Saturday, October 19, 2013

Selamat Ulangtahun ke 6, Talhah

Semoga berjaya dunia-akhirat anakku

Monday, September 9, 2013

Selamat Menjawab UPSR Anak Sayangku

Semoga Allah permudahkan semuanya untuk Kakak, dunia & akhirat.
Rasanya baru semalam Kakak belajar naik basikal.
Ya Allah, 
Engkau kurniakanlah yang terbaik untuk anakku
 Nur Salsabila
 dan murid-murid tahun 6 dalam UPSR yang bakal menjelang.
Amin. 

Thursday, May 30, 2013

Selamat Hari Lahir Kakak

Semoga menjadi serikandi Islam sokmo-sokmo

Tuesday, May 28, 2013

Dunia Akhir Zaman

Seorang jejaka hensem berkerjaya model dan pelakon merungut kepada kawannya. Sesuatu yang peribadi.

"Aku marah betul dengan ibu aku sendiri. Dia dah melampau, tak patut....."

Kawan yang mendengar hanya diam, biarkan orang melepaskan segala yang terbuku dikepala hotak dia.

"Mulai hari ini aku tak nak ambil pot lagi pasal orang tua tu. Aku mampu berdikari... Selama ini pun segala makan pakai aku, aku tanggung sendiri dengan hasil kerja yang aku usahakan sendiri," sambung model hensem itu lagi.

"Bro, muka kau yang hensem, laku dalam TV dan majalah tu saling tak tumpah macam ibumu," kata kawannya sambil mengorder segelas air barli panas lagi.


Saturday, May 25, 2013

Sunday, May 19, 2013

Air Asia Punya Pukulan

Boikot Jangan Tak Boikot
Sambil tengok bola di kedai mamak, sempat lagi Man Bakar dan Setapa berborak isu-isu berkepentingan nasional.

"Mulai hari ni, aku boikot Air Asia, Air Asia X, Y, Z, semua aku boikot," Setapa memulakan bicara politik berkepentingan nasional dan berketuanan Melayu.

"Aku setuju Pa, aku pun akan boikot apa-apa benda berkaitan dengan Air Asia selagi bos Air Asia X yang lupa diri tu tak minta maaf pada Utusan, oppsss pada Melayu," Man Bakar mengiyakan. Penuh semangat.

Tiba-tiba  satu kedai mamak bersorak.
Jersi QPR,
kebanggaan rakyat Malaysia
GOOOOOLLLLLLLLLLLLLLLLLLLL
GOOOLLLLLLLLLLLLLLLLLLLL

Setapa dan Man Bakar turut bersorak riang sampai naik atas meja kedai mamak sambil bangga menayangkan jersi yang dipakai mereka dengan penuh bangga.

"Hidup QPR! !!! Hidup QPR!"

Laung Man Bakar dan Setapa bersama-sama.


Thursday, May 16, 2013

TERBAIK Hari Guru Daripada Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man

Tuan Ibrahim Tuan Man,16 Mei 2013


Cikgu Ibrahim mengajar di sebuah sekolah rendah. Di depan kelas darjah 4 pada hari pertama persekolahan, beliau memberitahu para pelajar satu pembohongan.

Seperti guru-guru yang lain, Cikgu Ibrahim memberitahu para pelajarnya bahawa beliau sayang mereka secara setara. Tapi mustahil, kerana di depan kelasnya ada seorang pelajar lelaki bernama Jimmy yang tidak bermaya dan lemah semangat.

Cikgu Ibrahim telah memperhatikan Jimmy sejak tahun lepas. Dia ini tak bergaul dengan rakan-rakan sekolah dan suka menyendiri. Pakaiannya dan rambutnya tidak terurus. Nampak comot dan kurang bersih. Cikgu Ibrahim tidak suka kepadanya.

Cikgu Ibrahim tidak berniat nak mengajar Jimmy. Kerja rumahnya yang teruk dipangkah “X” dengan besar-besar tanpa diajar. Peperiksaan bila Jimmy gagal, Cikgu Ibrahim sudi menulis dengan pen warna merah. Kadang-kala terasa juga nak tulis “Padan Muka!” di atas kertas tersebut.

Tiba masa untuk menulis rekod pelajar pertengahan tahun. Cikgu Ibrahim meninggalkan buku rekod Jimmy di bahagian terakhir. Menyampah nak baca dan tulis untuk pelajar yang malas, tak bermaya, tak terurus dan dibencinya ini.

Cikgu Ibrahim menyiapkan laporan untuk pelajar-pelajar yang lain dahulu. Akhirnya tiba giliran buku rekod Jimmy.

Mahu tidak mahu, Cikgu Ibrahim terpaksa membaca rekod Jimmy sejak Darjah 1 sehinggalah sekarang sebelum mencatat prestasi Jimmy berdasarkan pengamatan beliau.

