Tuesday, December 18, 2012

Belajar English di Kebun Getah

Hari itu aku ponteng kelas tambahan. Aku ke kebun getah, menolong ibu menyepat pok dan mengutip susu getah. 

Sebenarnya nak juga aku ke kelas tambahan tu, tetapi aku takut kat cikgu besar yang mengajar kelas tersebut. Seminggu sebelum itu, ramai pelajar termasuk aku kena marah kerana tidak menyediakan buku tulis baru untuk kelas tambahan. Jadi, memandangkan aku belum beli buku tulis, mana berani aku pergi ke kelas tambahan lagi.

Di cabang empat Guchil 3, aku menukar haluan ke kiri. Sepatutnya langkah aku ke kanan, iaitu ke sekolah tetapi aku menghala ke kebun getah tempat ibu menoreh. Sebelum ini pun memang kebiasaan aku dan adik beradik yang lain menolong ibu semasa cuti sekolah.

Sampai di kebun getah, aku terus mengambil baldi  (tong cat lama) dan menuju ke pokok yang masih belum ditoreh. Aku mula menyepat pok getah dari mangkuk dan mengumpul pok tersebut ke dalam baldi tong cat. Nanti cepatlah sikit ibu nak menoreh, tak perlu lagi menyepat pok, terus aje menoreh dari satu pokok ke pokok.

Ibu bukannya tahu aku ada kelas tambahan hari itu. Jika dia tahu mesti dileternya juga aku. Silapnya aku lupa  untuk meminta duit daripada ibu untuk beli buku tulis semalam. Jika tidak pastinya sekarang aku berada di sekolah mengikuti kelas tambahan matematik yang diajar sendiri oleh cikgu besar. 

Habis menyepat pok, aku rehat di umbi pokok getah tempat ibu selalu berehat sementara menunggu masa untuk mengutip susu getah. Ibu belum lagi habis menoreh, banyak lagi pokok getah yang belum ditoreh. Ada dalam sebanjar setengah lagi.

Aku menogok air bekalan yang dibawa ibu. Kopi o sejuk tidak bertapis. Kemudian aku membuka bekal ibu yang dibungkus di dalam kertas surat khabar. Ada 2 biji lempeng yang sudah dibubuh gula. Nampaknya memang ibu sudah agak yang aku akan datang menolong dia, sebab itu ibu bawa bekal lebih. Dalam kebun getah, apalagi dalam keletihan, makan apapun nikmatnya melebihi KFC yang hanya aku tahu dari dalam TV rumah jiran.

Sementara menunggu ibu habis menoreh, aku meluangkan masa membaca surat khabar yang ibu gunakan untuk membungkus lempeng tadi. Surat khabar orang putih, manalah aku faham. Dalam ber 'is' 'are' itu aku cuba juga baca ayat-ayat dari huruf italik yang diboldkan walaupun aku tak faham apapun maknanya,

"If you want a year of success, grow grains,
if you want ten years of success, grow trees,
if you want 100 years of prosperity, grow men"

Dari jauh aku nampak ibu berjalan menghala ke arah tempat aku duduk. Ibu sudah siap menoreh, sekejap lagi kami akan sama-sama mengutip susu getah pula, selepas ibu memperbaharui tenaga dengan lempeng bersalut gula dan kopi o sejuk tak bertapis. Sementara itu, biarlah susu getah menitik semaksima mungkin ke dalam mangkuk kerana titik demi titik itulah yang bakal membayar harga buku tulis petak kecil matematik yang bakal aku bawa ke kelas tambahan minggu depan nanti.

Wednesday, December 12, 2012

Berat Nanang Tahap Mega

Tak bahaya pun!!!
Penduduk kampung sudah mengamuk! Mana mereka boleh tahan dengan bau busuk najis manusia di halaman rumah masing-masing. Yang menjumpai najis atas tangga rumah mereka pun ada.

Jadi hari ini mereka sepakat. Lanis, seorang pemuda terkenal nakal di kampung diheret oleh penduduk kampung ke rumah pengerusi JKK.

Penduduk kampung menangkap Lanis red-handed sedang 'melepas' di atas mozek tangga rumah Lebai Maslan. Apalagi dengan seluar londeh itulah mereka menghadapkan Lanis ke hadapan pengerusi JKK. Biar seluar londeh itu menjadi bukti dan biar pengerusi JKK yang putuskan hukuman ke atas Lanis. Kalau boleh biar dibuang daerah terus!

"Sabar... Biar saya siasat," tenang suara pengerusi JKK, penuh gaya kepimpinan.

Setelah menyoal Lanis lebih kurang 3 minit. Pengerusi JKK melepaskan Lanis pergi dan memanggil penduduk kampung yang nyata tidak berpuas hati apabila Lanis dibiarkan pergi begitu sahaja tanpa menerima sebarang hukuman.

"Sabar.... Cuba pegang ini."

Pengerusi JKK memberikan pisang, apple, nasi bungkus dan air kotak yeos kepada penduduk kampung untuk dipegang. 

"Apa kena mengena benda ni dengan kes kami wahai pengerusi yang berat nanang?" Tanya kasar seorang penduduk kampung yang nyata sudah hilang sabar dan tidak faham dengan tindak-tanduk pengerusi JKK.

"Sabar....Aku dah siasat tadi," jawab pengerusi JKK, masih tenang, setenang Dato' Mustapha Mamat menjawab persoalan pembangkang di dalam parlimen.

"Pagi tadi Lanis hanya makan pisang, apple, nasi dagang dan air yeos. Jadi, najis di hadapan rumah tuan-tuan hanyalah produk daripada benda-benda ni sahaja. Tiada racun. Alhamdulillah, Lanis tak minum racun pagi tadi, jadi dalam najis tu tak  ada racun.... Balik lah semua. Semuanya selamat," panjang lebar penerangan pengerusi JKK.

"Alhamdulillah.... " Sahut penduduk kampung ramai-ramai sambil berlalu pulang.

Thursday, December 6, 2012

Kawan Ketawakan Kawan

Aku baru kenal dia. Umurnya baru belasan tahun. Aku jadi cepat senang dengan dia. Dia bukan orang sini, dia orang jauh. Hidungnya mancung, kulitnya cerah, rambutnya hitam ikal, badannya kasar, tinggi walaupun baru belasan tahun. Menggambarkan asal tempat dia datang.

Aku agak-agak dia asalnya tampan, hensem. Tetapi mukanya sekarang penuh parut, hidung mancungnya nampak macam pernah patah. Yang paling obvious, matanya yang rosak sebelah. Setiap orang yang lalu-lalang berhampiran tempat kami berbual pasti melihat ke arahnya dan memerhatikan matanya yang rosak.

Dia sengihkan aku bila aku komplen dan berleter semasa membaca berita surat khabar tentang kekacauan di Gombak di antara 2 penyokong seagama tetapi berlainan ideologi politik.

Sengihnya bertukar menjadi ketawa apabila dia mendengar aku beristighfar semasa mebaca tentang seorang sarjan polis yang terbebas selepas lama dibicarakan akibat melepaskan 21 das tembakan untuk memberhentikan kereta yang disyaki penjenayah sekaligus membunuh pemandunya yang baru saja baligh dengan tembakan mengenai tempurung kepala. 

Sakit hati aku apabila kawan aku ini hampir mengilai kelucuan apabila aku terus membebel pasal isu AES yang kononnya memperuntukkan beberapa % daripada hasil kutipan saman kepada third party yang terlibat di dalam program ini. Kenapa mesti pihak ketiga mendapat bahagian dalam 'penguatkuasaan ini'? .... Bebel aku dengan nada separuh marah. Dia kulihat sedang kontrol diri daripada mengilai membuatkan mukanya menjadi semakin tak hensem dengan mata dan hidungnya yang sudah rosak.

