Showing posts with label peraduan. Show all posts
Showing posts with label peraduan. Show all posts

Friday, August 10, 2012

Cerita Dari Sebuah Kondo

Ramadhan Tanpa TV@ Wadi Kita
.
.

DIA masih belum puas melihat terjunan Pandelela Rinong yang membuahkan pingat gangsa untuk negara.

“Hebattt.....” Pujian dari mulutnya belum putus-putus.

“Tiliklah puas-puas. Kurus puasa tu nanti,” isteri DIA bersuara apabila melihat DIA tidak lekang dari depan TV semenjak pagi. Satu kerja buat pun tiada daripada DIA hari ini.

“Kurus puasa apa pulak?” Soal DIA balik.

“Kalau dah tengok perempuan berbaju mandi takkan tak kurus puasa,” isteri DIA menjawab.

“Habis tu takkan depa nak pakai jubah pulak dalam acara terjun ni. Kamu tahu tak... Ini Olimpik, bukannya sukaneka atau Sukma, besar nilainya. Berjuang nak dapatkan pingat untuk negara di Olimpik semacam jihad juga kau tahu....” DIA mula berhujah.

“Puasa pun boleh ditangguhkan dahulu demi Olimpik. Bukan aku yang kata, tapi orang-orang agama yang alim dan popular yang sepakat kata begitu,” DIA menutup hujah. Semacam ada kemenangan di situ.

“Suka hati awaklah, saya cuma mengingatkan sahaja. Lagipun kita anak-beranak bukan berpuasa pun,” kendur suara isteri DIA, semacam mengaku kalah pula.

“Biarlah manusia yang berpuasa saja yang fikir pasal benda ni. Ini masalah depa semua, bukan masalah kita. Lagipun aku dah meluat dengan orang ramai ni. Dengki mereka pada kita tak habis-habis....”

Memang kebelakangan ini DIA bengang betul dengan orang ramai. Baginya orang ramai tak habis-habis dengki dengan kehidupan mereka anak-beranak. Baginya orang ramai hanya mahukan mereka hidup melarat. Ragut pagi makan pagi, ragut petang makan petang.

Segalanya bermula apabila mereka anak-beranak berpindah ke kondo mewah 70 ribu sebulan itu. Sejak hari itu, orang ramai sentiasa mencari salah mereka anak-beranak. Orang ramai semacam mahu mereka perpindah balik ke kampong, ke bawah pokok, ke bawah jambatan. Memang orang ramai busuk hati dan dengki.

Apakah tinggal di kondo salah? Tidak wassotiyah kah tinggal di kondo? Tahukah orang ramai makna wassotiyah? Mereka itu sekolah je tinggi, tetapi tidak reti. Tidak tahu. Mereka itu bodoh. Ya bodoh. Bodoh macam lembu.

Bodoh macam lembu?

Betulkah bodoh itu nisbahnya lembu?

Siapa yang menisbahkan begitu? Mesti manusia-manusia yang ramai itu.

Celaka! DIA menyumpah pada orang ramai.

Sejak hari itu DIA tak mahu ambil peduli tentang manusia. Tentang orang ramai. Biarlah mereka dengan labu-labu mereka. DIA akan tetap berdiam di dalam kondo itu bertemankan TV. Hanya TV yang menjadi rakan penghiburnya sekarang.

“Dasar bangsat! Tak tahu bersyukur!” DIA tiba-tiba melampiaskan kemarahannya. Terhenti mulutnya mengunyah seketika.

“Apa lagi tu bang?” Isteri DIA yang sedang bermenung di tingkap terkejut dengan tingkah DIA.

“Ini... BERSIH yang kotor ini. Mereka tak tahu bersyukur dengan apa yang ada. Apa lagi yang mereka mahukan? Merosakkan harta-benda negara. Orang nak berniaga pun tak boleh,” beritahu DIA sambil menuding ke arah kaca TV yang sedang menayangkan demonstrasi BERSIH 3.0 yang tak pernah basi itu.

“Mereka itu orang perjuangan. Memperjuangkan hasrat rakyat jelata,” jawab isteri DIA.

“Hasrat rakyat apanya? Hanya 22,270 orang sahaja...... 22 ribu orang ini saja yang tak puas hati. Penyokong Kelantan yang datang tengok bola friendly lawan QPR lagi ramai daripada yang datang BERSIH 3.0 ni. Lagi 28 juta rakyat jelata OK saja,” jawab DIA pantas.

“22,270? Heh! Awak bilang pakai apa?” Tanya isteri DIA.

“Kan dalam TV menteri ada cakap. Menteri yang cakap pelat Indonesia tu cakap 22,270 orang saja yang hadir BERSIH 3.0 tu. Dia kira sorang-sorang ikut setiap sentimeter graf,” yakin sekali DIA menjawab.

“Hei bang, saya sendiri yang lihat. Dari tingkap ni saya tengok hari tu, penuh jalan-jalan di bawah sana dengan manusia berbaju kuning. Takkanlah 22 ribu sahaja. Itulah abang, TV saja kehidupan seharian abang. Benda betul ada di depan mata pun, abang masih percaya pada TV. Cuba-cubalah cari maklumat alternatif,” isteri DIA memulangkan paku buah keras.

“Takkanlah menteri pelat Indon tu nak tipu,” DIA tak mahu beralah.

“Politik bang.... Tengok isu sambutan merdeka 55 tahun Negara kita sekarang ni, apa dolak-dalik menteri pelat Indon tu tentang logo, slogan dan lagu yang digunakan.... Oh saya lupa, abang tak tahu sebab abang asyik tengok TV saja, tak tengok media alternatif,” isteri DIA berhujah sambil memerli.

 DIA hanya diam tidak menjawab.

“Tempat kita bukan di kondo ini bang. Saya rindukan angin sepoi-sepoi bahasa di tepi tasik bang. Tempat ini tak elok untuk anak-anak kita yang sedang membesar. Mereka perlukan kehijauan, bukannya hidup dilingkungi konkrit bercat ini. Dingin aircond tak sama dengan dingin angin semilir bang. Kita perlu pindah,” isteri DIA berkata separuh merayu.

“Nampaknya kau pun dah termakan dengan hasutan orang ramai yang dengki itu,” DIA menjawab, tidak bersetuju dengan pandangan isterinya.

“Anak kita tu bang, tidurpun asyik mengigau sahaja semenjak pindah ke kondo ini. Ye lah kalau hari-hari disajikan dengan cerita hantu dan tahyol di kaca TV tu. Mereka perlu berlari di padang, bukan tengok TV je kerjanya,” isteri DIA berkata lagi.