Darjah 1, cikgu Jimmy menulis:
“Jimmy seorang pelajar yang sangat pintar dan kemas kerjanya. Senyumannya begitu bersemangat sehinggakan seluruh kelas mencontohi tingkahlaku beliau. Beliau mendapat tempat nombor 1 di sekolah dan aktif dalam sukan.”

Darjah 2, cikgu Jimmy menulis:
“Jimmy seorang pelajar yang sangat disukai semua guru dan rakan-rakan sekolah. Jimmy masih mengekalkan keputusan cemerlangnya meskipun bapanya terkena penyakit kronik dan ibunya terpaksa sara keluarga. Kehidupan di rumahnya tentu mencabar.”

Darjah 3, cikgu Jimmy menulis:
“Bapa Jimmy meninggal. Jimmy cuba sedaya untuk fokus tapi ibunya kerana terpaksa sara keluarga terus mengabaikannya. Bantuan mesti diberikan jika tidak kehidupan keluarga akan ada negatif impak pada Jimmy. Keputusan Jimmy dah mula merundum dan lebih menyendiri. Jimmy dah mula tak buat kerja rumah dan tidur di dalam kelas.”

Setelah membaca ketiga-tiga laporan itu, Cikgu Ibrahim berasa bersalah mempunyai sangka buruk pada Jimmy sejak awal. Beliau sebak seketika dan tidak menulis laporan dalam buku rekod Jimmy.

Rupa-rupanya Jimmy jadi begitu ada kisahnya – Cikgu Ibrahim berasa malu.

Pada sambutan Hari Guru, Cikgu Ibrahim menerima hadiah daripada semua pelajar dalam kelasnya termasuk dari Jimmy. Semua hadiah dibungkus dengan cantik kecuali hadiah Jimmy yang hanya dibalut dengan kertas kuning comot.

Cikgu Ibrahim memilih untuk membuka hadiah Jimmy dulu di depan kelas. Rakan-rakan sekelasnya ketawa hadiah comot yang dihadiah oleh Jimmy. Dalamnya ada satu cincin dan sekotak bedak usang.

Cikgu Ibrahim menyuruh kelasnya diam. Beliau memakai cincin tersebut dan meletakkan sedikit bedak di lehernya.

Jimmy tersenyum tapi tidak berkata apa-apa. Ini pertama kali Cikgu Ibrahim melihat Jimmy tersenym.

Selepas habis sekolah, Cikgu Ibrahim terserempak Jimmy yang menunggu di tepi keretanya seorang diri.

“Apa hal Jimmy?”

“Tak ada apa. Cuma nak beritahu, Cikgu hari ini bau dan nampak seperti bapa saya. Terima kasih,” kata Jimmy sebelum beredar.

Masya-Allah. Mata Cikgu Ibrahim menjadi merah.

Mulai hari itu, Jimmy menjadi pelajar yang diberi perhatian khusus oleh Cikgu Ibrahim. Cikgu Ibrahim berhenti mengajar matematik, menulis dan membaca. Beliau kini mula mendidik para pelajarnya sebagai seorang ibubapa.

Hubungan Cikgu Ibrahim dengan Jimmy bertambah baik. Jimmy memberikan perhatian dalam kelas dan setiap kata Cikgu Ibrahim. Pada akhir tahun, Jimmy kembali mendapat nombor 1 di dalam sekolah.

Pada akhir tahun darjah 4, Jimmy meninggalkan sekeping nota di kereta Cikgu Ibrahim.

“Cikgu adalah cikgu terbaik di dalam hidup saya. Dalam pepatah Cina, satu hari sebagai cikgu saya ialah sama dengan seumur hidup menjadi bapa saya. Saya sayang cikgu. Terima kasih kerana memakai bedak dan cincin bapa saya. Akhirnya, saya jumpa bapa saya kembali ke sisi saya.”

Cikgu Ibrahim sekali lagi menitis air mata.

Semenjak itu, Cikgu Ibrahim dan Jimmy menjadi sangat rapat sehinggalah ke sekolah menengah yang hanya di depan sekolah rendah. Setiap kali Jimmy mendapat keputusan cemerlang, Jimmy akan mengirimkan nota, “Cikgu masih cikgu terbaik dalam hidup saya. Tanpa cikgu, takkan ada Jimmy hari ini.”

Sebelum Jimmy ke Universiti di sebelah selatan, Cikgu Ibrahim mengajak Jimmy berjumpa untuk memberikan sedikit duit sebagai bekalan.

“Cikgu harap hubungan ini berterusan sampai akhir hayat,” kata Cikgu Ibrahim.

