Showing posts with label Bath. Show all posts
Showing posts with label Bath. Show all posts

Wednesday, August 29, 2012

Janji Ditepati

Belum pun pukul sembilan pagi, aku sudah tercongok di foyer library. Hari ini adalah hari yang paling bersejarah dalam hidup aku setakat ini. Seorang lelaki pemalu yang pernah takut kepada perempuan akhirnya akan keluar dating dengan seorang gadis. 

Memang sukar dan berat pada mulanya bagi aku untuk mendekati gadis ini. Namun atas nasihat, motivasi  dan kerja sabotaj kawan serumah, akhirnya aku beranikan diri. Apatah lagi bila kadang-kadang motivasi diberikan bersama petikan gitar si Porom sambil mendendangkan lagu Michael Learns To Rock iaitu 25 minutes.

"Itu baru 25 minit lewat, orang dah sapu...." Bakar si Atuk.

"Yang penting sampaikan mesej kepada si dia iaitu... Hang suka dia..." Sambung pula si Apip.

"Dia nak terima ke tidak, itu soal nombor 2, soal nombor 1.... Biar dia tahu seseorang di sini suka banget sama dia," si Sahak pula berfalsafah lagak pakar cinta.

Akhirnya, entah macam mana magisnya, mesej aku sukakan si dia sampai kepadanya. Tindak balas kimia daripadanya cukup cantik dan positif penuh dengan bunga-bunga dan rama-rama. Entah dari mana datangnya kekuatan, aku akhirnya mengajak dia keluar di suatu kesempatan. Jawapan 'ya' dari si dia membuatkan aku rasakan diri ini umpama emas lapan kilo. 

Dan di foyer ini aku berdiri hari ini, pukul 9.15 a.m. Namun si dia masih belum di mana-mana untuk dilihat.

"Janji di sini pukul 9.00...." Aku mengingatkan diriku. Mana tahu jika aku tersilap tempat janji pertemuan.

Rupanya menunggu orang yang kita suka dan puja adalah suatu nikmat, buktinya sekarang sudah pukul 9.50 a.m., namun aku tiada rasa fed-up atau marah sedikitpun.

Biasanya aku kalau menunggu sesuatu atau seseorang, cukup sekadar setengah jam sahaja. Semasa aku tinggal di Kuala Lumpur dahulu, aku hanya bersabar menunggu bas mini setakat 30 minit sahaja. Selepas itu aku akan berasap walaupun aku terpaksa naik jua bas yang lewat itu.

10.30 a.m., si dia masih belum nampak bayang namun tiada kedutpun di dahi aku.

Kenapa aku tak telefon? Kau tanya kenapa aku tak telefon atau sms atau miss call saja dia? Hei kawan, sudah atau belum aku beritahu engkau bahawasanya ini kisah tahun 1993! Ini memori, past tense bukan present tense. Masa ini handset sudah ada, tetapi hanya ahli korporat sahaja yang pakai. Itupun besarnya mak oiii... Macam bawak Nokia 3310 lapan biji sekaligus! SMS jangan ceritalah, tak terfikir pun lagi masa tu.

10.45 a.m. Mana dia ni...... Tapi aku tak marah sedikit rabutpun.

10.57 a.m. Si dia akhirnya sampai bersama senyuman yang paling manis yang pernah aku lihat. Aku turut tersenyum walaupun dalam hati aku berkata, kalau mak aku tahu hal aku dating ini habislah kaooo.

"Dah lama tunggu?" Sapa si gadis.

Aku yang sudah berada 2 jam di foyer library ini menjawab semesra mungkin agar si gadis tahu yang aku tidak marah atas kelambatannya.

"Dari pukul sembilan I di sini."

"Pukul sembilan? Semalam you kata jumpa kat sini pukul Sebelas...." Si gadis menjadi sedikit keliru.

Oooo.... Patutlah. Tiada isu sama ada si dia yang silap dengar atau aku yang tersilap cakap. Mungkin juga kerana bila hati dah suka, kata di hati dah tak sama dengan kata yang keluar dari peti suara.

Tak penting apa yang si dia dengar, yang penting janji yang si dia cuba tepati.

Saturday, December 17, 2011

CINTA BELVEDERE : Pagi Summer Yang Dingin

Belvedere. Ihsan Google
Selesai solat subuh, Hatta bergerak ke tingkap dan menyelak langsir tebal yang meyelimuti cermin tingkap sejak semalam. Kelihatan matahari timur sudah mula mengintai dari sebalik Bathwick Hill, bukit yang menempatkan University of Bath. Cahaya matahari tepat memancar ke dalam mata Hatta yang sedang mengintai dari tingkap apartment Belvedere yang menghadap Bathwick Hill.

Summer begini, memang selalu Hatta bersolat subuh berkejaran dengan sang matahari. Sang matahari terlalu tidak sabar untuk keluar, padahal penduduk di sini baru sahaja rasanya melelapkan mata di bantal masing-masing. Pun begitu, Hatta yakin setiap kejadian Allah ada hikmahnya. Memang semuanya diciptakan bagi makhlukNya untuk sentiasa berfikir.

Lansdown Road di hadapan Belvedere Apartment masih kosong. Masih terlalu awal. Mata Hatta tiba-tiba beralih ke arah milkman di seberang Lansdown Road. Begitu gigih dia mendaki Lansdown Road untuk bergerak dari satu pintu apartment ke pintu apartment yang lain demi memenuhi tempahan susu segar daripada pelanggannya.

Milkman itu berhenti di satu pintu apartment yang berada betul-betul bertentangan dengan apartment Hatta. Dia meletakkan 2 botol susu segar dan mengambil 2 botol kosong yang tersedia ditinggalkan di situ.

“Oooo.... Patutlah kulit mereka putih mulus,” tiba-tiba Hatta bersuara sendiri.

“Apa yang putih mulus tu ?” Tiba-tiba Atuk yang sedang terbungkus di bawah duvet bersuara. Rupanya dia belum lena selepas tidur semula setelah solat subuh tadi.

“Takde apa. Tido lah engkau.....” Jawab Hatta, malas melayan Atuk.

Rupanya Lili dan Aya, penghuni apartment di seberang jalan minum susu segar terus dari ladang setiap hari. Memang patut kulit mereka licin dan gebu begitu jika minum susu segar setiap hari. Hatta kenal Lili sejak dari first year lagi. Lili budak Cina Penang yang belajar business administration. Orangnya baik, hati dan pekertinya cantik, secantik orangnya. Lesung pipitnya menambah manis senyuman Lili yang selalu disedekahkan kepada Hatta apabila mereka terserempak.

Manakala Aya, Hatta kenal dari jauh sahaja. Aya budak Jepun yang seksi. Pakaiannya memang menyeksakan mata Melayu seperti Hatta yang memandang. Apalagi di summer time begini. Lagi seksa! Namun setakat yang Hatta kenal, Aya memang baik dan peramah. Aya selalu juga berborak dengan housemate Hatta, Si Porom yang pandai berbahasa Jepun. Bila Aya speaking pula, lidah Jepunnya persis Maria Ozawa yang sedang memperagakan baju pagoda.

“Hei Atok.... Kita order susu segar dalam botol nak?” Hatta berpaling kepada Atok yang masih terbungkus di bawah duvet.

