Wednesday, August 31, 2011

Sajak Dimuatnaikkan Semula Sempena Merdeka

Klik sini untuk ceritanya. AlFatihah untuk pahlawan kita. Polis yang jaga tu Melayu ke?
Di atas Jambatan Sultan Yahya Petra yang jem
aku memandang arus sungai yang mewarnai skyline Kota Bharu
sambil bertanya kepada Tok Janggut

Di atas Jambatan Sultan Mahmud yang gah
aku memandang pondok tol yang ditutup Hj. Hadi
sambil bertanya kepada Haji Abdul Rahman Limbong

Di atas flyover ke Ayer Keroh di Melaka
aku menyampah melihat billboard bermuka Ali Rustam
sambil bertanya kepada Dol Said

Di atas jambatan di Ranau setelah kepenatan memandu dari Tawau
aku berhajat singgah di kedai sup gadis Dusun bertudung yang cantik
sambil bertanya kepada Pahlawan Mat Salleh

Di tepi Sungai Sarawak dikala mencari gambir
aku asyik terkenangkan isterinya dan Taib Mahmud
sambil bertanya kepada Rosli Dhoby

Di atas Jambatan Sayong di Kuala Kangsar
aku membandingkan Zambry dan Nizar
sambil bertanya kepada Dato' Maharaja Lela

Di kala atas jambatan merentasi Sungai Rompin
aku cuba sedaya melupakan si Jarjis di New York
sambil bertanya kepada Datok bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau

Dikala makan lemang sambil merenung cerita "Bukit Kepong" di TV
aku terkenangkan Mat Sabu dan Jins Samsudin
sambil bertanya kepada Mat Indera

Benarkah kata mereka kita merdeka di meja rundingan tanpa setitis darah?
Kalaulah Mat Indera ada blog!

Monday, August 29, 2011

Mat Indera

Mat Indera T-Team
Aku, sebelum ini kalau disebut Indera, hanya Indera Putra Mahyuddin yang aku tahu. Hari ni, bila semua dok henyak Mat Sabu, baru aku tahu sedikit siapa itu Mat Indera.

Cuma timbul satu persoalan dalam kepala aku.

Kenapa kalau orang lawan British, semua dikatakan ada ilmu kebal, tak lut, boleh ghaib, boleh 'ngupo' etc etc.???

Tak percaya cuba baca pasal Mat Indera, Tok Janggut, Mat Kilau, Paduka Mat Saleh, Rashid Maidin dll.

Sunday, August 28, 2011

Sabar Di Jalan Raya

Sama-sama bersabar dan bertimbang rasa di jalan raya. Masjid Seberang Jerteh, Besut


Saturday, August 27, 2011

Catatan Perantau Di Kota Kinabalu Yang Tak Balik Raya Puasa Di Kampung Tahun 2009

Salsa ada ujian Pendidikan Seni. Tajuk-tajuk telah diberikan terlebih awal oleh cikgu.

Semasa mengambilnya pulang dari sekolah dia memberitahuku yang dia bercadang nak buat 'kad ucapan' dalam ujian tersebut.

"Molek la tu. Buat kad raya," aku cadangkan pada Salsa. "Tengok tu, macam di papan tanda tu," aku menunjukkan gambar di billboard gergasi yang tertera ucapan selamat puasa dengan gambar Ketua Menteri Musa Aman di sebelah ketupat dan dacing.

"Kakak boleh lukis ketupat, pelita,..... Macam di papan tanda tu," cadangku lagi.

"Boleh lukis tebu......" Tambah Salsa.

"Hoit.... Mana ada tebu pada hari raya. Orang Hindu je yang guna tebu...." Bantahku.

Ting! ......Terlintas sesuatu di fikiranku.

"Kakak....Tu bukan tebu lah, itu LEMANG bahhhh......"

"Mana kakak tau......." Jawabnya sambil gelak kecil.

Nak kata aku dah lama tak balik raya di kampung tak juga. Walaupun tak dapat balik Raya Puasa, kami tak miss balik Raya Haji kerana kebetulan anak-anak cuti sekolah hujung tahun.

Friday, August 26, 2011

Selipar Jepun Aku Masih Elok Lagi, Dia Dah 3 kali Tukar

CPR SPR Sucks
Aku ke Jepun pada pertengahan 2009.

Masa tu PM Jepun, Taro Aso.

