Mikail Gorbachev |
Hari ini genap lapan purnama Raisa menjanda. Janda lawa anak dua. Itulah title yang Raisa pegang sekarang. Bukan tak ada orang yang mahu memperisterikan Raisa, berlambak. Hakikatnya Raisa sendiri pun sudah jemu hidup berseorangan. Tidur berseorangan. Membesarkan anak 2 orang seorang diri tanpa seorang lelaki bergelar suami di sisi cukup perit bagi Raisa. Namun Raisa masih dalam membuat perkiraan.
Adi, jejaka warak yang tinggal di sebelah masjid sudah lama menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Raisa. Begitu juga Nuar, duda ganteng yang sudah lama berpisah dengan isteri pertamanya juga ada menzahirkan impiannya untuk menyunting Raisa. Malah Guan, tauke Cina kaya juga katanya sanggup masuk Islam jika Raisa sudi berkahwin dengannya. Namun Raisa masih belum dapat membuat keputusan.
Masalah utama Raisa adalah bekas suaminya, Adet. Setelah lapan purnama ditinggalkan. Setelah lapan purnama Adet membiarkan Raisa berkais pagi-petang menyara 2 anaknya yang masih kecil. Setelah lapan purnama Raisa dibiarkan menderita mental dan fizikal. Akhirnya Adet muncul dengan kata-kata maafnya. Adet muncul dengan janji-manis romantika d'amor nya.
Selama lapan purnama ini Raisa sudah puas berfikir dan cuba melupakan Adet. Cuba membuang jauh-jauh cintanya yang masih bersisa kepada Adet. Cuba mengubati sakit fizikalnya bekas tamparan dan henyakan Adet. Pipi cantik Raisa sehingga sekarang masih bertampuk hitam seperti Muhyidin Yassin dek penangan tangan kasar Adet. Puncanya kerana Raisa menyoal perihal bau minyak wangi perempuan yang melekat di baju Adet.
Raisa juga pernah diterajang kerana membasuh baju Adet bersama-sama dengan tiket TOTO yang tersimpan di dalam kocek baju itu. Bukan menang pun nombor yang ditikam Adet, namun Raisa menjadi tempat Adet melampias nafsu kalah judinya.
"Maafkan abang...." Itulah kata-kata pujukan Adet apabila mood dia baik semula. Apabila Raisa diam dalam geram, Adet akan berkata pula.
"Kesianlah abang ni sayang. Abangkan anak yatim," Akhirnya lembut juga hati Raisa. Lagipun Raisa tahu, taat seorang isteri kepada seorang suami amatlah dituntut agama Islam.
Sehari-dua, Adet balik mabuk-mabuk lagi. Bau minyak wangi perempuan lagi. Kesan gincu sana-sini lagi. Apalagi, Raisa lagi yang kena penampar lagi.
"Maaf yang, abang mabuk semalam..."
Adet bukan setakat mabuk arak. Saham arak pun dia beli. Saham Carlsberg, saham San Miguel, beratus lot dia beli. Cepat untung, cepat kaya katanya.
Semasa tahap mabuk Adet memuncaklah dia menceraikan Raisa lapan purnama lalu. Padahal perempuan secantik Raisa, kalau tak gosok gigi lapan hari pun, manager bank masih tergila-gila nak buat isteri. Nah! Sekarang Adet bagai gila talak lagaknya. Apalagi bila dia mendapat khabar Raisa telah dirisik oleh Adi, Nuar dan Guan.
"Raisa sayang, Adi tu miskin. Susah kalau hidup dengan dia. Nanti anak-anak nak makan apa? Nak sekolah macam mana? Hidup ni tak cukup dengan sembahyang dan zikir sahaja..." Adet memburukkan Adi di depan Raisa.
"Baik dia lah daripada abang tu yang tak kenal tikar sembahyang," jawab Raisa.
"Siapa kata abang tak sembahyang. Abang sembahyang, tetapi abang tak tunjuk kat orang. Abang beribadat secara wassotiyah, tak menunjuk-nunjuk," Adet membela dirinya. Raisa hanya membisu sambil memandang kereta Lamborghini Adet di laman rumah. Sebijik macam kereta tauke ikan bakar di Sekinchan.
"Raisa, you tahu tak Nuar duda yang tergilakan you tu homo...." Adet mula buka cerita lain.
"Abang jangan nak buat fitnah pulak!" Potong Raisa cepat-cepat.
"Isk.. Tak percaya? Abang ada video dia. Kalau tak percaya juga, tanya kawan dia si Guan rasis tu," bersunguh Adet membuat cerita.
"Abang dulupun selalu pergi kelab malam, mabuk, main perempuan...." Raisa mengungkit kisah lama.
"Itu dulu, abang dah transformasikan diri abang sekarang. Percayalah janji abang, abang memang jenis yang janji ditepati punya. Kahwinlah semula dengan abang," pujuk Adet.
Raisa diam berfikir. Sesekali matanya menjeling Lamborghini di laman. Memang Adet kaya, banyak duit. Namun dia suka mengungkit pemberiannya. Dulu, lima-enam bulan dia mengungkit-ungkit duit RM500 yang diberikan kepada Raisa untuk buat belanja di spa. Paling teruk dia mengungkit pula duit RM100 seorang yang diberikan kepada anak-anak mereka untuk beli buku sekolah.
"Demi anak-anak, generasi pewaris kita, terimalah abang semula," rayu Adet bersungguh-sungguh.
"Tapi......" Raisa masih teragak-agak.
"Abang tahu dulu abang jahat. Tapi Raisa kenal abang, Raisa tahu hati budi abang. Mereka yang mahukan Raisa itu Raisa belum tahu hati budi mereka..... Bak kata pepatah, better the devil you know," mendayu-dayu suara Adet.
Better the devil you know?
Perkataan itu menyentap hatinya. Itulah tajuk lagu yang cukup diminatinya yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi Sonia dari United Kingdom dalam pertandingan Eurovision tahun 1993. Lagu inilah yang didendangkan oleh Raisa di atas pentas pertandingan Ratu Kebaya yang dimenanginya 3 tahun lalu. Hati Raisa mencair bagai salji dimusim bunga apabila mendengar Adet mengungkapkan kata, 'better the devil you know'.
Kini sudah 3 purnama Raisa rujuk baik dengan Adet sekaligus menghancur ranapkan impian mahligai syahdu Adi, Nuar dan Guan. Namun disangka panas sampai kepetang, rupanya hujan pukul sepuluh pagi lagi. Raisa sekarang kembali berendam air mata. Adet masih dulu, kini dan selamanya penagih arak, kaki perempuan, tahi rasuah dan pemurah dengan penampar. Tampuk bera hitam seperti Muhyidin Yassin di pipi kanan Raisa yang belum hilang akibat henyakan Adet dulu, kini telah bertambah dengan tompok hitam pecah darah di dahi sebijik macam Mikhail Gorbachev, bekas Presiden Rusia hasil henyakan terbaru daripada Adet.
Raisa kini menyesal sambil menunggu edah kali keduanya yang entah datang atau tidak.
.
.
**Cerita rekaan penulis sahaja. Jika terasa, harap maaf. Itulah asam garam kehidupan yang fana ini.
.
**Cerita rekaan penulis sahaja. Jika terasa, harap maaf. Itulah asam garam kehidupan yang fana ini.