Showing posts with label memori. Show all posts
Showing posts with label memori. Show all posts

Wednesday, May 15, 2013

Guru Teristimewa


Pemadam papan hitam kelas kami selalu saja ghaib. Ambil baru, ghaib. Ganti baru, ghaib. Tak ada orang lain yang empunya angkara, mesti budak kelas sebelah yang ambil. Kelas Faraday 2.

Jadi hari itu, sebelum kami semua ke makmal sains, aku mendapat idea untuk berbuat sesuatu untuk menangani krisis kehilangan duster di kelas kami.

Aku tulis satu nota dan masukkan ke dalam kotak kapur bersama duster. Khas untuk makhluk pencuri duster! Lalu aku terus berlalu ke makmal sains.

Balik dari makmal sains, Guru matematik, Cikgu Nik Roseny telah sedia menunggu di dalam kelas. Dia nampaknya baru selesai memadam papan hitam. Di tangannya tergenggam duster dan..... sehelai kertas.... Alamak…..

"Siapa tulis ni?" Dia bertanya, serius.

Aku terus mengangkat tangan dan berdiri. Baik aku mengaku awal-awal. Aku yakin tiada siapa yang berani membohongi Cikgu Nik Roseny. Menentang matanya pun aku tak berani.

Cikgu Nik Roseny adalah cikgu yang terbaik yang pernah aku jumpa. Dia mengajar matematik moden. Ajarannya mudah, senang difahami. Dia seorang wanita yang cantik, bertudung labuh dan lemah lembut. Memang dia seorang muslimah sejati. Tetapi dia tegas. Aku boleh katakan yang aku tidak pernah melihat dia ketawa. Tetapi dia selalu tersenyum. Di kala peperiksaan, aku lihat, dia akan duduk di bucu kelas semasa murid-murid sedang tekun menjawab soalan. Dia membaca surah Yaasin diam-diam di bucu kelas. Dia tidak membuang masa begitu sahaja. Murid-murid pun tak adalah berani meniru lebih-lebih bila cikgu mereka sedang tekun membaca Al-Quran.

"Maafkan saya, cikgu."

Belum apa-apa aku sudah mengaku kalah.

Cikgu Nik Roseny membaca nota di tangannya yang sah-sah ditulis oleh aku itu. Pastinya aku tujukan ‘kata-kata keramat’ itu kepada pencuri duster bersiri yang aku yakin datangnya dari Kelas Faraday 2.

"Hoi menatang! Jangan curi duster ini. Pergilah ambil sendiri di pejabat."

Begitulah ayat skema aku. Aku lihat Jenal dah mula mengekek dan sedang menahan ketawa yang lebih besar di dalam perutnya. Malunya aku tak usah cakaplah, lebih-lebih lagi kepada Fadhilah, budak cun yang duduk di kerusi depan aku.

Cikgu Nik Roseny berceramah 2-3 minit kepada aku yang menunduk dan kuncup semacam pohon semalu yang baru disentuh. Selesai ceramah cikgu, barulah aku dibenarkan duduk.

Sebagai denda, Cikgu Nik Roseny mengarahkan aku untuk mencari dan menulis kembali hadis-hadis Nabi S.A.W yang berkaitan dengan keperluan berkata baik dan menjaga lidah.

Begitulah cara Cikgu Nik Roseny mendidik dan menghukum kami yang bersalah. Dia tidak pernah menjentik, apalagi merotan. 

Al-Fatihah untuk seorang cikgu yang begitu baik. Pastinya beliau paling diingati dan dirindui oleh ahli keluarga beliau. Semoga mereka semua bersatu di syurga kelak. Amin.

Saturday, March 16, 2013

Politik Pakar Motivasi

Seperti yang aku selalu sebutkan dulu, aku memang tak berapa minat ceramah motivasi. Namun banyak kali aku terpaksa pergi mendengar. 

Di satu sesi ceramah, seorang pakar motivasi menyuruh kami menulis tarikh lahir dan menurunkan tandatangan pada satu kertas.

Selepas itu dia mula membuat tafsiran bagi setiap tandatangan dan tarikh lahir tersebut. 

"You ni anak bongsu kan?" Tanya pakar motivasi kepada seorang peserta perempuan.

"Eh! Macam mana Dr. tahu?" Tanya balik peserta tersebut dengan penuh kekaguman.

"Orang yang lahir pada tarikh ini biasanya lembut, manja....bla..bla... Tandatangan ini pun melambangkan pemiliknya mempunyai sifat bla..bla... Sifat ini biasanya dimiliki oleh anak bongsu dalam keluarga.... bla bla..."

Huiss, panjang teori pakar motivasi manambahkan kekaguman dan keyakinan para peserta kepada beliau. Aku masih lagi terasa boring.... Hmmm lahir time bulan mengambang pun, apa kena mengena dengan sikap kita. Aku masih berpendirian begitu.

"18 Mac 72 ... Siapa  punya ni, kreatif .. Macam belalang?" 

Pakar motivasi menunjukkan kertas yang bertandatangan macam belalang pelesit di tangannya. Memang aku punya, lalu aku mengangkat tangan.

Pakar motivasi berdiam 3-4 detik sambil memandang aku sebelum berkata,

"Untungnya isteri awak!"

Ulp. Terkedu aku mendengar tafsiran pakar motivasi tentang tandatangan dan tarikh lahir aku. Aku tiba-tiba terasa seperti baru menghabiskan segelas kopi goji tongkat Ali plus apabila mendengar ayat sebegitu power daripada pakar motivasi tersebut. Sejak dari detik itu, aku tumpukan perhatian serius ceramah motivasi yang disampaikan oleh pakar tersebut termasuklah apabila dia berceramah di TV.

Power ayatnya tidak terungkap!

Moral of the story:
18 Mac ni birthday gua der.

Tuesday, March 5, 2013

Tiada Apa Yang Sempurna

Budak itu tidak berselipar, di tangannya terbimbit plastik rok-rak berisi beberapa tin aluminium. Dia tercegat berdiri di situ. Di luar restoran itu. Matanya asyik memandang pada televisyen di dalam restoran.

Di depan budak itu satu keluarga bahagia sedang menjamu selera. Ayah, ibu, 2 anak. Setelah membayar harga makanan, mereka beredar.

Sebaik sahaja keluarga bahagia itu mengangkat punggung, budak itu lantas duduk di meja itu. Semua sisa makanan tadi dimakan semahunya. Air teh ping yang masih bersisa setengah gelas dihirupnya puas-puas. Apatah lagi cuaca di Semporna membahang tengahari ini.

