Friday, September 4, 2015

UAE 10 - 0 Malaysia

Saya bukan nak ulas pasal bola. Kalah 10-0 tak perlu ulasan. Tengok score board pun dah menceritakan segala keperitannya.

Saya nak cerita pasal safety, pasal KKP, iaitu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Sistem KKP ibarat perlawanan bolasepak. Coach sudah tentunya sebagai majikan.

Dalam bolasepak gol pihak lawan adalah seumpama eksiden. Dan inilah matlamat perlawanan bolasepak. Prevent the opponent from scoring goals (read: prevent accidents). Jika gol yang disumbat pihak lawan adalah eksiden, sudah tentu bola itu adalah HAZARD.
Bukan Eden Hazard ye.... Hazard iaitu a source or condition with potential harm or damage.

Membiarkan bola berada di kaki lawan sama seperti membiarkan risiko kemalangan tanpa kawalan. Apalagi bila bola berada di dalam kawasan penalti kita, sudah tentu risikonya terlalu tinggi.
Jika kita lihat hierarchy of control, paling afdalnya mengawal hazard dari sumber, iaitu melalui cara membuang terus hazard (elimination) ataupun menggantikan hazard dengan the less hazardous one (substitution).
Seterusnya kita kawal melalui pengasingan (isolation) dan kawalan kejuruteraan (engineering control).
Kawalan pentadbiran (administrative control) amat penting untuk dijalankan sepanjang masa.
Last but not least, penggunaan alat pelindung diri atau personal protective equipment (PPE).

Dalam bolasepak PPE adalah penjaga goal. Dalam perlawanan menentang UAE semalam, ibarat kita menukar PPE sebanyak 3 kali! Hasilnya kita tercedera dengan 10 eksiden.
Semua kawalan seeloknya berjalan serentak. Strikers mestilah menjalankan fungsi elimination control dengan sentiasa membawa bola ke kawasan lawan. Begitu juga flankers. Eliminate the ball from lingering on our side of the field as much as possible. Isolate bola dari kaki lawan!
Midfield mesti bertindak sebagai engineering control. Sentiasa hentikan bola ke bawah dan lorongkan kepada strikers. Sekarang orang lebih melihat kepada siapa assist drpd siapa score. That's how Piya got the respect of captain marvel.
Bek atau pertahanan mesti bertindak dengan fungsi administrative control. Sentiasa peka, sentiasa melihat apa yang berlaku di atas. Sentiasa berlari ke atas ke bawah ke kiri ke kanan. Sentiasa menjaga striker lawan. Sebab itu bek yang bagus biasanya adalah kapten yang terbaik. Lihat Maldini, lihat juga Aidil Zaquan.
Dan goal keeper adalah the last resort kawalan kita. The best goal keeper pun kalau kawalan di atas kurang berfungsi, gol akan bolos. Lihat apa terjadi kepada Casillas dalam World Cup lepas. He was humiliated with 5 goals conceeded into his net.
Berbalik kepada perlawanan UAE v Malaysia, asyik-asyik menukar PPE tanpa melihat control measures yg lebih tinggi maqamnya hanya memperlihatkan kelemahan majikan dalam melaksanakan penaksiran risiko.
Come on Dollah. Try HIRARC (Hazard Identification, Risk Assessment, Risk Control), it will do us much good.
Cheerio...

Wednesday, September 2, 2015

Separated At Birth

Bab Satu: CUPCAKE UNTUK SI TWIN


Dia bermenung di bawah pokok ru dengan melepaskan pandangannya ke tengah laut. Betul kata Kartunis Fatah, kawasan Sura Gate ini semacam poskad, terlalu amat cantik. Subhanallah. Sesekali dia memendekkan pandangannya ke sebiji cupcake yang berada di dalam plastik di tangannya. Apabila melihat cupcake itu, dia tersenyum. Senyum yang berbunga bahagia dan harapan.


Hari ini segalanya akan terjawab apabila dia memberikan cupcake ini kepada Debbie. Semua persoalan yang bersarang di kepalanya akan terungkai. In shaa Allah. 

