Wednesday, August 29, 2012

Janji Ditepati

Belum pun pukul sembilan pagi, aku sudah tercongok di foyer library. Hari ini adalah hari yang paling bersejarah dalam hidup aku setakat ini. Seorang lelaki pemalu yang pernah takut kepada perempuan akhirnya akan keluar dating dengan seorang gadis. 

Memang sukar dan berat pada mulanya bagi aku untuk mendekati gadis ini. Namun atas nasihat, motivasi  dan kerja sabotaj kawan serumah, akhirnya aku beranikan diri. Apatah lagi bila kadang-kadang motivasi diberikan bersama petikan gitar si Porom sambil mendendangkan lagu Michael Learns To Rock iaitu 25 minutes.

"Itu baru 25 minit lewat, orang dah sapu...." Bakar si Atuk.

"Yang penting sampaikan mesej kepada si dia iaitu... Hang suka dia..." Sambung pula si Apip.

"Dia nak terima ke tidak, itu soal nombor 2, soal nombor 1.... Biar dia tahu seseorang di sini suka banget sama dia," si Sahak pula berfalsafah lagak pakar cinta.

Akhirnya, entah macam mana magisnya, mesej aku sukakan si dia sampai kepadanya. Tindak balas kimia daripadanya cukup cantik dan positif penuh dengan bunga-bunga dan rama-rama. Entah dari mana datangnya kekuatan, aku akhirnya mengajak dia keluar di suatu kesempatan. Jawapan 'ya' dari si dia membuatkan aku rasakan diri ini umpama emas lapan kilo. 

Dan di foyer ini aku berdiri hari ini, pukul 9.15 a.m. Namun si dia masih belum di mana-mana untuk dilihat.

"Janji di sini pukul 9.00...." Aku mengingatkan diriku. Mana tahu jika aku tersilap tempat janji pertemuan.

Rupanya menunggu orang yang kita suka dan puja adalah suatu nikmat, buktinya sekarang sudah pukul 9.50 a.m., namun aku tiada rasa fed-up atau marah sedikitpun.

Biasanya aku kalau menunggu sesuatu atau seseorang, cukup sekadar setengah jam sahaja. Semasa aku tinggal di Kuala Lumpur dahulu, aku hanya bersabar menunggu bas mini setakat 30 minit sahaja. Selepas itu aku akan berasap walaupun aku terpaksa naik jua bas yang lewat itu.

10.30 a.m., si dia masih belum nampak bayang namun tiada kedutpun di dahi aku.

Kenapa aku tak telefon? Kau tanya kenapa aku tak telefon atau sms atau miss call saja dia? Hei kawan, sudah atau belum aku beritahu engkau bahawasanya ini kisah tahun 1993! Ini memori, past tense bukan present tense. Masa ini handset sudah ada, tetapi hanya ahli korporat sahaja yang pakai. Itupun besarnya mak oiii... Macam bawak Nokia 3310 lapan biji sekaligus! SMS jangan ceritalah, tak terfikir pun lagi masa tu.

10.45 a.m. Mana dia ni...... Tapi aku tak marah sedikit rabutpun.

10.57 a.m. Si dia akhirnya sampai bersama senyuman yang paling manis yang pernah aku lihat. Aku turut tersenyum walaupun dalam hati aku berkata, kalau mak aku tahu hal aku dating ini habislah kaooo.

"Dah lama tunggu?" Sapa si gadis.

Aku yang sudah berada 2 jam di foyer library ini menjawab semesra mungkin agar si gadis tahu yang aku tidak marah atas kelambatannya.

"Dari pukul sembilan I di sini."

"Pukul sembilan? Semalam you kata jumpa kat sini pukul Sebelas...." Si gadis menjadi sedikit keliru.

Oooo.... Patutlah. Tiada isu sama ada si dia yang silap dengar atau aku yang tersilap cakap. Mungkin juga kerana bila hati dah suka, kata di hati dah tak sama dengan kata yang keluar dari peti suara.

Tak penting apa yang si dia dengar, yang penting janji yang si dia cuba tepati.

