjajah Malaysia. Di sini juga terletaknya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Taman Temiang Jaya pernah aku diami semasa berintensif Bahasa Inggeris di Kolej Negeri, Negeri Sembilan. Ianya berdekatan Taman Rasyidah Utama yang menjadi tajuk lagu popular Wings yang menjadi teman study aku untuk menghadapi SPM.

Taman Shamelin Perkasa, Cheras adalah tempat aku mengambil A-Level. Shamelin, aku pernah diberitahu adalah Syarikat Melayu Insaf yang diasaskan untuk mengumpul kuasa beli orang Melayu. Wallahu a'lam. Err... Perkasa tu tiada kaitan dengan Ibrahim Ali pada masa itu.

Bath, Avon tempat aku belajar dahulu bukanlah kerana orang di situ suka menggunakan barangan Avon semasa mandi. Di situ banyak kolam air panas dahulu, hinggakan hentian keretapinya dinamakan Bath Spa. Lagi ada Roman Bath yang popular yang dibina oleh penakluk Rom zaman dahulu. Avon itu adalah nama county atau jajahan di situ. Mungkin pengasas produk Avon adalah anak jati di situ.

Setelah bekerja, aku pernah merempat di Bandar Tasek Selatan yang pernah menjadi tajuk lagu dendangan Kumpulan Olan yang aku tak pernah minat kerana lagunya yang bagiku berlendir-taber. (Di Malaysia, kebanyakan orang terpaksa merempat di awal kerjayanya. Kenapa?)

Sembrong di Johor aku tak pernah kenal, tetapi namanya ... Ahhh...kalau aku komen nanti orang di situ marahkan aku pulak. Yang aku tahu ahli parlimennya adalah Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn.

Sauk di Perak popular dengan tragedi Al-Maunah lama dahulu. Jika kita dari Kelantan ke Ipoh, kita akan melalui pekan Kuak, Sauk dan Kati. Ada orang Perak bilang, ianya menggambarkan orang kampung yang mencari rezeki di sungai dan bendang. Kuak dulu semak-samun, sauk, dapat ikan, kemudian timbang kati untuk jual.

Di Perak juga sebelah utaranya ada Larut, Matang, Selama. Maknanya sama sahaja. Menggambarkan masa yang lama, kematangan, forever. Tak ada kena mengena dengan motto Umno dulu, kini dan selamanya. Ahli Parlimen Pas yang pertama dahulu bertanding dekat-dekat sinilah. Perempuan lagi!

Kota Sarang Semut di Kedah namanya begitu unik. Menggambarkan impian kanak-kanak dan fiksyen seorang marhaen.

Nama Tongod, Moynod, Sukau, Paitan, Bundu Tuhan, Bundusan, Tamparuli, Leepang mungkin ada maknanya yang tersendiri dalam bahasa Kadazan atau Dusun atau Bajau.

Jeroco bukan hanya berada di Israel, tetapi di 80km off-road Lahad Datu-Sandakan. Jalan tanah merah berbatu kerikil. Kalau hujan tersangkutlah di situ. Jauh dan ulu pun, ada juga cikgu terutama ustaz dari Kelantan mengajar di situ.

Satu nama yang aku suka ialah Kota Samarahan, sebab ia berbunyi seakan-akan Samarkand.

Pantai Remis di Perak bukanlah kawasan pantai untuk berkelah. Ianya nama pekan lama yang sesuai untuk Pengarah Filem Mamat Khalid buat cerita zombie dan hantu yang seterusnya.

Kunak berdekatan Madai yang berada di antara Lahad Datu dan Tawau tiada kena mengena dengan kerabat istana Kelantan samada yang masih hidup atau yang telah mati.

Semporna, gateway to Sipadan tidaklah sesempurna mana. Shafie Afdal perlu tumpukan kawasan dia ni dulu sebelum ke hulu-ke hilir tak tentu kalu dengan mulut mengondem pentadbiran orang lain.

Kinabatangan semestinya berkait rapat dengan Sungai Kinabatangan di Sabah. Di sini didiami ramai orang etnik Sungai yang mengikut bancian rambang aku, kaum wanitanya adalah antara yang tercantik di Sabah. Yang lelaki adalah sekacak Bung Mokhtar Radin.

