Friday, January 9, 2009

Karpal Singh Penakut Tak Bertempat



Tak habis-habis cakap benda yang dia tak mahu dan tak tahu.

Kalau tak mahu, memang seribu dalih.

Kalau tak tahu, sepatutnya diam dan baca buku. Bukan meracau tak tentu kalu!

Kalau ada kawan-kawan Melayu Khairy Jamaluddin yang tak mahu hudud itu kita amat faham kerana hudud ter’applicable’ ke atas mereka. Itupun jika mereka mencuri, merompak, merogol, menzinah, membunuh, mensyirik jalikan Allah dengan menukar syahadah.

Kalau tak buat dan tak terlintas pun nak buat perkara jahat tu, buat apa takut. Orang yang membunuh adik Nurin Jazlin memang patut dibunuh balas. Itulah hudud. Undang-undang yang ada sekarang pun begitu.

Mengikut Karpal seperti yang dilaporkan mstar online, untuk melaksanakan hudud, prasyaratnya ialah penubuhan sebuah negara Islam seperti Arab Saudi di mana undang-undang Islam terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam.

Jadi, bahagian mana yang rakan bijaksana saya tak faham?

Hudud sebahagian daripada undang-undang Islam. Lain-lain hal seperti parking kereta, melanggar lampu merah, potong double line, menampar orang, menipu, skodeng, melarikan anak dara orang, melarikan diri dari lokap, tak pergi sembahyang jumaat, tak letak tanda harga, jual ayam atas harga siling, sorok gula, tipu timbangan getah sekerap pun ada undang-undang dia. Ada takzir, ada kisas. Yang mana sudah baik dan elok tu pastinya di’maintain’. Mana yang tak elok diperbaikkan untuk menjaga kepentingan ‘pelaku’ dan ‘mangsa’. Yang mana belum ada, diadakan. Inilah keadilan, inilah Islam.

Untuk bab yang tak puasa, tak sembahyang jumaat, tak berzakat, rakan saya yang bijaksana akan dikecualikan kerana belum Islam.

Sepatutnya sebagai seorang lawyer terbilang, tuan yang bijaksana tidak perlu risaukan kepada hukuman. Hukuman hanya untuk orang yang bersalah.

Tuan yang bijaksana sepatutnya risaukan proses pengadilan. Inilah keutamaan undang-undang Islam, tuan.

Tidakkah tuan yang bijaksana tahu perlantikan hakim dalam Islam pun perlu mematuhi syarat-syarat tertentu termasuk takutkan Tuhan, iaitu tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan dalam melakukan dosa kecil.

Mana mungkin hakim yang takutkan Tuhan ini terlibat dengan isu-isu rasuah, correct-corect, bercuti ke luar negara dengan lawyer, tak adil, berat sebelah, pilih bulu, pilih perempuan, berzina, melanggan pelacur, mabukkan diri ....

Kalau tuan seorang pejuang demokrasi, Islamlah juara demokrasi, kalau tuan pejuang keadilan, Islamlah penganjur keadilan, kalau tuan pejuang kebebasan, Islamlah yang merobohkan tembok pengabdian sesama manusia.

Jadi tuan yang bijaksana, tunggu apa lagi? Segeralah ke mana-mana kedai buku yang berhampiran untuk mencari bahan bacaan berkaitan.

Apa yang tuan takutkan sebenarnya? Islam, orang Islam, agama, negara, sekularisma, hudud, qisas, takzir, taakhir? Taakhir itu sembahyang yang disatukan iaitu Zohor dan Asar dalam waktu Asar dan Maghrib dan Isyak dalam waktu Isyak, bukannya undang-undang. Sebab itulah saya anjurkan tuan ke kedai buku. Maksudnya tuan tak boleh merapu tentang perkara yang tuan tak tahu hujung pangkal. Seperti saya yang tak pernah berniat nak merepek tentang Sikhism kerana memang saya tak pernah study apa-apa mengenainya. Adil ?

Jika tuan yang bijaksana telah baca, tahu, faham, dan masih dapati Islam ini hodoh, tak adil, korup, outdated, tak cool. Masa tu tuan nak cakap apa pun, cakaplah. Cakap tuan tak akan memberi kesan sedikitpun kepada agama Allah ini. Cuma saya akan cakap satu sahaja,

HIDAYAH.