Entah kenapa dia jadi tertarik kepada Debbie. Padahal Debbie seperti merak dan dia gagak. Segalanya macam langit dan bumi. Kecuali satu, mereka berdua pandai berbahasa Inggeris. Debbie sememangnya patut pandai berbahasa Inggeris kerana ayahnya memang seorang mat salih. Dia anak kacukan mat salih- Melayu. Manakala dia hanya anak pelaut yang hanya mengenal alif ba ta, bukan A B C.

Sebelum Debbie berpindah ke Sekolah Sura Gate sebulan lalu, hanya dia seorang yang mampu berkomunikasi dengan cikgu dalam Bahasa Inggeris. Dia tahu ada kawan-kawan yang menjuih bibir di belakangnya. Bau budu kata mereka, macamlah Bahasa Inggeris itu hanya untuk orang bandar.

Dia dapat rasakan bukan dia sahaja tertarik kepada Debbie. Debbie juga seakan sukakan dia. Mereka semacam ada chemistry. Inilah yang membuatkan Jamal dan kroninya selalu mencari gaduh dengan dia. Sebelum Debbie datang pun, Jamal selalu membuli dia. Memang Jamal kaki buli. Semua orang pun dia buli kecuali kroni dia. Cuma kebelakangan ini kejahatan Jamal terhadapnya semakin menjadi-jadi.

Debbie, walaupun ayahnya seorang mat salih, tetapi dia seratus peratus menurut gene sebelah ibunya. Wajah Debbie memang seperti orang Melayu sejati. Tiada roma mat salih langsung. Dia cantik, bersopan, graceful tetapi tegas dan berani.

Sudah lebih dari sekali Debbie menyelamatkan dia daripada kejahatan Jamal. Debbie sanggup berdepan dengan Jamal untuk membela dia yang sedang dibuli Jamal. Memang Jamal akan berhenti membuli di depan Debbie, tetapi dendam Jamal terhadap dia akan menjadi lebih besar selepas itu.

Dia memang ada dengar kata-kata orang bahawa sekali imbas wajah dia persis wajah Debbie, cuma muka Debbie putih dan gebu manakala dia gelap dan kusam. Maklumlah dia anak nelayan yang selalu menolong ayahnya menjahit pukat di tengah bahang matahari di pantai.

"Jangan nak perasan!!" KOK! Kuat amaran Jamal kepadanya diiringi dengan sebuah luku deras di atas kepala dia apabila dia tersenyum mendengar rakan sekelasnya membandingkan wajah dia dan Debbie. Macam kembar, kata mereka. Ya kembar taik cicak, tambah seorang sambil mereka ketawa.

WOOSSHHH!!!

Tiba-tiba cupcake di tangan dia dirampas orang. Dia mendongak, ahh! Jamal. Entah sejak bila Jamal dan kroninya sampai.

"Ooo kawan-kawan, kita ada rezeki hari ni. Cupcake comel," suara membuli Jamal sekuat deruan ombak pantai.

"Kembalikan Jamal," pinta dia.

Jamal membaling cupcake yang masih di dalam plastik ke arah seorang daripada kroninya. Kroninya yang belum bersedia tak sempat menyambut lalu cupcake tersebut terjatuh di atas pasir.

Entah di mana datang kekuatan dia menerkam Jamal dan melepaskan satu tumbukan padu ke muka Jamal. Jamal tersembam ke tanah namun dia cepat bangun lantas memberi arahan kepada kroninya.

"Ayuh! Ganyang...."

Dia kaget. Mana mampu dia seorang melawan enam orang. Dia memejam mata sambil berdoa sungguh-sungguh.

"Jamal!!!!"

Itu suara Debbie. Ya, memang suara Debbie. Sememangnya dia ada janji temu dengan Debbie di Pantai Sura Gate ini.

