Showing posts with label Cikgu. Show all posts
Showing posts with label Cikgu. Show all posts

Saturday, May 16, 2015

Selamat Hari Guru


Selamat Hari Guru
Jasa dan bakti di hatiku Alwayss
Maafkan salah-silap

Sunday, July 1, 2012

Bila Cikgu Sibuk Berniaga...

Gurau je cikgu.... Jangan marah.

Thursday, May 24, 2012

Cikgu Paling Cool


Pada usia sementah 8 tahun, kerana desakan hidup, Akihiro terpaksa berpisah dengan ibunya. Ibu Akihiro terpaksa bekerja di Hiroshima dan meninggalkan Akihiro bersama neneknya di sebuah desa bernama Saga, nun jauh dari Hiroshima.

Akihiro seorang budak yang agak ‘lurus’ dan tidak berapa bijak dalam pelajaran. Memandangkan Saga adalah sebuah kampung yang kecil, masyarakat di situ saling mengenali di antara satu sama lain. Cikgu di sekolahpun mengenali setiap pelajar dan kehidupan mereka sorang-sorang.   

Suatu hari Akihiro amat teruja apabila karangannya yang bertajuk ‘IBU SAYA’ mendapat markah 100%. Akihiro balik ke rumah dengan girang dan memberitahu neneknya.

“Bagus....” Puji nenek Akihiro sambil terus melakukan kerja dapurnya.

“Tapi nenek....” Kata Akihiro.

“Tapi apa?” Tanya neneknya.

“Besok cikgu minta buat karangan ‘AYAH SAYA’,” beritahu Akihiro.

“Buat je lah....” Kata si nenek.

“Saya tak pernah tahu pasal ayah saya. Saya tak ingat apa-apa tentang ayah saya,” kata Akihiro, bernada sedih. Memang seorang ayah tiada dalam kamus hidup anak kecil ini selama ini.

“Kamu tulis saja saya tak tahu,” cadang nenek Akihiro. Tangannya tidak berhenti-henti bekerja.

Cikgu sedang mengembalikan kertas karangan “AYAH SAYA’ kepada murid-murid. Akihiro begitu gementar apabila namanya dipanggil cikgu. Pasti dia akan dimarahi cikgu. Dengan teragak-agak dia mengambil kertas karangannya dari tangan cikgunya yang tidak menunjukkan sebarang reaksi.

Tiba-tiba Akihiro tersenyum, kali ini karangannya juga mendapat 100%. Ya karangannya yang hanya sebaris ayat berbunyi ‘Saya tidak tahu’ mendapat 100%. 

Cerita ini aku lihat di TV al-Hijrah. Klik sini untuk maklumat  cerita The Amazing Grandma of Saga

Monday, August 22, 2011

'Seorang Tua Di Kaki Gunung' Telah Pergi

Kelmarin aku bercerita pasal anak kucing yang dibuang. Dipisahkan dari ibunya kerana ia pasti beribu. Hari ini aku membaca berita pemergian Tukya atau penulis prolifik Azizi Haji Abdullah.

Aku mula-mula mengenali Azizi Haji Abdullah melalui cerpen 'Kucing' nya yang kalau tak silap dibukukan di dalam antologi 'Cerita Seorang Seniman'.

Ceritanya berkaitan seorang bapa yang miskin, yang tidak dapat tidur semalaman kerana memikirkan tentang bagaimana dia mahu menghadapi hari esok.
.
Bapa ini ada isteri dan anak-anak yang yang perlu ditanggung makan pakai. Sekarang musim hujan dan isterinya baru bersalin lagi. Apa yang difikirkan adalah janjinya untuk menyerahkan anaknya yang baru lahir kepada sepasang suami-isteri yang tidak punya anak.

Dia bersetuju dengan cadangan itu kerana memikirkan kecukupan untuk mulut-mulut yang perlu disuapi dan juga memikirkan anaknya yang baru lahir bakal menempuh hidup yang jauh lebih baik jika dia sanggup menyerahkannya kepada pasangan yang berkali-kali merayu kepadanya itu.

Semasa otaknya ligat berputar dengan hujan lebat kedengaran memukul atap, dia melihat ibu kucingnya yang asyik mengiau dan mundar-mandir di dalam rumah. Sekejap ke lantai, sekejap naik ke atas alang. Kenapa? 

Lantas dia teringat kepada anak-anak kucing yang dibuangnya petang tadi. Kucing itu mengajarnya, jika ibu kucing pun meroyan separuh mati mencari anak, apalagi isteri dan anak-anaknya yang lain nanti apabila 'baby' kecil itu diserahkan kepada orang lain.

Lantas dia bertekad membatalkan perjanjian menyerahkan anak bayinya apabila hari cerah nanti.

Itulah kisah 'Kucing' Azizi Hj. Abdullah yang aku ingat-ingat lupa.

Penulis hebat yang juga seorang cikgu ini telah pergi menemui Allah di Ramadhan yang mulia ini kelmarin, 7.30 pagi di Hospital Besar Pulau Pinang. Semoga Allah mencucuri rahmat dan mengampunkan dosanya. Amiiin.

Al-Fatihah.

Wednesday, July 20, 2011

Teori Cikgu Puji Tentang Bolasepak Kelantan

Cikgu Puji adalah cikgu PE yang tersohor di MRSM Kota Bharu. Dia warden dan juga cikgu disiplin. Aku sendiri (yang baik ni pun) bersama Gudung, Riming dan seorang lagi member pernah makan penampar tawarnya kerana kantoi tengah main 4 ratus semasa AGM koperasi sedang berlangsung di Dewan Besar.