“Susu Sainsbury’s cukuplah geng! Jangan kacaulah, aku nak tidur. Nanti pukul lapan kita kena kerja,” jawab Atok sambil menutup kepala kembali dengan duvet.

Hatta menutup langsir, berjalan ke katil dan menyelit masuk ke bawah duvet. Di kepalanya masih terlekat Aya.

Sunday, September 18, 2011

Konvokesyen UniSZA

John & Max
Hari ini aku dan seorang kawan sempat menjengah ke Pesta Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak. Saja tengok-tengok mana tahu kalau-kalau ada peluang, rezeki dan nafsu untuk aku belajar lagi.

Kalau belajar lagi, insyaAllah bolehlah aku naik pentas ambil ijazah yang telah aku lepaskan peluang itu lama dahulu dengan kononnya membawa diri pergi mengutip buah strawberi di daerah asing.

Pun begitu, aku tak menyesal sedikit rabut pun!

Thursday, September 15, 2011

Blues Anak Melayu 4 : Kalau Ada Sumur Di Ladang

Relakan kami pergi
Seminggu lebih aku berada di Ledbury. Kulit muka sudah kering garing. Tangan juga sudah berbutir dan gatal-gatal. Aku rasa penangan  allergic kepada pokok-pkok nettles yang menyelinap di celah-celah dedaunan strawberi.

Aku mengambil keputusan untuk balik ke Bath. Aku menyatakan hasratku kepada Greng dan Rahim al-Putet. Mendengar hajat aku, mereka juga bercadang untuk balik ke Cardiff. Cukuplah seminggu lebih menjadi kuli batak orang putih yang beratus-ratus tahun menjadi penasihat kepada bangsa aku di Tanah Melayu.

Gatalnya tangan
Ladang yang luas terbentang kami tinggalkan. Kali ini kami berjalan kaki sehingga ke stesen keretapi. Keletihan berjalan tidak terasa apabila aku menikmati sepenuhnya pemandangan ladang-ladang yang subur menghijau luas terbentang. Aku berbisik kepada diriku, mungkin suatu hari nanti, aku juga boleh menjadi seorang peladang yang berjaya di Malaysia.

Sepanjang berada di Ledbury, aku, Greng dan Rahim al-Putet sempat juga melilau di pekan Ledbury. Pekannya kecil sahaja, tetapi cantik dan bersih. Sesuai untuk set lokasi penggambaran siri drama Midsomer Murders. Satu drama TV cerita penyiasatan sempoi yang aku cukup gemari.
Sekeping poskad yang tidak terhantarkan

Aku berpisah dengan Greng dan Rahim al-Putet di sebuah stesen keretapi yang aku lupa namanya apabila kami terpaksa mengambil haluan masing-masing. Mereka ke Cardiff City, manakala aku ke Bath City.

Aku akhirnya tiba di Bath di saat kawan-kawan sedang mencuba gaun konvo masing-masing. Begitu teruja mereka menggayakan gaun keramat itu. Manakala aku hanya menumpang kegembiraan mereka dengan senyuman di bibir yang kering-garing dek dibakar mentari Ledbury .

Aku tumpang gembira
Di Bath University, skrol ijazah yang diperolehi pada hari konvo adalah yang asli, yang betul-betul. Buka skrol kosong. Padahal majlis konvokesyen dibuat dalam masa hanya beberapa minggu daripada tarikh peperiksaan akhir.

Setiap yang mula, pasti berakhir. Aku yang selalu mengomen sejuk hingga ke tulang sum-sum sekarang berasa agak sedih untuk meninggalkan bumi Penasihat Kerajaan Tanah Melayu yang begitu unik dan indah ini. Sayang juga untuk mengucapkan selamat tinggal kepada University of Bath yang berada di puncak sebuah bukit yang dikelilingi kehijauan dan di kakinya terletak sebuah bandar Roman yang menjadi tumpuan pelancong dan orang pencen.

Terima kasih universiti yang banyak mengajar aku menjadi seorang lelaki, pencinta dan bro.

Hari-hari terawal di Bath

Friday, September 9, 2011

Blues Anak Melayu 3 : Awan Nano

Masak apa tu?
Walaupun matahari tidak tegak betul-betul di atas kepala, namun cukup perit kulit aku dimamah bahangnya. Kalau di Guchil, udaranya lembap walaupun suhunya panas ceng-ceng. Di Ledbury ini, matahari summer tidaklah sepanas mana, semacam Cameron Highlands sahaja. Apalagi sesekali angin semilir datang menerpa. Woosshhh.... Nyaman bangat. Tetapi di Ledbury ini cuacanya kering. Cukup untuk membuatkan kulit Melayuku gatal-gatal.

“Adoiii...”

“Kenapa?” Greng berpaling ke arahku.

“Daun pokok ni menyengat la!” Aku menjawab sambil menggosok-gosok tangan.

Stinging nettle banyak kedapatan mencelah di antara pokok-pokok strawberi dan jika tersentuh, ouchhh... Memang menyakitkan.

(Stinging nettle is a dioecious herbaceous perennial, 1 to 2 m (3 to 7 ft) tall in the summer and dying down to the ground in winter. It has widely spreading rhizomes and stolons, which are bright yellow as are the roots. The soft green leaves are 3 to 15 cm (1 to 6 in) long and are borne oppositely on an erect wiry green stem. The leaves have a strongly serrated margin, a cordate base and an acuminate tip with a terminal leaf tooth longer than adjacent laterals. It bears small greenish or brownish numerous flowers in dense axillary inflorescences. The leaves and stems are very hairy with non-stinging hairs and also bear many stinging hairs (trichomes), whose tips come off when touched, transforming the hair into a needle that will inject several chemicals: acetylcholine, histamine, 5-HT or serotonin, and possibly formic acid.[2][3] This mixture of chemical compounds cause a painful sting or paresthesia from which the species derives its common name, as well as the colloquial names burn nettle, burn weed, burn hazel. – Sumber: Wikipedia, The Free Encyclopedia)

Aku mendongak ke langit, melihat hamparan halus awan yang kelihatan seperti taburan bedak Amami di papan karom. Begitulah awan nano setia melindungi diri tika panas mencuba menggores pipi.

Aku terfikirkan kisah seekor pipit yang tak jemu-jemu memunggah air dengan paruh kerdilnya. Dia berulang-alik berbuat begitu untuk memadamkan api yang sedang membakar tubuh Nabi Ibrahim. Si pipit berusaha membantu menyelamatkan orang yang mengajak manusia ke jalan kebenaran berdasarkan kemampuannya. Dia cuba memadamkan api walaupun tahu ianya tak akan berhasil. Namun kehendak Allah siapa yang tahu.

Si pipit tidak mahu menjadi seperti cicak yang sedang galak meniup api yang sedang marak. Sebenarnya tidak berdegih sedikit rabut pun api dengan sebab tiupan cicak yang kurus kering macam cicak kubeng itu, namun perangai celaka makhluk ini cuba sedaya upaya membantu dan mengampu kekufuran Namrud. Sekaligus membantut usaha ke arah kebenaran.

Begitulah awan nano setia melindungi diri tika panas mencuba menggores pipi. Walaupun awan nano sesaiz ten to the power of minus nine (10 kuasa -9), namun awan nano cuba juga berkhidmat untuk membantu manusia peasant yang seperti aku lakukan sekarang ini, yang kekeringan dibakar mentari summer Ledbury.

