![]() |
| Adikku ini memang membanggakan |
Hari Ahad, semasa aku mencari parking space di tepi Jalan Pusara sebelum naik ke pejabat, aku mendapat perkhabaran yang ibu dimasukkan ke wad kerana ada masalah jantung.
Aku sekeluarga bergegas pulang. Kami sampai di hospital Kuala Krai tepat pada waktu melawat. Ibu kelihatan tidak bermaya. Dia tidak mampu bercakap pun. Sepatah-dua yang ibu tuturkan terlalu lemah dan perlahan. Hanya doa yang kami mampu panjatkan ke hadrat Ilahi.
Hari ini, Alhamdulillah ibu sudah mampu bercakap dan senyum. Semalam pun sebenarnya, aku sudah test bila aku bisikkan kepada ibu,
"Mak berdebar ke? Mak runsing apa?" Tanya aku apabila melihat bacaan denyutan jantungnya sekejap tinggi, sekejap rendah.
"Runsing pasal sembahyang..."
Mak hanya mampu sembahyang dengan isyarat mata. Anak-anak yang tolong sapukan air sembahyang. Barangkali Mak runsing takut tidak sah kerana ada wayar kencing dan segala.
"Mak dah buat terbaik. Allah tahu," aku menyedapkan hati mak.
"Nak sembahyang elok-elok, mak kena balik rumah. Jadi kena makan, baru ada tenaga, baru sihat... Ni pun mak dah sihat ni, sikit hari lagi boleh balik la," aku meletakkan tangan ke dahi mak.
"Doktor kata darah mak molek," Mak menambah, lemah.
"Ya, doktor kata darah mak paling elok, darah warna hijau," aku merujuk kepada semangat mak dalam menyokong Parti Islam. Kajol yang berada di kanan mak tersenyum faham.
Semalam, aku melihat muscle senyum mak kembali aktif, walaupun lemah. Hari ini senyum mak sudah semakin kuat. Alhamdulillah.