Jimmy berfikir sejenak…

“Apa kata cikgu jadi ayah angkat saya? Macam ini, pasti takkan putus hubungan,” kata Jimmy.

“Cikgu dah lama anggap Jimmy sebagai anak. Cuma Jimmy tak panggil ayah saja lagi,” jawab Cikgu Ibrahim.

Jimmy terus memeluk Cikgu Ibrahim, “Ayah. Saya dah lama nak panggil ayah. Sejak bapa tiada, anakanda dah lama anggap cikgu sebagai ayah. Kalau bukan ayah masih percayakan anakanda darjah 4 dulu, anakanda dah tak tahu hanyut ke mana.”

“Terima kasih anakanda. Ayah yang patut ucap terima kasih. Ayah selama ini tak tahu mendidik sehinggalah ayah terjumpa anakanda darjah 4 lalu,” jawab Cikgu Ibrahim.

Selamat Hari Guru.

Senyum.

Jangan baca saja jika suka. Sharelah juga ya.

Wednesday, May 15, 2013

Guru Teristimewa


Pemadam papan hitam kelas kami selalu saja ghaib. Ambil baru, ghaib. Ganti baru, ghaib. Tak ada orang lain yang empunya angkara, mesti budak kelas sebelah yang ambil. Kelas Faraday 2.

Jadi hari itu, sebelum kami semua ke makmal sains, aku mendapat idea untuk berbuat sesuatu untuk menangani krisis kehilangan duster di kelas kami.

Aku tulis satu nota dan masukkan ke dalam kotak kapur bersama duster. Khas untuk makhluk pencuri duster! Lalu aku terus berlalu ke makmal sains.

Balik dari makmal sains, Guru matematik, Cikgu Nik Roseny telah sedia menunggu di dalam kelas. Dia nampaknya baru selesai memadam papan hitam. Di tangannya tergenggam duster dan..... sehelai kertas.... Alamak…..

"Siapa tulis ni?" Dia bertanya, serius.

Aku terus mengangkat tangan dan berdiri. Baik aku mengaku awal-awal. Aku yakin tiada siapa yang berani membohongi Cikgu Nik Roseny. Menentang matanya pun aku tak berani.

Cikgu Nik Roseny adalah cikgu yang terbaik yang pernah aku jumpa. Dia mengajar matematik moden. Ajarannya mudah, senang difahami. Dia seorang wanita yang cantik, bertudung labuh dan lemah lembut. Memang dia seorang muslimah sejati. Tetapi dia tegas. Aku boleh katakan yang aku tidak pernah melihat dia ketawa. Tetapi dia selalu tersenyum. Di kala peperiksaan, aku lihat, dia akan duduk di bucu kelas semasa murid-murid sedang tekun menjawab soalan. Dia membaca surah Yaasin diam-diam di bucu kelas. Dia tidak membuang masa begitu sahaja. Murid-murid pun tak adalah berani meniru lebih-lebih bila cikgu mereka sedang tekun membaca Al-Quran.

"Maafkan saya, cikgu."

Belum apa-apa aku sudah mengaku kalah.

Cikgu Nik Roseny membaca nota di tangannya yang sah-sah ditulis oleh aku itu. Pastinya aku tujukan ‘kata-kata keramat’ itu kepada pencuri duster bersiri yang aku yakin datangnya dari Kelas Faraday 2.

"Hoi menatang! Jangan curi duster ini. Pergilah ambil sendiri di pejabat."

Begitulah ayat skema aku. Aku lihat Jenal dah mula mengekek dan sedang menahan ketawa yang lebih besar di dalam perutnya. Malunya aku tak usah cakaplah, lebih-lebih lagi kepada Fadhilah, budak cun yang duduk di kerusi depan aku.

Cikgu Nik Roseny berceramah 2-3 minit kepada aku yang menunduk dan kuncup semacam pohon semalu yang baru disentuh. Selesai ceramah cikgu, barulah aku dibenarkan duduk.

Sebagai denda, Cikgu Nik Roseny mengarahkan aku untuk mencari dan menulis kembali hadis-hadis Nabi S.A.W yang berkaitan dengan keperluan berkata baik dan menjaga lidah.

Begitulah cara Cikgu Nik Roseny mendidik dan menghukum kami yang bersalah. Dia tidak pernah menjentik, apalagi merotan. 

Al-Fatihah untuk seorang cikgu yang begitu baik. Pastinya beliau paling diingati dan dirindui oleh ahli keluarga beliau. Semoga mereka semua bersatu di syurga kelak. Amin.

Friday, May 10, 2013

Buat Tatapan Umnonymous

@ Masjid Tembila, Besut, Terengganu

Senang-senang je tuduh orang menyekutukan Allah. Lepas tu asyik menjaja isu lapok 'kafir-mengkafir'. Orang ajak berdebat tak mahu. Dalam TV bukan main tak malu berhujah sorang-sorang. Ceh!!!!!!!

