 |
Tercegat je kerja dia |
Seorang tauke kilang bercakap dengan nada susah hati yang amat.
"Yang kerajaan buat ni entahkan betul, entahkan tidak."
Aku hanya menunggu apa isu yang ingin dia utarakan sebenarnya. Dengan wajah berkedut (macam dibuat-buat), si tauke meneruskan.
"Nanti gaji pekerja yang 5-6 ratus kena naikkan jadi 9 ratus."
Rupanya isu gaji minima yang dirunsingkannya. Yalah dia tauke kilang, dia kira duit tak sama macam aku kira duit. Aku kira duit dari bawah ke atas. Dia kira duit dari atas ke bawah.
"Tengok tu, guard yang 'tak buat apa-apa' pun kena naikkan gaji jadi 9 ratus," dia menambah sambil menuding ke pondok jaga.
"Tak usahlah pakai guard," aku melontarkan idea spontan.
"Mana boleh!" dia cepat-cepat menjawab.
"Kenapa tak boleh?" Aku bertanya macam budak tadika.
"Nanti kalau tak ada guard, banyaklah barang hilang nanti. Orang kampung nanti suka hati keluar-masuk kilang kalau tak ada orang control..." Dia memberi alasan yang cukup munasabah dan tepat sekali.
"Tadi kata guard tu tak buat apa-apa," aku berlakon sebagai budak tadika sekali lagi.
Dia hanya diam. Dia faham la maksud aku tu....
"Saya pergi dulu ye, ada kerja kat pejabat pendaftaran," kata dia sambil menghulurkan salam.
Aku hanya memerhatikan tauke kilang itu menuju ke Mercedesnya yang aku agak duit RM900 hanya mampu membeli 2 biji tayarnya sahaja tanpa sport rim.