Hero Kelate dulu dan kini

Cikgu Puji aktif bersukan. Yelah nama pun cikgu PE. Dia ada black belt karate (warna hitam!) dan menjadi jurulatih kelab karate maktab. Dia juga menjadi jurulatih bolasepak maktab. Di bawah bimbingannya banyak pencapaian maktab yang boleh dibanggakan di peringkat negeri Kelantan.


Kelebihan Cikgu Puji, walaupun dia cikgu disiplin yang paling berjaya dalam arena menangkap budak hisap rokok dan curi keluar malam, dia masih boleh berborak mesra dan santai dengan para pelajar.

Suatu hari Cikgu Puji dikelilingi pelajar di bangku dekat Taman Hamid Yaman.

"Payoh Kelate nak menang Piala Malaysia," Cikgu Puji membuka topik bola.

"Bakpo cikgu?"

"Tengoklah jersey bola tu....penaja kita syarikat rokok,  DUNHILL. Sebab tu lembik, tak sihat, tak cergas," tegas Cikgu Puji sambil membetulkan spek raybannya.


Sorang-dua member yang memang perokok tegar buat-buat mencari cacing dengan menguis-nguis kaki ke tanah.

Kan sekarang dah Happy

"Cuba di jersey team kita tulis 'Nasi Air Moksu Nab'. Mesti boleh menang," Cikgu Puji sambung lagi, merujuk kepada kedai nasi air tersohor di Kelantan di Berek 12.

Sekarang aku lihat memang ada kebenaran kata-kata Cikgu Puji walaupun dia joke je dulu tu.




Wednesday, June 22, 2011

Gadis Bertudung Labuh

Gambar hiasan sahaja

“Matek, aku rasa aku dah jatuh cinta,” aku yang takut dengan perempuan tiba-tiba meluahkan perasaan kepada Matek.

Kawan baik aku itu hanya ketawa kecil.

“Ni mesti hang terlihat awek kat lobi tadi.”
Tekaan Matek tepat. Gadis bertudung labuh yang aku lihat di lobi Kolej Negeri tadi telah membuatkan hatiku cair, lantas jatuh cinta.

“Macam mana hang tahu?” Aku bertanya.

“Aku pun jatuh cinta juga la...Ha ha ha,” Matek membuat pengakuan sambil ketawa besar. Aku turut ketawa.

Memang gadis yang kami terlihat tadi boleh mencairkan hati sesiapa sahaja yang meminati perempuan berimej Islamik. Dia menepati ciri-ciri menurut piawaian aku dan Matek. Aku belum pernah melihat gadis tersebut sebelum ini. Naluri ingin mengetahui amat tinggi.

“Matek. Awek tu budak kelas mana ya?”

“Entah, aku pun baru pertama kali lihat.”

Yang pastinya gadis itu bukan daripada kelas intensif Bahasa Inggeris yang aku dan Matek ikuti. Aku agak mesti budak LCCI (London Chamber of Commerce & Industry).

“Budak LCCI tu Li, accounting....” Matek pun sependapat dengan aku.

“Jom kita siasat!”

Aku dan Matek sepakat. Maklumlah bunga pujaan hati dah dijumpai.


***************

Langkah longlai aku ke kelas menjadi bersemangat apabila aku terlihat kelibat gadis bertudung labuh. Aku mempercepatkan langkah untuk mengetahui kelas mana yang ditujui sang gadis. Selepas membelok ke kanan, kelibat sang gadis hilang.

“Yes, mesti dia masuk antara satu kelas di sini,” hatiku berkata.

Kelas di situ kelas accounting. Kebanyakan pelajarnya berumur satu tahun lebih tua daripada aku.

“Bini setahun lebih tua, no problem punya,” mak oiii, fikiran aku yang takut dengan perempuan ini boleh pergi sejauh itu!

Mata aku mengintai ke dalam satu kelas melalui cermin yang terdapat di pintu. Lantas aku melihat dia! Ya dia! Dia! Diaaaa...................


***************

“Matek, tadi aku nampak awek tudung labuh tu di kelas budak accounting,” aku memberitahu Matek sementara menunggu Mrs Kuladeva masuk.

“Kan aku dah kata Li, budak accounting. Apa lagi.... Bolehlah tu,” Matek bersemangat betul.

“Bro, dia masuk kelas tu mengajar la... Bukan belajar.”

Matek hanya menganga, wordless. Walaupun hari tu bukan Rabu.

Hari itu aku dan Matek ke Plaza Punca Emas di sebelah Kolej Negeri bermain game macam orang putus cinta. Cehhh...

Tuesday, May 17, 2011

Selamat Hari Guru Darling

Dr Jos Darling
 Dr Jos Darling mengajar Dynamics. Santai dan cool.

Dia murah senyuman. Orangnya masih muda (masa tu). Datang ke universiti di atas bukit dengan basikal.


Dr Jos sanggup mendaki Bathwick Hill
dengan gerek

Suatu hari aku nampak Tok Arab berpakaian lengkap berjubah dan berserban macam Raja Saud di depan receptionist School of Mechanical Engineering. Rupanya Dr Jos Darling.


Memang setiap hari Jumaat, dia akan buat perangai. Hari Jumaat dia akan pakai kostum yang pelik-pelik. Pernah satu kali aku ingat Napoleon Bonarparte mana yang sesat masuk kelas aku. Rupanya Dr Jos yang berpakaian begitu datang mengajar.
Macam ni lah Dr Jos pakai
datang mengajar. Cuma paruhnya
lebih besaq, ada atas-bawah

Kemuncak kebidaahannya, dia berpakaian macam ayam. Siap dengan paruh, kaki ayam dan bulu pelepah. Semasa dia berjalan, banyak suara-suara sumbang kedengaran. Cock-cock-cock. Cock-a-doodle-dooooo.