Keberanian bukanlah berdepan bertekak dengan backbenchers atau Ibrahim Ali dalam Parlimen atau dengan Pegawai Pendakwa di Mahkamah.

Keberanian sebenar ialah berdepan dengan diri sendiri dalam mengawal krisis akal dan nafsu demi mencari kebenaran yang tak akan berakhir sehinggalah ke hari kita dimatikan untuk menemui Pencipta kita.

Ingatlah hari dimana tak terpakai 'benefit of the doubt' kerana yang berhujah bukanlah mulut dan otak kita, tetapi anggota-anggota tubuh badan kita termasuk kulit.

Sebab itulah Islam tidak memandang warna kulit. Dan Islam pun bukan untuk warna kulit tertentu sahaja.

Allahu Akbar!

Thursday, January 8, 2009

Salsabila dan Palestin

,

Semasa menjemput Salsabila dari sekolah selepas habis kerja, saya mengambil peluang menasihatinya.

Saya katakan, Kakak kena bangun awal, bersiap awal. Kalau Mama kejutkan, terus bangun, mandi, pakai baju sekolah. Kesian Mama, kalau kena hantar Kakak ke sekolah agama lagi, hantar Yong ke Pasti lagi, baby kecil lagi, kena masak lagi, siap rumah lagi, hantar Kakak sekolah SK lagi.

Kalau Kakak awal, pagi abah boleh hantar, kalau lewat nanti abah masuk kerja lewat. Nanti kena marah ke bos abah.

Begitu berdiplomasi saya berucap dalam kereta, sambil menunggu api hijau. Yalah, saya kenal sangat dengan Salsabila. Dia tak suka dipaksa. Cakap kena lembut-lembut.

“Kalau Kakak ada kuasa kan bagus.....Kakak boleh ada sayap,” Salsabila bersuara apabila saya berhenti berucap.

“Kakak terbang je ke sekolah..... kan abah?” Tambah Salsabila.

“Kenapa Kakak fikir sampai macam tu?” saya bertanya balik.

Memang saya tahu ini mesti pengaruh kartun. Salsabila memang hantu kartun, semua dia tak miss. Hagemaru, Ninja Boy, Popeye, Detective Conan, Sergeant Keroro, Kyo Kara Maoh, Slam Dunk, Yakitate! Japan, B-Daman Fire Spirit, Digimon, Doraemon, Pokemon, Postman Pat, Bob the Builder, Jim Jam and Sunny, Fiffy and The Flowetots, Spiderman ............. asalkan Kartun dan Anime, semua dia tengok. Itupun nasib baik saya dah unsubscribe Cartoon Network. Kalau tak, sayapun join sama.

“Kalau boleh terbang, abah tak payah hantar Kakak. Abah tak lewatlah ke pejabat,” senangnya solution anak-anak.

“Kalau hujan macam mana?” Saya saja menduga.

“Kakak gunalah kuasa untuk lindung hujan”

Salsabila, abahpun kalau ada kuasa, abah pergi fire macam Ultraman semua pengganas Yahudi di Palestin termasuk pemimpin Fatah dan Negara-negara Teluk yang mangkuk ayun.


Tuesday, January 6, 2009

2 Anak Soleh

Assalamualaikum

Selamat kembali ke sekolah kepada anak-anak.

Masing-masing ibubapa menumpukan kepada anak masing-masing. Ada baiknya juga sekali sekala kita hiraukan anak-anak orang lain sama. Yang baik dikongsi. Yang buruk disempadani. Yang banyak dibahagi. Yang sedikit dikongsi. Senang pakat dinikmati. Susah pakat dibebani.



Wajah-wajah riang. Salsabila ceria bersama kawan-kawan.



Jalan jem. Masing-masing bersemangat menghantar anak-anak direct to the teachers' laps.



2 anak menyantuni ibu tersayang. Semasa melepasi kereta saya yang terperangkap di dalam kesesakan, saya dapati ibu mereka mempunyai masalah penglihatan. Sebab itulah si ibu berpaut kejap pada si abang sambil memimpin si adik. Mendekati sekilometer kemudian, saya melihat mereka sedang menunggu di perhentian bas. Berapa jauh lagi perjalanan mereka ke rumah?

Saya doakan abang dan adik terus menjadi anak yang soleh.