Kawan aku ini dari Palestin. Matanya rosak akibat percikan bom Zionis Israel. Mukanya calar juga akibat deraan Zionis Jahanam. Memang layak dia gelakkan aku yang masih lagi kekenyangan setelah merembat sebiji burger McD dan segelas coca-cola semasa sarapan pagi tadi.


Thursday, November 29, 2012

Aku Lihat, Kau pun Lihat

Berpinar mata Amri akibat menatap skrin komputer sedari pagi tadi. Otaknya rasa bergelumut. Pergelangan tangan Amri juga sudah sakit-sakit akibat asyik tertekan pada tepi meja yang tajam.

Hoi...Penatnya. Rungut Amri. Dahlah penat sejuk pulak. Baju Kot yang dipakai ternyata tidak dapat melawan temperature aircond dalam pejabat itu. 

Amri lantas ke pantry, dibancuh nescafe segelas. Semerbak aroma menusuk ke hidung. Cukup menyegarkan.

Habis report ni, ada satu report lagi yang perlu disiapkah. Ah! Bahan ceramah untuk lusa pun belum buat apa-apa lagi. Amri berkira-kira dalam kepala.

Sambil perlahan-lahan meneguk nescafe panas, Amri menerawang jauh melihat Bandaraya Kuala Terengganu melalui tingkap kaca bilik pejabatnya. 

Ah! Senangnya jika berada di luar pada masa sekarang, jauh dari kesejukan pejabat ini serta kertas-kertas dan fail-fail yang menyerabukkan. Namun apakan daya, dua-tiga laporan perlu disiapkan segera. Orang makan gaji beginilah. Aku yang menurut perintah. Fikir Amri.


"Beruntungnya mereka yang berada di luar sana...." Terbit kata-kata dari mulut Amri yang berbau biji kopi sambil matanya melihat jalan-jalan di tengah Bandaraya Kuala Terengganu dari tingkap pejabatnya di Wisma Darul Iman yang merupakan di antara lokasi tertinggi di bandaraya pesisir air itu.


******************

Azman menyeka peluh di dahi. Panas betul cuaca hari ini. Syukurlah. Sudah 4 hari kerjanya tergendala kerana hari hujan. Hanya hari ini Azman dapat menyambung kerja kembali bersama 3 orang lagi pekerjanya.

Azman menggunakan kepakaran dan daya kreativitinya dalam kerja-kerja lanskap di bandaraya Kuala Terengganu. Hari ini Azman dan pekerjanya cuba menyiapkan kerja-kerja menanam pokok-pokok bunga di tengah 'roundabout' Ladang.

Sesekali Azman terbatuk dek habuk dan asap-asap kenderaan yang tidak putus-putus datang dan pergi. Laju, bising, asap, panas.....

Azman mendongak ke atas. Matanya tertumpu ke Wisma Darul Iman. Huh! Bestnya kerja pejabat dalam aircond, fikir Amri. Tak payah pegang cangkul dan tanah baja. Hari-hari main kertas dan fail sahaja.

Kerja sendiri macam inilah, tak bergerak, tak makan! Detik hati Azman.

Monday, November 26, 2012

Dear Uncle Bro: Bolehkah Doa Untuk Kemusnahan Orang Lain?

Imej dari Google
Soalan:

Salam Uncle bro,

Gua tahu lu bukan ustaz, tapi coba lu habaq kat gua apa hukum orang Islam mendoakan keburukan untuk orang lain?

Cikgu KAFA Sementara,
Kg. Pisang.


Jawapan:

Assalamualaikum Cikgu KAFA Sementara (CKS),

Uncle rasa tak layak nak jawab pasal bab hukum-hakam ni, lagipun CKS pun dah cakap awal-awal yang uncle ni bukannya ustaz.

Walaubagaimanapun, seingat uncle, dalam sejarah hidup uncle yang sudah menghampiri setengah abad ini, orang pertama yang uncle mendapat tahu yang telah mendoakan kemusnahan untuk sesama muslim adalah mak si Tanggang. Anak dia sendiri tu bro, namun tetap mak dia doakan begitu apabila terasa dirinya dizalimi.

Bukannya sudah 50 tahun si Tanggang menzalimi ibunya, baru tang tu je. Sebab si tanggang malu nak mengaku ibunya yang serba daif kepada isterinya yang cantik jelita anak bangsawan kaya, sehingga dia sanggup menyakiti fizikal ibunya. Akhirnya jadi batu si Tanggang dengan kuasa Allah S.W.T.

Namun setakat ini, uncle masih belum dengar apa-apa fatwa, atau komen alim-ulamak atau mufti atau Harussani atau Hassan Ali tentang doa si ibu Tanggang, melainkan semua ustaz dan ulamak dan cikgu hanya komen berkaitan kelakuan si Tanggang yang durhaka kepada ibunya. adapun, perihal ibunya punya doa, tiada siapa yang pernah menganalisisnya hatta Jais atau Jakim atau Balai Polis mana sekalipun.

Jadi, memandangkan kita sering menjadikan kisah si Tanggang sebagai iktibar dulu, kini dan selamanya, eloklah kita KIV kan sahaja isu si pendoa, sebab itu hak dia dengan Tuhan untuk bermunajat. Ada baiknya kita tengok realiti orang atau organisasi yang menjadi subjek dalam doa tersebut.

Kalau betul orang atau organisasi yang didoakan itu begitu, seperti ucapan dalam doa tersebut, Allah sahaja yang akan membalasnya. Jika tidak, jika orang yang berdoa itu cuba-cuba  'menipu' Allah dan mengada-adakan cerita dengan Allah dengan mengatakan itu-ini yang tidak betul, biarlah murka Allah berbalik kepada si pendoa.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahu akan setiap ciptaanNya.

Semoga Cikgu KAFA Sementara dapat jadi cikgu sepenuh masa di masa akan datang. Selalulah berdoa kepada Allah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Ingat bro, kita tak dapat cilok Allah.

Sekian. Uncle Cikli.


Tuesday, November 20, 2012

Tak Bolehkah Ambil Burger McD? Free. Sesen pun Duit Saya Tak Bagi Kat Israel

Salam Uncle Cikli,

Bising orang ofis saya bila tahu saya pi ambik McD free semalam. Saya tahulah depa boikot McD sebab Israel tengah serang Palestin sekarang. Saya tak nak hipokrit. Selama ni saya memang hantu burger McD. Lagipun benda free, bukan saya bayar apa-apa pun. Saya rasa mereka yang kutuk saya tu jeles dan bodoh. Orang bagi free pun tak nak. Lagipun, boikot McD bukan boleh jatuh bengkrap pun Israel tu kan? Kalau betul nak boikot Israel, boikotlah FB tu. Mark Zuckerberg tu kan Yahudi. Ini tidak kat ofis pun asyik main FB je. Apa pendapat uncle?

Anti-hipokrit, 
McJack, Selayang.



Salam McJack,

Syukur kepada Allah kerana saudara McJack sihat dan masih mampu untuk beratur panjang semalam. Saya memang sokong saudara McJack. Boikot McD bukan boleh jadi bankrap negara Israel. Product mereka banyak lagi di serata dunia, termasuklah APCO yang begitu popular di negara kita.

Banyak company yang meng'infak'kan hasil jualan mereka kepada Israel, termasuk Nestle, Procter & Gamble, Unilever, Mark & Spencer dan Nokia (Itu yang uncle baca la...). Mampukah kita nak boikot semua. Kalau kita boikot, seperti kata Mc Jack, bukan boleh bankrap pun Israel.