“Karut! Sebelum tidur suruhlah budak-budak tu basuh kaki. Baru tak mengigau. Jangan malas, basuh keempat-empat. Jangan basuh dua sahaja,” DIA masih tidak mahu melayan isu pindah yang dibangkitkan si isteri. Baginya jika mereka pindah dari kondo itu, bermakna dia mengaku kalah dengan hasutan dan dengki serta fitnah orang ramai.

“Dunia sebenar bukanlah seperti yang tertera di kaca TV bang,” isteri DIA masih belum mengaku kalah.

“Baru-baru ini, Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Mohd Zaini Hassan pun ada beritahu bahawa pengamal media boleh spin fakta sebagai “serangan berhemah” kepada pihak lawan sehingga sesuatu fakta tersebut memihak kepada golongan yang berkepentingan... Ini menunjukkan apa yang keluar dari TV yang abang tenung dari pagi hingga ke malam itu banyak fiksyennya,” panjang hujah si isteri.

“Sudahlah aku dah lapar ni, apa lunch hari ni?”  Tanya DIA.

“Macam biasa.”

“Takkanlah dedak lagi... Rumput alfalfa import la pulak. Spirulina ke....” Protes DIA.

“Saya ajak pindah abang tak mahu. Dah duduk kondo, makan dedak je lah bang oiii. Kat sini, siapa yang nak mencerut rumput. Di mana nak mencerut di kota batu ni.... Nak order McDonald atau NFC opsss KFC, kita ni herbivor abang sayang oiii... Kita bukannya maging atau maserba macam manusia, kita hanyalah makhluk maun. Lagipun kita ni lembu, sanggupkah abang makan daging saudara-mara sendiri semata-mata kerana nak jaga status kita sebagai lembu yang mampu tinggal di kondo 70 ribu sebulan ini?,” kali ini isteri DIA tak kasi can, membelasah dia cukup-cukup.

Dia terdiam sambil ekornya melibas-libas badannya yang tak gatal.

“Tengoklah... Mungkin selepas orang ramai berPRU13 nanti, kita pindah. Dan buat sementara ini, abang mesti kurangkan TV,” katanya akur.

Si isteri hanya tersenyum dengan perubahan si suami sambil mulutnya meluahkan ucapan kesyukuran. Mooooooooooooooooooooooooo (Translate: Syuukuuuuuuuuuuuuuuuuuurrr).

Monday, August 8, 2011

Contest Aku Berpuisi - Mereka Bertanya Tentang LYNAS

Klik untuk ke laman Kontest Aku Berpuisi

Aku sendiri menyaksikan dari dekat
Sebuah kilang diruntuh dan di kerat-kerat
Bukan dek kesumat atau khianat
Tetapi ancaman kesejahteraan umat

Bukit Merah menjadi saksi
Kilang tempat mencari rezeki
Rupanya menjadi perosak generasi
Masa depan anak-anak dibayangi radiasi

Asian Rare Earth akhirnya tersungkur
Setelah puas marhaen menggempur
Dari Mahkamah Ipoh mara terus ke Kuala Lumpur
Barulah si rakus  menunduk akur

RM60 juta belanja hangus
Bukan untuk membina, tetapi melupus
Setiap cebisan cermat diurus
Di Banjaran Kledang dikuburkan terus

Projek di Gebeng aku tak daya membantah
Tetapi orang kita bukan mudah lupa sejarah
Mereka tahu peritnya mengubat berbanding mencegah
Sudah serik ke lubang yang mereka pernah rebah

Aku bukan sengaja nak kepoh
Sememangnya aku pernah tinggal di Ipoh
Jadi, apabila mereka tanya tentang Lynas
Itulah cerita yang aku terlintas

Mangsa tag:
  1. CikguNae
  2. CikguAsal
  3. CikguGhost

Monday, June 20, 2011

Sesi Mengumpat Brutalsolo Bersama Gedek! di Esso On-The-Run Pandan Indah Sempena Hari Bapa

"Brutalsolo tu perlu berusaha keras untuk sambut hari bapa tahun depan, ha ha ha..." kami paksa diri gelak macam bapak-bapak.
Sekilo keropok ikang tambang bertukar tangang. Pemenang lain bila nak bagi alamat? Nanti lemau, makang tak sedap.

Saturday, June 18, 2011

Mari Lihat Siapa Dapat Keropok

Terima kasih kepada semua yang menyertai kontes yang pendek tempoh ini. Iaitu,
  1. Blog tips kurus
  2. Miecyber
  3. Cikgu Zam
  4. Anonymous
  5. School of Thought (SOT)
  6. Gedek!
  7. Ayohnik
  8. Genzo
  9. Kunang-Kunang
  10. Fadzi Amir
  11. Naeblog
  12. Puteri

Tiga elemen yang gua dan Kajol tengok iaitu,

  1. pemimpin, 
  2. bohong atau kencing
  3. nampak jelas atau cokkoh atas darat.
Ayat yang gua cari,

"Nak kencing pun, janganlah napok cokkoh atah darat sangat! Kah kah kah."

Di bawah adalah nama pemenang. Yang tak menang, anggaplah sebagai cobaan. Lain kali kita test power lagi.

1. Anonymous. Jam 8.24.

2. Gedek!

3. Fadzli Amir

4. Cikgu Nae

5. Ayohnik

Tahniah kepada pemenang. Sila email alamat anda kepada gua ye, ayohdo@gmail.com. Kecuali Ayohnik sebab jauh sangat, nanti lu punya gua bawak balik rumah mak je la bro ye :). InsyaAllah keropok akan dihantar bila gua selesai jual getah sekerap nanti.

Thursday, June 16, 2011

Mari Tunjuk Siapa Paling Kreatif Sambil Dapatkan Sekilo Keropok Ikang Tambang




Berdasarkan 3 gambar di atas, sekreatif anda, buatlah SATU AYAT yang menggabungkan maksud ketiga-tiga gambar ini di ruangan komen. Berapa kali anda/lu nak cuba pun gua tak kisah. 3 pengomen yang paling kreatif akan menerima sekilo keropok ikang tambang teganu kiter. InsyaAllah.

Kreativiti anda (sebenarnya lebih kepada apa yang anda/lu dapat baca apa yang tersirat di fikiran gua semasa upload gambar-gambar tu) akan dinilai oleh gua sendiri dibantu oleh Kajol.
Apa lagi, tunjukkan keterroristan anda sekarang.

Sunday, April 17, 2011

KoNtEsT KeNaNgAn zAmAn SeKoLaH

Demi memeriahkan contest yang dianjurkan Cik Nurussalwa
Tok! Tok! Tok!

Pintu kelas 1 Merah di ketuk oleh seorang pelajar. Kami yang sedang asyik mendengar cikgu di depan masing-masing berpaling ke muka pintu.