Awan nano tidak seperti nettle yang menyusup diam-diam di antara hijau daun strawberi yang sedang mekar ranum berbuah. Mengambil peluang menyengat apabila orang sedang leka dengan godaan merah strawberi berair di bawah hangat mentari.

Begitulah agaknya peranan golongan cicak dan nettle semasa PUTERA-AMCJA sedang hampir pasti berjaya membawa draf People’s Constitution sebagai permulaan untuk pemerintahan sendiri dahulu. Setelah draf ini ditolak oleh Penjajah Inggeris, PUTERA-AMCJA telah menganjurkan Bersih 0.0 HARTAL satu boikot ekonomi yang begitu mengesankan.

Begitulah puak-puak nettle menggigit dalam diam untuk merencatkan pergerakan PUTERA-AMCJA. Juga puak-puak cicak yang terus meniup kononnya untuk memarakkan api yang membakar Nabi Ibrahim yang sedang selesa diberi nikmat hawa dingin oleh Allah walaupun berada dalam api yang sedang marak. Entah berkesan atau tidak tiupan cicak-cicak itu, atau penjajah Inggeris itu sendiri yang sememangnya berdalih dengan mengistiharkan darurat pada 1948. Atas alasan memerangi komunis! Senang dan berlesenlah mereka untuk menangkap sesiapa sahaja yang tak sedar diri pandai-pandai nak menyebut merdeka padahal nak buat jarum pun tak reti.

(Ketika itu UMNO di bawah Dato Onn Jaafar tidak memperjuangkan kemerdekaan. Bahkan aktivis kemerdekaan sering diejek dengan kata-kata "nak buat sebatang jarum pun tak pandai, inikan mahu merdeka". – Petikan dari buku 5 Tokoh Gerakan Islam Malaysia m.s 21 ISBN:983-2553-36-9)

“Bro, dah berapa tray?” Aku berpaling. Kelihatan Rahim al-Putet sedang membawa tray ke pusat pengumpulan.

“Baru tujuh termasuk ni. Lu berapa suda?”

“Gua dah sepuluh bro....”

Huii cepatnya. Rahim al-Putet memang casligas. Macam Mat Indera dulu-dulu.

Tuesday, September 6, 2011

Blues Anak Melayu 2 : Melihat Mat Indera di Perbatasan Strawberi

Bersama Rahim al-Putet di luar khemah
Walaupun Jun suasana di UK sudah hangat, tetapi bila tidur dalam khemah di tengah padang, kesejukkannya semacam menjamah hidung kucing! Teramat payah untuk aku memejamkan mata, sekejap mengiring, sekejap terlentang. Tak tahu apa nak buat, aku menyalakan lampu dan membaca buku Huckleberry Finn yang sudah lama aku beli tapi masih belum khatam. Puas membaca, aku mencapai dompet. Dompet ku buka. Dalam samar cahaya lampu bateri, senyuman si dia yang sentiasa menemani aku di dalam dompet jelas kelihatan. Senyuman si dia lah yang mengulit aku ke alam mimpi dibuai hawa dingin ladang Ledbury.

Summer time, malamnya terlalu sekejap. Usai solat subuh, aku bersiap untuk ke ladang. Sengaja aku beli khemah yang besar dan tinggi agar senang aku bersolat di dalamnya. Greng dan Rahim al-Putet pun dapat tumpang solat di dalam khemah aku. Kiranya khemah aku yang paling grand di situ, ala-ala khemah Muammar Ghadaffi sahaja!

Pukul 6 pagi, aku, Greng, Rahim al-Putet dan beberapa orang lagi buruh ladang di bawa menaiki hilux. Kami yang bersesak-sesak berdiri semacam kaler Luna di belakang hilux kadang-kadang melambung kerana keadaan jalan ladang yang tidak rata.

Di ladang, kami diberikan bekas plastik untuk mengisi strawberi. Upahnya 10 pence untuk satu bekas. Penuh sepuluh bekas, dapatlah 1 pound.

Mula-mula mengutip, hampir tiada strawberi yang masuk ke dalam bekas, semuanya masuk ke mulut! Siapa dapat tahan nafsu melihat fresh strawberry yang merah berair sebesar separuh penumbuk? Kah kah kah. Godaan beb.

Di ladang itu, aku berjumpa lagi dengan 2 orang Melayu. Mereka sepasang suami-isteri yang masih belajar.Mereka telah beberapa hari di sini. Kagum aku melihat pasangan suami-isteri muda ini tekun mencari wang walaupun semacam buruh paksa di ladang orang putih ini.

Aku dan Rahim al-Putet berlumba-lumba siapa cepat mengutip strawberi. Mula-mula mencangkung, lenguh mencangkung, merangkak, lenguh merangkak, ala-ala rukuk, letih rukuk, berlunjur. Memang kerja mengutip strawberi ini tidak ergonomik langsung. Akhirnya aku tergelak apabila melihat Rahim al-Putet mengutip strawberi sambil meniarap.

Aku melihat ladang yang luas terbentang. Begini indah dan nyaman negara ini, orang putih British ini masih bernafsu besar mahu menjarah negara orang lain yang berada nun jauh beribu-ribu batu di timur. Beratus tahun mereka menjarah dan mengikis hasil masul Tanah Melayu, sehinggakan fikiran orang Melayu pun ramai yang telah mereka jajah dengan beer, whisky dan cider mereka. Hinggakan orang Melayu ramai yang tidak yakin untuk memerintah sendiri negara mereka tanpa buku kitab perundangan celupan British.

Apabila memikirkan itu, Rahim al-Putet yang sedang memetik strawberi sambil meniarap itu aku lihat tak ubah semacam Mat Indera yang sedang bersiap siaga untuk menggempur pegawai British dan tali barut mereka yang sedang ketawa  berdekah-dekah kuat sambil mentekedarah perahan anggur peram sambil melagakan gelas!

Monday, September 5, 2011

Blues Anak Melayu 1 : Terdampar di Daerah Asing

Stesen kereta lipang Ledbury
Habis peperiksaan akhir, aku membawa diri ke Ledbury. Aku mengambil keputusan untuk tidak menghadiri upacara konvokesyen yang bakal diadakan 2 minggu lagi.

“Rugi bro, sekali seumur hidup,” kata Atuk, rakan kamcingku, separuh memujuk.

“Ye la, bila lagi nak pakai jubah dan topi macam tu,” Apip pula menambah.

Tapi tekadku sudah bulat. Sebulat buah gomak yang sudah lama aku tidak ketemui. Iklan kerja ‘fruit picking’ di Ledbury yang tertampal di Norwood House menjadi jawapan tepat sebagai alasan untuk aku membawa diri.

Dari Bath Spa, keretapi Great Western Railway membawa aku melalui tanah kelahiran Ryan Giggs, Wales sebelum berhenti di sebuah stesen yang berselirat dengan landasan keretapi yang telah aku lupa namanya. Di sana aku menukar keretapi dan meneruskan perjalanan yang memang memukau mataku dengan bukit-bukau yang berbagai warna dan rupa. Kadang-kadang keretapi melalui tepian tasik yang amat indah dengan air tenang kebiruan berlatar belakangkan padang ragut yang menghijau. Akhirnya keretapi berjaya membawa aku mendarat di tanah asing, Ledbury.