Chendering tempat aku tinggal sekarang, adakah ianya pernah tersohor dengan penjual chendol berambut kerinting yang kurus kering?

Banyak lagi nama tempat yang semuanya ada kelebihan dan cerita tersendiri. Andalah yang mengulasnya sendiri. Sekian.

Thursday, April 7, 2011

Aku Bukan Takut Bini...Cuma...


Salsabila gelak besar melihat
Yong posing maut

Biasanya jika aku tiada kerja di luar, habis waktu pejabat, aku terus balik rumah. Jarang aku nak layan sembang kat kedai kopi selepas kerja. Bagi aku balik rumah lagi afdal.

Sesekali bila kawan ajak, aku join juga. Nanti orang kata anti-sosial pulak. Aku kalau bab berbual, champion jugak. Setakat sejam dua tu tak terasa. Dah masuk waktu Maghrib baru sampai rumah.

Wife aku tak pernah kesah. Dia cool aje. Cuma tuan puteri rumah aku aje yang sound.

“Kenapa abah balik lambat, mama?” Tanya Salsabila, anak sulung aku. Semasa tu umurnya baru 7 tahun.

“Kenapa tanya mama? Tanyalah abah?” Jawab isteri aku.


Dengan suara nyaring penuh tanggungjawab, Salsabila menginterrogate aku.

“Abah! Kenapa balik lambat ? Abah ada teman wanita ke?”

ADOISSHH.





Tuesday, March 1, 2011

Peliknya Seorang Cleaner India

Priyanga, paling ngetop dalam kelas
Semasa masih bertugas di Sabah, seorang rakan sepejabat berkata kepada aku,

"Baru ni semasa saya pergi Putrajaya, saya pelik betul tengok seorang cleaner India," rakan perempuan ini membahasakan dirinya 'saya', walaupun kebiasaan orang Sabah akan membahasakan diri mereka 'aku'.

"Apa yang pelik?" Aku menyoal.

"Itulah yang pelik, cleaner India. Saya tanya dia, kenapa kamu buat kerja ini bah..." Katanya lagi. Budak Bugis ini memang vocal orangnya.

Aku rasa aku sudah faham, lalu memberitahunya.

"Itulah Malaysia yang sebenar-benarnya bah. Orang Cina paling kaya, menjadi tauke-tauke bisness, Melayu kerja makan gaji dengan kerajaan. Orang India di estet-estet, buruh ladang, tarik kabel, tukang sapu....Di Sabah ni bukan gambaran sebenar bah..." Aku memberitahunya.

Memang di Sabah tidak ramai orang India. Orang Melayu pun tidak ramai. Yang ramai bumiputra Sabah. Kadazan, Dusun, Murut, Bajau, Rungus, Sungai, Bisaya,...ntah aku pun kurang arif.

Orang India dari Semenanjung yang datang ke Sabah boleh dikatakan kesemuanya berjawatan besar. Doktor dan pengurus ladang. Taiko group dan IJM kebanyakannya. Jadi sesiapa yang jarang keluar dari Sabah akan beranggapan orang India memang pemegang status tinggi dalam masyarakat.

Kalau aku jumpa lagi kawan aku tadi, mungkin aku hadiahkan buku Interlok karangan Seniman Negara kepadanya. Bukan cerpen Interlock karangan aku sendiri.

Sunday, January 9, 2011

Hanya Supik Gelenyar


Kanak-kanak perempuan kecil berambut kusut itu semacam mengekori aku. Tangannya ku lihat menggenggam beberapa beg plastik atau supik gelenyar atau jabbey rokrak mengikut bahasa orang Kelantan.


Apabila aku berhenti membeli ikan, si kecil berdiri tercegat di tepi seperti menanti sesuatu. Apabila aku selesai membayar harga ikan dan plastik yang mengandungi ikan diserahkan kepadaku, kanak-kanak itu membuka beg plastik yang berada di tangannya dan menyua kepada aku. Tiada sepatah pun kata terbit dari mulutnya.