Ya Allah. Murahkanlah rezeki mereka dunia dan akhirat. Amin.

Monday, January 5, 2009

Duta Palestin Men ‘Bukit Antarabangsa' kan Gaza


Allah selamatkan Palestin.

Bila MANGKUK sudah berayun,
Piring dan cawan terpana membisu,
Bangsa dan agama penggerak lakun,
Politik sempit mengatasi isu.

Simpati rakyat Malaysia yang mencurah-curah kepada mangsa tragedi Bukit Antarabangsa baru-baru ini tercalar teruk akibat hilang sabarnya seorang mangsa yang menyatakan rasa tidak puas hati beliau terhadap pasukan penyelamat dan lain-lain di depan YB Azmin Ali. Apalagi bila TV3 mengambil peluang menyiarkan berita YB Azmin Ali terpana-pana mengawal macho di depan hamba Allah yang persis dirasuk melampias kemarahan itu.

Duta Palestin ke Malaysia, Abdel Aziz Abu Ghoush semacam histeria mengarahkan peserta-peserta demo anti Israel anjuran beberapa NGOs dan Pemuda Umno menurunkan gambar Ismail Haniyeh, Al- syahid Sheikh Ahmad Yassin dan Al-syahid Sheikh Rantisi baru-baru ini. Alasannya dia tidak mahu percecahan antara rakyat Palestin. Yalah, tak semua orang sokong Hamas. Menurutnya, Hamas is a part of my people, targeted by the Israelis...

Apa isu besar di sini? Keganasan Israel atau kesatuan rakyat Palestin?

Kalaupun kesatuan rakyat Palestin menjadi isu utama, Ismail Haniyeh, Sheikh Ahmad Yassin dan Sheikh Rantisi itulah idola dan pencetusnya. Rakyat Palestin memilih mereka dalam pilihanraya.

Biarlah sesiapapun menggunakan sesiapa saja untuk menaikkan semangat mereka bagi menentang musuh yang satu. Kalau muka Mamoud Abbas yang dapat menaikkan semangat mereka biarkan. Katakan ada puak yang hanya dengan mengangkat gambar Ibrahim Ali mereka jadi bersemangat, biarkan saja. Apa masalahnya?

Samalah dengan Chua Soi Lek, kalau dia gunakan viagra atau sensaoil atau makjun petani atau kopi janda untuk naikkan libidonya, peduli apa kita. Matlamatnya untuk bersama isteri yang halal.

Kenyataan dan histeria Abdel Aziz Abu Ghoush diharap tidak sepicing pun akan mengurangkan simpati dan sokongan kita semua kepada rakyat Palestin.

Abdel Aziz Abu Ghoush yang sepatutnya lebih sensitif dengan menerima cek sumbangan rakyat Malaysia di beranda kediamannya daripada orang lain. Bukannya daripada Khairy Jamuluddin yang sedang bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno dan P036 Kuala Trengganu.

Hampeh...

Saturday, January 3, 2009

Macam Yahudi Tua Tanpa SMS


Salam.


Orang Madinah Tertunggu-tunggu kedatangan Muhammad. Macam mana rupanya. Orang kata akhlaknya terpuji, santun, berjurus. Fizikalnya handsome, segak, macho. Hebat.


Itulah apa yang didengari daripada cakap mulut ke mulut. Dalam kitab injil, taurat pun ada cerita fasal ciri-ciri Nabi akhir zaman.


Lalu orang Madinah composekan lagu selawat yang cukup indah dan menjadi hit sampai sekarang untuk sambut orang yang dinanti, walaupun tak pernah dilihat rupa parasnya sebelum ini.


Sekarang, untuk orang yang jahil politik, bila nama Wahid Endut diistihar jadi calon Pas, terus boleh google wajahnya. Boleh tahan, handsome lagi daripada Wan Farid. Pas 1- Umno-0. Kemenangan pertama.


Google lagi Wahid Endut, dapat tengok pula dia diseranah babi, setang, gile, iblis, nattang dan diajak goccoh oleh Adun Kijal sedikit masa dulu dalam DUN Trengganu di Youtube kerana.....ah! google lah sendiri, saya ada the whole CD, beli kat PUTIK, sapa nak pinjam? Speaker dewan pulak buat diri dia sendiri (baca: buat bodoh) je. Google Adun Kijal, laaa...MB Tranung ler ning rupanya. Ish ish ish..... dia ni hok beli Mecedih baru ni rupanya.