Pada pendapat uncle, boikot McD hanyalah satu simbolik dan tanda bahawa kita peduli isu semasa dan anti kekejaman dan ketidakadilan. Sebab itu kita disarankan untuk boikot produk terpilih sahaja dan mampu untuk orang ramai melaksanakannya. Dan yang paling penting impaknya dirasai. Walaupun hanya satu produk.

Dan bagi orang yang mampu, mereka boleh boikot banyak lagi produk seperti Pizza Hut, Colgate, team bola Arsenal, Starbuck dan banyak lagi.

Betul seperti McJack kata bahawa burger McD itu diberi percuma, bukannya kena bayar, jadi duit McJack tak pergi ke Israel. Seperti uncle kata tadi, boikot ini adalah simbolik. Tidak semestinya kita support Israel dengan membelanjakan duit kepada mereka, pergi ambil burger tu bukankah tanda sokongan kita kepada McD lah. Lagipun kalau tak ada isu ini, McJack ingat McD tu berhati mulia nak bagi burger sedap dia tu kat ramai orang?

Ingat McJack, orang yang suka barang free terbukti dalam sejarah tak boleh dibuat pemimpin. Pemimpin sejati tak suka jadi free-loader. Sebaliknya, dia pula yang suka bersedekah kepada golongan yang memerlukan. Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah, McJack!

Berkaitan isu berfacebook time kerja seperti yang McJack ungkitkan, usahkan FB, main congkak dan mengait baju pun tak boleh time kerja pejabat. Itu isu lain. Kena tanya Ustaz Azhar Idrus. Namun McJack kena tahu bezakan Zionis Israel dengan Yahudi. 

Tadi uncle ada tercakap yang Nokia pun ada menyumbang kepada negara haram Israel, hmmm nampaknya kalau kompeni uncle bagi bonus hujung tahun ni, uncle ingat nak tangkap android la satu. S3 tu nampak melambai-lambai je....

Sekian, harap menjawab persoalan McJack.
Allah selamatkan Rakyat Palestin dan orang Islam di seluruh dunia termasuk uncle dan McJack.



Tuesday, November 13, 2012

Dear Uncle: Dilema Balik Kampung

Assalamualaikum Uncle Cikli,

Setiap kali cuti sekolah saya dan suami mesti bermasam muka. Apa tidaknya, dia asyik nak balik kampung dia dulu sahaja. Balik kampung saya dihujung-hujung cuti sahaja kalau ada masa. Alasan dia kerana kesiankan ibunya yang tinggal seorang di kampung. Macamlah saya ni anak yatim-piatu.... Saya pun nak juga balik kampung saya dahulu. Harap uncle tolong bagi jalan kat saya.

Cherry blossom
Isteri mencuka,
Kuantan, Pahang.

Jawapan:

Waalaikumussalam wahai Isteri mencuka,

Pertama sekali apabila memandang suami, pandanglah dengan wajah yang manis. Jangan mencuka. Kalau boleh dengan penuh kasih sayang. InsyaAllah, Allah akan memandang kita dengan pandangan rahmat.

Pada pendapat uncle, untuk menentukan kampung siapa yang perlu diutamakan, ianya bergantung kepada musim di kampung masing-masing. Kampung siapa yang sedang musim salji atau musim cherry blossom, kampung itulah seafdalnya kita tuju dahulu. Rugi kalau anak-anak kita termiss main salji atau berpicnic di bawah cherry blossom di musim cuti persekolahan ini.

Namun jika kampung kita hanya sekadar ada musim rambutan atau durian, tiada apa-apa yang perlu dikejarkan sangat kerana satu Malaysia kita ini, sama sahaja musim buahnya. Apa lagi musim kelapa, itu memang auta kerana kelapa memang tidak bermusim.

Point uncle sebenarnya adalah tak perlu kecoh-kecoh untuk balik kampung siapa dahulu. Kampung mana-mana pun, kampung datuk dan nenek anak-anak kita juga.

Ada suami yang bangsa tak kisah. Selalu ikut balik kampung isteri dahulu. Alhamdulillah. Tapi sebagai isteri, kita kena bertanya,

"Tak apakah kita tidak balik ke kampung abang dahulu?"
"Ibu abang tak apa-apakah, kita balik ke kampung I dahulu ni?"

Apalagi jika suami kita adalah dari jenis Malim Kundang, kita sebagai isterilah yang perlu menyedarkan mereka agar balik kampung berjumpa mak mentua kita!

Uncle katakan begini kerana umum mengetahui syurga adalah di bawah telapak kaki ibu. Manakala syurga seorang isteri pula adalah bersama redha seorang suami. Bagaimana kita sebagai isteri mahu menumpang ke syurga dengan suami kalau si suami tidak mempunyai redha seorang ibu?

Tolong pastikan suami kita tidak mengalami apa yang pernah dialami oleh sahabat baginda Rasul S.A.W, Alqamah yang sukar untuk mengucapkan syahadah disaat sakaratul maut gara-gara hati ibunya yang terguris sedikit sahaja. Walaupun sekarang puan nampak suami puan seperti terlalu melebihkan ibunya, biarkanlah begitu, biarlah dia yang cuba berbakti kepada ibunya. Syukurlah kerana puan mempunyai seorang suami yang menghormati wanita yang melahirkan dia.

Jadi bagaimana dengan hak puan sebagai seorang isteri? Biarlah anak lelaki puan pula yang akan melebihkan puan sebagai ibunya. InsyaAllah. Yang penting, jangan jadikan suami kita anak derhaka gara-gara terlalu mahu menjaga hati kita.

Walaubagaimanpun, semuanya boleh dibawa berbincang.

Bagi uncle sendiri, masalah ini senang sahaja. Siapa yang pandu kereta balik kampung, ikut dialah nak pusing stereng kereta hala tang mana dulu... Hahaha

Harap puan jangan lagi mencuka. Maniskan muka di depan mentua anda. Tak elok tarik muncung di kampung, nanti orang buat sangkut timba telaga. Hahaha.

Sekian. Ikhlas, Uncle Cikli.

Saturday, October 20, 2012

Piala Malaysia : Dilema Abang Askar

** Salam Hari Lahir ke 5 untuk Talhah Ramli, 19 Oktober 2012. Semoga anakku menjadi umat Rasulullah S.A.W. yang soleh.


This is Kota Bharu
Dear Uncle Cikli,

Ambo orang Kelantan. Ambo dah kerja askar lamo. Dah naik pangkat dah. Rasa terhutang budi banyak sangat. Dilema saya bila pasukan bolasepak ATM dapat masuk final Piala Malaysia. Lawan Kelate pulak tu. Jadi ambo raso telan mati bini tuo, luah mati bini muda. Nak sokong pasukan mana ni. Tolong nasihatkan ... Yang terseksa batin, Din Kem Desa Pahlawan.

Jawapan:

Dear Din Kem Desa Pahlawan,

Saya bangga dengan saudara Din yang telah berkhidmat menjaga keamanan negara Malaysia kita ini. Bolasepak hanya satu sukan untuk riadah dan menyenangkan hati kita. Team mana yang kita sokong tak jadi masalah. Tak semestinya orang Kelantan kena sokong Kelantan. Tak semesti juga seorang askar kena sokong ATM.

Sahabat saya orang KL tetapi sokong Felda United semata-mata kerana dia dah beli saham Felda Global Venture (FGV) sebanyak 50,000 unit. Sahabat saya yang lain yang tinggal di tanah rancangan Felda pulak beralih sokongan kepada team bolasepak lain kerana tidak berpuas hati hanya mendapat 800 unit saham FGV. Dah jatuh pulak tu. Loan Maybank kena bayar.