Aku yang berada di meja sebelah tidak dapat menelan nasi sup yang baru 2 sudu ku suap. Kerongkongku rasa tersekat....Dan aku berusaha menahan macho supaya air mata tidak mengalir keluar di depan kawanku yang sedang menguis-nguis nasi goreng dalam pinggan di hadapannya. Aku agak dia pun sedang menahan macho juga.

Aku berada berdekatan sebuah Pulau tercantik di dunia. Pulau Sipadan! Hanya beberapa gelen minyak motorbot dari Pekan Semporna. Tetapi di daratan ini seorang budak ku lihat kelaparan mencari tin aluminium dan sisa orang untuk meneruskan hidup. Padahal dia sepatutnya mengambil PMR tahun ini untuk meneruskan hidup di Malaysia yang sempurna ini.

Tuesday, December 18, 2012

Belajar English di Kebun Getah

Hari itu aku ponteng kelas tambahan. Aku ke kebun getah, menolong ibu menyepat pok dan mengutip susu getah. 

Sebenarnya nak juga aku ke kelas tambahan tu, tetapi aku takut kat cikgu besar yang mengajar kelas tersebut. Seminggu sebelum itu, ramai pelajar termasuk aku kena marah kerana tidak menyediakan buku tulis baru untuk kelas tambahan. Jadi, memandangkan aku belum beli buku tulis, mana berani aku pergi ke kelas tambahan lagi.

Di cabang empat Guchil 3, aku menukar haluan ke kiri. Sepatutnya langkah aku ke kanan, iaitu ke sekolah tetapi aku menghala ke kebun getah tempat ibu menoreh. Sebelum ini pun memang kebiasaan aku dan adik beradik yang lain menolong ibu semasa cuti sekolah.

Sampai di kebun getah, aku terus mengambil baldi  (tong cat lama) dan menuju ke pokok yang masih belum ditoreh. Aku mula menyepat pok getah dari mangkuk dan mengumpul pok tersebut ke dalam baldi tong cat. Nanti cepatlah sikit ibu nak menoreh, tak perlu lagi menyepat pok, terus aje menoreh dari satu pokok ke pokok.

Ibu bukannya tahu aku ada kelas tambahan hari itu. Jika dia tahu mesti dileternya juga aku. Silapnya aku lupa  untuk meminta duit daripada ibu untuk beli buku tulis semalam. Jika tidak pastinya sekarang aku berada di sekolah mengikuti kelas tambahan matematik yang diajar sendiri oleh cikgu besar. 

Habis menyepat pok, aku rehat di umbi pokok getah tempat ibu selalu berehat sementara menunggu masa untuk mengutip susu getah. Ibu belum lagi habis menoreh, banyak lagi pokok getah yang belum ditoreh. Ada dalam sebanjar setengah lagi.

Aku menogok air bekalan yang dibawa ibu. Kopi o sejuk tidak bertapis. Kemudian aku membuka bekal ibu yang dibungkus di dalam kertas surat khabar. Ada 2 biji lempeng yang sudah dibubuh gula. Nampaknya memang ibu sudah agak yang aku akan datang menolong dia, sebab itu ibu bawa bekal lebih. Dalam kebun getah, apalagi dalam keletihan, makan apapun nikmatnya melebihi KFC yang hanya aku tahu dari dalam TV rumah jiran.

Sementara menunggu ibu habis menoreh, aku meluangkan masa membaca surat khabar yang ibu gunakan untuk membungkus lempeng tadi. Surat khabar orang putih, manalah aku faham. Dalam ber 'is' 'are' itu aku cuba juga baca ayat-ayat dari huruf italik yang diboldkan walaupun aku tak faham apapun maknanya,

"If you want a year of success, grow grains,
if you want ten years of success, grow trees,
if you want 100 years of prosperity, grow men"

Dari jauh aku nampak ibu berjalan menghala ke arah tempat aku duduk. Ibu sudah siap menoreh, sekejap lagi kami akan sama-sama mengutip susu getah pula, selepas ibu memperbaharui tenaga dengan lempeng bersalut gula dan kopi o sejuk tak bertapis. Sementara itu, biarlah susu getah menitik semaksima mungkin ke dalam mangkuk kerana titik demi titik itulah yang bakal membayar harga buku tulis petak kecil matematik yang bakal aku bawa ke kelas tambahan minggu depan nanti.

Friday, September 14, 2012

Makan Tempe Nak Jadi Genius



Di tahun 1987 dahulu, masa tingkatan 4 di MRSM Kota Bharu, Reagan, kawan aku yang baru pulang dari Kem Budak-Budak Pandai & Rajin di Selangor telah mempromosikan makanan tempe kepada kami.

"Kata motivator kat sana, makan tempe boleh mencetuskan 'genius' dalam diri seseorang," beritahu Reagan yang baru dinobatkan sebagai top student MRSM Kota Bharu dalam SRP (Sekarang PMR) tahun 1987.

Apa lagi kami budak Kelantan yang selama ini peminat tegar budu cuba beralih arah kepada tempe. Sapa tak nak jadi genius woii...

Aku pun tak terkecuali, tambah pula kalau tempe goreng dengan ikan bilis, memang faveret aku la tu. Sekarang, bila dah berkeluarga, aku cuba ajar anak-anak makan tempe, yelah kan, takkan aku nak genius sorang-sorang dalam famili, anak-anak pun mestilah genius sama. Tapi seorang pun anak-anak aku tak mahu makan tempe. Tak mbohhh... Kata mereka. 

Semalam 13 September 2012, aku tengok dalam berita, satu lagi rekod tercipta di dalam Malaysia Book of Record. Sempena penutupan minggu kemerdekaan ke 55, Kolej Komuniti Kuala Langat telah bersusah-payah mencipta Jalur Gemilang terpanjang yang diperbuat daripada tempe.

Tempe dibungkus dengan kertas dan disusun memanjang. Lalu dicat dengan warna Jalur Gemilang. Idea 'genius' siapa ini, aku pun tak nak ambil tahu. Namun pastinya dia mestilah seorang pemakan tempe tegar.

Kata satu sumber dari Kolej Komuniti Kuala Langat,

"Pemilihan tempe bagi menghasilkan Jalur Gemilang ini adalah satu usaha untuk memperkenalkan tempe sebagai makanan tradisi masyarakat setempat yang boleh dijadikan sebagai ikon makanan sihat."

Tempe yang telah dijadikan bendera itu akan dijadikan makanan haiwan dan baja. Ye lah, dah terdedah kepada kotoran dan cat, mana boleh makan lagi.

Bagi akulah, sebagai seorang pemakan tempe sejak 1987, kalau nak promote tempe sebagai makan tradisi, buatlah aneka juadah daripada tempe, atau hantar tempe satu kontena kepada pelarian Rohingya atau ke Somalia. Bukannya buat sesuatu yang tak boleh dimakan!