Biarlah Allah sahaja yang menentukan segala dan membalasnya.

Wednesday, May 8, 2013

Kamus Penting Untuk SPR


in·del·i·ble  

/inˈdeləbəl/
Adjective
  1. (of ink or a pen) Making marks that cannot be removed.
  2. Not able to be forgotten or removed: "his story made an indelible impression on me".
Synonyms
ineffaceable


in·ed·i·ble  

/inˈedəbəl/
Adjective
Not fit or suitable for eating.
Synonyms
uneatable - inesculent

Cikli says:
Inedible ink, definitely. Indelible ink, I don't think so. Please don't make 'HALAL'  your scapegoat Mr. SPR.
Btw, I use ballpen.

Tuesday, May 7, 2013

Minoriti Yang Menumpang

.

Jin dan manusia dijadikan oleh Allah S.W.T untuk beribadat kepadaNya.
.
Oleh itu kita hendaklah sentiasa mengingati Allah S.W.T, sentiasa berzikir memuji Allah S.W.T.
.
Rata-rata makhluk ciptaan Allah S.W.T... angin, air, pokok, kayu-kayan, gunung dormant, gunung berapi, gunung kinabalu, burung, cipan, kuman, fungi, amoeba, ikan paus, tenggiling, hamster, batu-batan, wonderpet, pasir, tanah, cacing kerawit dan jutaan malah bilionan lagi makhluk sentiasa berzikir kepada Allah S.W.T. Memuji Allah S.W.T dalam bahasa mereka masing-masing. Memuji Allah S.W.T dengan pujian yang manusia tidak terfikirkan dengan otak terhad mereka.
.
Pendek kata majoriti makhluk dalam dunia ini adalah penzikir yang tidak putus-putus memuji Allah S.W.T.
.
Amat takut jika aku menjadi salah seorang makhluk berbentuk manusia yang lalai daripada memuji Allah S.W.T. Lalai daripada memuji Allah S.W.T menjadikan aku minoriti kerana makhluk-makhluk lain majoritinya memuji Allah S.W.T tidak putus-putus sentiasa.
.
Amat takut aku yang sedang dalam perjalanan ke negeri akhirat yang kekal abadi menjadi minoriti makhluk yang lalai daripada memuji Allah S.W.T kerana terlalu asyik dengan agenda itu-ini sementara menumpang di bumi Allah S.W.T ini.

.

Monday, May 6, 2013

Dosa Hari Ini

Boleh pula banner ni berada di sini!!
Selesai mengundi aku berjalan keluar dari pusat pengundian. Mataku tertumpu pada satu banner di luar pagar sekolah yang menjadi pusat mengundi. Aku berhenti dan membaca tulisan pada banner tersebut.

"Takde apa dah lah. Berdosa lah ambo hari ni," aku berkata kepada seorang pakcik yang berada berhampiran.

"Kenapa?" Tanya si pakcik.

"Ambo undi Pas takdi....." Beritahu aku tanpa berselindung, sambil mata aku terus berpaling daripada banner yang menyatakan 'fatwa' seorang-dua 'tok guru' yang terang-terangan menghukumkan HARAM mengundi Pas.

Tuesday, April 30, 2013

Tradisi Membodohkan Rakyat

Kami mahu nasik!
Esok mula cuti, sebelum hari membuang undi pada 5 Mei ini. Aku terkejar-kejar menyiapkan segala kerja yang masih berbaki di ofis. Seboleh-bolehnya semua aku mahu siapkan hari ini! Tak lupa juga aku menyiapkan tuntutan perjalanan kerja luar untuk bulan April.

"Aik awalnya, dah nak hantar. Belum habis bulan lagi?" Tanya kerani kewangan dengan senyum yang paling cun yang aku lihat di ofis ini.

"Hantar awal, nanti kalau minggu depan huru-hara payah nak dapat claim," jawab aku.

"Ye juge ye!" Jawab kerani cun penyokong ABCD ini dengan nada sporting.





Sunday, April 21, 2013

Calon ADUN Yang Kalah


Semasa berurusan di kaunter bank, tiba-tiba seseorang yang familiar datang memberikan namecard kepada orang ramai di dalam bank termasuk aku.

"Kalau nak BRIM ke apa ke, bagi tahu..." Katanya.

"Tolong ye, sekali saja," katanya lagi, memujuk orang ramai untuk mengundi dia yang mewakili parti majoriti India komponen BN itu.

Aku melihat kad yang diberikan. Ada gambar dia sebagai calon ADUN, ada gambar PM sebagai Presiden UMNO, ada gambar Datuk Mustapha Mamat sebagai Ketua Perhubungan UMNO Kelantan.... Kemudian ada gambar seorang perempuan, siap ada nama lagi, Datin Dr S...... 