Monday, August 27, 2012

Cerpen: Khutbah Remote Control Aidil Fitri

Imej dari Blog Pakar Cinta

Belumpun sempat menteri itu bercakap baku, Arip cepat-cepat menekan punat remote control tv. Muak dia mendengar perkataan yang sama diulang-ulang di television yang keluar daripada mulut menteri yang berperwatakan aristokrat Philipina itu. Di channel  3, ditayangkan pula kumpulan orang yang kelihatan mengganas yang sedang disembur air seperti sekumpulan budak kecil yang menyertai majlis berkhatan beramai-ramai. Ini pun tayangan wajib ulang berpuluh-puluh kali sehari yang membuatkan Arip naik muak, lantas dia menekan punat remote control tv lagi. Di channel 7, Arip sekali lagi muak dengan drama tak habis-habis seorang makcik yang berjaya meluaskan perniagaannya dengan modal RM500. Arip menukar channel television lagi, kali ini kelihatan seorang bersongkok tinggi sedang bercakap tentang hukum-hakam agama di atas pentas sebelum turun bersalam dengan wanita-wanita yang rata-ratanya berpakaian merah dan putih. Macamlah malam ini ada game bola Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke IV.

Tup! Sekali lagi Arip menekan punat remote control tv.

“Huh! Tutup terus lagi bagus,” Arip berkata kepada dirinya sendiri.

Arip melihat ke kanannya, Tok Imam Salih termenung panjang di meja makan. Sejak balik dari masjid selepas sembahyang Isyak dan solat sunat taubat tadi, Arip perasan yang papa tidak ceria seperti biasa. Sepatutnya papa gembira kerana esok hari raya aidil fitri. Hari raya adalah hari kemenangan, hari graduasi, sepatutnya papa gembira macam Arip.

Setelah termenung, papa membaca helaian kertas di tangannya. Kepalanya kadang-kadang digelengkan. Semacam tidak bersetuju dengan apa yang terkandung di dalam tulisan itu. Sedari tadi, rasanya sudah berkali-kali papa membaca kertas ditangannya.

“Papa  baca apa tu?” Sapa Arip.
“Ooo.... Ini teks khutbah hari raya esok,” jawab papa.
“Papa berkhutbah ke baca khutbah?” Tanya Arip, cukup tajam untuk dijawab papa.
“Papa kena baca khutbah yang disediakan Majlis Agama, salah kalau kita buat khutbah sendiri,” beritahu papa agar Arip faham.
“Ooo... Tetapi kenapa papa termenung dan asyik geleng kepala?” Tanya Arip lagi.
“Papa kena baca sesuatu yang papa sendiri tak mahu baca, sesuatu yang papa kurang setuju,” papa berterus-terang.
“Mana? Biar Arip tengok,” pinta Arip.

Arip meneliti baris-baris yang tertulis di dalam helaian kertas di tangan papa. Walaupun Arip masih bersekolah rendah jenis kebangsaan Tamil darjah 3, tetapi Arip dapat memahami isi kandungan khutbah yang dia baca. Memang terdapat beberapa statement yang Arip sebagai rakyat Kelantan di bawah kepimpinan ulamak terasa sengal membacanya. Bertambah sengal apabila Arip membaca ayat berikut:

"Kita turut menyatakan kesyukuran kerana dapat berhimpun dalam masjid, dalam rumah Allah, bukan di medan-medan, di padang-padang atau di jalanan untuk menimbulkan keadaan keresahan dan mencetuskan perbalahan dan pergaduhan"

“Tak apalah papa, nak buat macam mana dah kerja papa jadi tok khatib....” Arip menasihati papa, macam budak besar-besar pulak.
Tok Imam Salih berlalu ke kamar tidur, meninggalkan teks khutbah di atas meja bersama Arip.

***
Usai solat sunat hari raya aidil fitri, Tok Imam Salih naik ke atas mimbar dan mula membaca khutbah hari raya. Nadanya tidak bersemangat seperti biasa walaupun berpeluh dia mencuba. Tiba-tiba Tok Imam Salih berasa pelik dan janggal apabila membaca ayat:

Kita turut menyatakan kesyukuran kerana dapat bermacam-macam nikmat pada hari ini, termasuklah benda sekecil remote control television di rumah kita. Di dalam rumah kita tidak perlu memaksa diri untuk melihat atau menonton berita propaganda yang disuakan kepada kita. Kita ada remote control di tangan untuk cepat-cepat menukar channel television jika perlu. Jika kita asyik menonton berita yang belum pasti kesahihannya, ini boleh menimbulkan keadaan keresahan dan mencetuskan perbalahan dan pergaduhan"

Tok Imam Salih terkedu sekejap selepas membaca ayat itu. Rasanya sudah berkali-kali dia membaca teks khutbah ini sejak kelmarin, tetapi tiada pula ayat berkaitan remote control tv sebagai nikmat tak terhingga di Malaysia sekarang. Pelik... Pelik betul.