"Ayuh kawan-kawan... Jom blah!" Memang Jamal kalah dengan Debbie. Dia berlalu dengan kroninya sambil menjeling tajam. Dia faham jelingan itu, memang lain kali pasti dia akan teruk dikerjakan Jamal.

"Haikal, kenapa sanggup bergaduh kerana cupcake ini?" Soal Debbie, lembut. Rupanya Debbie telah melihat segala yang berlaku tadi.

"Errr... Cupcake ini masih elok..... Untuk awak," kata dia, tanpa mengendahkan soalan Debbie.

"Untuk saya?" Debbie tersenyum.

"Ya, untuk hari lahir awak. Happy birthday," dia berkata sekaligus menjawab sebab mengapa dia mengajak Debbie bertemu di pantai petang itu.

"Macam mana awak tahu hari ini hari jadi saya?" Debbie kehairanan kerana seingat Debbie, dia tidak pernah memberitahu sesiapa di Sura Gate tentang hari lahirnya.

"Sebab... Sebab...Emm... Sebab hari ini hari lahir saya juga..."


Monday, June 8, 2015

Kinabalu

Apa khabar kau Kinabalu?
Aku harap kau baik-baik saja
Doaku bersama kalian semua
..yang pernah menjadikan aku sebahagian daripada kamu

Semoga kurniaan Allah SWT yang terbaik untuk mereka, kamu dan kita


Sesekali ke Kundasang

Wednesday, June 3, 2015

Kawanku


Alhamdulillah
Aku mempunyai kawan 
yang sentiasa mengingatkan
yang sentiasa meredakan
yang sentiasa percaya
yang sentiasa mendengar

Dia sentiasa kawan.

Saturday, May 16, 2015

Selamat Hari Guru


Selamat Hari Guru
Jasa dan bakti di hatiku Alwayss
Maafkan salah-silap

Saturday, March 7, 2015

5S

Ramai orang cuba amalkan 5S sekarang. Yang paling obvious adalah masjid-masjid. Memang satu perkembangan yang baik dan bijak.

Suatu hari ambo singgah di satu masjid di Terengganu. Sebenarnya ambo memang selalu singgah di masjid itu sebab ia memang dalam perjalanan ambo berulang-alik Kuala Krai- Kuala Terengganu.

Apa yang berbeza, masjid tu dah cuba amalkan 5S. Yang paling obvious banyaklah labe-label dan tagging yang dibuat. Sebenarnya ambo sendiri tak pasti samada tagging ni memang intipati 5S atau tidak sebab ambo bukan pakar 5S.

Bila ambo masuk ke tandas, ambo lihat ada penambahbaikan. 

Keluar tandas, ambo nampak tok bilal baru datang, tengah parking motosikal. Ambo merapati tok bilal dan bagi satu notis NCR.

Ambo meneruskan perjalanan ke Kuala Krai, meninggalkan tok bilal yang masih terpinga-pinga.

Mana flush tank nya?

Sementara guna baldi ni, simpan dulu label ni.

Monday, December 1, 2014

Sapaan Hati


“Stephen kissed me in the spring,
Robin in the fall,
But Colin only looked at me
And never kissed at all.

Stephen’s kiss was lost in jest,
Robin’s lost in play,
But the kiss in Colin’s eyes
Haunts me night and day.”


― Sara Teasdale, The Collected Poems

Wednesday, November 26, 2014

UPSR Hari Ini

Anak-anak mampu bermain salji walaupun kita panas ceng-ceng 
Assalamualaikum.

Keputusan UPSR sudah keluar. Berbagai watak dapat dilihat apabila mendapat keputusan masing-masing. Watak-watak bukan sahaja di kalangan anak-anak, juga daripada ibu dan ayah masing-masing. 

Aku tahu ibu bapa dan anak-anak terbeban bukan semata-mata kerana nak sangat 5A, tetapi kerana 5 A inilah yang dijadikan passport untuk ke sekolah asrama selepas ini. Sebab itulah ibu bapa sanggup berhabis wang ringgit dan anak-anak sanggup berhabis masa menghadiri tuisyen siang malam.