Kelantan cuti 21 Oktober, kata MB
Namun menyokong sesuatu yang ada kaitan dengan kita adalah manis yang amat. Kita sendirilah yang cari kaitan atau hubungan itu. 

Sahabat saya Kak Zakie contohnya, dia orang Johor tetapi menyokong Kelantan FC kerana dia kagum dengan Menteri Besar Kelantan walaupun umum mengetahui bolasepak Kelantan dikuasai oleh seteru politik MB Kelantan tersebut.

Seorang lagi sahabat saya, Gedek juga menyokong Kelantan kerana dia dulu pernah tinggal di Jalan Geale, Kuala Krai, Kelantan walaupun sekarang ini kalau dia cuba bercakap loghat Kelantan, wife dia pun belum tentu faham.

Uncle Gedek!
Contohnya macam ini saudara Din Kem Desa Pahlawan, 

Seorang Muslim berbangsa Perancis atau British atau American tetap akan menentang sebarang dasar yang menyalahi atau mendiskriminasi orang Islam yang dikeluarkan oleh negara mereka walaupun mereka sebangsa kerana bagi mereka Islam atau agama itu lebih BESAR dalam hidup mereka.

Nasihat saya janganlah saudara Din pening-pening, sokonglah team mana yang anda suka. Di akhirat nanti pun, berapa kali kita bangun malam kerana tengok bola tak akan diambilkira. Yang dikira hanyalah berapa kali kita bangun malam kerana mendirikan solat-solat sunat. Begitu juga airmata kekalahan bola tak berharga sedikitpun berbanding airmata kerana bertaubat menyesali dosa-dosa lampau.

Bagi saya, saudara Din sepatutnya lebih pening memikirkan berkaitan hak saudara di dalam Undi Pos di dalam PRU13 nanti daripada memikirkan team bola mana yang sepatutnya saudara sokong. Harap saudara Din faham.

Apa-apapun, ramalan saya Kelantan menang 2-0 malam ini. Afiq Azmi muncul wira TRW.

Sekian. Gomo Kelate Gomo.
Uncle Cikli.

Monday, October 1, 2012

Belanjawan Rock



Aku menyokong penuh belanjawan bab harga gula naik sebab ramai rakyat yang kena diebetes seperti kata PM. Kome tengoklah piramid makanan di atas tu, gula tu maqam dia sama dengan lemak, kena makan sikit je.

Jadi dek kerana nak bagi kita semua sihat, terpaksalah kerajaan potong subsidi gula. Betullah tu, hujah jitu la tu.

Nak tambah meyakinkan yang kerajaan memang berniat murni nak jaga kesihatan rakyat, eloklah turunkan harga beras pulak. Sebab nasik dalam piramid makanan kena ambik paling banyak. Jadi harganya perlulah murah.

Kalau turunkan harga beras 20 sen sekilogram, beras BN (Beras Nasional) yang harganya paling murah sekarang akan turun kepada RM16.00.

Macam ni barulah rock.
Beras BN, 10 kg RM18.00

Monday, September 17, 2012

Better The Devil You Know

Mikail Gorbachev
Hari ini genap lapan purnama Raisa menjanda. Janda lawa anak dua. Itulah title yang Raisa pegang sekarang. Bukan tak ada orang yang mahu memperisterikan Raisa, berlambak. Hakikatnya Raisa sendiri pun sudah jemu hidup berseorangan. Tidur berseorangan. Membesarkan anak 2 orang seorang diri tanpa seorang lelaki bergelar suami di sisi cukup perit bagi Raisa. Namun Raisa masih dalam membuat perkiraan.

Adi, jejaka warak yang tinggal di sebelah masjid sudah lama menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Raisa. Begitu juga Nuar, duda ganteng yang sudah lama berpisah dengan isteri pertamanya juga ada menzahirkan impiannya untuk menyunting Raisa. Malah Guan, tauke Cina kaya juga katanya sanggup masuk Islam jika Raisa sudi berkahwin dengannya. Namun Raisa masih belum dapat membuat keputusan.

Masalah utama Raisa adalah bekas suaminya, Adet. Setelah lapan purnama ditinggalkan. Setelah lapan purnama Adet membiarkan Raisa berkais pagi-petang menyara 2 anaknya yang masih kecil. Setelah lapan purnama Raisa dibiarkan menderita mental dan fizikal. Akhirnya Adet muncul dengan kata-kata maafnya. Adet muncul dengan janji-manis romantika d'amor nya.

Selama lapan purnama ini Raisa sudah puas berfikir dan cuba melupakan Adet. Cuba membuang jauh-jauh cintanya yang masih bersisa kepada Adet. Cuba mengubati sakit fizikalnya bekas tamparan dan henyakan Adet. Pipi cantik Raisa sehingga sekarang masih bertampuk hitam seperti Muhyidin Yassin dek penangan tangan kasar Adet. Puncanya kerana Raisa menyoal perihal bau minyak wangi perempuan yang melekat di baju Adet.

Raisa juga pernah diterajang kerana membasuh baju Adet bersama-sama dengan tiket TOTO yang tersimpan di dalam kocek baju itu. Bukan menang pun nombor yang ditikam Adet, namun Raisa menjadi tempat Adet melampias nafsu kalah judinya.

"Maafkan abang...." Itulah kata-kata pujukan Adet apabila mood dia baik semula. Apabila Raisa diam dalam geram, Adet akan berkata pula.

"Kesianlah abang ni sayang. Abangkan anak yatim," Akhirnya lembut juga hati Raisa. Lagipun Raisa tahu, taat seorang isteri kepada seorang suami amatlah dituntut agama Islam.

Sehari-dua, Adet balik mabuk-mabuk lagi. Bau minyak wangi perempuan lagi. Kesan gincu sana-sini lagi. Apalagi, Raisa lagi yang kena penampar lagi.

"Maaf yang, abang mabuk semalam..."

Adet bukan setakat mabuk arak. Saham arak pun dia beli. Saham Carlsberg, saham San Miguel, beratus lot dia beli. Cepat untung, cepat kaya katanya.

Semasa tahap mabuk Adet memuncaklah dia menceraikan Raisa lapan purnama lalu. Padahal perempuan secantik Raisa, kalau tak gosok gigi lapan hari pun, manager bank masih tergila-gila nak buat isteri. Nah! Sekarang Adet bagai gila talak lagaknya. Apalagi bila dia mendapat khabar Raisa telah dirisik oleh Adi, Nuar dan Guan.

"Raisa sayang, Adi tu miskin. Susah kalau hidup dengan dia. Nanti anak-anak nak makan apa? Nak sekolah macam mana? Hidup ni tak cukup dengan sembahyang dan zikir sahaja..." Adet memburukkan Adi di depan Raisa. 

"Baik dia lah daripada abang tu yang tak kenal tikar sembahyang," jawab Raisa.

"Siapa kata abang tak sembahyang. Abang sembahyang, tetapi abang tak tunjuk kat orang. Abang beribadat secara wassotiyah, tak menunjuk-nunjuk," Adet membela dirinya. Raisa hanya membisu sambil memandang kereta Lamborghini Adet di laman rumah. Sebijik macam kereta tauke ikan bakar di Sekinchan.

"Raisa, you tahu tak Nuar duda yang tergilakan you tu homo...." Adet mula buka cerita lain.

"Abang jangan nak buat fitnah pulak!" Potong Raisa cepat-cepat.