Di stesen keretapi Ledbury yang seakan steesen keretapi Bunut Susu itu, turun sahaja dari keretapi, aku terlihat kelibat 2 hamba Allah yang berkulit dan berhidung seperti aku.

“Assalamualaikum.... Melayu?”

“Waalaikumussalam.... Dari mana?”

Aku berkenalan dengan Rahim al-Putet dan Greng yang belajar di Cardiff University, Wales, yang juga berhajat untuk mencari pengalaman melakukan kerja memetik buah strawberi di bumi Ledbury. Siapa sangka, aku yang bermusafir berseorangan, kini telah bertemu dengan 2 insan Melayu di daerah paling asing dalam hidup aku. Ajal-maut, jodoh-pertemuan memang ketentuan Allah. Subhanallah.

Kami menaiki teksi untuk ke ladang tempat bakal kami bekerja sebagai buruh ladang. Di sepanjang perjalanan, aku terpegun kagum dengan keindahan ladang yang begitu indah semacam dalam cerita ‘Legend of the fall’, walaupun filem ‘Legend of the fall’ belum ada lagi pada masa itu dan Brad Pitt pun agaknya masih belum bersunat lagi time itu.

Ladang Ledbury sebenarnya berada tidak jauh dari stesen keretapi. Belum panas punggung, kami telah sampai di pejabat ladang dan disambut oleh seorang wanita 40-an yang aku agak mesti salah seorang pemilik ladang. Kami ditunjukkan kawasan untuk mendirikan khemah dan bilik air.

“At 6 o’clock in the morning, a pick-up truck will be here to take you to the field. So please be ready then,” wanita itu memberitahu kami. 

“ There’s only one rule,” tambah wanita itu.

“No campfire.”

 Kami hanya mengangguk-angguk macam Bangla yang baru kerja stesen minyak di Shell Batu Buruk.
.
.
***Kenapa aku tidak mencatatkan segala butiran perjalanan aku dahulu? 

Saturday, August 13, 2011

Sleepless In London

Marble Arch, pintu masuk ke Hyde Park
Dingin Hyde Park mencengkam hingga ke tulang hitam. Malam itu aku mengalami definisi sebenar ‘sejuk hingga ke tulang sum-sum’ yang selalu aku baca dalam cerpen dan novel. Kedinginan musim  yang minus beberapa degree membuatkan mata aku tidak dapat dilelapkan walau sepicing cuma. Aku mengorek isi beg sandang yang aku jadikan bantal. Aku keluarkan kain pelikat untuk menambah tebal jaket jeans yang menutupi tubuhku.

Aku kepenatan. Begitu juga kawan aku, Apip. Seharian kami berjalan di sekitar kota London. Pagi tadi, sampai sahaja di Victoria Station dari Bath, kami teruskan perjalanan dengan menaiki koc underground untuk mencari Malaysia Hall. Keluar daripada stesen undeground di Marble Arch, kami nampak satu arch yang besar.

“Area sinilah Malaysia Hall, Apip. Kita ronda je, jumpalah tu,” kata aku kepada Apip. Aku pernah di bawa ke Malaysia Hall kurang sebulan yang lalu semasa mula-mula mendarat di Heathrow dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Arch inilah yang aku ingat sebelum kereta pegawai MARA menurunkan aku di Malaysia Hall. Lalu aku dan Apip meneruskan pencarian kami untuk ke Malaysia Hall. Aku ada temujanji di situ hari ini.

“Hari Sabtu terakhir bulan ini, kita jumpa di Malaysia Hall,” itu kata-kata Ze kepada aku sebelum dia bertolak ke Liverpool dengan beberapa senior yang telah sedia menunggu di Heathrow.  Dan, hari ini, Sabtu terakhir Ogos 1992, aku mengajak Apip yang baru aku kenal di University of Bath untuk menemani aku menemui Ze di Malaysia Hall, London.

Kami berjalan ke arah Marble Arch, melintasi bawahnya yang membawa kami terus ke Hyde Park. Taman besar yang tersohor di kota London.

“Pip, kita cari Speaker’s Corner, aku nak bagi tazkirah kat mat salih ni sikit, haha, “ aku berlelucon. Speaker’s corner menjadi tumpuan ramai orang. Cakaplah apa saja yang kita mahu di sana, macam dalam blog juga. Siapa kisah? Nak dengar sudah, tak nak dengar boleh blah. Jangan kutuk agama orang lain dan Queen sudah!

Habis ceruk Hyde Park yang luas itu kami jajat, sehingga menemukan kami dengan Buckingham Palace yang dikawal rapi oleh Queen’s guard yang bagi aku kelihatan amat lucu. Aku hanya mampu terpaku merenung istana bersejarah itu, sambil bernyanyi di dalam hati.

Pussy cat, pussy cat, where have you been
I’ve been up to London to look at the Queen
Pussy cat, pussy cat, what are you there
I frightened a little mouse under her chair

Setelah letih berjalan dan bertanya, akhirnya kami mengambil langkah bijak. Kami naik sahaja the popular London black cab.

“Bryanston Square, please. Malaysia Hall.”

Wosshhh. Bagaikan jin Aladdin, buka mata je terus kami berada di Malaysia Hall. Ha ha... Dah letih, terlena la sekejap kot. Tapi aku sebenarnya ralit memerhatikan senibina dan suasana London.

Di Malaysia Hall, kami terus ke restoran di basement floor. Melepas rindu dendam kepada makanan Malaysia. Habis makan, kami naik ke surau untuk melunaskan hutang kami dengan Tuhan. Zohor dan Asar serentak, itu kemudahan yang Tuhan kami bagi. Terima kasih Tuhanku. 

Selesai solat, aku dan Apip melepak di sekitar Malaysia Hall sambil mata aku melilau mencari kelibat Ze yang berjanji dengan aku untuk bertemu pada hari ini, di sini. 

Setelah yakin Ze tidak datang, apalagi memikirkan Liverpool begitu jauh di utara berbanding Bath yang hanya 2 jam naik keretapi dari London, aku dan Apip membuat keputusan untuk meneruskan sesi sight-seeing kami dengan berjalan kaki.

Sampai ke malam kami berjalan. Habis sepanjang Oxford Street kami susuri. Di sini rupanya tempat mak datin kampung aku bershopping, getus hati kecilku.  Big Ben (Bukan Ben 10!), Tarafalgar Square dan banyak lagi tempat (lupa la) aku dan Apip pergi. Semuanya dengan berjalan kaki. Sehingga kaki kami memprotes dah tak larat nak berjalan.

Malam sudah banyak. Kami mudik Oxford Street untuk ke Malaysia Hall. Sampai di Edgeware Road, kami pusing ke kanan mencari Bryanston Square. Di kiri bertentangan Edgeware Road, tersergam Marble Arch dan Hyde Park yang telah kami jelajah sepagi tadi.

“Fully booked la encik. Sori,” kata brader di kaunter Malaysia Hall. Sebelum pergi, kami sekali lagi ke surau di tingkat atas. Kali ini Maghrib dan Isyak juga dibayar serentak.

Dua-tiga B&B (Bed & Breakfast) yang kami masuk semuanya fully booked. Yang lain, dari jauh sudah kelihatan lampu neon memberitahu ‘no vacancy’. Adesshh... Mana mau tidur ini malam?

Kami nampak Brunei Hall dan mengambil keputusan mencuba nasib. Maklumlah serumpun, seagama, takkan tak boleh tolong.

