Ketika di ketinggian 44,000 kaki di atas aras laut dengan kelajuan hampir 900 km/j, tiba-tiba aku teringat kepada kipas plastik lipat Salsabila.
.
"Abah bawaklah kipas ni. Nanti kalau tak ada elektrik, abah boleh guna".
.
Semasa aku menghantar Salsa ke sekolah (Salsa bersekolah petang), sekali lagi Salsa memberitahuku,
.
"Abah ambik la kipas kakak, kalau tak ada elektrik, abah tak panas nanti. Kakak boleh guna kipas Yong".
.
Macam mana aku boleh terlupa untuk memasukkan kipas lipat tu ke dalam beg. Airbus 330-300 ini tak akan berpatah balik walaupun apajua yang aku tertinggal. Apalagi kipas plastik lipat kecil yang mungkin tiada nilai di mata orang lain.
Entah... Aku kerap jadi pelupa kebelakangan ini.
Sebelum berangkat tadi di lapangan terbang, aku sempat menalipon kawan. Tahniah! Nizar MB Perak......!
Ye ke? Perkara besar itupun aku terlupa, keputusannya hari ini.
Jumaat lepas pun aku terlupa untuk mengambil balik passport dari konsulat Jepun kerana memohon visa, sehinggalah pagi tadi baru aku mengambilnya. Sedangkan penerbanganku hari ini.
Maafkan abah Salsa sayang... Abah terlupa.