"Siapa ni?" Aku bertanya orang di sebelah.

"Rasanya bini dia," jawab seseorang.

"Nampak sangat dia 'kalah'....." Kata aku.

"Belum mengundi lagi belum tahu, dia ni boleh tahan pengaruhnya," potong kawan tadi.

"Kalah kat bini la bro kalau macam ni!" Jawab aku.

Saturday, March 16, 2013

Politik Pakar Motivasi

Seperti yang aku selalu sebutkan dulu, aku memang tak berapa minat ceramah motivasi. Namun banyak kali aku terpaksa pergi mendengar. 

Di satu sesi ceramah, seorang pakar motivasi menyuruh kami menulis tarikh lahir dan menurunkan tandatangan pada satu kertas.

Selepas itu dia mula membuat tafsiran bagi setiap tandatangan dan tarikh lahir tersebut. 

"You ni anak bongsu kan?" Tanya pakar motivasi kepada seorang peserta perempuan.

"Eh! Macam mana Dr. tahu?" Tanya balik peserta tersebut dengan penuh kekaguman.

"Orang yang lahir pada tarikh ini biasanya lembut, manja....bla..bla... Tandatangan ini pun melambangkan pemiliknya mempunyai sifat bla..bla... Sifat ini biasanya dimiliki oleh anak bongsu dalam keluarga.... bla bla..."

Huiss, panjang teori pakar motivasi manambahkan kekaguman dan keyakinan para peserta kepada beliau. Aku masih lagi terasa boring.... Hmmm lahir time bulan mengambang pun, apa kena mengena dengan sikap kita. Aku masih berpendirian begitu.

"18 Mac 72 ... Siapa  punya ni, kreatif .. Macam belalang?" 

Pakar motivasi menunjukkan kertas yang bertandatangan macam belalang pelesit di tangannya. Memang aku punya, lalu aku mengangkat tangan.

Pakar motivasi berdiam 3-4 detik sambil memandang aku sebelum berkata,

"Untungnya isteri awak!"

Ulp. Terkedu aku mendengar tafsiran pakar motivasi tentang tandatangan dan tarikh lahir aku. Aku tiba-tiba terasa seperti baru menghabiskan segelas kopi goji tongkat Ali plus apabila mendengar ayat sebegitu power daripada pakar motivasi tersebut. Sejak dari detik itu, aku tumpukan perhatian serius ceramah motivasi yang disampaikan oleh pakar tersebut termasuklah apabila dia berceramah di TV.

Power ayatnya tidak terungkap!

Moral of the story:
18 Mac ni birthday gua der.

Tuesday, March 5, 2013

Tiada Apa Yang Sempurna

Budak itu tidak berselipar, di tangannya terbimbit plastik rok-rak berisi beberapa tin aluminium. Dia tercegat berdiri di situ. Di luar restoran itu. Matanya asyik memandang pada televisyen di dalam restoran.

Di depan budak itu satu keluarga bahagia sedang menjamu selera. Ayah, ibu, 2 anak. Setelah membayar harga makanan, mereka beredar.

Sebaik sahaja keluarga bahagia itu mengangkat punggung, budak itu lantas duduk di meja itu. Semua sisa makanan tadi dimakan semahunya. Air teh ping yang masih bersisa setengah gelas dihirupnya puas-puas. Apatah lagi cuaca di Semporna membahang tengahari ini.

Aku yang berada di meja sebelah tidak dapat menelan nasi sup yang baru 2 sudu ku suap. Kerongkongku rasa tersekat....Dan aku berusaha menahan macho supaya air mata tidak mengalir keluar di depan kawanku yang sedang menguis-nguis nasi goreng dalam pinggan di hadapannya. Aku agak dia pun sedang menahan macho juga.

Aku berada berdekatan sebuah Pulau tercantik di dunia. Pulau Sipadan! Hanya beberapa gelen minyak motorbot dari Pekan Semporna. Tetapi di daratan ini seorang budak ku lihat kelaparan mencari tin aluminium dan sisa orang untuk meneruskan hidup. Padahal dia sepatutnya mengambil PMR tahun ini untuk meneruskan hidup di Malaysia yang sempurna ini.

Saturday, February 23, 2013

Tak Paham Melayu


Kalau nak buat 'cakap pindah', janganlah sampai fitnah orang, bodoh!

Hari ini Pak Rais mengamuk di bilik guru sambil memimpin tangan anaknya, Najib. Sekalian cikgu dalam bilik guru senyap dip tidak terkata. Takut mereka dengan amukan Pak Rais.