Bila aku pulang ke tanah air, Umno Barisan Nasional Jepun kalah dan Pakatan Rakyat Jepun mengambil alih, lalu Yukio Hatoyama dari parti PKR Jepun dilantik sebagai PM baru.

Baru sembilan bulan, Hatoyama terpaksa meletak jawatan PM kerana janji pilihanraya berkaitan penempatan askar US di Okinawa. Beliau digantikan oleh Naoto Kan yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa itu.

Sekarang, Naoto Kan pula letak jawatan. Siapa ganti? Aku tak tahu lagi.

Di Jepun, PM mereka bertukar lebih kerap daripada aku menukar selipar jepun atau berus gigi systema.

dah dah...azan dah.... mana kurma?

Thursday, August 25, 2011

Aku Suka Ini, Namun Aku Lebih Suka Itu

2007, masih berulang-alik KB-KK-KB

Aku suka bila ada yang berkata,

"Jagailah bumi ini untuk diwarisi oleh anak-cucu kita"

Tetapi aku lebih suka kepada yang berkata,

"Jagailah bumi ini yang kita pinjam daripada anak-cucu kita"

Aku juga suka bila ada yang mengingatkan,

"Sayangilah anak-anak kita, kerana merekalah pewaris generasi kita"

Tetapi sebetulnya, aku terlebih suka kepada yang mengingatkan,

"Sayangilah anak-anak kita, kerana merekalah masa silam kita"

..... Dan sambungannya membuatkan aku terlebih-lebih suka (terharu sebenarnya),

".... Hormatilah orang tua, kerana merekalah hari depan kita"

Tuesday, August 23, 2011

Pengorbanan

Sama-sama ceriakan Ramadhan dan Syawal mereka & anak-anak mereka

Monday, August 22, 2011

'Seorang Tua Di Kaki Gunung' Telah Pergi

Kelmarin aku bercerita pasal anak kucing yang dibuang. Dipisahkan dari ibunya kerana ia pasti beribu. Hari ini aku membaca berita pemergian Tukya atau penulis prolifik Azizi Haji Abdullah.

Aku mula-mula mengenali Azizi Haji Abdullah melalui cerpen 'Kucing' nya yang kalau tak silap dibukukan di dalam antologi 'Cerita Seorang Seniman'.

Ceritanya berkaitan seorang bapa yang miskin, yang tidak dapat tidur semalaman kerana memikirkan tentang bagaimana dia mahu menghadapi hari esok.
.
Bapa ini ada isteri dan anak-anak yang yang perlu ditanggung makan pakai. Sekarang musim hujan dan isterinya baru bersalin lagi. Apa yang difikirkan adalah janjinya untuk menyerahkan anaknya yang baru lahir kepada sepasang suami-isteri yang tidak punya anak.

Dia bersetuju dengan cadangan itu kerana memikirkan kecukupan untuk mulut-mulut yang perlu disuapi dan juga memikirkan anaknya yang baru lahir bakal menempuh hidup yang jauh lebih baik jika dia sanggup menyerahkannya kepada pasangan yang berkali-kali merayu kepadanya itu.

Semasa otaknya ligat berputar dengan hujan lebat kedengaran memukul atap, dia melihat ibu kucingnya yang asyik mengiau dan mundar-mandir di dalam rumah. Sekejap ke lantai, sekejap naik ke atas alang. Kenapa? 

Lantas dia teringat kepada anak-anak kucing yang dibuangnya petang tadi. Kucing itu mengajarnya, jika ibu kucing pun meroyan separuh mati mencari anak, apalagi isteri dan anak-anaknya yang lain nanti apabila 'baby' kecil itu diserahkan kepada orang lain.

Lantas dia bertekad membatalkan perjanjian menyerahkan anak bayinya apabila hari cerah nanti.

Itulah kisah 'Kucing' Azizi Hj. Abdullah yang aku ingat-ingat lupa.

Penulis hebat yang juga seorang cikgu ini telah pergi menemui Allah di Ramadhan yang mulia ini kelmarin, 7.30 pagi di Hospital Besar Pulau Pinang. Semoga Allah mencucuri rahmat dan mengampunkan dosanya. Amiiin.

Al-Fatihah.

Sunday, August 21, 2011

Misteri Nusantara

Sedang aku dan abang rancak berbual di muka pintu kedainya, kami melihat seorang sedang membawa suatu bungkusan.

“Apa abe Aziz tengah buat tu?” Abang tertanya-tanya. Pelik dengan tingkah laku abe Aziz barangkali.