Dr. Jos memang cool. Selamat Hari Guru Darling.

Sunday, April 17, 2011

KoNtEsT KeNaNgAn zAmAn SeKoLaH

Demi memeriahkan contest yang dianjurkan Cik Nurussalwa
Tok! Tok! Tok!

Pintu kelas 1 Merah di ketuk oleh seorang pelajar. Kami yang sedang asyik mendengar cikgu di depan masing-masing berpaling ke muka pintu.

“Assalamualaikum cikgu. Nak jumpa Ramli, Cikgu Dol panggil dia,” beritahu budak di muka pintu.

Aku membontoti budak itu hingga ke kelas 4 Merah. Di dalam kelas 4 Merah aku lihat Cikgu Dol sedang menanti. Semua mata pelajar dalam kelas 4 Merah juga tidak berkelip-kelip memandang aku. Alamak! Apa aku dah buat ni. Apa kesalahan aku.

Cikgu Dol adalah cikgu yang paling ditakuti oleh pelajar termasuk aku. Tangannya se’laser’ mulutnya. Dia mengajar Bahasa Inggeris di kelas aku.

“Ramli, pisang dalam Inggeris apa?” Soal Cikgu Dol apabila aku merapatinya.

“Banana,” aku jawab walaupun dalam fikiran aku tertanya-tanya apa tujuan dia panggil aku ke kelas senior ini.

Selepas itu Cikgu Dol terus bertanyakan beberapa vocabulary mudah yang sepatutnya diketahui oleh budak darjah satu seperti aku sambil diperhatikan oleh pelajar kelas 4 Merah. Di dalam kepala aku masih tertanya-tanya. Apa ni? Kalau setakat nak tanya vocabulary, tak perlulah panggil aku ke sini.

“Sikat,” soalan terakhir daripada Cikgu Dol.

“Comb.”

“Budak kelas ni tak tahu, sebab tu saya panggil awak datang ke mari,” akhirnya terjawab pertanyaan kenapa aku dipanggil ke kelas ini.

Tindakan Cikgu Dol berbuat begitu mungkin satu teknik pengajaran yang baik dan berkesan. Rasulullah S.A.W juga pernah berdialog dengan malaikat Jibrail yang menyerupai seorang pemuda di hadapan para sahabat berkaitan persoalan Islam, iman dan ihsan.

Cuma bagi aku, kelemahan manusia biasa seperti kita ialah kerana terdapatnya unsur ‘humiliation’ di dalam tindakan itu. Cikgu Dol seakan-akan secara tersiratnya berkata kepada semua pelajar 4 Merah, ‘tengok... budak darjah satu pun tahu apa yang kamu tak tahu’.

Anggapan aku ternyata benar apabila sebelum melepaskan aku pergi, Cikgu Dol bertanya satu soalan maut yang aku tak mahu jawab tetapi terpaksa menjawab jua.

“Budak kelas ni cerdik ke bodoh?” Kuat suara Cikdu Dol. Cukup untuk didengari oleh makhluk yang berada di sekitar 12 meter radius.

Aku serba-salah. Kerana aku tahu apa jawapan yang dimahukan Cikgu Dol. Dengan penuh kenaifan, aku menjawab ‘bodoh’.

Dalam perjalan pulang dari sekolah hari itu, seorang budak tiba-tiba menuding jari ke arah aku sambil berkata kepada rakannya.

“Inilah budak yang kata kita bodoh tadi.”

****
Sori last minute tag. Saya pun tahu last minute. Selamat mencuba
 
Puteri
Anak Haji Amir

Tuesday, April 5, 2011

Maafkan Saya, Cikgu

Anak kecil main api, terbakar hatinya yang sepi...
MRSMKB penuh nostalgia
Pemadam papan hitam kelas kami selalu saja ghaib. Ambil baru, ghaib. Ganti baru, ghaib. Tak ada orang lain yang empunya angkara, mesti budak kelas sebelah yang ambil. Kelas Faraday 2.

Jadi hari itu, sebelum kami semua ke makmal sains, aku mendapat idea untuk berbuat sesuatu untuk menangani krisis kehilangan duster di kelas kami.

Aku tulis satu nota dan masukkan ke dalam kotak kapur bersama duster. Lalu aku terus berlalu ke makmal sains.

Balik dari makmal sains, Cikgu Nik Roseny telah sedia menunggu di dalam kelas. Dia nampaknya baru selesai memadam papan hitam. Di tangannya menggenggam duster. Dan..... sehelai kertas.... Alamak.

"Siapa tulis ni?" Dia bertanya, serius.

Aku terus mengangkat tangan dan berdiri. Baik aku mengaku awal-awal. Aku yakin tiada siapa yang berani membohongi Cikgu Nik Roseny. Menentang matanya pun aku tak berani.

Cikgu Nik Roseny adalah cikgu yang terbaik yang pernah aku jumpa. Dia mengajar matematik moden. Ajarannya mudah, senang difahami. Dia seorang wanita yang cantik, bertudung labuh dan lemah lembut. Memang dia seorang muslimah sejati. Tetapi dia tegas. Aku tidak pernah lihat dia ketawa. Tetapi dia selalu tersenyum. Di kala peperiksaan, aku lihat, dia akan duduk di bucu kelas semasa murid-murid sedang menjawab soalan. Dia membaca surah Yaasin diam-diam di bucu kelas. Dia tidak membuang masa begitu sahaja. Murid-murid pun tak adalah berani meniru lebih-lebih bila cikgu mereka sedang tekun membaca Al-Quran.

"Maafkan saya, cikgu."