Tak cukup dengan geger suara jalang Pak Rais, tiba-tiba bilik guru dibom pula dengan suara Pak Din, juga sedang memimpin tangan anaknya, Mamut.

"Mana Cikgu Ajis?" laung mereka sepakat.

Cikgu Ajis yang sudah beruban datang menghampiri kedua bapa murid yang sedang melampias kemarahan itu.

"Ada apa encik-encik semua?" Tanya Cikgu Ajis.

"Apa yang cikgu dah katakan pada anak saya? Anak kami?" Kasar bentak Pak Din.

"Ooo... Anak encik berdua bertumbuk dalam kelas. Bukan sekali, tahun ni sahaja dah nam belas kali," bagitahu Cikgu Ajis.

"Kalau bergaduh pun, apa hak cikgu nak maki anak saya?" Pak Rais pula menyampuk.

" Ehh... Bila masa pulak saya maki anak encik?" Cikgu Ajis menafikan tuduhan dalam kehairanan.

" Jangan nak berdalih, anak saya beritahu cikgu kata dia dan kawannya MACAM ANJING DENGAN KUCING. Tergamak cikgu kata anak saya anjing!" Marah benar Pak Rais, berjebak mulutnya.

"Anak sayapun cakap cikgu kata dia MACAM ANJING DENGAN KUCING... Kalau dia anjing, maknanya cikgu maki saya sekali sebagai bapak anjing," giliran Pak Din pula berjebak mulut, melampias kemarahan.

Cikgu Ajis hanya diam. Hatinya dilanda simpati kepada Najib dan Mamut. Patutlah mereka selalu dapat E dalam Bahasa Melayu, bapak mereka pun tak reti kiasan mudah orang Melayu. Nasib engkau la Umno!...

Monday, February 18, 2013

Janji Ditepati Pakar Motivasi


Belumpun rancangan bermula, Tengku Man sudah tercongok di depan TV. Memang dia tak pernah miss rancangan motivasi kegemarannya. Pakar motivasi itu pun sudah menjadi idola Tengku Man.

Rancangan bermula. Hari ini pakar motivasi bercakap tentang hubungan suami-isteri. Hebat betul kupasan pakar motivasi, sampai muncung-muncung mulut. Apa yang disebut, sebijik macam dalam buku. Ye lah, Tengku Man sudah beli semua buku-buku tulisan pakar motivasi tersebut. Pun begitu, Tengku Man tidak pernah jemu mendengar celoteh pakar motivasi itu.

Dahulu Tengku Man pernah beberapa kali bertemu dengan pakar motivasi itu untuk mendapatkan khidmat nasihat. Dulu Tengku Man ada masalah keluarga, masalah anak, masalah isteri, masalah mentua. Sekarang alhamdulillah tidak lagi.

"Dulu ada seorang datang jumpa saya...." Pakar motivasi di dalam TV mula bercerita. Memang setiap kali bermotivasi, pakar motivasi akan membawa cerita-cerita menarik sebagai contoh. Itu yang membuatkan ceramah pakar motivasi ini segar dan menarik. Ada sahaja cerita teladan yang dibawanya. Menghiburkan dan penuh dengan pengajaran.

"Ada seorang suami ini datang jumpa saya, dia ahli korporat besar di Kuala Lumpur, orang ada nama, kerabat diraja.  Dia menangis depan saya, habis lenjun neck-tie dia. Saya tepuk bahunya, saya tanya, Ku ada masalah apa? Mulalah dia cerita. Anaknya tiap malam berkepit di kelab malam. Isterinya pula main kayu .....bla...bla...bla....."

Terkedu Tengku Man di sofa.

"Cisss....Ini cerita aku. Cerita isteri aku. Cerita anak aku Dulu dia janji nak rahsiakan perkara ini. Sekarang dia buat modal ceramah pulak. Celaka punya pakar motivasi!" 

Tengku Man mula terasa jengkel. Meluat dia melihat wajah pakar motivasi yang menjadi idolanya selama ini. Ceh! Cari makan dengan menjaja cerita orang. Cissss......

Betullah pakar motivasi itu tak sebut nama dalam ceritanya, tetapi Tengku Man gerenti kaum kerabat terdekat, pekerja-pekerja di pejabat dan rakan-rakan segolf dengannya yang mendengar rancangan ini akan dapat meneka dan tahu, cerita ini cerita Tengku Man, ahli korporat berjaya di Kuala Lumpur. Apalagi jika rancangan ini ditonton oleh anak-anak dan isterinya. Tentu luka lama berdarah kembali.

"Memang tak boleh pakai kata-kata dan janji dia ni," sungut Tengku Man.

"Orang macam ni, kalau masuk politik lagi tak boleh pakai setiap janji dan kata!" sungutnya lagi.