Kami terus memerhati.

Meow. Meow. Meow.

“Laaa... Dia buang kucing di sini rupanya,” kata abang.

Kucing tu pada pandangan aku masih bayi. Masih dalam empat puluh. Berjalan pun masih tergangkang.

“Tak patut!” Komen aku, macam komen dalam blog sahaja.

Aku melihat abang. Dia melihat aku. I think, he is thinking what I am thinking. Suasana menjadi terang-benderang. Ada mentol menyala di atas kepala kami. Lantas kami gelak lagak lanun yang baru selesai menanam harta.

Malam itu, selepas soter (solat terawih) kami memulakan ‘operasi’. Abang mencepong anak kucing sementara aku memandu kereta menghala ke rumah Abe Aziz. Penuh berhati-hati, abang letakkan anak kucing di atas tangga batu rumah Abe Aziz. Setelah operasi selesai, kami singgah kedai makan, pekena colek kerang.

*****

Abe Aziz membuka pintu rumah untuk memulakan hari yang ceria.

Meow. Meow. Meow.

“Eh!” Abe Aziz terkesima sekejap.

“Bukankah abe dah buang kucing tu kemarin?” Isteri abe Aziz bertanya (Kelmarin = semalam).

“Ya... Macam mana dia boleh balik?” Abe Aziz masih terpana dengan keajaiban yang berlaku di depan matanya.

“Kakak baca dalam buku, kucing ni pandai cari jalan balik rumah, ayah. Dia boleh cam rumah tuan dia,” anak abe Aziz yang sedang mengikat tali kasut menyampuk.

Abe Aziz dan isterinya termenung. Rupanya benar kata orang bahawa kucing pandai mencari jalan balik ke rumah walau jauh macammanapun kita buang mereka.  Kalau anak kucing kecik dalam empat puluh yang masih jalan terngangkang pun pandai balik, apalagi kucing yang sudah reti menangkap tikus!

Biarkan hidup mereka diselubungi misteri.

*** Kisah ini hanya benar setakat bahagian orang buang kucing sahaja. Lain-lain hanyalah impian penulis yang tak kesampaian.

Saturday, August 20, 2011

Bulan Puasa Ni... Jaga Mulut Tu Sikit Brader

Woi... Tak baik la panggil orang macam tu

Walaupun Kelantanese sebut Gambang tu Gambe, gampang tak pula disebut gampe... Bidaah ni...

Thursday, August 18, 2011

Macam-Macam Orang Kita

"Jom Param...."

"Param?"

"Pasar Ramadhanlah"

"Oooooo...."

"Hang soter mana malam ni?"

"Soter???"

"Solat terawih lah"

"Ooooo"

Monday, August 15, 2011

Siapa Order Biskut Almond London Kena Tambah RM5

Ketupat sutong
Sesiapa yang order biskut raya dengan gua, sila ambik perhatian.

Harga maintain untuk komoditi lain selain biskut Almond London.

Biskut Almond London kena tambah RM5 ye.

Harap memahami.

Kenapa?

Supply susah dapat, barang naik harga sebab di London sana sedang bergelojak.

Saturday, August 13, 2011

Sleepless In London

Marble Arch, pintu masuk ke Hyde Park
Dingin Hyde Park mencengkam hingga ke tulang hitam. Malam itu aku mengalami definisi sebenar ‘sejuk hingga ke tulang sum-sum’ yang selalu aku baca dalam cerpen dan novel. Kedinginan musim  yang minus beberapa degree membuatkan mata aku tidak dapat dilelapkan walau sepicing cuma. Aku mengorek isi beg sandang yang aku jadikan bantal. Aku keluarkan kain pelikat untuk menambah tebal jaket jeans yang menutupi tubuhku.

Aku kepenatan. Begitu juga kawan aku, Apip. Seharian kami berjalan di sekitar kota London. Pagi tadi, sampai sahaja di Victoria Station dari Bath, kami teruskan perjalanan dengan menaiki koc underground untuk mencari Malaysia Hall. Keluar daripada stesen undeground di Marble Arch, kami nampak satu arch yang besar.

“Area sinilah Malaysia Hall, Apip. Kita ronda je, jumpalah tu,” kata aku kepada Apip. Aku pernah di bawa ke Malaysia Hall kurang sebulan yang lalu semasa mula-mula mendarat di Heathrow dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Arch inilah yang aku ingat sebelum kereta pegawai MARA menurunkan aku di Malaysia Hall. Lalu aku dan Apip meneruskan pencarian kami untuk ke Malaysia Hall. Aku ada temujanji di situ hari ini.