Belum apa-apa aku sudah mengaku kalah.

Cikgu Nik Roseny membaca nota di tangannya yang sah-sah ditulis oleh aku. Pastinya aku tujukan kepada pencuri duster bersiri dari Kelas Faraday 2.

"Hoi menatang! Jangan curi duster ini. Pergilah ambil sendiri di pejabat."

Begitulah ayat skema aku. Aku lihat Jenal dah mula mengekek dan sedang menahan ketawa yang lebih besar di dalam perutnya. Malunya aku tak usah cakaplah.

Cikgu Nik Roseny berceramah 2-3 minit kepada aku yang menunduk dan kuncup semacam pohon semalu yang baru disentuh. Selesai ceramah cikgu, barulah aku dibenarkan duduk.

Begitulah cara Cikgu Nik Roseny mendidik dan menghukum kami yang bersalah. Dia tidak pernah menjentik, apalagi merotan.  Al-Fatihah untuk seorang cikgu yang begitu baik.

Friday, April 1, 2011

Bila Cikgu Biologi Bengang

Adik beradik Noel & Liam Gallagher
dari kumpulan Oasis
Semua kami dalam makmal Biologi tunduk menikus mendengar Cikgu Che Mat berleter. Jarang cikgu lelaki berleber. Puncanya kerana keputusan ujian kami teruk. Teruk sangat.

"Ingat, awak semua dah tingkatan 5. Kalau soalan basic macam ni pun tak boleh jawab, macam mana nak ambik SPM tahun ni," panjang leteran Cikgu Che Mat.

Aku tahu kenapa sebenarnya terjadi begitu. Soalan ujian yang diberi banyak berkaitan topik semasa tingkatan 4. Itulah yang banyak pelajar tidak bersedia dan lupa.

"Ini satu," Cikgu Che Mat mengangkat tinggi satu kertas ujian pelajar.

"Saya nak fotostat kertas ni dan tampal di serata sekolah, jawab osmosis pun tak tahu apa!" Cikgu Che Mat masih melampias kemarahannya. Tak puas hati benar dia.

Kebenarannya, Cikgu Che Mat bukanlah cikgu paling faveret pelajar-pelajar. Biasa-biasa saja dia. Tetapi dia guru penasihat homeroom aku. Jadi aku respek padanya dan memandangnya sebagai seorang bapa. Bagi aku dia baik dan ada kelebihan tersendiri.

Cikgu Che Mat terus membaca jawapan seorang pelajar di kertas yang dipegangnya dengan nada mengeluh.

"Osmosis adalah kawasan di gurun di mana terdapat air."

Kah Kah Kah

Patutlah ....

Sunday, February 20, 2011

Cikgu Paling Garang


Kalau cikgu garang, mau budak berkepit macam ni?
Yong bersama cikgu Pasti Al-Hikmah Sembulan,
Kota Kinabalu yang tak garang dan lemah-lembut.

Mungkin pengamatan aku salah. Tetapi inilah pengalaman aku sejak bersekolah rendah pada 1979 sehinggalah aku pencen sekolah menengah pada 1989.

Aku perhatikan cikgu BI lah yang paling garang dan bengis diikuti cikgu Matematik. Dua subjek ini pula memang menjadi kelemahan anak-anak sekolah terutama budak kampung. Ironik bukan?

Subjek payah, tambahan pula cikgu bekeng. Jadi apa yang kita harapkan?

Memang aku akui garang atau tidak seseorang cikgu bergantung kepada sikap dan perangai seseorang cikgu itu sendiri. Mungkin kebetulan cikgu yang mengajar BI dan Matematik itu bengkeng. Kadang-kadang mereka bengkeng macam singa betina walaupun cikgu tu jantan.

Semasa aku darjah satu dulu, cikgu BI senang-senang saja cakap budak-budak yang menjenguk ke dalam kelas kami sebagai 'monkey'. Cikgu matematik pula pernah membalun kawanku dengan pembaris kayu sehingga patah (pembaris tu yang patah) gara-gara tak dapat jawab soalan matematik yang diberikan. Itu berlaku semasa aku darjah tiga.

Mungkin kadar kesusahan subjek yang diajar menerbitkan perasaan stress kepada cikgu-cikgu. Subjek santai macam agama dan lukisan biasanya cikgu yang mengajar enjoy saja. Semasa aku di tingkatan dua, Ustaz Leh yang mengajar Pendidikan Agama Islam pernah dipaksa oleh pelajar-pelajar untuk mendenda pelajar yang cuba ponteng kelasnya. Akhirnya Ustaz Leh akur dan mendenda pelajar itu 'pumping' 2 kali! 2 kali sahaja! Kalau Ustaz Leh mengajar BI atau Math mungkin pelajar itu didenda 'pumping' paling kurang 10 kali.

Kepada cikgu-cikgu yang mengajar BI dan Math, terutama yang bengkeng-bengkeng tu, kurang-kurangkan sikit garang tu. Macam mana budak nak pandai subjek ni kalau cikgu pun dia takut? Cikgu BI kena contohi Cikgu Shida. Dia rocks. Cikgu Matematik pula kena contohi Cikgu Soba MRSMKB yang mengajar aku di tingkatan empat tahun 1988 dulu.

Semasa mula-mula masuk tingkatan empat, aku mendapat 0% untuk Matematik Moden. Selepas itu aku diajar oleh Cikgu Soba, untuk ujian kedua, aku dapat markah tertinggi dalam kelas aku, Razi 4. Apabila aku tersengih, Cikgu Soba berkata,

"Highest mark awak ni, 65% sahaja. Kelas sebelah, Zahrawi 4, highest mark dia 92%."