Aku lantas teringat kepada lagu Give Me Sunshine dalam cerita tersohor Amir Khan, 3 Idiots. Antara lirik lagu itu menyebut,

All our lives
We needed to get a life

Let us live a little now
If only for a moment
If only for a moment

Backpacks drooped our shoulders
Of all people, dad taught us to bribe

Combusted our childhood

We lost our childhood
We lost our prime

Memang betul bangatlah kata-kata seorang sahabat yang amat aku hormati dan kagumi, katanya,

...for children, playing is a serious business. When they are playing, they are not children, they are maybe fireman, princess, ultraman, power rangers .....

Bukan kita sengaja mengambil masa anak-anak, tetapi sistem yang memaksa kita barangkali. Aku memohon agar para pentadbir memberikan kelonggaran untuk mengambil borang permohonan ke MRSM, Maahad Muhammadi, Maahad Tahfiz dll dilonggarkan kepada anak-anak yang mendapat 4A dan mungkin 3A. Bukankah anda ada tapisan lagi selepas ini, ujian, temuduga dan bagai lagi.


Mengecat semula dinding aku rasakan seperti memadam kenangan zaman kanak-kanak anak-anakku.  Tapi rumoh sewo nak buat guano.

Sunday, June 29, 2014

Salam Puasa

Selamat berpuasa teman,

Semoga tiada lagi yang kelaparan walaupun setelah azan Maghrib berkumandang. Sama-sama kita pastikan.
In syaa Allah.

Thursday, February 6, 2014

Antara Kajang dan Antartika

Mat Said & The Team @ Antartica
Berbagai kritikan dilontarkan oleh berbagai golongan rakyat kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said atau lebih dikenali sebagai Mat Said kerana menyertai rombongan penjelajahan ke Benua Antartika bermula 24 Januari sehingga 30 Januari 2014 baru-baru ini.

Belumpun sampai di rumah, iaitu semasa transit di KLIA, Mat Said telah menjawab kritikan tersebut. 

 “Kalau nak (hendak) makan angin lebih baik saya tak payah pergi Antartika....nak beli apa, nak beli penguin....nak sentuh pun tak boleh,”

Itulah yang dilaporkan oleh myMetro, kata-kata Mat Said. Selain itu, Mat Said juga menceritakan tentang bahaya yang mereka hadapi seperti cuaca yang ekstrim yang boleh berubah dalam masa setengah jam, ombak yang besar dan angin yang kencang sehingga memaksa mereka berkampung selama 2 hari di atas kapal sementara menunggu cuaca pulih. 

Aku tak nak sentuh tentang kritikan orang lain berkaitan pembaziran wang rakyat dan ketidakperihatinan Mat Said apabila menyertai rombongan ke Antartika ini, terutamanya apabila rakyat Terengganu baru saja selesai menghadapi banjir yang teruk. Namun, bagi aku memang Mat Said tidak PERIHATIN apabila bersetuju untuk menyertai rombongan ini.

Aku tahu Mat Said ke Antartika bukan untuk melancong, cuaca kat sana boleh mencecah -89 darjah Celcius. Kalau setakat nak merasa sejuk, Mat Said boleh saja ke Kuala Krai, Kelantan dalam jangkamasa tersebut kerana suhu di Kuala Krai dikhabarkan turun serendah 17 darjah Celcius!

Aku katakan Mat Said tidak perihatin kerana pada hemat aku, Mat Said sepatutnya sentiasa menjaga dirinya dan ADUN BN yang lain dari segala ancaman keselamatan diri dalam penggal 5 tahun ini. Apa tidaknya, kedudukan kerusi dalam DUN Terengganu adalah 17 BN dan 15 PR. Jika berlaku apa-apa kepada mana-mana ADUN BN yang boleh menyebabkan diadakan pilihanraya kecil, kedudukan BN sebagai pemerintah Terengganu akan tergugat.