"Isk.. Tak percaya? Abang ada video dia. Kalau tak percaya juga, tanya kawan dia si Guan rasis tu," bersunguh Adet membuat cerita.

"Abang dulupun selalu pergi kelab malam, mabuk, main perempuan...." Raisa mengungkit kisah lama.

"Itu dulu, abang dah transformasikan diri abang sekarang. Percayalah janji abang, abang memang jenis yang janji ditepati punya. Kahwinlah semula dengan abang," pujuk Adet.

Raisa diam berfikir. Sesekali matanya menjeling Lamborghini di laman. Memang Adet kaya, banyak duit. Namun dia suka mengungkit pemberiannya. Dulu, lima-enam bulan dia mengungkit-ungkit duit RM500 yang diberikan kepada Raisa untuk buat belanja di spa. Paling teruk dia mengungkit pula duit RM100 seorang yang diberikan kepada anak-anak mereka untuk beli buku sekolah.

"Demi anak-anak, generasi pewaris kita, terimalah abang semula," rayu Adet bersungguh-sungguh.

"Tapi......" Raisa masih teragak-agak.

"Abang tahu dulu abang jahat. Tapi Raisa kenal abang, Raisa tahu hati budi abang. Mereka yang mahukan Raisa itu Raisa belum tahu hati budi mereka..... Bak kata pepatah, better the devil you know," mendayu-dayu suara Adet.

Better the devil you know?

Perkataan itu menyentap hatinya. Itulah tajuk lagu yang cukup diminatinya yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi Sonia dari United Kingdom dalam pertandingan Eurovision tahun 1993. Lagu inilah yang didendangkan oleh Raisa di atas pentas pertandingan Ratu Kebaya yang dimenanginya 3 tahun lalu. Hati Raisa mencair bagai salji dimusim bunga apabila mendengar Adet mengungkapkan kata, 'better the devil you know'.

Kini sudah 3 purnama Raisa rujuk baik dengan Adet sekaligus menghancur ranapkan impian mahligai syahdu Adi, Nuar dan Guan. Namun disangka panas sampai kepetang, rupanya hujan pukul sepuluh pagi lagi. Raisa sekarang kembali berendam air mata. Adet masih dulu, kini dan selamanya penagih arak, kaki perempuan, tahi rasuah dan pemurah dengan penampar. Tampuk bera hitam seperti Muhyidin Yassin di pipi kanan Raisa yang belum hilang akibat henyakan Adet dulu, kini telah bertambah dengan tompok hitam pecah darah di dahi sebijik macam Mikhail Gorbachev, bekas Presiden Rusia hasil henyakan terbaru daripada Adet.

Raisa kini menyesal sambil menunggu edah kali keduanya yang entah datang atau tidak.
.
.
**Cerita rekaan penulis sahaja. Jika terasa, harap maaf. Itulah asam garam kehidupan yang fana ini.

Friday, September 14, 2012

Makan Tempe Nak Jadi Genius



Di tahun 1987 dahulu, masa tingkatan 4 di MRSM Kota Bharu, Reagan, kawan aku yang baru pulang dari Kem Budak-Budak Pandai & Rajin di Selangor telah mempromosikan makanan tempe kepada kami.

"Kata motivator kat sana, makan tempe boleh mencetuskan 'genius' dalam diri seseorang," beritahu Reagan yang baru dinobatkan sebagai top student MRSM Kota Bharu dalam SRP (Sekarang PMR) tahun 1987.

Apa lagi kami budak Kelantan yang selama ini peminat tegar budu cuba beralih arah kepada tempe. Sapa tak nak jadi genius woii...

Aku pun tak terkecuali, tambah pula kalau tempe goreng dengan ikan bilis, memang faveret aku la tu. Sekarang, bila dah berkeluarga, aku cuba ajar anak-anak makan tempe, yelah kan, takkan aku nak genius sorang-sorang dalam famili, anak-anak pun mestilah genius sama. Tapi seorang pun anak-anak aku tak mahu makan tempe. Tak mbohhh... Kata mereka. 

Semalam 13 September 2012, aku tengok dalam berita, satu lagi rekod tercipta di dalam Malaysia Book of Record. Sempena penutupan minggu kemerdekaan ke 55, Kolej Komuniti Kuala Langat telah bersusah-payah mencipta Jalur Gemilang terpanjang yang diperbuat daripada tempe.

Tempe dibungkus dengan kertas dan disusun memanjang. Lalu dicat dengan warna Jalur Gemilang. Idea 'genius' siapa ini, aku pun tak nak ambil tahu. Namun pastinya dia mestilah seorang pemakan tempe tegar.

Kata satu sumber dari Kolej Komuniti Kuala Langat,

"Pemilihan tempe bagi menghasilkan Jalur Gemilang ini adalah satu usaha untuk memperkenalkan tempe sebagai makanan tradisi masyarakat setempat yang boleh dijadikan sebagai ikon makanan sihat."

Tempe yang telah dijadikan bendera itu akan dijadikan makanan haiwan dan baja. Ye lah, dah terdedah kepada kotoran dan cat, mana boleh makan lagi.

Bagi akulah, sebagai seorang pemakan tempe sejak 1987, kalau nak promote tempe sebagai makan tradisi, buatlah aneka juadah daripada tempe, atau hantar tempe satu kontena kepada pelarian Rohingya atau ke Somalia. Bukannya buat sesuatu yang tak boleh dimakan!

Mulai semalam keyakinan aku sejak 15 tahun lalu bahawa makan tempe dapat mencetuskan 'genius' dalam diri seseorang hancur berkecai. Namun begitu, aku masih akan terus memakan tempe seperti biasa, untung-untung aku akan mendapat khasiat tempe yang lagi satu sepertimana yang telah berjaya dikecapi oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd. Khir Toyo dahulu.



Saturday, September 8, 2012

Mesyuarat Punggung

Sebuah jawatankuasa yang baru dibentuk bermesyuarat untuk menangani masalah seorang budak nakal yang menonggeng punggung ke atas gambar pemimpin negara dan isterinya.

"Kita dakwa saja dia di mahkamah!" Bengis betul suara pencadang pertama yang bermisai tebal.

"Kita nak dakwa bawah akta mana? Seksyen berapa?" Tanya yang lain.

"Cari je la dalam Kanun Keseksaan ke, Akta Hasutan ke, Akta Perjudian ke, Kongsi Gelap ke, Maksiat ke... Budak kurang ajar macam tu tak boleh dibiarkan," pencadang bermisai tebal semakin ketara kemarahannya. Maklumlah gambar pemimpin kesayangannya ditayang  punggung.

"Mula-mula kita buang kolej dulu budak ni, biar dia reti," cadang pula seorang yang songkoknya paling tinggi di dalam mesyuarat itu.

"Jangan musnahkan masa depannya, berfikir dengan otak, jangan dengan punggung tuan-tuan. Kita denda dia cara lain. Budak tu ada masa depan yang cerah," sanggah seorang ahli mesyuarat.

"Peduli apa masa depan dia cerah. Buang saja budak tu dari kolej!" Si songkok tinggi melampiaskan sifat sebenarnya.

"Come on man. Kalau kesalahan merogol budak bawah umur boleh lepas sebab tertuduh 'mempunyai masa depan yang cerah' takkanlah kesalahan tunjuk punggung ini lebih dasyat," seorang lagi ahli mesyuarat menyampuk.
"Lagipun budak tu hanya terpengaruh....." Sampuk seseorang.

"Ya terpengaruh dengan pembangkang. PR tu memang sial ajar anak-anak muda berkelakuan biadap," ahli menyuarat bersongkok tinggi mengambil peluang menyerang PR.