“Assalamualaikum cikgu. Nak jumpa Ramli, Cikgu Dol panggil dia,” beritahu budak di muka pintu.

Aku membontoti budak itu hingga ke kelas 4 Merah. Di dalam kelas 4 Merah aku lihat Cikgu Dol sedang menanti. Semua mata pelajar dalam kelas 4 Merah juga tidak berkelip-kelip memandang aku. Alamak! Apa aku dah buat ni. Apa kesalahan aku.

Cikgu Dol adalah cikgu yang paling ditakuti oleh pelajar termasuk aku. Tangannya se’laser’ mulutnya. Dia mengajar Bahasa Inggeris di kelas aku.

“Ramli, pisang dalam Inggeris apa?” Soal Cikgu Dol apabila aku merapatinya.

“Banana,” aku jawab walaupun dalam fikiran aku tertanya-tanya apa tujuan dia panggil aku ke kelas senior ini.

Selepas itu Cikgu Dol terus bertanyakan beberapa vocabulary mudah yang sepatutnya diketahui oleh budak darjah satu seperti aku sambil diperhatikan oleh pelajar kelas 4 Merah. Di dalam kepala aku masih tertanya-tanya. Apa ni? Kalau setakat nak tanya vocabulary, tak perlulah panggil aku ke sini.

“Sikat,” soalan terakhir daripada Cikgu Dol.

“Comb.”

“Budak kelas ni tak tahu, sebab tu saya panggil awak datang ke mari,” akhirnya terjawab pertanyaan kenapa aku dipanggil ke kelas ini.

Tindakan Cikgu Dol berbuat begitu mungkin satu teknik pengajaran yang baik dan berkesan. Rasulullah S.A.W juga pernah berdialog dengan malaikat Jibrail yang menyerupai seorang pemuda di hadapan para sahabat berkaitan persoalan Islam, iman dan ihsan.

Cuma bagi aku, kelemahan manusia biasa seperti kita ialah kerana terdapatnya unsur ‘humiliation’ di dalam tindakan itu. Cikgu Dol seakan-akan secara tersiratnya berkata kepada semua pelajar 4 Merah, ‘tengok... budak darjah satu pun tahu apa yang kamu tak tahu’.

Anggapan aku ternyata benar apabila sebelum melepaskan aku pergi, Cikgu Dol bertanya satu soalan maut yang aku tak mahu jawab tetapi terpaksa menjawab jua.

“Budak kelas ni cerdik ke bodoh?” Kuat suara Cikdu Dol. Cukup untuk didengari oleh makhluk yang berada di sekitar 12 meter radius.

Aku serba-salah. Kerana aku tahu apa jawapan yang dimahukan Cikgu Dol. Dengan penuh kenaifan, aku menjawab ‘bodoh’.

Dalam perjalan pulang dari sekolah hari itu, seorang budak tiba-tiba menuding jari ke arah aku sambil berkata kepada rakannya.

“Inilah budak yang kata kita bodoh tadi.”

****
Sori last minute tag. Saya pun tahu last minute. Selamat mencuba
 
Puteri
Anak Haji Amir

Tuesday, April 12, 2011

Malam Ni Aku Nak Berkempen

Ada 3 cerpen aku di Kisah Klasik Kita , dan banyak lagi cerpen-cerpen lain. Silalah ke sana dan undi. Undilah cerpen siapa pun yang anda suka, asalkan bukan Taib Mahmud dan sekutu-sekutu yang sama level dengannya.

Cerpen aku ialah:


Kisah seorang gadis yang baru mengenal erti hidup dan kehidupan.
Klik gambar untuk ke sana.




Kisah seorang lelaki India yang akur dengan kesalahan sendiri.
Klik gambar untuk ke sana.


Kisah lelaki Y yang tercari-cari sesuatu berDNA di sebuah balai polis.
Klik gambar untuk ke sana.

Taib Mahmud, kita serahkan ceritanya kepada rakyat Sarawak. Cerita di atas, aku serahkan pada kamu. Undi jika suka. Gelak jika lawak. Terima kasih.

Friday, March 25, 2011

Contest SHORT STORY of 20 WORDS

Klik untuk ke blog Cik Aiza

 SAYANG SI NONI

Dengan senyum besar di bibir, Noni duduk bertimpuh di atas pasir. Tangan gempalnya dengan penuh lemah lembut mengambil sepotong kek dan menyuap ke mulutnya. Cara Noni memegang kek menampakkan jelas cincin berlian besar di jari tengahnya. Rais dan isterinya tidak menghiraukan perlakuan Noni. Mata mereka tetap memandang sebuah pulau yang kelihatan kelabu di horizon.
.
Mereka sedang berfikir, alangkah baiknya jika mereka tinggal di pulau tersebut. Jauh dari kemodenan, jauh dari teknologi. Yang penting terhindar jauh daripada pengaruh negatif yang mereka rasakan sedang menular di hati sanubari anak perempuan mereka, Noni sekarang.
.
Walaubagaimanapun, anak perempuan mereka yang baru berumur sebelas tahun itu tetap istimewa. Anak inilah tempat tumpahnya kasih dan cinta mereka sebagai ibu dan ayah. Anak inilah racun dan penawar bagi mereka.
.
Rais pernah menggadaikan rumah mereka kerana Noni mengugut tidak mahu ke sekolah jika Rais tidak menukar kereta Proton Saga mereka kepada sebuah MPV. Sejak hari itu, Rais hanya terpaksa memikirkan tentang bagaimana mahu mendatangkan wang yang banyak. Semuanya untuk memenuhi hasrat Noni, anak kesayangan mereka yang sedang bercita-cita mahu menjadi seorang wanita pertama suatu hari nanti.
.
Semasa memandu pulang dari pantai itu, Rais masih memikirkan tentang masa depan Noni. Sejak bercita-cita besar itu, karenah Noni semakin menjadi-jadi. Dia hanya akan makan makanan yang baginya ada kelas, yang hanya sesuai untuk golongan atasan. Tatkala menolong ibunya memasak di dapur, bermacam-macam protokol dikenakan kepada si ibu. Perlu timbang lobak, ukur kalori santan, timbang garam, mesti gunakan gula batu dan bermacam-macam lagi perkara yang memeningkan isterinya. Dia juga enggan balik kampong datuk dan neneknya sekarang. Leceh dan kampungan, katanya.
.
Rais terfikir, jika kematian menjemput mereka suami isteri ketika ini, siapalah yang sanggup menjaga Noni anak mereka yang bagi sesetengah orang adalah seorang budak pelik. Memikirkan itu membuatkan jalan yang terbentang lurus di hadapan Rais nampak seperti dipenuhi ranjau dan berbelit-belit.
.
Besok hari Ahad, Rais dan isterinya sudah berjanji untuk membawa Noni ke Menara Kuala Lumpur. Noni mahu berada di menara itu dari pagi sampai ke malam kerana katanya, dia mahu menikmati hembusan angin, merasai pancaran matahari, memerhati bulan dan membilang jumlah bintang-bintang dari tempat yang lebih tinggi daripada orang kebanyakan, sesuai dengan dirinya sebagai seorang First Lady in the making.
.
Sekian.