“Hari Sabtu terakhir bulan ini, kita jumpa di Malaysia Hall,” itu kata-kata Ze kepada aku sebelum dia bertolak ke Liverpool dengan beberapa senior yang telah sedia menunggu di Heathrow.  Dan, hari ini, Sabtu terakhir Ogos 1992, aku mengajak Apip yang baru aku kenal di University of Bath untuk menemani aku menemui Ze di Malaysia Hall, London.

Kami berjalan ke arah Marble Arch, melintasi bawahnya yang membawa kami terus ke Hyde Park. Taman besar yang tersohor di kota London.

“Pip, kita cari Speaker’s Corner, aku nak bagi tazkirah kat mat salih ni sikit, haha, “ aku berlelucon. Speaker’s corner menjadi tumpuan ramai orang. Cakaplah apa saja yang kita mahu di sana, macam dalam blog juga. Siapa kisah? Nak dengar sudah, tak nak dengar boleh blah. Jangan kutuk agama orang lain dan Queen sudah!

Habis ceruk Hyde Park yang luas itu kami jajat, sehingga menemukan kami dengan Buckingham Palace yang dikawal rapi oleh Queen’s guard yang bagi aku kelihatan amat lucu. Aku hanya mampu terpaku merenung istana bersejarah itu, sambil bernyanyi di dalam hati.

Pussy cat, pussy cat, where have you been
I’ve been up to London to look at the Queen
Pussy cat, pussy cat, what are you there
I frightened a little mouse under her chair

Setelah letih berjalan dan bertanya, akhirnya kami mengambil langkah bijak. Kami naik sahaja the popular London black cab.

“Bryanston Square, please. Malaysia Hall.”

Wosshhh. Bagaikan jin Aladdin, buka mata je terus kami berada di Malaysia Hall. Ha ha... Dah letih, terlena la sekejap kot. Tapi aku sebenarnya ralit memerhatikan senibina dan suasana London.

Di Malaysia Hall, kami terus ke restoran di basement floor. Melepas rindu dendam kepada makanan Malaysia. Habis makan, kami naik ke surau untuk melunaskan hutang kami dengan Tuhan. Zohor dan Asar serentak, itu kemudahan yang Tuhan kami bagi. Terima kasih Tuhanku. 

Selesai solat, aku dan Apip melepak di sekitar Malaysia Hall sambil mata aku melilau mencari kelibat Ze yang berjanji dengan aku untuk bertemu pada hari ini, di sini. 

Setelah yakin Ze tidak datang, apalagi memikirkan Liverpool begitu jauh di utara berbanding Bath yang hanya 2 jam naik keretapi dari London, aku dan Apip membuat keputusan untuk meneruskan sesi sight-seeing kami dengan berjalan kaki.

Sampai ke malam kami berjalan. Habis sepanjang Oxford Street kami susuri. Di sini rupanya tempat mak datin kampung aku bershopping, getus hati kecilku.  Big Ben (Bukan Ben 10!), Tarafalgar Square dan banyak lagi tempat (lupa la) aku dan Apip pergi. Semuanya dengan berjalan kaki. Sehingga kaki kami memprotes dah tak larat nak berjalan.

Malam sudah banyak. Kami mudik Oxford Street untuk ke Malaysia Hall. Sampai di Edgeware Road, kami pusing ke kanan mencari Bryanston Square. Di kiri bertentangan Edgeware Road, tersergam Marble Arch dan Hyde Park yang telah kami jelajah sepagi tadi.

“Fully booked la encik. Sori,” kata brader di kaunter Malaysia Hall. Sebelum pergi, kami sekali lagi ke surau di tingkat atas. Kali ini Maghrib dan Isyak juga dibayar serentak.

Dua-tiga B&B (Bed & Breakfast) yang kami masuk semuanya fully booked. Yang lain, dari jauh sudah kelihatan lampu neon memberitahu ‘no vacancy’. Adesshh... Mana mau tidur ini malam?

Kami nampak Brunei Hall dan mengambil keputusan mencuba nasib. Maklumlah serumpun, seagama, takkan tak boleh tolong.

“We do have vacancy but sorry sir, for Bruneian only!”

Kami menduga simpatinya dengan memberitahu kebanyakan B&B sudah tiada kokosongan. Malaysia Hall pun penuh. Mana tahu ada simpati terpencar di hatinya.

