Di depan budak itu satu keluarga bahagia sedang menjamu selera. Ayah, ibu, 2 anak. Setelah membayar harga makanan, mereka beredar.
Sebaik sahaja keluarga bahagia itu mengangkat punggung, budak itu lantas duduk di meja itu. Semua sisa makanan tadi dimakan semahunya. Air teh ping yang masih bersisa setengah gelas dihirupnya puas-puas. Apatah lagi cuaca di Semporna membahang tengahari ini.
Aku yang berada di meja sebelah tidak dapat menelan nasi sup yang baru 2 sudu ku suap. Kerongkongku rasa tersekat....Dan aku berusaha menahan macho supaya air mata tidak mengalir keluar di depan kawanku yang sedang menguis-nguis nasi goreng dalam pinggan di hadapannya. Aku agak dia pun sedang menahan macho juga.
Aku berada berdekatan sebuah Pulau tercantik di dunia. Pulau Sipadan! Hanya beberapa gelen minyak motorbot dari Pekan Semporna. Tetapi di daratan ini seorang budak ku lihat kelaparan mencari tin aluminium dan sisa orang untuk meneruskan hidup. Padahal dia sepatutnya mengambil PMR tahun ini untuk meneruskan hidup di Malaysia yang sempurna ini.