Mulai semalam keyakinan aku sejak 15 tahun lalu bahawa makan tempe dapat mencetuskan 'genius' dalam diri seseorang hancur berkecai. Namun begitu, aku masih akan terus memakan tempe seperti biasa, untung-untung aku akan mendapat khasiat tempe yang lagi satu sepertimana yang telah berjaya dikecapi oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd. Khir Toyo dahulu.



Wednesday, August 29, 2012

Janji Ditepati

Belum pun pukul sembilan pagi, aku sudah tercongok di foyer library. Hari ini adalah hari yang paling bersejarah dalam hidup aku setakat ini. Seorang lelaki pemalu yang pernah takut kepada perempuan akhirnya akan keluar dating dengan seorang gadis. 

Memang sukar dan berat pada mulanya bagi aku untuk mendekati gadis ini. Namun atas nasihat, motivasi  dan kerja sabotaj kawan serumah, akhirnya aku beranikan diri. Apatah lagi bila kadang-kadang motivasi diberikan bersama petikan gitar si Porom sambil mendendangkan lagu Michael Learns To Rock iaitu 25 minutes.

"Itu baru 25 minit lewat, orang dah sapu...." Bakar si Atuk.

"Yang penting sampaikan mesej kepada si dia iaitu... Hang suka dia..." Sambung pula si Apip.

"Dia nak terima ke tidak, itu soal nombor 2, soal nombor 1.... Biar dia tahu seseorang di sini suka banget sama dia," si Sahak pula berfalsafah lagak pakar cinta.

Akhirnya, entah macam mana magisnya, mesej aku sukakan si dia sampai kepadanya. Tindak balas kimia daripadanya cukup cantik dan positif penuh dengan bunga-bunga dan rama-rama. Entah dari mana datangnya kekuatan, aku akhirnya mengajak dia keluar di suatu kesempatan. Jawapan 'ya' dari si dia membuatkan aku rasakan diri ini umpama emas lapan kilo. 

Dan di foyer ini aku berdiri hari ini, pukul 9.15 a.m. Namun si dia masih belum di mana-mana untuk dilihat.

"Janji di sini pukul 9.00...." Aku mengingatkan diriku. Mana tahu jika aku tersilap tempat janji pertemuan.

Rupanya menunggu orang yang kita suka dan puja adalah suatu nikmat, buktinya sekarang sudah pukul 9.50 a.m., namun aku tiada rasa fed-up atau marah sedikitpun.

Biasanya aku kalau menunggu sesuatu atau seseorang, cukup sekadar setengah jam sahaja. Semasa aku tinggal di Kuala Lumpur dahulu, aku hanya bersabar menunggu bas mini setakat 30 minit sahaja. Selepas itu aku akan berasap walaupun aku terpaksa naik jua bas yang lewat itu.

10.30 a.m., si dia masih belum nampak bayang namun tiada kedutpun di dahi aku.

Kenapa aku tak telefon? Kau tanya kenapa aku tak telefon atau sms atau miss call saja dia? Hei kawan, sudah atau belum aku beritahu engkau bahawasanya ini kisah tahun 1993! Ini memori, past tense bukan present tense. Masa ini handset sudah ada, tetapi hanya ahli korporat sahaja yang pakai. Itupun besarnya mak oiii... Macam bawak Nokia 3310 lapan biji sekaligus! SMS jangan ceritalah, tak terfikir pun lagi masa tu.

10.45 a.m. Mana dia ni...... Tapi aku tak marah sedikit rabutpun.

10.57 a.m. Si dia akhirnya sampai bersama senyuman yang paling manis yang pernah aku lihat. Aku turut tersenyum walaupun dalam hati aku berkata, kalau mak aku tahu hal aku dating ini habislah kaooo.

"Dah lama tunggu?" Sapa si gadis.

Aku yang sudah berada 2 jam di foyer library ini menjawab semesra mungkin agar si gadis tahu yang aku tidak marah atas kelambatannya.

"Dari pukul sembilan I di sini."

"Pukul sembilan? Semalam you kata jumpa kat sini pukul Sebelas...." Si gadis menjadi sedikit keliru.

Oooo.... Patutlah. Tiada isu sama ada si dia yang silap dengar atau aku yang tersilap cakap. Mungkin juga kerana bila hati dah suka, kata di hati dah tak sama dengan kata yang keluar dari peti suara.

Tak penting apa yang si dia dengar, yang penting janji yang si dia cuba tepati.

Sunday, April 22, 2012

Bidaah Bola

Kejayaan MRSM dalam SPM adalah kerana pelajarnya bersedia rohani dan jasmani. Selain mutu pengajaran cikgu-cikgu yang bagus, jadual pembelajaran yang tip-top, pelajar juga diajar bahawa semua kejayaan datangnya daripada Allah.

Menjelang peperiksaan SPM 1989, setiap malam kami pelajar tingkatan 5 akan baca Yaasin di surau selepas Maghrib. Selepas baca Yaasin, kami berdoa beramai-ramai. Di hujung doa, ustaz akan berhenti sekitar seminit-dua untuk setiap pelajar berdoa sendiri apa yang dihajati sebelum ustaz menyambung semula doa sehingga habis.

Malam itu, Piala Malaysia ada perlawanan di antara Kelantan lawan Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad ke IV. Kuala Lumpur memang top tahun 1989 dengan pemain import dari Singapore K. Kannan  dan Malek Awab. Memang payahlah Kelantan nak tewaskan KL.

Jadi, malam itu semasa ustaz diam dalam doa, aku seperti biasa berdoa untuk lulus SPM dengan cemerlang, kemudian aku tambah sikit lagi doa supaya Kelantan menang malam tu lawan KL.

Pukul 10.30 malam, dapat result bola melalui radio, Kuala Lumpur 5 - Kelantan 1.....

Monday, March 19, 2012

Zaman Jahiliyyah

Apakah yang akan terjadi apabila larutan X dicampur dengan larutan Y?

Soalan ujian kimia tingkatan 4 semudah itu tetap membuatkan aku tak tahu nak jawap apa. Maklumlah tak study apa-apa, masih dalam mode honeymoon selepas SRP (5 aggregate terr).

Daripada biar kosong, aku tenyeh juga jawapan...

"Bila X campur Y, langit menjadi mendung dan kilat sabung-menyabung".

Nasib baik cikgu kimia ganti tu cool aje.

Jadi, kalau aku ditakdirkan jadi cikgu pun, aku tak akan sekeh kepala budak yang jawab kertas exam di bawah ini. Aku faham jiwanya... Kah kah kah

Kreatif terr

Tuesday, March 6, 2012

Rahmat Tuhan

Dulu, aku pernah mendengar ceramah Almarhum Ustaz Fadzil Noor, mantan Presiden PAS. Dia bercerita....