Tuesday, February 12, 2013

Calon Pilihan PRU13

Nampaknya semua orang mahukan pendapat Haikal. Semua orang bertanya Haikal benda yang sama. Namun Haikal tak pernah menjawab secara terus. Bukan dia mahu berselindung, tetapi Haikal rasa lebih baik begitu.

Mungkin kerana Haikal mewakili golongan muda yang berpendidikan tinggi di kampungnya, maka pendapat Haikal amat penting dalam hal-hal begini. Memikirkan inilah yang menyebabkan Haikal menjawab secara berselindung tentang perkara ini. Bagi Haikal, biarlah mereka yang bertanya mendapatkan jawapan mereka sendiri. Sekarang semua orang celik isu, celik IT, terpulanglah jika masih ada yang mahu membutakan akal dan hati.

"Hang akan undi apa PRU13 ini?"

Itulah soalan cepumas yang selalu menyinggahi telinga Haikal.

"Saya tengok calon dulu...."

Dan itulah jawapan diplomasi Haikal. Jawapan untuk menyedapkan dan membiarkan semua orang berfikir sendiri. Haikal tak mahu jawapan dia dijaja merata oleh pihak-pihak mana sekalipun. Lagipun jawapan itu juga mampu mengelakkan perdebatan dan kempen yang tak berkesudahan dari si penanya soalan cepumas itu.

Suatu hari, isteri Haikal si Rani Mukherjee bertanya,

"Biasanya abang peminat tegar parti bulan, kenapa pula sekarang kata nak tengok calon dulu?"

Haikal tersenyum sambil memandang Rani Mukherjee yang sedang meletakkan kopi o di depan Haikal yang sedang memaku pagar rumah.

"Ye lah, tengok calon dulu dari parti mana. Kalau calon dari BN memang reject terus tanpa consideration..."

Hi hi hi... Rani Mukherjee tergelak sehingga tumpah kopi o panas, nasib baik tak kena tangan Haikal yang sedang memegang tukul dan paku.

Tuesday, February 5, 2013

Self-Concious

Mungkin sudah ada hati teman-teman yang terdetik,

"Setiap kali mesyuarat atau kursus, mamat ni mesti pakai baju berjalur ni."

Memang setiap kali jauh dari ofis aku akan membawa dan memakai baju berjalur ini. Bukan kerana baju ini tahan keronyok atau baju terbaik yang aku ada....

Hakikatnya aku pernah ter'boria' dengan boss aku apabila memakai baju ini di ofis. Maka demi menjaga standardnya, biarlah aku yang mengalah dengan hanya pakai baju ini hanya apabila aku out-station sahaja.

Wednesday, January 30, 2013

Senipis Utusan & Kosmo!


Aku sedang makan nasi bungkus di meja semasa anak aku bertanya.

"Abah, bila kita nak beli TV nipis?"

Aku berhenti menyuap dan memandang TV yang sedang terpasang. Di dalam TV, kelihatan Muhyiddin Yassin sedang berada di khalayak manusia berpakaian pink. Baru sebentar tadi, di kaca TV itu juga menunjukkan PM Najib disambut meriah oleh orang Kota Bharu. Baru 7-8 minit yang lepas, dalam TV itu juga kelihatan dan ditonjolkan imej hodoh Anwar dan keterukan Lim Guan Eng termasuk Mat-Mat Sabu sekali.

"Adik tengok rumah ayohnik dan Ciksah TV nipis je..." Si anak menyambung apabila aku diam.

"Abah nak beli bila TV jadi lagi nipis," jawab aku.

"Lagi nipis? Nipis macam mana?" Tanya si anak lagi.

"Nipis macam surat khabar Utusan ni. Baru senang abah buat bungkus nasik dan lap air tumpah atas lantai," terang aku sambil menyambung baca cerita tentang Amanat Haji Hadi dalam paper Utusan yang membungkus nasik kerabu yang aku sedang makan.

Friday, January 25, 2013

Terengganu Banyak Kedai Makan Best

Hari ni nak cerita pasal kedai ikan bakar pula yang antara best of the best di Kuala Terengganu. Kalau sesiapa yang datang Kuala Ibai tu, depa tahulah tang mana kedai ikan bakar best tu. Pemandangan pun cantik, sambil makan mencuci mata melihat kejadian Allah yang Maha Segalanya memang best.

Walaupun kedai ni kedai ikan bakar best, aku makan nasi goreng kampung je, sambil layan tengok bola T-Team vs LIONS XII. Alamak penalti la pulak, kalah si LIONS XII, merudum lagi la team Fantasi Liga Super aku. Dahlah nasi goreng kampung ni semacam je... Tapi ini bukan isu kerana kedai ni kedai ikan bakar best, bukan kedai nasi goreng kampung best.