“We do have vacancy but sorry sir, for Bruneian only!”

Kami menduga simpatinya dengan memberitahu kebanyakan B&B sudah tiada kokosongan. Malaysia Hall pun penuh. Mana tahu ada simpati terpencar di hatinya.

“I am sorry. Keep looking. Good luck.”

Aduii...  Terasa macam Bangla di Kuala Terengganu la pulak diri ini. Tak apa, mungkin polisinya begitu. Kami habiskan sepanjang malam berjalan tanpa arah tujuan yang jelas. Di sepanjang perjalanan, kelihatan mat salih ramai yang bertopeng pelik-pelik.

“Pip, malam ni malam apa daa?” Lagak Ajis dalam filem Bujang Lapok aku bertanya Apip yang tak habis-habis mengepah rokok gulungnya. Maklumlah sejuk sangat.

“Halloween la .... Patutlah depa pakai macam hantu je."

Akhirnya bangku Hyde Park inilah yang menjadi alas tempat berehat kami. Nak tidur tak lena. Angin musim luruh yang kerap bertiup, menambahkan kebekuan setiap anggota tubuh aku. Aku lihat jam, 2.00 am. Tidurlah mata, tidurlah mata, tidurlah mata...Zzzzzzz....

Tiba-tiba aku terjaga, mungkin dek kesejukan. Berjaya juga aku terlena akhirnya. Aku lihat jam, 2.15 am. Erghh... 15 minit je. Aku tak tahu Apip berjaya tidur atau tidak. Aku lihat budak Kedah itu mengerekot kesejukan di dalam jaket kulit hitamnya. Aku hanya terkebil-kebil memerhati sekeliling. Aneh betul. Pengunjung Hyde Park tak pernah putus. Ada saja orang yang berjalan atau berjogging melintasi kami walaupun pada waktu-waktu pagi sebegini.

Tepat jam lima, Apip mengajak aku ke Malaysia Hall. Selepas sembahyang Subuh, kami rehat lama di surau sebelum meninggalkan kota London, kota unik yang penuh nostalgia.

“Apa la depa ni, looting sana, mugging sini, kata je civilized...” Komen seorang rakan baru-baru ini.

“Beberapa orang saja tu. Setahu aku kebanyakan mereka nice people, good samaritans.....”

Reaksi aku itu bukan untuk mempertahankan bangsa penjajah ini, tetapi just to be fair to them kerana di bulan Ogos seperti hari ini, 19 tahun yang lalu, aku boleh dan mampu bermalam di Hyde Park, London tanpa sebarang gangguan daripada siapa-siapa kecuali kedinginan yang amat.

Wednesday, August 10, 2011

Penyokong Chelsea ... Ooppss Crystal Palace Kena Penendang

Masa ni Chelsea masih sucks
Kami sedang menunggu Dr. Longmore memulakan lecture. Dewan kuliah 4 East 3.2 sudah penuh. Dr. Longmore berhidung panjang masih belum berbicara, matanya meliar sambil tersenyum kepada semula pelajar.


Tiba-tiba pintu dewan terbuka. Kelihatan Eric, budak cina Hong Kong baru masuk. Memang sejak dari first year, dia selalu lambat. Rosewan yang berada di sebelahku memanggil Eric sambil melambai,


"Woi ERIC CANTONESE......here, here...."


Kahkahkah...... Macam-macam la hang Rosewan. Seminggu-dua lepas, ERIC CANTONA, si panas baran ayam tambatan Manchester United baru aje flying kick penyokong Chelsea Crystal Palace semasa dalam perjalanan keluar padang setelah mendapat kad merah.


Eric Cantonese.....Kahkahkah

Tuesday, July 12, 2011

Aku Dah Besar, Tapi Umno Tidak

Masjid Guchil (Sebelum diroboh)
Dahulu banyak masa kanak-kanak aku habis di masjid. Sehinggakan geng kami digelar geng Masjid Guchil. Aktiviti kami banyak berkitar di Masjid Guchil. Selepas mengaji, kami main wau atau layang-layang di kawasan masjid. Masjid Guchil terletak di atas bukit. Angin banyak di situ, senang main wau.

Kadang-kadang kami main bedil di sekitar masjid. Senapang kayu dengan peluru ‘terung manggur’. Atau bedil buluh dengan peluru buah cenerai (cenderai?) yang banyak di sekitar masjid. Kami juga mencari sarang burung di belukar sekitar masjid. Burung candik menjadi idaman kami. Batang kayu yang elok kami buat ‘cagak bidah’ atau kayu lastik. Semuanya kami perolehi di sekitar masjid.



Bila nak bermain hoki, kami juga mencari stick hoki di belukar sekitar masjid. Pendek kata aktiviti kami banyak berlangsung di sekitar masjid. Sehinggakan jika kami tak balik rumah pun, ibu bapa kami akan cari di masjid.

Pernah adik aku tak balik rumah selepas Isyak. Kami mencarinya di masjid yang sudah gelap tiada orang. Rupanya dia tertidur di ‘jerung’ dinding (bucu) masjid disebalik gulungan tikar. Kalau dia dah berniat i’tikaf, banyak pahala dia malam tu...hehehe.

Suatu hari aku lihat 2 orang Cina yang tentunya bukan Islam memasang marmar di lobi Masjid Guchil. Aku yang baru sepuluh tahun masa itu tertanya-tanya.


Liverpool Cathedral

Bolehkah orang cina masuk masjid ni?

Aku pandang tok imam, arwah Pak Muda, macam tiada apa-apa sahaja riak mukanya.

Pada hari yang lain, aku lihat seorang Cina masuk ke ruang utama masjid untuk membetulkan jam yang menunjukkan waktu-waktu sembahyang. Sekali lagi aku tertanya-tanya benda yang sama.

Tak berdosa ke ni?

Waktu berlalu. Illmu agama aku pun bertambah sikit-sikit, sejajar dengan usia ku yang bertambah. Pasal orang Cina masuk masjid tak menjadi hal yang rumit bagi aku lagi. Bahkan aku pun dah pernah masuk melihat dalam gereja. The biggest cathedral in Europe di Liverpool pernah aku masuk dan aku tumpang kencing di tandasnya. Mak oii... pintu tandas dan selaknya macam dalam cerita Robin Hood!

Bath Abbey, gereja yang popular di Bath City pernah aku cuba nak masuk melihat-lihat, tetapi bila kena bayar sedikit sumbangan kat pintu gereja, aku berpusing keluar balik. Aku terfikir masa tu, aku tak nak duit aku digunakan untuk program gereja. Jadi aku tak pernah masuk ke dalam Bath Abbey walaupun aku berada lebih 3 tahun di bath City dan Bath Abbey adalah one of the main attractions in the Roman City of Bath. Takpa lah, aku tak menyesal sedikit rabut pun.

Sebenarnya hati aku berdebar juga bila masuk gereja. Dengan muzik ala-ala phantom of the opera nya, cukup mendegupkan jantung. Susuk tubuh tersalib di depan sekali adalah pandangan yang paling aku elakkan. Aku orang Islam, aku sudah belajar sejarah Nabi Isa yang belum lagi mati dan akan turun ke bumi membantu Imam Mahdi kelak. Aku sudah belajar siapa yang sebenarnya mati di palang salib. Aku cukup tahu siapa Nabi Isa, siapa Maryam.