Ada seorang tok guru menegur seorang yang menumpang teduh daripada hujan di bawah rumahnya.

"Kenapa kamu duduk di sini?"

"Hujan di luar sana tok guru," jawab si anu.

"Kan hujan itu rahmat, tak eloklah kamu lari dari rahmat," jawab tok guru.

Nak dijadikan cerita, suatu hari yang lain, sedang tok guru tersebut sedang berjalan, hujan mulai turun. Lantas tok guru itu menumpang teduh di bawah sebuah rumah. Kebetulan rumah itu adalah rumah si anu yang pernah menumpang teduh di bawah rumahnya dahulu.

"Tok guru, kenapa tok guru berada di sini?" Tanya si anu.

"Hujan di luar sana tu?" Bagitahu si tok guru.

"Tok guru kata hujan itu rahmat. Kenapa tok guru lari dari rahmat?" Si anu bertanya kembali, semacam memulangkan paku buah keras.

"Memanglah hujan itu rahmat, sebab itulah aku berteduh di sini. Aku tidak mahu terpijak rahmat," jawab tok guru, penuh yakin.

Sebenarnya, malam ini aku berjumpa Rahmat a.k.a Matek di Teras Jernang, Bangi, setelah 20 tahun berlalu. Last sekali kami berjumpa tahun 1992 dahulu selepas habis A-Level. 

Dari pukul 10 malam sampai pukul 2 pagi kami berborak. Mengungkit kisah lalu dan sekarang, kisah kawan-kawan termasuk kawan yang tersongsang. Tidak lupa juga kisah gadis berambut rock yang aku minati dahulu (Ceh! Dia pun minat juga minah rambut rock nih). Matek ketawa besar apabila aku sebut tentang Gadis Bertudung Labuh.

Rupanya Matek masih ingat kisah Gadis Bertudung Labuh. Minatnya masih begitu. Harapan aku, akan adalah gadis bertudung labuh yang dapat membawa rahmat dalam hidup Rahmat a.k.a Matek. Amiiiiin.

Monday, February 27, 2012

Tera Mujshe Hai Pehle Ka Nata

Walaupun dah sampai depan rumah, aku masih diam membatu dalam kereta. Tak keluar-keluar. Lama aku dalam kereta, hinggakan Kajol yang sedang melihat dari dalam rumah pun naik heran.

"Buat apa dalam kereta,?" Tanya Kajol apabila aku akhirnya masuk ke dalam rumah.

Aku hanya tersengih. Aku capai komputer, buka Youtube, terus mencari.....Haa, ini dia. Lagunya Tera Mujshe Hai Pehle Ka Nata dari filem Aa Gale Lag Ja tahun 1973, lakonan Shashi Kapoor dan Shamila Tagore. Betul-betul mengimbau zaman aku kecik-kecik dahulu.

"Lagu ni memang top," komen Kajol apabila mendengar lagu Tera Mujshe Hai Pehle Ka Nata di Youtube. Aku kalau Kajol komen apa-apa pasal Hisdustan aku mengiya saja.

Sebenarnya lagu inilah yang aku layan dalam kereta tadi. DJ Teganu FM mainkan. Itu sebab aku lambat keluar kereta walaupun dah sampai rumah. Tersandar sambil teringat zaman kecik-kecik tengah panas panjat pokok jambu butir banyak.

Tuesday, February 14, 2012

Ate, Awak Seorang Je Tahu Marah

Gambar hiasan
Tekak haus, lantas aku ke pantri membancuh nescafe. Nikmatnya rehat sekejap sambil minum nescafe panas. Mataku merenung ke langit melalui tingkap cermin. Indah sungguh ciptaan Tuhan.

"Cikli, tolong kakak di kaunter sekejap. Ada customer ni marah-marah la. Kakak tak faham apa yang dia nak," tiba-tiba kakak kerani masuk ke pantri sambil menyerahkan sehelai kertas kepada aku.

Aku meninggalkan nescafe panas (nasib kau lah nescafe!), terus menuju ke kaunter, sambil membaca helai kertas di tangan.

"Ya encik ......" Belum habis greeting dia sudah pok-pek-pok-pek. Alamak.... Aku hanya menahan telinga yang semakin menipis sambil terus membaca butiran di helai kertas yang aku pegang.

"Ini kerja betul-betul menyusahkan orang! Mau meniaga pun susah. Itu mau ikut, ini mau ikut. Kalau gua bungkus... Lu semua pun bungkus!" Bebelan dia sudah semacam orang gila. Kecaman, hinaan semua ada! Cisssss macamlah aku ni android yang tak diprogramkan untuk hanya bersabar dalam apa jua keadaan.

"You diam sekejap boleh tak. Saya nak fahamkan dulu apa yang you nak dalam surat ni...." Aku memotong bebelannya yang semakin menyakitkan hati.

"Apa! Itu Melayu punya bahasa pun lu susah nak faham. Gua Cina pun boleh faham itu bahasa Melayu," kalau aku ni Goku, time tu juga aku kamehameha mamat kurang ajar ni.

"Ah.. Sudahlah!"

Aku berlalu pergi, membiarkan dia membebel seorang diri di kaunter. Kalau aku tunggu lagi, rasanya budak KFC i-City tu mungkin bukan orang pertama yang membelasah pelanggan.

**Ini cerita 12 tahun dulu maa...

Saturday, December 17, 2011

CINTA BELVEDERE : Pagi Summer Yang Dingin

Belvedere. Ihsan Google
Selesai solat subuh, Hatta bergerak ke tingkap dan menyelak langsir tebal yang meyelimuti cermin tingkap sejak semalam. Kelihatan matahari timur sudah mula mengintai dari sebalik Bathwick Hill, bukit yang menempatkan University of Bath. Cahaya matahari tepat memancar ke dalam mata Hatta yang sedang mengintai dari tingkap apartment Belvedere yang menghadap Bathwick Hill.

Summer begini, memang selalu Hatta bersolat subuh berkejaran dengan sang matahari. Sang matahari terlalu tidak sabar untuk keluar, padahal penduduk di sini baru sahaja rasanya melelapkan mata di bantal masing-masing. Pun begitu, Hatta yakin setiap kejadian Allah ada hikmahnya. Memang semuanya diciptakan bagi makhlukNya untuk sentiasa berfikir.

Lansdown Road di hadapan Belvedere Apartment masih kosong. Masih terlalu awal. Mata Hatta tiba-tiba beralih ke arah milkman di seberang Lansdown Road. Begitu gigih dia mendaki Lansdown Road untuk bergerak dari satu pintu apartment ke pintu apartment yang lain demi memenuhi tempahan susu segar daripada pelanggannya.