Tagged:
  1. Puteri
  2. Wawa
 Pesanan Penaja:
.
" Once you're tagged or volunteer to join this contest.. You need to write a SHORT STORY about 20 words that given.. At last, you need choose 2 people to be tagged.. Hopefully the person who be tagged must give some cooperation.. And it’s really mean to who are tagging.. If I tag you, it's because I want to know more about your talent in writing SHORT STORY.. And the words are:
Love
Money
Car  
Island 
Cake  
Mom
Dad 
Special 
Ring  
House  
Cook  
Eat  
Woman 
Road  
Moon  
Stars  
Sun  
Wind 
Death  
Smile 
You can use that 20 words random list and also can write it either in English or Malay.. Good luck"

Wednesday, March 16, 2011

Apa Itu Cinta? Cinta Itu Bodoh!


Aku bergegas ke library. Tepi tingkap cermin level 1 library menghadap ke refectory menjadi destinasi pentingku. Begitulah rutin aku beberapa detik sebelum pukul 2 petang setiap Isnin.

Seketika kemudian, di celah-celah manusia berhidung mancung dan berambut perang, kelihatan 2 gadis Melayu bertudung berjalan beriringan sambil mengepit buku dan fail. Pastinya mereka sedang menuju ke kelas mereka di bangunan 4East. Perhatian aku hanyalah kepada salah seorang daripada mereka. Yang lebih merah pipinya dan lebih manis senyumnya.

Si dialah yang telah membuatkan aku menjadi bodoh tergesa-gesa ke library pada masa ini. Si dialah yang membuatkan aku menjadi bodoh tercegat di tepi tingkap ini. Dialah yang menjadikan aku bodoh memerhatikannya berjalan sehingga kelibatnya hilang di sebalik pintu 4East.

Kenapa aku katakan bodoh?

Aku tidak sepatutnya menjadi penunggu setia tingkap cermin library ini, kerana aku pun ada kelas pada pukul 2 hari ini!

** Entry ini adalah untuk memakmurkan segmen apa kata kamu tentang chenta di blog al-Hakim. Klik gambar di atas untuk ke sana.
Tagged:


Thursday, March 3, 2011

Tuala Good Morning Lelaki Y

Pak Usop terbongkok-bongkok menyusuri barisan panjang yang bersimpang-siur seperti ular kena palu itu. Pak Usop agak mahu 1.8 km barisan itu jika diluruskan dan masing-masing yang beratur mendepangkan tangan ke depan mencecah ke bahu orang di hadapan masing-masing. Mata Pak Usop tetap meneliti ke lantai.

“Woi, orang tua, tak belajar sivik ke?” sergah seorang anak muda berambut biru.

Pak Usop mendongak. Matanya menikam mata anak muda berambut biru yang menegurnya setajam-tajamnya.

“Aku tak pernah belajar sivik, belajar silat ada la... Nak tengok ke?” Jawab Pak Usop selamba. Anak muda itu terkedu. Dia buat-buat pandang ke tempat lain.

“Pak cik, panjang orang beratur ni, janganlah potong queue,” seorang gadis cun bersuara lembut kepada Pak Usop.

Pak Usop tersenyum. Ada juga anak muda yang pandai bercakap seperti orang Melayu pure zaman sekarang. Lega dan berbunga hati Pak Usop.

“Pak cik bukan nak potong barisan anak manis. Pak cik cari barang pak cik yang hilang,” Pak Usop memberitahu niat sebenarnya.

“Apa yang hilang pak cik?” Tanya gadis cun.

“Tuala pak cik nak,” beritahu Pak Usop.

“Macam mana boleh hilang kat sini pula?” Gadis cun bertanya lagi. Pemuda berambut biru dan ramai lagi yang sedang beratur masing-masing mendengar.

“Panjang ceritanya. Biar pak cik pendekkan,” Pak Usop duduk bersila di atas lantai lagak seorang penglipur lara dan mula bercerita.

“Alkisah, tadi aku sama-sama beratur di sini. Dari pukul 6 setengah pagi lagi aku dah mula beratur. Aku pun nak bayar saman sebelum nama aku kena blacklist. Walaupun blacklist tak sebahaya black metal. Tetapi ianya cukup untuk membuatkan aku jadi mental,” Pak Usop berhenti sambil mengeluarkan rokok gudang garam dan meletak ke bibirnya.

“Eh! Pak cik mana boleh hisap rokok, sini balai polis lah,” pemuda berambut biru menegur perlakuan Pak Usop.

“Kau diam kepala biru karat! Aku tau la... Saja nak test tahap sivik kau aje,” sergah Pak Usop sambil meletakkan balik gudang garam ke dalam poket bajunya. Pemuda berambut biru sekali lagi buat-buat memandang ke arah lain tetapi telinganya dipasang untuk mendengar kisah lanjut Pak Usop.

“Aku kena saman ekor di Lebuh Raya Pantai Timur, dekat Maran. Dalam saman tu katanya kelajuan aku naik motor 140 km sejam,” Pak Usop mula bercerita.

“Wuii.... Lajunya, pak cik ni merempit juga ke?” Sekali lagi pemuda berambut biru berlaku celupar.

“Woiii kepala biru karat, kau nak aku ajar kau sivik ke atau ajar kau silat? Kau apa tahu?... Lain kali kalau marhaen bercakap, apalagi marhaen saluran satu macam aku ni, kau mesti dengar. Barulah akal kau jadi panjang sikit. Sekali lagi kau menyampuk, aku paksa kau buat kuda-kuda kat sini sampai pukul empat karang,” Pak Usop membebel panjang kepada pemuda berambut biru yang kali ini betul-betul memandang ke arah lain. Tak sanggup dia bertentangan mata dengan Pak Usop. Orang lain yang ramai sedang beratur turut marah-marah kepadanya kerana masing-masing mahu mendengar cerita Pak Usop tanpa gangguan.

“OK, aku sambung, di mana kita tadi?” Pak Usop membetulkan silanya.