Ye lah siapa boleh lawan Jehan Reagan budak bijak jiwang tu.



Thursday, February 3, 2011

Rahsia Kejayaan Budak Sekolah MARA Dulu-dulu

Thoroughbred ye.. bukan bread.
typo  error je.
BEDEBOK! BEDEBOK! BEDEBOK! BEDEBOK!

Seorang kawan aku ditimbuk atas belakang oleh Cikgu Azid.

Kami sebenarnya sedang berkerumun menghadap papan kenyataan untuk melihat markah peperiksaan yang baru berlalu. Hari ini result peperiksaan perdagangan yang keluar. Cikgu perdagangan tersohor MRSM KB, Cikgu Azid sedang berada di hadapan papan kenyataan. Ramai pelajar yang mendapat habuan masing-masing daripada Cikgu Azid.

Kawan aku yang kena penimbuk tadi mendapat C4. Sebab itulah dia kena empat biji penimbuk daripada Cikgu Azid. Cikgu Azid memang tersohor dengan penimbuk. Bukan sedikit pelajar yang telah makan penimbuknya. Cikgu Azid ni unik orangnya. Dia bekeng tetapi kelakar. Garang tapi lawak. Sebab itu kadang-kadang penimbuknya diterima sambil ketawa oleh pelajar. Cikgu Azid memang best. Kalau takde penimbuk, lagi best kot.

“Awak dapat gred berapa?” Cikgu Azid bertanya kepada seorang kawan aku.

“P8....”

BEDEBOK! BEDEBOK! BEDEBOK! BEDEBOK!

BERDEBOK! BERRDEBOK! BERRRDEBOK! BERRRRDEBOK!

Mak oiiii. Lapan bijik penimbuk yang diterima oleh kawan aku yang malang itu. Tapi dia sengih saja.

“Awak?” Soalan Cikgu Azid beralih kepada Sin. Pelajar MRSM KB batch 13 yang paling tersohor.

“A2 cikgu,” jawab Sin dengan bangga.

BEDEBOK! BEDEBOK!

Walaupun Sin mengelak, tetapi kena juga dia penimbuk Cikgu Azid.

“Cikgu...Takkan A2 kena timbuk juga?” Sin memprotes. Dia ingat dengan gred A2 dia boleh lepas. Pelajar-pelajar lain gelak sakan.

Aku mengintai-intai nama aku di atas. Tiada.

Di tengah. Tiada.

Di bawah. Ada.

Alamak. Gred C6? Aku tengok markah 68%. Sebelum aku kena penimbuk, baik aku blah cepat-cepat. Meninggalkan Cikgu Azid yang tengah berpesta menimbuk budak-budak.

Aku pergi ke bilik guru. Menemui Cikgu Zakaria yang mengajar perdagangan kelas aku. Faraday 1.

“Cikgu.... Boleh saya semak markah periksa saya?” Aku bertanya Cikgu Pokya.

Cikgu Pokya membelek kertas jawapan yang berlambak atas mejanya. Kemudian dia mencabut satu kertas.

“Ramli... 68... Awak punya?” Cikgu Pokya berpaling tepat ke muka aku.

Aku mengamati kertas jawapan aku. Dan.....Yesss...

“Cikgu, saya dapat 68/75 ni bukan 68%.... Silap ni cikgu,” aku memberitahu Cikgu Pokya.

Memang Cikgu Zakaria tersilap menulis markah aku 68%. Sebenarnya 68/75. Dah 90% lebih tu. Memang aku rasa aku telah menjawab kertas perdagangan dan keusahawanan dengan baik. Sebab itu aku berani jumpa Cikgu Zakaria.

Nasib baik. Kalau tidak free-free saja aku dapat penimbuk Cikgu Azid 6 bijik.



Tuesday, February 1, 2011

Motivasi Jangan Manipulasi


"Bila bercakap depan khalayak,
jangan syok sendiri," aku bermonolog

Terus terang cakap. Aku paling tak minat nak pergi kursus motivasi. Bukan sebab aku dah cukup motivasi dan tak memerlukannya. Tidak. Kadang-kadang macam tak berpijak di bumi nyata.

Pakar-pakar motivasi sering menjadikan modal ceramah cerita orang lain yang datang berjumpa dengan mereka. Mereka adalah orang yang dipercayai untuk diluahkan sesuatu masalah, hingga kepada masalah yang paling peribadi. Nah! Kemudian masalah itu dikongsikan dengan semua orang di dalam ceramah. Termasuk di TV-TV. Siap menjadi joke lagi.

Apa perasaan individu yang meluahkan masalah kepada pakar tadi? Dia nak marah openly tak boleh, nanti satu Malaya tahu dialah makhluk yang dilipur-larakan oleh pakar motivasi tersebut. Memendam perasaaan aje lah.

Pernah aku dipaksa mendengar ceramah motivasi seorang ustaz askar pencen. Memanglah menarik. Dia pandai bemain kata-kata. Pengalamannya banyak. Cerita-cerita teladan yang diselitkan dalam ceramahnya pun memang menarik minat ramai. Cerita Israeliyat yang orang tak pernah dengar memang akan menarik perhatian ramai pendengar. Bagi pendapat aku, jika kita dah tahu suatu kisah itu Israeliyat, buat apa di wara-warakan kepada orang lagi. Apa tujuan cerita-cerita Israeliyat ni? Ustazlah yang lebih tahu.