Dah konfem LIONS XII kalah, aku beransur ke kaunter. Aku hulur duit RM50 kat cashier.

"Bang, ada duit kecik ke?"

Aku kalau kedai best macam mana pun, kalau tuan kedai atau cashier minta duit kecik dari pelanggan, aku akan chop TAK BEST akhirnya.

Thursday, January 24, 2013

Nasihat Untuk Semua

Dear all,

Before you say LISTEN over and over right in front of somebody else's face, please take LISTERINE beforehand.



***Salam Maulidurrasul Untuk Semua. Nabi Muhammad Ikutan Kita.

Saturday, January 19, 2013

Listen Listen Listen, Correct Correct Correct


Seperti biasa, bila ada masa aku berborak isu-semasa dengan kawan-kawan di kedai mamak.

"Apa komen hang tentang isu listen, listen, listen, Syarifah Zohra & Bawami?" tanya kawan.

Dengan jujur aku terus menjawab,

"Syarifah tu lawa bangatlah orangnya..."

"Correct, correct, correct."

Tiba-tiba mamat tua berkaca mata berambut pellok di meja sebelah menyampuk sambil tersenyum pada aku.

Siapa ni? Fikir aku. Sounds like him, looks like him, but....


Sunday, January 13, 2013

Nasi Kukus Best di Kuala Terengganu

Syukur masih ada rezeki dari Allah S.W.T.

Sudah lama aku terliurkan nasi kukus di kedai simpang 3 traffic light itu. Tetapi apabila melihatkan berderet orang beratur untuk menunggu giliran, aku KIV kan dulu niat untuk santap di situ. Dahlah nak parking kereta payah kat situ, maklumlah simpang 3 traffic light!

Hari itu aku kira nasib aku baik. Semasa menunggu lampu isyarat, aku lihat hanya 2 orang sedang beratur di kedai nasi kukus itu. Apa lagi, aku terus cari parking dan zasss.....terus masuk queue.

Sampai je giliran pelanggan di di depan aku, brader tukang bubuh nasi dengan selamba kering suruh kami semua join queue baru yang baru dibuat di sebelah barisan yang kami sedang beratur. Katanya, dia nak bubuh nasik untuk orang 'order'.

Aku pandang belakang aku, seorang mak cik 50-an dan seorang brader kelihatan kecewa. Pelanggan lain kat belakang semua dah join queue baru.

Mak cik dan brader tersebut dengan senyum kecewa terpaksa join queue baru yang sudah terdapat ramai pelanggan beratur di hadapannya. Mak cik itu sempat menyuruh aku beratur di depannya.

"Takpalah mak cik, saya cari nasi kat kedai lain aje lah," jawab aku sambil tersenyum kelat.

Belum bersedia aku untuk beratur panjang-panjang demi sepinggan nasi di tanah tumpah darahku yang makmur ini. Kalau masa di asrama dulu lainlah. 


Tuesday, January 8, 2013

Gaji Minima RM900.00 Sebulan

Tercegat je kerja dia

Seorang tauke kilang bercakap dengan nada susah hati yang amat.

"Yang kerajaan buat ni entahkan betul, entahkan tidak."

Aku hanya menunggu apa isu yang ingin dia utarakan sebenarnya. Dengan wajah berkedut (macam dibuat-buat), si tauke meneruskan.

"Nanti gaji pekerja yang 5-6 ratus kena naikkan jadi 9 ratus."

Rupanya isu gaji minima yang dirunsingkannya. Yalah dia tauke kilang, dia  kira duit tak sama macam aku kira duit. Aku kira duit dari bawah ke atas. Dia kira duit dari atas ke bawah.

"Tengok tu, guard yang 'tak buat apa-apa' pun kena naikkan gaji jadi 9 ratus," dia menambah sambil menuding ke pondok jaga.

"Tak usahlah pakai guard," aku melontarkan idea spontan.

"Mana boleh!" dia cepat-cepat menjawab.

"Kenapa tak boleh?" Aku bertanya macam budak tadika.

"Nanti kalau tak ada guard, banyaklah barang hilang nanti. Orang kampung nanti suka hati keluar-masuk kilang kalau tak ada orang control..." Dia memberi alasan yang cukup munasabah dan tepat sekali.

"Tadi kata guard tu tak buat apa-apa," aku berlakon sebagai budak tadika sekali lagi.

Dia hanya diam. Dia faham la maksud aku tu....

"Saya pergi dulu ye, ada kerja kat pejabat pendaftaran," kata dia sambil menghulurkan salam.

Aku hanya memerhatikan tauke kilang itu menuju ke Mercedesnya yang aku agak duit RM900 hanya mampu membeli 2 biji tayarnya sahaja tanpa sport rim.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...