"Kepimpinan melalui teladan. Budak ni bukan terpengaruh dengan PR. Dulu ada orang kencing gambar Haji Hadi, Nik Aziz, Lim Kit Siang, ada diambil tindakan? Tak ada, sebab itulah budak-budak sekarang berani tiru," ada juga rupanya ahli mesyuarat yang berani melawan arus.

"Itu pemimpin pembangkang, lain. Ini melibatkan pemimpin negara, Perdana Menteri," jawab si misai tebal.

"Mana boleh beza-bezakan macam tu. Zaman Khalifah Umar Al-Khattab, seorang raja yang menampar orang yang terpijak jubahnya yang meleretpun dikenakan qisas tampar balik. Islam tak pilih bulu," seorang lagi ahli mesyuarat menyampuk.

"Budak tu pergi kolej naik apa?" Tiba-tiba pengerusi mesyuarat bertanya.

"Naik Skuter Ego bos," jawab si misai tebal. 

"Beginilah, buat sementara ni, kita hukum budak ini dengan mewajibkan dia mengisi skuternya dengan minyak RON 97," saran pengerusi.

"Wow, RM3 seliter tu bos, duit PTPTN dia tak terjejas ke bos?" celah seseorang.

"Itulah yang kita hasratkan, biar dia suffer dan belajar bersyukur dengan apa yang kerajaan BN buat sekarang ni," beritahu pengerusi.

"Tuan-tuan. Sebenarnya, harga minyak yang naik, memilih bulu dalam tindakan inilah yang membuatkan generasi muda kita sekarang meluat dengan kita dan sanggup tunjuk ponggong kat gambar pemimpin kita. Itu belum cerita lagi pasal rasuah, kronism, berita media yang berat sebelah, tindakan dan kenyataan pemimpin kita yang sering membodohkan rakyat, pembaziran, putar-belit ...." si pelawan arus dalam mesyuarat kembali berkata-kata.

"Betul... Jangan asyik tengok salah orang. Kaji juga apa silap kita," sampuk seseorang.

"Jangan sampai kita mati pun ada orang sanggup kencing atas kubur kita, masih belum terlambat untuk kita berubah," tambah lagi seseorang.

"Kita rehat dulu 15 minit," kata pengerusi sambil menyuap sebiji pau yang gebu ke mulutnya. Memang sejak dari tadi dia asyik memerhatikan pau 2 biji yang berhimpit dalam pinggan dihadapannya. Betul-betul macam punggung budak nakal tu, hisshhh... Fikirnya.

Wednesday, September 5, 2012

Zimmi, Harbi, Bananana

Sezimmi-zimmi bapa saudara Nabi S.A.W iaitu Abu Talib, dikatakan terpaksa juga memakai alas kaki yang amat panas di hari pembalasan kelak kerana enggan mengakui kalimah syahadah semasa hayatnya.

Bukan zimmi atau harbi yang kita orang Islam perlu gaduhkan.

Yang perlu kita runsing adalah agar kita tidak tergolong ke dalam golongan 'munafik'. Nauzubillah.

Wednesday, August 29, 2012

Janji Ditepati

Belum pun pukul sembilan pagi, aku sudah tercongok di foyer library. Hari ini adalah hari yang paling bersejarah dalam hidup aku setakat ini. Seorang lelaki pemalu yang pernah takut kepada perempuan akhirnya akan keluar dating dengan seorang gadis. 

Memang sukar dan berat pada mulanya bagi aku untuk mendekati gadis ini. Namun atas nasihat, motivasi  dan kerja sabotaj kawan serumah, akhirnya aku beranikan diri. Apatah lagi bila kadang-kadang motivasi diberikan bersama petikan gitar si Porom sambil mendendangkan lagu Michael Learns To Rock iaitu 25 minutes.

"Itu baru 25 minit lewat, orang dah sapu...." Bakar si Atuk.

"Yang penting sampaikan mesej kepada si dia iaitu... Hang suka dia..." Sambung pula si Apip.

"Dia nak terima ke tidak, itu soal nombor 2, soal nombor 1.... Biar dia tahu seseorang di sini suka banget sama dia," si Sahak pula berfalsafah lagak pakar cinta.

Akhirnya, entah macam mana magisnya, mesej aku sukakan si dia sampai kepadanya. Tindak balas kimia daripadanya cukup cantik dan positif penuh dengan bunga-bunga dan rama-rama. Entah dari mana datangnya kekuatan, aku akhirnya mengajak dia keluar di suatu kesempatan. Jawapan 'ya' dari si dia membuatkan aku rasakan diri ini umpama emas lapan kilo. 

Dan di foyer ini aku berdiri hari ini, pukul 9.15 a.m. Namun si dia masih belum di mana-mana untuk dilihat.

"Janji di sini pukul 9.00...." Aku mengingatkan diriku. Mana tahu jika aku tersilap tempat janji pertemuan.

Rupanya menunggu orang yang kita suka dan puja adalah suatu nikmat, buktinya sekarang sudah pukul 9.50 a.m., namun aku tiada rasa fed-up atau marah sedikitpun.

Biasanya aku kalau menunggu sesuatu atau seseorang, cukup sekadar setengah jam sahaja. Semasa aku tinggal di Kuala Lumpur dahulu, aku hanya bersabar menunggu bas mini setakat 30 minit sahaja. Selepas itu aku akan berasap walaupun aku terpaksa naik jua bas yang lewat itu.

10.30 a.m., si dia masih belum nampak bayang namun tiada kedutpun di dahi aku.

Kenapa aku tak telefon? Kau tanya kenapa aku tak telefon atau sms atau miss call saja dia? Hei kawan, sudah atau belum aku beritahu engkau bahawasanya ini kisah tahun 1993! Ini memori, past tense bukan present tense. Masa ini handset sudah ada, tetapi hanya ahli korporat sahaja yang pakai. Itupun besarnya mak oiii... Macam bawak Nokia 3310 lapan biji sekaligus! SMS jangan ceritalah, tak terfikir pun lagi masa tu.

10.45 a.m. Mana dia ni...... Tapi aku tak marah sedikit rabutpun.

10.57 a.m. Si dia akhirnya sampai bersama senyuman yang paling manis yang pernah aku lihat. Aku turut tersenyum walaupun dalam hati aku berkata, kalau mak aku tahu hal aku dating ini habislah kaooo.

"Dah lama tunggu?" Sapa si gadis.

Aku yang sudah berada 2 jam di foyer library ini menjawab semesra mungkin agar si gadis tahu yang aku tidak marah atas kelambatannya.

"Dari pukul sembilan I di sini."

"Pukul sembilan? Semalam you kata jumpa kat sini pukul Sebelas...." Si gadis menjadi sedikit keliru.

Oooo.... Patutlah. Tiada isu sama ada si dia yang silap dengar atau aku yang tersilap cakap. Mungkin juga kerana bila hati dah suka, kata di hati dah tak sama dengan kata yang keluar dari peti suara.

Tak penting apa yang si dia dengar, yang penting janji yang si dia cuba tepati.

Monday, August 27, 2012

Cerpen: Khutbah Remote Control Aidil Fitri

Imej dari Blog Pakar Cinta

Belumpun sempat menteri itu bercakap baku, Arip cepat-cepat menekan punat remote control tv. Muak dia mendengar perkataan yang sama diulang-ulang di television yang keluar daripada mulut menteri yang berperwatakan aristokrat Philipina itu. Di channel  3, ditayangkan pula kumpulan orang yang kelihatan mengganas yang sedang disembur air seperti sekumpulan budak kecil yang menyertai majlis berkhatan beramai-ramai. Ini pun tayangan wajib ulang berpuluh-puluh kali sehari yang membuatkan Arip naik muak, lantas dia menekan punat remote control tv lagi. Di channel 7, Arip sekali lagi muak dengan drama tak habis-habis seorang makcik yang berjaya meluaskan perniagaannya dengan modal RM500. Arip menukar channel television lagi, kali ini kelihatan seorang bersongkok tinggi sedang bercakap tentang hukum-hakam agama di atas pentas sebelum turun bersalam dengan wanita-wanita yang rata-ratanya berpakaian merah dan putih. Macamlah malam ini ada game bola Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke IV.