Aku masuk gereja lebih kepada melihat architecture nya. Bagi aku pelajar architecture patut mengkaji binaan seperti ini. Apalagi binaan-binaan tua dan bersejarah seperti ini.

Masjid-masjid juga adalah sumber rujukan ilmu bagi jurubina. Sebab itu ramai pelawat-pelawat dari luar negara yang kebanyakannya bukan Islam melawat masjid-masjid kita dan mengambil gambar. Mereka tak kisah jika perlu memakai jubah sebagai syarat menutup aurat masuk masjid. Sesetengah mereka mendapat hidayat melalui cara ini.

Yusuf Islam yang semasa glamournya bernama cat Steven pernah mengatakan bahawa dia mengenal Islam dahulu sebelum mengenal orang Islam.

Yusuf Islam mengenal Al-Quran dan Masjid terlebih dahulu sebelum mengenal Ramli, Zahid Hamidi, Harussani, Mawi, Ahmad Maslan, Rais Yatim dan Shahrizat Jalil.

Jadi, kalau kita tidak pergi kepada Lim Guan Eng dan Nie Ching dan memberitahu kepada mereka tentang kebaikan dan kelebihan Islam atau sekurang-kurangnya menunjukkan contoh perwatakan Islam kepada mereka, mengapa melarang mereka mendekati masjid. Membiarkan mereka meninjau di dalamnya setelah sekian lama hanya mendengar azan dari corong speakernya...

Saya suka kata-kata YB Ustaz Nik Amar Exco kanan Kelantan di dalam satu dialog yang melibatkan Umno di Kota Bharu bila diungkitkan kerjasama Pas dan Dap sedangkan Karpal Singh terang-terangan menolak hudud. Kata Nik Amar,

Pas berdakwah kepada Dap seperti orang yang melawat Kelantan tetapi ‘declare’ tak suka budu. Jadi kita bagi dia makan nasi kerabu yang popular di Kelantan. Tak dak timbul masalah dia tak makan budu lagi!

Di mataku terbayang aku yang masih mentah bermain di pekarangan Masjid Guchil yang kemudiannya membesar dan matang sekarang. Tak seperti Umno yang masih lagi bermain wau di pekarangan masjid tanpa mahu masuk ke dalam untuk menadah kitab di hadapan Tok Guru yang tak jemu-jemu mengajar segenap malam! Sebab itulah mereka masih tegar dengan kekotoran dan mengugut orang yang inginkan kebersihan.

** Entry recycle kerana tuan blog banyak kerja minggu nih. Dok dang nok mikkir.

Thursday, May 19, 2011

Masih Di Dapur Syaikal Gadis Kashmir


Dapur Eastwood Residence
Aku bersama Atok dan Apip masih di dapur Salwa dan Zura. Juga bersama housemate mereka, Anju si Angel dan Syaikal si non-practicing muslim.

Tiba-tiba masuk  ke dapur seorang minah Arab putih melepak bertudung litup dan berjubah. Typical Arab lady la ni.

"This is also our housemate. Hanan, from Lubnan. Second year chemical engineering," Salwa memperkenalkan si minah Arab kepada kami yang tengah asyik makan. Maklumlah dah 3 hari asyik telan roti dan epal sahaja.

"Hi..."

"Hello."

Aku hanya senyum dan tunduk saja. Tanda respek kepada seorang muslimah yang semestinya seorang practicing muslim. Bukan macam Syaikal yang bermata zamrud.

Tiba-tiba masuk seorang budak lelaki Cina pendek ke dapur. Macam budak bayi Dugro saja aku lihat.

"Hii...everybody. Eh! Baru datang sini ke?"

Perhatian budak Cina bayi dugro terarah pada kami yang sedang menjamu selera. Cina Malaysia rupanya budak ni.

"Ni Chris. Malaysia jugak."

Ooooo... Kami berlagak macam Ramli, Sudin dan Ajis dalam Siri Bujang lapok. Maklumlah datang dapur orang untuk makan free.

Tiba-tiba tangan Chris memaut pinggang Hanan yang ternyata lebih tinggi daripadanya. Mata aku terbeliak. Aku tak pasti pula dengan Atuk dan Apip. Rasa aku nak bangun tempeleng aje budak bayi dugro ni.

Tepuk sebelah tangan tak berbunyi. Tangan Hanan pula memaut pinggang si Chris bayi dugro. Alamak, mereka ni couple la, saling paut-memaut. Tetapi dengan pakaian Hanan begitu membuatkan aku berasa sungguh sengal.

Dua tahun selepas itu, aku terlihat seorang gadis ranggi yang rasanya macam pernah aku lihat. Dia berseluar jeans dan berblouse putih. Cukup menampakkan cuttingnya yang boleh tahan. Rambutnya hitam paras bahu macam model pentene.

"Itulah Hanan." Beritahu Salwa, suatu hari.

"Dia sekarang kerja di London. Payah dapat kerja kalau berjubah dan bertudung," Salwa menyambung lagi.

Ish ish ish.... Aku menggeleng kepala, juga macam bujang lapok.

Ke mana Chris, budak bayi dugro tu, tak kuasa aku nak ambil tahu samada dah bersunat ke belum budak tu.

**

Tuesday, May 17, 2011

Selamat Hari Guru Darling

Dr Jos Darling
 Dr Jos Darling mengajar Dynamics. Santai dan cool.

Dia murah senyuman. Orangnya masih muda (masa tu). Datang ke universiti di atas bukit dengan basikal.


Dr Jos sanggup mendaki Bathwick Hill
dengan gerek

Suatu hari aku nampak Tok Arab berpakaian lengkap berjubah dan berserban macam Raja Saud di depan receptionist School of Mechanical Engineering. Rupanya Dr Jos Darling.


Memang setiap hari Jumaat, dia akan buat perangai. Hari Jumaat dia akan pakai kostum yang pelik-pelik. Pernah satu kali aku ingat Napoleon Bonarparte mana yang sesat masuk kelas aku. Rupanya Dr Jos yang berpakaian begitu datang mengajar.
Macam ni lah Dr Jos pakai
datang mengajar. Cuma paruhnya
lebih besaq, ada atas-bawah

Kemuncak kebidaahannya, dia berpakaian macam ayam. Siap dengan paruh, kaki ayam dan bulu pelepah. Semasa dia berjalan, banyak suara-suara sumbang kedengaran. Cock-cock-cock. Cock-a-doodle-dooooo.

Dr. Jos memang cool. Selamat Hari Guru Darling.

Saturday, May 7, 2011

Syaikal, Gadis Kashmir Bermata Zamrud

Indah yang derita
Aku diperkenalkan oleh Salwa dan Zura dengan housemate mereka.

"Ini Syaikal...."

"Syaikal from Kashmir...."

Mak oiii, patutlah bermata hijau, beralis lentik, putih gebu, comel, langsing, rambut ikal, pipi pauh dilayang, bibir delima merkah. Ingatkan budak Pasir Mas, rupanya dari Kashmir. Hebat!

Aku tak terkata apa-apa kecuali memberikan senyuman yang paling manis yang aku ada. Kalau aku ini seketurunan dengan Goku dan Bizita, pasti aku telah bertukar kepada super-sayyan pada masa itu, dengan cahaya api jingga disekeliling tubuh!

"Are you moslem?" Aku angguk. "I'm moslem too. Non-practicing moslem..."

