Pemadam papan hitam kelas kami selalu saja
ghaib. Ambil baru, ghaib. Ganti baru, ghaib. Tak ada orang lain yang
empunya angkara, mesti budak kelas sebelah yang ambil. Kelas Faraday 2.
Jadi hari itu, sebelum kami semua ke makmal
sains, aku mendapat idea untuk berbuat sesuatu untuk menangani krisis
kehilangan duster di kelas kami.
Aku tulis satu nota dan masukkan ke dalam kotak
kapur bersama duster. Khas untuk makhluk pencuri duster! Lalu aku terus berlalu
ke makmal sains.
Balik dari makmal sains, Guru matematik, Cikgu
Nik Roseny telah sedia menunggu di dalam kelas. Dia nampaknya baru selesai
memadam papan hitam. Di tangannya tergenggam duster dan..... sehelai
kertas.... Alamak…..
"Siapa tulis ni?" Dia bertanya,
serius.
Aku terus mengangkat tangan dan berdiri. Baik
aku mengaku awal-awal. Aku yakin tiada siapa yang berani membohongi Cikgu Nik
Roseny. Menentang matanya pun aku tak berani.
Cikgu Nik Roseny adalah cikgu yang terbaik yang
pernah aku jumpa. Dia mengajar matematik moden. Ajarannya mudah, senang
difahami. Dia seorang wanita yang cantik, bertudung labuh dan lemah lembut.
Memang dia seorang muslimah sejati. Tetapi dia tegas. Aku boleh katakan yang
aku tidak pernah melihat dia ketawa. Tetapi dia selalu tersenyum. Di kala
peperiksaan, aku lihat, dia akan duduk di bucu kelas semasa murid-murid sedang tekun
menjawab soalan. Dia membaca surah Yaasin diam-diam di bucu kelas. Dia
tidak membuang masa begitu sahaja. Murid-murid pun tak adalah berani meniru
lebih-lebih bila cikgu mereka sedang tekun membaca Al-Quran.
"Maafkan saya, cikgu."
Belum apa-apa aku sudah mengaku kalah.
Cikgu Nik Roseny membaca nota di tangannya yang
sah-sah ditulis oleh aku itu. Pastinya aku tujukan ‘kata-kata keramat’ itu kepada
pencuri duster bersiri yang aku yakin datangnya dari Kelas Faraday 2.
"Hoi menatang! Jangan curi duster ini.
Pergilah ambil sendiri di pejabat."
Begitulah ayat skema aku. Aku lihat Jenal dah
mula mengekek dan sedang menahan ketawa yang lebih besar di dalam perutnya.
Malunya aku tak usah cakaplah, lebih-lebih lagi kepada Fadhilah, budak cun yang
duduk di kerusi depan aku.
Cikgu Nik Roseny berceramah 2-3 minit kepada aku
yang menunduk dan kuncup semacam pohon semalu yang baru disentuh.
Selesai ceramah cikgu, barulah aku dibenarkan duduk.
Sebagai denda, Cikgu Nik Roseny mengarahkan aku
untuk mencari dan menulis kembali hadis-hadis Nabi S.A.W yang berkaitan dengan keperluan
berkata baik dan menjaga lidah.
Begitulah cara Cikgu Nik Roseny mendidik dan
menghukum kami yang bersalah. Dia tidak pernah menjentik, apalagi
merotan.
Al-Fatihah untuk seorang cikgu yang begitu baik.
Pastinya beliau paling diingati dan dirindui oleh ahli keluarga beliau. Semoga
mereka semua bersatu di syurga kelak. Amin.