“Oh! Ya. 140 km sejam surat saman tu kata aku merempit. Betullah budak kepala biru karat ni kata tadi, ayatnya tu betul, merempit. Kalau dah naik motor 140 km sejam tu memang merempitlah tu. Aku orang tua, manalah aku larat nak pecut selaju itu. Aku tahulah highway tu jalannya elok, cantik, lurus. Tapi aku tak nak mencari risiko sia-sia dengan berbuat begitu. Aku tak nak mati di jalan yang lurus. Maksud aku, di highway yang lurus. Aku selalu berdoa lepas sembahyang untuk mati di jalan yang lurus. Maksudnya di jalan Allah, jalan Islam, jalan kebenaran. Bukan mati eksiden di highway yang lurus. Kau faham budak kepala biru berkarat?” Pak Usop dah mula mengenen pemuda berambut biru sebagai mangsa penceritaannya.

Pemuda berambut biru hanya mengangguk dengan penuh berminat. Diberanikan dirinya untuk bertanya.

“Wahai pak cik yang budiman, motor apa pak cik naik tu pakcik, berapa harganya?”

Pak Usop menjeling pemuda berambut biru, kemudian dia beralih menjeling kesemua orang. Akhirnya jelingannya melekat tepat kepada gadis cun. Lantas dia mencuba senyum semanis-manisnya. Dia berkhayal menunggang Honda CBR 900cc sambil membonceng gadis cun di belakangnya. Pasti dada gadis cun akan terpenyek ke belakangnya kerana dia semestinya akan membrek emergency seberapa kerap yang boleh.

Riang hatiku badan bertuah

Punya teman yang comel dan manja

Berjanji akan selalu bersama

Menemani ku sepanjang masa

 
Heh! Gatal betul orang tua ni. Lagu Basikal Tua Allahyarham Sudirman pula yang diingatinya. Lupa dia akan orang ramai yang tengah tercongok menunggu dia menghabiskan cerita.

“Aku ni menjual apam balik. Aku menjual di pasar-pasar malam. Hari ini pun aku ada buka gerai aku kat luar pagar balai polis ni. Selesai kamu semua bayar saman nanti, sila mampir ke gerai aku, ada diskaun untuk kamu semua. Ye lah kan, dah habis duit bayar saman, kenalah aku considerate sikit. Aku bagi diskaun 30 persen. Untuk gadis manis ni, pak cik akan bagi free sahaja,” kata Pak Usop.

“Terima kasih pak cik, nanti saya singgah,” jawab gadis cun. Ramah.

“Mana cerita tadi pak cik? Potong stim betul, iklan pulak dia ni...” Pemuda berambut biru rupanya tidak sabar mendengar cerita Pak Usop.

“Kau!” Sergah Pak Usop sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah pemuda berambut biru. Sebenarnya dalam hatinya gelak sakan melihat pemuda berambut biru yang jadi tak keruan dan gelabah sejak tadi setiap kali disergah olehnya. Maklumlah dulu-dulu di sekolah Pak Usup ni kaki buli.

“Tadi bukan iklan, ada kaitannya dengan cerita aku. Aku jual apam balik dengan motor roda tiga. Itulah satu-satunya means of transportation aku,” rupanya Pak Usop ni boleh tahan juga English Vacabularynya.

“Dan.... Motor roda tiga itulah yang kononnya merempit dekat Maran, di highway tu. Itulah yang aku musykilkan. Satunya, aku tak pernah bawa motor aku tu ke sana. Paling jauh pun setakat Gombak je aku pergi. Kedua, kalaulah ada orang lain, bini aku ke, nenek aku ke, jiran aku ke yang bawak motor tu tanpa pengetahuan aku, takkanlah sampai 140 km sejam deme tu lanyak motor cabuk tu. Speedometer motor itu pun baru 120 km sejam saja,” semua yang mendengar terdiam sambil menggeleng-gelengkan kepala. Kesian.

“Inilah yang aku hangat dan hangin sangat pasal saman ekor ni. Orang lain buat silap, tuan motor yang kena. Orang pakai nombor palsu, tuan nombor ori yang kena. Orang pinjam motor kita, kita kena tanggung risiko. Itulah sebabnya aku tak nak bayar pada mulanya. Tetapi bila dah time nak renew roadtax, aku terpaksalah beralah. Kalau tidak macam mana aku nak berniaga tanpa motor tu. Hangus RM300 duit aku. Kau orang tahu berapa hari aku jual apam balik nak dapat duit banyak tu?” Soalan Pak Usop meluru deras ke arah pemuda berambut biru.

“Tak tahu pak cik,” wajah pemuda berambut biru berubah comel apabila bercakap jujur dan ikhlas begitu.

“Bila aku nak bayar, kena beratur panjang dan lama pula. Tapi, mujurlah bini aku peminat buku-buku motivasi. Dia kata, abang kita buka gerai apam balik luar balai polis. At least tak tersia masa beratur panjang abang tu, dan dapat juga ganti sedikit sebanyak duit 3 ratus abang yang melayang tu,” beritahu Pak Usop sambil tersengih.

“Wow, rock lah isteri pak cik,” pemuda berambut biru mencelah.

“Haa...Baru kau tahu, kau jangan pandang aku takde mata budak kepala biru karat. Dulu bini aku pun berambut biru macam hang juga. Punk. Aku pun bertindik sana-sini juga. Tapi itu dulu la. Benda-benda jahiliyah ini tak payahlah kita nak hidupkan balik. Bukan budaya orang Islam pun,” Pak Usop membuka rahsia sekaligus menasihat.

“Dari pukul 6 setengah, pukul sebelas lebih baru aku dapat bayar. Selesai bayar, sampai kat luar pagar, dekat gerai apam balik motor roda tiga aku, baru aku terperasan tuala yang selalu tersangkut kat leher aku dah hilang. Tuala tu walaupun kotor, hodoh, tetapi ianya bagai bantal busuk bagi aku. Ni yang aku cari terbongkok-bongkok ni. Bukan aku nak potong queue!” kuat betul ayat yang terakhir Pak Usop tekankan. Sengaja nak bagi pemuda berambut biru kembali gelabah.

“Maafkan saya pak cik kerana tersilap sangka. Warna apa tuala pakcik tu?” Pemuda berambut biru meminta maaf sekaligus bertanya.

“Tuala good morning. Nak kata putih, dah kelabu asap dah,” beritahu Pak Usop.

“Pak cik, ni mesti tuala pak cik, saya jumpa tersangkut di cermin naco. Mesti ada orang letak kat situ bila terjumpa,” seorang gadis yang lebih cun daripada gadis cun tadi tiba-tiba datang menghulurkan sehelai tuala good morning kusam kepadanya.