Ada juga penceramah motivasi yang suka bermain dengan emosi pendengar. Ini aku paling menyampah. Sengaja direka cerita-cerita dan kisah kehidupan yang sedih dan menyayat hati. Ada juga yang mengungkit kisah jerih perih ibu ayah membesarkan kita. Sampai ada yang berkisah tentang seorang ibu yang mengutip beras yang tumpah di atas bas! Kisah seorang ibu yang ditempatkan di pondok sebesar reban ayam di belakang banglo anaknya! Celaka! Emosi siapa yang tidak tersentuh dengan bidaah sebegini? Apalagi jika dalam keadaan lampu disuramkan. Hosni Mubarak pun akan teresak-esak di kaki piramid mendengar kisah ini.

Semasa aku menjadi guru dulu ada pelajar SPM bertanya kepada aku di kala SPM semakin hampir.

“Cikgu, elok ke saya nak join kursus motivasi 2 hari ?”

“Molek! Tapi kalau awak belum habis baca dan revision lagi, baik baca buku dan buat latihan semasa 2 hari tu,” itu jawapan aku.

Akupun pernah berkursus motivasi untuk menjadi ‘A’ Star Student. Memang dipaksa la ni. 2 hari. Alangkah baiknya kalau 2 hari tu aku habiskan mengulangkaji pelajaran dan buat homework Applied Maths yang menimbun. Bagi aku dapat menyelesaikan masalah Applied Maths dan Physics adalah satu motivasi diri yang amat berharga dan tak terucapkan.

Tambahan pula bila cikgu-cikgu pun bagi ‘ a pat on the back’ dan tulis kat buku kita ayat-ayat pujian dan motivasi. Itu lagi menambah perisa. Aku pernah dipanggil Cikgu Hairiah sejurus selepas kelas Kimia semasa A-Level.

“Ramli, jumpa saya kat luar sekejap....” Aku hanya menurut cikgu yang rupa dan potongannya mirip Primadona Cher atau nama betulnya Cherilyn Sarkasian La Pierre ini.

Di luar pintu kelas Cikgu Hairiah berkata.

“I didn’t expect you to know the answer to that question just now. Bijok palo otok,” dia tersengih dan terus berlalu. Meninggalkan aku terkedu di situ. Nah! Inilah motivasi yang cikgu-cikgu perlu selalu terapkan. Tak payah bayar sesen pun. (Maaf ye, sekali-sekala puji diri. Bukan nak riak, tapi nak royak).

Kita memang perlu selalu diingatkan dan dimotivasikan. Bukan dimanipulasikan.


Thursday, January 6, 2011

Darjah 6 Merah Kuning


Cikgu Khalid, guru kelas 6 Merah Kuning sedang membuat pengundian untuk memilih ketua kelas baru. Tiba-tiba pintu kelas diketuk.

Tok Tok Tok

Muncul kerani gunasama yang hampir pencen bersama seorang budak lelaki bermuka panjang di muka pintu. Tanpa salam kerani gunasama itu berkata kepada Cikgu Khalid yang agak boroi dan obese itu.

“Cikgu, ini ketua kelas baru Darjah 6 Merah Kuning,” budak bermuka panjang itu diperkenalkan.

Cikgu Khalid terkejut. Dia mengusap-usap rambutnya yang sentiasa serabai itu.

“Mana boleh macam tu... Ini budak kelas lain, kelas sebelah. Mana boleh main letak je jadi ketua kelas ni,” Cikgu Khalid memprotes.

“Muktamad cikgu... Guru Besar dah setuju...” Kerani gunasama nak pencen itu bercakap tegas, meninggalkan Cikgu Khalid yang terpinga-pinga bersama murid-murid kelas 6 Merah Kuning yang sedang mengangkat tangan untuk mengundi ketua kelas baru mereka.

Sejak hari itu, Cikgu Khalid diserang oleh ramai orang dari setiap penjuru. Cikgu kelas lain serang. Cikgu pra serang. JKK yang kilik fail terbalik pun serang. Mak Cik kantin pun serang. Tukang kebun serang. Pengawal keselamatan serang. Orang gila yang bertapa di bawah pokok kulim di bucu padang sekolah pun serang Cikgu Khalid. Siap dengan parang!

Mereka katakan Cikgu Khalid meruntuhkan keharmonian sekolah. Nak lawan guru besar. Tak sedar diri. Baru je pindah datang sini dah nak tunjuk lagak. Mereka desak Cikgu Khalid letak jawatan. Tak payah jadi cikgu.

Cikgu Khalid pun kalau diikutkan hati bukan nak sangat jadi cikgu. Gaji bukannya besar pun. Baik menoreh je time harga getah mencecah RM15.00 sekilo nih. Tetapi Cikgu Khalid ada tanggungjawab. Dulu Sekolah ini asyik corot saja keputusannya. Banyak masalah. Duit koperasi pun hilang. Bila disiasat, jadi X-files. Kata penyiasat, ada toyol. Huh! Zaman laser macam ni pun masih orang percaya toyol...Itu fikir Cikgu Khalid.

Bukan Cikgu Khalid tak boleh berkompromi. Cikgu Khalid kenal benar budak dari kelas sebelah bermuka panjang itu. Dulu masa budak tu jadi pengerusi kelab catur, hancusss.... Habis pemain catur sekolah jadi pemain dam. Semasa budak muka panjang tu diberikan kepercayaan menjadi pengerusi Kelab Agama sekolah, habis dikawal ketat surau sekolah. Budak nak tumpang kencing kat tandas surau pun tak boleh. Cikgu Besar marah, katanya. Budak Siam nak minum air di kolah surau pun dijadikan isu sampai ke mesyuarat PIBG. Juga Cikgu Besar marah, katanya!

Hancurrr... Kalau dia jadi ketua kelas 6 Merah Kuning ni, bungkus result UPSR tahun ni. Lain aku ajar, lain pula yang budak-budak akan faham. Itu concern Cikgu Khalid.