Eh!! Baru-ini saja mereka berkalut apabila PRK terpaksa diadakan di Kuala Besut berikutan kematian YB Kuala Besut daripada BN. Mereka geger akan kemungkinan kedudukan kerusi DUN akan tergantung 16-16 jika PR menang di Kuala Besut. Nasib baiklah tali pusat UMNO masih utuh terpasak bersama piling jambatan Kuala Besut. Sekarang, adakah Mat Said telah memikirkan risiko ini sebelum berkelana ke bumi penguin itu? Memang Melayu UMNO mudah lupa.

Jangan kira PR Selangor, mereka ada 44 kerusi DUN berbanding 12 yang dimiliki BN. Jika 5 orang ADUN PR letak jawatan serentak pun, PR Selangor masih tak terjejas secara umumnya. Kajang lain, Kijal lain dan Kuala Besut juga lain.

Jadi, tuan MB perlu ingat, sebelum PRU14 nanti, darah tuan dan ADUN-ADUN BN yang lain adalah manis. Sememangnya ajal maut itu ketentuan Allah SWT, tetapi tuan-tuan sendiri kena juga beringat-ingat. 

Sebelum aku terulas pasal isu T-Team - JDT pula, baik aku berhenti di sini. Sekian.




Wednesday, February 5, 2014

Tragedi

Aku pernah terbaca seseorang mencoret,
"Malas adalah tragedi bagi seorang penulis".

Dan tragedi sehari-hari apabila aku melihat,
Takut menjadi selimut penguatkuasa
Kaya menjadi buruan wakil rakyat
Bodoh menjadi topi menteri
Jahil menjadi jubah graduate dari Mesir
Tak kisah menjadi makanan marhaen

Lalu aku rasakan perlu mengurangkan tragedi
Dengan (kembali) menjadi penulis




Monday, January 27, 2014

Yong 11 Tahun Hari Ini


Selamat Hari Lahir ke 11 untuk Yong.
Semoga diberkati Allah sentiasa.
Yang mana satu Yong?

Saturday, October 19, 2013

Selamat Ulangtahun ke 6, Talhah

Semoga berjaya dunia-akhirat anakku

Monday, September 9, 2013

Selamat Menjawab UPSR Anak Sayangku

Semoga Allah permudahkan semuanya untuk Kakak, dunia & akhirat.
Rasanya baru semalam Kakak belajar naik basikal.
Ya Allah, 
Engkau kurniakanlah yang terbaik untuk anakku
 Nur Salsabila
 dan murid-murid tahun 6 dalam UPSR yang bakal menjelang.
Amin. 

Thursday, May 30, 2013

Selamat Hari Lahir Kakak

Semoga menjadi serikandi Islam sokmo-sokmo

Tuesday, May 28, 2013

Dunia Akhir Zaman

Seorang jejaka hensem berkerjaya model dan pelakon merungut kepada kawannya. Sesuatu yang peribadi.

"Aku marah betul dengan ibu aku sendiri. Dia dah melampau, tak patut....."

Kawan yang mendengar hanya diam, biarkan orang melepaskan segala yang terbuku dikepala hotak dia.

"Mulai hari ini aku tak nak ambil pot lagi pasal orang tua tu. Aku mampu berdikari... Selama ini pun segala makan pakai aku, aku tanggung sendiri dengan hasil kerja yang aku usahakan sendiri," sambung model hensem itu lagi.

"Bro, muka kau yang hensem, laku dalam TV dan majalah tu saling tak tumpah macam ibumu," kata kawannya sambil mengorder segelas air barli panas lagi.


Saturday, May 25, 2013

Sunday, May 19, 2013

Air Asia Punya Pukulan

Boikot Jangan Tak Boikot
Sambil tengok bola di kedai mamak, sempat lagi Man Bakar dan Setapa berborak isu-isu berkepentingan nasional.

"Mulai hari ni, aku boikot Air Asia, Air Asia X, Y, Z, semua aku boikot," Setapa memulakan bicara politik berkepentingan nasional dan berketuanan Melayu.