Ada jugak istilah non-practicing muslim. Hadhari lah tu konon Syaikal ni.

Kemudian Salwa kenalkan pula aku dengan seorang lagi rakannya. Dari jauh aku dah tahu dari India.

"Hi, I am Anju..." Dia menyebut namanya dengan mulut memuncung.

"Anju?" Tanyaku untuk kepastian. Kalau aku ini keturunan Goku dan Bizita, masa inilah kuasa super-sayyan aku dengan api jingga sekeliling tubuh akan hilang dan kembali normal.

"Anju," sekurang-kurangnya itulah yang aku dengar daripada accent Indianya yang tebal.

Setelah berborak sambil membelasah kopi dan makanan yang disediakan oleh Salwa dan Zura, tiba-tiba Salwa bertanya kepadaku.

"Kenapa hang panggil dia Anju?"

"Kan nama dia?"

"Angel lah!"

Laa.... Anju tu dah sesuai sangat dengan nama seorang gadis India. Angel la pulak.. Sebutlah betul-betul kalau begitu. Tak pun pakai name tag 24 jam.

Syaikal, walaupun cantik dan da bomb tetapi seperti katanya, dia non-practicing muslim. Apa yang aku tahu selepas itu, pada hujung minggu dia practice clubbing dan mabuk-mabuk. Poor Kashmiri...

Saturday, April 23, 2011

You Asal Mana ?

Wherever I lay my hat,
that's my home
 - Kata Paul Young
Bila aku melalui kampung Telaga Putat di Terengganu, aku terfikir pernahkah seorang budak yang dipanggil Putat telah membuat jasa di sini dengan menggali sebuah telaga yang akhirnya dapat digunakan oleh seluruh penduduk kampung?

Aku tahu nama Guchil kampung aku di Kelantan adalah sempena nama pokok guchil yang buahnya sebesar manik dan rasanya masam-masam manis.

Nama Beaufort di Sabah mungkin digunakan untuk mengubati hati terlara kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran ke luar negeri kerana tidak credit Bahasa Malaysia.

Nilam Puri bagi aku adalah nama yang paling indah dalam Malaysia yang menempatkan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Kampung Aur Cina, Pasir Mas adalah tempat aku bertemu jodoh. Di situ yang ada hanya aur, Cina tak ada seorang pun di situ. Yang berwajah iras-iras Cina adalah. Yang iras Kajol pun ada.

Batu Buruk mungkin hanyalah kata-kata penyair yang kedapatan di situ yang frust dengan harga sotong celup tepung yang naik mendadak atau mungkin juga gelaran penduduk untuk ketua kampung mereka yang ada masalah kelelakian.

Pengkalan Chepa tempat aku mengenal kehidupan di MRSM KB dahulu menggambarkan sebuah pengkalan yang mungkin diasaskan oleh seorang yang bernama Mustafa yang kebiasaannya dipanggil Che Pa. Dekat Pantai Sabak di sinilah menjadi pengkalan pendaratan tentera Jepun semasa menjajah Malaysia. Di sini juga terletaknya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Taman Temiang Jaya pernah aku diami semasa berintensif Bahasa Inggeris di Kolej Negeri, Negeri Sembilan. Ianya berdekatan Taman Rasyidah Utama yang menjadi tajuk lagu popular Wings yang menjadi teman study aku untuk menghadapi SPM.

Taman Shamelin Perkasa, Cheras adalah tempat aku mengambil A-Level. Shamelin, aku pernah diberitahu adalah Syarikat Melayu Insaf yang diasaskan untuk mengumpul kuasa beli orang Melayu. Wallahu a'lam. Err... Perkasa tu tiada kaitan dengan Ibrahim Ali pada masa itu.

Bath, Avon tempat aku belajar dahulu bukanlah kerana orang di situ suka menggunakan barangan Avon semasa mandi. Di situ banyak kolam air panas dahulu, hinggakan hentian keretapinya dinamakan Bath Spa. Lagi ada Roman Bath yang popular yang dibina oleh penakluk Rom zaman dahulu. Avon itu adalah nama county atau jajahan di situ. Mungkin pengasas produk Avon adalah anak jati di situ.

Setelah bekerja, aku pernah merempat di Bandar Tasek Selatan yang pernah menjadi tajuk lagu dendangan Kumpulan Olan yang aku tak pernah minat kerana lagunya yang bagiku berlendir-taber. (Di Malaysia, kebanyakan orang terpaksa merempat di awal kerjayanya. Kenapa?)

Sembrong di Johor aku tak pernah kenal, tetapi namanya ... Ahhh...kalau aku komen nanti orang di situ marahkan aku pulak. Yang aku tahu ahli parlimennya adalah Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn.

Sauk di Perak popular dengan tragedi Al-Maunah lama dahulu. Jika kita dari Kelantan ke Ipoh, kita akan melalui pekan Kuak, Sauk dan Kati. Ada orang Perak bilang, ianya menggambarkan orang kampung yang mencari rezeki di sungai dan bendang. Kuak dulu semak-samun, sauk, dapat ikan, kemudian timbang kati untuk jual.

Di Perak juga sebelah utaranya ada Larut, Matang, Selama. Maknanya sama sahaja. Menggambarkan masa yang lama, kematangan, forever. Tak ada kena mengena dengan motto Umno dulu, kini dan selamanya. Ahli Parlimen Pas yang pertama dahulu bertanding dekat-dekat sinilah. Perempuan lagi!

Kota Sarang Semut di Kedah namanya begitu unik. Menggambarkan impian kanak-kanak dan fiksyen seorang marhaen.

Nama Tongod, Moynod, Sukau, Paitan, Bundu Tuhan, Bundusan, Tamparuli, Leepang mungkin ada maknanya yang tersendiri dalam bahasa Kadazan atau Dusun atau Bajau.

Jeroco bukan hanya berada di Israel, tetapi di 80km off-road Lahad Datu-Sandakan. Jalan tanah merah berbatu kerikil. Kalau hujan tersangkutlah di situ. Jauh dan ulu pun, ada juga cikgu terutama ustaz dari Kelantan mengajar di situ.

Satu nama yang aku suka ialah Kota Samarahan, sebab ia berbunyi seakan-akan Samarkand.

Pantai Remis di Perak bukanlah kawasan pantai untuk berkelah. Ianya nama pekan lama yang sesuai untuk Pengarah Filem Mamat Khalid buat cerita zombie dan hantu yang seterusnya.

Kunak berdekatan Madai yang berada di antara Lahad Datu dan Tawau tiada kena mengena dengan kerabat istana Kelantan samada yang masih hidup atau yang telah mati.

Semporna, gateway to Sipadan tidaklah sesempurna mana. Shafie Afdal perlu tumpukan kawasan dia ni dulu sebelum ke hulu-ke hilir tak tentu kalu dengan mulut mengondem pentadbiran orang lain.

Kinabatangan semestinya berkait rapat dengan Sungai Kinabatangan di Sabah. Di sini didiami ramai orang etnik Sungai yang mengikut bancian rambang aku, kaum wanitanya adalah antara yang tercantik di Sabah. Yang lelaki adalah sekacak Bung Mokhtar Radin.

Chendering tempat aku tinggal sekarang, adakah ianya pernah tersohor dengan penjual chendol berambut kerinting yang kurus kering?

Banyak lagi nama tempat yang semuanya ada kelebihan dan cerita tersendiri. Andalah yang mengulasnya sendiri. Sekian.