Milkman itu berhenti di satu pintu apartment yang berada betul-betul bertentangan dengan apartment Hatta. Dia meletakkan 2 botol susu segar dan mengambil 2 botol kosong yang tersedia ditinggalkan di situ.

“Oooo.... Patutlah kulit mereka putih mulus,” tiba-tiba Hatta bersuara sendiri.

“Apa yang putih mulus tu ?” Tiba-tiba Atuk yang sedang terbungkus di bawah duvet bersuara. Rupanya dia belum lena selepas tidur semula setelah solat subuh tadi.

“Takde apa. Tido lah engkau.....” Jawab Hatta, malas melayan Atuk.

Rupanya Lili dan Aya, penghuni apartment di seberang jalan minum susu segar terus dari ladang setiap hari. Memang patut kulit mereka licin dan gebu begitu jika minum susu segar setiap hari. Hatta kenal Lili sejak dari first year lagi. Lili budak Cina Penang yang belajar business administration. Orangnya baik, hati dan pekertinya cantik, secantik orangnya. Lesung pipitnya menambah manis senyuman Lili yang selalu disedekahkan kepada Hatta apabila mereka terserempak.

Manakala Aya, Hatta kenal dari jauh sahaja. Aya budak Jepun yang seksi. Pakaiannya memang menyeksakan mata Melayu seperti Hatta yang memandang. Apalagi di summer time begini. Lagi seksa! Namun setakat yang Hatta kenal, Aya memang baik dan peramah. Aya selalu juga berborak dengan housemate Hatta, Si Porom yang pandai berbahasa Jepun. Bila Aya speaking pula, lidah Jepunnya persis Maria Ozawa yang sedang memperagakan baju pagoda.

“Hei Atok.... Kita order susu segar dalam botol nak?” Hatta berpaling kepada Atok yang masih terbungkus di bawah duvet.

“Susu Sainsbury’s cukuplah geng! Jangan kacaulah, aku nak tidur. Nanti pukul lapan kita kena kerja,” jawab Atok sambil menutup kepala kembali dengan duvet.

Hatta menutup langsir, berjalan ke katil dan menyelit masuk ke bawah duvet. Di kepalanya masih terlekat Aya.

Wednesday, December 14, 2011

Nasi Kerabu Ahmad Zaki Terbaik Di Kuala Terengganu

Kerpok gotel Ahmad Zaki seriyal, kak
Kalau anda sedang mencari nasi kerabu yang best di Kuala Terengganu, aku cadangkan nasi kerabu Ahmad Zaki. Rasanya ok, sedap. Cuma ada sedikit manis.

Harganya? Itu aku tak pasti. Tak tahu nak cakap. Sebabnya, semasa aku tengah makan nasi kerabu di sebuah gerai tepi jalan berhampiran Hotel Grand Continental, tiba-tiba dah ada orang bayarkan. Aku tak kenal pun dia.

"Hah! Dia dah bayar? Siapa dia tu?" Aku bertanya kawan aku yang sedang meneguk nescafe.

"Oooo.... Itu safety officer Ahmad Zaki," jawab kawan aku, merujuk kepada syarikat Ahmad Zaki Resources Bhd. yang banyak projek di seantero Malaya sekarang, lebih-lebih lagi di Terengganu.

Sebab itulah aku namakan nasi kerabu itu Nasi Kerabu Ahmad Zaki. Boleh tahan rasanya, I follow.
.
** Lupa nak cakap, awek-awek di gerai tu putih-putih, cun-cun. Mungkin sebab itulah budu dalam nasi kerabu tu terasa manis kot.

Thursday, November 10, 2011

Helloween

Gambar hiasan
Banyak kali aku terlupa bahawa hidup di dunia ini hanyalah satu perjalanan ke akhirat. Hanya satu fasa yang pendek dalam seluruh kehidupan aku yang mendambakan syurga diakhirnya.

Kalau aku ingat ini, tak akan aku marah-marah bila ada pemandu berlaku kurang ajar di jalanan.

Tak akan aku mengulas tak puas hati mutu pengadilan bila The Red Warriors kalah bola semasa suku akhir Piala Malaysia.

Tak akan aku marah sungguh kepada politician yang membodohkan rakyat marhaen dan diri sendiri saban masa tak kira siang malam dalam TV, radio dan akhbar.

Biarlah, jika itu pilihan mereka untuk lalui hidup yang singkat ini.

Dulu, semasa aku muda belia dulu, semasa interview untuk biasiswa Sime Darby, aku pernah ditanya tentang falsafah dan prinsip aku dalam hidup. Dalam keadaan tidak bersedia untuk soalan sebegitu, aku menjawab.

"Well.... My motto is..... 'life is too short to cry, long enough to try'......" Jawab aku sambil aku lihat si interviewer mengangguk-angguk. "Good, good," katanya.

Mungkin dia tahu motto yang aku cakap itu hanyalah semata-mata lirik lagu band rock Helloween, sebab untuk biasiswa tu, aku tak lepas untuk tapisan pertama pun!
.
'Hidup ini seperti permainan bolasepak, tak semua orang berpeluang untuk bermain 2nd half' ..... Err, mungkin falsafah ini yang patut aku bagitahu interviewer Sime Darby itu dulu. Biar dia terkesima.

Sunday, October 23, 2011

Procrastination

Ustaz Adam memang disayangi ramai

Pukul 10 malam kelas berakhir. Kami menghabiskan masa berbual sambil makan di restoran berhampiran. Biasanya kami bertiga, aku, Ustaz Adam dan seorang lagi kawan, saudara Zaharuddin.

Kelas kami di Ampang. Bukan Ampang Selangor tetapi Ampang, Ipoh, Perak. Dekat Gunung Rapat. Kelas kami diadakan 2 kali seminggu. Isnin malam dan Khamis malam. Dari pukul 8 malam hingga 10 malam. Kami belajar Bahasa Arab. Guru kami tak lain tak bukan adalah Ustaz Adam sendiri. Dia lulusan Syariah daripada Khartoum University, Sudan.

Aku diperkenalkan dengan Kelas Bahasa Arab Ustaz Adam melalui kawan sepejabat. Sekali aku join, terus jatuh cinta. Cara penyampaian dan kaedah yang digunakan Ustaz Adam sungguh menarik dan berkesan.

Sekali berkenalan, kami terus menjadi kawan. Kami sebaya. Ustaz Adam memang seorang yang senang didekati. Tak heranlah kelas yang beliau kendalikan mendapat sambutan daripada ramai orang termasuk datin-datin dan orang politik.

Boleh dikatakan setiap Isnin malam dan Khamis malam, selepas kelas, kami akan berbual. Kami berbual tentang isu semasa, tentang politik, tentang agama, tentang dunia, tentang akhirat, tentang kerja, tentang anak-anak, tentang Osama Bin Laden, tentang John Garang, tentang Sudan, tentang Astora Jabat, tentang Sharir Long, tentang Haji Hadi, tentang Nik Aziz, tentang hidup, tentang mati...