Aku seakan mengerti dan memasukkan plastik ikan aku ke dalam plastik yang terbuka luas dihadapanku. Serentak kanak-kanak itu menghulurkan tadahan tangannya. Aku juga terus jadi mengerti dan menghulurkan sedikit duit kepadanya.


Mendapat wang itu, si kecil itu terus berlalu meninggalkan aku. Ada orang lain pula yang perlu diekori.


Itu yang aku perhatikan bila pertama kali ke pasar ikan di Kota Kinabalu. Betul-betul berhadapan dengan Pulau Gaya.


Setelah hari itu, aku jadi banyak mengetahui tentang Kota ini. Tentang kanak-kanak ‘Filipina’ yang tidak bersekolah ini. Tentang bagaimana mereka membesar dan bersekolah di pasar ikan dan kaki-kaki lima. Itulah sekolah mereka. Itulah cara mereka memperolehi pendapatan mereka diusia itu.


Pernah aku jumpa, si comot seusia empat atau lima tahun membawa beg plastik mengekori orang ramai yang sedang membeli ikan. Pandainya budak ini mencari rezeki, fikirku. Terbayang anak aku di rumah yang makan pun mahu disuapi dan asyik mahu didukung. Padahal umur anakku itu setahun atau 2 tahun lebih daripada budak comot itu.


Kebiasaannya 20 sen akan diberikan kepada kanak-kanak ini apabila beg plastik mereka digunakan. Pernah kawanku bertanya masa mula-mula aku ke sana,


“Hang bagi berapa?”


“Singgit”


“Tak usah, bagi 2 kupang je... Bukan budak tu yang dapat pun, ada kaki yang supply plastik tu. 2 kupang cukup,” beritahu kawan aku yang setahun lebih dahulu mengalami fenomena ini berbanding aku. Betul atau tidak, aku tak berminat untuk mengambil tahu lebih lanjut. Asalkan aku tidak menghampakan budak-budak kecil yang sepatutnya belajar ABC dan 1 2 3 di sekolah itu.


Sejak hari itu, memang aku bagi 20 sen sahaja. Kadang-kadang kalau 50 sen yang keluar kocek, 50 sen lah aku bagi. Memang sebelum ke pasar, aku pastikan ada duit syiling dalam kocek.


Itu cerita 5 tahun dahulu.


Seminggu lepas, hari Sabtu di Mydin Kuala Ibai, aku beratur untuk membayar barangan yang hendak dibeli. Aku mendengar si cashier bercakap dengan wanita yang beratur di hadapan aku.


“Kak ada bawa plastik sendiri?”


“Kenapa?” Tanya wanita itu kehairanan.


“Hari ni kita tak bagi plastik.... Kalau nak jugak, kita caj 20 sen,” cashier itu terus memberitahu sambil tersenyum tawar.


“Mengapa pula?” Wanita itu bertanya tidak faham.


Aku yang berdiri di belakangnya sudah faham kerana aku sudah membaca mengenai kempen ini yang telah dijalankan di beberapa negeri.... Dan aku amat tidak menyetujui kempen ini yang bagi aku tidak sempurna. Kempen ini bagi aku ibarat orang yang baru belajar kuda-kuda silat gayong, terus mahu mencabar Ibrahim Ali berlawan silat. Apa makna plastik yang begitu banyak bergantungan ditepi cashier itu jika mereka serius mahu menyelamatkan alam sekitar? Apa makna rokok yang beraneka warna yang dijual jika nak menyelamatkan alam sekitar?


Jika nak kurangkan penggunaan beg plastik, bagitahulah awal-awal. Uar-uarkanlah awal-awal. Buat kempen betul-betul. Biar orang faham dulu. Biar Mydin pun faham dulu. Kalau dah nak kurangkan beg plastik, kenapa dibekalkan juga dan dicaj? Itu mengikut namanya!


Beg plastik sebenarnya adalah salah satu ciptaan ‘simple’ yang paling banyak membantu orang ramai. Masalah sampah daripada plastik yang dikatakan payah terurai, sekurang-kurangnya ia tidak membebaskan gas-gas yang menyebabkan kesan rumah hijau dalam masa terdekat seperti bahan buangan lain yang cepat terurai.