Tup! Sekali lagi Arip menekan punat remote control tv.

“Huh! Tutup terus lagi bagus,” Arip berkata kepada dirinya sendiri.

Arip melihat ke kanannya, Tok Imam Salih termenung panjang di meja makan. Sejak balik dari masjid selepas sembahyang Isyak dan solat sunat taubat tadi, Arip perasan yang papa tidak ceria seperti biasa. Sepatutnya papa gembira kerana esok hari raya aidil fitri. Hari raya adalah hari kemenangan, hari graduasi, sepatutnya papa gembira macam Arip.

Setelah termenung, papa membaca helaian kertas di tangannya. Kepalanya kadang-kadang digelengkan. Semacam tidak bersetuju dengan apa yang terkandung di dalam tulisan itu. Sedari tadi, rasanya sudah berkali-kali papa membaca kertas ditangannya.

“Papa  baca apa tu?” Sapa Arip.
“Ooo.... Ini teks khutbah hari raya esok,” jawab papa.
“Papa berkhutbah ke baca khutbah?” Tanya Arip, cukup tajam untuk dijawab papa.
“Papa kena baca khutbah yang disediakan Majlis Agama, salah kalau kita buat khutbah sendiri,” beritahu papa agar Arip faham.
“Ooo... Tetapi kenapa papa termenung dan asyik geleng kepala?” Tanya Arip lagi.
“Papa kena baca sesuatu yang papa sendiri tak mahu baca, sesuatu yang papa kurang setuju,” papa berterus-terang.
“Mana? Biar Arip tengok,” pinta Arip.

Arip meneliti baris-baris yang tertulis di dalam helaian kertas di tangan papa. Walaupun Arip masih bersekolah rendah jenis kebangsaan Tamil darjah 3, tetapi Arip dapat memahami isi kandungan khutbah yang dia baca. Memang terdapat beberapa statement yang Arip sebagai rakyat Kelantan di bawah kepimpinan ulamak terasa sengal membacanya. Bertambah sengal apabila Arip membaca ayat berikut:

"Kita turut menyatakan kesyukuran kerana dapat berhimpun dalam masjid, dalam rumah Allah, bukan di medan-medan, di padang-padang atau di jalanan untuk menimbulkan keadaan keresahan dan mencetuskan perbalahan dan pergaduhan"

“Tak apalah papa, nak buat macam mana dah kerja papa jadi tok khatib....” Arip menasihati papa, macam budak besar-besar pulak.
Tok Imam Salih berlalu ke kamar tidur, meninggalkan teks khutbah di atas meja bersama Arip.

***
Usai solat sunat hari raya aidil fitri, Tok Imam Salih naik ke atas mimbar dan mula membaca khutbah hari raya. Nadanya tidak bersemangat seperti biasa walaupun berpeluh dia mencuba. Tiba-tiba Tok Imam Salih berasa pelik dan janggal apabila membaca ayat:

Kita turut menyatakan kesyukuran kerana dapat bermacam-macam nikmat pada hari ini, termasuklah benda sekecil remote control television di rumah kita. Di dalam rumah kita tidak perlu memaksa diri untuk melihat atau menonton berita propaganda yang disuakan kepada kita. Kita ada remote control di tangan untuk cepat-cepat menukar channel television jika perlu. Jika kita asyik menonton berita yang belum pasti kesahihannya, ini boleh menimbulkan keadaan keresahan dan mencetuskan perbalahan dan pergaduhan"

Tok Imam Salih terkedu sekejap selepas membaca ayat itu. Rasanya sudah berkali-kali dia membaca teks khutbah ini sejak kelmarin, tetapi tiada pula ayat berkaitan remote control tv sebagai nikmat tak terhingga di Malaysia sekarang. Pelik... Pelik betul.

Tok Imam Salih menarik nafas dan mengangkat muka melihat beratus-ratus pasang mata para jemaah yang hadir. Tok Imam Salih perasan ramai jemaah yang tersengguk-sengguk mengantuk tadi sudah terbuka luas mata dan menaruh minat pada khutbah yang sedang dibaca. Hebat juga penangan remote control tv ini, fikir Tok Imam Salih. Selain daripada dapat menukar channel tv in a jiffy apabila timbul sesuatu yang tidak ‘diperlukan’ di kaca television di dalam rumah kita, remote control tv juga rupanya dapat mencelikkan mata pendengar khutbah seluas-luasnya.

Nun di tengah-tengah ruang masjid, betul-betul di bawah lampu chandelier,  Tok Imam Salih ternampak wajah Arip tersengih sambil menunjukkan tanda ‘peace’ di bawah dagunya. Bertuah punya budak! Rupanya Arip yang ubah skrip khutbah Majlis ini. Patutlah ada kesan liquid paper...

“Ittaqullah.....” Kung!!!

Tok Imam Salih menyambung semula khutbah sambil menghentak tongkat yang dipegang ke lantai mimbar agak kuat, cukup untuk membuatkan Arip menukarkan tanda peace yang dibuatnya kepada menggaru-garu dagunya yang tidak gatal.

Sunday, August 26, 2012

Beza Raya Kelantan & Terengganu

Hari pertama masuk kerja hari ni selepas raya. Letih pun belum hilang drive terensut-ensut dari Kelantan ke Kuala Terengganu semalam. Bila jumpa kawan-kawan ambil peluang untuk bermaaf-maafan.

"Selamat hari raya gu, 0-0 deh," kejap aku genggam tangannya.

"Selamat hari raya Cikli, 2-0!," balas dia...

Wei... Baru satu game pun nak bising der. Gua tahu la Kelantan kalah 2-0 baru ni.


Gol pertama Sang Penyu daripada Doe. Imej dari Dunia Warriors.

Orang bentes lu tak apa Daud, lu bentes orang jaga la...Imej dari Dunia Warriors.

Friday, August 10, 2012

Cerita Dari Sebuah Kondo

Ramadhan Tanpa TV@ Wadi Kita
.
.

DIA masih belum puas melihat terjunan Pandelela Rinong yang membuahkan pingat gangsa untuk negara.

“Hebattt.....” Pujian dari mulutnya belum putus-putus.

“Tiliklah puas-puas. Kurus puasa tu nanti,” isteri DIA bersuara apabila melihat DIA tidak lekang dari depan TV semenjak pagi. Satu kerja buat pun tiada daripada DIA hari ini.

“Kurus puasa apa pulak?” Soal DIA balik.

“Kalau dah tengok perempuan berbaju mandi takkan tak kurus puasa,” isteri DIA menjawab.

“Habis tu takkan depa nak pakai jubah pulak dalam acara terjun ni. Kamu tahu tak... Ini Olimpik, bukannya sukaneka atau Sukma, besar nilainya. Berjuang nak dapatkan pingat untuk negara di Olimpik semacam jihad juga kau tahu....” DIA mula berhujah.

“Puasa pun boleh ditangguhkan dahulu demi Olimpik. Bukan aku yang kata, tapi orang-orang agama yang alim dan popular yang sepakat kata begitu,” DIA menutup hujah. Semacam ada kemenangan di situ.