Tok Imam Salih menarik nafas dan mengangkat muka melihat beratus-ratus pasang mata para jemaah yang hadir. Tok Imam Salih perasan ramai jemaah yang tersengguk-sengguk mengantuk tadi sudah terbuka luas mata dan menaruh minat pada khutbah yang sedang dibaca. Hebat juga penangan remote control tv ini, fikir Tok Imam Salih. Selain daripada dapat menukar channel tv in a jiffy apabila timbul sesuatu yang tidak ‘diperlukan’ di kaca television di dalam rumah kita, remote control tv juga rupanya dapat mencelikkan mata pendengar khutbah seluas-luasnya.

Nun di tengah-tengah ruang masjid, betul-betul di bawah lampu chandelier,  Tok Imam Salih ternampak wajah Arip tersengih sambil menunjukkan tanda ‘peace’ di bawah dagunya. Bertuah punya budak! Rupanya Arip yang ubah skrip khutbah Majlis ini. Patutlah ada kesan liquid paper...

“Ittaqullah.....” Kung!!!

Tok Imam Salih menyambung semula khutbah sambil menghentak tongkat yang dipegang ke lantai mimbar agak kuat, cukup untuk membuatkan Arip menukarkan tanda peace yang dibuatnya kepada menggaru-garu dagunya yang tidak gatal.

Sunday, August 26, 2012

Beza Raya Kelantan & Terengganu

Hari pertama masuk kerja hari ni selepas raya. Letih pun belum hilang drive terensut-ensut dari Kelantan ke Kuala Terengganu semalam. Bila jumpa kawan-kawan ambil peluang untuk bermaaf-maafan.

"Selamat hari raya gu, 0-0 deh," kejap aku genggam tangannya.

"Selamat hari raya Cikli, 2-0!," balas dia...

Wei... Baru satu game pun nak bising der. Gua tahu la Kelantan kalah 2-0 baru ni.


Gol pertama Sang Penyu daripada Doe. Imej dari Dunia Warriors.

Orang bentes lu tak apa Daud, lu bentes orang jaga la...Imej dari Dunia Warriors.

Friday, August 10, 2012

Cerita Dari Sebuah Kondo

Ramadhan Tanpa TV@ Wadi Kita
.
.

DIA masih belum puas melihat terjunan Pandelela Rinong yang membuahkan pingat gangsa untuk negara.

“Hebattt.....” Pujian dari mulutnya belum putus-putus.

“Tiliklah puas-puas. Kurus puasa tu nanti,” isteri DIA bersuara apabila melihat DIA tidak lekang dari depan TV semenjak pagi. Satu kerja buat pun tiada daripada DIA hari ini.

“Kurus puasa apa pulak?” Soal DIA balik.

“Kalau dah tengok perempuan berbaju mandi takkan tak kurus puasa,” isteri DIA menjawab.

“Habis tu takkan depa nak pakai jubah pulak dalam acara terjun ni. Kamu tahu tak... Ini Olimpik, bukannya sukaneka atau Sukma, besar nilainya. Berjuang nak dapatkan pingat untuk negara di Olimpik semacam jihad juga kau tahu....” DIA mula berhujah.

“Puasa pun boleh ditangguhkan dahulu demi Olimpik. Bukan aku yang kata, tapi orang-orang agama yang alim dan popular yang sepakat kata begitu,” DIA menutup hujah. Semacam ada kemenangan di situ.

“Suka hati awaklah, saya cuma mengingatkan sahaja. Lagipun kita anak-beranak bukan berpuasa pun,” kendur suara isteri DIA, semacam mengaku kalah pula.

“Biarlah manusia yang berpuasa saja yang fikir pasal benda ni. Ini masalah depa semua, bukan masalah kita. Lagipun aku dah meluat dengan orang ramai ni. Dengki mereka pada kita tak habis-habis....”