Ucapan terima kasih Pak Usop tersekat di kerongkong apabila matanya terpaku melihat gadis lebih cun bertudung merah yang tiba-tiba muncul itu. Pak Usop ringan merasakan dirinya terbang dibawa ke konsert Malam Amal Palestin Wali Band di Stadium Sultan Muhammad ke IV sempena tahun baru 2011 baru-baru ini.

aku telah lelah

memilih memilih mencari wanita

siapakah dirinya

yang kan menjadi kekasih halalku

tiba-tiba aku terpana

ada kejutan tak terduga

dia gadis berkerudung merah

hatiku tergoda tergugah

tak cuma parasnya yang indah

dia baik dia soleha

Dia gadis berkerudung merah

bawalah diriku padanya

takkan habis ku berdoa

jadi kekasih halalnya

jadikan diriku halal

memeluk halal menciummu

lekaslah jangan tunda

untuk menjadi kekasih halalku

itu itu dia gadis berkerudung merah

hatiku tergoda tergugah

tak cuma parasnya yang indah

dia baik dia soleha

 
“Ada tanda ‘Y’ dengan marker ni. Betulkan, tuala pak cik?” Gadis lebih cun bertudung merah itu bertanya.

“Ya, cik adik. Pak ciklah pemuda ‘Y’ itu. ‘Y’ for Yusuf, nama pak cik,” pengakuan sukarela Pak Usop membuatkan gadis lebih cun bertudung merah, gadis cun dan orang lain termasuk pemuda berambut biru mengekek ketawa.

“Terima kasih semua kerana menemukan aku dengan tuala good morning aku ini. Banyak jasa tuala good morning ini kepada aku. Terlalu banyak DNA aku yang telah terlekat padanya,” kenyataan Pak Usop membuatkan orang ramai ngeri, terutama gadis lebih cun bertudung merah dan gadis cun. Eiiiii..... Menyedari itu, Pak Usop cepat-cepat membuat penjelasan.

“DNA, I mean Darah & Air mata tuan-puan. Keringat dan jerih-perih aku membanting tulang empat kerat menjual apam balik yang kadang-kadang bila hujan tak balik modal,” penerangan Pak Usop melegakan orang ramai.

Pak Usop mula hendak beredar, ke gerai apam baliknya di luar pagar balai polis sudah semestinya. Tiba-tiba dia berhenti, betul-betul di hadapan pemuda berambut biru.

“Kamu kepala biru karat. Buang saja warna biru tu. Buat malu je. Nanti kalau berhadas besar, takut-takut terhalang pula air nak ke rambut. Takkan kamu tak mandi wajib. Tak nak sembahyang. Bukan ada apa-apa yang kamu boleh simpan pun kalau tak mandi wajib. Kalau kamu belum kahwin pun, kita orang lelaki ni kadang-kadang termimpi benda pelik-pelik, kena mandi juga. You know what I mean,” ikhlas nasihat Pak Usop kepada pemuda berambut biru. Nasihat yang jelas dari pengalamannya sebagai seorang lelaki otai.

“Dan cik adik, anda juga dijemput ambil apam balik free dari gerai pak cik nanti ye,” sempat pula Pak Usop berpesan kepada gadis lebih cun yang berkerudung merah.

The End.


Jika anda tergelak, anda kena undi di Kisah Klasik Kita. Kah kah kah.

Friday, February 25, 2011

Pengajian Sastera Jumaat : INTERLOCK

Don't know what I'm doing here
I'll carry on regardless
Got enough money for one more beer
I'll carry on regardless

Good as gold, but stupid as mud
He'll carry on regardless
They'll bleed his heart 'til there's no more blood
But carry on regardless

Carry on with laugh
Carry on with cry
Carry on with brown under moonlit sky
.
Suasana dalam Mahkamah Sesyen Shah Alam hari itu langsung tidak menarik perhatian Velu. Sebaliknya lirik lagu Good as gold (But stupid as mud) dendangan The Beautiful South yang menjadi siulannya dulu-dulu bermain-main di benaknya. Seakan-akan Paul Heaton penyanyi yang berwajah mirip pelawak Robin Williams itu sengaja mahu menambahkan kekusutan minda Velu dengan kata-kata yang membuatkannya meratap mengasihani diri sendiri.

Velu memandang segalanya dalam mahkamah dengan pandangan kosong. Dia tidak berminat untuk mengambil tahu masalah dan kes orang lain. Dia hanya menunggu kesnya dipanggil. Satu penantian yang dirasakan terpanjang dalam hidupnya. Mahu tidak mahu dia terpaksa membatukan diri di galeri awam sambil matanya bagaikan mata ikan kering memandang batang tubuh yang silih berganti keluar-masuk dalam kandang tertuduh di perut mahkamah itu.

Semuanya kerana interlock! Sebelum ini dia tidak kisah dan tidak mahu ambil tahu perihal interlock, walaupun dia cukup arif apa itu interlock. Sudah berpuluh aduan dan sungutan yang diterimanya berkaitan interlock.Tetapi Velu hanya membiarkan sungutan dan aduan itu berlalu pergi begitu sahaja.

Ah! Dua-tiga hari diamlah mereka. Yang penting mereka dapat duit. Bentak hatinya. Keras.

Tapi kali ini interlock betul-betul telah memberikan tekanan kepadanya. Interlock telah membuatkan dia terpaksa hadir ke mahkamah pada hari ini. Siapa mahu hadir di mahkamah untuk dibicarakan? Dibayar sepuluh ribu pun Velu tidak sanggup. Bahkan dia sanggup membayar untuk tidak perlu menghadirkan dirinya ke mahkamah. Tapi nasi sudah menjadi bubur. Sekarang ini, di sinilah Velu terpaksa duduk diam-diam, di galeri awam Mahkamah Sesyen Shah Alam, menunggu kesnya dipanggil dalam keadaan dia tidak mampu berbuat apa-apa selain diam membatu!

Paul Heaton bernyanyi lagi di dalam benaknya. Ah! Diamlah engkau. Jangan cuba nak perdaya aku. Aku bukan mangsa di sini. Sebaliknya akulah pemangsa. Aku yang perlu menginsafi diri. Jangan dendangkan lagi lagu itu. Lagipun The Beautiful South sudah berpecah. Jangan buatkan seolah-olah aku sedang cuba mencari belas kasihan orang lain dengan berlagak sebagai mangsa. Velu berperang hebat seorang diri.

Beberapa malam yang lalu, Velu mengajak kawannya Rais keluar minum. Sebenarnya Velu ingin berkongsi masalah dengan Rais, kawan baik yang paling memahaminya itu. Mereka sama-sama tinggal sebilik semasa menuntut di Universiti Malaya dahulu.

“Takkanlah kerana Interlok kamu kena dakwa di mahkamah?” Tanya Rais lagak terkejut apabila Velu memberitahu tentang saman yang diterimanya.