“Suka hati awaklah, saya cuma mengingatkan sahaja. Lagipun kita anak-beranak bukan berpuasa pun,” kendur suara isteri DIA, semacam mengaku kalah pula.

“Biarlah manusia yang berpuasa saja yang fikir pasal benda ni. Ini masalah depa semua, bukan masalah kita. Lagipun aku dah meluat dengan orang ramai ni. Dengki mereka pada kita tak habis-habis....”

Memang kebelakangan ini DIA bengang betul dengan orang ramai. Baginya orang ramai tak habis-habis dengki dengan kehidupan mereka anak-beranak. Baginya orang ramai hanya mahukan mereka hidup melarat. Ragut pagi makan pagi, ragut petang makan petang.

Segalanya bermula apabila mereka anak-beranak berpindah ke kondo mewah 70 ribu sebulan itu. Sejak hari itu, orang ramai sentiasa mencari salah mereka anak-beranak. Orang ramai semacam mahu mereka perpindah balik ke kampong, ke bawah pokok, ke bawah jambatan. Memang orang ramai busuk hati dan dengki.

Apakah tinggal di kondo salah? Tidak wassotiyah kah tinggal di kondo? Tahukah orang ramai makna wassotiyah? Mereka itu sekolah je tinggi, tetapi tidak reti. Tidak tahu. Mereka itu bodoh. Ya bodoh. Bodoh macam lembu.

Bodoh macam lembu?

Betulkah bodoh itu nisbahnya lembu?

Siapa yang menisbahkan begitu? Mesti manusia-manusia yang ramai itu.

Celaka! DIA menyumpah pada orang ramai.

Sejak hari itu DIA tak mahu ambil peduli tentang manusia. Tentang orang ramai. Biarlah mereka dengan labu-labu mereka. DIA akan tetap berdiam di dalam kondo itu bertemankan TV. Hanya TV yang menjadi rakan penghiburnya sekarang.

“Dasar bangsat! Tak tahu bersyukur!” DIA tiba-tiba melampiaskan kemarahannya. Terhenti mulutnya mengunyah seketika.

“Apa lagi tu bang?” Isteri DIA yang sedang bermenung di tingkap terkejut dengan tingkah DIA.

“Ini... BERSIH yang kotor ini. Mereka tak tahu bersyukur dengan apa yang ada. Apa lagi yang mereka mahukan? Merosakkan harta-benda negara. Orang nak berniaga pun tak boleh,” beritahu DIA sambil menuding ke arah kaca TV yang sedang menayangkan demonstrasi BERSIH 3.0 yang tak pernah basi itu.

“Mereka itu orang perjuangan. Memperjuangkan hasrat rakyat jelata,” jawab isteri DIA.

“Hasrat rakyat apanya? Hanya 22,270 orang sahaja...... 22 ribu orang ini saja yang tak puas hati. Penyokong Kelantan yang datang tengok bola friendly lawan QPR lagi ramai daripada yang datang BERSIH 3.0 ni. Lagi 28 juta rakyat jelata OK saja,” jawab DIA pantas.

“22,270? Heh! Awak bilang pakai apa?” Tanya isteri DIA.

“Kan dalam TV menteri ada cakap. Menteri yang cakap pelat Indonesia tu cakap 22,270 orang saja yang hadir BERSIH 3.0 tu. Dia kira sorang-sorang ikut setiap sentimeter graf,” yakin sekali DIA menjawab.

“Hei bang, saya sendiri yang lihat. Dari tingkap ni saya tengok hari tu, penuh jalan-jalan di bawah sana dengan manusia berbaju kuning. Takkanlah 22 ribu sahaja. Itulah abang, TV saja kehidupan seharian abang. Benda betul ada di depan mata pun, abang masih percaya pada TV. Cuba-cubalah cari maklumat alternatif,” isteri DIA memulangkan paku buah keras.

“Takkanlah menteri pelat Indon tu nak tipu,” DIA tak mahu beralah.

“Politik bang.... Tengok isu sambutan merdeka 55 tahun Negara kita sekarang ni, apa dolak-dalik menteri pelat Indon tu tentang logo, slogan dan lagu yang digunakan.... Oh saya lupa, abang tak tahu sebab abang asyik tengok TV saja, tak tengok media alternatif,” isteri DIA berhujah sambil memerli.

 DIA hanya diam tidak menjawab.

“Tempat kita bukan di kondo ini bang. Saya rindukan angin sepoi-sepoi bahasa di tepi tasik bang. Tempat ini tak elok untuk anak-anak kita yang sedang membesar. Mereka perlukan kehijauan, bukannya hidup dilingkungi konkrit bercat ini. Dingin aircond tak sama dengan dingin angin semilir bang. Kita perlu pindah,” isteri DIA berkata separuh merayu.

“Nampaknya kau pun dah termakan dengan hasutan orang ramai yang dengki itu,” DIA menjawab, tidak bersetuju dengan pandangan isterinya.

“Anak kita tu bang, tidurpun asyik mengigau sahaja semenjak pindah ke kondo ini. Ye lah kalau hari-hari disajikan dengan cerita hantu dan tahyol di kaca TV tu. Mereka perlu berlari di padang, bukan tengok TV je kerjanya,” isteri DIA berkata lagi.

“Karut! Sebelum tidur suruhlah budak-budak tu basuh kaki. Baru tak mengigau. Jangan malas, basuh keempat-empat. Jangan basuh dua sahaja,” DIA masih tidak mahu melayan isu pindah yang dibangkitkan si isteri. Baginya jika mereka pindah dari kondo itu, bermakna dia mengaku kalah dengan hasutan dan dengki serta fitnah orang ramai.

“Dunia sebenar bukanlah seperti yang tertera di kaca TV bang,” isteri DIA masih belum mengaku kalah.

“Baru-baru ini, Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Mohd Zaini Hassan pun ada beritahu bahawa pengamal media boleh spin fakta sebagai “serangan berhemah” kepada pihak lawan sehingga sesuatu fakta tersebut memihak kepada golongan yang berkepentingan... Ini menunjukkan apa yang keluar dari TV yang abang tenung dari pagi hingga ke malam itu banyak fiksyennya,” panjang hujah si isteri.

“Sudahlah aku dah lapar ni, apa lunch hari ni?”  Tanya DIA.

“Macam biasa.”

“Takkanlah dedak lagi... Rumput alfalfa import la pulak. Spirulina ke....” Protes DIA.

“Saya ajak pindah abang tak mahu. Dah duduk kondo, makan dedak je lah bang oiii. Kat sini, siapa yang nak mencerut rumput. Di mana nak mencerut di kota batu ni.... Nak order McDonald atau NFC opsss KFC, kita ni herbivor abang sayang oiii... Kita bukannya maging atau maserba macam manusia, kita hanyalah makhluk maun. Lagipun kita ni lembu, sanggupkah abang makan daging saudara-mara sendiri semata-mata kerana nak jaga status kita sebagai lembu yang mampu tinggal di kondo 70 ribu sebulan ini?,” kali ini isteri DIA tak kasi can, membelasah dia cukup-cukup.

Dia terdiam sambil ekornya melibas-libas badannya yang tak gatal.

“Tengoklah... Mungkin selepas orang ramai berPRU13 nanti, kita pindah. Dan buat sementara ini, abang mesti kurangkan TV,” katanya akur.

Si isteri hanya tersenyum dengan perubahan si suami sambil mulutnya meluahkan ucapan kesyukuran. Mooooooooooooooooooooooooo (Translate: Syuukuuuuuuuuuuuuuuuuuurrr).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...