"Aku setuju Pa, aku pun akan boikot apa-apa benda berkaitan dengan Air Asia selagi bos Air Asia X yang lupa diri tu tak minta maaf pada Utusan, oppsss pada Melayu," Man Bakar mengiyakan. Penuh semangat.

Tiba-tiba  satu kedai mamak bersorak.
Jersi QPR,
kebanggaan rakyat Malaysia
GOOOOOLLLLLLLLLLLLLLLLLLLL
GOOOLLLLLLLLLLLLLLLLLLLL

Setapa dan Man Bakar turut bersorak riang sampai naik atas meja kedai mamak sambil bangga menayangkan jersi yang dipakai mereka dengan penuh bangga.

"Hidup QPR! !!! Hidup QPR!"

Laung Man Bakar dan Setapa bersama-sama.


Thursday, May 16, 2013

TERBAIK Hari Guru Daripada Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man

Tuan Ibrahim Tuan Man,16 Mei 2013


Cikgu Ibrahim mengajar di sebuah sekolah rendah. Di depan kelas darjah 4 pada hari pertama persekolahan, beliau memberitahu para pelajar satu pembohongan.

Seperti guru-guru yang lain, Cikgu Ibrahim memberitahu para pelajarnya bahawa beliau sayang mereka secara setara. Tapi mustahil, kerana di depan kelasnya ada seorang pelajar lelaki bernama Jimmy yang tidak bermaya dan lemah semangat.

Cikgu Ibrahim telah memperhatikan Jimmy sejak tahun lepas. Dia ini tak bergaul dengan rakan-rakan sekolah dan suka menyendiri. Pakaiannya dan rambutnya tidak terurus. Nampak comot dan kurang bersih. Cikgu Ibrahim tidak suka kepadanya.

Cikgu Ibrahim tidak berniat nak mengajar Jimmy. Kerja rumahnya yang teruk dipangkah “X” dengan besar-besar tanpa diajar. Peperiksaan bila Jimmy gagal, Cikgu Ibrahim sudi menulis dengan pen warna merah. Kadang-kala terasa juga nak tulis “Padan Muka!” di atas kertas tersebut.

Tiba masa untuk menulis rekod pelajar pertengahan tahun. Cikgu Ibrahim meninggalkan buku rekod Jimmy di bahagian terakhir. Menyampah nak baca dan tulis untuk pelajar yang malas, tak bermaya, tak terurus dan dibencinya ini.

Cikgu Ibrahim menyiapkan laporan untuk pelajar-pelajar yang lain dahulu. Akhirnya tiba giliran buku rekod Jimmy.

Mahu tidak mahu, Cikgu Ibrahim terpaksa membaca rekod Jimmy sejak Darjah 1 sehinggalah sekarang sebelum mencatat prestasi Jimmy berdasarkan pengamatan beliau.

Darjah 1, cikgu Jimmy menulis:
“Jimmy seorang pelajar yang sangat pintar dan kemas kerjanya. Senyumannya begitu bersemangat sehinggakan seluruh kelas mencontohi tingkahlaku beliau. Beliau mendapat tempat nombor 1 di sekolah dan aktif dalam sukan.”

Darjah 2, cikgu Jimmy menulis:
“Jimmy seorang pelajar yang sangat disukai semua guru dan rakan-rakan sekolah. Jimmy masih mengekalkan keputusan cemerlangnya meskipun bapanya terkena penyakit kronik dan ibunya terpaksa sara keluarga. Kehidupan di rumahnya tentu mencabar.”

Darjah 3, cikgu Jimmy menulis:
“Bapa Jimmy meninggal. Jimmy cuba sedaya untuk fokus tapi ibunya kerana terpaksa sara keluarga terus mengabaikannya. Bantuan mesti diberikan jika tidak kehidupan keluarga akan ada negatif impak pada Jimmy. Keputusan Jimmy dah mula merundum dan lebih menyendiri. Jimmy dah mula tak buat kerja rumah dan tidur di dalam kelas.”