Berbual dengan Ustaz Adam bukan berbual kosong. Banyak ilmu dan pengajaran yang aku dapat ceduk daripadanya. Aku selalu ralit mendengar kisah dia di Sudan. Yang paling istimewa ialah kisah dia berpeluang masuk ke dalam Kaabah dan bersembahyang sunat di dalamnya.

Kadang-kadang Ustaz Adam pula yang ralit mendengar falsafah dan ulasan isu semasa dan politik daripada aku. Dia bukan sahaja pandai bercakap, tetapi juga pandai mendengar.

Sebelum pulang, Ustaz Adam akan menghantar aku hingga ke kereta sambil kami berborak lagi. Aku akan pergi dulu sambil membunyikan hon sekali dan mengangkat tangan kepada Ustaz Adam yang juga sudah bersedia untuk pulang ke rumah.

Februari 2006, aku terpaksa berhenti mengikuti kelas Ustaz Adam kerana berpindah kerja ke Sabah. Ustaz Adam ada datang menziarahi aku sekeluarga di rumah sebelum aku ke Sabah. Kali terakhir aku bercakap di telefon dengan Ustaz Adam ialah semasa Ir Nizar digulingkan oleh Umno BN pada awal tahun 2009. Semasa itu aku masih di Sabah. Kadang-kadang semasa aku berkursus di Lembah Kelang, aku ada terfikir untuk menghubungi Ustaz Adam kerana aku tahu dia selalu berada di Kuala Lumpur kerana beliau juga ada mengendalikan kelas di situ dan isteri beliau juga sedang menyambung pengajian sarjana kedoktorannya di UKM. Tetapi tak pernah aku lakukan. Sekadar terfikir.

Sejak aku berpindah ke Terengganu pada akhir 2009, aku belum pernah menghubungi Ustaz Adam. Aku memang sentiasa ingin menghubungi beliau, tetapi selalu tertunda. Kebelakangan ini, aku pernah terfikir untuk ke Perak pada cuti sekolah yang akan datang. Aku terfikir untuk menziarahi kawan-kawan lama di Ipoh termasuk Ustaz Adam.

Hari ini, boss aku yang juga pernah menjadi anak murid Ustaz Adam (Dialah yang memperkenalkan aku dengan kelas Ustaz Adam dulu) memberitahu,

"Cikli, Ustaz Adam dah meninggal minggu lepas..."

"Hah! Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun."

Tiada apa yang boleh aku katakan. Ustaz kesayangan ramai ini lebih disayangi Allah SWT. Aku percaya walaupun pada zahirnya umur Ustaz Adam singkat, tetapi balasan pahala daripada ilmu bermanafaat yang telah disebarkan beliau menjadikan seolah-olah beliau telah berusia beribu-ribu tahun bukannya 39 tahun. Ustaz  Haji Adam Zainal meninggalkan seorang isteri dan 4 orang anak.

Al-Fatihah.

Thursday, September 15, 2011

Blues Anak Melayu 4 : Kalau Ada Sumur Di Ladang

Relakan kami pergi
Seminggu lebih aku berada di Ledbury. Kulit muka sudah kering garing. Tangan juga sudah berbutir dan gatal-gatal. Aku rasa penangan  allergic kepada pokok-pkok nettles yang menyelinap di celah-celah dedaunan strawberi.

Aku mengambil keputusan untuk balik ke Bath. Aku menyatakan hasratku kepada Greng dan Rahim al-Putet. Mendengar hajat aku, mereka juga bercadang untuk balik ke Cardiff. Cukuplah seminggu lebih menjadi kuli batak orang putih yang beratus-ratus tahun menjadi penasihat kepada bangsa aku di Tanah Melayu.

Gatalnya tangan
Ladang yang luas terbentang kami tinggalkan. Kali ini kami berjalan kaki sehingga ke stesen keretapi. Keletihan berjalan tidak terasa apabila aku menikmati sepenuhnya pemandangan ladang-ladang yang subur menghijau luas terbentang. Aku berbisik kepada diriku, mungkin suatu hari nanti, aku juga boleh menjadi seorang peladang yang berjaya di Malaysia.

Sepanjang berada di Ledbury, aku, Greng dan Rahim al-Putet sempat juga melilau di pekan Ledbury. Pekannya kecil sahaja, tetapi cantik dan bersih. Sesuai untuk set lokasi penggambaran siri drama Midsomer Murders. Satu drama TV cerita penyiasatan sempoi yang aku cukup gemari.
Sekeping poskad yang tidak terhantarkan

Aku berpisah dengan Greng dan Rahim al-Putet di sebuah stesen keretapi yang aku lupa namanya apabila kami terpaksa mengambil haluan masing-masing. Mereka ke Cardiff City, manakala aku ke Bath City.

Aku akhirnya tiba di Bath di saat kawan-kawan sedang mencuba gaun konvo masing-masing. Begitu teruja mereka menggayakan gaun keramat itu. Manakala aku hanya menumpang kegembiraan mereka dengan senyuman di bibir yang kering-garing dek dibakar mentari Ledbury .

Aku tumpang gembira
Di Bath University, skrol ijazah yang diperolehi pada hari konvo adalah yang asli, yang betul-betul. Buka skrol kosong. Padahal majlis konvokesyen dibuat dalam masa hanya beberapa minggu daripada tarikh peperiksaan akhir.

Setiap yang mula, pasti berakhir. Aku yang selalu mengomen sejuk hingga ke tulang sum-sum sekarang berasa agak sedih untuk meninggalkan bumi Penasihat Kerajaan Tanah Melayu yang begitu unik dan indah ini. Sayang juga untuk mengucapkan selamat tinggal kepada University of Bath yang berada di puncak sebuah bukit yang dikelilingi kehijauan dan di kakinya terletak sebuah bandar Roman yang menjadi tumpuan pelancong dan orang pencen.

Terima kasih universiti yang banyak mengajar aku menjadi seorang lelaki, pencinta dan bro.

Hari-hari terawal di Bath

Friday, September 9, 2011

Blues Anak Melayu 3 : Awan Nano

Masak apa tu?
Walaupun matahari tidak tegak betul-betul di atas kepala, namun cukup perit kulit aku dimamah bahangnya. Kalau di Guchil, udaranya lembap walaupun suhunya panas ceng-ceng. Di Ledbury ini, matahari summer tidaklah sepanas mana, semacam Cameron Highlands sahaja. Apalagi sesekali angin semilir datang menerpa. Woosshhh.... Nyaman bangat. Tetapi di Ledbury ini cuacanya kering. Cukup untuk membuatkan kulit Melayuku gatal-gatal.