“Kau tak percaya?” Velu menjawab dengan menyoal balik.

“Ramai lagi orang yang hadir semasa demonstrasi membakar novel Interlok hari itu. Kenapa hanya engkau yang kena? Lagipun engkau hanya pergi ke situ untuk meramaikan orang sahaja. Tanda menyokong,” Rais berkata lagi dengan nada yang cukup tidak puas hati. Sedikit sebanyak sikap mengambil berat Rais terhadapnya membuatkan Velu terasa lapang dan selesa setelah berhari dia menjeruk rasa dengan isu interlock. Tetapi malang, Rais silap faham. Bukan Rais sahaja, ramai sudah orang yang tersilap faham apabila Velu memberitahu mereka tentang kes saman terhadapnya.

“Inilah silapnya demokrasi kita. Tak ada ruang untuk menyatakan pendapat langsung. Kau pun satulah Velu, yang engkau pergi turut serta dalam demonstrasi membakar Interlok hari tu siapa suruh? Biasanya engkau tak minat demo-demo ni. Lagi satu, engkau dah baca ke belum buku Interlok Abdullah Hussain tu?” daripada menyatakan rasa tak puas hati, nada Rais sudah bertukar menjadi semacam membebel pula. Velu rasa lebih baik dia menerangkan hal sebenar kepada Rais sebelum rakannya itu melalut lebih jauh lagi.

“Memang aku belum baca novel Interlok tu. Tapi bukan buku itu isunya”, kuat suara Velu.

“Kalau bukan Interlok, apa isu sebenarnya?” Tanya Rais kehairanan.

“Interlock,” jawab Velu.

“Dei macha.... Apa ni, sekejap Interlok, sekejap bukan Interlok, sekejap Interlok balik. Aku serius ni,” Rais tak sabar lagi dengan cakap Velu yang dirasakan semakin berbelit-belit.

“Bukan novel Interlok, tetapi interlock, interlock pada mesin power press di kilang aku. Sekarang ada faham?” Beritahu Velu sungguh-sungguh.

Velu yakin Rais dapat memahami apa yang dia sedang cuba sampaikan kerana mereka sama-sama belajar kejuruteraan mekanikal dahulu. Lagipun Rais sebagai seorang konsultan mekanikal dan elektrikal semestinya lebih afdal untuk memahami erti interlock daripadanya. Kalau itupun dia tidak faham, kelayakan Rais sebagai konsultan M&E boleh dipertikaikan. Itu fikir Velu.

“Mesin power press engkau tak ada interlock ke?” Tanya Rais terkejut. Sememangnya sebagai seorang jurutera mekanikal dia faham sangat keperluan memasang interlock pada mesin power press. Mengikut The Free Online Dictionary, interlock bermaksud a mechanical device that prevents a component from functioning when another component is functioning or situated in a particular way. Secara umum dan kasarnya interlock ialah suatu peranti yang dipasang pada sesuatu mesin agar ianya dapat memberhentikan operasi mesin tersebut secara otomatik apabila sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan terjadi. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kemalangan daripada berlaku.

“Interlock inilah yang paling penting untuk mesin power press engkau Velu,” kata Rais kesal. Velu akui kebenaran kata-kata Rais.

Kilang yang Velu usahakan adalah kilang mengeluarkan sprocket iaitu gear basikal dan motosikal. Kepingan besi empat segi akan ditukar menjadi bentuk bulat bergigi dengan menggunakan mesin power press. Bentuk bulat bergigi ini dibuat dengan menghentakkan kepingan besi ini tepat dari atas dengan kekuatan beberapa ekor gajah bergantung kepada ketebalan kepingan besi.

Kemalangan yang berlaku adalah kerana semasa hentakan mesin power press ke bawah, tangan pekerja yang mengendali power press masih berada di dalam kawasan hentakan. Sekiranya ini berlaku, alamat putus atau hancurlah tangan pekerja yang malang itu. Dan hari ini Velu berada di mahkamah kerana perkara ini telah berlaku di kilangnya.

“Kes no SA 63-12-2010, PP melawan Vadivelu Sprocket Industries Sdn. Bhd,” suara lantang jurubahasa mahkamah mengejutkan Velu daripada lamunannya. Dengan longlai Velu melangkah ke tepi kandang tertuduh dan berdiri tegak di situ. Perasaannya ketika itu tak terucapkan olehnya. Kalau boleh biarlah semuanya cepat berlalu.

Sebutan kes terhadap Velu dikendalikan oleh seorang pegawai OSHA yang bertindak sebagai pegawai pendakwa di bawah peruntukan Seksyen 377(b) Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan mana-mana pegawai kerajaan yang layak menjalankan pendakwaan di mahkamah.

Pertuduhan dibacakan. Velu telah dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, iaitu gagal memastikan setakat yang praktik keselamatan dan kesihatan pekerjanya semasa mengendalikan mesin power press sehingga menyebabkan kemalangan ke atas Jamil Bin Abdul Hamid.

Velu sungguh-sungguh kesal. Jamil adalah pekerjanya yang paling berkebolehan. Paling setia dan paling rajin. Semasa kilang itu mula-mula dibangunkan oleh Velu tiga belas tahun lalu, Jamil yang banyak membantunya. Jamillah yang bekerja sehingga lewat malam kerana terpaksa menyiapkan tempahan sprocket daripada pelanggan. Kadang-kadang Velu terpaksa berhutang gaji dengan Jamil kerana kesuntukan modal. Memang jasa Jamil telah banyak membantu membangunkan kilang Velu. Sekarang tangan Jamil sudah hancur dilenyek mesin power press. Jamil sudah hilang upaya. Mustahil Jamil dapat bekerja di situ lagi dengan hanya tangan kanan sekerat siku. Rasa bersalah Velu semakin menebal apabila teringatkan anak-anak Jamil yang ramai dan isteri Jamil yang tidak bekerja. Pastinya mereka amat memerlukan tangan kanan Jamil yang telah hancur dibaham mesin power press itu untuk meneruskan kehidupan mereka.

“Adakah kamu faham pertuduhan yang dibacakan?” Tanya jurubahasa mahkamah setelah selesai membacakan pertuduhan.

“Ya,” jawab Velu sambil menganggukkan kepala.

“Adakah kamu mengaku bersalah?” Tanya jurubahasa mahkamah lagi dengan matanya memandang tepat ke dalam mata Velu.