Budak muka panjang dari kelas sebelah itu sudahpun masuk ke kelas 6 Merah Kuning. Di atas mejanya siap bertulis. KETUA KELAS.

Di dalam kelas 6 Merah Kuning, murid-murid sudah geger. Sudah tidak puas hati. Kenapa budak lembam kelas sebelah yang asyik gagal matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris boleh jadi ketua kelas kami? Kami ni tak layakkah? Mereka tidak tahu, sekarang di dalam bilik mesyuarat sebelah ofis Guru Besar, cikgu kesayangan mereka, Cikgu Khalid sedang dibicarakan. Cikgu Khalid sedang berhadapan dengan Cikgu Besar, JKK, DO, Pengerusi PIBG, Wakil Rakyat, Penghulu, Mak Cik kantin, Tok Imam, Tukang Kebun, Jaga dan Misi Cabut Gigi sekolah. Dengar khabarnya, Pengarah PPD pun dalam perjalanan sekarang untuk mendengar perbicaraan ini.

Sejarah telah mencatatkan di sekolah mana-mana pun di dalam daerah ini, cikgu yang dikatakan melawan cikgu besar semuanya akan terbuang. Samada ditukarkan ke hulu tempat gajah menetas atau menjadi penjual putu mayam di pasar malam.

All the best, Cikgu Khalid.

Tuesday, December 28, 2010

Lain Disuruh, Lain Dibuat


Setahu aku cara nak fasih Bahasa Inggeris, tak boleh tidak kenalah bercakap, berinteraksi, berkomunikasi dalam bahasa itu. Kalau setakat cakap dalam hati, tak jadi. Lain yang akan keluar dari mulut, tergagap-gagap pulak tu. Otak cakap lain, mulut cakap lain.

Dulu pada 1990, selepas result SPM keluar, aku pernah mengikuti kursus intensif Bahasa Inggeris selama 3 bulan di Kolej Negeri, Negeri Sembilan.

Suatu hari, Mrs Kuladeva memberikan tugasan. Pelajar-pelajar di dalam kelas dibahagikan kepada 4 orang sekumpulan dan diminta melakonkan situasi ini....

“Anda bertiga sedang berada di atas sebuah keretapi. Datang seorang pemeriksa tiket. Sedangkan anda ketiga-tiga naik percuma, tak beli tiket... Ha...lakonkan. Pasti banyak komunikasi yang terjadi”.

Sebelum tu, kami diberikan masa berbincang. Setelah berbrain storming, aku memberikan cadangan. “ Bro...kita buat macam ni...”

Satu demi satu kumpulan melakonkan situasi tersebut dengan berbagai-bagai dialog yang sememangnya begitu tipikal. Sampailah giliran kami berempat, aku, Sedi, Halim & Ambrose.

Action...

“Ticket sir....ticket....” Halim, budak Kedah bekas pelajar SM Sultan Abdul Halim yang agak terer speaking diberikan tugas sebagai pemeriksa tiket.

“Show me your ticket, please, sir...” Halim bertanyakan kepada Sedi. Sedi rakan sekolah aku sejak di MRSMKB dahulu.

MMmmm.....Mmmmmm....Mmmmm...... Sedi berlagak bisu dan membuat aksi tangan. Bahasa isyarat apa, aku pun tak faham.

“Ticket, sir,” Halim beralih kepada aku.

Aaaaa....Aaaa....... Aaaa........ Sambil meletakkan tangan di telinga, aku pula berlagak macam orang pekak.

“Ticket, sir,” akhirnya Halim beralih pula kepada Ambrose.

Ambrose meraba-raba. Jadi buta lah pulak dia..... Tapi orang buta boleh dengar dan boleh bercakap. Sambil tangannya teraba-raba, Ambrose budak Sarawak ini bercakaplah jugak sepatah-dua.

Budak-budak lain pecah perut. Mrs Kuladeva pun tergelak, tetapi dia amat tidak berpuas hati.

“I want you to speak, to converse... Not to show your talent in acting..... Ramli, you have to do this again, here’s the dialogue,” Mrs Kuladeva menyerahkan kertas dialog kepada aku. Padan muka aku kena buat semula.

Tetapi kali ini, pasangan dialogku adalah Siti Afiza @ Piza. Budak comel-lote kiut-miut kecil-molek hitam-manis yang sememangnya menjadi pojaan hatikuuu..... (Tiada siapa yang tahu!).

Friday, July 9, 2010

Sejuk Hingga Ke Tulang Sum-Sum


Cikgu Hairiah sedang mengajar kimia. Memang aku minat cara dia mengajar. Mudah faham.

Untuk menguji kefahaman murid, dia akan bertanyakan soalan.

"So Nazli, since bla bla.....what is bla bla....if bla bla bla....." Aku lupa pulak apa soalannya.

"Sorry madam, I don't know...." Jawab Nazli sambil menggeleng kepalanya yang kerinting.

"Azmyuddin....." Soalan Cikgu Hairiah beralih kepada Azmyuddin, penyokong DAP tegar dalam kelas kami.

Azmyuddin diam tak dapat menjawab.

Nasbi, Zurain, Arsyad, Genzo..... Semua mengalah. (Payah sangat ke soalannya? Aku lupa la pulak)

"Ramli...." Soalan Cikgu beralih padaku yang duduk di belakang sekali tepi tingkap.

"I know the answer but it's too cold in here, I can't speak", jawabku. Memang aku kesejukan, gigi bertemu gigi. Maklumlah kelas kami baru dipasang air-cond.

"Hah...Apa dia?" Terkejut Cikgu. Ini ke budak nak pergi mengaji UK!