Setelah membaca ketiga-tiga laporan itu, Cikgu Ibrahim berasa bersalah mempunyai sangka buruk pada Jimmy sejak awal. Beliau sebak seketika dan tidak menulis laporan dalam buku rekod Jimmy.

Rupa-rupanya Jimmy jadi begitu ada kisahnya – Cikgu Ibrahim berasa malu.

Pada sambutan Hari Guru, Cikgu Ibrahim menerima hadiah daripada semua pelajar dalam kelasnya termasuk dari Jimmy. Semua hadiah dibungkus dengan cantik kecuali hadiah Jimmy yang hanya dibalut dengan kertas kuning comot.

Cikgu Ibrahim memilih untuk membuka hadiah Jimmy dulu di depan kelas. Rakan-rakan sekelasnya ketawa hadiah comot yang dihadiah oleh Jimmy. Dalamnya ada satu cincin dan sekotak bedak usang.

Cikgu Ibrahim menyuruh kelasnya diam. Beliau memakai cincin tersebut dan meletakkan sedikit bedak di lehernya.

Jimmy tersenyum tapi tidak berkata apa-apa. Ini pertama kali Cikgu Ibrahim melihat Jimmy tersenym.

Selepas habis sekolah, Cikgu Ibrahim terserempak Jimmy yang menunggu di tepi keretanya seorang diri.

“Apa hal Jimmy?”

“Tak ada apa. Cuma nak beritahu, Cikgu hari ini bau dan nampak seperti bapa saya. Terima kasih,” kata Jimmy sebelum beredar.

Masya-Allah. Mata Cikgu Ibrahim menjadi merah.

Mulai hari itu, Jimmy menjadi pelajar yang diberi perhatian khusus oleh Cikgu Ibrahim. Cikgu Ibrahim berhenti mengajar matematik, menulis dan membaca. Beliau kini mula mendidik para pelajarnya sebagai seorang ibubapa.

Hubungan Cikgu Ibrahim dengan Jimmy bertambah baik. Jimmy memberikan perhatian dalam kelas dan setiap kata Cikgu Ibrahim. Pada akhir tahun, Jimmy kembali mendapat nombor 1 di dalam sekolah.

Pada akhir tahun darjah 4, Jimmy meninggalkan sekeping nota di kereta Cikgu Ibrahim.

“Cikgu adalah cikgu terbaik di dalam hidup saya. Dalam pepatah Cina, satu hari sebagai cikgu saya ialah sama dengan seumur hidup menjadi bapa saya. Saya sayang cikgu. Terima kasih kerana memakai bedak dan cincin bapa saya. Akhirnya, saya jumpa bapa saya kembali ke sisi saya.”

Cikgu Ibrahim sekali lagi menitis air mata.

Semenjak itu, Cikgu Ibrahim dan Jimmy menjadi sangat rapat sehinggalah ke sekolah menengah yang hanya di depan sekolah rendah. Setiap kali Jimmy mendapat keputusan cemerlang, Jimmy akan mengirimkan nota, “Cikgu masih cikgu terbaik dalam hidup saya. Tanpa cikgu, takkan ada Jimmy hari ini.”

Sebelum Jimmy ke Universiti di sebelah selatan, Cikgu Ibrahim mengajak Jimmy berjumpa untuk memberikan sedikit duit sebagai bekalan.

“Cikgu harap hubungan ini berterusan sampai akhir hayat,” kata Cikgu Ibrahim.

Jimmy berfikir sejenak…

“Apa kata cikgu jadi ayah angkat saya? Macam ini, pasti takkan putus hubungan,” kata Jimmy.

“Cikgu dah lama anggap Jimmy sebagai anak. Cuma Jimmy tak panggil ayah saja lagi,” jawab Cikgu Ibrahim.

Jimmy terus memeluk Cikgu Ibrahim, “Ayah. Saya dah lama nak panggil ayah. Sejak bapa tiada, anakanda dah lama anggap cikgu sebagai ayah. Kalau bukan ayah masih percayakan anakanda darjah 4 dulu, anakanda dah tak tahu hanyut ke mana.”