“I am sorry. Keep looking. Good luck.”

Aduii...  Terasa macam Bangla di Kuala Terengganu la pulak diri ini. Tak apa, mungkin polisinya begitu. Kami habiskan sepanjang malam berjalan tanpa arah tujuan yang jelas. Di sepanjang perjalanan, kelihatan mat salih ramai yang bertopeng pelik-pelik.

“Pip, malam ni malam apa daa?” Lagak Ajis dalam filem Bujang Lapok aku bertanya Apip yang tak habis-habis mengepah rokok gulungnya. Maklumlah sejuk sangat.

“Halloween la .... Patutlah depa pakai macam hantu je."

Akhirnya bangku Hyde Park inilah yang menjadi alas tempat berehat kami. Nak tidur tak lena. Angin musim luruh yang kerap bertiup, menambahkan kebekuan setiap anggota tubuh aku. Aku lihat jam, 2.00 am. Tidurlah mata, tidurlah mata, tidurlah mata...Zzzzzzz....

Tiba-tiba aku terjaga, mungkin dek kesejukan. Berjaya juga aku terlena akhirnya. Aku lihat jam, 2.15 am. Erghh... 15 minit je. Aku tak tahu Apip berjaya tidur atau tidak. Aku lihat budak Kedah itu mengerekot kesejukan di dalam jaket kulit hitamnya. Aku hanya terkebil-kebil memerhati sekeliling. Aneh betul. Pengunjung Hyde Park tak pernah putus. Ada saja orang yang berjalan atau berjogging melintasi kami walaupun pada waktu-waktu pagi sebegini.

Tepat jam lima, Apip mengajak aku ke Malaysia Hall. Selepas sembahyang Subuh, kami rehat lama di surau sebelum meninggalkan kota London, kota unik yang penuh nostalgia.

“Apa la depa ni, looting sana, mugging sini, kata je civilized...” Komen seorang rakan baru-baru ini.

“Beberapa orang saja tu. Setahu aku kebanyakan mereka nice people, good samaritans.....”

Reaksi aku itu bukan untuk mempertahankan bangsa penjajah ini, tetapi just to be fair to them kerana di bulan Ogos seperti hari ini, 19 tahun yang lalu, aku boleh dan mampu bermalam di Hyde Park, London tanpa sebarang gangguan daripada siapa-siapa kecuali kedinginan yang amat.

Friday, August 12, 2011

Ikut Nafsu Masing-Masing

Sayang sekali
Hidup ini penuh dengan managers, leaders, motivators, teachers, preachers, directors, manipulators, liars, suckers, retards, bastards dan macam-macam. Apa yang perlu kita buat adalah berhati-hati dan memilih dengan cermat.

Bila berlaku riot di London misalnya, macam-macam statement yang keluar daripada macam-macam orang yang ada macam-macam pangkat dan macam-macam kuasa. Semuanya ikut kecenderungan dan napsu masing-masing.

Napsu 1:
"Sebab itulah di tempat kita, kita cegah awal-awal. Kita tangkap, kita tak bagi berhimpun, inilah akibatnya. Sekarang semua orang boleh tengok."

Napsu 2:
"Itulah pihak berkuasa jangan sewenang-wenang tembak orang. Bila rakyat dah bangkit, marah. Macam ni la jadinya."

Napsu 3:
"Rakyat yang dah lama tertindas dengan sistem tunggu masa untuk meletup. Sekarang dah meletup."

Napsu 4:
"Kata je maju, bertamadun. Ini looting, mugging sana-sini, banyaklah mereka punya bangsa bertamadun."
Tempat kita tak ada riot pun...

Napsu 5:
"Ini ada unsur-unsur perkauman. Asian dah jadi target di sesetengah tempat."
.
Napsu 6:
"Queen mana... Queen? "

Napsu 7:
"PM patut letak jawatan!"
.
Tak berNapsu:
"Biometrik dapat selesaikan ni...."

Kita pun ada nafsu dan kecenderungan sendiri. Nilailah sendiri. Chow....

Thursday, August 11, 2011

Bersabarlah Asyraf Haziq

Tolong ada makna
Peristiwa yang menimpa pelajar kita di London amat sedih untuk difikirkan. Apalagi menontonnya di Youtube. Aku dapat merasakan perasaan dalam keadaan 'alone' dikelilingi orang asing sewaktu berada di dalam kesusahan.