Aku tak belawok, memang aku sejuk sungguh dan aku yakin aku tahu jawapan kepada soalan Cikgu Hairiah. Malangnya aku lupa apakah soalannya untuk diceritakan di sini.
(Ini cerita tahun 1991)

Wednesday, June 30, 2010

Monday, May 17, 2010

Aku Pun Cikgu Juga



Aku balik kampong setelah selesai peperiksaan akhir A-Level, 1992.

Esoknya, kakak aku yang mengajar di Taski Al-Huda tergesa-gesa balik ke rumah. Dia minta tolong aku menggantikannya.

“Ganti apa?” Tanyaku kehairanan.

Kakak menyuruh aku ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai (SMKKK). Ada orang offer dia jadi cikgu ganti. Mengajar Bahasa Inggeris dan Geografi. Tapi sekarang dia suruh aku ganti dia pulak. Keberatan juga aku.

“Seluar takda. Semua dah basuh”, aku beralasan. Tapi memang betul, seluar slack aku yang ada 2-3 helai telah mak kutip basuh.

“Carilah seluar mana yang ada Li, tulong aku deh”, kakak memujuk.

Kakak menyelongkar dalam bilik mencari seluar slack. Akhirnya terjumpa seluar slack ayah yang sememangnya hanya sekali atau dua kali aku melihat ayah memakainya. Maklumlah ayah orang kampong, uniformnya hanyalah pelikat, t-shirt dan kain batik lepas sebagai semutar.

Aku cuba memakai seluar ayah.

“Besarlah Na, malu aku. Tak payahlah Na.....”Aku makin keberatan.

“Tulonglah Li, aku dah janji dengan orang tu....Seluar ni nampak sedang molek je. Ok apa....Biasa la seluar slack macam ni”, akhirnya aku termakan pujukan berbaur belas kasihan kakakku.

Aku naik teksi (kereta sewa) ke SMKKK. Bermulalah kerjaya aku sebagai guru ganti.

Balik ke rumah tengah hari itu, kakak aku gelak besar.

“Bakpo?”Aku bertanya.

“Seluar mu pakai tu....geboh(besar)”, beritahunya terus gelak.

“Alamak, jatuhlah saham aku”, aku memprotes.

“Aku nak sukko takdi lagi, tapi kalau aku gelak nanti mung tak pergi pulak”, kakak terus membuat pengakuan.

Nak tak nak, aku hanya boleh tumpang gelak. Cerdik betul politik kakak.

Rezeki aku agak murah. Lepas mengajar di SMKKK, aku dapat lagi offer jadi guru matematik di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra (SMSYP). Sehingga result A-Level keluar, aku tiada masa yang tersia begitu saja. Terima kasih kakak kerana menjadikan aku seorang cikgu.

Selamat Hari Guru untuk aku.

Monday, March 22, 2010

Melor Daerah Termaju di Kelantan



Cikgu!

Cikgu Azmi yang sedang asyik meleteri teori fizik berpaling ke arah pelajar perempuan yang memanggil.

"Hukum Tangan Fleming ni, bila nak guna tangan kiri dan bila pula nak guna tangan kanan?" bersungguh-sungguh nampaknya pelajar perempuan tingkatan empat MRSM-KB bertanya dengan wajah penuh kekonfiusan.


Cikgu Azmi tersenyum.


"Oooo...Itu senang saja!"


Semua pelajar memberi perhatian kepada Cikgu Azmi, tips berguna sedang dicurahkan oleh sifu.


"Bila kamu nak makan nasik, kamu pakai tangan kanan. Bila nak basuh berak, guna tangan kiri", mengarut pula la Cikgu Azmi tengah-tengah pelajar dok serius memasang telinga dan otak.


Itulah Cikgu Azmi di antara cikgu favourite era 80-an di MRSM-KB.


Pernah sekali pelajar-pelajar mengata kampung halamannya, Melor kerana kes pertama HIV/AIDS di Kelantan (Mungkin di Malaysia?) dikesan di daerah itu.


"Guano Melor ni Cikgu?" Seorang pelajar sengaja mengumpan Cikgu Azmi.


"Kes HIV/AIDS sebelum ni banyak berlaku di Amerika, UK, negara maju. Itulah tandanya Melor pun maju...." Jawab Cikgu Azmi selamba.


Berkat ajaran Cikgu Azmi, aku pun dapat juga A1 untuk fizik...hahaha.

Friday, January 23, 2009

Mari Belajar Bahasa Arab


Tingkatan 2 Einstein. MRSM KB. 1986.


Cikgu Zul menyuruh kami membuat ayat dengan sekurang-kurangnya 3 perkataan.


Kalau last year, masa tingkatan satu, ayat 2 perkataan saja. Haza babun, hazihi ummun, haza kitabun, hazihi baqaratun saja.


Ramai yang kena berdiri. Sambil gelak sesama kawan.


Sampai giliran aku,


Al ma' fi al ga'si ...


Cikgu Zul angguk. OK la tu, almaklum top scorer yang tak dijangka-jangka untuk subjek Bahasa Arab semasa final semester form one. Bukan nak riak, tapi nak royak.


Sampai giliran Sebi (al-Fatihah),


Ma rabbbu ka ....


Nada dan gaya arwah yang memang konfiden dan bersahaja menggamatkan suasana dalam kelas. Cikgu Zul pun gelak, tapi dia tetap angguk.


Cerdik Sebi belaka. Doaku semoga beliau telah berjaya melalui soalan wajib ini.


Semoga aku dan kita semua akan berjaya melaluinya nanti.


Al-Fatihah untuk kawan-kawan yang telah pergi dulu. Sebi, Piye, Apik Besar, Zul Panje.

.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...