Memang kebelakangan ini DIA bengang betul dengan orang ramai. Baginya orang ramai tak habis-habis dengki dengan kehidupan mereka anak-beranak. Baginya orang ramai hanya mahukan mereka hidup melarat. Ragut pagi makan pagi, ragut petang makan petang.

Segalanya bermula apabila mereka anak-beranak berpindah ke kondo mewah 70 ribu sebulan itu. Sejak hari itu, orang ramai sentiasa mencari salah mereka anak-beranak. Orang ramai semacam mahu mereka perpindah balik ke kampong, ke bawah pokok, ke bawah jambatan. Memang orang ramai busuk hati dan dengki.

Apakah tinggal di kondo salah? Tidak wassotiyah kah tinggal di kondo? Tahukah orang ramai makna wassotiyah? Mereka itu sekolah je tinggi, tetapi tidak reti. Tidak tahu. Mereka itu bodoh. Ya bodoh. Bodoh macam lembu.

Bodoh macam lembu?

Betulkah bodoh itu nisbahnya lembu?

Siapa yang menisbahkan begitu? Mesti manusia-manusia yang ramai itu.

Celaka! DIA menyumpah pada orang ramai.

Sejak hari itu DIA tak mahu ambil peduli tentang manusia. Tentang orang ramai. Biarlah mereka dengan labu-labu mereka. DIA akan tetap berdiam di dalam kondo itu bertemankan TV. Hanya TV yang menjadi rakan penghiburnya sekarang.

“Dasar bangsat! Tak tahu bersyukur!” DIA tiba-tiba melampiaskan kemarahannya. Terhenti mulutnya mengunyah seketika.

“Apa lagi tu bang?” Isteri DIA yang sedang bermenung di tingkap terkejut dengan tingkah DIA.

“Ini... BERSIH yang kotor ini. Mereka tak tahu bersyukur dengan apa yang ada. Apa lagi yang mereka mahukan? Merosakkan harta-benda negara. Orang nak berniaga pun tak boleh,” beritahu DIA sambil menuding ke arah kaca TV yang sedang menayangkan demonstrasi BERSIH 3.0 yang tak pernah basi itu.

“Mereka itu orang perjuangan. Memperjuangkan hasrat rakyat jelata,” jawab isteri DIA.

“Hasrat rakyat apanya? Hanya 22,270 orang sahaja...... 22 ribu orang ini saja yang tak puas hati. Penyokong Kelantan yang datang tengok bola friendly lawan QPR lagi ramai daripada yang datang BERSIH 3.0 ni. Lagi 28 juta rakyat jelata OK saja,” jawab DIA pantas.

“22,270? Heh! Awak bilang pakai apa?” Tanya isteri DIA.

“Kan dalam TV menteri ada cakap. Menteri yang cakap pelat Indonesia tu cakap 22,270 orang saja yang hadir BERSIH 3.0 tu. Dia kira sorang-sorang ikut setiap sentimeter graf,” yakin sekali DIA menjawab.

“Hei bang, saya sendiri yang lihat. Dari tingkap ni saya tengok hari tu, penuh jalan-jalan di bawah sana dengan manusia berbaju kuning. Takkanlah 22 ribu sahaja. Itulah abang, TV saja kehidupan seharian abang. Benda betul ada di depan mata pun, abang masih percaya pada TV. Cuba-cubalah cari maklumat alternatif,” isteri DIA memulangkan paku buah keras.

“Takkanlah menteri pelat Indon tu nak tipu,” DIA tak mahu beralah.

“Politik bang.... Tengok isu sambutan merdeka 55 tahun Negara kita sekarang ni, apa dolak-dalik menteri pelat Indon tu tentang logo, slogan dan lagu yang digunakan.... Oh saya lupa, abang tak tahu sebab abang asyik tengok TV saja, tak tengok media alternatif,” isteri DIA berhujah sambil memerli.

 DIA hanya diam tidak menjawab.

“Tempat kita bukan di kondo ini bang. Saya rindukan angin sepoi-sepoi bahasa di tepi tasik bang. Tempat ini tak elok untuk anak-anak kita yang sedang membesar. Mereka perlukan kehijauan, bukannya hidup dilingkungi konkrit bercat ini. Dingin aircond tak sama dengan dingin angin semilir bang. Kita perlu pindah,” isteri DIA berkata separuh merayu.