Hakikat bahawa Asyraf Haziq sedang berpuasa semasa diperlakukan begitu membuatkan aku terus kagum dengan pemuda ini.

Selamat berpuasa adik Asyraf Haziq.

Wednesday, August 10, 2011

Penyokong Chelsea ... Ooppss Crystal Palace Kena Penendang

Masa ni Chelsea masih sucks
Kami sedang menunggu Dr. Longmore memulakan lecture. Dewan kuliah 4 East 3.2 sudah penuh. Dr. Longmore berhidung panjang masih belum berbicara, matanya meliar sambil tersenyum kepada semula pelajar.


Tiba-tiba pintu dewan terbuka. Kelihatan Eric, budak cina Hong Kong baru masuk. Memang sejak dari first year, dia selalu lambat. Rosewan yang berada di sebelahku memanggil Eric sambil melambai,


"Woi ERIC CANTONESE......here, here...."


Kahkahkah...... Macam-macam la hang Rosewan. Seminggu-dua lepas, ERIC CANTONA, si panas baran ayam tambatan Manchester United baru aje flying kick penyokong Chelsea Crystal Palace semasa dalam perjalanan keluar padang setelah mendapat kad merah.


Eric Cantonese.....Kahkahkah

Monday, August 8, 2011

Contest Aku Berpuisi - Mereka Bertanya Tentang LYNAS

Klik untuk ke laman Kontest Aku Berpuisi

Aku sendiri menyaksikan dari dekat
Sebuah kilang diruntuh dan di kerat-kerat
Bukan dek kesumat atau khianat
Tetapi ancaman kesejahteraan umat

Bukit Merah menjadi saksi
Kilang tempat mencari rezeki
Rupanya menjadi perosak generasi
Masa depan anak-anak dibayangi radiasi

Asian Rare Earth akhirnya tersungkur
Setelah puas marhaen menggempur
Dari Mahkamah Ipoh mara terus ke Kuala Lumpur
Barulah si rakus  menunduk akur

RM60 juta belanja hangus
Bukan untuk membina, tetapi melupus
Setiap cebisan cermat diurus
Di Banjaran Kledang dikuburkan terus

Projek di Gebeng aku tak daya membantah
Tetapi orang kita bukan mudah lupa sejarah
Mereka tahu peritnya mengubat berbanding mencegah
Sudah serik ke lubang yang mereka pernah rebah

Aku bukan sengaja nak kepoh
Sememangnya aku pernah tinggal di Ipoh
Jadi, apabila mereka tanya tentang Lynas
Itulah cerita yang aku terlintas

Mangsa tag:
  1. CikguNae
  2. CikguAsal
  3. CikguGhost

Sunday, August 7, 2011

Kalau Cinta Jangan Kacau, Kalau Sayang Tak Perlu Marah, Kalau Ikhlas...

Kalau ikhlas, tak payahlah nak pertikai pengemis atau peminta sedekah yang kita dah bagi seringgit tadi betul-betul miskin atau betul-betul cacat. Dah bagi tu sudahlah, dia dengan Tuhanlah. Apalagi kalau kita tak bagi apa-apa. Dia bukan menipu juta-juta dengan bayaran komisyen itu-ini.

Senang cakap, 'ikhlas' ni mengikut kawan aku Ustaz Adam seperti kita makan. Makan mee ke, makan nasik ke, makan Kenny Rogers ke, kita tak pernah pertikai bentuk atau rupa najis yang kita buang! Redha je la!

Kelebihan Berdoa di Bulan Ramadhan

Salsa dulu-dulu
"Ustaz kata doa kita di bulan puasa cepat dimakbulkan Allah", Salsa berbicara di dalam kereta, semasa aku mengambilnya dari sekolah.

Aku tetap menumpukan perhatian pada jalan raya. Hari ini hujan sejak daripada subuh lagi. Sekejap lebat, sekejap renyai.

Salsa menyambung,

"Pagi tadi kakak bangun, dapat tengok Digimon. Seronoknya!"

Memang pagi tadi Salsa tidak ke sekolah agama. Aku biarkan saja dia tidur. Lagipun hujan lebat masa tu. Nanti takut demam pulak bila kena hujan. Salsa bersekolah pagi dan petang. Pagi, Sekolah Agama Masjid Negeri Sabah, petang pula, Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru.

"Doa kakak termakbul abah...." Sambung Salsa lagi.

Eh! Aku tersentak.