Pulau daripada sampah yang dibuat di Jepun dan beberapa tempat lain lagi tu, adakah ianya daripada timbunan lebihan burger atau kulit pisang yang dibuang? ....


“Hari Sabtu sahaja kak, kita mula hari ni.... Kak nak bayar plastik?” Gadis cashier menerangkan dengan gaya memujuk. Nak tak nak, wanita itu terpaksa membayar harga plastik. Aku tahu bukan nilai 20 sen yang dimusykilkan oleh wanita ini.


“Kita tinggal saja barang ni kat sini.... Mari kita balik, ” aku bersuara memprotes sambil mengajak anak-anak balik.


Anak-anak mengikut dalam kebingungan.


“Kenapa? Abah tak cukup duit ke?” Tanya anak tengahku, Yong. Aku diam terus menuju ke kereta.


Bukan aku tak menyokong hasrat mana-mana pihak untuk menyelamatkan alam sekitar. Tetapi aku ada prinsip dan pendapat aku sendiri. Banyak lagi cara untuk menyelamatkan alam sekitar selain daripada mengutip 20 sen bagi sehelai beg plastik.


Aku telah melihat bagaimana sehelai beg plastik nipis dapat mengenyangkan anak-anak yang terbiar di Kota Kinabalu. Aku juga dapat membayangkan nilai 20 sen yang dibayar untuk sehelai supik gelenyar atau jabbey rokrak ini kepada para nelayan di sekitar Chendering dan Kuala Ibai yang tak dapat ke laut di musim tengkujuh ini, sedangkan anak-anak mereka nak masuk sekolah sesi 2011 esok!

Saturday, January 8, 2011

Sejenak Bersama Datok Seri


Suatu masa di Kota Kinabalu aku pernah berada di kiri Datok Seri Lee Lam Thye sebelum satu sidang akhbarnya bermula.

Aku kenal dia. Dia tak kenal aku. Jadi tak adalah common topic yang dapat kami bualkan. Aku berada di kirinya pun sebagai bidan terjun sahaja.

Sebagai seorang negarawan yang disegani, beliau mestilah berborak perkara-perkara yang ada substance sahaja.

“We Malaysians are very good.........” Datok Seri Lee membuka bicara. Aku dan seorang lagi bidan terjun di kanannya serentak berpaling kearah beliau untuk mendengar lanjutan kata-katanya.

Memang sekarang kalau Lee Lam Thye bercakap, semua orang akan mengambil kertas untuk menulis nota. Kata-katanya cukup berharga sekarang. Aku kenal Lee Lam Thye sebelum dia belum ada sebarang gelaran lagi. Dulu beliaulah ahli parlimen DAP yang paling digeruni oleh Barisan Nasional. Akupun kagum dengan cara kerja beliau yang begitu bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan apa yang beliau fikirkan benar.

Walaubagaimanapun memandangkan beliau adalah ahli parlimen daripada parti pembangkang, kebijaksaan dan kelebihan beliau hanya mendapat tempat di sebelah pihak sahaja. Dahi beliau kalau keluar TV pada masa itu, hanyalah untuk publisiti yang tentunya buruk dan teruk kepada DAP dan seluruh parti pembangkang. Beliau tiada tempat di media utama negara ini pada masa itu.

Akan tetapi, apabila beliau berundur daripada DAP dan bertindak sebagai non-partisan. Beliau terus mendapat tempat di agensi-agensi kerajaan dan swasta. Beliau dilantik menjadi orang besar PEMADAM, walhal kata-kata beliau dulu asyik cuba diPADAMkan oleh media-media utama. Sehingga sekarang beliau terus menjadi berharga dan sekaligus figure penting di Malaysia.

“.....We are good because here in Malaysia all of us can speak at least two languanges,” itu yang hendak diperkatakan oleh Datok Seri. Kami kedua-dua bidan terjun mengangguk-angguk, lagak pengampu sahaja. Memang semasa itu isu negara kita tengah geger dengan isu PPSMI.

“Almost anybody can speak English in Malaysia....” Datok Seri terus berkata-kata. Aku ingat, dia pun tak ada modal nak berborak dengan kami yang marhaen ini. Pusing-pusing itu saja kata-katanya.