Wednesday, March 16, 2011

Apa Itu Cinta? Cinta Itu Bodoh!


Aku bergegas ke library. Tepi tingkap cermin level 1 library menghadap ke refectory menjadi destinasi pentingku. Begitulah rutin aku beberapa detik sebelum pukul 2 petang setiap Isnin.

Seketika kemudian, di celah-celah manusia berhidung mancung dan berambut perang, kelihatan 2 gadis Melayu bertudung berjalan beriringan sambil mengepit buku dan fail. Pastinya mereka sedang menuju ke kelas mereka di bangunan 4East. Perhatian aku hanyalah kepada salah seorang daripada mereka. Yang lebih merah pipinya dan lebih manis senyumnya.

Si dialah yang telah membuatkan aku menjadi bodoh tergesa-gesa ke library pada masa ini. Si dialah yang membuatkan aku menjadi bodoh tercegat di tepi tingkap ini. Dialah yang menjadikan aku bodoh memerhatikannya berjalan sehingga kelibatnya hilang di sebalik pintu 4East.

Kenapa aku katakan bodoh?

Aku tidak sepatutnya menjadi penunggu setia tingkap cermin library ini, kerana aku pun ada kelas pada pukul 2 hari ini!

** Entry ini adalah untuk memakmurkan segmen apa kata kamu tentang chenta di blog al-Hakim. Klik gambar di atas untuk ke sana.
Tagged:


Tuesday, July 27, 2010

Hujan Batu Di Negeri Orang


Aku dan teman serumah benar-benar buntu. Macam mana ration kami boleh licin habis. Yang ada cuma gula, garam dan kicap tamin. Lantas Atok mengajak aku ke Sainsbury's.


"Hang ada duit ke Tok?" Aku bertanya. Sebab aku tahu kami semua pokai habis bulan ni.


"Ala...guna je kad debit kita, kalau setakat 5-6 pound tu, dia tak kisah bagi kredit..." Atok yakin betul dengan jawapannya. Aku ikut saja. Perut punya pasal.


Di Sainsbury's, kami mengambil barang sekadarnya. Cukuplah buat makan nasi dan spaghetti bujang 4-5 hari ni sebelum MARA dan JPA masukkan elaun.


Sampai kaunter pembayaran, kami tawakkal saja. Atok menghulurkan kad debit Barclay's Banknya untuk membayar harga barangan yang berharga sekitar 5 pound.


"Excuse me sir, there's no enough amount in the card to pay the bill....." beritahu cashier berhidung mancung kulit putih berjeragat.


Aku mula rasa nak berpeluh dari atas kepala. Aku lihat manusia yang beratur di belakang. Ramai juga. Masing-masing buat-buat tak tahu.


"We can wait here while you go get the money, or......."


"Or what ?" Pintasku, mengcover kemaluan.


"Or you can just leave the goods here," beritahu cashier tadi lagi sambil tersenyum penuh makna.


"We can do that?" Aku buat-buat surprise. "So we will leave the stuff here. Thank you," cepat-cepat kami berlalu. Malunya tak payah nak cerita.


Kata-kata cashier, 'come again' semacam memperli kami saja kedengarannya.


2-3 hari sebelum dapat elaun, terpaksalah kami pakai plan B, i.e. menumpang kasih dengan budak-budak Petronas, Shell atau TNB.



Friday, April 23, 2010

Nasib Baik Aku Bukan Calon Hulu Selangor



Kalau aku ni takdirnya calon Hulu Selangor PR, pastinya botol di tangan aku akan disuperimpose menjadi botol whisky. Kerusi kosong di sebelahku mungkin disuperimposekan supaya mungkin awek seksi duduk di situ.

Itu kalau aku calon PR.

Kalau aku calon BN, pastinya botol ditanganku akan menjadi botol air zamzam, atau sekurang-kurangnya air musoffa. Kerusi kosong tu mungkin akan didudukkan dengan Bill Gates ke, Yusuf Qardhawi ke atau Albert Einstein supaya aku nampak hebat berbincang secara santai dengan tokoh dan genius dunia.

Tapi itu semua tak akan berlaku.

Air botol hitam di tangan aku hanyalah air jus oren tango yang terkenal zaman 90-an dahulu dengan tagline ' you know when you've been tango'ed'. Aku sebenarnya di Oxford, dalam perjalanan menuju ke puncak suatu menara yang aku dah lupa namanya (Carfax Tower? Beritahu Pak Cik Google). Berhenti sekejap ambil gambar ....

*****

Carfax Tower
(Hop Off at stop 7 to visit)



Climb 99 steps to the top of the tower to get a bird's eye view of Oxford's "Dreaming Spires".
In 1818 St Martin's church was rebuilt complete with tower, however towards the end of the 19th century, mounting traffic problems necessitated road widening. The church, apart from it's tower, was demolished in 1896. The tower is all that remains today. On the east facade the church clock is adorned by two "quarter boys", who hit the bells at every "quarter" of the hour.

Open daily 10am - 5.30pm (4.30 in October).Adults £2.20 - Seniors £2.20 - Students £2.20 - Children (under 16) £1.10Location at the junction of St Aldates / Cornmarket St and High Street / Queen Street, Oxford(Managed by City Sightseeing on behalf of Oxford City Council)

Wednesday, March 31, 2010

Cinta Itu Bodoh

Di tepi tingkap cermin library inilah aku akan berada pada pukul 2 hari Isnin. Bergegas ke situ semacam sudah menjadi rutinku.

Sebabnya?

2-3 minit sebelum pukul 2, junior yang menjadi kegilaanku akan melalui jalan ini untuk ke kelasnya. Dan aku dapat melihatnya dari jauh. Bodohnya aku!

Kenapa bodoh?

Sebab aku pun ada kelas juga pada pukul 2 hari Isnin!

Saturday, October 24, 2009

Lawak Antarabangsa


Kami sedang menunggu Dr. Longmore memulakan lecture. Dewan kuliah 4 East 3.2 sudah penuh. Dr. Longmore masih belum berbicara, matanya meliar sambil tersenyum kepada semula pelajar.


Tiba-tiba pintu dewan terbuka, Eric, budak cina Hong Kong baru masuk. Memang dia selalu lambat. Rosewan yang berada di sebelahku memanggil sambil melambai,


"Woi Eric Cantonese......here, here...."


Kahkahkah...... Macam-macam la hang Rosewan, Eric Cantona baru je flying kick penyokong Chelsea Crystal Palace beberapa minggu lepas.


Eric Cantonese.....Kahkahkah

Sunday, February 1, 2009

In Memory of Bapak Chaerul

Today I find an old postcard ...





It was posted to me in 1998, from my Indonesian friend, Bapak Chaerul Widjaja. A post doctorate student at the University of Bath. It came 2 years after my graduation.

Just recently, I heard of Bapak’s demise quite some time ago. May Allah’s blessing be upon his soul. He was a good man, a good friend and and a dandy father of 2, Nisa and Budi. (Dandy was Budi’s own description of his father). Al Fatihah.

In colourful Elan Valley, Wales. 1992.

Jungle & cave trekking. Just a few hundred metres from university's Eastwood Residence.

Bapak, Apip and snow man near Conigre Residence in 1994 white Aidil Fitri. Conigre? What a nice memorable name indeed. I will always remember that.
.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...