“Adoiii...”

“Kenapa?” Greng berpaling ke arahku.

“Daun pokok ni menyengat la!” Aku menjawab sambil menggosok-gosok tangan.

Stinging nettle banyak kedapatan mencelah di antara pokok-pokok strawberi dan jika tersentuh, ouchhh... Memang menyakitkan.

(Stinging nettle is a dioecious herbaceous perennial, 1 to 2 m (3 to 7 ft) tall in the summer and dying down to the ground in winter. It has widely spreading rhizomes and stolons, which are bright yellow as are the roots. The soft green leaves are 3 to 15 cm (1 to 6 in) long and are borne oppositely on an erect wiry green stem. The leaves have a strongly serrated margin, a cordate base and an acuminate tip with a terminal leaf tooth longer than adjacent laterals. It bears small greenish or brownish numerous flowers in dense axillary inflorescences. The leaves and stems are very hairy with non-stinging hairs and also bear many stinging hairs (trichomes), whose tips come off when touched, transforming the hair into a needle that will inject several chemicals: acetylcholine, histamine, 5-HT or serotonin, and possibly formic acid.[2][3] This mixture of chemical compounds cause a painful sting or paresthesia from which the species derives its common name, as well as the colloquial names burn nettle, burn weed, burn hazel. – Sumber: Wikipedia, The Free Encyclopedia)

Aku mendongak ke langit, melihat hamparan halus awan yang kelihatan seperti taburan bedak Amami di papan karom. Begitulah awan nano setia melindungi diri tika panas mencuba menggores pipi.

Aku terfikirkan kisah seekor pipit yang tak jemu-jemu memunggah air dengan paruh kerdilnya. Dia berulang-alik berbuat begitu untuk memadamkan api yang sedang membakar tubuh Nabi Ibrahim. Si pipit berusaha membantu menyelamatkan orang yang mengajak manusia ke jalan kebenaran berdasarkan kemampuannya. Dia cuba memadamkan api walaupun tahu ianya tak akan berhasil. Namun kehendak Allah siapa yang tahu.

Si pipit tidak mahu menjadi seperti cicak yang sedang galak meniup api yang sedang marak. Sebenarnya tidak berdegih sedikit rabut pun api dengan sebab tiupan cicak yang kurus kering macam cicak kubeng itu, namun perangai celaka makhluk ini cuba sedaya upaya membantu dan mengampu kekufuran Namrud. Sekaligus membantut usaha ke arah kebenaran.

Begitulah awan nano setia melindungi diri tika panas mencuba menggores pipi. Walaupun awan nano sesaiz ten to the power of minus nine (10 kuasa -9), namun awan nano cuba juga berkhidmat untuk membantu manusia peasant yang seperti aku lakukan sekarang ini, yang kekeringan dibakar mentari summer Ledbury.

Awan nano tidak seperti nettle yang menyusup diam-diam di antara hijau daun strawberi yang sedang mekar ranum berbuah. Mengambil peluang menyengat apabila orang sedang leka dengan godaan merah strawberi berair di bawah hangat mentari.

Begitulah agaknya peranan golongan cicak dan nettle semasa PUTERA-AMCJA sedang hampir pasti berjaya membawa draf People’s Constitution sebagai permulaan untuk pemerintahan sendiri dahulu. Setelah draf ini ditolak oleh Penjajah Inggeris, PUTERA-AMCJA telah menganjurkan Bersih 0.0 HARTAL satu boikot ekonomi yang begitu mengesankan.

Begitulah puak-puak nettle menggigit dalam diam untuk merencatkan pergerakan PUTERA-AMCJA. Juga puak-puak cicak yang terus meniup kononnya untuk memarakkan api yang membakar Nabi Ibrahim yang sedang selesa diberi nikmat hawa dingin oleh Allah walaupun berada dalam api yang sedang marak. Entah berkesan atau tidak tiupan cicak-cicak itu, atau penjajah Inggeris itu sendiri yang sememangnya berdalih dengan mengistiharkan darurat pada 1948. Atas alasan memerangi komunis! Senang dan berlesenlah mereka untuk menangkap sesiapa sahaja yang tak sedar diri pandai-pandai nak menyebut merdeka padahal nak buat jarum pun tak reti.

(Ketika itu UMNO di bawah Dato Onn Jaafar tidak memperjuangkan kemerdekaan. Bahkan aktivis kemerdekaan sering diejek dengan kata-kata "nak buat sebatang jarum pun tak pandai, inikan mahu merdeka". – Petikan dari buku 5 Tokoh Gerakan Islam Malaysia m.s 21 ISBN:983-2553-36-9)

“Bro, dah berapa tray?” Aku berpaling. Kelihatan Rahim al-Putet sedang membawa tray ke pusat pengumpulan.

“Baru tujuh termasuk ni. Lu berapa suda?”

“Gua dah sepuluh bro....”

Huii cepatnya. Rahim al-Putet memang casligas. Macam Mat Indera dulu-dulu.

Tuesday, September 6, 2011

Blues Anak Melayu 2 : Melihat Mat Indera di Perbatasan Strawberi

Bersama Rahim al-Putet di luar khemah
Walaupun Jun suasana di UK sudah hangat, tetapi bila tidur dalam khemah di tengah padang, kesejukkannya semacam menjamah hidung kucing! Teramat payah untuk aku memejamkan mata, sekejap mengiring, sekejap terlentang. Tak tahu apa nak buat, aku menyalakan lampu dan membaca buku Huckleberry Finn yang sudah lama aku beli tapi masih belum khatam. Puas membaca, aku mencapai dompet. Dompet ku buka. Dalam samar cahaya lampu bateri, senyuman si dia yang sentiasa menemani aku di dalam dompet jelas kelihatan. Senyuman si dia lah yang mengulit aku ke alam mimpi dibuai hawa dingin ladang Ledbury.

Summer time, malamnya terlalu sekejap. Usai solat subuh, aku bersiap untuk ke ladang. Sengaja aku beli khemah yang besar dan tinggi agar senang aku bersolat di dalamnya. Greng dan Rahim al-Putet pun dapat tumpang solat di dalam khemah aku. Kiranya khemah aku yang paling grand di situ, ala-ala khemah Muammar Ghadaffi sahaja!

Pukul 6 pagi, aku, Greng, Rahim al-Putet dan beberapa orang lagi buruh ladang di bawa menaiki hilux. Kami yang bersesak-sesak berdiri semacam kaler Luna di belakang hilux kadang-kadang melambung kerana keadaan jalan ladang yang tidak rata.

Di ladang, kami diberikan bekas plastik untuk mengisi strawberi. Upahnya 10 pence untuk satu bekas. Penuh sepuluh bekas, dapatlah 1 pound.

