Amri berdiri di birai kalbok sambil melihat air deras menderu keluar dari kalbok menuju ke sawah. Ingin benar rasanya dia terjun tiruk ke dalam air deras itu dari atas kalbok. Tetapi pesanan ibunya masih dia ingat.
"Jangan main air Amri, puyan bah ni bahaya, air besar."
Rugi betul rasanya melepaskan peluang mandi di air deras seperti ini. Mesti rasanya seperti mandi di Gunung Stong.
"Amri, best tau kami pergi berkelah di Gunung Stong," tak lama dulu, Razak kawannya memberitahu.
"Airnya deras, laju, sejukkkkk....... Best mandi."
Amri hanya terlopong. Gunung Stong. Tak pernah Amri dengar nama itu. Kalau mengikut kata Razak, pastinya air yang keluar dari kalbok itu seperti air di Gunung Stong. Deras, laju, sejuk.
"Jangan main air Amri, puyan bah ni bahaya, air besar."
Tak sanggup Amri mengingkari pesan ibunya. Biarlah dia rugi tidak mandi air kalbok yang semacam air Gunung Stong, pesan ibunya tak akan sesekali Amri ingkari. Amri tak mahu ibunya bersedih.
Seingat Amri, ibunya baru kebelakangan ini pandai tersenyum. Semenjak ibunya mendapat sebuah kerusi roda dan mesin jahit. Dulu semasa ibu hanya dapat mengengsot dalam rumah, payah Amri mahu lihat ibu tersenyum. Tak pernah pun!
"Hei Amri, buat apa?" Tiba-tiba terdengar suara dari belakang Amri.
Kelihatan Razak berpimpinan tangan dengan ayahnya. Sebelah lagi tangan ayah Razak memegang payung.
"Ke mana Razak?" Soal Amri, hairan melihat Razak segirang itu.
"Aku nak jadi kaya hari ni. Orang nak bagi duiiitttt. Seratus ringgiiiiit," nada suara Razak semacam Fizi dalam cerita Upin dan Ipin.
"Wah! Untunglah kau. Siapa nak bagi duit tu?"
"Semua budak sekolah dapat. Kau nak ikut?"
"Tak apalah Razak. Aku tunggu kau sini," Jawab Amri sambil tersenyum menampakkan barisan giginya yang kuning tidak bergosok.
"Jangan sedih. Nanti aku belanja kau ABC. Dua mangkuk pun boleh," janji Razak.
"Hati-hati Amri, air besar tu. Jangan kau mandi pulak," pesan Pak Mail, ayah Razak sambil menarik tangan anaknya pergi dari situ.
Amri kembali merenung air yang deras keluar dari kalbok. Fikirannya teringatkan kawannya Razak dan seratus ringgit. Untung Razak. Dapat seratus ringgit. Besar tu. Selama ini tak pernah Amri pegang duit sebanyak itu. Biasanya bila dia jual botol atau pucuk paku, paling banyak pun dia akan dapat tiga ringgit setengah sahaja.
Untung Razak, untung semua budak sekolah kerana dapat seratus ringgit. Untungnya mereka, dahlah dapat bersekolah, dapat seratus ringgit lagi. Rugi Amri kerana tak berpeluang dapat seratus ringgit kerana sudah lama Amri tak ke sekolah. Dah bertahun. Sejak ayahnya meninggal eksiden motor dan ibunya yang membonceng jadi lumpuh.
Pandangan Amri tertumpu kepada sekapel katak yang sedang terlekat di dinding kalbok. Katak sedang berlaki! Pelik Amri melihat 2 ekor katak terlekat antara satu sama lain tanpa menghiraukan air laju dibawahnya. Mungkin mereka sejuk, perlukan haba. Sebab itu mereka melekat antara satu sama lain. Itu fikiran budak seperti Amri. Tak pula Amri terfikir seperti penulis yang menyamakan katak yang sedang berlaki dengan pemimpin sekarang. Kebanyakan pemimpin besar sekarang semacam sepasang katak sedang mengawan yang tak akan menghiraukan apa yang sedang berlaku sebenarnya kepada rakyat dan negara sehingga hajat mereka tercapai! Samalah seperti katak yang sedang berlaki di dalam air banjir. Perangai ini sekarang berjangkit kepada jurulatih bolasepak. Mereka tak dengar dan peduli kata-kata riuh rendah di sekeliling. Mereka buat derkk saja, samalah seperti katak yang sedang berlaki di musim banjir.
Bosshhhh. Tiba-tiba satu objek besar meluru deras keluar bersama air dari kalbok. Terkejut Amri melihat objek yang keluar dari kalbok itu. Nampak semacam Razak kawannya. Amri terus terjun ke dalam air. Kawannya Razak perlu diselamatkan. Amri yakin ibunya takkan marah dia terjun ke dalam air kali ini. Ibu Amri pun sayang pada Razak yang banyak menolong Amri dan mengajar Amri membaca.
Amri sempat memaut leher Razak dan berenang ke tebing dalam susah payah. Di tebing Amri terasa seperti nak pitam kerana keletihan melawan air deras. Orang telah ramai berkumpul dan menolong Razak dan Amri naik ke tebing. Sebelum dunia Amri gelap, dia sempat mendengar suara ayah Razak dan beberapa orang lain.
"Tadi masa ambo tengah dengar ceramah dalam dewan, barangkali dia pergi main dekat tali air depan sekolah."
"Ye lah. Budak-budak mesti boring nak tunggu dengar ceramah 2-3 jam."
"Tu lah... Nak bagi seratus pun nak mengempen dulu......."