Memang Velu akui dialah yang bersalah. Sebelum ini dia tidak berasa begitu. Setelah apa yang terjadi ke atas Jamil, pekerja yang juga rakan karibnya, barulah dia sedar akan kesalahannya. Sebelum ini bukan power press di kilangnya tidak pernah memakan tangan orang. Seorang pekerja Bangladesh telah putus 2 inci jari telunjuknya setahun lepas. Tetapi Velu berjaya menyembunyikan dan mendiamkan kes tersebut. Pekerja Bangladesh itu dihantar pulang ke negaranya dan diberikan sedikit pampasan untuk menutup mulut. Selepas itu seorang gadis belasan tahun yang sedang menunggu keputusan SPM telah putus 2 jari kanan. Bersusah Velu membiayai kos perubatan gadis itu dan mempengaruhi gadis itu dan keluarganya supaya tidak melaporkan kemalangan itu ke pejabat OSHA. Jika dilaporkan juga, gadis itu yang akan mendapat susah kerana dia yang bekerja secara cuai dan tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak kilang. Itu kata-kata amaran Velu kepada gadis itu dan keluarganya yang tinggal melarat di sebuah estet. Memang senang memperdayakan orang miskin dan tidak berpelajaran. Apatah lagi bila dihulurkan kepada mereka sejumlah wang. Sekarang apabila memikirkan perkara itu, Velu ingin sahaja menyumpah dirinya sendiri.

“Adakah kamu mengaku salah?” Suara jurubahasa mahkamah lebih lantang kali ini apabila Velu diam membisu.

Velu mengangguk.

“Ya. Saya mengaku,” itu sahaja yang Velu termampu ucapkan. Matanya memandang tepat ke lantai kerana dia tidak sanggup melihat sesiapa lagi ketika ini.

Fakta kes dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan Velu mengangguk mengakui fakta yang dibacakan. Hasratnya Cuma satu, biarlah semuanya berakhir dengan cepat.

“Apa rayuan kamu?” Suara parau Tuan Hakim menembus tepat ke jantung Velu.

Semalam Velu sudah menghafal beberapa skrip rayuan untuk mengurangkan hukuman di hadapan hakim. Tetapi hari ini semuanya hilang. Velu yang petah bercakap dan selalu menang berbahas di kedai kopi hari ini sedang bersusah payah menyusun ayat untuk menyelamatkan diri di hadapan seorang hakim mahkamah sesyen.

“Errr...Minta dikurangkan denda tuan. Bisnes kurang baik, saya pun dah insaf tuan,” itu sahaja yang mampu Velu keluarkan dari kerongkongnya.

Giliran pegawai pendakwa pula bangun membuat hujahan. Habis diungkitkan oleh pegawai berkaca mata itu tentang kemalangan-kemalangan lalu yang telah terjadi di kilang Velu dengan dikemukakan dokumen-dokumen pembuktian yang tidak dapat disangkal lagi. Kedegilan Velu untuk menurut arahan pegawai OSHA juga dibuktikan dengan notis-notis yang telah dikeluarkan oleh pegawai OSHA semasa pemeriksaan kilang yang tidak pernah diendahkan oleh Velu selama ini. Velu mencuba sepositif mungkin untuk mendengar hujah pendakwa muda yang sedang membalunnya kerana dia akui semuanya benar belaka.

“Pihak pendakwa memohon mahkamah yang mulia ini menjatuhkan hukuman yang seadil-adilnya kepada Orang Kena Saman,” pegawai pendakwa menutup hujahnya dengan yakin.

Velu berasa amat kecewa dan malu dengan dirinya sendiri sekarang. Bukan setakat dia telah gagal memastikan keselamatan penggunaan mesin power press, bahkan dialah yang telah mengarahkan agar power press di kilangnya diubahsuai.

Sebenarnya power press yang dibeli oleh Velu kebanyakannya telah tersedia dengan ciri-ciri keselamatan. Ada yang menggunakan two-hand button dan ada yang menggunakan laser beam sebagai pengadang. Tetapi sistem keselamatan ini sengaja dipintas atau di’by-pass’ oleh Velu agar produktiviti kilangnya bertambah. Bukankah fahaman umum bahawa keselamatan itu menyusahkan dan membuang masa?

Sistem pengadang two-hand button memastikan hanya dengan menekan kedua-dua butang, di kiri dan di kanan, barulah power press dapat berfungsi. Butang yang diletakkan di kiri dan kanan dengan jarak lebih kurang setengah depa antara satu sama lain akan memastikan bahawa semasa bahagian atas power press menghentak kebawah, tangan operator yang mengendalikan power press akan sentiasa berada di luar kawasan kerja power press, iaitu di butang kiri dan kanan. Oleh itu, tiada kemungkinan tangan operator akan dihempap oleh mesin itu.

Sistem pengadang laser beam pula menggunakan cahaya laser sebagai pagar di bahagian hentakan power press. Jika garisan cahaya laser ini terganggu atau terputus, power press akan berhenti secara otomatik. Oleh itu, tangan operator mestilah sentiasa berada diluar kawasan hentakan agar tidak mengganggu garisan cahaya laser bagi memastikan power press dapat beroperasi.

Inilah interlocking system yang perlu ada pada sesuatu mesin power press yang diabaikan oleh Velu selama ini. Kerana mahu mengejar masa dan mementingkan keuntungan, Velu telah mengenepikan interlock yang amat diperlukan dalam operasi di kilangnya dan hari ini adalah hari pengajaran kepadanya. Biarlah lambat, asalkan selamat.

Di luar mahkamah, Velu menjabat tangan pegawai pendakwa erat-erat sambil menuturkan kata-kata terima kasih. Pegawai pendakwa membetulkan kaca matanya sambil tangan kirinya digenggam dan dirapatkan kedadanya lalu berkata seakan berfalsafah.

“Mr. Velu, interlock tidak boleh di’by-pass’, barulah kita selamat dan tenang. Begitu juga hati kita.... Hati inilah interlock kepada tindakan seharian kita.”

Velu rasa dia faham kata-kata itu lalu mengejapkan lagi genggaman salamnya.

Sekian.
 
Sebelum pi sembahyang Jumaat, pi undi dulu jika suka.
Jika tak suka jom, bakaarrrr.....

Friday, February 18, 2011

Siapa Bakar Dia Bodoh

Ke sini untuk baca

Good as gold, but stupid as mud
He'll carry on regardless
They'll bleed his heart 'til there's no more blood
But carry on regardless


Carry on with laugh
Carry on with cry
Carry on with brown under moonlit sky


Tak cukupkah Interlok Seniman Negara yang telah mengundang kontroversi ?
Apakah ianya bakal menjadi isu besar di Merlimau dan Kerdau nanti ?

Anda sendiri yang terlebih afdal menilai sebelum Shafei Afdal menilainya untuk anda.
Sila ke Kisah Klasik Kita sebelum Shafei membacanya.

UNDI jika suka. Jika tak suka, tulis saja Kah Kah Kah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...