“Nampaknya kau pun dah termakan dengan hasutan orang ramai yang dengki itu,” DIA menjawab, tidak bersetuju dengan pandangan isterinya.

“Anak kita tu bang, tidurpun asyik mengigau sahaja semenjak pindah ke kondo ini. Ye lah kalau hari-hari disajikan dengan cerita hantu dan tahyol di kaca TV tu. Mereka perlu berlari di padang, bukan tengok TV je kerjanya,” isteri DIA berkata lagi.

“Karut! Sebelum tidur suruhlah budak-budak tu basuh kaki. Baru tak mengigau. Jangan malas, basuh keempat-empat. Jangan basuh dua sahaja,” DIA masih tidak mahu melayan isu pindah yang dibangkitkan si isteri. Baginya jika mereka pindah dari kondo itu, bermakna dia mengaku kalah dengan hasutan dan dengki serta fitnah orang ramai.

“Dunia sebenar bukanlah seperti yang tertera di kaca TV bang,” isteri DIA masih belum mengaku kalah.

“Baru-baru ini, Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Mohd Zaini Hassan pun ada beritahu bahawa pengamal media boleh spin fakta sebagai “serangan berhemah” kepada pihak lawan sehingga sesuatu fakta tersebut memihak kepada golongan yang berkepentingan... Ini menunjukkan apa yang keluar dari TV yang abang tenung dari pagi hingga ke malam itu banyak fiksyennya,” panjang hujah si isteri.

“Sudahlah aku dah lapar ni, apa lunch hari ni?”  Tanya DIA.

“Macam biasa.”

“Takkanlah dedak lagi... Rumput alfalfa import la pulak. Spirulina ke....” Protes DIA.

“Saya ajak pindah abang tak mahu. Dah duduk kondo, makan dedak je lah bang oiii. Kat sini, siapa yang nak mencerut rumput. Di mana nak mencerut di kota batu ni.... Nak order McDonald atau NFC opsss KFC, kita ni herbivor abang sayang oiii... Kita bukannya maging atau maserba macam manusia, kita hanyalah makhluk maun. Lagipun kita ni lembu, sanggupkah abang makan daging saudara-mara sendiri semata-mata kerana nak jaga status kita sebagai lembu yang mampu tinggal di kondo 70 ribu sebulan ini?,” kali ini isteri DIA tak kasi can, membelasah dia cukup-cukup.

Dia terdiam sambil ekornya melibas-libas badannya yang tak gatal.

“Tengoklah... Mungkin selepas orang ramai berPRU13 nanti, kita pindah. Dan buat sementara ini, abang mesti kurangkan TV,” katanya akur.

Si isteri hanya tersenyum dengan perubahan si suami sambil mulutnya meluahkan ucapan kesyukuran. Mooooooooooooooooooooooooo (Translate: Syuukuuuuuuuuuuuuuuuuuurrr).

Monday, August 6, 2012

Tanyalah Aku

Tiba saja masa commercial break, jurumekap terus menerpa mentacap muka aku yang berpeluh-peluh. Tak sempat aku nak mengelak. Ini kalau diambil gambar aku sedang ditacap oleh bukan muhrim, mahu kecoh di wall FB aku.

Memang aku berpeluh sampai ke atas kepala. Maklumlah pertama kali masuk TV, live lagi. Aku harap muka aku dikerjakan oleh jurumekap cun ini tidak dijadikan isu untuk menjatuhkan aku sebagai seorang ustaz dan  pendakwah bebas. Kalau Kajol yang tahu tak apa, sebab dia sporting. Dia tahu bukan aku yang beriya-iya menjojol muka untuk disapu sana-sini oleh jurumekap beriras Neelofa dan Anzalna ini.

Jurumekap membetulkan pula songkok 4 inci yang aku pakai walaupun tangan aku semacam menghalang dia berbuat begitu. Selalunya aku berkopiah dan berserban ala-ala Tok Kenali, tetapi penerbit kata aku kena bersongkok hari ni agar nampak lebih berketrampilan dalam live TV. Aku ikut saja, janji tinggi songkok tak melebihi 6 inci. 