“Terima kasih anakanda. Ayah yang patut ucap terima kasih. Ayah selama ini tak tahu mendidik sehinggalah ayah terjumpa anakanda darjah 4 lalu,” jawab Cikgu Ibrahim.

Selamat Hari Guru.

Senyum.

Jangan baca saja jika suka. Sharelah juga ya.

Wednesday, May 15, 2013

Guru Teristimewa


Pemadam papan hitam kelas kami selalu saja ghaib. Ambil baru, ghaib. Ganti baru, ghaib. Tak ada orang lain yang empunya angkara, mesti budak kelas sebelah yang ambil. Kelas Faraday 2.

Jadi hari itu, sebelum kami semua ke makmal sains, aku mendapat idea untuk berbuat sesuatu untuk menangani krisis kehilangan duster di kelas kami.

Aku tulis satu nota dan masukkan ke dalam kotak kapur bersama duster. Khas untuk makhluk pencuri duster! Lalu aku terus berlalu ke makmal sains.

Balik dari makmal sains, Guru matematik, Cikgu Nik Roseny telah sedia menunggu di dalam kelas. Dia nampaknya baru selesai memadam papan hitam. Di tangannya tergenggam duster dan..... sehelai kertas.... Alamak…..

"Siapa tulis ni?" Dia bertanya, serius.

Aku terus mengangkat tangan dan berdiri. Baik aku mengaku awal-awal. Aku yakin tiada siapa yang berani membohongi Cikgu Nik Roseny. Menentang matanya pun aku tak berani.

Cikgu Nik Roseny adalah cikgu yang terbaik yang pernah aku jumpa. Dia mengajar matematik moden. Ajarannya mudah, senang difahami. Dia seorang wanita yang cantik, bertudung labuh dan lemah lembut. Memang dia seorang muslimah sejati. Tetapi dia tegas. Aku boleh katakan yang aku tidak pernah melihat dia ketawa. Tetapi dia selalu tersenyum. Di kala peperiksaan, aku lihat, dia akan duduk di bucu kelas semasa murid-murid sedang tekun menjawab soalan. Dia membaca surah Yaasin diam-diam di bucu kelas. Dia tidak membuang masa begitu sahaja. Murid-murid pun tak adalah berani meniru lebih-lebih bila cikgu mereka sedang tekun membaca Al-Quran.

"Maafkan saya, cikgu."

Belum apa-apa aku sudah mengaku kalah.

Cikgu Nik Roseny membaca nota di tangannya yang sah-sah ditulis oleh aku itu. Pastinya aku tujukan ‘kata-kata keramat’ itu kepada pencuri duster bersiri yang aku yakin datangnya dari Kelas Faraday 2.

"Hoi menatang! Jangan curi duster ini. Pergilah ambil sendiri di pejabat."

Begitulah ayat skema aku. Aku lihat Jenal dah mula mengekek dan sedang menahan ketawa yang lebih besar di dalam perutnya. Malunya aku tak usah cakaplah, lebih-lebih lagi kepada Fadhilah, budak cun yang duduk di kerusi depan aku.

Cikgu Nik Roseny berceramah 2-3 minit kepada aku yang menunduk dan kuncup semacam pohon semalu yang baru disentuh. Selesai ceramah cikgu, barulah aku dibenarkan duduk.

Sebagai denda, Cikgu Nik Roseny mengarahkan aku untuk mencari dan menulis kembali hadis-hadis Nabi S.A.W yang berkaitan dengan keperluan berkata baik dan menjaga lidah.

Begitulah cara Cikgu Nik Roseny mendidik dan menghukum kami yang bersalah. Dia tidak pernah menjentik, apalagi merotan. 

Al-Fatihah untuk seorang cikgu yang begitu baik. Pastinya beliau paling diingati dan dirindui oleh ahli keluarga beliau. Semoga mereka semua bersatu di syurga kelak. Amin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...