"Apa yang kakak doa?" Soalku dengan riak kepelikan.

"Masa sembahyang Maghrib, kakak doa nak tengok Digimon. Allah makbulkan, betul kata Ustaz, doa di bulan puasa, Allah kabulkan" Salsa berkata gembira sambil gelak-gelak kecil, menampakkan gusi depannya yang rongak.

"Ada ke berdoa benda macam tu....." Protes aku.

Salsa terus gelak gembira.

"Ketawa la abah. Kelakar kan....."Kata Salsa lagi.

"Abah tak tahu nak ketawa ke nak menangis....."Jawabku jujur.
 
Itu cerita dulu, di Sabah. Sekarang Salsa dah besar, dah tahu apa yang patut didoakan.

Saturday, August 6, 2011

Bagaimana Rasanya Air Tuak

Gambar hiasan
Semasa outstation di Bintulu dulu, aku terpaksa menerima ajakan seseorang untuk makan malam. Sambil berborak banyak perkara penting dan remeh yang diperbualkan.

"Eh! Kat Kelantan, air tuak tu nira kelapa ye?" Tanya A sambil memandang aku. Aku angguk.
.
"I pernah ke sana, pernah cuba. I tak suka lah," jawab kawannya, B. Aku diam saja. Aku pun bukan penggemar tegar air tuak sangat.

"Bagaimana rasanya?" Tanya A.


"Macam ni," Jawab B,"you ambil kain buruk, you lap lantai, kemudian perah. Itulah rasa airnya."

Memang kurang ajar. Tapi aku diam je. Cilakak.

Wednesday, August 3, 2011

Apex Yang Aku Kenal

Apek & Sifu. Dua-dua I follow
  1. Apex pertama yang aku kenal ialah budak kampung aku, Juki Apek. Dia lebih tua daripada aku beberapa tahun. Kenapa dia dipanggil Apek, aku tak tahu. Nak kata macam cina, tak adalah obvious sangat. DNA Melayunya lebih dominan. Di sekolah dia biasa-biasa saja dan setahu aku reputasinya agak notorious. Pencapaian terbaiknya ialah, tup-tup menang PRU11 2004 mengalahkan calon terbaik PAS di kubu terkuat PAS yang tak pernah terkalahkan sebelum ini semasa projek grand design bapak-menantu super clean sedang menjadi-jadi.
  2. Apek kedua yang aku kenal ialah  budak Wakaf Bharu,  semasa kami sama-sama belajar di MARA KB. Roslan atau Sle memang putih seppok mengalahkan awek sehingga melayakkannya dipanggil apex atau slepex. Sekarang dia orang kuat sektor kewangan di Ipoh.
  3. Apex ketiga yang aku kenal ialah seorang welder semasa aku menjadi muhandis projek buat kilang padi di Tasik Berangan, Pasir Mas, tahun 1997. Apex ni tak putih sangat sebab selalu kerja tengah panas. Orangnya peramah, muka memang macam cina, kalau dia tak puasa memang tak akan kena tangkap punya. Memang dia tak puasa pun aku lihat, tapi mungkin kerana penat kerjanya yang heavy duty. Nanti dia gantilah tu.
  4. Apex keempat yang aku kenal memang popular, tetapi tak ada rupa cina langsung. Macam India adalah. Saiful Apek Senario yang bagi aku tak lah lawak sangat tetapi berjaya. Aku agak dia dipanggil apek kerana karektornya sebagai seorang apek semasa menyertai Sinaran Passport Kegemilangan TV3 dulu. Kalau tak silap karektor hantu cina kumpulan Pang Yau.
  5. Apex kelima yang aku kenal ini aku minat habis. Tak lain tak bukan ialah hero The Red Warrior dan Superhero Harimau Malaya semasa melawan Singapore baru-baru ini. Dia memang goalkeeper yang hebat dan terbaik. Sehari-dua ini, geger berita dia putus tunang. Tak ada jodoh, kata aku. Tetapi melihat umurnya yang baru 22 tahun, memang belum sesuai untuk memikirkan pasal berumahtangga bagi seorang lelaki. Apalagi bagi seorang player sepertinya... I mean football player la!
  6. Apex lain yang aku kenal...Memang semuanya betul-betul cina.

Tuesday, August 2, 2011

Antara Patriot dan Idiot

Gambar hiasan
Apakah skala ukuran sebenar sebuah patriotisma?