Tu maklumat untuk orang yang berpolitik hanya 5 tahun sekali atau hanya bila ada anak YB jadi yatim. Walaupun jahil politik, tapi dapat balik semua maklumat melalui internet, paper, tv, radio, sms, mms, majalah, library, kedai kopi.


Jadi, adakah orang yang mengata buruk tentang Muhammad Rasulullah S.A.W itu jahil maklumat? Kalau jahil maklumat, maklumat negatif tu dari mana dia dapat?


Sudah pastinya dia berniat provokasi. Menghasut. Menyebarkan kebencian. Hukuman untuk kesalahan ini ada termaktub di dalam undang-undang negara kita. Kalau tanya ramai orang termasuk Dr. Maamor dan Pewaris mungkin depa kata ISA je (mungkin tidak). Tanya Raja Petra, mungkin dia kata Akta Hasutan kan ada. Tanya Theresa Kok... tak payah tanyalah, ke lain pulak dia struggling membebel. Tanya saya, saya kata, ada akta takda tertuduh buat apa. Nak tuduh anonymous? Yang lebih terrorist mungkin kata baling saja dengan kasut!


Yahudi tua yang tiada handphone 3G dan tiada Astro mengata Rasulullah di sepanjang jalan walaupun orang yang menolong dia itulah Rasulullah S.A.W. itu memang jahil. Tetapi apabila mengenali Rasul S.A.W yang mulia, dia terus beriman.


Sama-samalah kita jalankan kewajipan kita.


Bloggers - Keep blogging the truth.


TV1, TV2, TV3, Astro dan rakan-rakan - Nyatakan kebenaran dan kebaikan Islam dan hukum hakamnya. Mungkin kerana takutkan hudud lah mereka memaki dan memfitnah Nabi kita. Yalah, sebab Nabi S.A.W lah yang mula-mula menyatakan kewajiban hudud. Jadi kalau anda pun menyebarkan kebencian dan kesangsian tentang hukum ini.....anda fikirlah sendiri.


Ibu bapa - Jaga anak baik-baik.


KT folks - Undilah parti yang nak menegakkan Islam.


Takbir.


.


Friday, January 2, 2009

Hidup Palestin !


Hidup Palestin !

Untungnya mereka kerana dicari syahid.

Kepedihan melihat anak-anak dan orang tua kesejukan, kebuluran, terlantar kesakitan tanpa ubat rupanya tidak cukup. Bedilan roket dan hujan peluru mungkin juga tidak cukup untuk memenuhi nafsu dan selera Zionis dan proksi durjana.

Kelukaan akibat tindakan rakan seIslam yang terangan bersifat munafik lebih dalam daripada luka tindakan kejam tak bertamadun Yahudi dan proksi laknatullah. Sabotaj si munafik sememangnya tidak berhenti di Badar, mereka menggigit luar dalam. Tak berhenti.

Yang perlu berani untuk bertindak dan bercakap sebenarnya kita. Bukan mereka yang sudah berzaman mempertahankan Baitul Maqdis. Sedang tidurpun mereka boleh kena bom. Balik sembahyang subuh pun mereka boleh terkena roket.

Kita yang perlu berani. Kita dan ketua-ketua kita.

Betullah kata pejuang hak asasi kulit hitam Amerika, Martin Luther King Jr. suatu ketika dahulu,

"In the End, we will remember not the words of our enemies, but the silence of our friends."



Ya Allah. Semoga apa yang berlaku ini menambahkan keyakinan kami pada janji Akhirat dan Hari Pembalasan Mu.


.

Thursday, January 1, 2009

Cikgu Zaitun


1996

Semasa melabuhkan punggung ke kerusi Boeing 737 ke Kota Bharu, tergetus hatiku. Wah! lawanya gadis di sebelah aku ni!

“Balik mana?” aku membuka bicara.

“Pasir Tumboh,” jawabnya sambil tersenyum. Memang cantik.

“Abe nak balik ke mana?” Giliran dia bertanya padaku.

“Kuala Krai.....Guchil,” aku menyatakan Kuala Krai dahulu kerana orang Kota Bharu lebih mengenali Guchil Kota Bharu daripada Guchil Kuala Krai.