Rancangan diteruskan. Kali ini aku lebih bersedia, mungkin butterfly dalam perut aku dah terbang pergi.  Sekarang tibalah segmen untuk soalan dari audien di dalam studio.

"Assalamualaikum ustaz...... Nama saya Badri Bin Razi, dari Taman Indah Seksyen 7. Soalan saya... Apakah hukumnya tidak berpuasa...Emmm sebenarnya menangguhkan puasa kerana sedang mengambil bahagian dalam temasya sukan Olimpik. Sekian terima kasih."

Wah... Satu soalan yang sungguh relevan aku fikir. Tiba-tiba terasa butterfly dalam perut aku datang semula.

"Terima kasih saudara Piya... Opsss Badri yang bertanya. Satu soalan yang amat baik dan tepat dengan situasi sekarang. Namun bagi saya, ianya memerlukan satu perbahasan dan perbincangan khusus tentang hal ini kerana apa hukum yang dinyatakan nanti, ianya akan menjadi suatu fatwa. ...."

Aku menelan air liur. Menarik nafas agar nampak cool dan berkarismatik di atas pentas, lebih-lebih lagi di kaca televisyen.

"Saya sebenarnya tak layak nak keluarkan fatwa, kalau keluarkan petua boleh......"

Aku berhenti lagi, memberi laluan kepada audien yang ingin ketawa dan gelak dengan joke aku yang skima tadi.

"Namun setahu saya, baru-baru ini ada mufti-mufti besar dan bekas mufti yang juga besar telah memberikan pendapat mereka iaitu boleh menangguhkan puasa untuk ahli-ahli sukan muslim kita yang sedang berjuang di pentas Olimpik."

"Tentunya ada banyak reaksi untuk perkara ini. Ada yang mengungkit tentang sejarah sukan Olimpik itu sendiri. Ada yang mempersoalkan tentang pakaian yang membuka dan membalut aurat semasa bersukan dan macam-macam lagi termasuk unsur-unsur illuminati dalam temasya Olimpik kali ini. Ada juga yang mengingatkan kembali sirah Nabi kita S.A.W dan para sahabat yang berperang semasa mereka sedang berpuasa di bulan Ramadhan ..... "

"Bagi saya, kita bersangka baik. Mufti-mufti besar dan bekas mufti besar tentunya begitu alim dalam bidang mereka dan pastinya setiap pendapat yang dikeluarkan adalah berdasarkan pengetahuan dan ilmu mereka."

"Syariat Islam telah meletakkan prinsip-prinsip bermuzakarah, berdailog dan berbincang dalam sesuatu perkara. Perbincangan mestilah beasaskan akal yang sihat, disiplin ilmu, sumber hukum syariat dan bukan secara agakan, sentimen, kepentingan sesuatu dan emosi. Menjadi satu adab yang dilakukan oleh mereka bahawa mereka tidak menyalahkan diantara satu sama lain bahkan menghormati antara sesama mereka. Jika ijtihad itu betul mendapat dua pahala dan jika salah mendapat satu pahala."

"Cuma saya suka nak menambah sikit bagi isu menangguhkan puasa kerana menyertai sukan Olimpik ini...."

Aku berhenti sedetik sambil memandang ke arah pengerusi forum yang asyik melihat jam tangannya. Audien lain semacam tak sabar menanti butir-buah yang bakal keluar dari mulut aku, seorang ustaz yang pertama kali dijemput berforum di live TV. Kalau ada minat dari audien nampaknya selepas ini keraplah aku keluar TV.

"Bila dah tangguhkan puasa tu, pastikan anda berhasil mendapatkan pingat untuk negara. Malaysia bolehh..."

Aku tersemangat sambil mengangkat tangan. Pengerusi forum kelihatan terkesima seperti cicak baru jatuh dari siling. Audien sudah mula bising. Badan aku terasa bergoyang.....

"Abe... Ada 15 minit lagi ni... Sahur... Anak-anak semua dah siap sahur tu," suara lembut manja Kajol menyelamatkan aku dari kebisingan audien yang tak puas hati di studio.

Nasib baik cuma mimpi. Aku tersenyum sendirian, baru sekali berjaya sembahyang terawih 20 rakaat dah ada hati mimpi nak jadi ustaz live TV. Perasan lah lu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...