Patriotik kah kita dengan semata-mata meletakkan jalur gemilang di kenderaan kita?

Tetapi kita asyik memandu melampaui had laju dan melanggar lampu merah. Juga memotong tak kira tempat sehingga membahayakan orang lain.

Tetapi kita leka bermain mercun selesai saja berbuka puasa.

Tetapi kita membelikan mercun untuk anak-anak kita bermain, walaupun kita tahu ianya bahan terlarang dan mengganggu ramai orang.



Patriotik kah kita dengan mengibarkan jalur gemilang di tingkap pejabat?

Tetapi kita terlibat memberi dan menerima rasuah di tempat kerja.

Tetapi kita asyik menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada kita.

Tetapi kita asyik menindas pekerja bawahan kita?

Tetapi kita asyik memfitnah orang lain yang tidak sealiran dengan kita.



Rata-rata iklan merdeka di TV menyiarkan betapa kita mesti mengibarkan bendera kita jalur gemilang sebagai tanda patriotism. Mesti tanpa gagal untuk mengibarkan bendera kita. Brek emergency jika ada bendera di atas jalan! Kutip bendera itu!



Benarkah begitu?



Merdeka dan patriotik bukan semata-mata berkisar pada bendera.

Mengapa kita tak diajar supaya mematuhi undang-undang jika kita patriotik?

Mengapa kita tak diajar mensyukuri nikmat Allah jika kita menghargai kemerdekaan?

Mengapa kita tidak ditegah melakukan maksiat jika mahu mengisi kemerdekaan?

Mengapa kita tidak menggunakan media untuk merapatkan jurang politik kepartian supaya kita hanya bertentangan hanya 5 tahun sekali iaitu semasa pilihanraya umum. Jika kita patriotik?



Jika kemerdekaan hanya semata-mata dan segala-galanya tertumpu kepada bendera, ibu-bapa yang patriotik mestilah menyusukan bayi mereka dengan susu cap bendera!

Monday, August 1, 2011

Bulan oh! Bulan

Tak puasa. Karya Yong yang tengah merengek cobaan berpuasa
"Cikgu, saya tak nak jadi angkasawan lagi."

"Kenapa? Dulu kata suka bulan? Suka glamour."

"Ya cikgu. Sekarang saya nak jadi penyimpan mohor besar raja-raja. Lagi glamour."

"Suka hati kau lah Udin, janji tak rasuah"

Dah Miskin, Kenapa Puasa ?

Adik memang rajin dan produktif
Adik terhegeh-hegeh menolak wheel barrow yang penuh berisi buah sawit ke tempat pengumpulan. Itulah kerja adik sementara menunggu result SPM 1991.

"Lu posa ka?" Tanya seorang penyelia apek.

"Posa"

"Waa...Lu talak letih ke...Itu olang pun Melayu, tapi talak posa pun", kata apek lagi sambil menunjuk ke arah seorang lelaki berhidung penyet yang sedang keletihan memunggah buat sawit.

"Kenapa lu posa ma?" Tanya apek lagi.

"Bila lapar, kita ingat sama orang miskin yang takde makanan", adik jawab skima, sama seperti apa yang ustaz, ustazah dan lebai-lebai cakap.

"Itu macam, olang miskin tak payah posa la? hari-hari lapar ma," apek menimbulkan persoalan yang adik tak kuasa nak menjawabnya. Lagipun kerja kutip sawit dibulan puasa dengan matahari khatulistiwa di atas kepala benar-benar merujakan dan mencerokkan perut.

Terima kasih banyak-banyak kepada apek kerana mengajar adik erti kehambaan yang sebenarnya. Kerana Allah lah kita berpuasa, kerana kita hamba Nya, dan Dia Tuan kita. Tuan suruh, kita kena buatlah. Tak buat kena marah, jika Tuan marah, mana hamba nak mengadu?

Ingat orang miskin, bagi rest enjin perut, mencerdaskan akal, melatih kesabaran, the best diet etc etc itu semua adalah hikmah berpuasa yang diberikan oleh Allah kerana Allah itu maha pengasih dan penyayang kepada semua hambaNya.

Kadang-kadang hikmah ini untuk orang yang terlalu berakal yang selalu hendakkan reasons dan benefits untuk setiap tindakan hatta dalam persoalan pengabdian kepada Tuhan.

**** Selamat berpuasa kepada semua terutama kepada adik dan keluarga di Newcastle. 
Ramadhan karim
Allahu akram


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...