“Saya pernah duduk di Guchil masa kecil dulu. Mak mengajar di Sekolah Guchil,” mungkin perkataan Guchil mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak kepada gadis ini, dia kelihatan berminat apabila Guchil disebut.

“Siapa nama mak?” Tanyaku.

“Cikgu Zaitun.”

Kali ini aku yang kembali ke zaman kanak-kanak. Cikgu Zaitun 2 tahun menjadi guru kelasku. Darjah 2 Putih 1980 dan 3 Putih 1981. Cikgu Zaitun baik orangnya. Yalah, kadang-kadang dia baran juga. Biasalah tu, cikgu. Apatah lagi mengajar budak-budak . Aku masih ingat semasa darjah 3, patah pembaris kayu guru semasa dia menyebat belakang Asmawi, rakan sekelasku. Terkejut juga Cikgu Zaitun dibuatnya. Cepat-cepat dia meminta maaf kepada anak muridnya yang memang agak nakal dan babir itu. Yang lucunya, bahagian yang patah itu diberikan pada Asmawi sebagai kenangan.

Cikgu Zaitun cantik dan bergaya. Kulitnya putih. Rambut hitam berkilat paras bahu ( Awal lapan puluhan bilangan cikgu yang pakai tudung tak boleh dibilang dengan ibu jari pun. Memang tak ada! ). Tidak keterlaluan jika aku katakan wajahnya ada iras penyanyi sensasi Madonna. Ya, ada wajah keibuan. Cikgu Zaitun baik denganku, mungkin kerana aku selalu top dalam subjek yang diajarnya iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains Awalan. Aku juga muncul nombor satu di dalam kelas pada setiap peperiksaan penggal.

“WN 3535 ada lagi?” tanyaku kembali kepada si gadis.

Aku faham riak kejutan di wajah gadis itu. Yalah, macam mana aku boleh tahu pasal kereta Toyota Corolla biru keunguan milik keluarganya. Apa lagi menghafal nombor pletnya. Merasakan tidak patut membiarkan gadis itu terus berkerut, aku memberitahu.

“Mak awak guru kelas saya dulu.”

Gadis itu tersenyum faham. Dia mula bercerita.

WN 3535 masih digunakan. Mak ibu tunggal sekarang. Ayah sudah meninggal. Dia sekarang di pusat persediaan di Shah Alam sebelum menyambung pelajaran ke luar Negara. Mak sekarang mengajar di sebuah sekolah di Kubang Kerian. Sekarang mak sudah mengajar budak darjah 5 dan 6. Senang sikit katanya mengajar budak besar yang sudah pandai membaca.

Memang semasa darjah 6 Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil (SKBG), kami sekelas 6 Merah dapat mendengar jelas suara Cikgu Zaitun dari blok bersebelahan menuturkan A B C kepada pelajar-pelajar yang baru mengenal alam persekolahan. Tekun sungguh Cikgu Zaitun.

“Kirim salam kat mak ya,” kataku setelah si gadis selesai bercerita.

“Nama apa ?” Cerita punya panjang, nama pun belum tahu.

“Katakan budak yang kena lucut ketua kelas semasa darjah 3,” kataku sambil tersenyum.

Maksudku berkata begitu bukan kerana dendam. Tetapi sebagai pencetus memori kepada seorang cikgu. Masih ingatkah dia? Kalau aku jadi cikgu pun aku akan lucutkan jawatan ketua kelasku. Yalah, guru masuk tidak bersambut salam. Guru keluar tidak berterima kasih. Ketua kelas apa! Akhirnya jawatan ketua kelas jadi milik Rodhiah, budak putih gebu yang baru pindah dari Sekolah Sultan Yahya Petra (SYP).

Semasa turun kapal terbang. Sang gadis memberitahuku,

“Ma ada di terminal sekarang, datang jemput saya.....” aku faham maksud gadis itu untuk mempertemukan aku dengan cikguku yang sudah lama tak berjumpa.

“Takpalah. Katakan Ramli kirim salam.”

Bukan aku tak mahu bertemu mata dengan guru yang aku kasihi, tetapi biarlah kegembiraan seorang ibu tunggal bertemu anak perempuan yang berada jauh di perantauan tidak dirojakkan dengan memori lampau yang bercampur pahit manisnya.


.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...