Mula-mula mengutip, hampir tiada strawberi yang masuk ke dalam bekas, semuanya masuk ke mulut! Siapa dapat tahan nafsu melihat fresh strawberry yang merah berair sebesar separuh penumbuk? Kah kah kah. Godaan beb.

Di ladang itu, aku berjumpa lagi dengan 2 orang Melayu. Mereka sepasang suami-isteri yang masih belajar.Mereka telah beberapa hari di sini. Kagum aku melihat pasangan suami-isteri muda ini tekun mencari wang walaupun semacam buruh paksa di ladang orang putih ini.

Aku dan Rahim al-Putet berlumba-lumba siapa cepat mengutip strawberi. Mula-mula mencangkung, lenguh mencangkung, merangkak, lenguh merangkak, ala-ala rukuk, letih rukuk, berlunjur. Memang kerja mengutip strawberi ini tidak ergonomik langsung. Akhirnya aku tergelak apabila melihat Rahim al-Putet mengutip strawberi sambil meniarap.

Aku melihat ladang yang luas terbentang. Begini indah dan nyaman negara ini, orang putih British ini masih bernafsu besar mahu menjarah negara orang lain yang berada nun jauh beribu-ribu batu di timur. Beratus tahun mereka menjarah dan mengikis hasil masul Tanah Melayu, sehinggakan fikiran orang Melayu pun ramai yang telah mereka jajah dengan beer, whisky dan cider mereka. Hinggakan orang Melayu ramai yang tidak yakin untuk memerintah sendiri negara mereka tanpa buku kitab perundangan celupan British.

Apabila memikirkan itu, Rahim al-Putet yang sedang memetik strawberi sambil meniarap itu aku lihat tak ubah semacam Mat Indera yang sedang bersiap siaga untuk menggempur pegawai British dan tali barut mereka yang sedang ketawa  berdekah-dekah kuat sambil mentekedarah perahan anggur peram sambil melagakan gelas!

Monday, September 5, 2011

Blues Anak Melayu 1 : Terdampar di Daerah Asing

Stesen kereta lipang Ledbury
Habis peperiksaan akhir, aku membawa diri ke Ledbury. Aku mengambil keputusan untuk tidak menghadiri upacara konvokesyen yang bakal diadakan 2 minggu lagi.

“Rugi bro, sekali seumur hidup,” kata Atuk, rakan kamcingku, separuh memujuk.

“Ye la, bila lagi nak pakai jubah dan topi macam tu,” Apip pula menambah.

Tapi tekadku sudah bulat. Sebulat buah gomak yang sudah lama aku tidak ketemui. Iklan kerja ‘fruit picking’ di Ledbury yang tertampal di Norwood House menjadi jawapan tepat sebagai alasan untuk aku membawa diri.

Dari Bath Spa, keretapi Great Western Railway membawa aku melalui tanah kelahiran Ryan Giggs, Wales sebelum berhenti di sebuah stesen yang berselirat dengan landasan keretapi yang telah aku lupa namanya. Di sana aku menukar keretapi dan meneruskan perjalanan yang memang memukau mataku dengan bukit-bukau yang berbagai warna dan rupa. Kadang-kadang keretapi melalui tepian tasik yang amat indah dengan air tenang kebiruan berlatar belakangkan padang ragut yang menghijau. Akhirnya keretapi berjaya membawa aku mendarat di tanah asing, Ledbury.

Di stesen keretapi Ledbury yang seakan steesen keretapi Bunut Susu itu, turun sahaja dari keretapi, aku terlihat kelibat 2 hamba Allah yang berkulit dan berhidung seperti aku.

“Assalamualaikum.... Melayu?”

“Waalaikumussalam.... Dari mana?”

Aku berkenalan dengan Rahim al-Putet dan Greng yang belajar di Cardiff University, Wales, yang juga berhajat untuk mencari pengalaman melakukan kerja memetik buah strawberi di bumi Ledbury. Siapa sangka, aku yang bermusafir berseorangan, kini telah bertemu dengan 2 insan Melayu di daerah paling asing dalam hidup aku. Ajal-maut, jodoh-pertemuan memang ketentuan Allah. Subhanallah.

Kami menaiki teksi untuk ke ladang tempat bakal kami bekerja sebagai buruh ladang. Di sepanjang perjalanan, aku terpegun kagum dengan keindahan ladang yang begitu indah semacam dalam cerita ‘Legend of the fall’, walaupun filem ‘Legend of the fall’ belum ada lagi pada masa itu dan Brad Pitt pun agaknya masih belum bersunat lagi time itu.

Ladang Ledbury sebenarnya berada tidak jauh dari stesen keretapi. Belum panas punggung, kami telah sampai di pejabat ladang dan disambut oleh seorang wanita 40-an yang aku agak mesti salah seorang pemilik ladang. Kami ditunjukkan kawasan untuk mendirikan khemah dan bilik air.

“At 6 o’clock in the morning, a pick-up truck will be here to take you to the field. So please be ready then,” wanita itu memberitahu kami. 

“ There’s only one rule,” tambah wanita itu.

“No campfire.”

 Kami hanya mengangguk-angguk macam Bangla yang baru kerja stesen minyak di Shell Batu Buruk.
.
.
***Kenapa aku tidak mencatatkan segala butiran perjalanan aku dahulu? 

Thursday, September 1, 2011

Ke Makam Ayahanda

Semoga ayahanda selamat di sana

Di bawah panas mentari 31 Ogos, hari raya kedua, aku tunduk bertafakur di kubur ayahanda. Bacaan al-Quran aku tersulam memori bersama ayahanda. Memang aku anaknya yang hidup di perantauan ini merindui ayahanda, namun aku tidak pernah menuturkan ayat ini walaupun semasa ada hayat ayahanda.

Derap kaki makin jelas kedengaran, namun aku biarkan sahaja. Tiba-tiba kaki itu berhenti di tepi kiriku. Aku tidak mengangkat muka, hanya setia memandang kaki yang berselipar raya itu sahaja.

"Saudara...." 

Aku masih tidak mengangkat muka.

"Saudara, kenapa saudara berteleku di kubur ayah saya?"

Aku tersentak. Lantas mendongak melihat tuan punya suara...

"Apa? Kubur ayah saudara?"..... "Apa ertinya semua ini?"

"Err..Wie. Mu ambiklah pulak payung ni. Nanti mu bagi kat Abe Lan deh. Payung dia ni... Aku nak balik dah ni..."

Aku menyerahkan payung kepada abang aku, blogger Pakmudo yang baru sampai. Huh! Sempat pula kami berKassim Selamat di kuburan ini. Aku harap ayahanda tak kisah dan tersenyum di sana.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...