Sebenarnya nak juga aku menyampuk, tapi seganlah pulak. Lalu aku hanya menyampuk di dalam hati.

“Sure Datok Seri, as a matter of fact, apart from Englishmen and Americans, almost anybody in this world can speak or understand at least two languanges.”

Friday, December 3, 2010

Air Tawar


Dulu masa di Sabah, pernah aku pergi jumpa seorang ustaz untuk minta air tawar bagi penerang hati anak. Anak asyik meragam dan sering meruja kesabaran aku ke tahap yang agak gaban. Jadi salah satu usaha, pergilah minta air tawar dengan ustaz tersohor ini.


Ustaz ini ada sebuah pusat rawatan di Likas disamping menjual barang-barang keperluan yang lain.


"Keras budak ni," kata si ustaz apabila anak aku sudah berada di depannya.


Ustaz membaca ayat-ayat al-Quran. Di depannya ada sebotol air mineral besar yang telah aku beli siap-siap.


"Kena datang lagi 14 kali," kata ustaz, sambil menutup botol air mineral.


14 kali ?


Aku nak air tawar sahaja, bukan nak mengubati anak aku. Cukuplah sekali ini!


Sesekali aku pergi juga ke kedainya, bukan untuk berubat tetapi untuk beli ayam. Murah sikit harga ayam di kedai ustaz ini daripada tempat lain di sekitar Kota Kinabalu. RM8.50 sekilo.

Monday, May 24, 2010

Rahsia 35 Tahun Terbongkar

.
Dalam kesejukan 4.30 pagi, aku mengetuk pintu rumah. Mak menyambutku dengan wajah ceria dan bercahaya. Aku agak mak dah lama bangun. Memang kebiasaan mak bangun awal dan solat sunat. Selepas itu mak akan membuat kerja-kerja rumah sehingga masuk waktu Subuh dan terus ke masjid.

Kebetulan abang aku pun ada di rumah mak, jadi kami berborak mesra pagi tu. Mak, abang dan aku. Sejak aku ke Sabah, memang jarang kami dapat berpeluang bersama adik-beradik. Jadi pagi yang dingin itu kami hangatkan dengan kisah-kisah lampau. Kisah Bakri, kisah Noji, kisah Shano, kisah Inun (bukan Inul Daratista), kisah Jah, kisah Mek Na, kisah Nawi, kisah Moli. Tak lengkap tanpa kisah arwah Ayah. Sebenarnya kerana kami semua rindukan arwah ayah.

Kisah kenakalan Nawi sering membuatkan aku terkekeh walaupun dah banyak kali aku mendengarnya. Mak pula sering menyebut dia mengidam nak makan pelanduk (atau rusa?) semasa mengandungkan Nawi. Alhamdulillah, arwah Ayah dapat mengadakannya dengan tulang empat keratnya.

Juga Mak mengingatkan aku tentang kecekalan Jah dan Inun mengasuh adik-adik. Terutama Inun yang terpaksa keciciran sekolah kerana mengasuh adik-adik. Kisah bakri yang pada mulanya malas pergi sekolah, dan arwah ayah secara psikologinya membawa dia pergi membajak sawah, untuk dia melihat itulah masa depannya jika tidak ke sekolah. Akhirnya Bakri bersekolah sampai tua, sekarang pun masih ke sekolah lagi haha. Sampai naik kapal terbang nak ke sekolah....

Akhirnya, emak membuka satu rahsia,

“Mujur arwah Ayah daftar nama mu Ramli.... Mak suruh letak P. Ramlee....”

Rupanya Mak peminat P. Ramlee juga. Maklumlah aku lahir tahun 1972, setahun sebelum P. Ramlee meninggal di usia muda.

“Mujurnya mak.... Terima kasih ayah,” kataku buat-buat serius. Abang aku, Nawi gelak sakan. Tadi aku yang gelak tentang kenakalannya.

Aku amat yakin, kalau arwah Ayah daftar nama aku P. Ramlee pada masa itu, pasti kerani dekat ofis pendaftaran tu akan tulis PIRAMLI begitu.

Terima kasih ayah kerana menyelamatkan aku selama 35 tahun ini. Ha Ha Ha...
.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...